Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Julai 27, 2018

Bila kenangan hitchiking solo pusing Eropah musim panas tahun 1995 menyapa

Salam Jumaat. Sejak kebelakangan ini saya asyik teringkatkan tempat-tempat yang pernah dijejaki di Eropah juga kota London tempat saya belajar, mengambil sarjana muda dalam bidang matematik 1991-1995. Ia tercetus setelah mendapat mimpi naik basikal lumba seorang diri menuju ke Bratislava di Slovakia dari arah Hungary. Saya pernah menginap 3 malam di Brastilava tetapi tidak pernah sampai ke Hungary. Apabila menyemak kedudukan menggunakan Google Map didapati mimpi yang muncul tiba-tiba tanpa ada mukadimah berkenaan sebelumnya itu memang tepat daripada segi geografi. Rupa-rupanya sempadan Hungary terletak 20 km sahaja dari Brastilava.

Ingatan yang kuat ini mendorong saya untuk membuat status update berikut di Facebook. Biar dikongsikan di sini supaya tidak hilang begitu sahaja... dan supaya dapat mengkaji apa yang tersurat dan tersirat di sebalik kejadian ini...



Rabu Julai 18 jam 12:29 PM · 

KENANGAN BERJALAN DI PERANCHIS DENGAN DUIT POKET RM50



Salam. Ternampak orang buat gambar throwback berada di Peranchis sempena negara tersebut berjaya muncul sebagai juara bolasepak Piala Dunia 2018 hujung minggu lalu saya pun nak kongsikan satu gambar throwback. Ini daripada perjalanan saya pusing Eropah secara solo hitchhike musim panas tahun 1995. Perjalanan dibuat dengan belanja keseluruhan 180 Pound Sterling. Ini meliputi £130 duit belanja untuk makan minum, penginapan dan sebagainya + £50 tiket bas untuk memulakan perjalanan dari tempat saya belajar iaitu London ke Amsterdam kemudian kembali ke London dari Amsterdam, boleh juga dari Paris mahupun Brussels.

Jumlah ini tak sampai pun RM1,000. Namun saya dapat meliputi 11 buah negara dalam tempoh 31 hari - Peranchis, Belanda, Jerman, Republik Czech, Slovakia, Austria, Switzerland, Lichenstein, Itali, Monaco, Belgium. Ini dapat dibuat kerana saya menggunakan sleeping bag untuk tidur di mana-mana yang boleh lalu tidak perlu membayar kos sewa hotel. Saya juga menahan lalu menumpang kenderaan demi kenderaan, kereta, lori dan trak lalu tidak perlu membayar kos pengangkutan kecuali di satu dua tempat.

Di Peranchis saya pernah bermalam di tepian pantai bandar raya Nice menghadap Laut Mediteranean. Malam esoknya saya menginap di lereng bukit menjunam ke arah sungai sebelum beralih ke dalam terowong bawah tanah lalu lintas di Sisteron, sebuah bandar kota (castle town) di kawasan pergunungan menuju ke kota Grenoble dan banjaran Alps. Malam berikutnya saya merasa disumbat dalam lokap polis di Lyon kerana disangkakan seorang pengganas Islam. Di Paris saya tidur di hadapan pintu sebuah taman bunga di selatan pinggir bandar raya sebelum berjalan kaki ke pusat. Pada hari yang sama saya berjalan kaki sekitar 50 km ke arah utara sebelum dapat menumpang kenderaan menuju ke Brussels di Belgium.

Tahun 2000 saya pergi ke Peranchis dalam keadaan lebih selesa dibawa oleh seorang jaguh lumba kuda endurance untuk meliputi hal ehwal dunia sukan tersebut sebagai wakil wartawan daripada akhbar di The New Straits Times. Dari Paris kami menaiki kereta terus ke selatan Peranchis meliputi persekitaran bandar Moncuq menghampiri sempadan negara Sepanyol membawa ke kawasan pantai Mediterranean di sekitar Marseilles. Perjalanan meliputi masa seminggu dalam suasana selesa dan boleh tahan mewah. Namun yang tetap lebih berbekas dalam ingatan adalah perjalanan lasak tahun 1995 yang mana apabila sampai di Peranchis itu duit dalam poket saya cuma tinggal sekitar £10 bersamaan RM50 gitu...



Rabu Julai 18 jam 2:06 PM · 

KENANGAN MALAM PERTAMA TIDUR ALA GELANDANGAN DI NEGARA ORANG



Throwback lagi, kali ini dicetuskan oleh komen orang dalam posting saya tentang kenangan Peranchis tadi... berkenaan saya tidur bersepah dalam sleeping bag di tempat orang untuk menjimatkan kos perjalanan. Ia berbunyi begini :-

"Uihs berani nye tuan hamba.. klu hamba risau juge klu2 terserempak perompak di tgh jln.. tido mlm .. risiko ditikam ditembak dsbgnya.. sorg diri plk tu.. Alhamdulillah tuan hamba selamat dilindungi Allah. : )"

Sebetulnya sebelum keluar berjalan buat solo hitchhike ke Eropah termasuk di Peranchis itu saya dah 'training' jadi homeless atau gelandangan 3 bulan di London. Teringat malam pertama saya mencuba jadi gelandangan, kalau tak salah dalam bulan Mei ke Jun tahun 1995. Mungkin lebih awal, saya pun dah lupa. Mungkin saya mengambil peperiksaan tahun akhir saya di University College of London dalam keadaan sudah menjadi gelandangan.

Yang saya ingat bawa backpack penuh pakaian berserta sleeping bag juga sebuah gitar kesayangan mencari tempat untuk melelapkan mata di Oxford Street, jalan membeli-belah paling terkenal di tengah kota London. Jalan punya jalan akhirnya saya buat keputusan untuk cuba menginap bersama sekumpulan gelandangan di stesyen kereta api bawah tanah Tottenham Court Road. Gelandangan yang ada ketika itu rata-rata orang punk berambut tajam, berjaket kulit, berantai bagai. Muka dan perangai nampak ganas, tapi boleh diajak berkawan asal tahu 'masuk line'...

Mula-,mula saya layan berbual dan merokok dengan mereka. Nampak ok je. Tapi nak terlelap rasa takut pulak. Kot-kot dirompak atau ditikamnya masa tengah tidur. Setelah beberapa lama lalu dah tak tahan penat saya pun bertawakal melelapkan diri menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT. Alhamdulillah, saya dapat tidur nyenyak dan selesa. Sejak itu saya tidak lagi risau dan takut tidur bersepah di mana-mana di negara orang...




Selasa 24 Julai jam 11.55PM 

THROWBACK VIENNA SUMMER 1995



Tergerak tengok fail lama. Rasa nak share gambo ni dan sedikit cerita. Ni kat Vienna, Austria musim panas 1995. Saya sampai ke sana selepas menginap 3 malam di Brastislava, Slovakia. Di Bratislava saya bermalam bawah pokok menghadap kedutaan Peranchis bersama beberapa orang aktivis Greenpeace. Ketika itu mereka sedang membuat demonstrasi/protes membantah ujian bom nuklear yang dibuat Peranchis di Lautan Pasifik.

Dari Bratislava saya berjalan kaki hampir 11 km sampai ke sempadan negara Austria. Selepas itu baru dapat hitchike menumpang kereta orang dalam 72 km sampai ke Vienna. Menariknya saya diajak naik kereta itu tanpa perlu bersuara meminta izin terlebih dahulu. Seorang wanita muda Slovak yang ditemui di tempat rehat selepas pos imigresyen Austria pula yang menegur saya terlebih dahulu lalu kami berbual-bual bercerita macam-macam.

Nasib baik dia pandai berbahasa Inggeris. Ini kerana sejak memasuki Jerman Timur dari arah Jerman Barat beberapa hari sebelum itu susah saya hendak menemui orang yang boleh bercakap bahasa Inggeris. Terpaksalah gunakan isyarat tangan dan memek muka untuk menyatakan sesuatu. Kebetulan wanita muda tersebut yang merupakan seorang pelajar universiti sedang menunggu boyfriend dia datang dari arah Vienna. Apabila mendapat tahu saya memang mahu bergerak ke arah sana dia pun mengajak naik sama.

Malam pertama di Vienna saya menginap menggunakan sleeping bag dalam sebuah kolong di tepian sungai Little Donau (Danube kecil). Esoknya baru saya betul-betul berjalan melihat pusat bandar raya Vienna, kebanyakannya dengan berjalan kaki merata. Saya kemudian mencari kedutaan Malaysia lalu dapat menumpang tidur di rumah seorang pegawai. Di situlah setelah beberapa hari tak mandi baru saya dapat membersihkan diri sehingga betul-betul cergas dan selesa sebelum menyambung perjalanan menuju ke Salzburg, kota kelahiran komposer musik terkenal dahulukala Wolfgang Amadeum Mozart...



Selasa 24 Julai jam 12.55PM  

LALUAN SOLO TRAVEL HITCHIKE EUROPE SUMMER 1995


Allah! Saya masih dilanda nostalgia perjalanan lama tersebut. Sampai tergerak untuk plot balik laluan menggunakan Google Map tadi. Secara rata dah betul le apa yang saya plot ini, cuma tak campur perjalanan pusing dalam bandar dan beberapa tempat berdekatan juga tak campur perjalanan permulaan dari London ke Calais juga perjalanan balik dari Brussels ke London.

Saya tak dapat plot kesemuanya sebab ada had beberapa tempat boleh disambungkan menggunakan Google Map. London-Calais sendiri dah makan jarak 177 km, Brussels-London 373 km. Campur ini dengan jarak yang dapat saya plot iaitu 4,447 km dah hampir 5,000 km. Kalau campur jarak pusing merata yang tak dapat saya plot, antaranya 3 kali patah balik Jerman Timur ke sempadan Czech kerana ada masalah hendak melepasi pos immigresyen (saya menumpang kereta seorang Jerman ketika itu) harus lebih 5,500 km saya berjalan mengembara seorang diri itu.

Ini tidak menghairankan bagi pengembara biasa yang banyak bertebaran ke Eropah termasuk pada pelajar kita sendiri di luar negara. Beli tiket khas untuk pelajar boleh naik hampir semua kereta api di Eropah selama sebulan, harga dalam £200-250 + £1,000 untuk makan minum,penginapan dan lain-lain pengangkutan merata anda boleh jalan. Ramai pun dah buat. Tapi dengan belanja keseluruhan £180 cover 11 negara dalam tempoh 31 hari? Di situlah terletak kemanisan yang menyebabkan saya berani cakap sedikit sahaja orang yang pernah atau mampu melakukan.

Dalam keseluruhan perjalanan ini cuma ada beberapa segmen aje yang boleh dikira selamat kerana naik pengangkutan awam. Ini adalah perjalanan permulaan naik bas dari London ke Amsterdam (542 km), Amsterdam ke Rotterdam naik bas (65 km), Brno ke Bratislava naik kereta api (131 km), perjalanan balik Brussels ke London (373 km). Jumlahnya 1,111 km. Yang lain semua hitchhike menumpang kenderaan orang di mana saya terdedah kepada risiko diserang dan dirompak orang. Bermakna lebih 4,000 km perjalanan dilakukan dalam keadaan lasak dan berisiko tinggi.

Itu baru satu contoh saya berjalan, daripada fail tahun 1995. Sekarang dah tahun 2018. Dah bermacam-macam lagi perjalanan lasak saya dah buat, cuma belum ada rezeki nak merayap lebih jauh ke luar Asia Tenggara sejak itu kecuali ketika dihantar membuat liputan sukan berkuda di Peranchis tahun 2000 juga umrah dan ziarah ke Mekah dan Madinah pada tahun 2005 dan 2013...



 Selasa 24 Julai jam 4.21PM  · 

SEMAKAN LALUAN DAN JARAK JALAN KAKI DI PARIS 1995



Hari tu saya ada sebut bagaimana di Paris saya telah berjalan kaki sekitar 50 km dalam tempoh satu hari. Tadi saya menyemak laluan menggunakan Google Map berdasarkan tempat-tempat yang saya pasti dan ingat ada singgah. Berdasarkan map saya telah berjalan kaki 51 km sedangkan saya cuma plot apa yang dapat dan ingat. Sebenarnya ada beberapa lagi tempat saya singgah di celah-celah itu menjadikan jarak perjalanan jalan kaki harus 2-3 km jauh lagi daripada itu.

Adapun perjalanan kaki itu dimulakan di Evry, sekitar 30 km ke selatan pusat bandar Paris. Di sekitar itulah saya turun setelah dapat menumpang kenderaan dari kota Lyon 466 km jauh ke selatan.

Ah. Sekarang baru ingat. Saya turun di Evry dekat persimpangan lebuh raya kerana orang yang menumpangkan saya dari Lyon ittu mahu pergi lebih jauh lagi ke luar Paris, tak masuk ke dalam kawasan besar kota. Dari situ saya berjalan kaki sekitar 26 km ke pinggir selatan pusat bandar raya Paris lalu berehat/menginap/bermalam di hadapan pintu gerbang taman suatu tempat bernama Port D'Italie gitu. Esoknya baru menyambung berjalan kaki ke pusat bandar raya kemudian keluar ke utara di St Denis. Apabila disemak balik dengan lebih teliti memang saya berjalan kaki lebih 50 km, dalam 52-53 km gitu. Cuma ia sebenarnya dibuat dalam tempoh 2 hari, bukannya 1.



Rabu 25 Julai jam 3.25PM  

KENANGAN ZAMAN METAL/ROCK LONDON...



Nak cari notebook catatan solo hitchhiking Europe 1995 punya pasal saya pun geledah file zaman UK 1991-1995. Jumpa le beberapa tiket concert. Rasa nak share...



Rabu 25 Julai jam 2.25PM  

DUIT RARE DARIPADA ZAMAN COLD WAR NI...



Tu dia, jumpa duit Yugoslavia dalam file lama. Kalau tak salah orang bagi saya masa kat Bratislava. Masa tu dah 3 tahun gak negara Yugoslavia berpecah (tahun 1992). Tu yang jadi Croatia, Serbia, Bosnia dan apa-apa entah..



Rabu 25 Julai jam 6.57PM  

KENANGAN SOLO HITCHIKING EROPAH MUSIM PANAS 1995 - 
MAHUKAH KALAU DIJADIKAN BUKU?



Alhamdulillah. Jumpa dah notebook catatan perjalanan solo hitchhiking saya ke Europe summer 1995. File berkenaan yang mengandungi sejumlah barang ingatan seperti peta, surat laporan polis (gitar hilang kena curi di Amsterdam) malah resit denda (sebab naik trem tak beli tiket di Bratislava) pun sudah diatur balik dalam fail supaya menurut turutan peristiwa. Mahukah tuan-tuan dan puan-puan beli dan baca jika cerita perjalanan ini dijadikan buku? Sila berikan maklum balas. Harap ada penerbit sudi menerbitkannya....


---------


Di bawah ini adalah update yang baru dibuat di FB beberapa minit tadi...



CEBISAN DARIPADA USAHA PERTAMA PENULISAN BUKU YANG TERKANDAS 21 TAHUN LALU

Salam Jumaat. Ada sedikit perkongsian daripada satu fail lama. Ia merupakan beberapa bahagian awal daripada satu siri cerita pengembaraan saya secara solo hitchhiking di Eropah tahun 1995. Saya menulisnya penghujung tahun 1996 hingga awal 1997 untuk dijadikan buku berbahasa Inggeris bersama Berita Publishing.

Cerita ditulis menggunakan sistem intranet ATEX di pejabat The New Straits Times. Ketika itu saya baru sahaja sebulan dua bertugas sebagai wartawan. Nak dijadikan cerita, setelah beberapa banyak menulis berlaku sesuatu pada sistem. Akibatnya semua fail hilang. Apabila didapati tidak boleh diselamatkan saya pun berhenti menulis tentang perjalanan itu. Saya anggap tidak ada rezeki atau belum sampai masa untuk menulis buku.

Nasib baiklah ada sedikit printout ditemui sebagai ingatan. Untuk makluman saya mula berusaha untuk kembali menulis buku selepas keluar dari NST penghujung tahun 2001. Namun selepas pergi ke Aceh zaman darurat awal tahun 2004 baru dapat menulis sesuatu yang lebih bermakna. Pertengahan 2006 baru diterbitkan buku pertama saya. Itulah buku Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti yang menjadi pembuka trilogi siri...


---------

Perkongsian yang dimaksudkan adalah artikel Remembering the Europe solo hitchiking trip of 1995 again di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Dengan ini saya mengisytiharkan akan memulakan penulisan buku tentang perjalanan tersebut. Kiranya ia menyambung usaha penulisan asal yang pernah terkandas tahun 1997. Bezanya ketika itu saya menulis dalam bahasa Inggeris dalam keadaan diri yang masih agak keBaratan. Kali ini saya akan menulis bahasa Melayu dalam keadaan diri yang lebih keMelayuan sejak beberapa lama...


Tiada ulasan: