Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, April 06, 2024

Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Bergerak ke Perak dengan berkat

Dalam artikel Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Menyelesaikan bacaan Futuhat dan artikel berkenaan yang dipersembahkan pada pagi Khamis 4 April.  ada dinyatakan bahawa ketika itu saya sedang berehat di rumah di Bandar Sungai Buaya, Rawang, setelah kembali dari Janda Baik pada pagi hari sebelumnya. Turut dinyatakan petang Khamis itu insyaallah akan menyambung permusafiran dan iktikaf, kali ini di negeri Perak. Sukacita dinyatakan sekarang sudah 3 hari fasa kedua permusafiran dan iktikaf dilakukan, malam ini masuk malam ke-3. Sekarang saya sedang berada di tepian Sungai Dinding di Lumut. Ada sedikit kelapangan dan kesempatan untuk berkongsi cerita hari pertama ke Perak. Selesai ini mahu berkejar ke Teluk Intan.



Adapun saya kembali dari Janda Baik itu adalah pada pagi Rabu 3 April 2024, dengan membawa bersama anak yang belajar di ma'ahad tahfiz untuk kembali bercuti panjang bagi musim raya. Berehatlah satu malam di rumah, solat Tarawih di masjid kampung berdekatan sebelum bersedia untuk menyambung kembali permusafiran. Petang Khamis 4 April yang tarikh Islamnya adalah 24 Ramadan, selepas menghantar anak ke sekolah agama petang saya pun menuju ke utara melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS). Kiranya sebaik sahaja keluar rumah untuk menghantar anak permusafiran fasa kedua pun bermula.



Ambil susur keluar ke Tanjung Malim lalu singgah beriktikaf di Masjid Sheikh Ismail di Ulu Bernam. Letaknya sekitar 150 meter sebelum jambatan menyeberangi Sungai Bernam yang menjadi sempadan negeri Selangor-Perak. Oh. Sekadar merekodkan keadaan. Permusafiran sebelum ini memakan jarak pemanduan 200 km. Meter kereta sambung daripada situ untuk merekodkan jarak pemanduan seterusnya.



Di Masjid Sheikh Ismail dihabiskan bacaan juz ke-29 Al Quran kemudian disambung sedikit usaha suntingan kali ketiga buku berdasarkan tesis. Rujuk artikel Buku ke-15 dalam pembikinan untuk terbitan lepas raya.



Jam 4.01 petang baru masuk ke Perak.



Singgah pula ke masjid Tanjung Malim.



Dimulakan bacaan Juz ke-30 Al-Quran hingga beberapa muka surat kemudian menunaikan solat Asar berjemaah.



Sambung perjalanan melalui jalan lama...



Didapati hampir 80 peratus perjalanan menuju ke destinasi seterusnya lebih 120 km dari Tanjung Malim adalah dalam keadaan hujan lebat. Ini adalah melalui Sungkai diikuti Langkap dan Chenderong Balai.



Sampai ke Kampung Gajah cuma hujan gerimis. Sampai ke destinasi iaitu makam Sultan Muzaffar Syah I (Sultan pertama Perak, bertakhta 1528-1549) yang berjarak 18 km selepas itu sudah jam 6.46. Alhamdulillah cuaca terang elok. Cuma sudah lewat petang...






Seterusnya ke makam Sultan Muzaffar Syah II (Sultan ke-10 Perak, bertakhta 1636-1653) beberapa kilometer lagi ke arah utara. Sampai pada jam 6.57.






Lagi ke utara singgah ke makam Sultan Muzaffar Syah III (Sultan ke-13 Perak, bertakhta 1728-1752). Maklumat yang berserta dengan gambar menunjukkan saya sampai jam 7.10.



Cukuplah ziarah ke makam tiga Sultan bernama Muzaffar ini sebagai mewakili ziarah ke makam beberapa ramai orang Sultan Perak yang makam-makam mereka berada dalam laluan perjalanan tetapi tiada kelapangan untuk singgah. Saya pernah pergi semua. Ia memakan masa beberapa jam.



Selesai ziarah ke makam Sultan Muzaffar III baru berkejar untuk berbuka puasa di masjid jamek Parit. Alhamdulillah sempat sampai ketika azan Maghrib baru berkumandang.






Hampir masuk waktu Isyak singgah beriktikaf di Masjid Pulau Semat, Manong...



Bacalah Surah Yasin seperti kebiasaan setiap malam Jumaat sebelum solat berjemaah.



Untuk solat Tarawikh pula berkejar ke  Masjid Ridzwaniah, Kuala Kangsar.






Selepas itu saya pergi merata di Kuala Kangsar kerana hendak mencari laksa sarang. Teringin hendak makan. Sayang kedai-kedai jual laksa semua didapati tutup kerana bulan puasa. Selepas jam 12 tengah malam baru sampai ke surau ini untuk berehat dan menginap.


Khamis, April 04, 2024

Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Menyelesaikan bacaan Futuhat dan artikel berkenaan

Salam pagi Khamis 24 Ramadan. Adapun saya sedang berehat di rumah di Bandar Sungai Buaya, Rawang setelah kembali dari Janda Baik pagi semalam. Petang karang insyaallah akan menyambung permusafiran dan iktikaf, kali ini di negeri Perak. Sebelum itu biar disambung cerita daripada artikel Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Asbab tayar pancit



Awal pagi Selasa 2 Mac 2024 bersamaan 22 Ramadan 1425 Hijriah. Keadaan sewaktu hendak memulakan solat Subuh berjemaah di surau tempat saya beriktikaf dan bermalam iaitu di Kampung Sum Sum, Janda Baik.



Malam itu tiada orang datang untuk berQiamulail, mungkin kerana hujan lebat. Sekitar jam 8.30 pagi tergerak untuk mengambil gambar ini lalu meletakkan di Facebook berserta teks berikut :-


MENGHARAPKAN PEMBUKAAN DARI MEKAH
Seingat saya pertama kali membaca kitab Al-Futuhat Al-Makkiyah (Pembukaan di Mekah) tulisan Ibnu Arabi (hidup abad ke-13 Masihi), dalam bentuk terjemahan ke bahasa Inggeris di rumah seorang ibu saudara ketika berumur awal 20an, lebih 30 tahun lalu. Banyak perkara-perkara pelik melibatkan ilmu Tasawuf dan keTuhanan diceritakan hasil pengalaman peribadi beliau di hadapan Ka’abah di Mekah. Dua tahun lalu baru membeli sendiri senaskah terjemahan yang dihasilkan tahun 2016. Tetapi baru 3 minggu kebelakangan mula menelaah. Ini disebabkan kitab Futuhat menjadi rujukan utama seorang sarjana dalam membincangkan sifat masa, satu perkara yang sedang dalam kajian saya untuk cadangan tesis PhD akan datang.
Buku itu tebalnya lebih 600 muka surat. Setelah membaca bahagian awal baru tahu ia sebenarnya cuma mewakili 1 sahaja daripada 37 kumpulan tulisan yang membentuk keseluruhan Futuhat, semuanya melebihi 10,000 muka surat! Dalam tempoh 3 minggu kebelakangan itu saya baca secara bergilir dengan sejumlah artikel moden melibatkan masa dan penciptaan alam menurut faham sarjana berkenaan berdasarkan kajian beliau setelah membaca seluruh Futuhat juga beberapa kitab lain tulisan Ibnu Arabi, dalam bahasa Arab. Sambil itu juga diteruskan usaha mengaji sekurang2nya 1 juzuk Quran proses khatam bagi bulan Ramadan.
Kini, pada pagi ini yang sudah masuk tarikh 22 Ramadan , buku tinggal lagi 56 muka surat untuk selesai, artikel tinggal 7 daripada 95. Bacaan Quran pula sudah dapat hingga setengah Juz 27. Pada ketika ini sudah masuk 4 hari 3 malam saya keluar bermusafir seorang diri tidur di masjid2. Esok insyaallah baru balik rumah sebelum keluar lagi bermusafir 4 hari 3 malam menyambung iktikaf bagi 10 malam terakhir Ramadan.
Besar kemungkinan bacaan buku dan artikel dapat diselesaikan sebelum balik rumah esok. Khatam Quran pula mungkin harus menunggu sehingga hari Jumaat, pada sesi sambungan permusafiran. Semoga usaha ini akan membawa kepada “pembukaan dari Mekah” dalam masa terdekat. Doakan. 🙂




Ya. Sepanjang 3 minggu kebelakangan buku Futuhat yang begitu tebal itu selalui menemani  ke mana-mana dalam usaha untuk menelaah sehingga selesai. Sambil itu juga dibaca sejumlah artikel berkenaan secara atas talian, sambil juga berusaha untuk mengkhatamkan Al-Quran. Kelihatan satu sudut yang menjadi tempat saya menelaah, membaca juga bersantai Di situlah juga tidur apabila terasa begitu penat.




Pandangan damai ke luar tingkap.




Ada masa duduk menghadap tingkap ada masa membelakangkan untuk bersandar pada dinding bawah tingkap sambil menelaah buku atau membaca Al-Quran juga artikel. Dapatlah menulis dan menyiapkan artikel Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Bergerak ke Janda Baik daripada kedudukan berkenaan.




Selepas jam 4 petang baru bersedia untuk meninggalkan surau. Ketika itulah disedari tidak pernah mengenengahkannya dalam  blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Maka diambillah sejumlah gambar untuk dijadikan artikel. Lihat Surau (Small praying hall of) Kampung Sum Sum, Janda Baik.


Saya mahu bergerak ke satu surau lain yang mahu dijadikan tempat iktikaf dan bermalam seterusnya di Janda Baik.




Sebelum itu mahu mencari satu bahagian yang belum pernah disinggahi untuk meneruskan bacaan Al Quran.




Di bahagian yang jalan di hadapannya mungkin pernah lalu sekali dua, yang pasti memang belum pernah berhenti singgah itu, juga disambung bacaan dan menelaah artikel-artikel atas talian yang diharap dapat membantu penulisan cadangan tesis PhD akan datang, insyaallah.




Dan seperti biasa sejak 3 minggu kebelakangan digilirkan dengan bacaan buku Futuhat, atau lebih tepat, terjemahan beberapa bab ke dalam bahasa Inggeris edisi tahun 2016.




Dekat nak masuk Maghrib baru ke surau seterusnya.




Di situlah berbuka dengan makanan ringan kemudian bersolat Maghrib berjemaah. Selepas menyambung dengan makanan berat sambung lagi bacaan Futuhat.




Juzuk ke-27 Al Quran sudah berjaya diselesaikan ketika di tepi sungai yang belum pernah disinggah sebelum itu. Begitu juga bacaan artikel yang dicapai melalui satu laman sesawang (yang disebut atas tadi ada 7 artikel lagi daripada 95 tinggal pada waktu pagi). Untuk bacaan Futuhat selepas selesai solat sunat Tarawikh dan Witir baru ada kesempatan untuk menyambung lagi. Alhamdulillah masuk jam 11.10 malam barulah selesai. Semoga selepas itu mendapat Futuhut (pembukaan Ilahi) yang dicari-cari. Amin.


Rabu, April 03, 2024

Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Asbab tayar pancit

Adapun pagi ini 3 April 2024 bersamaan 23 Ramadan 1445 masuklah hari ke-5 saya keluar bermusafir bagi 10 malam terakhir Ramadan. Jam 9 pagi karang harus mengambil anak di ma'ahad tahfiz di Janda Baik untuk bercuti panjang. Oleh itu, sementara ada kelapangan dan kesempatan viar dilepaskan terlebih dahulu cerita hari ke-3 perjalanan. Bersambung daripada Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Bergerak ke Janda Baik.



Awal pagi Isnin 1 April 2024 bersamaan 21 Ramadan 1445 Hijriah. Menunggu solat Subuh berjemaah di masjid jamek Janda Baik. Pada malam sebelumnya saya telah menunaikan solat Tarawikh berjemaah di tahfiz bersama anak. Selepas itu baru ke masjid ini untuk beriktikaf dan bermalam.



Apabila naik matahari didapati tayar hadapan kanan kereta pancit. Sebetulnya sampai sahaja Janda Baik petang hari sebelumnya saya telah menyedari tayar kurang angin. Fikirnya nanti boleh cari stesyen minyak (terdekat di pekan Bukit Tinggi, keluar dari Janda Baik) atau bengkel kampung untuk tambah angin (jika ada). Bila dah pancit nak tak nak kena tukar ke tayar spare.

Nasib baik tayar spare ada angin. Dan nasib baik ada orang masjid dapat membantu. Nasib baik juga semua peralatan yang diperlukan ada dalam kereta. Saya sendiri sudah lama tidak menukar tayar kereta lalu kurang ingat cara. Kalau setakat kurang angin dekat-dekat rumah boleh pam dahulu di bengkel motosikal berdekatan, sekitar 2 km dari rumah kemudian ke kedai tayar lagi 11 km untuk diperiksa.

Orang masjid itu rupa-rupanya bekerja dengan lembaga lebuh raya lalu tahu selok belok menukar tayar. Walaupun tukar tayar, bukak screw, jack naik kereta dan sebagainya dibuat sendiri tanpa panduan beliau mungkin saya harus terkial-kial lama memikirkan dan mencuba bagaimana untuk melaksanakan perkara.




Selesai itu menyambung rehat di masjid. Maklumlah malam itu ada buat Qiamulail agak lama bermula sebelum jam 4 pagi kemudian bersengkang mata sehingga jam 8. Padahal malam itu dekat jam 1 baru dapat melelapkan mata. Maka itu selepas jam 12 tengah hari baru meninggalkan masjid. Fikirnya mahu membuat tulisan di CATATAN SI MERAH SILU dari perpustakaan kampung tapi ia tutup.




Maka berjalan-jalanlah mencari tempat yang dirasakan sesuai dan cukup aman.







Alhamdulillah dapat satu tempat cantik di tepi sungai lalu dipersembahkanlah cerita hari pertama perjalanan. Lihat Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Membuka dengan wacana Imam Ghazali di ISTAC.



Selepas itu berjalan-jalan lagi ke bahagian lain Janda Baik.




Jumpa lagi tempat yang dirasakan sesuai untuk berehat aman, bersendiri tiada gangguan orang. Siap mandi sungai lagi.




Sebetulnya di setiap tempat henti saya membaca beberapa muka surat Al-Quran bagi meneruskan proses pengkhataman bagi bulan Ramadan. Sambil itu turut menelaah sebuah buku tebal serta artikel-artikel imiah berkenaan (akan diceritakan dalam artikel perjalanan ini yang seterusnya).



Jam 5.43 sampai ke surau ini yang menjadi tempat solat Tarawikh juga bermalam seterusnya. Asbab tayar pancit yang memaksa untuk menukar ke tayar spare saya tidak keluar daripada persekitaran Janda Baik hingga sekarang (ketika tulisan ini dibuat pagi Rabu 3 April). Kalau tidak kerana itu mungkin saya akan membawa kereta dengan tayar angin kurang untuk diisi di pekan Bukit Tinggi, luar dari Janda Baik. Kalau itu berlaku ada kemungkinan saya akan meneruskan perjalanan lalu bermalam ke arah Bentong, hingga ke Raub pun boleh jadi.


Nota : Tadi baru tersedar saya tersilap menulis tahun Hijriah kini sebagai tahun 1425.  Padahal yang sebenar adalah 1445. Bahkan kesilapan ini tertera pada tajuk induk siri cerita perjalanan ini sendiri. Bukan sahaja itu. Didapati kesilapan ini turut berlaku dalam beberapa artikel CATATAN SI MERAH SILU sejak masuk bulan Muharam pada Julai 2023 lalu harus diperbetulkan. Alahai.

Timbul rasa untuk memeriksa apakah berlaku pada tahun 1425 Hijriah. Didapati hari pertama tahun Islam itu harus jatuh pada 21 Februari 2004, kalau lari pun cuma sehari dua. Ketika itu saya sudah hampir sebulan kembali daripada perjalanan pertama ke Aceh.


Selasa, April 02, 2024

Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Bergerak ke Janda Baik

Salam petang Selasa 22 Ramadan 1445 Hijriah. Meneruskan cerita permusafiran yang sedang berlaku sekarang. Bersambung daripada artikel Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Membuka dengan wacana Imam Ghazali di ISTAC.



Awal pagi Ahad 31 Mac 2024. Suasana ketika menunggu solat Subuh berjemaah di masjid Kampung Sungai Chinchin, Gombak.



Sebelum itu saya telah menyertai jemaah membuat Qiamul Lail. Cuma terlewat menyertai disebabkan tidur dalam bangunan makam di luar masjid lalu lambat tersedar ia sudah bermula.




Suasana di luar masjid setelah matahari naik...







Selepas jam 10 baru bergerak meninggalkan kawasan.




Singgah beriktikaf di masjid ini pula. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Gombak Utara dblogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Jam 12 baru keluar lalu meninjau kawasan sekeliling.



Selepas beberapa lama baru meneruskan perjalanan ke arah Janda Baik melalui jalan lama.




Dapatlah melihat perkembangan projek ECRL (laluan kereta api pantai timur) di beberapa tempat...



Jam 12.47. Berhenti untuk mandi di sebuah air terjun kecil di kawasan pergunungan. Lihat Small waterfall at 18th mile of Jalan Gombak di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Seterusnya naik puncak bukit untuk melihat pemandangan.  Lihat Karak highway from vantage points near Genting Sempah.




Sejurus sebelum sampai ke simpang masuk ke Janda Baik terasa hendak meninjau satu kawasan yang pernah teruk dilanda tanah runtuh dan limpahan air lumpur selepas hujan lebat. Lihat artikel The rapids near the junction to Janda Baik.




Jam 2.37 baru masuk pintu gerbang ke Janda Baik.




Singgah beriktikaf di surau ini, tempat pertama disinggahi di Janda Baik kali ini.




Selepas jam 4 baru meneruskan  perjalanan.




Pergi ke tepian salah satu sungai di Janda Baik untuk bersantai juga menyambung bacaan untuk cadangan tesis PhD akan datang insyaallah.







Selepas itu baru menunaikan tujuan utama ke Janda Baik...




Iaitu mengikuti hari terakhir majlis daurah kitab di tahfiz tempat anak mengaji Al-Quran...