Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, September 18, 2018

Mengenang Sebab Sebenar Kejatuhan Melaka - Tentang Teknologi Senjata Api Melayu dan Perbalahan Dalaman yang Dahulu Tidak Pernah Disebut Orang

Salam semua. Tadi timbul gerak untuk menaikkan artikel lama Sebab sebenar kejatuhan Melaka yang dikongsikan di blogspot ini hampir 12 tahun lalu ke Facebook. Namun timbul masalah kerana review untuk artikel tidak dapat dimuatnaik ke FB atas sebab tertentu. Untuk mengatasi masalah biar isi artikel dipersembahkan kembali menjadi satu artikel baru.

Saya tergerak untuk menaikkan isi artikel lama yang merupakan artikel ke-4 dalam blogspot ini yang kini memiliki lebih 1,700 buah artikel sendiri kerana memikirkan bagaimana kesedaran sejarah anak Melayu sudah jauh berubah sejak itu. Dahulu hal kejatuhan Melaka akibat perbalahan dalaman tidak pernah disebut orang, sekurang-kurangnya dalam wadah umum. Yang asyik disebut adalah Melaka kononnya ketinggalan zaman daripada segi persenjataan. Tidak ada diberitahu kepada umum bahawa Melaka sudah memiliki teknologi senjata api yang setanding dengan Barat ketika Portugis datang menyerang tahun 1511.

Di sini saya juga mengambil peluang untuk memperbaiki persembahan daripada segi spacing, justify dan sebagainya agar cerita lebih muda dibaca. Berikut adalah isi artikel yang sudah diperbaiki persembahannya...


Lakaran perang Aceh-Portugis di Melaka tahun 1629 Masihi


Assalamualaikum warahmatullah hi ta'ala wabarakatu.

Salah satu sebab utama saya memberanikan diri menulis buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" yang isinya menongkah arus zaman walaupun ramai memberi peringatan ia mungkin tidak akan memberi apa-apa keuntungan malah belum tentu lagi dapat mengembalikan modal adalah untuk memperjuangkan beberapa perkara yang saya yakin penting untuk mengembalikan jati diri sebenar bangsa Melayu Islam. Salah satu perkara tersebut ialah sejarah Melayu yang digelapkan. Kenapa sebut digelapkan? Kerana saya percaya banyak sebenarnya yang kita tidak tahu tentang kekuatan sebenar bangsa kita dahulukala. Dan memang ada pihak berkepentingan yang tidak mahu kita tahu.

Pihak yang mana? Banyak. Paling utama adalah penjajah Barat pro Zionis, disokong para pemikir Orientalis. Bersama, mereka amat berkuasa menentukan arah hala-tuju sosio-politik dunia di samping mengawal kurikulum pelajaran sejagat lalu menulis sejarah termasuk tentang tanah air kita mengikut kaca mata dan kepentingan mereka sahaja. Saya juga percaya, rangkaian Zionis serta sekutu mereka yang bergerak di balik tabir sambil memakai pelbagai topeng muluk seperti persatuan membela hak asasi manusia dan gerakan politik pembaharuan amat arif akan ilmu jiwa dan sosiologi yang diperlukan untuk meneruskan agenda penggelapan. Ini kerana mereka memang mahukan umat Islam sentiasa merasa kerdil dan celaru jati diri akibat kurang faham hakikat asal usul kita yang sebenar.

Kita sering disogokkan dengan sejarah "rasmi" bahawa keSultanan Melaka yang merupakan simbol kegemilangan bangsa Melayu dahulukala jatuh ke tangan Portugis kerana ia bersifat kuno berbanding kuasa Barat. Kita diajar, budaya ilmu kita tidak sehebat Barat maka itu kita tidak mampu menepis kedatangan mereka. Kita diberitahu berulang-kali, kita kalah kerana pejuang kita cuma mengharapkan keris, tombak dan pedang sedangkan Portugis dan bangsa-bangsa Barat lain memiliki pistol, senapang dan meriam yang mampu membunuh daripada jauh. Maka itu, kita pun digambarkan seperti orang hutan yang duduk atas pokok lalu "sudah patutlah" kita dikalahkan dengan senang. 

Betulkah semua ini? Pernahkah kita fikirkan apakah kebenarannya secara mendalam?

Catatan ketua panglima Portugis, Alfonso di Alburqueque sendiri menyebut, setelah Kota Melaka dikalahkan, Portugis telah merampas 3,000 pucuk meriam dan katanya itu baru separuh daripada meriam milik Melaka. Maknanya kota itu sudah ada 6,000 pucuk meriam ketika itu dan ini adalah cerita 500 tahun dahulu! Ada cerita menyebut, orang Portugis terjumpa sebuah benda ajaib di istana Melaka. Bila dipandang objek tersebut, muncullah muka manusia di dalamnya. Apabila diteliti balik, muka manusia itu adalah muka orang yang memandang... Rupa-rupanya objek itu adalah cermin tetapi orang Portugis baru kali pertama melihatnya! Jadi siapakah yang kuno dan siapakah yang lebih bertamadun? Kalau orang Melaka sudah bertamadun lebih tinggi daripada Portugis, kenapa pula ia boleh jatuh ke tangan Barat?

Buku "Berpetualang ke Aceh" cuba mengajak bangsa Melayu supaya memikirkan perkara ini dan mengukur balik sejarah "rasmi". Beberapa bulan lepas, sedutan berkenaan sebab sebenar kejatuhan Melaka ini pernah dibangkitkan dalam website terpilih di Internet dan telah mendapat reaksi yang menggalakkan. Maka biarlah ia dibangkitkan lagi supaya perjuangan membongkar balik kebenaran agar yang bathil gugur dengan sendirinya dapat diteruskan. Insyaallah! Berikut adalah sedutan berkenaan daripada buku yang terbit Jun 2006 :-


===============


Pernahkah anda bertanya secara jujur, mengapa Kota Melaka yang digelar Barat sebagai “Venice of the East” boleh kalah dengan mudah? Bukankah ia diakui ramai sebagai kota paling makmur di rantau ini pada zaman itu? Dan untuk mempertahankannya, bukankah Melaka memiliki angkatan perang hebat termasuk kelengkapan laut yang amat besar dan paling canggih di bumi Melayu? Lalu bagaimana ia boleh jatuh ke tangan Portugis yang menurut ceritanya cuma membawa beberapa buah kapal sahaja? Apakah kelengkapan Melaka begitu lemah?


Sejarah rasmi sering menyebut Melaka jatuh kerana kelengkapan moden angkatan Portugis mengatasi kelengkapan kuno orang Melayu. Mereka memiliki meriam-meriam berkuasa tinggi, istinggar (pistol lama), baju dan perisai besi sedangkan orang Melayu kononnya cuma mengharapkan tombak, lembing, pedang dan keris. Pakai pula baju Melayu yang senang dirobek senjata. Orang Portugis pakai baju besi yang tidak lut dek keris. Mana tak Melayu kalah? Kuno dan mundur ketinggalan zaman...

Tetapi tanyalah diri anda secara jujur. Apakah orang Melaka yang ketika itu telah lama menerima para pengunjung dan pedagang dari peradaban-peradaban besar seperti empayar Islam di Timur Tengah, China dan India begitu daif dan mundur? Kita telah lama menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara yang jauh lebih maju daripada Barat zaman itu. Apakah orang Melayu tidak mengerti keperluan pertahanan untuk menjaga sebuah kota yang menjadi nadi perdagangan Nusantara malah seluruh dunia? Apakah bangsa kita begitu kolot dan bodoh?


—————————


“Tidak. Melaka jatuh bukan kerana orang Melayu kuno,” Rasyid bercerita ala seorang pejuang bangsa di hadapan beberapa orang kenalan lain pula. “Dahulu lagi Melaka sudah memiliki meriam dan istinggar yang boleh dibeli dari Timur Tengah atau Cina, sudah kenal apa itu baju besi. Malah aku yakin orang Melayu sudah mampu membuat semua alatan perang ini sendiri. Ingat Melayu dahulu bodoh sangatkah?”

“Mereka yang memilih untuk berlawan dengan keris, tombak dan lembing pula bukan calang-calang orang,” dia meneruskan. “Bukan tidak pernah melihat senjata moden atau berfikiran kuno. Percaya atau tidak, mereka memiliki kebolehan tertentu untuk mengatasi alatan canggih.”

Angkatan laut Melaka yang sering meronda sepanjang Selat Melaka, laluan dagang tersibuk di dunia sampai sekarang pula diakui kecekapannya. Di bawah kepimpinan tokoh-tokoh berwibawa seperti Bendahara Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah, ia telah berjaya memukul mundur armada laut Siam, juga ancaman mana-mana pihak...

“Bukankah ia cukup besar dan kuat untuk menjamin keselamatan penduduk, pendatang dan pedagang sepanjang Selat Melaka?” Rasyid mengutarakan. “Mampu meronda dari utara Semenanjung sehingga selatan ke Pulau Jawa, memantau dan menghidu pergerakan musuh sebelum mereka dapat menghampiri pusat pemerintahan di Kota Melaka?”

Lalu bagaimana Kota Melaka boleh jatuh? Lebih pelik lagi, di manakah angkatan laut Melaka ketika ia diserang? Satu soalan cepumas yang membuat ramai kenalan pemuda itu ternganga...

“Bacalah mana-mana buku cerita atau sejarah mengenai kejatuhan Melaka termasuk tulisan Barat yang berat sebelah,” dia mencabar pula. “Angkatan laut ini langsung tidak terlibat sehingga Melaka dengan senangnya boleh dibedil Portugis dari laut. Tidak ada satu pun kapal Melaka menghalang, tidak ada apa-apa sekatan. Tidakkah ini aneh?”

“Inilah akibatnya bila raja yang bodoh dan rakus diangkat menaiki takhta sementara pembesar yang korup diharap menjaga negara.” Rasyid terus bercerita. “Mereka yang benar-benar berkebolehan dipinggirkan sedangkan pembesar berwibawa yang masih ada menjadi tawar hati. Bagaimana jentera pertahanan hendak digerakkan dengan cekap? Mungkin penduduk Melaka sendiri serta para pedangang luar sudah siap sedia membelot, membuka laluan untuk Portugis menawan Melaka? Atau memang sudah lama wujud gunting dalam lipatan yang inginkan Melaka jatuh sehingga angkatan laut Melaka tidak berfungsi sama sekali?”

Ada cerita lama orang tua-tua Melayu menyebut kebanyakan kapal yang menyerang Kota Melaka sebenarnya bukan milik Portugis tetapi Melayu, kapal angkatan laut Melaka juga! Rasyid juga pernah terbaca, tidak ingat di mana, sebuah laporan Portugis pula menyebut mereka ada ternampak sebuah angkatan laut yang dikenalpasti milik orang Melayu sedang disediakan untuk menyerang dari satu tempat di perairan Melaka. Mungkin benar Tun Mutahir sedang bersiap-sedia untuk merampas takhta atau ada pihak lain bertanggungjawab tetapi menuduh Bendahara pula yang ingin berlaku khianat? Yang pasti, ada pihak yang membelot...

Apapun, nasi sudah menjadi bubur. Melaka jatuh dan terus dijajah selama lebih 400 tahun. Sultan Mahmud pula menjadi orang pelarian dan menurut ceritanya, terpaksa meninggalkan Kota Melaka lari selatan ke Muar. Itupun terus dikejar Portugis, tidak boleh duduk aman lama di satu lokasi, terpaksalah hidup merempat dari satu tempat ke satu tempat. Apakah dia menyesal atas segala perbuatannya dahulu?

“Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna!” Rasyid menambah seraya bermadah pula. Madah berhelah agaknya... “Hendak kata dia menyesal pun tidak pasti kerana dalam pelarian itulah Sultan Mahmud sempat membunuh anak kandungnya sendiri, Raja Ahmad!”


Tiada ulasan: