Salam petang Jumaat 13 Muharram 1446 Hijriah. Kalau ikutkan artikel ini yang bersambung daripada Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Menjejak tempat punca nama anak mahu ditulis dan dipersembahkan paling cepat pun esok petang Sabtu. Tetapi apabila menyedari tarikh cantik 13 Muharram terasa elok dilepaskan hari ini.
Pagi Selasa 9 Julai 2024 bersamaan 3 Muharram, selepas bermalam di rumah kawan di pinggir selatan bandar raya Ipoh saya pun membawa anak pergi ke tempat seterusnya.
Ia adalah Mahkamah Tinggi Syariah negeri Perak. Saya mahu mendengar keputusan kes faraid Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang sudah beberapa kali ditangguhkan dan inilah tujuan utama perjalanan terbaru ke Perak dibuat.
Gambar ini pula diambil jam 12.17 tengah hari di sebuah restoran mamak berdekatan, selepas selesai mendengar keputusan kemudian berbincang dengan saudara mara juga peguam kami tentang keputusan.
Sebetulnya keputusan kurang memuaskan. Moyang kami Orang Kaya Arsyad bin Laksamana Muhammad Amin (bagi saya yang lebih tepat adalah datuk kepada datuk) diisytiharkan telah meninggal dunia awal sebelum ayahnya meninggal tahun 1904. Walaupun kami ada membawa buku malah dokumen istana yang menyatakan Arsyad ada naik menjadi Laksamana ke-13 Perak pada tahun 1917.
Bukti-bukti kami ditolak atas alasan after thought. Saya tak mahu ulas sangat apa yang dimaksudkan. Cuma bahasa mudahnya suatu penemuan atau dapatan boleh ditolak kalau dibuat beberapa lama selepas perbicaraan bermula. Ia boleh dianggap sebagai sesuatu yang dibuat-buat kemudian untuk menyokong hujah.
Adinda seibu sebapa OK Arsyad, Aminah yang anak cucunya diwakili peguam lain juga diisytiharkan sebagai mati lebih awal. Yang ini sekurang-kurangnya nampak jelas kenapa boleh diputuskan begitu. Ini kerana pihak mereka mengemukakan salinan paspot haji dan tiket yang ada tertera nama Aminah bagi menunjukkan beliau meninggal dunia di Mekah pada tahun 1924. Masalahnya tidak ada dinyatakan Aminah itu berbintikan siapa dalam dokumen-dokumen tersebut.
Selain itu mereka juga telah mengemukakan rekod belanjawan zaman British bagi beberapa tahun untuk berhujah bahawa Aminah bahawa masih hidup ketika bapanya meninggal dunia. Yang ini saya tahu sejak awal salah. Kerana tahu dan jelas Aminah manakah yang disebut dalam dokumen, balu kepada Raja Muda Musa ibni Sultan Ja'afar Perak.
Satu lagi nama yang dinyatakan mahkamah sebagai anak Laksamana Muhammad Amin yang meninggal awal adalah Ahmad Sharif. Ini adalah berdasarkan wujudnya satu dokumen tanah tahun 1925 yang dikemukakan pihak lawan (responden) menyatakan dengan jelas beliau meninggal dunia pada 29 Disember 1897.
Peguam pihak ini cuba menolak dokumen dengan mengemukakan satu laporan kajian batu nesan di Teluk Intan sebagai menunjukkan Ahmad Sharif itu meninggal dunia 1936. Ini tertera sebagai tahun Hijriah 1355 pada batu nesan berkenaan. Namun nama yang terpahat dalam tulisan Jawi adalah Ayub Sharif bin Haji Amin Muhammad. Tidak ada perkataan Laksamana.
Peguam sama turut mewakili satu cabang keturunan OK Arsyad yang wakil atau ketua jalurnya tidak mahu bersama kami. Beliau mengemukakan laporan batu nesan yang dibuat pihak sama untuk menyatakan OK Arshad meninggal dunia tahun 1918 seperti dinyatakan pada satu makam di Batak Rabit, Teluk Intan sebelah masjid warisan keluarga (lihat
Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Menjejak laluan pertama ziarah makam bersama anak). Namun kami telah menyemak ia sebenarnya adalah milik seseorang yang dikenali sebagai Tok Tambah, anak kepada Laksamana Hussin yang bersemenda dengan keluarga Panglima Kinta. Laksamana ke-12 Perak ini adalah saudara dua pupu kepada Laksamana Muhammad Amin.
Hakim dan mahkamah telah menolak laporan batu nesan. Alasan yang saya ingat adalah kerana pihak yang didatangkan ke lapangan untuk mengkaji boleh dipengaruhi pihak berkepentingan (agar laporan menyokong dakwaan mereka). Yang pasti, semasa perjalanan perbicaraan pakar yang namanya digunakan untuk mengeluarkan laporan sudah mengaku tidak hadir di lapangan. Yang dihantar cuma para pelajarnya sahaja. Beliau cuma mengesahkan laporan.
Pada kami elok pun ditolak kerana sejak awal tidak bersetuju dengan laporan. Yang jadi masalah adalah ketua jalur berkenaan, yang tidak mahu bersama kami majoriti anak cucu Arsyad, menolak bahawa moyang kami itu pernah menjadi Laksamana Perak. Menurut beliau tidak ada cerita sebegitu dalam kalangan keluarga beliau (padahal ada cabang lain keluarga yang pernah mendengar cerita sebaliknya). Bantahan beliau (kerana mahu sangat berpegang pada laporan batu nesan) ada disebut oleh hakim dan nampaknya menjadi sokongan untuk menolak dokumen yang kami kemukakan daripada istana.
Sekali lagi biar dinyatakan, dengan itu Arsyad, Aminah dan Ahmad Syarif diisytiharkan sebagai meninggal dunia awal. Kalau ikut hukum faraid biasa tak boleh dapat bahagian daripada harta Laksamana Muhammad Amin lalu anak cucu pun tak dapat. Namun mahkamah memutuskan agar dianugerahkan kepada peringkat cucu Muhammad Amin apa yang dipanggil sebagai Wasiat Wajibah. Dengan itu anak-anak kepada Arsyad, Aminah dan Ahmad Syarif boleh mendapat 1/3 daripada keseluruhan harta Muhammad Amin. Inilah yang boleh diturunkan kepada anak cucu mengikut hukum faraid biasa.
Sebetulnya ada lagi 2-3 perkara kami bangkitkan, antaranya tentang orang yang dikatakan anak kandung Laksamana Muhammad Amin namun kami telah menemui bukti berupa surat sumpah orang itu sendiri menyatakan beliau lahir tahun 1907 sedangkan Muhammad Amin meninggal dunia tahun 1904. Ini tidak disentuh langsung dalam penghakiman. Mungkin kerana secara teknikalnya perbicaraan adalah cuma untuk menentukan apakah Arsyad, Aminah dan Ahmad Syarif layak mendapat bahagian faraid harta Laksamana Muhammad Amin. Lain-lain hal yang muncul dalam perbicaraan boleh diketepikan.
Saya rasa cukuplah bercakap tentang keputusan. Selepas makan tengah hari bersama saudara mara saya membawa anak beriktikaf ke Masjid Panglima Kinta, kemudian ke Hoga Tea Valley dekat Gopeng kemudian ke masjid Kampung Gunung Mesah Hilir. Kemudian mencari satu tempat berbatu-batu besar yang rupanya perlu naik ke lereng gunung berdekatan bandar Kampar. Semua ini ada dalam gambar-gambar atas menurut turutan.
Jam 6.30 petang baru sampai ke pusat peranginan Sungai Bil dekat Ulu Slim. Sedangkan ini merupakan tempat utama mahu dibawa anak selepai selesai urusan di mahkamah.
Dekat waktu Mahghrib sampai ke bandar Tanjung Malim lalu menunaikan solat Maghrib di masjid situ.
Masuk kembali ke negeri Selangor singgah dahulu di masjid lama di Ulu Bernam. Oh, seperti biasa apabila sampai ke suatu masjid saya mesti beriktikaf walau cuma beberapa minit. Paling kurang akan buat solat Tahiyatul Masjid. Kalau lama akan baca Al-Quran dan solat wajib. Apabila penat lelaplah sampai rasa cukup rehat sebelum menyambung kembali perjalanan.
Apabila sampai ke rumah jam 9 malam didapati saya telah memandu sejauh 645 km. Selesai cerita perjalanan, alhamdulillah. :]
Nota tambahan (dibuat jam 8.39 malam) : Baru teringat. Saya tidak memberikan latar belakang kes perbicaraan tentang harta faraid Laksamana Muhammad Amin. Kenapa pihak saya dan lain-lain yang disebut itu masuk dalam perbicaraan? Sebetulnya ada disebut sedikit dalam artikel-artikel sebelum ini tentang perjalanan perbicaraan. Tetapi untuk memudahkan pemahaman biar diceritakan seperti berikut.
Perbicaraan berlaku untuk menentukan sama ada 3 orang anak Laksamana Muhammad Amin yang dinyatakan seperi berikut - OK Arshad, Aminah dan Ahmad Sharif - masih hidup ketika Muhammad Amin meninggal dunia tahun 1904 lalu layak menerima bahagian faraid daripada harta almarhum di mana-mana sahaja, bukan sekadar di Mekah seperti disebut dalam artikel-artikel sebelum Ini. Ini adalah kerana pihak lawan iaitu responden telah lebih awal memohon kepada mahkamah untuk menerima mereka sahaja sebagai waris-waris yang layak menerima faraid - atas alasan mereka sahaja yang datang daripada keturunan anak-anak juga isteri yang masih hidup ketika Laksamana meninggal dunia, anak-anak lain telah lebih awal meninggal dunia. Lalu ini telah diputuskan oleh mahkamah pada tahun 2018. Difahamkan mereka pun mula bergerak berurusan dengan pihak berkenaan di Mekah bagi mendapatkan pampasan.
Pihak kami datang kemudian setelah menyedari wujudnya tuntutan sebegitu rupa. Sedangkan kami tidak pernah dimaklumkan tentangnya ketika ia berlaku. Lalu pada tahun 2020 mahkamah rayuan membenarkan pihak kami masuk sementara mahkamah syariah membuat semakan lalu diadakan perbicaraan baru. Namun pokok pangkalnya, pihak lawan tetap menolak kami lalu bersungguh-sungguh mahu menegaskan ketiga-tiga OK Arshad, Aminah dan Ahmad Sharif telah meninggal dunia awal lalu tidak layak menerima bahagian faraid, maka begitu juga anak cucu keturunan mereka. Kami mengatakan sebaliknya. Itulah sebabnya berlaku perbicaraan sejak beberapa tahun lalu.