Gambar makam Sheikh Shamsuddin as-Sumatrani di Kampung Ketek, Melaka yang diambil April lalu.
Assalamualaikum para pembaca sekalian. Adapun, setelah membuat posting ke 131 iaitu posting sebelum ini, satu nombor yang entah kenapa membawa makna home sweet home untuk diri ini, saya bercadang untuk berehat seketika. Rancangnya, saya mahu menunggu sehingga masuk bulan Rejab, barulah boleh membuat apa-apa penambahan cerita baru di blogspot ini. Tetapi komen dalam c-box oleh seorang pembaca yang memakai nama Tok Dagang tentang sebuah rencana dalam Harian Metro hari ini telah merubah keadaan. Rencana ini menceritakan rancangan pemerintah Aceh untuk menyumbang batu nisan baru bagi makam Sheikh Shamsuddin as Sumatrani di Kampung Ketek, Melaka menyebabkan saya rasa wajib untuk memberikan reaksi lalu membuat posting baru, posting ke 132 dalam blogspot ini.
Sebelum meneruskan cerita, biar ditegaskan, saya lebih senang menggunakan ejaan Shamsuddin berbanding Syamsuddin dan gelaran As-Sumatrani berbanding As-Sumatrai seperti pernah dinyatakan sesetengah orang atas alasan-alasan tertentu. Pada saya ini masalah khilaf lalu boleh dipilih mana yang kita lebih selesa... Sepertimana house style di akhbar Berita Harian menggunakan ejaan Datuk berbanding Utusan Malaysia yang menggunakan Dato' apabila menyebut nama seseorang yang memiliki gelaran anugerah tersebut.
Untuk pengetahuan, Sheikh ini juga dikenali sebagai Sheikh Shamsuddin Pasai... Kerana wilayah Sumatra (satu panggilan Arab untuk nama kerajaan lama Samudera, nama yang akhirnya digunakan untuk memanggil seluruh pulau Sumatera) juga dikenali sebagai Pasai, selepas kerajaan Samudera diserapkan ke dalamnya... Juga dikenali sebagai Samudera-Pasai. Almarhum pernah menjadi Qadi Al Malikul Adil atau Mufti besar Aceh semasa zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda (memerintah Aceh 1607-1636). Apapun, lihat dahulu rencana yang saya copy and paste daripada Harian Metro on-line ini ya...
Makam pejuang bertaraf wali Allah, juga seorang khalifah tariqat Qadiriyah ini dilihat daripada bahagian kaki... Gambar ini juga adalah gambar yang saya ambil sendiri. Tak pastilah jika akhbar Harian Metro ada menyertakan gambar kerana saya tidak sempat menelaahnya. Yang pasti, tiada gambar makam dalam versi on-line.
Aceh sumbang nisan di makam ulama
MELAKA: Pemerintah Aceh bercadang membawa batu nisan tertulis nama Allahyarham Syamsudin Al-Sumatarani untuk diletakkan di makam ulama, sasterawan dan pahlawan terbilang itu di Kampung Ketik, Kampung Hulu, di sini, pertengahan bulan ini.
Sebelum ini, sudah ada batu nisan di makam berkenaan tetapi pemerintah Aceh ingin membawa batu nisan lain dari wilayahnya untuk diletakkan di makam itu sebagai menghormati pahlawan terbabit. Hasrat untuk meletakkan batu nisan baru itu disuarakan Gabenor Acheh, Irwandi Yusuf kepada Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Ab Rahaman Ab Karim, yang melawat wilayah itu baru-baru ini.
Ab Rahaman berkata, makam panglima besar itu sudah pun menjalani proses pemugaran selepas diwartakan kawasan konservasi dan dipulihara Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).
“Makam berkenaan sering menjadi tumpuan pelajar sekolah, pengkaji sejarah dalam mahupun luar negeri dan pelancong asing. “Ia sekali gus menguatkan lagi fakta sejarah keberanian pahlawan Islam dan orang Melayu yang mempertahankan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka suatu ketika dulu,” katanya ketika ditemui melawat makam berkenaan di sini, semalam.
Mengikut sejarah, Syamsudin adalah panglima tentera yang terkenal pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda yang memerintah Aceh ketika itu. Dia ditugaskan bersama rakannya, Panglima Pidi ke Melaka menyerang Portugis dan mengembalikan negeri itu kepada Sultan Melaka pada 1511.
Di samping itu, dia juga ditugaskan mengembangkan agama Islam. Bagaimanapun, dalam serangan yang dilakukan tentera Acheh pimpinan Syamsudin itu gagal menewaskan Portugis malah dia terkorban.
-------------------------
Di belakang tokong Cina inilah terletak makam ulamak besar yang dikira sebagai seorang daripada empat ulamak tersohor Aceh dahulukala!
Buat masa ini, saya tidak mampu bercerita lebih panjang lebar lagi kerana keletihan akibat menyelesaikan pelbagai perkara berkaitan buku kebelakangan ini. Cukuplah dinyatakan sedikit cerita berkaitan pernah dibuat dalam blogspot ini lebih sebulan lalu di Sheikh Shamsuddin al-Sumatrani dan Martabat Tujuh .
Hmm... Biar disertakan sedikit lagi cerita berkaitan yang belum pernah dikongsi di sini... Cerita yang kebetulan telah dinukilkan dalam buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II, dalam bab bertajuk "Hamzah Fansuri dan Iskandar Muda: Puncak kegemilangan Aceh"... Sila...
p/s: Satu peringatan... Cerita di bawah ini lebih kepada kisah Hamzah Fansuri kerana itulah fokus cerita. Apapun, tetap ada kena-mengena kerana Sheikh Shamsuddin As-Sumatrani adalah anak muridnya dan mereka berfikiran hampir serupa!
-------------------------------
HAMZAH FANSURI DAN ISKANDAR MUDA:
PUNCAK KEGEMILANGAN ACEH
Sabda Rasul Allah: Man ‘arafa nafsahu
Bahwasanya mengenal akan Rabbahu
Jika sungguh engkau abdahu
Jangan kau cari illa wajhahu
Wajah Allah itulah yang asal kata
Pada wujudmu lengkap sekalian rata
Jika anggamu menjadi mata
Mangkanya dapat pandanganmu nyata
Dirimu itu seperti zilal (bayang)
Jangan kau pandang pada waham dan khayal
Jika pandangmu itu pada rupa Jamal
Engkaulah da’im beroleh wisal
- Beberapa bait Gurindam Hamzah Fansuri
Tidak akan wujud zaman kegemilangan Aceh tanpa para walinya. Begitu juga tidak akan terserlah kehebatan raja penakluk besar bernama Sultan Iskandar Muda tanpa kehadiran Sheikh Hamzah Fansuri dan anak muridnya Sheikh Shamsuddin al Sumatrani atau Sheikh Shamsuddin Pasai. Cuma masyarakat Aceh terlalu berbangga dengan kisah Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, (memerintah 1607- 1636 Masihi)... Mereka lupa bahawa zaman kegemilangan Aceh yang dipelopori baginda dengan dasar perluasan serta jihad membela Islam yang menyaksikan empayar Aceh meliputi hampir seluruh pelusuk Nusantara tidak akan berlaku tanpa sokongan para wali dan ulamak Tasawuf seperti sheikh tersebut..
Sejarah pemerintahan Sultan Iskandar Muda terus dikenang sebagai lambang kebesaran Aceh sementara peranan Sheikh Hamzah Fansuri dan Sheikh Shamsuddin Pasai dilupakan atau cuma disebut sepintas lalu. Rakyat harus diingatkan bahawa Aceh berjaya menjadi pusat perdagangan antarabangsa juga pusat dakwah Islamiah dan peradaban tinggi serta perbincangan berbagai ilmu juga kesusasteraan Melayu bukan semata kerana kewibawaan raja. Ingat! Sang raja membesar berkat pendidikan guru juga... Guru yang bagaimana? Itulah yang kita harus ambil tahu!
.......... (melangkah beberapa mukasurat ke hadapan)............
Sheikh Hamzah telah mendalami berbagai cabang ilmu berkaitan Islam. Selain belajar di Aceh, beliau mengembara ke merata sudut dunia demi menambah pengetahuan termasuk di seluruh tanah Jawa, Semenanjung Malaysia juga India, Parsi dan Tanah Arab. Sheikh ini dikatakan sangat mahir dalam ilmu Fiqah, Tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam, sejarah dan lain-lain. Dalam bidang bahasa pula Hamzah Fansuri telah menguasai seluruh cabang ilmu berkaitan bahasa Arab (nahu, saraf dan sebagainya) selain boleh bertutur dalam bahasa Urdu, Parsi, Melayu dan Jawa!
Dunia sastera Melayu pula mengakuinya sebagai pelopor malah sasterawan serta pujangga Melayu terulung dahulukala atas sumbangan yang tidak terhingga terhadap perkembangan penulisan Melayu. Beliau telah memperkenalkan banyak gurindam, puisi, syair dan pantun yang sebenarnya merupakan ajaran Tasawuf yang dikarang begitu indah. Maka banyak perkataan Arab melibatkan konsep keTuhanan diMelayukan... Dengan ini, khazanah kata-kata Melayu turut menjadi lebih luas.
“Beliau menjadi rujukan utama dalam hal kerohanian di Aceh lalu menjadi guru mursyid yang bertanggungjawab menggilap peribadi Sultan Sayyid al Mukammil,” orang tua berketurunan Aceh di Perak memberitahu. “Antara karyanya yang masyhur ialah Al-Muntahi (Ilmu tertinggi), Ruba’i Hamzah Fansuri (sekumpulan puisi), Syair Si Burung Pinggai, Syair Si Burung Pungguk, Syair Sidang Faqir, Syair Dagang dan Syair Perahu.”
Pengaruh kuat sang pujangga Sufi ke atas perkembangan kerohanian kerajaan Aceh Darussalam terus berlangsung sehingga ke zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636). Maka sudah tentu beliau mempunyai pengaruh penting terhadap raja besar itu.
“Tidak ramai orang tahu, selain membimbing Sultan Sayyid Al-Mukammil, Sheikh Hamzah Fansuri juga merupakan guru mursyid Sultan Iskandar Muda.” dia mendedahkan satu rahsia. “Malah pada zaman itu, beliau adalah mahaguru Tasawuf yang terkemuka di seluruh Nusantara!”
Walaupun tidak ada bukti akademik menyatakan Sheikh Hamzah pernah berjumpa kedua-dua Sultan ini, Rasyid percaya cakap orang tua itu. Sebagai seorang pemikir besar, ulamak dan wali yang sangat terkenal zaman itu, tidak hairanlah jika beliau dijemput mengajar atau didatangi Sultan-sultan ini. Lagipun Hamzah Fansuri memang mempunyai pengaruh ke atas mereka ini, setidak-tidaknya melalui anak muridnya Sheikh Shamsuddin Pasai, ulamak dan penasihat utama di istana Aceh zaman itu. Sayyid al Mukammil diketahui seorang pengikut Tariqat Qadiriyah iaitu jalan kaedah peningkatan kerohanian yang diasaskan oleh Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani. Sheikh Hamzah Fansuri pula adalah Khalifah tertinggi Tariqat ini untuk bumi sebelah sini . Maka tidak hairanlah jika penasihat utama istana Aceh itu pernah memimpin Sayyid Al-Mukamil dan cucundanya Iskandar Muda bersuluk dan apabila sampai masa, menyuruh mereka khatam mengaji dengan Hamzah Fansuri pula.
Sheikh Shamsuddin diketahui meneruskan aktiviti penulisan yang dimulakan gurunya Sheikh Hamzah. Tulisan mereka dikatakan senada dan seirama walaupun masing-masing ada cara tersendiri dalam pengajaran mereka. Paling menarik, kedua-duanya dikatakan menyokong pemahaman “Martabat Tujuh”. Ia menghuraian hakikat keTuhanan serta hubunganNya dengan alam ini dengan cara yang dikira amat kontroversi.