Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, September 22, 2018

Persidangan ASAL - Daripada hubungan Melayu-Cina membawa kepada kepentingan strategik Selat Melaka



Sketsa demi sketsa untuk menunjukkan kehebatan tamadun lama Melayu terus dipaparkan untuk menyokong tema acara. Kelihatan sejumlah pelakon menunjukkan keadaan dalam istana agung Melaka di mana para pembesar malah pedagang asing dapat berinteraksi dengan penuh adab di hadapan sang sultan.


Sketsa tersebut menjadi pembuka untuk pembentang keenam. Profesor Datuk Dr Awang Sariyan yang merupakan pakar pengajian dunia Melayu memulakan perkongsian. Caranya, dia dipanggil masuk menghadap Sultan kemudian pentas diberikan sepenuhnya untuk beliau bercerita.



Beliau yang pernah menjadi profesor bahasa Melayu di Beijing memilih untuk bercerita tentang hubungan Melaka-Cina sejak enam abad lalu. Menariknya Awang memakai busana tradisonal Melayu. Sedangkan setahu saya beliau yang merupakan budayawan bahasa terkenal, pernah menjadi ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka tidak pernah berpakaian begitu  dalam mana-mana majlis ilmu sebelum ini.


Sukacita dimaklumkan Awang adalah pensyarah saya bagi kelas "Islam in Malay History and Culture" di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Dunia Melayu di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Rujuk artikel Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia yang dipersembahkan 22 hari  lalu kenapa saya menyambung pengajian pasca-siswazah di sana. Setiap kali menghadiri syarahan di ISTAC saya akan sekurang-kurangnya memakai tanjak kalau tidak pun sepersalinan penuh busana tradisional Melayu. Hal ini membuatkan beliau memberitahu kelas pertama kami 17 hari lalu bahawa beliau bercadang untuk memakai busana tradisional semasa persidangan ASAL berlangsung 12-13 September.


Sebagai penutup beliau membawa dua orang pembantu termasuk seorang rakyat Cina yang kini bekerja di Malaysia untuk mendeklamasikan satu sajak tulisan beliau tentang pertautan hubungan antara budaya. Selepas itu saya harus meninggalkan dewan untuk satu urusan


Apabila masuk kembali didapati bermula satu sketsa menggunakan alunan nazam penuh makna mendodoi anak kecil untuk menggambarkan suasana tradisional majlis bercukur bayi dalam dunia Melayu.


Selepas beberapa lama baru tersedar  saya nampaknya sudah tertinggal perkongsian ilmu oleh pembentang ketujuh Prof Madya Dr Farish A. Noor, seorang pakar sejarah yang kini bertugas di Singapura. Ini cuma disedari apabila pembentang kelapan,  Prof Madya Dr Syed Muhammad Khairudin AlJunied dari Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) naik ke pentas lalu membuka kata-kata.



Menariknya adalah bagaimana beliau menegaskan dengan penuh semangat dan bangga ketinggian  serta kehebatan tamadun Melayu lama. 


Sedangkan beliau berketurunan Arab bergelar Sayyid daripada susur galur Nabi Muhammad SAW. 


Sketsa seterusnya menunjukkan satu latihan silat. Sayangnya gerak langkah yang dipamerkan tebal dengan lenggang lenggok kumpulan penari, bukan langkah mantap kebiasaan pesilat.


Seterusnya naik pembentang kesembilan, Prof Madya Dr Muhd Pauzi Abd Latif, orang yang bertanggungjawab mendirikan muzium warisan Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM) menggunakan koleksi barangan agak nadir seperti senjata api Melayu lama dan manuskrip-manuskrip luar biasa koleksi peribadi. Beliau kini bertugas di ISTAC untuk mendirikan muzium serupa di sana lalu turut menjadi pensyarah saya untuk kelas Research Methodology,


Pauzi bercakap tentang senjata api Melayu sejak zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka abad ke-15 malah seawal abad ke-13 di Pahang. Beliau menggunakan tulisan Barat seperti catatan harian Afonso Albuquerque ketika menyerang Melaka dan kajian lapangan W. Linehan yang terakam dalam JMBRAS (Jornal of Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society) untuk menyokong perkara.


Pembentang kesepuluh, Prof Madya Dr Asyaari Muhammad yang merupakan seorang pakar arkeologi maritim kemudian berkongsi pengalaman menarik beliau dalam bidang.


Beliau bercakap panjang lebar tentang kajian-kajian lapangan yang telah dilakukan di beberapa tempat terutama melibatkan Melaka serta kota pertahanan yang ditinggalkan oleh Portugis, Belanda dan Inggeris.


Saya sudah lupa sketsa seterusnya tentang apa, cuma melayan persembahan visual yang tetap menarik. Tenyata fikiran ini sibuk mencongak pelbagai kemungkinan tentang sejarah Melaka yang hilang lalu belum dapat disahkan melalui kajian-kajian bersifat akademik yang boleh diterima dunia.


Pembentang kesebelas dan terakhir Profesor Emeritus Dorodiatun Kuntjoro-Jakti merupakan seorang pakar ekonomi yang pernah menjadi menteri berkenaan di Indonesia. 


Beliau bercakap panjang lebar tentang kepentingan strategik Selat Melaka kepada dunia dan bagaimana pentingnya Malaysia dan Indonesia menjalinkan kerjasama untuk memanfaatkannya bersama.


Menarik adalah data-data yang dipaparkan seperti kelihatan cuma dapat dicapai oleh seorang yang memiliki kedudukan sangat penting dalam negara.


Turut dikongsikan rancangan strategik Indonesia untuk membangunkan seluruh Pulau Sumatera dalam memanfaatkan kepesatan laluan perdagangan Selat Melaka. Untuk butiran lanjut tentang sidang ASAL sila lihat laman sesawang mereka di sini. Cukup perkongsian buat malam ini.



Persidangan ASAL - Daripada busana tradisional Melayu ke matawang Kesultanan Melaka

Meneruskan usaha melepaskan gerak sambil meringankan kepala agar dapat menangani beberapa perkara dan tuntutan akan datang. Pergi ke satu majlis ilmu yang berlangsung di Kuala Lumpur Selasa-Ribu 12-13 September lalu.


Pagi Rabu 13 September 2018. Saya pergi ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur untuk menghadiri acara yang dipanggil sebagai Persidangan ASAL.


ASAL adalah singkatan untuk "Agung Sejak Azali Lagi". Ia merujuk kepada ketamadunan Alam Melayu yang dipercayai sudah sedia gilang gemilang sejak beberapa lama.


Majlis ini dianjurkan oleh rangkaian televisyen Astroawani. Ia menggabungkan persembahan seni budaya berbentuk teatrikal dengan pembentangan-pembentangan ilmu.


Untuk membantu persembahan sebuah layar besar selebar 100 kaki didirikan atas pentas. Ada juga skrin digital besar di kiri dan kanan dewan selain kombinasi permainan lampu ala kegunaan konsert yang berwarna-warni.



Tak hairanlah jika tiket masuk untuk acara adalah RM200 untuk orang awam, RM50 untuk pelajar. Selepas persembahan tarian kebudayaan membuka penggunaan pentas Gurindam Dua Belas karangan pujangga terkenal Melayu-Riau abad ke-19 iaitu Raja Ali Haji pula dialunkan berlatarbelakangkan lakaran grafik istana agung Kesultanan Melayu Melaka.


Ini diikuti pengenalan majlis oleh pengacara serta paparan barisan pembentang. Selepas beberapa lama, pembentang pertama Puan Zubaidah Sual yang merupakan seorang pakar busana tradisional Melayu pun muncul bercerita.


Beliau berkongsi ilmu tentang sejarah perkembangan pemakaian busana tradisional menggunakan beberapa sumber bertulis terutama kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Bendahara Johor Tun Sri Lanang.


Penerangan kemudian diiringi sejumlah pembantu merangkap pelakon/model memakai persalinan pakaian yang menggambarkan beberapa watak seperti raja dan para pembesar pada zaman kegemilangan Melaka,


Ciri-ciri dan komponen pemakaian bagi setiap pangkat dan kedudukan pun diterangkan dari hujung kaki sanpai hujung rambut.


Pembentang seterusnya Profesor Dr Siti Zainon juga merupakan seorang pakar busana selain pakar rujuk budaya warisan Melayu 


Oleh kerana perincian pemakaian telah diterangkan oleh Zubaidah, beliau memilih untuk memanjangkan perkara daripada segi sudut warisan, asal usul dan sejarah.






Pembentang ketiga, Profesor Madya Dr. Paitoon Masmintra Chaiyanara merupakan seorang pakar rujuk bahasa yang pernah berkhidmat di beberapa universiti di Malaysia. 


Beliau memberikan penerangan panjang lebar tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai Lingua Franca atau bahasa perdagangan utama yang bukan sahaja dikenali di Alam Melayu tetapi di rantau sekeliling membawa ke tanah Arab, Parsi dan sebagainya.





Adapun pembentangan beliau dibuka dengan satu sketsa di mana beberapa orang pelakon memainkan watak orang Melayu yang kononnya menghadapi masalah mahu berdagang dengan bangsa asing yang datang ke Melaka disebabkan perbezaan bahasa. Paitoon pun memberitahu, seharusnya tiada muncul masalah kerana bahasa Melayu dikenali di serata dunia... semua yang datang berdagang wajib tahu bahasa kita itu. Pembentangan diakhiri dengan pelakon-pelakon tersebut berterima kasih kepada Paitoon setelah berjaya mendapatkan bahan dagang. Elemen-elemen teatrikal beginilah yang memberikan nilai tambah besar bagi persidangan ASAL,


Seterusnya hadirin diberikan gambaran tentang kesibukan dan kemeriahan dunia dagang di pelabuhan Melaka.


Ia menjadi pembuka bagi pembentangan keempat oleh Profesor Madrya Dr Ahmad Jelani Halimi, seorang pakar sejarah maritim tempatan. 



Beliau bercerita tentang kehebatan industri perkapalan Melayu yang menyemarakkan perdagangan di pelabuhan Melaka.


Seterusnya muncul Dr Ibrahim Bakar yang merupakan seorang pakar numismatik atau wang dan matawang.


Beliau bercerita tentang bentuk-bentuk matawang yang pernah digunakan beberapa kerajaan lama Alam Melayu terutama Kesultanan Melaka...





Jumaat, September 21, 2018

Menyambung/memperbarui wasilah keluarga di Teluk Intan sempena Ma'al Hijrah tahun 1440

Salam hari Jumaat. Demi melepaskan gerak lagi hendak meringankan kepala agar dapat menangani beberapa perkara dan tuntutan akan datang biar dilepaskan satu cerita daripada perjalanan hampir 2 minggu lalu.



Petang Isnin 10 September 2018 saya dan keluarga berlepas ke Perak untuk memenuhi satu panggilan kebatinan demi menyambung atau lebih tepat, memperbarui wasilah keluarga di Teluk Intan.



Hari itu adalah hari terakhir tahun 1439 Hijriah. Sampai ke pinggir bandar Teluk Intan kami membelok ke arah Kampung Gajah untuk sampai ke makam seorang moyang awal yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor.



Untuk makluman inilah makam lama pertama pernah saya tuju demi menyambung wasilah keluarga. Ini berlaku selepas mendapat mimpi-mimpi dan petunjuk tertentu penghujung tahun 2001. Cerita berkenaan ada dipanjangkan dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006.



Kami singgah bersolat di Masjid Kampung Bahagia yang terletak berdekatan. Inilah masjid pertama tempat saya menginap dalam rangka kerja menjejak salasilah keluarga dengan cara menziarahi makam-makam lama.



Dah sampai Teluk Intan terasa mesti pergi ke Menara Condong di tengah bandar. Oh. Sebelum itu kami singgah di masjid utama bandar. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Sultan Idris II, Teluk Intan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Selepas itu baru ke tujuan utama kami berjalan ke Perak iaitu ke masjid lama Batak Rabit yang didirikan dalam tanah wakaf keluarga sebelah bapa iaitu keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak. Saya mahu menunaikan niat bermalam 1 Muharram atau Ma'al Hijrah di masjid yang mungkin paling tua masih wujud di Perak.



Di sebelah masjid terdapat tanah perkuburan Islam yang dikhaskan untuk kaum kerabat kami sahaja, orang luar tak boleh masuk. Terperanjat kami apabila mendapati ada satu bahagian telah dibina bangunan cantik berbumbung. Difahamkan Raja Muda Perak, Raja Jaafar ibni Raja Muda Musa ada melawat masjid dan tanah perkuburan kerana ada hubungan kekeluargaan lalu memberitahu mahu mendirikan bangunan. Tak pasti apakah ia memang peruntukan daripada baginda atau pihak lain.



Cuma yang menjadi kemusykilan kenapa ia dinyatakan sebagai makam seorang moyang utama kami yang dikenali sebagai Nakhoda Hitam? Setahu saya juga pakcik-pakcik (mereka membesar di Batak Rabit, ayah saya pula mengikut ayahnya berhijrah ke Pahang) makam Laksamana pertama Perak ini atau lebih tepat Laksamana Raja Mahkota Nakhoda Hitam Tok Kuala Bidor terletak di suatu tempat lebih 10 km ke arah timur laut. Lihat Makam baru (New tomb of) Laksamana Nakhoda Hitam?.



Apapun kami dapat tidur dalam masjid dengan nyenyak dan nyaman. Esoknya siang awal pagi 1 Muharram tahun 1440 Hijriah saya meninjau-ninjau persekitaran Sungai Perak di hadapan masjid. Tengok-tengok dah jadi tempat sewa bot untuk orang memancing udang galah. Lihat artikel The boating area at Batak Rabit di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Saya pun mengajak isteri dan anak-anak menikmati suasana pagi tepian sungai. Tengok-tengok seorang pemilik atau pengusaha perkhidmatan bot mengajak kami berjalan-jalan dengan bot. Nampaknya beliau cuba mengambil hati saya setelah mendapat tahu kami adalah ahli waris pemilik tanah wakaf. Sebelum itu saya ada memberitahu datang daripada keluarga Laksamana. Ini kerana pakcik-pakcik saya ada menyatakan rasa kurang senang tanah keluarga kami dijadikan tempat orang turun memancing. Sedangkan ia asalnya diwakafkan untuk aktiviti-aktiviti keagamaan seputar masjid yang turut didirikan nenek moyang kami yang bersemenda dengan keluarga Sultan ke-26 Perak, Sultan Abdullah (yang dibuang ke Pulau Seychelles oleh British tahun 1875) juga keluarga adinda baginda, Raja Muda Musa, moyang kepada Raja Muda Perak sekarang, Raja Jaafar ibni Raja Muda Musa ibni Sultan Abdul Aziz (Sultan ke-31 Perak) ibni Raja Muda Musa ibni Sultan Jaafar (Sultan ke-23). 



Saya sebagai generasi yang lebih muda boleh faham ada bagusnya terdapat tempat bot dan memancing di hadapan masjid dalam kawasan keluarga kami itu. Sekurang-kurangnya ada kemeriahan menaikkan perniagaan dan aktiviti orang tempatan sambil mereka menyumbang kepada tabung masjid. Pengusaha membawa kami sekitar satu kilometer ke hulu menghampiri satu kawasan yang dipanggil Sungai Durian di seberang. Ia adalah kawasan kaum kerabat saya daripada satu cabang lain.



Di situ ada makam seorang moyang utama yang dikenali sebagai Laksamana Toh Jambu Keramat Sungai Durian. Walaupun terletak dalam kawasan hutan belukar berduri berpaya bagai ia boleh dicapai kalau sanggup meredah sampai ke pangkal dua batang pokok kelapa yang kelihatan seperti berkembar. Terperanjat saya dan isteri apabila mendapati kedua-dua pohon tidak ada lagi pucuk atau daun akibat disambar petir 3-4 bulan lalu. Entah apa petandakah ini. Yang nyata batang pokok yang tinggal seperti menjadi nesan tinggi menandakan kedudukan makam...






Tanpa dipinta kami dibawa berjalan lagi lebih jauh beberapa kilometer tapi ke hilir sehingga sampai ke jambatan menyeberangi Sungai Perak ke Lumut. Kami juga ditunjukkan satu tapak di mana dikatakan pernah berdiri sebuah kota Belanda hampir tiga abad lalu. Lihat artikel A boat trip of Perak river from Batak Rabit dan Down the bridge at Batu Lima Teluk Intan-Lumut route.



Tengah hari itu kami pergi ke Sungai Durian dengan menaiki kereta sekitar 15 km perjalanan darat untuk menziarahi makam kaum kerabat belah sana.




Dalam perjalanan kembali ke Bandar Sungai Buaya singgah ke rumah seorang kenalan di Sungkai lalu dibawa ke makam seorang tokoh tempatan yang dipercayai ada kena mengena dengan keluarga Laksamana. Lihat Makam (Tomb of) Tok Raja Tua, Sungkai.


Nota tambahan : Sekitar jam 9 malam seorang saudara telah menghubungi saya untuk memberitahu bahawa memang benar jasad Nakhoda Hitam telah dipindahkan ke Batak Rabit. Menurut beliau ini berlaku sekitar tahun 1940an atau 50an. Memang saudara ini patut tahu kerana lebih dekat dengan pejabat Laksamana. Bapa beliau pernah memegang jawatan tersebut, begitu juga datuk dan moyangnya.