Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Jun 16, 2012

Tentang Israq dan Mikhraj dan alam di dalam besen



Allahuakbar! Malam ini sudah masuk 27 Rejab, malam Israq dan Mikhraj. Maka saya ingin berkongsi cerita berkaitan yang tertera pada bab terakhir buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" yang terbit November 2007. Bab itu bertajuk "Penutup : Puas sudah berpetualang?". Dari segi mood bercerita dua tiga hari ini ia boleh dikatakan bersambung daripada artikel Aku cuma zilal Mu ya Allah! yang dibuat siang tadi.

Tajuk artikel ini mungkin pelik sedikit. Namun saya percaya anda akan nampak sebabnya setelah membaca tulisan di bawah sampai habis. Adapun apa yang dipaparkan ini adalah keseluruhan isi bab tersebut termasuk perkongsian rasa yang terbit akibat melihat keadaan dunia ketika itu. Walaupun ia ditulis 5 tahun lalu rasanya keadaan tersebut masih relevan dengan dunia hari ini. 

Kebetulan ini adalah artikel ke 999 di blogspot ini. Dengan kombinasi nombor berserta fakta bahawa bab itu bertajuk "Penutup : Puas sudah berpetualang?", dipaparkan pula pada malam Israq dan Mikhraj semoga ini dapat menutup satu fasa hidup lalu masuk ke fasa baru yang lebih bermakna dan diredhai Ilahi.


-------------------



Tersebutlah kisah, suatu masa dahulu di sebuah negeri di Timur Tengah, ada seorang raja kafir sudah tergerak mahu memeluk Islam kerana tertarik dengan ajaran-ajaran Rasulullah SAW. Baginda telah melihat akhlak baik para penganutnya dan telah bertanyakan para alim ulamak tentang hukum-hakam Islam dan segala maslahat berkaitan. Lalu sang raja berpendapat  agama ini memang sesuai dengan fitrah manusia malah amat baik untuk perkembangan rohani dan jasmani setiap insan.

Baginda cuma ada satu kemusykilan yang perlu dijawab sebelum bersedia mengucap dua kalimah syahadah...  Bagaimanakah Rasulullah SAW dapat naik Israq dan Mikhraj, pergi dari Mekah ke Baitul Muqaddis kemudian naik tujuh petala langit, dapat melihat segala isi syurga dan neraka, naik lebih tinggi ke Sidratul Muntaha kemudian melepasi Kursi dan Arash untuk sampai ke Hadirat Allah Subhanahuwata’ala sebelum kembali ke Mekah sedangkan semuanya berlaku dalam tempoh singkat yang diibaratkan daun yang bergetar dilanggar orang apabila Nabi memulakan perjalanan belum habis bergetar apabila baginda kembali ke rumah.

Masalahnya, tiada alim-ulamak dapat memberikan jawaban yang memuaskan raja. Seperti diketahui umum, perjalanan Mekah ke BaitulMuqaddis sendiri memakan masa berhari-hari, mungkin berbulan-bulan, baik menunggang kuda mahupun unta. Inikan lagi naik ke langit malah lebih atas untuk melihat segala isi kejadian Allah SWT dan kembali dalam masa beberapa detik sahaja! Di zaman moden inipun menaiki jet atau kapal terbang, perjalanan Mekah ke Baitul Muqaddis memakan masa tidak kurang dua jam.  Untuk naik ke langit pula, belum ada manusia yang mampu membuatnya. Alangkan menaiki roket sampai ke bulan pun memakan masa beberapa hari, bagaimana pula hendak ke langit? Lalu bagaimana Nabi boleh melakukan semua ini malah pergi lebih jauh dalam masa begitu singkat? 

Persoalan inilah yang sedang bermain-main di kepala raja kafir tersebut. Memang baginda mahu percaya kepada Islam tetapi raja ini telah berikrar hanya akan mengucap dua kalimah syahadah jika ada orang yang dapat menerangkan peristiwa ini sehingga baginda puas dan yakin seratus peratus dengan kebenaran yang dibawa Islam. Soalnya, siapa pula yang dapat menghuraikan dengan jelas? Bolehkah perkara luarbiasa sebegini diterangkan dengan kaedah yang dapat memuaskan pemahaman biasa?

Maka tersebarlah berita tentang raja sebuah negeri ingin memeluk Islam tetapi belum bersedia kerana tiada orang dapat menerangkan peristiwa Israq dan Mikhraj sehingga hilang kemusykilan baginda. Berita ini sampai kepada seorang wali Allah penuh karamah lalu beliau tergerak berjumpa dengan raja. Kedatangannya disambut dengan mulia...  Walaupun baginda bukan Islam, raja ini adalah seorang yang beradab dan amat menghormati para alim ulamak . Sang wali pun dijemput masuk menghadap.

Setelah berkenal-kenalan dan bertanyakan khabar seperti lazimnya orang baru bertemu, mereka duduk bersemuka di sebuah ruang persendirian. Tiada manusia lain di situ kecuali seorang khadam yang siap-siaga untuk memenuhi apa-apa permintaan baginda. Wali itupun bertanya: “Hamba dengar Tuanku amat berminat untuk memeluk agama Islam tetapi ada yang menghalang. Apakah masalahnya? Mungkin hamba boleh menolong?”

Sang raja  pun menjawab: “Memang benar berita yang kamu dengar itu. Beta sudah lama mahu memeluk Islam kerana pernah bertanya kepada ramai alim-ulamak  tentang agama ini. Memang beta dapati Islam itu elok. Cuma beta belum berpuas hati tentang kebenaran peristiwa Israq dan Mikhraj. Bagaimanakah Nabi Muhammad boleh melakukan perjalanan malam  tersebut sedangkan ada yang mengatakan semuanya berlaku dalam tempoh yang amat singkat? Sehingga dikatakan daun  yang bergetar dilanggar orang belum pun habis bergetar apabila  perjalanan itu tamat. Beta sudah bertanya alim ulamak negeri ini. Setakat ini belum ada orang yang dapat memberikan jawaban atau keterangan yang boleh memuaskan hati beta.”

Wali itu tersenyum mendengar pengakuan raja. Beliau pun bertanya: “Bagaimana jika ada orang yang dapat menerangkan masalah ini, adakah Tuanku akan mengucap dua kalimah syahadat dan masuk Islam?”

Baginda menjawab: “Ya, beta akan mengucap kalimah pengakuan itu kalau penerangan yang diberikan dapat memuaskan hati. Beta berjanji akan masuk Islam. Memang itulah yang beta nanti-natikan selama ini.”

“Kalau begitu biarlah hamba menerangkannya,” kata wali itu. “Sila Tuanku ambil sebuah besen penuh dengan air.” beliau meminta pula...

Raja itupun menyuruh kadam memenuhi permintaan tersebut. “Sekarang masukkan kepala Tuanku ke dalam besen,” kata sang wali.

Sang raja mula teragak-agak. Kenapa perlu memasukkan kepala ke dalam besen? Sang wali pun memberikan jaminan persoalan Israq dan Mikhraj akan terjawab jika baginda menurut sahaja. Raja itupun mengalah...

Mula-mula tiada apa-apa yang berlaku... Setakat kepala raja tenggelam dalam air, tiada yang pelik tentang itu. Tetapi apabila baginda mengangkat kepala ke atas, ternyata wali itu sudah hilang. Malah ruang tempat mereka berbual termasuk istana juga sudah tiada! Sekonyong-konyong itu baginda mendapati dirinya berada di dalam sebuah sungai yang deras dipukul arus ganas sehingga terkapai-kapai mencari nafas. Baginda  tidak pandai berenang, maka tenggelam-timbullah raja itu dihanyutkan arus deras...

Dicelah-celah tenggelam-timbul itu baginda menjerit-jerit meminta pertolongan dengan harapan ada yang mendengar. Kebetulan seorang pemuda gembala kambing sedang menjaga ternakan tidak jauh dari situ. Dia dapat mendengar jeritan sang raja lalu bergegas ke tebing sungai.

Pemuda itu meneliti permukaan sungai untuk mengenal-pasti punca jeritan yang didengar. Ternampaklah seorang manusia hanyut tenggelam-timbul dipukul arus di tengah-tengah. Tanpa berfikir panjang, sang gembala pun terjun ke dalam sungai. Setelah berhempas-pulas melawan arus ganas, dia berjaya menyelamatkan raja lalu membawanya ke tebing…

Si gembala memapah sang raja yang asyik terbatuk-batuk akibat  banyak tertelan air. Dalam keadaan separuh sedar, baginda terus terbaring keletihan sambil mengembalikan nafas. Dalam pada itu, raja ini dapat merasakan ada sesuatu yang berlainan tentang tubuh-badannya...  Baginda  pun meraba-raba untuk memastikannya. Eh... Kenapa terdapat bahagian membulat yang lembut-lembut ini? Eh... Mana pergi otot-otot tubuhnya yang sasa? Masyaallah! Memang tubuhnya terasa amat berlainan, bukan lagi tubuh seorang raja atau lelaki yang sasa malah tubuh seorang perempuan! Raja yang masih agak keletihan itu terkejut besar sehingga pengsan.

Sang gembala kambing mengangkat baginda balik ke rumah untuk dirawat. Setelah beberapa hari dijaga, diberi ubat dan disuapkan makanan, barulah kesihatan baginda pulih.  Masalahnya tubuh baginda masih lagi tubuh seorang perempuan. Lalu bagaimana raja itu mahu menjawab apabila pemuda itu bertanyakan asal-usulnya? Bagaimana boleh sampai ke kawasan itu dan dihanyutkan sungai sedangkan baginda pun tak pasti apa yang telah berlaku? Kalau dijawab pun rasanya tidak akan masuk akal biasa... Bagaimana seorang raja boleh hilang daripada istana lalu tiba-tiba hanyut di sungai dan bertubuhkan seorang perempuan? Akhirnya baginda menerima hakikat dirinya bukan lagi seorang raja. Malah sebagai seorang perempuan, baginda akhirnya berkahwin dengan pemuda gembala kambing pula!

Tujuh tahun kemudian, sang raja yang sudah lama melupakan asal-usul  sebenarnya  tergerak untuk pergi ke sungai tempatnya diselamatkan sang gembala kambing dahulu. Oh... Terlupa hendak memberitahu. Mereka telah dikurniakan dua orang anak (kalau tak salah ingatan) ataupun tiga? Apapun, yang penting, hidupnya betul-betul telah berubah. Daripada seorang raja perkasa yang menguasai sebuah kerajaan, baginda telah menjadi seorang isteri yang sempat melahirkan beberapa orang bayi.

Hendak dijadikan cerita, ketika sedang berjalan-jalan di tepian sungai, wanita itu tiba-tiba tergelincir jatuh ke dalam. Sekali lagi dia mendapati dirinya tenggelam-timbul dibawa arus deras. Tahu tidak apakah yang terjadi kemudian? Wanita itu mengeluarkan kepalanya untuk mencuri nafas tetapi apa yang didapati sekelilingnya  bukan lagi sebuah sungai yang deras tetapi sebuah ruang mewah, bagaikan dewan di dalam istana raja!

Wanita itu juga mendapati kepalanya baru sahaja dikeluarkan daripada sebuah besen berisi air, bukannya sebuah sungai.  Seketika itu juga hamba Allah ini mendapati tubuhnya sudah bertukar daripada tubuh seorang perempuan kepada  tubuh seorang laki-laki malah disaluti pula pakaian mewah persis seorang raja. Lalu siapakah dia sebenarnya? Seorang wanita isteri gembala kambing atau seorang raja pemerintah sebuah kerajaan?

Hamba Allah ini tercengang-cengang untuk memahami kejadian ini.  Di manakah dia sekarang? Di manakah dia sebenarnya berada sebelum itu? Siapakah dirinya ini? Apakah yang telah berlaku? Begitu banyak persoalan timbul sehingga dia termenung lama untuk merungkaikan permasalahan.

Di hadapannya pula duduk seorang manusia berjubah berserban tersenyum lebar melihatnya terpinga-pinga.  Ah! Baru dia tersedar... Baru teringat dirinya seorang raja yang sedang berada di dalam istana. Segala peristiwa yang berlaku daripada dirinya jatuh lemas lalu diselamatkan pemuda gembala kambing, bertukar menjadi seorang perempuan dan  berkahwin sehingga melahirkan anak, segala yang dirasakan berlaku dalam tempoh tujuh tahun itu sebenarnya terjadi dalam tempoh beberapa detik sahaja... Semuanya berlaku ketika memasukkan kepala ke dalam besen!

 Menyedari sang raja sudah mulai faham, orang berjubah berserban tadi  (sebenarnya seorang wali yang ditugaskan memberi penerangan supaya sang raja masuk Islam) itupun menegur: “Sekarang  Tuanku faham bagaimana Rasulullah SAW melakukan Israq dan Mikhraj dalam tempoh cuma beberapa detik? Dengan kuasa Allah, tiada perkara yang mustahil!”

Walau sudah faham apa yang berlaku, sang raja masih lagi kehairanan. Susah untuknya menerima kenyataan...  Terbetik pula di hati: “Mungkin aku telah dipermainkan... Barangkali aku disihir sehingga boleh percaya yang aku betul-betul telah menjadi seorang wanita? Boleh pula menghabiskan tujuh tahun hidup susah bersama seorang pengembala kambing?”

Wali Allah yang kasyaf itu tahu apa yang bermain di fikiran raja: “Tuanku masih tak percaya?”beliau bertanya. Atau kalau ikut kata  budak-budak sekarang: “Kenapa? Tak percaya ke?” mengajuk iklan televisyen...

Raja itu tidak menjawab. Mungkin hatinya belum puas lagi?

Wali itupun menyambung: “Tak mengapalah. Sebentar lagi akan datang beberapa orang tetamu yang akan menjawab persoalan Tuanku.”

Sang raja semakin bingung. Apakah yang dimaksudkan orang ini? Jika tadi, kepalanya dimasukkan ke dalam besen lalu berlaku keajaiban  sehingga  dia hilang entah di mana, kemudian boleh terasa seperti berada tujuh tahun di sana malah boleh pula bertukar menjadi seorang perempuan, sekarang ada tetamu boleh menyelesaikan masalahnya... Apakah makna semua ini?

Kebetulan  memang ada tetamu baru sampai ke istana untuk berjumpa dengan raja. Seorang pesuruh raja pun menghadap menyampaikan berita. Sang wali mengisyarat  raja  supaya menerima kedatangan tetamu itu. Sebaik sahaja tetamu masuk, wali itu sendiri bangun lalu menyambutnya...

“Tuanku kenal siapakah ini?” sang wali menunjuk kepada mereka...

Ternyata tetamu yang datang  adalah pemuda gembala kambing yang ditemui raja semasa memasukkan kepalanya ke dalam besen! Orang yang menyelamatkan nyawanya ketika dia bertukar menjadi seorang perempuan yang kelemasan dalam sungai malah sempat menjadi suaminya pula! Turut bersama adalah anak-anak comel hasil perkahwinan mereka. Sang  raja terus bersujud lalu mengakui kebesaran Ilahi. Tanpa perlu diajar lagi, baginda mengucapkan dua kalimat syahadat lalu masuk Islam. Tammat...



              Z


Sekarang, renungkan kembali cerita yang mengandungi rahsia  besar tentang kejadian Israq dan Mikraj ini. Di manakah semuanya berlaku, pada masa bila? Fikirkan... Dalam sedetik memasukkan kepala ke dalam besen, seorang raja boleh bertukar menjadi perempuan malah hidup tujuh tahun di suatu tempat sehingga melahirkan dua (atau tiga?) orang anak... Keluar kepala dari besen pula kembali menjadi raja tetapi boleh berjumpa anak-anak itu kembali. Maka apakah yang sebenarnya telah berlaku? Apakah  itu ruang dan masa? Adakah ia seperti yang kita fikirkan selama ini?

Berfikirlah. Dan berzikirlah sekali… Minta petunjuk Allah SWT agar diterangkan hakikat sebenar alam dan kehidupan. Apakah tujuan kita dijadikan dan diletakkan di atas muka bumi ini... Apakah makna sebenar Firman Allah: “Tidak aku jadikan manusia dan jin kecuali untuk beribadah kepada Ku.” Adakah ia setakat mengikut Syariat dan hukum-hukum  Fiqah seperti sering disebut orang atau ada makna lain yang lebih meluas?

 Apakah makna sebenar ibadah yang berasal daripada perkataan akar abdi, mengabdikan diri? Cuba tanya orang-orang  yang Arif, apakah hakikat sebenar ibadah, apa makna ubudiyah? Marilah kita belajar mengenali diri masing-masing dengan sebenar-benar perkenalan, tahu hakikat atau makna diri yang sejati, faham hubungan hamba yang sejati dengan Sang Pencipta... Kemudian carilah peranan sebenar masing-masing di bumi ini.

Kajilah diri kita sendiri dalam-dalam. Kenapa ada orang bernama Abu, bukannya Ramli? Kenapa ada yang berkulit sawo matang, bukan putih merah? Kenapa  suka warna hijau tetapi benci warna pink? Kenapa sukakan gajah, tetapi tidak suka melihat badak? Kenalilah kembali kecenderungan diri yang sejati, minat dan hobi yang wujud dalam hati sanubari secara semulajadi, bukannya minat yang dipaksakan keadaan atau terikut-ikutkan orang. Kenalilah diri kamu rata-rata sebelum mengenali Allah yang nyata. 

Sambil-sambil itu rajin-rajinlah bertanya dengan orang-orang tua tentang asal-usul keluarga. Cari salasilah dan wasilah diri, fahamilah sabda Rasulullah SAW... Setiap orang  dipertanggungjawabkan dengan nasabnya. Renungkan kenapa orang dahulukala amat memerhatikan asal-usul keturunan seseorang dan sangat prihatin dalam memelihara kemuliaan dan ketulinan nasab. Bukan kerana hendak menyombong diri tetapi untuk  beramanah dengan nama baik keluarga! Insyaalah, jika ini dapat dirungkai, setiap orang akan menemukan jawaban kepada beberapa persoalan yang akan mengungkapkan segala rahsia perjalanan hidup masing-masing.

Saudara saudari yang dihormati sekelian, perhatikan sekeliling anda...  Perhatikan segala macam kebathilan berleluasa sehingga menjadi budaya kelaziman hidup yang tidak mampu lagi dielakkan... Kita semua sudah lali dengan rasuah, tipu-daya, pecah amanah, riba’, pergaulan bebas laki-laki dan perempuan, hiburan tanpa batasan dan maksiat. Semua pihak sebenarnya terpalit dan terlibat kecuali mereka yang sanggup menongkah arus zaman untuk keluar seratus peratus daripada lingkungan budaya kehidupan sekarang. Fikirkan... Pihak manakah menyebabkan ini boleh  berlaku?

Sekarang luaskan pemandangan itu dengan mata-hati yang bercahaya menembusi segala kekaburan sehingga meliputi hal-ehwal dunia sejauh yang mungkin. Renungkan, kenapa Presiden Bush terus diberikan mandat untuk memimpinAmerika selama lima tahun lagi walaupun sudah dua kali menghadapi proses pemilihan presiden yang memakan masa  yang lama serta menelan belanja berbillion-billion Dolar. Kenapa Afghanistan masih lagi huru-hara walaupun sudah memiliki kerajaan baru yang ‘demokratik’. Kenapa Iraq yang sudah pun melutut terus ditekan dan dijahanamkan? Siapakah ‘kepala’ yang bertanggungjawab ke atas semua ini?

Lebih dekat ke tanah air, kenapa Aceh ‘dikeroyok’ tentera yang menurut arahan dari Jakarta? Mungkin keadaan sudah aman selepas Tsunami 26 Disember 2004 memaksa pihak yang bertelagah untuk berdamai. Tetapi betulkah nasib rakyat bumi Serambi Mekah yang sudah beratus tahun sengsara dilanda pelbagai musibah sudah terbela?  Bagaimana pula keadaan di selatan Thailand yang lebih dekat dengan sempadan kita? Jika Aceh sudah tamat tempoh darurat, bagaimana pula darurat baru yang diisytiharkan di Patani 2005? Wilayah itu juga pernah menjadi pusat dakwah Islam ke seluruh bumi Melayu. Bukankah ia juga sedang teruk ‘dikeroyok’ tentera?

Ingat lagi tidak bagaimana Australia pernah beriya-iya mahu menghalalkan operasi tentera ke atas Malaysia dan Indonesia atas alasan mahu mencari pengganas ? Amerika pula sibuk mahu menghantar armada lautnya yang hebat untuk meronda Selat Melaka dengan disokong Singapura. Nasib baik kita dapat menolak secara diplomatik. Kalau tidak mungkin kedaulatan perairan kita sudah lama tergadai... Fikirkan juga kenapa Perdana Menteri Singapura dahulu, Lee Kuan Yew berani mencabar jiran-jirannya negara-negara Melayu supaya menyerang  pulau itu. Apakah kerana mereka sudah memiliki sistem peluru berpandu canggih dengan kekuatan tentera yang disokong Amerika dan dilatih  Yahudi?

Apa pula sebenarnya sedang berlaku di Baitul Muqaddis yang tidak disiarkan kepada umum oleh media massa dunia yang dikuasa Zionis? Kenapa rejim Israel pernah membuat pengumuman menghadkan kemasukan umat Islam bersolat Tarawih di Masjidil Al Aqsa kerana takut lantainya roboh? Apa pula sebab mereka fikir ia boleh roboh ? Bukankah masjid itu telah berdiri kukuh sejak Saidina Umar memerdekakan Baitul Muqaddis daripada Empayar Kristian Byzantium 1,400 tahun lalu? 

Seteruskan kaitkan dengan ini.... Kenapa apabila menyebut tentang tanah suci ketiga Islam itu, kita terus disogok dengan gambar Qubah Al-Sakrah, Dome of the rock dengan kubah kuning keemasannya... Kenapa tidak gambar sebenar Masjidil Aqsa? Apakah yang ingin disembunyikan?

Saudara saudari sekalian. Tahukah apa itu Temple of Solomon atau Haikal Nabi Sulaiman AS? Kalau tidak, tanya mereka yang tahu. Tanyakan sekali apa itu Zionist, Temple of Zion, Protocols of the Elders of Zion, siapakah dia orang yang dikatakan Freemason dan Iluminati... Dan yang lebih penting, apa kena mengena mereka semua dengan Amerika, Britain dan Israel malah Arab Saudi, apalagi dengan badan-badan perisikan seperti CIA dan Mossad yang mempunyai rangkaian seluruh dunia dan apakah misi utama mereka…

Fikirkanlah. Apakah makhluk-makhluk perosak ini yang ingin memadamkan syiar Islam sejak zaman Rasulullah SAW lagi tidak pernah memainkan peranan di bumi Melayu? Apakah tidak ada ajen mereka bergerak di segenap lapisan masyarakat malah memegang kepimpinan tinggi sebagai proksi Yahudi tetapi mengaku memperjuangkan agama, bangsa dan negara? Berhati-hatilah akan makhluk perosak ala Machiavelli, musang bertopengkan kambing biri-biri yang sekarang ada di mana-mana...

Lihatlah segala peristiwa dunia yang berlaku kebelakangan ini dengan mata, kepala dan fikiran yang terbuka, fikiran yang berfikir dan berzikir… Percayalah, seperti yang sering disebut oleh Rasulullah SAW, kita ini umat akhir zaman. Sudahkah kita bersedia untuk menyambut kedatangannya?

Sekian sahaja tugas menyampaikan sedikit pengetahuan. Jika ada salah silap, terkasar bahasa dan sebagainya, saya sebagai insan yang lemah  menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf. Wassalam. 


Radzi Sapiee
30 September 2007 bersamaan 18 Ramadhan 1428,
Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang.





Aku cuma zilal Mu ya Allah!

Sebuah lukisan yang ditemui setelah membuat Google image search menggunakan perkataan "Abdul Qadir Jilani"



Subhanallah walhamdulillahi walailahaillahu wallahukbar. Lagi beberapa jam lagi akan masuk waktu Maghrib dan dengan itu masuklah tarikh 27 Rejab 1433, malam Israq dan Mikhraj. Semalam, setelah membuat artikel   Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian yang mengandungi bahagian tengah bab bertajuk "Lagi catatan mengenai tarikh dan peristiwa yang bercanggah" daripada buku "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" saya terasa harus berkongsi juga bahagian akhir bab yang sama. Ini mahu dibuat sebagai 'mukadimah' untuk satu artikel lain mahu dipersembahkan malam nanti, artikel memaparkan isi  yang lebih berkaitan peristiwa besar Nabi Muhammad SAW berjalan malam hingga naik ke langit. Saya memikirkan mahu membuat 'mukadimah' tersebut petang ini tetapi mendapati bahawa isi yang mahu dikongsi sudah diletakkan di blogspot ini 5 tahun lalu.

Dengan itu seluruh cerita bab tersebut boleh dibaca di sini. Masuk sahaja links mengikut tertib :-




Namun saya masih terasa wajib berkongsi sesuatu daripada buku ketiga saya itu untuk petang ini. Lalu setelah memikirkan konteks berkaitan saya terasa isi berikut daripada bab bertajuk "Impian seorang petualang : Melangkaui adat dan masa" sesuai untuk tatapan. Oh. Anggaplah cerita ini cuma khayalan saya sahaja ya. Ia cuma luahan perasaan yang pernah diletakkan ke dalam buku, itu sahaja. Ambil iktibar atau ilmu yang mungkin dipaparkan secara tidak sengaja, janganlah difikirkan terlalu mendalam... :]


---------------------


Rasyid dibawa dalam satu perjalanan merentasi udara. Kali ini, entah bila pula munculnya, ada permaidani terbang di bawahnya. Rasa sebak yang meliputi seluruh jiwanya tadi mula luput dihembus angin pantas yang membelah perjalanan ajaib seperti cerita Aladdin dalam 1001 Malam.

Pemuda itu meneliti permaidani yang membawa mereka ke destinasi dan zaman seterusnya. Eh… Rupanya saling tidak tumpah seperti tikar mengkuang buruk yang pernah digunakan Nenek untuk berbaring semasa sakit dahulu, tikar usang yang pernah diambilnya selepas Nenek mangkat lalu dibawa berkelana mengelilingi Perak. Teringat pula ketika pertama kali sampai ke Pulau Besar, Melaka dengan membawa tikar buruk Nenek... Entah kenapa, beberapa orang yang ditemuinya mendakwa, tikar itu boleh dijadikan permaidani terbang jika Rasyid tahu cara menggunakannya!

“Tumpukan perhatian pada perjalanan!” Nenek memotong lamunan.

Seketika itu juga, pengembara melangkaui ruang dan masa ini dapat melihat seorang lelaki lain berpakaian seperti seorang raja keluar memburu membawa berpuluh orang pengikut bersama seekor anjing... Anjing ini kemudian menyalak pada suatu tanah tinggi kerana terserempak seekor semut sebesar kucing! Peristiwa ini menandakan kemunculan sebuah kerajaan  yang akan membawa peranan besar menyebarkan syiar Islam...

Rasyid juga dapat meyaksikan sebuah lagi peristiwa di sebuah lokasi  pada zaman silam yang lain, sekali lagi di sebuah istana tetapi kali ini sedang dikepung dan diserang tentera. Tidak jauh dari situ kelihatan seorang lelaki berlari mempimpin seorang wanita yang sedang mengendong seorang bayi merentasi hutan untuk menyelamatkan diri. Sampai di suatu tempat yang kelihatan agak tersorok, lelaki itupun menyuruh isterinya melepaskan pelukan dan meletakkan bayi tersebut di atas tanah.

“Adinda jangan risau,” kedengaran suara sang lelaki memujuk lembut. “Percayalah, anak kita ini diTakdirkan akan membesar dengan selamat lalu membela kembali bumi ini seperti yang tersurat dalam Loh Mahfuz.”

Rasyid dapat menyaksikan bagaimana pasangan ini memanjatkan doa terhadap Ilahi lalu pasrah meninggalkan anak itu di dalam hutan. Kemudian pergilah mereka bersampan sehelai sepinggang memudiki sebuah sungai luas menghala ke hulu sebelum membelok masuk ke satu cabang anak sungai untuk mendarat di satu tempat. Sambil itu, muncul seekor gajah tunggal mengambil anak yang ditinggalkan. Di kala itu juga kelihatan segerombolan tentera meredah hutan seolah-olah sibuk mencari banduan.

Rasyid yang sudah kembali tenang dibawa lebih jauh merentasi ruang dan masa untuk melihat satu lagi pergolakan besar melibatkan takhta dan agama yang berlaku lebih awal di bumi Serambi Mekah... Seterusnya dia menyeberangi lautan luas untuk sampai ke sebuah kotaraya gergasi dengan bangunan-bangunan berkubah indah yang penuh gemilang, saling tidak tumpah seperti pernah dilihat dalam sebuah mimpi suatu masa dahulu.

“Baghdad!” tiba-tiba dia menjerit riang seperti budak-budak.

Sekonyong-konyong itu, anak muda ini mendapati dirinya berada di tengah sebuah majlis ilmu yang dihadiri beribu orang pendengar daripada berbagai lapisan rakyat. Nenek pun memimpinnya lalu membawa pemuda itu ke satu sudut. Nampaknya ada perbincangan hangat walaupun Rasyid kurang faham apa yang diperkatakan, rasanya dalam bahasa Arab.

Dia cuma faham beberapa perkataan, antaranya bila hadirin memanggil orang yang memberi syarahan di hadapan sebagai Sultanul Awliya… Eh Sultanul Awliya? Keluar pula nama Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani!

Sekali lagi pemuda itu tersentak. Tiba-tiba sahaja dia berada di hadapan seorang lelaki berjubah berserban dengan penampilan yang sangat hebat, seolah-olah ada cahaya matahari terpancar keluar daripada tubuhnya. Apabila mata yang silau mula menyesuai dengan keadaan (atau cahaya tadi beransur hilang kekuatan?) barulah Rasyid dapat menentang wajahnya…

“Eh… Macam pernah lihat orang ini. Tetapi bila dan di mana ya?” hatinya bertanya. Adalah tu kat mana-mana... Tak pun mungkin dalam mimpi?

Nenek pula menegur: “Salam! Cium tangan atuk kamu ini.”

Pemuda yang masih terpinga-pinga itu menurut sahaja. Orang tua tadi memeluknya erat seperti seorang datuk yang sudah lama tidak berjumpa cucunya. Beribu orang yang mendengar syarahan tiba-tiba terpaku beku! Ada yang ternganga sehingga kelihatan anak tekak, ada yang mata terbeliak tidak bergerak-gerak... Malah Rasyid dapat melihat sekawan burung merpati yang sedang terbang melepasi tingkap kaku dengan kepak terbuka dan terkuak seperti patung-patung hidup yang tergantung di udara!

Nenek membisikkan sesuatu kepada orang itu kemudian menoleh ke arah cucunya. “Kamu ikut atuk kamu ini jalan ya…” dia memberitahu. “Biar dia bawa kamu ke tempat seterusnya. Nenek tunggu kamu di sini.”

Rasyid mengangguk-angguk tanpa bertanya apa-apa. Orang tua itu tersenyum lalu memberikan isyarat supaya mengekorinya.  Anak muda itu pasrah menerima segala kemungkinan, menurut sahaja apa yang disuruh.

Sekali lagi keadaan berubah, kali ini dengan lebih mendadak. Tiba-tiba Rasyid mendapati dirinya berada di luar sebuah teratak buruk tetapi kemas di sebuah kawasan yang agak asing, rasanya seperti di Tanah Arab.

Orang tua tadi memberikan salam, terus disambut daripada dalam. Pintu rumah terbuka lalu dia memimpin pemuda itu masuk. Kelihatanlah seorang lelaki tua yang jauh lebih hebat, gilang-gemilang penampilannya hingga tidak terkata! Terlalu terserlah melangkaui ibarat, boleh hilang akal jika cuba membicarakannya... Tetapi cahaya kuat yang terpancar daripada  orang ini tidak pula menyilau atau menyakitkan mata, terasa lembut pula seperti cahaya bulan purnama… Rasa sejuk nyaman pun ada!

Orang tua yang membawanya ke situ pula berubah wajah menjadi muda lalu mencium tangan tuan rumah. Anak muda kelahiran Muar, Johor itupun menurut sama mencium tangan lelaki hebat tadi lalu lelaki itu  memeluknya seraya mencium kedua-dua kening pemuda itu. Kemudian mereka diisyaratkan supaya pergi duduk di satu sudut di teratak kecil itu.

“Ali, Fatimah! Hassan, Hussein!” tiba-tiba lelaki itu memanggil.

Tidak lama kemudian muncul seorang lelaki yang tidak kurang hebat penampilannya memimpin seorang wanita yang sangat cantik. Wanita itu sedang mengendong dua orang anak laki-laki yang masih kecil tetapi nampaknya sudah mampu berjalan sendiri. Orang-orang ini menghampiri lelaki berwajah cemerlang tadi. Lelaki itu mengibarkan sehelai selimut sehingga menyebelubungi mereka sebelum turut masuk ke dalamnya.

Tiba-tiba Rasyid berada di dalam selimut. Penampilannya pula berubah menjadi seorang kanak-kanak! Lelaki hebat itu membacakan ayat....


Innama yuridullahu liyuzhiba‘ankumurrijsa ahlalbaiti wayuthohhirakum tat’hiiro.


 Ah… Pemuda ini kenal ayat itu kerana ia selalu disebut dalam buku-buku mengenai Ahlul Bait iaitu anak cucu keturunan Rasulullah SAW. Itulah penghujung Ayat 33 Surah Al-Ahzab yang bermakna: “Allah hanya menghendaki untuk menghilangkan kotoran (dosa) daripadamu wahai Ahlul Bait, mahu membersihkan kamu sebersih-bersihnya.”

Ayat ini sering disebut para pembela Ahlul Bait sebagai bukti betapa Allah SWT merahmati keluarga Nabi... Ia juga jaminan Tuhan yang mahukan anak cucu Nabi turut menjadi suci sesuai dengan martabat yang diberi...

Selimut pun dibuka… Seketika itu Rasyid terasa dirinya disentap kuat lalu dibawa laju merentasi alam cahaya yang berubah-ubah seperti warna pelangi...  Terlihatlah alam demi alam pelbagai ragam yang tidak terkira banyaknya, masing-masing dengan khazanah sendiri yang tidak tercerita... Akal terkedu memikirkan, mulut terkunci, lidah terkelu. Hilang segala bentuk kata-kata, tiada langsung kemampuan mengungkapkannya. Masa atas masa, masa luar masa, alam tanpa masa, malah hilang bentuk tubuh-badannya, wujud tanpa rupa. Terbetik daripada kalbunya kata-kata ini:


“Aku cuma zilal, bayang-bayangMu sahaja… Asyhadu al la ilaha il Allahu wahdahu la sharikala wa asyhadu anna Muhammadan abdahu wa Rasulu”


Alam demi alam bertukar menjadi satu medan fikiran tanpa gambaran… Pemuda itu masih mampu berfikir kerana sedar akan kewujudan fikirannya walau tanpa bentuk dan tubuh-badan. Keadaan berubah lagi. Ah… Kali ini, fikiran Rasyid terasa semakin lama semakin pudar. Sudah...  Fikirannya juga telah hilang, lesap segala kesan wujud... Lalu Siapakah yang sebenarnya merasai, Siapakah yang sebenarnya sedang mengalami semua ini?

MasyaAllah! Engkau sahaja yang mampu mengenali diriMu ya Allah!  Engkau Zat Wajibul Wujud sedangkan aku ini Adum, tiada… Tiada lagi ku dengar kidungmu. Ah… ke situ pula perginya…  Sempat juga mengarut...

Akhirnya semuanya kosong belaka, ghaib seghaib-ghaibnya. Kosong yang bagaimana? Tidak fikiran, tiada medan... Hilang di dalam kuntu kanzan iaitu perbendaharaan Ilmu. Lenyap segala bentuk wujud, lebur di dalam cahaya. Cahaya di atas cahaya, nurin ala nurin. Allahu nurusamawatiwal ard…


Ya Awwal ya Akhir, Ya Zahir Ya Bathin, Ya Hayyu Ya Qayum, Haq, Haq, Haq.


Segala-galanya Dia. Hu, Hu, Hu, lautan luas tidak bertepi… Dia yang hidup, Dia yang berilmu, Dia yang berkehendak, Dia yang berupaya atas segalanya.  Dia juga yang mendengar dalam ilmuNya serta melihat kesemuanya. Lalu Dia berkata-kata mengikut kesukaanNya dengan ilmuNya. Dia itulah yang  wujud tanya sesiapa atau apa-apa berserta dengannya. Tiada sesuatu pun yang ada kecuali Dia, Hu, Hu, Hu! Noktah.





Jumaat, Jun 15, 2012

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian


OK. Esok, Sabtu malam Ahad akan masuk 27 Rejab 1433, malam Israq dan Mikhraj. Tergerak saya untuk berkongsi satu cerita yang terpapar dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" (terbit November 2007). Adapun cerita ini merupakan bahagian pertengahan daripada bab bertajuk "Lagi catatan mengenai tarikh dan peristiwa yang bercanggah". Untuk memahaminya, elok dibaca dahulu bahagian awal yang pernah dikongsikan melalui artikel Dunia sebagai tempat "senda gurauan"... 5 tahun lalu.


-------------




Memang susah mahu melihat sesuatu dari sudut yang melangkaui tarikh dan masa... Atau apa yang dipanggil sesetengah orang sebagai pandangan kacamata Rijalul Ghaib. Yang dimaksud di sini adalah orang-orang yang sudah ‘dighaibkan’ daripada pandangan manusia kebanyakan, bukannya jin, bunian ataupun malaikat. Dari satu segi, mereka masih lagi manusia biasa seperti kita, ada rupa, ada nama. Cuma bezanya, orang-orang ini telah memahami malah mengalami hakikat insan yang sebenar...

Mereka tahu, kemuliaan Nabi Adam yang menyebabkan Allah SWT memerintahkan semua  malaikat sujud kepada Nabi itu bukan terletak pada jasad, bukan juga pada akal seperti yang disebut kebanyakan orang tetapi pada roh yang merupakan rahsia Tuhan. Jika akal sahaja adalah sebab kemuliaan Adam, maka banyak jin yang lebih pandai, begitu juga malaikat malah Syaitan dan Iblis pun lebih tinggi pencapaian akalnya...

Orang sebegini faham apa itu dunia tanpa masa, dunia di luar masa, dan masa di atas masa.  Dia memahami, hidup yang kita alami ini sebenarnya cuma sebuah cerita, tidak ubah seperti cerita dalam VCD. Bila sudah faham dan cukup kuat untuk menunda siaran VCD, bolehlah keluar dari cerita... Dapatlah dia keluar daripada masa biasa seperti yang kita kenali ini.

Pengetahuan inipun sebenarnya tidak begitu tinggi kerana orang ini masih lagi berada di  dalam ruang-lingkup keadaan walaupun bukan dalam masa yang ditentukan cerita VCD. Sekarang, cuba bayangkan VCD tadi dipausekan ketika cerita dalamnya sudah berlangsung satu jam. Kemudian orang ini keluar makan, tidak kiralah di dapur ataupun di kedai belakang rumah setengah jam. Maka itu hakikatnya, dia telah menggunakan masa sebanyak satu setengah jam. Tetapi bila dimainkan balik VCD tadi, cerita di dalamnya tetap bermula dari jam yang pertama, bukannya jam satu setengah. Faham? Kalau tidak faham, cari seorang guru mursyid…

Keadaan ini lebih kurang seperti cerita Back to the Future. Watak hero boleh kembali ke tahun 1960an lalu duduk berhari-hari kemudian kembali ke zaman asalnya tepat pada waktu dia meninggalkannya dahulu. Pada orang lain yang berada semasa dia ‘menghilangkan’ diri, si hero tidak pernah pergi. Tiada siapa menyedari kecuali mereka yang mengerti…  Itulah  masa di atas masa... Tetapi belum lagi sampai ke tempat yang tidak bermasa, satu makam lebih tinggi di mana dahulu, sekarang dan akan datang adalah sama... Sedetik, seabad, malah selama mana pun tidak ada bezanya. Tidak dapat diterangkan, tidak dapat dibayangkan. Ibarat sekali pandang, seluruh peristiwa dunia dari mula dicipta sampai akhir zaman dapat dilihat sekali imbas. Mulut terkunci dari membicarakannya, akal langsung terkedu...

Kenapa? Tak percaya ke? Anda rasa tidak ilmiah? Kalau begitu, cuba tanya orang yang memahami Sains peringkat tinggi seperti General Theory of Relativity  ciptaan saintis tersohor Albert Einstein. Tanya apakah akan terjadi jika manusia boleh bergerak dengan kelajuan cahaya atau masuk ke dalam black hole, lubang hitam yang tercipta apabila sesuatu bintang dengan jisim kurang daripada Chandrasekar Limit tidak mampu menahan pengecutan diri sendiri. Jangan terperanjat jika jawaban yang diberi tidak jauh beza dengan apa yang sudah lama diketahui dalam ilmu Tasawuf. Bezanya, para saintis masih meneka-neka hal ini kerana cuma mengetahui melalui perkiraan Matematik sedangkan golongan Sufi atau pengamal Tasawuf peringkat tinggi sudah mengalaminya, sudah melihat dengan mata kepala sendiri!

Mengikut teori Fizik, bintang-bintang seperti matahari mengalami proses tarikan graviti dan proses peletupan nuklear yang seimbang selagi hidrogen yang menjadi jisim dan bahanapinya cukup. Selalunya ia memakan tempoh berjuta tahun sebelum luput. Tarikan graviti akan menarik jisimnya ke dalam sedangkan letupan akibat reaksi nuklear melontarkannya keluar.  Keseimbangan antara dua proses ini menyebabkan sesebuah bintang dapat mengekalkan bentuknya yang bulat. Tetapi keseimbangan akan hilang apabila semua hidrogen bertukar menjadi helium. Ia pun mengembang menjadi apa yang dikenali sebagai Red Giant, atau bintang gergasi merah seterusnya bertukar lagi sifat bergantung pada jumlah jisimnya yang asal.

Bintang sebesar matahari akan menamatkan jangka hayatnya yang menjangkau berbillion tahun dengan membuang lapisan luarannya lalu mengecut menjadi bintang kecil yang dipanggil White Dwarf ataupun bintang kenit putih. Bintang yang jisim asalnya lebih tiga kali jisim matahari pula akan mengembang lagi menjadi supergiant, gergasi  terlebih besar dan mungkin meletup menjadi apa yang dikenali sebagai supernova.

 Saki-baki bintang yang meletup akan menjadi White Dwarf. Jika jisim yang tinggal lebih kecil daripada ukuran Chandrasekar Limit, saya pun tidak ingat bagaimana ukurannya kerana sudah lama meninggalkan pengajian ini, ia akan mengecut, samada untuk menjadi neutron star, sejenis bintang yang terdiri daripada zat neutron yang sangat padat... Atau ia boleh mengecil  sehingga menjadi satu titik sahaja! Bayangkan, sebuah bintang yang berjuta-juta kali lebih besar daripada bumi dipadatkan menjadi satu titik. Itulah objek ajaib langit yang dikenali sebagai black hole... Kepadatan jisimnya tidak dapat digambarkan, kalau mengikut perkiraan Matematik boleh mencapai tahap infiniti kilogram untuk setiap meter padu menyebabkan ia mempunyai tarikan graviti yang mampu membengkokkan cahaya malah  perderaran masa pun jadi kacau... Setahun boleh jadi sesaat begitu sahaja!

Tak perlu  bersusah-payah masuk ke dalam black hole... Cuba tanya  para saintis, apakah yang akan terjadi jika seseorang pergi rapat ke sempadan tidak kelihatan jauh di luar titik yang dipanggil event horizon. Tanya pakar-pakar ilmiah yang amat membangga-banggakan kepandaian logik dan akal, apakah konsep masa pada orang yang tersangkut di event horizon. Bukankah sama keadaannya seperti orang yang berada di luar masa, masa di atas masa atau langsung tidak ada masa? Bukankah dahulu, sekarang dan masa hadapan boleh jadi serupa lalu wujud dalam sekelip mata sahaja?

Masalahnya, tidak ada mana-mana saintis pernah mengalami ini. Bagaimana mahu pergi ke black hole yang jauhnya beribu Tahun Cahaya (perjalanan setahun cahaya bersamaan 300,000km/saat x 60 saat x 60 x 24 x 365!) daripada bumi sedangkan mahu ke bulan yang terletak sekitar 400,00km pun punyalah susah, makan masa berhari-hari? Tetapi keadaan luar masa, atas masa dan tidak wujud masa adalah pengalaman yang nyata bagi orang Tasawuf peringkat tinggi atau dipanggil muntahi, mereka yang telah mencapai taraf wali... Atau sesiapa sahaja yang mahu diberi petunjuk oleh Allah SWT. Maka itu Surah Al-Asr dalam Al-Quran menyebut:


Demi masa.
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal-soleh dan berwasiat dengan haq (kebenaran) dan berwasiat dengan sabar. 


Di sebalik Tuhan bersumpah atas nama masa, tersirat makna mendalam yang menyatakan bagaimana ruginya manusia tidak memahami hakikat sebenar dunia sehingga sanggup menghabiskan seluruh usia mengejar bayang-bayang dan khayalan semata. Tersirat juga makna  menunjukkan tidak rugi orang yang memegang rukun iman lalu percaya kepada hal-hal ghaib. Mungkin mereka akan menerima kefahaman akan makna dan fungsi  sebenar masa lalu berwasiat dengan kebenaran dan kesabaran?

Mereka yang haq (benar) memahami hakikat kejadian alam. Maka mereka dapat melihat apa yang dimaksudkan dunia ini hanya khayalan, tempat berseronok serta persinggahan yang sementara... Akhirat jua yang kekal dan abadi seperti di sebut dalam ayat 32, Surah Al An’aam pada awal bab ini. Mereka yang sabar mungkin belum memahami dan mengalami hakikat ini tetapi dengan sifat sabar, Insyaallah akan dibukakan hijab...

Masa itu baru kita nampak apa yang dimaksudkan sesetengah orang tua, orang yang kadang-kala dianggap gila kerana cerita-ceritanya tidak masuk akal... Katanya boleh sampai ke zaman itu dan ini, sudah melihat peristiwa itu dan ini walaupun mengikut perkiraan logik kita, peristiwa  tersebut telah berlaku berjuta tahun lalu. Rupa-rupanya dunia yang kita agung-agungkan ini tidaklah sebesar mana. Alam yang kita nampak luas ini cuma terletak di dalam satu titik sahaja, lebih kurang seperti cerita dalam VCD yang disimpan di dalam sekeping cakera padat di bawah TV.

Alam ini sebenarnya tidak ubah seperti dunia virtual reality dalam komputer yang boleh diprogramkan untuk menjadi sebesar mana yang kita suka. Hakikatnya, betapa besar pun dunia yang kita cipta, rupa-rupanya semuanya boleh disimpan ke dalam mikrochip  yang saiz fizikalnya tidak sampai pun satu inci persegi... Semuannya sekadar maklumat yang boleh disimpan di dalam komputer, sepertimana semua alam yang wujud adalah maklumat di dalam ilmu Allah Ta’ala jua. Itu sahaja...

Alam ini dan segala yang berada di dalamnya cuma cerita-cerita yang diciptakan Tuhan untuk menunjukkan kebijaksanaan dan kebesaranNya. Maka itu tidak ada sesuatu pun dijadikan sia-sia, masing-masing ada tempatnya. Kalau ada hero atau wira, mesti ada crook atau orang jahat. Mahu sedapkan cerita, kena ada heroin juga. Ada Adam, ada Hawa. Lawan pula dengan Syaitan. Baik lawan jahat. Ada hitam ada putih, ada kecil ada besar…  Semuanya dijadikan berpasangan. Barulah sesuatu cerita itu complete, lengkap. Barulah ada nikmat bila ditonton atau disaksikan kerana terdapat kebijaksanaan yang sangat mendalam di sebalik setiap penciptaan…

Orang-orang Tasawuf ada menyebut matikan diri sebelum kamu mati.  Penerangan mudah, matikan diri yang terikat dengan dunia sebelum dunia  lari akibat Malaikat Maut menjemputmu kembali… Ini boleh dilakukan dengan mengawal hawa nafsu sendiri sehingga tidak lagi terpengaruh dengan tarikan dunia. Baru boleh mendapat kekuatan jiwa untuk memahami hakikat kehidupan ini yang tidak ubah seperti menonton cerita VCD...

Jika kita sudah faham hakikat sebenar dunia, maka tidak perlulah lagi kita gelojoh mengejar harta dunia dan sebagainya. Dunia cuma dipakai setakat yang perlu kerana kita tahu ada tempat lain yang patut dituju.  Malah kita tidak akan takut mati kerana tahu selepas ini akan ada lagi alam lain yang boleh diterokai, sepertimana terdapat berbagai cerita VCD. Masalahnya, bolehkah kita memahami semua ini dengan akal biasa sahaja? Atau perlu dibuat paradigm shift, satu anjakan paradigma untuk melihat kebenarannya seperti dilakukan mereka yang arif akan jalan kerohanian?