Pada saat dan ketika yang baik, Rasyid pun bersiap-sedia meninggalkan Medan untuk meneruskan perjalanan ke Aceh. Oleh kerana perjalanan darat mesti melalui bandar Tanjung Pura di kabupaten (wilayah) Langkat yang bersempadan dengan bumi Serambi Mekah, pemuda ini bercadang untuk singgah di Kampung Babussalam, sebuah pusat kerohanian Tariqat Naqsyabandiah yang terbesar di Sumatera.
Selesai sarapan pagi, Apin menghantar anak Malaysia ini ke batu enam jalan besar ke Binjai, tempat perhentian kereta sewa ke utara Sumatera. Memandangkan Rasyid orang luar yang tidak tahu selok-belok tempatan, dia pun berbincang dengan seorang pemandu untuk menetapkan harga tambang. Mereka bersetuju dengan tambang 7,000 Rupiah. Rasyid menyediakan ongkos itu lalu menyerahkannya terus kepada pemandu.
Pesan Apin ringkas: “Turunkan kawan saya ini di Masjid Azizi, Tanjung Pura.” Dia menunggu sehingga mobil itu (sebenarnya van sebesar Toyota Liteace yang dijadikan pengangkutan awam) cukup penumpang, adalah dekat 20 orang berhimpit bertemu lutut dan siku. Selepas mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada Apin, Rasyid pun berlepas meninggalkan hiruk-pikuk kesesakan kota Medan.
Dalam perjalanan, pemuda kelahiran Muar, Johor itu tidak banyak bercakap. Dia hampir tidak bersuara langsung, menikus dalam dunianya sendiri seperti tidak mahu bercampur orang langsung. Orang tua yang duduk berhimpit di sebelah sehingga lutut mereka bertemu ada bertanyakan arah tujuannya tetapi Rasyid cuma menjawab: “Mahu ke Tanjung Pura”. Kemudian tersenyum sebelum menoleh ke hadapan melihat pemandangan.
Mungkin sikapnya kelihatan sombong kerana tidak sudi berbual dengan penumpang lain. Sebenarnya pemuda ini tidak mahu bercakap banyak kerana tidak mahu sesiapa menyedari dia adalah orang luar. Takut ada manusia berniat jahat akan mengambil peluang mengenakannya, take advantage kerana dia tidak tahu selok-belok tempatan. Sekurang-kurangnya jika ada yang sedar pun, mereka mungkin menganggap Rasyid sudah biasa ke Indonesia. Mungkin berfikir dua tiga kali sebelum cuba menipunya. Pengalaman dua hari dua malam di Medan telah mengajar, ramai manusia sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan duit tambahan...
Bukan hendak kata orang Indonesia jahat, apa lagi orang tua di sebelah yang kelihatan kuat beragama. Tetapi kalau orang ini jujur, belum tahu penumpang lain juga begitu. Maka lebih elok berhati-hati sebelum apa-apa terjadi. Bila Rasyid membuka mulut , orang boleh tahu pemuda itu orang Malaysia dan selalunya mereka menyangkakan orang Malaysia kaya-raya belaka, ada membawa banyak duit untuk melancong di Indonesia. Lalu ramai yang meletakkan harga lebih, tidak kira untuk membeli rokok, makan di warung atau membayar tambang pengangkutan awam. Tambang atau harga barangan 1,000 Rupiah boleh dinaikkan menjadi 5,000 Rupiah. Silap-silap di’ketuk’ menjadi lebih 10,000 Rupiah!
Orang tempatan atau orang luar yang sudah biasa dengan Medan selalunya jarang bertanyakan harga. Kalau naik pengangkutan awam, agak-agak sahajalah berapa orang selalu beri, 1,000 Rupiah atau 2,000 kemudian bayar. Jangan bercerita panjang... Begitu juga harga makanan dan rokok kerana kedai-kedai biasa jarang meletakkan tanda harga.
Itu belum dikira muka-muka penyangak yang akan cuba menggertak meminta duit jika diberi peluang. Dari jauh lagi, dari body languagenya, Rasyid boleh mengenali orang-orang seperti ini... Dan sejak sampai di Indonesia dia telah terserempak tidak kurang empat orang berperangai gangster yang tidak akan teragak-agak meminta wang jika diberi peluang.
Masjid Raya Azizi memang cantik. Rasanya lebih indah daripada Masjid Raya Al Mansun kebanggaan Medan. Dari luar lagi Rasyid sudah terpegun melihat bangunan berwarna kuning cair ini dengan kubah hitam tinggi besar dikelilingi beberapa kubah hitam lain yang lebih kecil tetapi sama reka-bentuknya. Sudah nampak tiang-tiangnya berhias cantik dengan ayat-ayat Al-Quran tertulis dalam seni khat indah di sekeliling.
Lalu dia terus bergegas ke masjid. Lagipun pemuda yang pernah bersolat di beratus buah masjid seluruh tanahair, mungkin juga beribu termasuk di luar negara perlu ke tandas untuk melepaskan hajat. Selesai itu, barulah dia berjalan mengelilingi bangunan itu untuk melihat senibinanya daripada beberapa sudut. Ah... memang indah dan tinggi nilai keseniannya.
Kalau hendak tahu bagaimanakah rupa Masjid Azizi lihatlah Masjid Zahir, masjid diraja Kedah di Alor Setar. Memang rekabentuknya berkaitan. Di perkarangan masjid lama Kedah itu terdapat papan-tanda yang tertulis bahawa Masjid Zahir didirikan menurut senibina masjid-masjid di Langkat. Agaknya Kedah dan Langkat memang ada kaitan kot?
Di perkarangan hadapan arah kiblat pula terdapat makam diraja Langkat yang mengandungi makam Sultan Musa Muazzam Shah (memerintah 1840-1893), raja yang tercatit dalam sejarah sebagai Sultan pertama kerajaan yang pernah menjadi wilayah taklukan Aceh itu. Baginda dikenali sebagai seorang yang alim lagi warak malah merupakan salah seorang Khalifah Tariqat Naqsyabandiah yang terkenal di Sumatera. Turut dimakamkan di situ ialah cicit baginda, penyair dan penulis Melayu tersohor di zamannya Tengku Amir Hamzah yang terbunuh ketika revolusi rakyat tahun 1946 yang telah meruntuhkan hampir kesemua keSultanan Melayu di Sumatera.
Lihat Kawasan pemakaman diraja Langkat (Royal burial ground of Langkat).
Tetapi lebih menarik perhatian Rasyid adalah batu-batu nesan di kawasan pemakaman itu tinggi-tinggi belaka, masing-masing setinggi orang dewasa! Batu nesan kerabat diraja perempuan yang berbentuk seperti api menjulang pula mengingatkannya kepada batu nesan berbentuk serupa di sebuah makam lama di Kuala Terengganu, berdekatan simpang tiga jalan ke muzium negeri. Bezanya batu nesan di Langkat itu diperbuat daripada batu mar-mar putih sedangkan makam lama Terengganu yang dilihatnya ditanda kayu bercat kuning. Apakah kaitannya? Wallahualam...
Setelah puas menziarahi makam, pemuda itu masuk ke Masjid Azizi lalu menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid. Kemudian berehat setengah jam sebelum berjalan kaki menuju ke pusat kota. Selepas 3 kilometer berjalan, barulah dia berhenti di sebuah kedai, makan tengahari lauk ikan dengan sayur masakan tempatan. Sambil itu, Rasyid mahu bertanyakan arah ke Kampung Babussalam kerana walaupun dia ada terserempak orang di sepanjang jalan, anak muda itu masih was-was hendak bertanya, takut tersilap orang lalu ditipu atau dipermainkan. Selepas meneliti airmuka setiap orang yang keluar masuk kedai, dia pun bertanya seorang pelayan kedai. Pelayan itu memberi petunjuk arah tetapi katanya kampung itu masih jauh, dekat 10 kilometer lagi. Jenuhlah juga kalau berjalan kaki...
Katanya lagi, Rasyid boleh menaiki motosikal sewa yang menjadi salah sebuah pengangkutan awam utama di sini, dipanggil orang tempatan sebagai ‘kereta’. Ambil di pusat kota, lagi 1 kilometer perjalanan tetapi dia tidak tahu tambangnya berapa. Pemuda itu sudah malas hendak bertanya lagi, nampak sangat tidak tahu selok-belok tempatan. Akhirnya dia menaiki beca yang kebetulan lalu di hadapan kedai makan. Rupa-rupanya, ‘terkena’ juga. terbang 20,000 Rupiah sedangkan anak muda ini boleh pergi ke Babussalam dengan tambang 2,000 Rupiah jika menaiki ‘kereta’...
Kampung Babussalam atau panggilan tempatannya Besilam memang sangat terkenal di Tanjung Pura. Nama itu juga harum di luar Langkat sehingga ke serata Sumatera. Ia adalah sebuah pusat kerohanian Tariqat Naqsyabandiah, lebih tepat Naqsyabandiah-Khalidiyah yang terbesar di pulau itu, berkat pengasasnya yang dikatakan bertaraf wali, almarhum Sheikh Abdul Wahab yang mendapat ijazah kerohanian dari Jabal Qubis, Mekah, bukit yang terletak berhadapan pintu Babus-Salam di Masjidil Haram.
Menurut seorang tua di Kajang, Selangor, Sheikh Abdul Wahab telah dilahirkan pada 10 Rabiul Akhir 1230 Hijrah (28 September 1811) di Kampung Danau Runda, Rantau Binuang Sakti, Rokan Tengah, dalam wilayah Kampar di Riau. Pakcik yang cuma ingin dikenali sebagai Pak Su ini memberitahu, Sheikh itu telah diamanahkan oleh gurunya untuk memimpin rumah suluk dan mengajar tariqat tersebut dari Aceh sehingga ke Palembang juga mengembangkannya ke serata Indonesia dan Malaysia.
“Almarhum telah mendapat ijazah dan mandat sebagai Khalifah Tariqat Naqsyabandiah daripada Sheikh Sulaiman Zuhdi yang pernah memimpin ibadah di Jabal Qubis bertahun-tahun lamanya,” dia menerangkan. “Ramai orang pernah bersuluk di bukit sebelah Masjidil Haram itu termasuk para jemaah daripada Turki, India, Malaysia dan Indonesia.”
Untuk pengetahuan, bukit itu sekarang telah ditutup, dibina sebuah istana keluarga Saud yang memerintah Arab Saudi. Maka tamatlah sebuah lagi warisan kerohanian umat Islam zaman-berzaman...
Kata Pak Su, Sheikh Sulaiman Zuhdi yakin Sheikh Abdul Wahab (nama sebenarnya Haji Abdul Wahab bin Abdul Manaf) akan menunaikan amanah sebagai Khalifah Naqsyabandiah dengan sebaik mungkin lalu meramalkan beberapa orang Sultan akan menjadi anak murid almarhum.
Rasyid yang tertarik mendengar cerita inipun bertanya:”Apakah yang diperlu dilalui almarhum sebelum diberi gelaran Khalifah, pakcik?”
Orang tua itu tersenyum. Kelihatan barisan giginya yang putih, bersih berkat amalan bersugi dan sentiasa berkumur setiap kali berwuduk...
“Macam-macam nak,” jawab Pak Su. “Kena buat latihan bersuluk, memencilkan diri dari masyarakat umum sambil memerhatikan adab dan pantang-larang. Solat lima waktu tak tinggal. Banyakkan solat sunat dan berzikir beribu-ribu kali ikut apa yang guru ajar. Sambil itu mesti kurangkan tidur, banyakkan berpuasa, jaga kesucian diri malah apa sahaja yang terlintas di hati. Ini sahaja Sheikh Abdul Wahab telah lakukan selama enam tahun!”
Tetapi kata pakcik itu, lebih penting lagi, seseorang itu mesti ta’at dan mematuhi setiap arahan guru tanpa banyak soal. Kerana dalam perjalanan ilmu tariqat, peranan guru mursyid sangat penting untuk peningkatan kerohanian anak murid. Untuk mencapai keadaan Fana’ (melebur, hilang identiti diri) dalam kewujudan dan keEsaan Allah Subhanahuwata’ala, seseorang murid mesti melalui peringkat Fana’ fil Sheikh, melebur dalam diri guru terlebih dahulu. Seolah-olah murid itu tidak pernah wujud, gurulah segala-galanya yang ada. Tetapi mestilah ikut seorang guru mursyid pewaris Nabi, bukan guru ‘Ya Ya’, guru ajaran sesat yang banyak terdapat sekarang...
Pernah terjadi, guru Sheikh Abdul Wahab menyuruh anak-anak muridnya membersihkan takungan najisnya. Ketika kebanyakan mereka merasa segan dan jijik lalu teragak-agak untuk mematuhi arahan, almarhum pula sanggup mengangkat kotoran itu dengan tangan sendiri.
“Selesai itu, Sheikh Sulaiman pun memberitahu tangan Abdul Wahab ini akan dicium raja-raja nanti. Ini terbukti apabila Sultan Langkat, Sultan Musa Al-Muazzam Syah mencium tangan almarhum di Kampung Babussalam,” kata Pak Su. “Malah Sultan yang pernah diberi gelaran Pengiran Indera Diraja Amir Pahlawan Sultan Aceh ini pernah dihukum oleh Sheikh Abdul Wahab, disuruh bertaubat dan beristighfar di tangga Masjid Babussalam. Sehingga ahli keluarga baginda merasa marah dan terhina lalu datang dengan pedang terhunus untuk melawan dan mengajar almarhum! Nasib baik suasana kembali tenang apabila Sultan sendiri menerangkan keadaan.”
Tanah Babussalam seluas 4 kilometer persegi pula telah diwakafkan Sultan untuk kegiatan agama Sheikh Abdul Wahab dan para pengikutnya. Baginda meneruskan tradisi nenek moyangnya memelihara guru agama, tradisi yang dimulakan Baginda Dewa Syahdan, bekas panglima keSultanan Deli yang membuka kerajaan di Guri lebih 300 tahun dahulu.
Kata Pak Su, Sultan Musa pernah memelihara Sheikh H.M. Nur, rakan seperguruan Sheikh Abdul Wahab ketika di Mekah. Sheikh inilah yang menasihati baginda dan isteri supaya bersuluk dengan almarhum, selepas seorang putera kesayangan baginda mangkat akibat sakit teruk.
Tidak lama kemudian, Sheikh Abdul Wahab yang sedang bermastautin di Kubu, Riau pun dijemput ke Langkat lalu mula memimpin suluk di tempat khas yang disediakan Sultan. Sampai masanya, baginda cukup maju lalu disuruh bersuluk di Mekah pula di bawah pimpinan Sheikh Sulaiman Zuhdi sehingga baginda sendiri mencapai taraf Khalifah...
“Sheikh Abdul Wahab telah berjaya mengangkat 126 orang Khalifah daripada pelbagai pelusuk Sumatera hinggalah ke Jawa dan Malaysia. Kalau di Semenanjung, ramai di Batu Pahat, salah satu tempat almarhum pernah bermastautin mengajar agama selain di Perak.” Pak Su memberitahu. “Setiap Khalifah pula layak untuk memimpin suluk dan mengajar Tariqat Naqsyabandiah di daerah sendiri. Bayangkan, berapa banyakkah agaknya jumlah pengikut semua Khalifah ini, diikuti para pengikut yang kemudian hinggalah sekarang. Lalu berkembanglah ajarannya ke merata tempat dan tersebar luaslah kemasyhuran Babussalam...”
Sheikh Abdul Wahab diberitakan telah kembali ke rahmatullah pada 21 Jamadil Awal 1435 Hijrah (27 Disember 1926), dalam usia yang amat lanjut iaitu 115 tahun. Tambah orang tua itu, almarhum meninggalkan 14 orang anak laki-laki, 12 perempuan dan empat orang isteri serta beberapa orang cucu. Malah, ada pihak menyebut, almarhum juga mempunyai 24 orang bekas isteri yang pernah diceraikan, masing-masing berasal dari pelbagai ceruk rantau!
Sayangnya, pada pengamatan Rasyid, Babussalam sekarang bukan lagi seperti zaman Sheikh Abdul Wahab atau mungkin zaman Pak Su, ketika mereka yang menerajuinya masih ikhlas memartabatkan Islam serta meningkatkan kefahaman untuk mengenali kewujudan Tuhan. Sebaliknya ia sudah berbau materialistik dan kurang jujur, sudah menjadi tempat berjual-beli amalan agama dan ayat-ayat Al-Quran untuk mendapatkan kekuatan rohani yang boleh memberi kelebihan dalam mencari duniawi...
Pencari dan pencinta kebenaran ini dapat merasakan nama besar almarhum sudah dijadikan penarik rezeki... Kampung itu telah menjadi kilang cop duit lebih daripada tempat melahirkan penganut Islam yang tulin. Sepertimana Istana Maimon di Medan sudah menjadi semacam muzium tempat kerabat diraja menagih pendapatan, Babussalam juga sudah dijadikan sumber sara hidup mereka yang mewarisinya.
Ini menjadi nyata apabila Rasyid masuk ke dalam bangunan makam yang agak mewah dengan rupa seakan-akan bangunan makam diraja Perak di Bukit Chandan. Ketika itu ada lah sekitar enam orang pengunjung menunggu hendak menziarahi makam Sheikh Abdul Wahab. Tetapi setiap seorang perlu melepasi penjaga makam terlebih dahulu, tidak boleh terus ke sana walaupun setakat untuk menghadiahkan Surah Fatihah.
Penjaga itupun bertanyakan hajat mereka ke sana, apakah bantuan yang perlu atau masalah yang dapat diselesaikan dengan berkat karamah almarhum sebagai seorang wali Allah dan Khalifah Tariqat Naqsyabandiah. Lalu seorang demi seorang mendekatinya menyatakan apa yang terbuku di hati sebelum beliau membacakan doa, kemudian memberi jaminan apa yang dirunsingkan atau dihajati akan selesai atau ditunaikan Insya’allah tidak lama lagi. Setiap seorang pun menghulurkan segulung duit kepada penjaga makam sebelum berlepas pulang...
Rasyid tidak gemar melihat semua ini kerana merasakan ia tidak bertepatan dengan konsep ajaran Tasawuf sebenar yang di bawa Sheikh Abdul Wahab atau mana-mana guru mursyid yang menekankan pembentukan insan Islam sejati. Tetapi pemuda itu tetap menghulurkan sedikit wang kerana terpaksa menuruti adat, tidak mahu mahu kelihatan lokek ataupun biadab lebih-lebih lagi kerana dia adalah orang luar, kali pertama berkunjung ke sana dan ada niat untuk bermalam di Babussalam.