Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Mei 17, 2019

Menelusuri perkembangan penulisan buku "Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eropah Tahun 1995"

Salam pagi Jumaat 17 Mei 2019 bersamaan 12 Ramadhan 1440 Hijriah. Pada petang Jumaat 27 Julai 2018 saya ada mempersembahkan artikel bertajuk Bila kenangan hitchiking solo pusing Eropah musim panas tahun 1995 menyapa lalu mengisytiharkan akan memulakan satu usaha penulisan buku baru. Ia adalah tentang pengembaraan saya seorang diri pusing Eropah meliputi 11 buah negara lebih 20 tahun lalu. Sebenarnya usaha serupa tetapi dalam bahasa Inggeris pernah dilakukan ketika baru memulakan tugas sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times hampir penghujung tahun 2006. Tetapi selepas beberapa bulan iaitu pada tahun 1997 semua fail penulisan yang dibuat dalam sistem Intranet pejabat hilang akibat masalah tertentu lalu saya pun melupakannya.

Kalau tidak kerana itu cerita pengembaraan tahun 1995 itu harus membentuk buku pertama saya. Sebaliknya buku "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" yang berlatarbelakangkan cerita masuk ke Aceh ketika darurat perang akibat pertentangan antara puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka)  dengan TNI (Tentera Nasional Indonesia) Januari 2004 pula muncul sebagai buku pertama apabila terbit Jun 2006. Apapun saya lebih komited untuk menghasilkan buku pengembaraan tahun 1995 dalam bahasa Melayu. Kurang 2 minggu selepas  mengumumkan usaha baru artikel bertajuk Ringkasan perjalanan solo hitchhike keliling Eropah tahun 1995 pun menyusul. Ia memberikan ringkasan perjalanan berupa tempat-tempat yang disinggahi, cara berjalan (naik kenderaan apa), di manakah menginap pada setiap hari dan sebagainya.

Dalam mengumpulkan maklumat berkenaan bagi merangka penulisan buku didapati bahawa pengembaraan sebenarnya memakan masa 33 hari, bukan 31 seperti disangkakan selama ini. Sejak itu saya tidak berkongsi apa-apa lagi perkembangan tentang penulisan buku di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Tetapi ia sebenarnya telah dilakukan banyak kali di Facebook. Sekarang sudah sampai peringkat yang mana saya boleh mengisytiharkan sesuatu yang lebih kukuh tentang usaha. Sebelum itu biar disalin perkongsian-perkongsian yang sudah dibuat di FB selain daripada apa yang sudah diletakkan ke dalam artikel Bila kenangan hitchiking solo pusing Eropah musim panas tahun 1995 menyapa. Biar disunting sedikit untuk blogspot...



3 Ogos 2018 


1. DARI BRASTISLAVA KE VIENNA KE SALZBURG KE SWITZERLAND KEMUDIAN MASUK ITALI TANPA BELANJA SATU SEN PUN

Merujuk kepada update saya beberapa hari lalu mahu menulis buku tentang perjalanan saya solo hitchiking pusing Europe dalam tempoh 31 hari dengan belanja keseluruhan kurang RM1,000. Sukacita dimaklumkan saya telah memulakan proses penulisan buku dengan menterjemahkan catatan daripada buku kecil sebesar tapak tangan 64 muka surat yang dibawa sepanjang pengembaraan itu. Sampai pada bahagian tentang Salzburg di Austria terasa hendak berkongsi ini...

Adapun disebabkan hal tertentu duit saya tinggal 20 Pound Sterling sahaja di Brastislava, Slovak sedangkan perjalanan masih jauh lagi. Atas sebab itu saya berazam cuma akan menukar duit lalu membelanjakan apa yang patut apabila sudah masuk sempadan Itali. Di celah-celah itu saya menghabiskan masa lebih seminggu di Vienna, Salzburg dan Switzerland. Agak-agak bagaimana boleh hidup dalam tempoh itu dan berjalan lebih 1,000 km tanpa mengeluarkan sesen pun duit sendiri ya?



4 Ogos 2018


2. PUSING-PUSING DEKAT SEMPADAN SWITZERLAND-AUSTRIA-JERMAN

Salam. Merujuk pada usaha mahu menulis buku tentang perjalanan solo hitchhiking saya di Eropah tahun 1995. Penterjemahan catatan lama saya dah masuk bahagian di Switzerland. Di sana saya tumpang menginap rumah seorang makcik berumur 64 tahun. Ketika itu saya sedang teruk dilanda demam batuk selsema. Konon-konon satu hari tu nak rehat duduk di rumah aje le. Tengok-tengok datang gerak jalan-jalan pusing-pusing jugak seperti kelihatan dalam peta...



16 Ogos 2018 


3. MASUK BAB 8 DAH...

Alhamdulillah. Sukacita dimaklumkan usaha penulisan saya untuk buku mengenangkan perjalanan pusing Eropah tahun 1995 dah masuk Bab 8. Lepas ni kena break sat untuk mengikut majlis hol Tokku Paloh di Kuala Terengganu 17-18 Ogos...



21 Ogos 2018 


4. DAH NAK MASUK BAB 10 DAH WEH...

Sedar tak sedar penulisan untuk buku tentang perjalanan pusing Eropah tahun 1995 sudah masuk Bab 10. Ni baru letak title melibatkan negara Peranchis dan sedikit isi. Ada tulisan lama berbahasa Inggeris perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Siap itu boleh masuk Bab 11 tentang Belgium diikuti penutup cerita selepas meliputi 11 buah negara - Belanda, Jerman, Republik Czech, Slovakia, Austria, Switzerland, Liechenstein, Italy, Monaco, Peranchis dan Belgium. Lepas tu kena satu round sunting.

Semoga ada pihak sudi menerbitkannya dalam format penuh colour kerana ada banyak peta dan gambar. Masuk hari ini sudah 25 hari usaha menulis buku ini berlanjutan. Dahulu lebih 21 tahun lalu saya ada menulisnya dalam bahasa Inggeris untuk dijadikan buku pertama saya. Tetapi usaha dibatalkan akibat semua fail berkenaan hilang dalam sistem Intranet tempat kerja saya ketika itu.

Kini usaha dihidupkan balik atas gerak yang begitu kuat mendesak. Semoga ia muncul menjadi buku saya ke-13 sesuai dengan sifat gila-gila nombor saya sukakan nombor 131 sebagai lambang "home sweet home", rumahku syurgaku... :]



30 Ogos 2018



5. 31 OGOS 23 TAHUN LALU

Sedang menyunting manuskrip buku saya tentang perjalanan pusing Eropah secara solo hitchiking penghujung musim panas tahun 1995. Sampai ke bahagian peralihan tarikh dari 30 ke 31 Ogos. Ketika itu saya sedang berada di Bratislava, ibu kota Slovakia. Berlaku suatu hal pagi 31 Ogos sehingga saya bergelut dengan dua orang inspektor tiket setinggi 6 kaki, seorang daripada mereka ahli tinju...


------------

Nota tambahan : Selepas update atas saya tidak membuat laporan tentang penulisan buku di FB buat suatu masa yang agak lama. Saya tak ingat mengapa. Yang pasti saya menyuntingnya beberapa kali. Antara setiap suntingan saya 'berehat' dengan membiarkan manuskrip 'mendap' buat suatu waktu. Dengan cara itu saya dapat menghadap kembali manuskrip dengan pandangan yang lebih segar dan baru.

Sambil itu saya juga disibukkan dengan pelajaran kerana menyambung pengajian pasca-siswazah di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur bermula awal September. Hujung tahun pula saya disibukkan dengan perjalanan pusing Cambodia (Kemboja) dan Thailand bersama isteri dan anak-anak 22 November hingga 3 Disember.

-------------


2 Januari 2019


6. SEMOGA BUKU KENANGAN PENGEMBARAAN SOLO HITCHHIKE PUSING EROPAH MUSIM PANAS 1995 DAPAT DITERBITKAN

Salam semua. Setengah tahun lalu saya ada memberitahu mahu menulis buku tentang pengembaraan solo yang dilakukan secara hitchhike tidur bersepah pusing Eropah tahun 1995 dengan perbelanjaan kurang RM1,000 namun dapat meliputi 11 buah negara dalam tempoh 33 hari. Adapun penulisan sebenarnya sudah siap sepenuhnya 2-3 bulan lalu tetapi saya masih tidak berpuas hati lalu menyunting dan menyuntingnya lagi dan lagi. Kini sudah masuk suntingan kali ke-4. Insyaallah ia adalah final

Masuk Bab 6 tiba-tiba terasa hendak berkongsi perkembangan di FB. Adapun Bab 5 yang baru selesai disunting lagi sebentar tadi banyak menyebut tentang masalah yang dihadapi di Republic Czech. Antaranya barangan saya dicuri orang lalu apabila berhadapan dengan pencuri dia mengugut mengatakan ada memiliki pistol jenis Colt .45 dan ada orang ditembak mati di kota Prague. Kemudian saya digertak 40 orang peninju yang mahu saya menyerahkan duit USD selepas dipelawa menumpang bas mereka menuju ke Bratislava. Tetapi mereka akhirnya sekadar menurunkan saya ke suatu tempat selepas lebih 200 km perjalanan. Tapi tak timbul pun rasa nak kongsi kat FB. Masuk Bab 6 yang ada tajuk berkenaan cinta pula baru terasa nak kongsi, alahai... :]

Ya. Saya mengaku pernah tertarik dengan gadis-gadis di Slovakia. Biar dikongsi sedikit cerita berkenaan. 


“Merdeka! Merdeka! Merdeka!”. Hari itu adalah 31 Ogos 1995, Hari Kemerdekaan. Aku harap dapat melaungkan kata-kata keramat tersebut sepertimana dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman… “Merdeka! Merdeka! Merdeka!”. Tapi aku tak boleh. Belum sampai masanya untuk aku 'Merdeka', sekurang-kurangnya tidak sebelum perjalanan Eropah aku selesai.

Sebaliknya aku di atas jalan raya penuh kereta dan treler sedang berusaha melepasi sempadan Slovakia-Austria. Seorang gadis Bratislava yang cantik sedang berdiri di luar restoran berdekatan. Dia berpakaian begitu 'mengancam' seperti seorang remaja yang keluar untuk temu janji pertama. Tetapi beg besar berat di belakangnya menolak kemungkinan itu. Entah-entah dia seorang isteri yang lari dari rumah...

Aku berdiri menunggu kenderaan untuk tumpang sambil memerhatikan gadis itu. Dia mula kelihatan seperti seorang pesakit mental sambil dia berjalan kaki mundar mandir ke hadapan ke belakang menunggu apa entah. Berambut coklat gelap dengan mata biru cair tingginya lebih sedikit daripada bahuku. Tubuh badannya kecil dengan potongan yang bersesuaian.

Dia datang kepadaku dengan senyuman, bibir merahnya yang cantik membujur menunjukkan barisan gigi yang kemas. Ah. Boleh tahan lawa dia ni.

“Kamu hendak ke suatu tempat?” dia bertanya dalam bahasa Inggeris.

“Ya, saya mahu ke Vienna,” aku menjawab

“Baguslah itu. Saya sedang menunggu kawan untuk membawa ke sana," dia memberitahu. Itu membuat kami menjadi mesra. Kami berborak-borak sementara menunggu kenderaannya sampai. Melihat gadis itu aku tidak kisah menghabiskan masa di sana.


Nota : Ini bukan cerita kreatif angan-angan tetapi pengalaman hidup sebenar zaman muda-muda 23 tahun lalu. Semoga ada yang sudi menerbitkan buku nanti...



9 Januari 2019


7. MENCARI PENERBIT KHAS UNTUK TRAVELOG KENANGAN SOLO HITCHIKING DI EROPAH TAHUN 1995

Salam. Saya ingin meminta cadangan daripada kawan-kawan. Adapun manuskrip buku kenangan pengembaraan saya membuat solo hitchhiking di Eropah tahun 1995 sudah siap berserta gambar-gambar, peta-peta berkenaan juga gambar sedikit momento seperti tiket kereta api dan sebagainya. Projek penulisan ini sebenarnya pernah dimulakan hujung tahun 1996 dalam bahasa Inggeris tetapi terbengkalai akibat semua penulisan hilang awal 1997 kerana masalah komputer lalu saya melupakannya sejak sekian lama. Ia dihidupkan kembali pertengahan tahun lepas dalam bahasa Melayu akibat satu mimpi. Jika dahulu ia sepatutnya menjadi buku pertama saya, bukan buku "Berpetualang ke Aceh" yang terbit Jun 2006 kini saya mengharapkan agar ia menjadi buku ke-13 saya iaitu selepas buku ke-11 ("Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" dan buku ke-12 ("Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia" diterbitkan syarikat saya sendiri, Wasilah Merah Silu Enterprise awal tahun lalu.

Adapun saya tiada modal untuk menerbitkan buku travelog itu sendiri. Satu syarikat di mana buku ke-8, ke-9 dan ke-10 saya diterbitkan pula agak susah dihubungi buat masa ini selain buku travelog Eropah itu lari jauh daripada kebiasaan tajuk-tajuk penerbitan mereka. Dengan itu saya meminta kawan-kawan dan kenalan memberikan cadangan nama-nama syarikat penerbitan yang biasa atau sanggup menerbitkan buku travelog yang saya cadangkan itu. Manuskripnya telah saya sunting sendiri 5 kali pusingan. Yang perlu sekarang cuma suntingan tambahan daripada pihak penerbit kemudian lay-out atau reka letak ke dalam bentuk dan saiz buku yang bersesuaian.

Saya mahu ia diterbitkan berwarna-warni, bukan hitam putih kerana ada banyak gambar menarik disertakan. Sila berikan nama-nama syarikat penerbitan yang boleh menghargai usaha penulisan ini. Harap berikan sekali contact number orang yang boleh membuat keputusan. Boleh pm saya tentang ini. Bantuan anda sangat-sangat dihargai. Terima kasih daun keladi... :]

Kandungan

Kata Penulis

Mukadimah – Menghidupkan Kembali Penulisan Lebih 21 Tahun Lampau
Merancang Perjalanan Paling Ekonomi Pusing Eropah
Mimpi Yang Mencetuskan Ingatan Kuat
Buku 'Pertama' Yang Asal

Bab 1 - Pengembaraan pun Bermula
Menggali Kenangan Daripada Catatan Lama
Feri Dover ke Calais

Bab 2 - Suka Duka di Belanda
Ditinggalkan Bas di Breda
Penerokaan Awal di Amsterdam
Gitar Kesayangan Dicuri Orang
Tidur Dalam 'Sampan'

Bab 3 - Mengumpul Kekuatan Untuk Hitchhike
Mengorak Langkah ke Luar Amsterdam
Apa Ada di Leiden?
Santai di Den Haag
Baru betul-betul Hitchhike
Merentas Hutan ke Sempadan Tengah Malam

Bab 4 - Kontras Timur-Barat di Jerman
Naik Treler 'Transformers' ke Koblenz
Ke Kota Mewah Wiesbaden dengan Mercedes C300
'Pengaruh' Sungai Rhine
Bergerak ke Franfurt
Antara Zaman Sebelum Perang dan Selepas
Menuju ke Timur Jerman dan Dresden
Perbezaan Antara Timur dan Barat
Peradaban Tinggi Dresden
Melihat Saki Baki Kesan Komunisma
Pusing Lagi Dresden Sebelum Keluar

Bab 5 - Cabaran Republik Czech
Melilau Mencari Jalan Masuk
Bergerak ke Prague
Hiburan Tanpa Batasan
Ugutan Pistol Colt 45
Berhadapan 40 Orang Peninju dalam Bas

Bab 6 – Jatuh Cinta di Slovakia
Persinggahan di Brno
Kereta Api ke Brastilava
Pengalaman Awal di Ibu Kota Slovakia
Hari Yang Boleh Tahan Padat
Ditangkap Kerana Tidak Membeli Tiket

Bab 7 – Meneroka Dunia Klasikal Austria dengan Belanja Tinggal £20
Berjalan Kaki Melepasi Sempadan
Diajak Gadis Cantik Menumpang ke Vienna
Penerokaan Awal Kota Klasikal Indah
Kedutaan Malaysia di Austria
Sungai Danube yang Membiru
Melangkah ke Luar Vienna
Menghirup Udara Salzburg

Bab 8 - Suasana Pergunungan Alps di Switzerland
Bergerak Meninggalkan Austria
Nasib Dapat Melepasi Sempadan
Rehat di Timur Laut Switzerland
Berbasikal di Pergunungan Alps
Singgah ke Negara Kecil Liechtenstein
Lingkungan Switzerland yang Asal
Mendaki Puncak Gunung Rigi Kulm
Satu Malam di Zurich
Mengorak Langkah Keluar

Bab 9 – Penjenayah Jalanan di Itali
Perjalanan Rentas Gunung ke Selatan
Terowong Bawah Tanah Gotthard
Melepasi Milan ke Genoa
Diganggu Penjenayah Jalanan
Bergerak Keluar Itali
Dari Riviera ke Cote d'Azur
Perbincangan Ekonomi dan Ideologi dengan Orang Peranchis
Sejenak di Monaco

Bab 10 – Keperitan Pelbagai Cabaran di Peranchis
Persinggahan di Eze
Pantai 'Bagus' di Nice
Istana Berkubu di Selatan Peranchis
Bermalam di Lereng Bukit dan Terowong di Sisteron
Persinggahan di Grenoble
Masuk Lokap Akibat Dituduh Pengganas
Dilepaskan Selepas Hangat Bertekak
Berjalan Kaki 50 km di Paris

Bab 11 – ‘Henjutan Terakhir’ di Belgium
Dari Antwerpen ke Brussels
Tempat-tempat Menarik di Ibu Kota Belgium
Kembali ke London

Penutup – Kenangan Silam sebagai Iktibar buat Masa Hadapan
Pelbagai Cara Menginap
Jarak Pengembaraan dan Berjalan Kaki
Ambil yang Jernih Buang yang Keruh
Daripada Kejahilan Menuju Kesedaran

Ringkasan Perjalanan Pusing Eropah 17 Ogos - 18 September 1995


------------

Nota tentang update : Pada ruangan komen update ada pembaca mencadangkan satu syarikat penerbitan untuk ditemui tentang buku. Sekitar seminggu lebih setelah mendapat maklum balas itu saya pun bertemu wakil syarikat tersebut. Pertemuan kelihatan memberangsangkan. Terasa seperti ada harapan mereka akan menerbitkan buku. Saya pun menunggu tanpa memikirkan langsung mahu mencuba penerbit lain.

Hampir penghujung Mac baru mendapat maklum balas. Dukacita dimaklumkan manuskrip buku pengembaraan Eropah ini ditolak kerana dikatakan tidak sesuai dengan rancangan syarikat. Dengan itu saya pun berazam untuk menerbitkannya sendiri. Update-update saya selepas itu di FB menggambarkan keazaman tersebut.



17 April 2019


8. BUKU KENANGAN KEMBARA EROPAH TAHUN 1995 - PUBLIC SURVEY SEBELUM BUKA PRE-ORDER

Salam semua. Buku terbaru saya, buku ke-13 hampir sedia untuk diterbitkan. Oleh kerana ia mahu dicetak full-colour atas kertas cantik art paper kosnya agak tinggi. Jumlah muka surat adalah 224. Saya bercadang untuk meletakkan harga RM55 senaskah. Di sini diberikan sedikit maklumat ringkas tentang buku. Sila berikan maklum balas...

TAJUK : Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eropah Tahun 1995

RINGKASAN ISI : Mengimbas kembali pengembaraan seorang diri pada musim panas tahun 1995 menaiki pelbagai kenderaan tidur luar merata tempat meliputi 11 negara di Eropah dalam tempoh 33 hari dengan belanja kurang RM1,000.

NEGARA DILIPUTI :

1. Belanda
2. Jerman
3. Republik Czech
4. Slovakia
5. Austria
6. Switzerland
7. Liechtenstein
8. Itali
9. Monaco
10. Peranchis
11. Belgium

JARAK DILIPUTI: Sekitar 5,900 km. 

Oleh kerana pengembaraan dibuat lasak sambil mahu menjimatkan belanja saya harus bersedia untuk hitchhike iaitu menumpang kereta orang, lori, trailer bagai. 1,240 km dibuat dengan pengangkutan awam termasuk perjalanan pembukaan London-Amsterdam (536 km) dan perjalanan penutup Brussels-London (365 km). 230 km berjalan kaki termasuk 50 km di Paris. Selain itu iaitu dalam 4,500 km adalah dengan hitchhike 

CARA MENGINAP : Saya juga telah bersedia untuk tidur di mana sahaja dengan menggunakan sleeping bag. Antaranya :-

1. Dua malam dalam sampan orang di Amsterdam
2. Satu malam tepi lebuh raya di sempadan Belanda-Jerman
3. Bawah jambatan di Frankfurt
4. Atas meja di luar restoran Dubi, Republik Czech
5. Hadapan Kedutaan Peranchis di Bratislava bersama ahli Greenpeace
6. Dalam kolong di tepi sungai Little Danube di Vienna
7. Bawah jejantas lebuh raya di Eugendorf, Austria
8. Bawah jejantas tempat letak di Zurich
9. Stesyen kereta api Fluelen, Switzerland
10. Tepi pelabuhan di Genoa
11. Bawah pokok dekat tol di Sanremo, Itali
12. Tepian pantai Nice
13. Dalam terowong kereta di Sisteron, Peranchis

PENGALAMAN LUAR BIASA : Mengembara melihat tempat-tempat cantik dan menarik itu adalah perkara biasa bagi semua pengembara. Melihat adat budaya pelbagai cara, makanan, agama dan sebagainya juga biasa. Yang luar biasa adalah cabaran-cabaran seperti berikut :-

1. Tertinggal bas di Breda, Belanda. Ini adalah bas yang dinaiki para permulaan pengembaraan dari London ke Amsterdam. Masih ada jarak lebih 100 km ke Amsterdam. Apakah yang anda akan lakukan sedangkan beg pakaian anda, sleeping bag, juga gitar berada atas bas?
2. Gitar dicuri di Amsterdam. Kononnya nak pakai untuk busking tampung belanja tapi dah hilang..
3. Barangan dicuri di Prague, Republik Czech. Saya harus berhadapan dengan 3 orang warga tempatan, seorang mengugut dengan mengaku memiliki pistol Colt.45
4. Berhadapan 40 orang peninju dalam bas ke Brno mahu meminta wang
5. Bergelut dengan 2 orang inspektor tiket di Bratislava, Slovakia
6. Berselisih dengan sekumpulan lelaki berwajah Arab, seorang membawa pisau daging berdarah-darah di Genoa, Itali
7. Masuk lokap satu malam di Lyon, Peranchis akibat disyaki pengganas Islam. 

SUDUT ISTIMEWA BUKU : Apa yang dikongsikan adalah pengalaman sebenar saya zaman muda-muda dahulu, bukan cerita yang dibuat-buat. Tapi pada saya lebih menarik lagi adalah bagaimana ia diceritakan kembali setelah lebih 20 tahun berlaku. Ini kerana dahulu saya agak keBaratan. Sedangkan sekarang saya lebih menginsafi makna keMelayuan dan menjadi orang Islam. Lalu semuanya diceritakan daripada sudut itu walaupun antara yang dikongsikan itu ada perkara-perkara yang sedikit liar...

Disertakan bersama status ini adalah gambar beberapa muka surat buku (gambar atas). Saya akan membuat satu lagi lapisan suntingan dan pengemasan isi sebelum ia diterbitkan.



18 April 2019 jam 08:09


9. BLURB UNTUK KULIT BELAKANG BUKU "KENANGAN KEMBARA EROPAH TAHUN 1995" - MINTA BANTU DIPERBAIKI...

Salam semua. Saya telah diminta untuk menyediakan blurb iaitu penerangan ringkas untuk menarik perhatian tentang buku. Letaknya pada kulit belakang buku. Setelah lebih 2 minggu ditanya baru dapat ilham sedikit. Saya pun tulis tadi.

Berikut adalah blurb tersebut. Minta pendapat pembaca/kawan-kawan ok tak ini? Kalau terlalu panjang mana harus dikekalkan mana harus dibuang agar ada 'punch'?

-------------------

Mengembara melihat tempat-tempat cantik dan menarik itu adalah perkara biasa bagi semua pengembara. Melihat adat budaya pelbagai cara, makanan, agama dan sebagainya juga biasa. Tetapi berhadapan dengan 40 orang peninju yang mahu meminta wang dalam bas ke Romania? Bergelut dengan dua orang inspektor tiket di Slovakia? Berselisih dengan sekumpulan lelaki Arab berwajah ganas, seorang membawa pisau daging berdarah-darah di Itali? Itu kerja gila.

Penulis merasa masuk lokap satu malam di Peranchis akibat disyaki pengganas. Di Republik Czech penulis berhadapan dengan tiga orang warga tempatan, seorang mengugut mengaku memiliki pistol Colt.45 kerana menuntut kembali barangan yang dicuri mereka. Malah pada awal pengembaraan pun sudah menerima cabaran apabila ditinggalkan bas di Belanda ketika berhenti rehat. Sedangkan beg pakaian dan segala macam barangan berada di atas bas. 

Perjalanan yang meliputi jarak 5,900 km ini, 4,500 km dengan menumpang kenderaan orang, 230 km berjalan kaki telah menyaksikan penulis menginap dua malam dalam sampan orang di Amsterdam, satu malam di tepi lebuh raya dekat lebuh raya di sempadan Belanda-Jerman dan satu malam bawah jambatan di Frankfurt. Penulis pernah bermalam atas meja luar restoran di Dubi, Republik Czech, hadapan Kedutaan Peranchis di Bratislava bersama ahli Greenpeace juga dalam kolong di tepi sungai Little Danube di Vienna.

Sesungguhnya perjalanan secara lasak yang dibuat seorang diri keliling Eropah tahun 1995 ini bukan biasa-biasa. Ditulis daripada sudut mengenangkan kembali apa yang telah berlaku lebih 20 tahun lalu ketika diri ini masih agak liar dan keBaratan berbanding diri sekarang yang lebih menyedari makna keMelayuan dan Islam ia memberikan dimensi yang jarang dapat dilihat dalam mana-mana hasil kerja.



18 April 2019 jam 23:51 


10. BLURB UNTUK KULIT BELAKANG BUKU "KENANGAN KEMBARA EROPAH TAHUN 1995" - OK TAK NI KE CAMANA?

OK. Ni dah trim daripada 4 perenggan yang dikongsikan pagi tadi jadi 2 perenggan. Boleh 'tangkap' tak? Ke camana? Nak kena trim lagi ke apa? Kalau trim apa nak kena simpan apa nak kena buang bagi orang tertarik nak beli buku?

------------------

Mengembara melihat tempat-tempat cantik dan menarik adalah perkara biasa bagi semua pengembara. Melihat bermacam adat budaya, makanan, agama dan sebagainya juga biasa. Tetapi berhadapan dengan 40 orang peninju yang mahu meminta wang dalam bas ke Romania? Bergelut dengan dua orang inspektor tiket di Slovakia? Berselisih dengan sekumpulan lelaki Arab berwajah ganas, seorang membawa pisau daging berdarah-darah di Itali? Itu kerja gila.

Penulis masuk lokap satu malam di Peranchis akibat disyaki pengganas. Di Republik Czech penulis berhadapan dengan tiga orang warga tempatan, seorang mengugut mengaku memiliki pistol Colt.45. Bermacam cabaran dilalui dalam perjalanan yang meliputi jarak 5,900 km keliling Eropah. Apa yang berlaku lebih 20 tahun lalu ketika diri masih agak liar dan keBaratan dikongsikan daripada sudut pandang diri sekarang yang lebih keMelayuan dan Islam.



18 April 2019 jam 23:51 
(tiada gambar)

11. TRIM LAGI BLURB

Salam malam Jumaat 13 Sya'aban. Saya kini berada di Kuantan. Berehat satu malam sebelum bergerak ke Kuala Terengganu esok pagi untuk majlis hol Tok Pulau Manis. Sambil itu masih cuba mendapatkan blurb terbaik untuk buku terbaru saya, "Kenangan Kembara Solo Pusing Eropah 1995". OK tak ni? Sila berikan maklum balas...

-------

Disyaki PENGGANAS di Peranchis. Diugut dengan pistol Colt .45 di Republik Czech. Berdepan 40 orang peninju dalam bas ke Romania. Bergelut dengan 2 orang inspektor tiket di Slovakia. Bagaimana mahu menghadapi semua ini?

Ia adalah antara beberapa pengalaman gila yang pernah dilalui Merah Silu. Ikuti kembara solo beliau hitchhike mengelilingi Eropah lebih 20 tahun lalu. Ketika diri masih liar dan keBaratan dalam mencari erti sebelum menjadi betul-betul Melayu dan Islam.



23 April 2019


12. CLOSER N CLOSER...

Alhamdulillah. Dapat dah nombor ISBN untuk buku ke-13 saya, "Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eropah Tahun 1995"...



27 April 2019


13. LAGI SIKIT JE SEBELUM BUKA PRE-ORDER...

Baru perasan PDP untuk buku terbaru saya telah dihantar melalui e-mail oleh Perpustakaan Negara pagi Jumaat. Suntingan lapisan akhir buku dan lay-out pula tadi sudah melepasi 50%. Sambil itu menunggu juga reka bentuk kulit buku siap. Selepas itu saya akan buka pre-order ya insyaallah...



30 April 2019


14. KEMBARA SOLO EROPAH 1995 SIAP PRINTABLE PDF

Salam semua. Sukacita dimaklumkan setelah beberapa hari pulun gila babi buat kerja printable PDF untuk buku ke-13 saya iaitu versi sedia untuk dicetak sudah berjaya disiapkan setengah jam tadi. Sekarang yang tinggal adalah menunggu cover design siap, insyaallah hari Rabu ini katanya. Selepas itu bolehlah dibuka pre-order. Cukup modal boleh hantar masuk kilang cetak.

Dikongsikan antara muka surat yang terdapat dalam buku. Ia memiliki banyak gambar cantik, peta dan sebagainya dalam full colour. Harga RM55 senaskah, saiz 6 x 9 inci sama seperti buku ke-11 dan ke-12 saya "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" dan "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia" tetapi kertas cantik artpaper sebab nak full colour 224 muka surat. Bersedialah untuk masuk dalam list pre-order. Ini cerita khas untuk orang yang pemberani, sedia mengotakan kata-kata. Atau mereka yang mahu menuju ke arah itu.



1 Mei 2019


15. DARI MENGIMBAS JADI MENGIMBAU KENANGAN KEMBARA PUSING EROPAH TAHUN 1995...

Tu dia. Dah 8 bulan saya dok berhempas-pulas tulis buku ke-13 saya ini. Ingatkan awal pagi Selasa semalam dah dapat final PDF siap dan sedia untuk dicetak. Tengok-tengok ada lagi perkara harus diperbetulkan sana-sini, ada lagi yang boleh diperbaiki sehingga dibuat lagi suntingan beberapa kali. Dekat jam 1 pagi Rabu tadi, dah masuk tarikh 1 Mei baru terasa cukup. Baru terasa yang ini dah boleh pergi.

Antara perubahan yang nampak kecil tapi sangat besar maknanya adalah penerangan ringkas yang mahu digunakan pada kulit buku. Walau kulit buku orang lain yang buat, teks semua ikut saya sepertimana terpapar dalam muka surat 1 buku. Selama ini saya menyebut begini :-


"Mengimbas kembali pengembaraan seorang diri menaiki pelbagai jenis kenderaan tidur luar merata meliputi 11 negara dalam tempoh 33 hari dengan belanja kurang RM1,000".


Beberapa jam tadi rasa patut tambah perkataan "buah" menjadikan "11 buah negara". Tetapi lebih penting lagi apabila timbul rasa untuk mengubah perkataan "mengimbas" jadi "mengimbau". Maka jadilah penerangan ringkas itu begini :-


"Mengimbau kembali pengembaraan seorang diri menaiki pelbagai jenis kenderaan tidur luar merata meliputi 11 buah negara dalam tempoh 33 hari dengan belanja kurang RM1,000"


Sesungguhnya mengimbas itu maknanya lebih ringkas. Seperti mengingati sepintas lalu. Mengimbau itu lebih mendalam. Ia meneliti sambil mengingati kenangan lalu kenalah dengan pengisian buku...



3 Mei 2019


16. SIKIT JE LAGI - MOHON KEMAAFAN DAN DOA...

Salam Jumaat 27 Sya'aban. Ya sikit saja lagi. Lagi sedikit dah nak masuk puasa bulan Ramadhan sambil saya sendiri lagi sikit lagi nak masuk 2 bulan pusat sunat sebelum masuk sebulan puasa wajib. Lagi satu, sedikit sahaja lagi nak siap design atau reka bentuk kulit buku terbaru saya "Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eropah Tahun 1995". Designer tengah adjust lagi sikit ni. 

Oleh itu ingin saya mengambil kesempatan sempena hari yang mulia ini memohon maaf kepada semua yang mengenali bagi pihak diri saya sendiri juga pihak keluarga. Kalau ada salah silap sama ada sengaja atau tidak harap dimaafkan bagi kosong-kosong. Kedua, doakan usaha buku ke-13 saya ini mencapai kejayaan, ramai yang berminat, sanggup membeli dan mendapat faedah daripada apa yang dikongsikan di dalamnya. Untuk pengetahuan ia sepatutnya menjadi buku pertama saya lebih 20 tahun lalu. Tapi berlaku satu masalah menyebabkan usaha dilupakan sekian lama.

Sekitar Julai tahun lepas baru saya mendapat mimpi dan isyarat untuk menghidupkan kembali usaha. Siap design dan cukup puas nanti saya akan buka pre-order ya. Target keluar kilang Jun 2019 iaitu lepas raya ni insyaallah... :]



9 Mei 2019 pada jam 00:29 


17. PRE-ORDER DIBUKA UNTUK BUKU ‘PERTAMA’ YANG MENJADI BUKU KE-13 RADZI SAPIEE @ MERAH SILU 

Salam semua. Akhirnya, setelah dekat 10 bulan berhempas-pulas menulis dan mengatur isi sebaiknya baru boleh dinyatakan ini. Dengan lafaz bismillah baru boleh dibuka pre-order untuk buku terbaru saya “KENANGAN KEMBARA SOLO HITCHHIKE EROPAH TAHUN 1995”. Adapun penulisannya pernah dimulakan dalam bahasa Inggeris ketika saya mula bekerja sebagai wartawan akhbar The New Straits Times hampir penghujung tahun 1996. Tetapi usaha dilupakan setelah semua fail berkenaan hilang akibat masalah pada sistem Intranet pejabat awal tahun 1997.

Usaha dihidupkan kembali tetapi dalam bahasa Melayu apabila mendapat mimpi untuk melakukannya Julai tahun 2018. Maka diimbau kembali pengalaman pengembaraan lebih 20 tahun lalu daripada kaca mata diri yang telah jauh berbeza berbanding dahulu. Dengan ini buku yang asalnya harus menjadi buku pertama saya akan muncul sebagai buku ke-13 iaitu sejak buku pertama “BERPETUALANG KE ACEH : MENCARI DIRI DAN ERTI” terbit Jun 2006. Sasaran saya buku terbaru ini dapat keluar dari kilang cetak pada Jun 2019 iaitu tepat 13 tahun selepas buku BERPETUALANG itu terbit. Sedikit maklumat ringkas tentang buku : -

TAJUK : KENANGAN KEMBARA SOLO HITCHHIKE EROPAH TAHUN 1995

RINGKASAN ISI : Mengimbau kembali pengembaraan seorang diri pada musim panas tahun 1995 menaiki pelbagai jenis kenderaan tidur luar merata meliputi 11 buah negara di Eropah dalam tempoh 33 hari dengan belanja kurang RM1,000. Pengembaraan dilakukan setelah tamat pengajian ijazah muda dalam bidang matematik di University College of London. Sebelum ke tanah besar Eropah saya ada membuat persediaan tidur lasak dengan menjadi gelandangan ataupun homeless di tengah kota London selama 3 bulan.

NEGARA DILIPUTI :

1. Belanda
2. Jerman
3. Republik Czech
4. Slovakia
5. Austria
6. Switzerland
7. Liechtenstein
8. Itali
9. Monaco
10. Peranchis
11. Belgium

JARAK DILIPUTI: Sekitar 5,900 km, 1,240 km dengan pengangkutan awam, 230 km berjalan kaki. Selain itu iaitu dalam 4,500 km adalah dengan hitchhike iaitu menahan lalu menumpang kenderaan orang. 

CARA MENGINAP : Mana sahaja dapat dengan menggunakan sleeping bag. Antaranya dalam sampan orang di Amsterdam, tepi lebuh raya di sempadan Belanda-Jerman, bawah jambatan di Frankfurt, atas meja di luar restoran Dubi, Republik Czech, hadapan Kedutaan Peranchis di Bratislava bersama ahli Greenpeace, dalam kolong di tepi sungai Little Danube di Vienna dan dalam terowong kereta di Sisteron, Peranchis

PENGALAMAN LUAR BIASA : Tertinggal bas di Breda, Belanda. Gitar dicuri di Amsterdam. Barangan dicuri di Prague, Republik Czech. Berhadapan dengan 3 orang warga tempatan, seorang mendakwa memiliki pistol Colt.45. Berhadapan 40 orang peninju dalam bas ke Brno mahu meminta wang. Bergelut dengan 2 orang inspektor tiket di Bratislava, Slovakia. Berselisih dengan sekumpulan lelaki berwajah Arab, seorang membawa pisau daging berdarah-darah di Genoa, Itali. Masuk lokap satu malam di Lyon, Peranchis akibat disyaki pengganas Islam.

JUMLAH MUKA SURAT : 224 berwarna saiz 6 x 9 inci termasuk gambar-gambar lama saya, gambar-gambar tempat dan lakaran peta perjalanan.

Mereka yang berminat sila ikut panduan berikut. Bayaran pre-order ini mahu digunakan untuk kos mencetak buku. Nama-nama mereka yang tersenarai sebagai pembayar akan diabadikan dalam blogspot CATATAN SI MERAH SILU.


CARA MEMBUAT PEMBAYARAN PRE-ORDER

Pilih salah satu harga berikut :-

1. RM55 senaskah sahaja bagi yang hendak mengambil buku terus daripada saya. Boleh berjumpa di rumah saya di Bandar Sungai Buaya, Rawang atau di Kuala Lumpur (selalunya saya berada di tempat belajar di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam di Bukit Tunku sepanjang hari Isnin)

2. RM62.90 (senaskah buku RM55 + RM7.90 pakej Poslaju) untuk pembaca di Semenanjung

3. RM67.50 (senaskah buku RM55 + RM12.50 pakej Poslaju) untuk pembaca di Sabah dan Sarawak.

Sila masukkan jumlah berkenaan ke dalam akaun saya :-

AFFIN ISLAMIC BANK : 20-530-011171-1

Atas nama: Mohd Fahrulradzi bin Mohamad Sapiee

Atau akaun isteri :-

MAYBANK - 112110854698

Atas nama: Nor Afidah binti Yusof

Selepas itu pm bukti pembayaran ke Facebook atau Whatsapp nombor saya 013-3082131. Sertakan sekali alamat pos dan nombor telefon untuk memudahkan urusan Poslaju 



10 Mei 2019 jam pada 00:07 
(update ini mengulang gambar daripada update sebelumnya)

18. MENUNGGU PENEMPAH DAN PEMBAYAR KE-13 DALAM TEMPOH SEJAM

Alhamdulillah. Setakat ini sudah ada 12 orang menempah lalu membayar untuk buku ke-13 saya "Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eropah Tahun 1995" iaitu sejak pre-order dibuka 23 jam lalu. Semoga ada seorang lagi muncul sebelum cukup 24 jam agar menjadi penempah dan pembayar yang ke-13...



10 Mei 2019 06:40


19. MELEPASI TAHAP 13 SEBELUM 24 JAM - APABILA DIRI YANG SEKARANG MENGIMBAU DIRI YANG DULU...

Salam Subuh pagi Jumaat 5 Ramadhan 1440 Hijriah. Salam penuh keberkatan. Sekitar jam 12 tengah malam saya ada upkan status mengumumkan sedang menunggu akan munculnya penempah dan pembayar ke-13 untuk pre-order buku terbaru saya "KENANGAN KEMBARA SOLO HITCHHIKE EROPAH TAHUN 1995" dalam tempoh sejam. Ketika itu iaitu sejak jam 10.30 malam begitu didapati telah ada 12 orang penempah membayar untuk mendapatkan buku. Sedangkan pre-order dibuka tak sampai 24 jam ketika itu.

Saya membuat pengumuman dengan harapan akan muncul penempah/pembayar ke-13 sebelum cukup 24 jam. Ketika pengumuman dibuat saya menjangkakan ada sejam lagi sebelum cukup tempoh. Tengok-tengok tak lama kemudian muncul seorang pembayar. Rupa-rupanya dia seorang kawan lama, junior setahun saya semasa A Level di PPP/ITM yang seingat saya sudah 30 tahun tidak ditemui mahupun dihubungi.

Saya pun memberitahu beliau adalah penempah dan pembayar ke-13 untuk buku ke-13 saya yang dijangka akan terbit pada bulan Jun 2019 iaitu tepat 13 tahun selepas buku pertama saya, "BERPETUALANG KE ACEH : MENCARI DIRI DAN ERTI" terbit Jun 2006. Besar maknanya itu. Seterusnya tergerak saya untuk meletakkan gambar lama di hadapan Menara Eiffel di Paris tahun 1995 lalu menyatakan itulah sebahagian daripada diri saya yang dahulu. Dia jawab masih ingat berdasarkan apa yang dikenalinya tentang saya zaman kolej dahulu.

Seterusnya tergerak saya untuk meletakkan gambar sedang menyambut doa pada penghujung acara kemuncak Haul Tok Pulau Manis di Kuala Terengganu pada malam 20 April iaitu malam Nisfu Sya'aban dahulu. Gambar itu sudah dicabut bahagian saya sahaja, tidak nampak orang lain untuk digunakan pada kulit belakang buku terbaru saya. Saya pun menyebut itulah diri saya yang sekarang. Maka diri itulah, yang berbusana tradisional Melayu bertanjak bagai sedang melihat diri terdahulu seperti dalam gambar di Paris itu. Secara rata hal inilah yang menggambarkan penulisan buku terbaru saya...

Adapun saya tergerak untuk menulis update ini apabila mendapati pada jam 5.13 tadi sudah ada penempah dan pembayar ke-14 untuk buku ini. Itu yang diberikan tajuk "MELEPASI TAHAP 13 SEBELUM 24 JAM - APABILA DIRI YANG SEKARANG MENGIMBAU DIRI YANG DULU...". Tergerak untuk meletakkan gambar diri kini di sebelah gambar diri lama. Sambil itu teringat bagaimana semasa belajar di London tahun 1991-1995 saya sering mengalami keadaan roh keluar masuk badan secara tiba-tiba.

Antara yang berlaku (dan ini ada dikongsikan dalam buku pertama saya 13 tahun lalu) adalah melihat diri yang sedang serabut berfikir macam-macam sambil berjalan kaki membelah kota London daripada satu sudut di luar dimensi biasa. Kelihatan ada diri saya sendiri yang lebih tenang sedang memerhatikan keadaan diri yang sedang sibuk mencari makna kehidupan ketika itu daripada arah yang tidak dapat dinyatakan di mana. Cuma nampak diri sendiri itu begitu jelas dengan mata hati. Terbetik dalam fikiran entah-entah yang melihat dengan muka lebih bersih, tenang dan tersenyum itu adalah diri sekarang?

Sekali lagi inilah halnya saya menulis buku terbaru... melihat pengembaraan dan diri lama lebih 20 tahun lalu daripada kaca mata sekarang yang lebih keMelayuan dan keIslaman. Apapun sudah lepas rasa dan luahan untuk update kali ini. Semoga lebih ramai lagi akan masuk sebagai penempah dan pembayar buku.


--------------------

Nota tambahan : Merujuk kepada update-update yang diberikan nombor 17, 18 dan 19 di atas. Adapun update 18 menyebut ia dibuat ketika menunggu sejam lagi genap 24 jam pre-order dibuka seperti dinyatakan pada update 17. Sebenarnya ini silap. Apabila diteliti kembali masa-masa update dibuat iaitu update 17 pada 9 Mei 00:29, update 18 pada 10 Mei jam 00:07 sebenarnya tinggal cuma 22 minit sahaja sebelum genap 24 jam. Saya menerima makluman dari penempah/pembayar ke-13 pada jam 00.28, seminit sebelum tempoh 24 jam itu tamat. Resit menunjukkan beliau telah memasukkan duit pada jam 00.23. 



11 Mei 2019


20. HARI KE-3 PRE-ORDER - HARAP BERTAMBAH LAGI PENEMPAH/PEMBAYAR BUKU...

Salam 6 Ramadhan. Hari ini masuklah hari ke-3 pre-order untuk buku ke-13 saya, "Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eropah Tahun 1995" dibuka. Semalam jumlah penempah dan pembayar baru mencapai 18 orang. Saya memerlukan lebih ramai lagi masuk untuk meliputi kos cetak. 

Harapan saya paling lewat dapat cukup duit untuk menghantar PDF buku ke kilang cetak sebelum minggu ke-4 Ramadhan masuk. Ini untuk mengejar sasaran buku dapat diterbitkan pada bulan Jun 2019. Kiranya ia adalah buku untuk sambutan bulan raya Syawal tahun ini. Semoga kawan-kawan dan pembaca terketuk hati untuk membantu usaha yang sangat bermakna ini.



15 Mei 2019 jam 17:03 


21. HARI KE-7 PRE-ORDER BUKU

Salam semua. Hari ini Rabu 10 Ramadhan sudah masuk hari ke-7 pre-order buku terbaru saya, buku ke-13 yang bertajuk "Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eropah Tahun 1995" dibuka iaitu sejak Khamis lalu 4 Ramadhan. Setakat semalam sudah ada 27 tempahan dan bayaran dibuat untuk buku. Hari ini setakat pada masa ini saya melihat sudah ada 2 penempah dan pembayar baru. Dilampirkan 2 muka surat dalam buku menceritakan bagaimana gitar semi-akustik yang dibawa ke tanah besar Eropah dengan niat untuk busking (bermain muzik di jalanan) membantu mendapatkan belanja perjalanan dicuri orang di Amsterdam. 



15 Mei 2019 jam 20:53 

 

22. MENGEJAR 31 PENEMPAH DAN PEMBAYAR BUKU DALAM TEMPOH 3 JAM PULA...

Salam semua. Merujuk kepada update saya 3 jam lalu tentang hari ini adalah hari ke-7 pre-order atau tempahan awal untuk buku ke-13 saya, "Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eriopah tahun 1995" dibuka. Setakat tengah hari tadi sebanyak 29 tempahan berbayar telah diterima. Masuk jam 12.30 malam karang akan tepatlah 7 hari pre-order dibuka sejak bermula waktu sama Khamis lalu. Saya berharap tempahan berbayar dapat mencapai jumlah 31 sebelum sampai waktu itu.

Adapun sejam sebelum pre-order mencapai tempoh 24 jam Jumaat lalu tengah malam saya ada membuat pengumuman serupa tetapi untuk mencapai jumlah 13 tempahan berbayar setelah mencapai 12 sebelum itu. Alhamdulillah masuk tengah malam jumlah itupun tercapai. Kini saya memerlukan 2 tempahan berbayar baru untuk mencukupkan jumlah 31. Semoga ada yang tergerak untuk menunaikannya dalam masa 3 jam ini. 


---------------

Nota : Selepas update atas ini dibuat muncul penempah dan pembayar ke-30. Semakan resit menunjukkan beliau memasukkan duit pada jam 21.30 iaitu 37 minit selepas pengumuman dibuat. Beliau memberitahu pada jam 21.34 dengan harapan dapat menjadi penempah/pembayar ke-31 demi memenuhi sasaran saya ketika itu.  Walaupun tak dapat, beliau telah membantu mendekatinya. Sasaran dicapai apabila muncul penempah/pembayar lain jam 22.33 memasukkan duit. 


-----------------


Sekarang sampailah kita pada apa yang mahu dinyatakan pada hari ini iaitu satu perkara yang belum lagi diumumkan setakat ini di mana-mana baik di Facebook apa lagi di blogspot. Sukacita dimaklumkan bahawa saya telah memutuskan untuk menghantar buku masuk kilang cetak pada hari Rabu ini 22 Mei ini bersamaan 17 Ramadhan iaitu hari Nuzul Quran. Walaupun sejak mendapat 31 tempahan berbayar iaitu lebih 40 jam lalu saya belum menerima bayaran baru, walaupun apa yang diterima belum mencukupi untuk menampung kos percetakan buku niat ini akan teruskan juga menggunakan duit simpanan yang ada. Saya sebenarnya memerlukan 100 lagi tempahan berbayar untuk meliputi kos itu. Semoga ramai lagi akan terpanggil untuk memenuhi keperluan tersebut.



CARA MEMBUAT PEMBAYARAN PRE-ORDER

Pilih salah satu harga berikut :-

1. RM55 senaskah sahaja bagi yang hendak mengambil buku terus daripada saya. Boleh berjumpa di rumah saya di Bandar Sungai Buaya, Rawang atau di Kuala Lumpur (selalunya saya berada di tempat belajar di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam di Bukit Tunku sepanjang hari Isnin)

2. RM62.90 (senaskah buku RM55 + RM7.90 pakej Poslaju) untuk pembaca di Semenanjung

3. RM67.50 (senaskah buku RM55 + RM12.50 pakej Poslaju) untuk pembaca di Sabah dan Sarawak.

Sila masukkan jumlah berkenaan ke dalam akaun saya :-

AFFIN ISLAMIC BANK : 20-530-011171-1

Atas nama: Mohd Fahrulradzi bin Mohamad Sapiee

Atau akaun isteri :-

MAYBANK - 112110854698

Atas nama: Nor Afidah binti Yusof

Selepas itu pm bukti pembayaran ke Facebook atau Whatsapp nombor saya 013-3082131. Sertakan sekali alamat pos dan nombor telefon untuk memudahkan urusan Poslaju 


Khamis, Mei 16, 2019

Memakmurkan manusia melalui Maqasid Shariah - Tinggalkan slogan politik yang berkepentingan, kembalilah pada maksud sebenar dan arah tujuan

Merujuk kepada artikel Menelaah makna dan rahsia puasa serta iftar di ISTAC. Disebut pada penghujung artikel bahawa saya menginap di masjid ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam) pada malam 9 Ramadhan untuk menghadiri satu majlis ilmu waktu paginya. Ia adalah majlis ilmu ketiga dihadiri dalam tempoh sehari dua itu. Ini  ceritanya.



Ini adalah poster bagi majlis yang dimaksudkan pagi Selasa 14 Mei 2019. Ia adalah diskusi buku bertajuk "Maqasid al-Shari'ah : Explorations and Implications". Terjemahan mudah - "Maqasid Shariah - Eksplorasi dan Implikasi".


Saya telah diberitahu tentang majlis oleh Sheikhul Kuliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar sejak seminggu lebih sebelum itu. Ketika itu belum pasti nak pergi ke tidak kerana terus terang cakap ada terasa allergic dengan perkataan Maqasid Shariah. Hal ini sama seperti saya ada rasa allergic dengan perkataan Islam Madani yang pernah berkumandang hebat di Malaysia 30 tahun lalu diikuti perkataan Islam Hadhari awal tahun 2000. Kemudian berkumandang pula perkataan-perkataan Islamik lain seperti Wasatiyah, Walaq dan tidak lama selepas itu Maqasid Shariah. 

Kenapa terasa allergic? Sebab saya tahu ia lebih pada slogan-slogan muluk yang diperkenalkan oleh orang politik dan para pemikir mereka untuk meraih sokongan dan populariti. Sebagai seorang anak Melayu yang pernah terdedah dengan kehidupan di balik tabir golongan elit  sejak berusia 18 tahun (pada tahun 1988) kemudian nampak banyak lagi perkara "lain yang dikata lain yang dibuatnya" semasa menjadi wartawan akhbar The New Straits Times tahun 1996-2001 saya sudah mual dengan kepura-puraan manusia.


Saya tahu tentang orang-orang yang nampak hebat di mata umum termasuk di kaca televisyen sering bercerita tentang perjuangan malah agama tetapi di belakang sana, di tempat-tempat yang tidak mampu dan tidak dapat dicapai rakyat marhain biasa ada yang kaki minum, kaki perempuan dan sebagainya. Belum lagi cerita tentang bab rasuah, penganiyaan terhadap mereka yang tidak sependapat dan sebagainya. Ini sebenarnya sangat biasa dalam dunia politik waima dalam kalangan orang Melayu Islam dan Malaysia ini sendiri. Disebabkan ramai berpegang pada ideologi politik Macchiavelli "matlamat menghalalkan cara" apa sahaja boleh berlaku demi merealisasikan perkara yang baik (konon).

Apapun perkataan-perkataan muluk yang disebut tadi itu sebenarnya tiada masalah malah bagus kerana memang memiliki nilai-nilai ideal yang tinggi. Yang jadi masalah ialah bagaimana ia disalah-gunakan oleh pihak-pihak tertentu termasuk hal Maqasid Shariah ini. Tak cukup kerajaan terdahulu sibuk melaung-laungkannya walhal banyak perkara tidak telus berlaku dalam kerajaan sekarang jadi lebih teruk lagi apabila orang bukan Islam pun sudah memandai-mandai menggunakannya untuk menyokong polisi mereka. Pun begitu apabila mengingatkan tidak ada begitu banyak majlis diadakan di ISTAC pada bulan Ramadhan ini saya menetapkan fikiran untuk menghadirinya walau nama Maqasid Shariah memberikan rasa mual. Dah dekat sehari nak berlangsung baru betul-betul baca poster. Baru sedar ia sebenarnya majlis diskusi buku.


Sudah dikongsikan dan diberitahu dalam beberapa artikel terdahulu bahawa sejak masuk tahun 2019 ISTAC mengadakan majlis diskusi buku sekali setiap bulan. Ia diadakan secara berselang-seli antara buku berbahasa Inggeris diikuti buku berbahasa Melayu dan seterusnya. Kali ke-4 dan terakhir iaitu hampir penghujung April saya terlibat sebagai salah seorang pengulas atau responden buku. Lihat artikel Menjejak Alexander Zulqarnain di bumi Khurasan - Satu diskusi yang membuka banyak persoalan. Selepas itu saya ke Terengganu untuk satu majlis keagamaan. Lihat Menyahut panggilan haul Tok Pulau Manis - Berkat keturunan Saidina Hassan?.

Sekadar berkongsi keadaan dengan jujur - kembali dari sana saya seolah-olah hilang rentak untuk meraih ilmu kesarjanaan. Dah lebih 3 minggu saya tidak mengemaskinikan penulisan tesis, nak baca apa-apa yang berkaitan pun tak masuk kepala. Mungkin juga ini berlaku disebabkan sibuk mengendalikan  hal penerbitan buku ke-13 saya, "Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eropah Tahun 1995" yang sedang menunggu cukup bayaran tempahan awal diterima sebelum masuk kilang cetak. Baru sekarang berusaha untuk kembali masuk rentak. Antaranya dengan mengikuti majlis-majlis ilmu terbaru di ISTAC terbaru diskusi buku pagi Selasa.


Ketika saya sampai editor atau penyunting buku. Profesor Mohamed El-Tahir El-Mesawi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM, singkatan dalam bahasa Inggeris menjadi IIUM) sedang menerangkan isi buku. Secara rata ia adalah usaha untuk mengangkat Maqasid Shariah dengan mengumpulkan penulisan beberapa orang sarjana tentang subjek daripada beberapa sudut pandang ke dalam buku. Secara ringkas, Maqasid Shariah membawa makna maksud-maksud mengikut shariah. Maksud dalam konteks ini adalah tujuan kenapa dijadikan hukum hakam shariah Islam itu begitu dan begini.

Ia adalah lanjutan daripada kajian terhadap ilmu Usul Fiqh atau asal-usul hukum hakam dalam bab feqah yang sudah dihuraikan panjang lebar sejak zaman 4 Imam Mazhab terkenal (Malik, Hanafi, Shafiee, Hanbali) lebih 1,000 tahun lalu. Cuma pada zaman Imam al-Shatibi yang hidup di Andalusia 1320-1388 Masihi baru dikaji dan dihuraikan arah tujuan itu sehingga mula keluar perkataan Maqasid Shariah itu. Tetapi ia dilupakan sehingga masuk zaman moden apabila muncul ulamak dari Tunisia bernama Ibnu Asyur (hidup 1879-1973) menaikkan kembali perkara. 


Saya rasa tak larat untuk memberikan huraian panjang lebar tentang apa yang dikongsikan pada majlis. Saya beri ringkas sahajalah setakat dapat ingat tanpa memaksa untuk mencari kembali rujukan di sana sini. Cukup ditambah El-Mesawi ada menyebut tentang bagaimana konsep Maqasid Shariah ada disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu lalu ini harus diperbetulkan. Seharusnya ia kembali kepada tujuan asal iaitu untuk memakmurkan manusia menurut fitrah yang telah dikurniakan oleh Allah SWT. 

Pengulas pertama Profesor Dr Mohamad Hashim Kamali yang merupakan  ketua pegawai eksekutif IAIS (singkatan bagi International Institute of Advanced Islamic Studies atau Institut Antarabangsa Kajian Lanjutan Islam) pun memberikan buah fikiran daripada sudut pandang beliau sebagai pakar dalam bidang ekonomi dan kewangan. Kata beliau, banyak perkara sudah diliputi dalam buku namun tetap boleh diperbaiki lagi.


Osman sebagai pengulas kedua pula memberikan kritikan dan buah fikiran sebagai seorang yang berlatarbelakangkan sains, matematik dan falsafah. Pada beliau buku itu 'terlupa' hendak mengambil sudut pandang ahli falsafah Islam tentang Maqasid Shariah. Seterusnya beliau mengajak agar dibuat apa yang perlu untuk menjadikan subjek ini satu cabang ilmu pengetahuan yang tersendiri, bukan lagi bahagian daripada pengajian Usul Fiqh atau sebagainya. Ini kerana mengambil kira banyak perkembangan zaman moden yang memerlukan penafsiran segar dalam menerbitkan hukum hakam yang berpatutan.


Majlis dijadualkan selesai jam 12.15 tetapi dipanjangkan kerana perbincangan menjadi lebih hangat apabila masuk sesi soal jawab. Dekat jam 1 ia masih berlangsung lalu saya terpaksa keluar kerana harus mengambil anak-anak balik dari sekolah jam 1.30 sedangkan jaraknya adalah 40 km dari ISTAC. Keluar dari bilik perbincangan terlihat buku yang sedang diperbincangkan lalu saya ambil gambar. Ketika itulah baru terdengar dari dalam bilik kedengaran pengumuman majlis ditangguhkan setelah sekian lama. Cukuplah dipaparkan daftar tajuk-tajuk kertas kerja dalam buku sebagai mengakhiri perkongsian saya kali ini ya...










Rabu, Mei 15, 2019

Menelaah makna dan rahsia puasa serta iftar di ISTAC

Dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Meninggalkan kedudukan sebagai qadi untuk mendalami falsafah dan logik yang dipersembahkan jam 1.31 pagi tadi ada disebut tentang 3 majlis ilmu yang dihadiri di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Artikel itu sendiri menceritakan tentang majlis pertama. Sekarang biarlah diceritakan tentang majlis kedua.


Majlis yang dimaksudkan sebenarnya adalah majlis iftar iaitu berbuka puasa pada petang Isnin 13 Mei. Namun ada sesi tazkirah pada jam 6 sebelum iftar. Maka itu ia adalah majlis ilmu juga.


Dan apabila berada di institusi sebegini hebat yang asbab berdirinya ia oleh pengasasnya cendekiawan besar bertaraf dunia Tan Sri Profesor Dr Syed Naquib al-Attas 3 dekad lalu segala-galanya adalah tentang ilmu dan kecintaan terhadap ilmu. Menghirup udara di sini pun akan terhirup sekali aura ilmu. Apatah lagi untuk berbuka puasa pada bulan Ramadhan yang mulia ini.



Disebabkan mahu turut serta saya tidak keluar langsung dari ISTAC sejak menghadiri syarahan pada waktu pagi seperti diceritakan pada artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Meninggalkan kedudukan sebagai qadi untuk mendalami falsafah dan logik.


Saya menghabiskan masa dengan membaca al-Quran di masjid sini kemudian melelapkan mata. Selepas menunaikan solat Asar saya pun bersiap untuk majlis iftar yang dimulakan dengan tazkirah tersebut di dewan makan.


Ketika masuk ke dewan jam 6.24 tazkirah sudah bermula.





Ia disampaikan oleh Sheikhul Kulliyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar. Tajuk yang dibawa adalah “The Secrets of Fasting” - Rahsia-rahsia Berpuasa.


Secara rata beliau hendak menerangkan dan berkongsi kepada hadirin tentang manfaat spiritual berpuasa selain manfaat fizikal yang biasa kita dengar seperti boleh menyihatkan tubuh badan dan mendisiplinkan diri. Maka disebutlah tentang keadaan berpuasa bagi 3 golongan seperti dinyatakan Imam al-Ghazzali iaitu puasa orang awam, puasa orang khusus (khawas) dan puasa orang khusus antara khusus (khawas wal khawas). Puasa awam itu seperti ramai ketahui kita berlapar berdahaga daripada masuk waktu Subuh hingga masuk waktu Maghrib juga menahan diri daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Selalu disebut juga ia dilakukan untuk mengambil teladan terhadap orang fakir miskin yang biasa berlapar dahaga kerana tidak cukup belanja. Itu adalah biasa, puasa orang awam.


Untuk puasa khusus kita juga harus menahan lidah daripada mengata perkara-perkara buruk dan tidak sepatutnya. Minda pun didisplinkan agar tidak memikirkan apa-apa perkara tidak baik termasuk berburuk sangka terhadap orang lain. Oh. Gambar ini dan gambar-gambar seterusnya diambil ketika berbuka puasa. Jangan ingat ketika tazkirah berlangsung ada orang dah mula isi perut... :]



Tazkirah sebetulnya ditamatkan sekitar jam 7.05 sedangkan Maghrib masuk sekitar 7.18. Biar diberi sedikit lagi ringkasan tazkirah sambil menunjukkan beberapa gambar...


Puasa orang awam boleh dikatakan mengosongkan perut daripada makan minum selain tidak melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Puasa orang khusus iaitu bagi mereka yang terpilih pula ditambah dengan mengosongkan diri/fikiran dan sebagainya daripada mengatakan/memikirkan perkara-perkara buruk. Untuk puasa khusus daripada yang khusus iaitu orang yang terpilih daripada yang terpilih pula mereka mengosongkan sekali diri daripada apa sahaja selain Allah SWT. Pendek kata mereka dalam kesedaran sentiasa ada dan bersama Allah SWT sehingga wujud diri sendiri pun seperti tiada, tidak difikirkannya.


Gambar ini diambil selepas menunaikan solat berjemaah Maghrib di ISTAC. Selepas itu kami kembali ke dewan makan lagi, baru betul-betul makan malam. Sebelum itu setakat makan kurma, kuih dan minum air. Berbalik pada tazkirah...

Osman mengingatkan bagaimana pada syarahan beliau tentang Isra' dan Mikhraj' lebih sebulan lalu (rujuk artikel Mencari harmoni antara agama dan sains dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj) ada disebut bahawa solat adalah Mikhraj' spiritual bagi orang yang beriman. Beliau pun menambah ada satu syarat penting yang boleh menjadikan solat kita itu Mikhraj' dan ini terdapat pada amalan berpuasa. Dengan berpuasa itu kita akan mengecilkan malah boleh menghilangkan ego iaitu rasa berbangga diri dan nafsu rendah kita. Hal ini penting kalau mahu mencapai Mikhraj' iaitu 'naik menghadap Allah' SWT' secara spiritual dalam bersolat.


Ini adalah salah satu gambar yang dikongsikan orang dalam grup WhatsApp pelajar pasca-siswazah ISTAC. Dari kanan adalah saya diikuti Profesor Dato' Seri Dr Md Salleh Yaapar dan Profesor Datuk Dr Awang Sariyan. Paling kiri tu tak cam siapa. Salleh saya biasa jumpa di majlis-majlis ilmu terutama di Dewan Bahasa dan Pustaka di mana beliau pernah menjadi pengerusi Lembaga Pengelola. Awang pula adalah tokoh bahasa Melayu terkenal tanah air. Beliau adalah pensyarah saya untuk kelas Tamadun Melayu Islam pada semester lalu.

Sedikit lagi tentang tazkirah. Disebutlah bahawa antara rahsia dan kelebihan berpuasa adalah untuk mencapai sifat takwa. Apa itu takwa? Osman menyebut ada 3 komponen penting membentuk takwa itu :-

1. Takut kepada Allah
2. Cinta kepada Allah
3. Makrifat kepada Allah



Selepas makan malam kami menunaikan solat Isyak berjemaah diikuti solat sunat Tarawikh dan Witir. Terlupa pula untuk mengambil gambar. Sebagai ganti biar ditunjukkan gambar sebelum dapat melelapkan mata di masjid ISTAC. Ada surah mahu dihabiskan dahulu supaya tak lari bajet hendak mengkhatamkan Al-Quran sebelum masuk raya bulan Syawal.

Sebetulnya usaha sudah dimulakan apabila masuk bulan Rejab di mana saya mula melakukan puasa sunat dengan niat mahu meneruskan secara penuh hingga ke bulan Sya'aban diikuti bulan Ramadhan. Ia adalah kali pertama saya mencuba puasa 3 bulan terus setelah mendengar ia dilakukan oleh beberapa orang kawan. Tapi saya asyik lepa dalam membaca Quran. Masuk hari Nisfu Sya'aban iaitu pada 15 Sya'aban baru sampai ke muka surat ke-7 Surah Ali Imran. Masuk bulan Ramadhan baru berusaha untuk lebih istiqomah membaca mengikut turutan. Ketika gambar ini diambil jam 10.51 malam 9 Ramadhan saya baru menamatkan Suruh Yunus, lagi satu muka surat masuk Juz 12.

Apapun, itu adalah kali pertama saya bermalam di masjid ISTAC juga kali pertama beriktikaf di mana-mana masjid begitu awal dalam bulan Ramadhan. Saya beriktikaf di situ kerana satu, sudah lama menyimpan hajat untuk melakukannya. Untuk makluman saya telah beriktikaf di merata masjid keliling Semenanjung Malaysia ketika keluar mengembara. Sekurang-kurangnya setiap bulan Ramadhan iaitu pada 10 malam terakhir saya akan keluar bermusafir seorang diri, selalunya 3 malam berturut di 3 masjid berlainan. Di masjid ISTAC inipun saya bermalam berseorangan. Kali ini turut ada sebab lain untuk beriktikaf iaitu untuk menghadiri satu majlis ilmu pada siang Selasa. Oleh itu saya dapat menjimatkan sekali masa dan belanja, tak perlu kembali ke rumah 40 km perjalanan lewat malam selepas solat Tarawikh dan Witir kemudian paginya harus berkejar lagi 40 km ke ISTAC untuk majlis.