Ini adalah Pulau Kapas, kelihatan daripada tepian jalan di satu kawasan sekitar daerah Marang, Terengganu. Oleh kerana jurugambar Shamsul Yunos cuma ada masa yang terhad untuk keluar mengembara dalam projek ini sedangkan belanjawan projek juga memerlukan kami berdikit-dikit berbelanja selain bijak merancang arah perjalanan dan masjid-masjid yang ingin diketengahkan, saya membuat keputusan agar kami pergi terus ke Kuala Terengganu sebelum naik ke Kota Bahru, Kelantan. Kemudian baru kembali ke Kuala Lumpur melalui Gua Musang, masuk melalui Kuala Lipis, Pahang seterusnya ke Raub untuk mengambil gambar masjid-masjid yang boleh dikatakan mewakili negeri Pahang.
Kami bertolak dari Kuala Lumpur sebaik sahaja masuk tengah malam, Sabtu 15 haribulan. Setelah keluar semalaman bersama orang tersayang, saya ke stesyen minyak Caltex di Jalan Ipoh, tempat yang dijanjikan untuk bertemu dengan Shamsul.
Shamsul muncul lebih kurang setengah jam kemudian. Asalnya dia merancang untuk membawa isteri dan 3 orang anak paling besar bersama (Shamsul memiliki 6 orang anak, 3 daripadanya kembar yang baru dilahirkan awal tahun ini kalau tak salah ingatan). Sebaliknya dia muncul bersama 2 orang anak paling besar sahaja. Mungkin kerana tidak dapat kereta yang lebih besar untuk dipandu-uji? Untuk makluman, Shamsul juga adalah seorang auto-journalist atau wartawan permotoran...
Kami pun meninggalkan Kuala Lumpur, masuk ke lebuhraya Karak terus ke lebuhraya Kuantan. Kami cuma berhenti berehat di sekitar Maran untuk tidur sebentar... Sekitar jam 3 pagi begitu baru perjalanan disambung terus ke Terengganu.
Adapun dalam perjalanan sebelum itu saya ada memberitahu Shamsul bahawa jika kami dapat menyelesaikan ziarah serta mengambil gambar di masjid-masjid terpilih di Terengganu dalam tempoh masa yang sesuai, maka saya ingin membuat ziarah ke makam Tok Pulau Manis selepas itu. Tetapi sebaik sahaja selesai mengambil gambar di masjid terapung, Shamsul pula mencadangkan agar kami terus pergi ke makam itu. Katanya tiada gunanya sibuk mengambil gambar masjid-masjid buat masa ini kerana cuaca sedang mendung. Maka eloklah diselesaikan dahulu hajat di hati...
Sebaliknya cerita berkaitan Tok Pulau Manis ada disebut sekurang-kurangnya 2 kali dalam blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEH , dalam artikel From Kuala Berang to Pulau Manis... dan Enter Tok Pulau Manis . Dalam blogspot ini pula ia telah disebut beberapa kali. Tetapi untuk cerita yang lebih khusus, sila baca artikel Wasilah kekeluargaan Tok Pulau Manis, wali agung Terengganu abad ke 17...
Apapun, semalam telah dibuat satu cerita pendek tentang ulamak besar Terengganu bertaraf wali ini untuk blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) pula. Sila lihat artikel Makam (tomb of) Tok Pulau Manis...

Oleh kerana kami juga belum mandi pagi, saya rasa elok juga ke Masjid Tok Ku Paloh dan mandi air perigi di sana. Memang masjid ini termasuk di dalam senarai masjid pilihan kami untuk projek buku dan kami juga sempat menziarahi makam Tok Ku Paloh selepas itu. Sila baca artikel New trip to the East Coast - Tomb and mosque of Tok Ku Paloh revisited yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan