Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, August 31, 2018

Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia

Salam pagi Jumaat 31 Ogos. Sementara orang lain sibuk dengan sambutan hari ulangtahun kemerdekaan yang ke-61 biar dikongsi suatu cerita melibatkan kemerdekaan jiwa. Pada penghujung artikel Kongres Sejarah Malaysia ke-3 - Sejarah Malaysia Pasak Masa Hadapan Negara yang dipersembahkan semalam ada disebut begini :


Apapun, banyak tema dan tajuk menarik disenaraikan untuk kongres selama dua hari ini. Sayang saya tidak boleh bersama untuk hari Rabu kerana ada perkara penting perlu dilakukan dalam menghadapi satu fasa besar perubahan hidup. Insyaallah tentang itu akan dikongsikan dalam artikel akan datang.


Sekarang biar dikongsikan apakah fasa besar perubahan hidup yang dimaksudkan itu.



Sabtu 25 Ogos lalu saya telah memuatnaik gambar atas di Facebook berserta teks seperti berikut...



DEMI SATU PERJUANGAN MENCARI KEBENARAN YANG HAQ

Alhamdulillah. Secara rasminya saya dah jadi student balik selepas 23 tahun meninggalkan pengajian di universiti. Bukan tiada tawaran sebelum ini malah saya boleh sahaja menyambung Masters dan PhD di London tahun 1990an. Tapi kali ini saya ada sebab yang kukuh. Saya mahu mengangkat dapatan-dapatan yang dikemukakan dalam buku ke-11 saya "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" diikuti buku ke-12 "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia" terutama kira-kira penyelarasan masa antara sains dan kitab.


-----------


Apa yang berlaku adalah saya baru sahaja selesai mendaftar sebagai pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa di Kuala Lumpur. Alhamdulillah ramai mengucapkan tahniah juga memberikan kata-kata perangsang. Beberapa orang pula bertanya saya mahu belajar dalam bidang apa? Ini mendorong saya untuk menjawab dengan status seperti berikut di FB Selasa lalu 28 Ogos  :-




APABILA 'ANDALUSIA' MEMANGGIL...

Salam semua. Merujuk kepada posting saya Sabtu baru ini tentang sambung belajar. Adapun saya sudah berdaftar sebagai pelajar sepenuh masa Masters of Arts in Malay World Studies di ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Dunia Melayu yang berada di bawah kelolaan UIA. Keputusan untuk menyambung pengajian dibuat selepas memberikan satu syarahan di ISTAC lebih 4 bulan lalu. Ini berlaku selepas lama menolak saranan pelbagai pihak untuk menyambung pengajian di beberapa institusi pengajian tinggi.

Selepas syarahan tersebut saya dipujuk lagi kawan-kawan dan kenalan agar menyambung pengajian di ISTAC pula. Kali ini saya sudah ada satu perkara atau subjek yang terasa begitu sesuai dan cantik iaitu kira-kira penyelarasan masa antara kitab dan sains seperti disuakan dalam syarahan juga buku ke-11 saya "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" diikuti buku ke-12 "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia". Beberapa orang kenalan bergelar Dr (PhD) termasuk Prof Madya Dr Fauzi yang baru berpindah dari UPM ke ISTAC untuk mendirikan muzium Melayu di sana menyatakan kajian-kajian saya sudah PhD material, cuma perlu diolah kembali dan ditambah apa yang patut supaya menerima pengiktirafan akademik selayaknya.

Bangunan ISTAC di Bukit Tunku yang dibina menurut ciri-ciri istana Alhambra di Andalusia, Sepanyol oleh pengasas ISTAC, Tan Sri Prof Dr Syed Naquib al-Attas pula memang memberikan keselesaan sejak saya pertama kali bertandang beberapa tahun lalu. Tetapi paling menyentap fikiran adalah apabila ada orang mengingatkan : "Kan Abang ada tulis dalam buku Berpetualang ke Aceh semasa umur 18 tahun dapat mimpi satu tempat berperadaban tinggi seperti Andalusia".

Terus saya ambil ini sebagai isyarat sudah sampai masa untuk menyambung pengajian dan di tempat itu. Jiwa, rasa dan harapan saya boleh digambarkan dengan baik oleh lirik lagu Andalusia tulisan M. Nasir seperti berikut :-



Cahaya mu bagai sabitah
Doaku kau sejahtera
Biar warna kubah-kubah mu
Kian pudar untumu
Setanggi ini ku bakar
Cahaya mu sediakala

Aku rindukan zaman kebangkitan
Pabila nurani bersulam fikiran
Seganding dan bersatu
Lafaz niat ku bertemu
Cahayamu tiada tara

Pohon...
Salam ku pada fakir-fakir mu
Andalusia

Pohon...
Izinkanlah aku
Menyelami irama asyikmu

Pohon...
Ku dipinjamkan gambus dan ghazalmu
Jadi azimat 
Supaya dapat aku
Tari menongkah arus...
Sahutlah andalusia

Cahayamu tiada taranya
Pohon...
Salam ku pada fakir-fakir mu
Andalusia

Pohon...
Izinkanlah aku
Menyelami irama asyikmu

Pohon...
Ku dipinjamkan gambus dan ghazalmu
Jadi azimat 
Supaya dapat aku
Tari menongkah arus...
Sahutlah andalusia

Apakah sudah kering
Lautan darah yang tertimbus
Di bumi Al Hambra
Ataupun masih bergelora
Menanti saat
Melimpah mengikut mata air

Pohon...
Salam ku pada fakir-fakir mu
Andalusia

Pohon...
Izinkanlah aku
Menyelami irama asyikmu

Pohon...
Ku dipinjamkan gambus dan ghazalmu
Jadi azimat 
Supaya dapat aku
Tari menongkah arus...

Antal hadi antal haqqu
Laisal hadi Illahu
Antal hadi antal haqqu
Laisal hadi Illahu
Antal hadi antal haqqu
Laisal hadi Illahu
Antal hadi antal haqqu
Laisal hadi Illahu
Antal hadi antal haqqu


------------



Adapun status atas disertakan bersama pautan kepada artikel yang mengandungi syarahan saya yang berkenaan di ISTAC pada 3 April  2018. Lihat Syarahan "Prophet Adam and the Malays 60,000 Years Ago - Aligment of Time, Revealed Knowledge and Science" di ISTAC. Menarik apabila difikirkan bahawa saya pertama kali mendapat 'panggilan Andalusia' ketika berumur 18 tahun iaitu 30 tahun lalu. Baru kini menyahut dengan menyambung pengajian di satu institusi tinggi yang membawa aura Andalusia itu. Sekarang biar disambung cerita dengan suatu aktiviti pagi Rabu 29 Ogos iaitu 2 hari lalu...


Saya sudah banyak kali pergi ke ISTAC untuk mengikuti majlis-majlis ilmu. Tetapi saya datang hari Rabu dalam keadaan sangat istimewa. Buat pertama kali saya menjejakkan kaki sebagai seorang pelajar berdaftar.


Untuk makluman ISTAC adalah institusi pengajian tinggi untuk pelajar pasca siswazah sahaja. Ini merujuk kepada mereka yang membuat pengajian peringkat Masters dan PhD.


Kali ini saya datang untuk menghadiri taklimat pelajar baru berserta majlis pengenalan atau ta'aruf.


Saya mendapat tahu cuma 8 atau 9 orang sahaja pelajar baru dapat menyertai kemasukan atau intake bagi bulan September tahun 2018. Difahamkan asalnya lebih 100 orang dijangka masuk terutama dari luar negara tetapi terkandas disebabkan masalah seperti tidak mendapat visa atau tidak memenuhi syarat kemasukan, antaranya tidak melepasi taraf penguasaan bahasa Inggeris yang diperlukan untuk mengikutinya sebagai bahasa pengantar utama pengajian di ISTAC juga institusi utama yang menaunginya iaitu UIA, Universiti Islam Antarabangsa.


ISTAC sebenarnya telah diasaskan oleh pemikir dan intelektual besar tempatan bertaraf dunia Tan Sri Profesor Dr Syed Naquib a-Attas lebih 20 tahun lalu. Tetapi disebabkan masalah tertentu ia ditutup buat beberapa lama. Baru penghujung tahun lalu ia dibuka kembali lalu menerima sekitar 18 orang pelajar Masters dan PhD sebagai perintis fasa baru. Saya masuk untuk intake atau kemasukan kedua...


Saya datang ke majlis hari Rabu dengan perasaan sungguh terharu. Bayangkan sudah 23 tahun meninggalkan pengajian universiti malah bertekad tidak mahu menyambung lagi disebabkan beberapa perkara. Kini ketika berusia 48 tahun masuk kembali di sebuah institusi yang seperti terkait dengan mimpi yang berlaku ketika berumur 18 tahun.


Bayangkan betapa banyak diri ini sudah berubah. Daripada lepas ijazah matematik di University College of London mahu menjadi pelajar Masters of Arts dalam bidang Malay World Studies - Pengajian Dunia Melayu.


Ini bukan soal mahu mendapatkan kelulusan lebih tinggi tetapi memenuhi Qada' dan Qadar Ilahi dalam mencari kebenaran hakiki juga memainkan peranan tersendiri dalam pentas besar kehidupan.


Masuk ke Perpustakaan Syed Naquib al-Attas yang dikatakan memiliki antara koleksi terbaik buku-buku ilmiah pemikiran tinggi dalam dunia Islam terasa Qada' dan Qadar panggilan Andalusia semakin jelas...


Disebabkan hari itu pelajar baru dibawa oleh petugas untuk mengenali selok belok perpustakaan kami dapat masuk ke satu aras yang sebenarnya tertutup kepada awam waima buat pelajar ISTAC sekalipun kecuali ada majlis tertentu.


Secara spontan saya tidak dapat menahan rasa teruja melihat adanya koleksi barangan tulen alat peperangan lama dari Timur Tengah yang difahamkan diperolehi sendiri Syed Naquib di pasaran antarabangsa...





Tiba-tiba ternampak buku lama bertajuk "The Mysticism of Hamzah Fansuri" pada satu rak. 


Ini membuat saya tergerak untuk memuatnaik gambar atas ke FB berserta teks seperti berikut :-


WOW WOW WOW!!!

Di Perpustakaan Syed Naquib Al Attas di ISTAC. Memang wow! Masuk pula rare books collectionDouble wow!! Siap ada koleksi pedang-pedang lama asli Timur Tengah. Tiba-tiba ternampak ini. Buku Tasawuf pertama pernah ku baca, ketika berusia 18 iaitu 30 tahun lalu. It"s like wow wow wow!!! This is my raison d'etre. Sungguh aku sedang menyaksikan Qada' dan Qadar...


--------------

Untuk makluman bukanlah disebabkan buku terbitan tahun 1970 (tahun lahir saya tu) itu berada dalam rare collections saya menyebut banyak wow. Sesungguhnya ia boleh ditemui di beberapa perpustakaan lain kerana dibuat berdasarkan hasil kajian tesis Syed Naquib. Yang membuatkan wow adalah bagaimana masuknya saya ke ISTAC sebagai pelajar pada umur 48 tahun terkait dengan buku. Setelah bertahun-tahun tidak pernah melihatnya di mana-mana tiba-tiba boleh terjumpa pada hari pertama saya menjejakkan kaki sebagai seorang pelajar berdaftar.



Adapun saya membuat permohonan untuk masuk belajar di ISTAC pada tarikh 9 April, enam hari selepas membuat syarahan di sana seperti dinyatakan dalam artikel Syarahan "Prophet Adam and the Malays 60,000 Years Ago - Aligment of Time, Revealed Knowledge and Science" di ISTAC. Tetapi lama ia tidak berjawab, sekadar diberitahu permohonan dalam proses sehingga sampai satu peringkat saya merasakan bukan rezeki hendak sambung belajar agaknya. Mungkin sudah berlaku sesuatu pada ISTAC akibat perubahan kerajaan dan polisi setelah selesai Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu. Masuk pertengahan Julai timbul ingatan kuat terhadap zaman saya belajar di London tahun 1991-1995 juga pengembaraan saya secara solo hitchhike pusing beberapa negara di Eropah pada musim panas tahun 1995. Pada siang 25 Julai saya memuatnaik gambar atas ke FB berserta teks seperti berikut :-


KENANGAN SOLO HITCHIKING EROPAH MUSIM PANAS 1995 - MAHUKAH KALAU DIJADIKAN BUKU?

Alhamdulillah. Jumpa dah notebook catatan perjalanan solo hitchhiking saya ke Europe summer 1995. File berkenaan yang mengandungi sejumlah barang ingatan seperti peta, surat laporan polis (gitar hilang kena curi di Amsterdam) malah resit denda (sebab naik trem tak beli tiket di Bratislava) pun sudah diatur balik dalam fail supaya menurut turutan peristiwa. Mahukah tuan-tuan dan puan-puan beli dan baca jika cerita perjalanan ini dijadikan buku? Sila berikan maklum balas. Harap ada penerbit sudi menerbitkannya...


Menariknya malam itu juga saya mendapati permohonan untuk masuk ISTAC telah diterima. Masuk dalam e-mail saya hari itu surat tawaran untuk menyambung pengajian seperti tertera dalam gambar atas. Seolah-olah ia datang seiring dengan niat mahu menulis buku tentang perjalanan pusing Eropah tahun 1995.



Kenapa saya bangkitkan hal ini? Kerana kalau tidak berlaku beberapa hal yang menyebabkan saya tidak mahu lagi belajar besar kemungkinan saya akan membuat Masters atau PhD terus di London sebaik sahaja selesai perjalanan pusing Eropah 17 Ogos - 18 September 1995. Saya pernah bercita-cita untuk mengambil PhD di University College of London melalui program MPhil di mana pelajar sarjana muda cemerlang boleh menyambung dengan niat hendak membuat PhD dalam tempoh masa 3 tahun. Jika tidak diteruskan selepas setahun masuk program masih boleh dianugerahkan Masters dalam bidang Philosophy ataupun Falsafah. 

Tetapi sudah ditakdirkan saya mengalami krisis identiti dan kepercayaan teras hidup yang sangat hebat. Ia berlaku akibat pertembungan antara kepercayaan kuat terhadap ilmu sains, matematik dan logik dengan kecenderungan bersifat kebatinan lagi intuitif yang semakin meningkat terhadap dunia Sufi dan Tasawuf. Kecenderungn tersebut dicetuskan oleh pembacaan buku The Mysticism of Hamzah Fansuri tulisan Syed Naquib ketika berumur 18 tahun. Nampak tak bagaimana buku ini telah memainkan peranan menentukan jalan kehidupan?

Kini hampir September 2018 saya telah mendapat ruang untuk menyambung pelajaran walau dalam bidang berlainan. Saya diterima masuk ke ISTAC yang diasaskan penulis buku The Mysticism of Hamzah Fansuri  pada ketika usaha penulisan buku saya tentang perjalanan lama pusing Eropah hampir siap. Seolah-olah usaha yang asalnya pernah dimulakan penghujung tahun 1996 tetapi dilupakan setelah semua fail penulisan hilang akibat gangguan sistem komputer pejabat awal 1997 terkait rapat dengan gerak untuk menyambung pengajian. Lihat artikel Bila kenangan hitchiking solo pusing Eropah musim panas tahun 1995 menyapa

Bila usaha penulisan mahu dihidupkan kembali sehingga dapat menjadi manuskrip (ia dalam proses suntingan akhir sekarang) saya sudah hampir memulakan kelas di ISTAC. Sungguh ini bukan kebetulan tetapi takdir sedang menzahirkan sesuatu yang amat besar lagi bermakna sekurang-kurangnya buat diri saya. 

Untuk makluman ini adalah artikel ke-1,700 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Doakan saya dapat mencapai kecemerlangan demi kemaslahatan ummah, agama, bangsa dan negara ya. Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke-61. Sekian. Wassalam. :]



5 comments:

Abu Bachik said...

Takniah dan selamat maju jaya. Wassalam

Anonymous said...

Syukur Alhamdulillah

Anonymous said...

Syukur, Alhamdulillah, Tahniah,

Malim Droid 3 said...

Sedang meniti TaqdirNYA??

Radzi Sapiee said...

Nampaknya begitulah. Alhamdulillah.