Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Mac 28, 2025

Iktikaf 27 Ramadan di ISTAC - Tercapai hajat sempena hari lahir ke-56 menurut kiraan Islam

Salam Jumaat 27 Ramadan. Sukacita dimaklumkan pada tarikh ini genaplah umur saya 56 tahun menurut kiraan Islam/Hijriah. Kalau menurut kiraan Barat/Gregorian kena tunggu hampir 8 bulan lagi baru nak masuk umur 55 tahun. Ini ada cerita berkenaan. Bersambung gerak penulisan daripada artikel Iktikaf 25 Ramadan di Janda Baik - Menyambung ke Ampang, Hulu Langat dan persekitaran Cheras.



Pagi Khamis 27 Mac 2025 bersamaan 26 Ramadan 1446 Hijriah. Bersedia untuk keluar bermusafir lagi, kali ini dengan menaiki motosikal besar kesayangan.




Pergi berseorangan ke kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak. Sementara itu isteri bekerja dari rumah ditemani anak-anak yang baru kembali bercuti dari tahfiz pada malam sebelumnya.




Saya mahu menyertai majlis seperti tertera dalam poster atas. Ia adalah pelancaran buku bertajuk "Ramuan Kebahagiaan" yang merupakan terjemahan ke dalam bahasa Melayu daripada buku Kimiya As-Saadah tulisan Imam Al-Ghazali. Guru merangkap penyelia tesis PhD saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar telah memberitahu akan memberikan syarahan. Dalam  pertemuan lalu saya memberikan komitmen akan hadir.  Lihat Pantai Timur Ramadan 2025 - Ke Shah Alam diikuti majlis ilmu dan iftar di UIAM.



Sementara menunggu majlis bermula menyambung membaca beberapa muka surat Juz ke-29 Al-Quran...



Majlis turut dihadiri wakil daripada kedutaan Iran, lupa pula nama tapi daripada pusat kebudayaan. Beliau menyebut Imam Ghazali yang lahir tahun 1058 Masihi di Tus, Parsi, dalam negara Iran sekarang dan meninggal di situ tahun 1111 sebagai seorang tokoh Iran yang paling terkemuka dalam sejarah peradaban Islam. Buku atau kitab Kimiya as-Saadah merupakan ringkasan kumpulan kitab terkenal Ihya Ulumuddin yang dianggap karya terbesar Imam Ghazali, menjadi rujukan ramai sehingga sekarang. Satu perkara menarik, Ihya ditulis sepenuhnya dalam bahasa Arab seperti mana kebanyakan kitab-kitab agama Islam zaman itu. Tetapi Kimiya dituliskan dalam bahasa Parsi lalu sejak itu muncul banyak kitab agama dalam bahasa tersebut selain Arab.



Osman pula membuka syarahan dengan menyatakan bagaimana kitab Kimiya merupakan sesuatu yang peribadi buatnya. Beliau memberitahu mengenali kitab itu, dalam bentuk terjemahan ke Bahasa Inggeris, yang dibuat daripada terjemahan ke Bahasa Urdu, ketika membuat ijazah sarjana (Master) dalam bidang Matematik di University of London. Dari situ beliau kembali menekuni hal-hal keagamaan. Dinyatakan bahawa sebelum Imam Ghazali, ulamak dan cendiakawan Islam, Al-Farabi telah lebih dahulu menulis tentang cara-cara untuk mencapai kebahagiaan iaitu 200 tahun lebih awal.

Tetapi Al-Farabi lebih menumpukan pada kebahagiaan keseluruhan masyarakat besar, dalam konteks peradaban dan ketamadunan. Ghazali pula menulis lebih pada konteks peribadi setiap individu. Namun rencah atau ramuan bagi mencapai kebahagiaan itu tetap berakar umbi pada hal yang sama. Ia adalah melalui 'perkenalan' dengan Tuhan, membuat amalan-amalan bagi mendekatkan diri kepada Ilahi. Selain aspek zikir atau ingat pada Tuhan, kedua-dua tokoh menekankan aspek ilmu dan keintelektualan dalam mencapai kebahagiaan.



Selesai majlis selepas jam 11 saya ke masjid UIAM untuk beriktikaf.



Ternyata ramai beriktikaf di masjid itu. Ketika sampai didapati ada yang masih tidur, mungkin akibat penat berQiyamul Lail pada malam sebelumnya. Kanak-kanak pun ramai, siap ada yang bermain bola dan kejar-kejar dalam masjid. Nampaknya anak-anak pelajar berumur. Ada orang Arab, India, Pakistan, Afrika dan Cina dan pelbagai lagi. Semuanya kelihatan begitu selesa  membuat hal masing-masing, termasuk berkumpul dalam bulatan Halaqah majlis ilmu.




Sampai waktu solat Zohor masih lagi di sana. Untuk makluman di situlah ditulis artikel Iktikaf 25 Ramadan di Janda Baik - Menyambung ke Ampang, Hulu Langat dan persekitaran Cheras lalu dipersembahkan jam 2.12 petang.



Selepas jam 4 baru hendak meninggalkan kawasan. Sebetulnya ada turun hujan. Saya bergerak setelah pasti hujan telah reda.



Tergerak untuk masuk ke pusat bandar raya Kuala Lumpur berjalan-jalan.




Selain melihat ragam orang ramai berpusu hendak membeli belah untuk beraya pergi ke beberapa tempat yang menjadi ikon ibu kota.







Sambung lagi bacaan. Di Pasar Seni dapat menghabiskan Juz 29.




Selepas jam 6 baru sampai ISTAC.



Menyambung bacaan Al Quran dengan beberapa muka surat Juz 30.




Selepas jam 7 baru ke perkarangan masjid ISTAC untuk persediaan berbuka puasa. Ketika itu isteri sudah sampai bersama anak-anak. Turut bersama anak perempuan yang bekerja dan menetap di selatan bandar raya, isteri ambil dekat Hentian Putra.






Seorang lagi anak, lelaki, sedang membuat latihan amali, juga di selatan bandar raya kemudian sampai dengan motosikal. Kami bersama-sama duduk atas tikar.



Gambar ini diambil ketika hendak memulakan solat Isyak berjemaah. Kemudian kami berTarawikh dan Witir.



Gambar ini pula diambil jam  5.22 pagi  Jumaat 28 Mac, setelah selesai melakukan Qiyamulail, bersolat Tahajud, solat Taubat, solat Hajat dan solat Tasbih. Kelihatan lantai basah akibat hujan. Alhamdulillah dapat bermalam dengan selesa kemudian bersahur dengan baki berbuka nasi Arab ke hapa ke nama (lain daripada Kabsah dan Mandey yang biasa kami makan).



Keadaan ketika hendak memulakan solat Subuh berjemaah. Pada ketika itu pun sudah merasa cukup puas kerana dapat bermalam dan beriktikaf di masjid ISTAC, pada malam 27 Ramadan yang merupakan tarikh kelahiran saya menurut kalendar Islam. Dan lagi pada malam Jumaat. Untuk makluman, saya lahir 56 tahun Hijriah dahulu pun pada malam Jumaat. Iktikaf jadi terlebih istimewa disebabkan di masjid ISTAC. Institusi ini adalah lambang wawasan keilmuan untuk masa hadapan juga perjuangan bagi memartabatkan ummah.




Jam 10.12 pagi berjaya mengkhatamkan bacaan Al Quran bagi bulan Hijriah/Islam ini. Selepas itu tidur berehat dalam 20 minit kemudian mandi bersalin pakaian lalu ke pejabat ISTAC untuk satu urusan. Dalam kesibukan asyik berjalan sejak awal Ramadan (lihat Balik kampung Ramadan 2025 diikuti Pantai Timur Ramadan 2025) terlupa bahawa semester baru, semester kedua saya sejak memulakan pengajian peringkat PhD Oktober lalu telah bermula awal Mac lalu belum melakukan formaliti mendaftar.




Masuk waktu solat Jumaat pergi kembali ke masjid ISTAC...




Memang termasuk hajat saya untuk 27 Ramadan bersolat Jumaat di sini, apa lagi sudah beriktikaf dan menginap malam sebelum itu. Selama ini tak sempat untuk bersolat Jumaat di ISTAC pada bulan Ramadan. Baru kini berkesempatan, pada Jumaat terakhir bulan.



Selepas solat Jumaat disambung penulis artikel ini. Sebetulnya selepas Subuh telah menulis hingga sebelum gambar menunjukkan khatam Al Quran, kerana gambar diambil kemudian. Dengan itu tercapai sepenuhnya hajat sempena hari lahir ke-56 menurut kiraan Islam iaitu hendak beriktikaf malam 27 Ramadan di masjid ISTAC kemudian menunaikan solat Jumaat. Selepas ini bolehlah kembali ke rumah dengan hati lapang. Boleh sambung berehat. Selepas tengah malam karang dijangka akan keluar bermusafir lagi, kali bersama isteri dan anak-anak untuk kembali beraya di Muar.


Khamis, Mac 27, 2025

Iktikaf 25 Ramadan di Janda Baik - Menyambung ke Ampang, Hulu Langat dan persekitaran Cheras

Meneruskan gerak penulisan iktikaf pada malam-malam ganjil 10 hari terakhir Ramadan. Adapun pada permulaan artikel QuranHour di UIAM dan iktikaf 25 Ramadan di Janda Baik - Pesanan perjuangan Surah as-Saf yang dipersembahkan pagi semalam ada dinyatakan bahawa untuk gerak penulisan ketika itu didapati ada keperluan untuk membahagikan cerita kepada dua bahagian. Itu yang pertama. Sekarang baru masuk bahagian kedua.



Gambar ini diambil jam 7.04  pagi Rabu 26 Mac 2025 bersamaan 25 Ramadan 1446 Hijriah. Kelihatan surau tempat saya beriktikaf  dan bermalam di menginap di Janda Baik.




Sungai Chemperoh di sebelah. Sungai yang sama ada ditunjukkan dari lokasi-lokasi berlainan dalam artikel QuranHour di UIAM dan iktikaf 25 Ramadan di Janda Baik - Pesanan perjuangan Surah as-Saf.




Masuk kembali ke surau menulis artikel tersebut kemudian berehat. Selepas mandi sungai  sekitar jam 12.45 petang baru menyambung kembali perjalanan.




Masuk lebih dalam ke arah hutan pergunungan Banjaran Titiwangsa di Janda Baik.




Ada masa menyambung bacaan Al Quran yang ketika itu sudah melepasi separuh Juz 28.




Ada masa sekadar berehat menikmati suasana dan pemandangan.




Selepas jam 2 baru meninggalkan Janda Baik lalu mengambil lebuh raya terus ke Kuala Lumpur.




Singgah surau di Ampang kerana ada orang ingin bertemu, membeli buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin juga meminta pendapat tentang perjalanan hidup melibatkan darah keturunan.




Seperti biasa kalau dah singgah masjid atau surau mesti beriktikaf dan menunaikan solat. Baca juga beberapa muka surat lagi Al Quran.




Dari surau boleh naik ke lebuh raya bertingkat.




Singgah ke rumah yang di Hulu Langat untuk mengambil beberapa barangan yang ditinggalkan. Ada penyewa baru masuk lalu saya harus memberikan laluan.




Berjalan-jalan di belah sana lalu singgah ke suatu tempat membaca Al Quran. Lihat artikel  Langat river at a bend near Kampung Sungai Semungkis  di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.  Dapatlah menghabiskan juz 28.




Oh, Rekod menunjukkan gambar tadi diambil jam 5.35, selepas berjaya menamatkan bacaan Juz 28. Rupa-rupanya lama juga duduk menghadap sungai kerana gambar ini pula diambil jam  6.21. Ketika itu baru menyiapkan penulisan tesis saya di ISTAC (Institut Antarabanga Pemikiran dan Tamadun Islam) sampai ke satu tahap yang memuaskan.




Selepas itu mahu mandi air panas di kolam belakang sebuah surau...




Tetapi surau dan kolam sedang ditutup lalu pergi pula ke kolam air panas awam berdekatan IKBN (Institut Kemahiran Belia Negara). Dapatlah berendam dalam kolam. Kalau yang di belakang surau tu cuma boleh mandi pakai gayong atau berendam dalam tong yang diisi air panas.




Selepas jam 7 baru meninggalkan kolam lalu menuju ke masjid utama Hulu Langat di Batu 14.




Ketika menunggu waktu berbuka sempat menghabiskan Surah Al-Mulk iaitu surah pertama Juz 29.




Malam itu, 26 Ramadan, menunaikan solat Tarawikh di tahfiz anak-anak dekat di persekitaran Cheras.




Selepas solat kemudian makan-makan baru boleh membawa anak-anak keluar bercuti untuk berhari raya. Ronda-ronda dahulu di tengah bandar raya Kuala Lumpur kerana tidak jauh dari laluan hendak kembali ke rumah di Bandar Sungai Buaya.



Itulah antara sebab saya keluar beriktikaf 25 Ramadan di Janda Baik. Majlis di UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak tengah hari 25 Mac seperti dinyatakan QuranHour di UIAM dan iktikaf 25 Ramadan di Janda Baik - Pesanan perjuangan Surah as-Saf melorongkan untuk ke Janda Baik kerana sudah cukup dekat. Perjalanan diteruskan siang 25 Ramadan bersamaan 26 Mac ke berbagai tempat untuk mengisi masa sebelum dibenarkan mengambil anak. Semua tempat yang disinggahi tidak jauh daripada laluan hendak ke tahfiz mereka. 

Apabila sampai kembali ke rumah iaitu selepas tengah malam didapati sudah berjalan 235 km walau tidak berapa jauh dari Lembah Klang. Beberapa jam kemudian memulakan lagi satu permusafiran, kali ini berseorangan menaiki motosikal besar kesayangan. Niat utama adalah untuk beriktikaf di sebuah masjid yang ada makna tersendiri malam 27 Ramadan. Sekarang ini menulis dari satu tempat persinggahan dalam permusafiran.


Nota tambahan (dibuat jam  2.22 petang) : Baru teringat. Dalam artikel sebelum ini ada dinyatakan  sekitar jam 3.30 petang Selasa 25 Mac ada membuat video tentang kuil-kuil kecil yang didirikan sekitar air terjun dalam laluan Gombak ke Janda Baik lalu hendak memaparkannya  di Facebook. Namun hampir jam 5 baru dapat ditonton orang ramai, setelah mendapat talian yang cukup cantik di perhentian Genting Sempah. Ada dinyatakan bahawa pada  jam 8.33 pagi Rabu 26 Mac ia sudah mendapat 418 ribu tontonan, 6.2 ribu likes, 1.5 ribu komen dan 1.6 ribu share. Terbaru ia telah mendapat 1.1 juta tontotan, 15 ribu likes, 3 ribu komen dan 3.2 ribu share. Ini berlaku tak sampai 48 jam selepas dipaparkan. Lihat sini.


Rabu, Mac 26, 2025

QuranHour di UIAM dan iktikaf 25 Ramadan di Janda Baik - Pesanan perjuangan Surah as-Saf

OK. Untuk gerak penulisan seterusnya didapati ada keperluan untuk membahagikan cerita kepada dua bahagian. Ini yang pertama. Bersambung daripada Iktikaf malam 23 Ramadan di Kampung Sungai Buaya.




Merujuk pada artikel Pantai Timur Ramadan 2025 - Ke Shah Alam diikuti majlis ilmu dan iftar di UIAM yang dipersembahkan Khamis 20 Mac 2025. Ada dinyatakan bahawa pada hari sebelumnya 19 Mac saya ada membawa isteri ke kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak untuk mengikuti satu majlis ilmu. Yang tidak dinyatakan ada bertemu guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar yang juga kini Rektor UIAM lalu memberikan komitmen akan hadir ke satu lagi majlis di kampus Gombak iaitu seperti tercatat pada poster atas.



Sampai masa tengah hari semalam Selasa 25 Mac 2025 bersamaan 24 Ramadan 1446 Hijriah saya pun menuju ke lokasi majlis iaitu masjid UIAM. Kali ini berseorangan kerana isteri perlu masuk ke pejabat di Shah Alam.




Lagipun saya sendiri memang ada urusan perlu diselesaikan melibatkan hal kewangan di pejabat berkenaan di kampus Gombak. Ada jumlah dituntut mereka yang kemudian didapati adalah kesalahan akibat sistem automatik menambah yuran lebih daripada apa yang sudah dipersetujui dalam surat tawaran untuk saya menyambung ke peringkat PhD di ISTAC.




Oh. Sekadar makluman. ISTAC terletak di bawah pentadbiran UIAM. Menariknya Pro-Canselor UIAM, Tengku Ampuan Pahang baru sahaja setengah tahun menjadi pelajar sarjana (Master) di ISTAC.




Nah. Kelihatan meriah sungguh majlis tahunan QuranHour yang telah diadakan di beberapa tempat. Kali ini UIAM menjadi lokasi utama, tak pasti apakah pada peringkat negara atau negeri.




Tengku Ampuan Pahang hadir sebagai tetamu terhormat.



Saya pula lebih pada memegang janji kepada guru iaitu Osman akan hadir pada majlis.




Apa yang menarik adalah tema yang diangkat menerusi Surah as-Saf. Ia adalah tentang membentuk barisan kukuh bagi memperjuangkan kesyumulan agama Islam.



Beginilah rupa saya dalam majlis. Pada asalnya ada terfikir hendak memakai jubah. Tetapi Osman ketika kali terakhir bertemu (lihat Pantai Timur Ramadan 2025 - Ke Shah Alam diikuti majlis ilmu dan iftar di UIAM) menyatakan mahukan saya datang berbusana tradisional Melayu bertanjak, satu perkara yang telah mendapat sokongan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Maimunah yang merupakan Kanselor UIA, apabila melihat saya hadir sebegitu rupa dalam satu majlis di ISTAC. Lihat artikel-artikel berikut :-





Selesai QuranHour saya mencari Osman untuk bersalam. Itu cara untuk menunjukkan kehadiran selain rasa hormat kepada guru. Kebetulan Tunku Azizah lalu di hadapan lalu tersenyum menegur sambil menunjuk pada tanjak. Selepas kesibukan reda saya duduk  di satu bahagian. Datang seorang anak muda menegur lalu memperkenalkan diri sebagai anak seorang kawan lama sejak zaman sekolah rendah sehingga zaman kolej. Beliau memberitahu datang atas kapisiti ketua satu persatuan pelajar peringkat negara. Kemudian ibunya menghantar gambar.




Dekat jam 3 petang bergerak meninggalkan UIAM melalui jalan lama ke Pahang.




Gambar ini diambil jam 4.22 petang selepas selesai mandi di air terjun yang kelihatan. Sebelum itu, sekitar jam 3.30 ada membuat video tentang kuil-kuil kecil yang didirikan sekitar air terjun lalu hendak memaparkannya  di Facebook. Tetapi setelah mendapat talian yang cukup cantik di perhentian Genting Sempah hampir jam 5 baru dapat ditonton orang. Pun begitu, pada ketika ayat ini ditulis jam 8.33 pagi tadi 26 Mac ia sudah mendapat 418 ribu tontonan, 6.2 ribu likes, 1.5 ribu komen dan 1.6 ribu share. Lihat sini.




Gambar ini pula diambil jam 5.18 petang. Memang saya hendak ke Janda Baik. Itu yang menyebabkan ikut jalan lama ke Pahang dari UIAM.




Kali terakhir berada di sana adalah pada 21 Jun tahun lalu. Ketika itu hendak membawa anak keluar  dari tahfiz ditukarkan ke tempat lain yang lebih dekat. Lihat Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Mengejar 1 Muharram di Perak. Ini adalah setelah dua tahun setengah anak belajar di Janda Baik. Dalam tempoh itu hampir setiap bulan saya akan masuk sekurang-kurangya 2 kali sebulan. Satu untuk  mengambil  anak bercuti di rumah hujung minggu pertama setiap bulan, satu lagi untuk menghantar kembali ke tahfiz.



Sebelum membawa keluar itu telah dilakukan sejumlah urusan di Lembah Klang sejak 19 Jun kemudian  bermalam dan beriktikaf di sebuah surau. Lihat Salah ke kajian saya diakui seorang pemikir tersohor Melayu?. Itulah juga kali terakhir singgah ke rumah bapa angkat, penulis buku politik terkenal, Syed Hussein al-Attas (S.H. Alattas) atau Pak Habib. 

 


Menariknya ada meja dengan sepotong ayat terkenal daripada Surah ar-Rahman yang membawa makna : "Nikmat Tuhan yang mana hendak kamu dustakan". Dahulu tiada ini. Memang kebetulan usaha mengkhataman Al-Quran bagi bulan Ramadan baru melepasi Surah ke-54 iaitu Al-Qamar dalam juzuk ke-27. Ia dibaca di air terjun yang ada kuil-kuil kecil tadi selepas mandi. Lalu hendak masuk Surah ke-55 iaitu Ar-Rahman. Maka dibacalah di meja ini. Tidak lama kemudian kelihatan Pak Habib yang sudah berumur 86 tahun keluar dari rumah lalu menyapa beliau.




Surah seterusnya, Al-Waqi'ah dibaca di bahagian lebih ke hulu sungai sama yang mengalir sepanjang tanah Pak Habib seluas 8 ekar yang memiliki beberapa buah rumah. Kemudian baru ke surah yang menjadi tempat saya biasa beriktikaf, ke hilir sungai sama.




Di situlah berbuka pada tarikh yang sudah masuk 25 Ramadan. Sebelum berbuka sempat menghabiskan bacaan Surah al-Hadid sambil menghadap makanan lalu selesai Juz ke-27. Ketika menunggu hendak solat Maghrib berjemaah memulakan bacaan Juz ke-28, sambung lagi selepas Tarawikh. Selepas Tahajud sebelum Subuh dapat lagi 2-3 Surah.



Ini pula tadi pagi Rabu 26 Mac selepas solat Subuh. Tanpa dirancang surah pertama mahu dibaca selepas solat sampai pada As-Saf. Ini mengingatkan bagaimana surah dirungkai di masjid UIAM pada tengah hari sebelumnya. Bila dikaitkan dengan keadaan semasa sejak kecoh hal kuil haram dipacak di mana-mana tetapi asyik diberi muka sehingga mengguris hati ramai umat Islam di Malaysia, juga semalam 25 Mac, mantan menteri Tan Sri Rais Yatim yang pernah menjadi Presiden UIAM membuat sidang akhbar menyatakan ancaman komunis di negara kita yang semakin meningkat kerana mendapat sokongan orang-orang tertentu yang memiliki kuasa dan kedudukan terasa sungguh pesanan dan petunjuk di sebalik Surah as-Saf. Dalam keadaan umat Islam seluruh dunia bahkan asyik difitnah dan ditekan, sehingga hendak membela diri sendiri pun boleh dituju sebagai pengganas, dalam keadaan umat Islam Gaza asyik dibom Israel sedangkan negara-negara Islam sama ada tidak peduli, atau peduli tetapi tidak berkemampuan untuk mencegah dapat dilihat kias di sebalik majlis dan pemilihan surah. Umat Islam perlu berjuang dalam saf atau barisan yang kukuh dan terarur. Biar diambil dan disalin terjemahan daripada surah. Fikirkan, hadamkan. Fahamkan makna suatu perjuangan...



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!

Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu?" Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik - derhaka.

Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku - bernama: Ahmad". Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir yang jelas nyata!"

Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, sedang ia diajak kepada memeluk Islam; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?

Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar.

Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.

Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?" Mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!" (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.