Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, September 05, 2008

Wajah baru motosikal besarku, tanda satu peralihan zaman?

Assalamualaikum. Hari Rabu baru-baru ini saya telah membuat beberapa penambahan barangan pada motosikal besar kesayangan saya. Esok paginya di rumah, tergerak pula untuk mengambil beberapa gambarnya lalu timbul gerak ingin bercerita nanti, satu gerak bercerita yang kini dapat dimulakan beberapa ketika selepas bersolat Jumaat...

Kebetulan pula pada malam Jumaat tadi, saya telah memasukkan beberapa artikel yang mengandungi klip-klip video perjalanan terbaru ke Perak, artikel-artikel di bawah siri penceritaan "Menyusuri sejarah sekitar Perjanjian Pangkor 1874" yang bermula seminggu lepas. Lalu congak kira-kira saya mendapati bahawa artikel terbaru melibatkan motosikal besar saya ini akan menjadi artikel ke 399 dipaparkan di sini sejak blogspot ini bermula penghujung 2006. Apakah ini menandakan satu peralihan zaman buat saya? Apapun izinkan saya melepaskan satu gerak penceritaan...


Alhamdulillah, saya rasa sungguh puas hati melihat keadaan motosikal kesayangan saya siang itu. Kalau sebulan dahulu iaitu selepas motosikal ini baru siap dihidupkan kembali (setelah 5 tahun melangut di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang kerana rosak lalu banyak barangannya dicuri orang), saya menghadapi masalah enjin sentiasa tersenggut-senggut diikuti ada kebocoran minyak pelincir di beberapa tempat, kini keadaan lebih elok. Tiada lagi tompokan minyak di bawah apabila ditinggalkan setelah dibawa berjalan...

Lebih puas lagi apabila melihat penambahan barangan seperti beg-beg kulit kiri kanan dan belakang berserta cermin di hadapan yang saya rasa sangat kena dengan citarasa peribadi saya. Allah... Tersenyum lebar saya apabila membawanya dalam keadaan enjin terasa lancar dan rupa motosikal itu sendiri lebih kemas.


Dalam pada itu, teringat sejarah motosikal yang saya beli baru ini (bukan second-hand ya...) sekitar bulan Ogos 1997 kalau tak salah ingatan. Ketika itu saya baru sekitar 8 bulan berkhidmat sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times... Kebetulan di hadapan pejabat ada sebuah kedai motosikal yang turut menjual satu dua model motosikal besar. Lama-lama saya jadi semakin teruja melihat apa yang ada!

Saya sendiri sudah lama teringin memiliki motosikal besar. Jaket kulit yang sesuai sudah dimiliki sejak belajar di London 1991-1995 malah dibeli pada tahun pertama saya belajar di sana! Tunggu masa sahaja ada duit... Dan tak sampai setahun bekerja di NST, saya sudah ada cukup wang simpanan untuk membuat bayaran muka untuk sebuah motosikal besar.

Asalnya saya mahu membeli motosikal Kawasaki Vulcan 500cc yang baru keluar ketika itu. Rasanya bentuk badannya kelihatan lebih besar dan hebat... Cuma blok enjinnya sahaja kurang cantik! Masalahnya seseorang itu perlu membuat tempahan 3 bulan untuk mendapatkannya sedangkan di kedai yang sama, terdapat sebuah motosikal Yamaha Virago 535cc baru yang sedia menunggu untuk diambil asalkan sudah dibayar wang muka...

Ketika itu, saya pula sudah rasa tidak sabar hendak menunggang. Memang asalnya saya lebih mengidamkan Vulcan tetapi apabila difikirkan tempoh penantian kemudian bentuk blok enjin (blok enjin V2 Virago memang jauh lebih cantik, tetapi badannya tidak kelihatan 'segagah' Vulcan), saya pun membuat keputusan. Bayaran muka pun dibuat dan keluarlah saya menaiki motosikal besar Yamaha Virago 535cc pada satu petang... Walhal saya lesen motosikal biasa pun tak ada woo!!!


Selama beberapa bulan sebenarnya saya berjalan ke hulu ke hilir tanpa lesen dengan menaiki motosikal besar! Kalau naik motosikal kecil tanpa lesen itu kira biasalah, itupun di kampung-kampung. Ini naik motosikal besar sedangkan naik motosikal biasa pun saya jarang... Semasa itu jugalah saya baru nak belajar bagaimana cara menyelit seraya menjaga keseimbangan sebuah jentera beroda dua yang agak berat ke sana-sini di celah himpunan kenderaan seperti kereta dan lori di tengah kesesakan lalu lintas bandaraya Kuala Lumpur setiap hari!

Alhamdulillah, tidak lama kemudian saya mendapat tahu pihak JPJ akan mengadakan sesi ujian istimewa untuk lesen motosikal besar atau lesen B (dikenali ramai sebagai "B full " kerana boleh digunakan untuk semua kelas motosikal, bukan seperti lesen B2 yang dimiliki kebanyakan orang, terhad untuk motosikal 250cc ke bawah sahaja...).

Sesi ujian istimewa ini sebenarnya diadakan untuk kakitangan jabatan kerajaan tertentu seperti polis trafik dan kakitangan DBKL tetapi pihak media yang berminat turut dijemput sama. Dipendekkan cerita, akhirnya saya ada juga lesen motosikal malah lesen motosikal besar, alhamdulillah!

Tahun itu juga penghujung 1997, setelah confirm kerja di NST iaitu selepas setahun diperhatikan hasil kerja dan didapati memuaskan, baru saya dapat mengambil cuti. Apalagi, saya mengambil cuti 5 ke 6 minggu, saya pun tak ingat dengan tepat tempohnya tapi begitulah... Kiranya nak habiskan cuti berbayar untuk setahun (28 hari woo...) campur sekali cuti biasa hujung minggu. Lalu cuti panjang itu digunakan untuk membuat pusingan pertama perjalanan solo bermotosikal besar di keliling Semenanjung. Malah separuh dari tempoh itu dihabiskan dalam bulan puasa ataupun Ramadhan, bermula di Rantau Panjang, Kelantan...

Selain pergi ke tempat-tempat yang dikenali ramai seperti Pulau Pinang, Cameron Highlands malah puncak Gunung Jerai dengan motosikal, saya juga sempat pergi ke 4 'penjuru' Semenanjung... Penjuru barat-laut di sempadan Perlis/ Thailand yang bertemu ke Selat Melaka, penjuru timur-laut di sempadan Kelantan/ Thailand bertemu Laut Cina Selatan (kalau tak salah ingatan di Pengkalan Kubor), penjuru tenggara di Teluk Ramunia, Kota Tinggi dan penjuru barat-laut di Tanjung Piai, Pontian.

Setelah itu, saya telah beberapa kali keluar berjalan jauh keliling Semenanjung seorang diri dengan menunggang motosikal itu. Jangankan jalan biasa, jalan balak pun saya pernah bantai! Sedangkan ia bukannya scrambler dan lagi ia berat!

Misalnya saya pernah cuba mengambil jalan pintas dari kawasan Gunung Stong, Kelantan keluar ke Gua Musang yang sudah rosak... Sehingga apabila diberitahu saya akan mengambil jalan itu, seorang penduduk di Gunung Stong melarang kerana katanya baru-baru ini ada kenderaan pacuan 4 roda Hi-Lux sampai patah axle tayar kerana lalu di sana tetapi saya tetap ingin mencuba kerana telah terlihat jalan itu dalam peta sejak bertahun lalu!.

Dalam peta memang ia kelihatan seperti jalan pintas sebab dapat menjimatkan lebih 50km (rasanya mungkin sehingga 100km!) berbanding jalan biasa yang perlu melalui Kuala Krai. Dan lagi ia mengekori sebahagian Banjaran Titiwangsa dan itulah yang membuat saya lebih teruja untuk mencuba. Tetapi keadaan jalan yang begitu buruk, berlubang-lubang dan berbatu besar keras di bahagian kering berserta selut dan tanah merah lembap di bahagian basah sehingga beberapa kali motosikal jatuh tergelincir kalau tak pun tersangkut tenggelam 8 inci dalam lumpur malah hujan lebat, banjir kecil dan sempat bertemu babi hutan dan katak besar menyebabkan perjalanan itu mengambil masa lebih 6 jam!

Sebab itu saya begitu sayangkan motosikal ini. Walaupun ramai juga orang ingin membelinya daripada saya semasa zaman saya sedang lama berkelana tidak bekerja sehingga tidak mampu lagi menanggung kos membela motosikal ini... Sehingga ia rosak lama terbengkalai 5 tahun pun saya tetap tidak mahu melepaskannya dengan harapan ia akan berjalan elok satu hari nanti.

Kini alhamdulillah, ia bukan sahaja sudah kembali berjalan elok malah kelihatan lebih gah dan menarik dari dahulu. Dengan ini, selesailah proses penceritaan yang membentuk artikel ke-399 di blogspot ini. Kalau ada masa dan untuk memahami cerita ini lebih lanjut, sila baca artikel-artikel sebelumnya tentang motosikal ini di link-link ini:-


Apakah ada esok lagi untuk motosikal besar kesayanganku ini?

Harapan baru untuk motosikal besar kesayanganku!

Yahoo, eh... Alhamdulillah... Moto beso aku boleh jalan dah!

Bab 12, cerita tayar motosikal meletup dan almarhum Nenek yang sedang nazak...



p/s:
Pada malam selepas membuat penambahan baru pada motosikal itu, saya mendapat gerak pekerjaan yang mantap sehingga dapat menyiapkan proses mengambil sedutan-sedutan sesuai daripada video perjalanan terbaru ke Perak untuk dimuatkan di dalam blogspot. Salah satu sedutan terakhir adalah ziarah ke makam diraja Perak yang dibuat 17 Ogos waktu Maghrib. Sedutan itu cuma mahu saya ambil sampai ke takat saya memperkenalkan makam Sultan Abdullah Muhammad Shah II, Sultan ke 26 Perak yang dibuang ke Pulau Seychelles di perairan Afrika akibat disabitkan dengan pembunuhan Residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch tahun 1875.

Maka seperti biasa, saya pun membuat potongan video pada bahagian yang perlu lalu mula membuat proses publishing yang akan menerbitkan klip video yang sesuai. Peliknya, apabila proses publishing sudah selesai, video yang terhasil jadi lebih panjang sehingga bertambah hampir 1 minit... Dari 2 minit lebih yang diinginkan dah jadi sedutan sepanjang lebih 3 minit pula!

Sekarang, kejadian video yang terlebih panjang (atau terlebih pendek) memang perkara biasa dalam proses membuat sedutan, potongan atau editting video... Sekurang-kurangnya itulah yang saya lihat sejak tahu membuat segala ini menggunakan Windows Movie Maker... Jadi pandai-pandailah kita membuat pengubahsuaian yang perlu. Tetapi inilah kali pertama sedutan yang terhasil terlajak sehingga 1 minit! Lalu dalam sedutan itu terkeluar juga sedikit ulasan di makam moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin.

Lebih menarik lagi adalah bahagian akhir sedutan yang terhasil itu... Tanpa dirancang, elok-elok sahaja ia tamat selepas saya menyebut lebih kurang begini... "Menurut salasilah rasmi, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin adalah saudara tiga pupu Sultan Abdullah di sebelah perempuan. Tetapi menurut salasilah tidak rasmi (atau rahsia?) mereka sebenarnya saudara sepupu sebelah laki-laki!" Ada apa-apa makna ke sehingga boleh jadi begini? Sekian... :]



Menyusuri sejarah sekitar Perjanjian Pangkor 1874... Makam Raja Ahmad... Sekali lagi sampai waktu malam!

Yang ini juga lihat sendiri ceritanya dalam video ya... Kenapa dalam tajuk disebut "sekali lagi sampai waktu malam!" ? Kalau nak tahu, lihat artikel Perjalanan terbaru ke Perak... Perjalanan malam ke Pasir Salak, Makam Raja Ahmad, Makam Keramat Kuala Bidor sebelum kembali ke Teluk Intan... yang dibuat di sini 2 bulan lalu. Sila! :]



Lihat artikel Exploring the happenings around the 1874 Pangkor Treaty in Perak... From the tomb of Keramat Kuala Bidor to that of Raja Ahmad... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH untuk meilhat gambar-gambar statik atau still pictures berkaitan...



Menyusuri sejarah sekitar Perjanjian Pangkor 1874... Masjid lama misteri, makam Sultan Abdul Malik dan kubur Birch - Petanda bandar Melayu yang hilang

Hmm... Terasa letih hendak bercerita panjang tentang ini kerana harus memerah otak sedangkan saya begitu penat tetapi harus juga menulis. Maka lihat sahajalah klip-klip video yang disediakan untuk memahami jalan cerita ya...




Masjid lama misteri...



Makam Sultan Abdul Malik Mansur Shah, Sultan Perak ke 19...



Kubur si wakil penjajah J.W.W. Birch...

Menyusuri sejarah sekitar Perjanjian Pangkor 1874... Keramat Kuala Bidor

OK. Setelah beberapa ketika berlegar menyusuri sejarah di sekitar Teluk Intan, sampai masanya untuk keluar dari lingkungan kawasan itu. Perjalanan harus diteruskan ke daerah Kampung Gajah untuk ke Pasir Salak, lokasi Residen pertama British ke Perak J.W.W. Birch dibunuh orang-orang Melayu tahun 1875. Tetapi sepanjang arah ke sana, kami harus singgah ke beberapa tempat terlebih dahulu... Utama sekali adalah sebuah makam purba milik satu watak legenda lama yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor. Katanya, selain memiliki beberapa kelebihan yang mencarik adat dan berunsur keramat, beliau juga pernah membela buaya putih yang menjadi legenda Sungai Perak ketika ia masih sebesar tapak tangan lagi! Lihatlah videonya ini. Mari!








-------------------

Rabu, September 03, 2008

Menyusuri sejarah sekitar Perjanjian Pangkor 1874... Sultan Abdullah I, Laksamana Tok Janggut dan Tok Putih

Alhamdulillah! Dengan kuasa Allah SWT, dapat saya menumpang signal wi-fi jiran rumah sebelah rumah ibu saudara di Ampang lalu dapat menyiapkan beberapa posting yang sepatutnya disiapkan petang tadi di sebuah Internet Cafe di Selayang tetapi terbengkalai akibat hal-hal lain. Maka itu biar disambung lagi klip-klip video perjalanan di Perak, kiranya sambungan daripada artikel Menyusuri sejarah sekitar Perjanjian Pangkor 1874... Teluk Intan dan masalah video yang sudah selesai! . Mari! :]



Lihat... Apa kaitan Tok Janggut atau Laksamana Tok Janggut dengan Sultan Abdullah I, Sultan ke 22 Perak juga dikenali sebagai Marhum Durian Sebatang, ayahanda kepada Sultan Yusuf yang menaiki takhta menggantikan Sultan Abdullah II, Sultan ke 26 Perak yang dibuang oleh penjajah Inggeris ke Pulau Seychelles...



Kemudian apa kena mengena Sultan Abdullah I dengan satu watak misteri yang dipanggil sebagai Tok Putih malah disembah sesetengah kaum Cina di Teluk Intan? Hmm... Cukup ya. Selamat malam! :]

Al Quran lama dan beberapa barangan purba

Hujung minggu lepas, seorang kenalan telah menjemput saya melihat koleksi Al-Quran lama serta beberapa barangan purba yang dimilikinya. Kenalan itu ada membuat satu pameran kecil di sebuah hotel di Seremban dan kebetulan pada hari Sabtu saya ingin kembali ke rumah ayah dan ibu di Muar, Johor. Maka dalam perjalanan itu saya pun singgah. Lihatlah gambar-gambar ini... Mari! :]


Di atas meja ini terdapat sebuah topi perang dan sebuah kendi purba milik kenalan itu. Rupa-rupanya koleksi beliau ini pernah beberapa kali diketengahkan dalam surat khabar!

Adapun topi perang itu dipercayai datang dari zaman Dinasti Ming di China lebih 500 tahun lalu. Menurut kenalan itu, kendi berbentuk burung di sebelah kanan (juga dari China katanya) pula berusia tidak kurang 6,000 tahun. Kalau begitu, ia nampaknya sudah wujud semasa zaman Nabi Allah Ibrahim AS!

Beg tangan berwarna metallic di tengah pula berasal dari zaman Atlantis. Acah jer... Hehe! :]


Apapun, ini gambar topi perang itu lebih dekat...


Kendi purba yang dikatakan berusia tidak kurang 6,000 tahun! Mungkin zaman itu memang wujud burung-burung berupa begini? Atau ia sebenarnya sejenis dinasour kenit... Apa-apa ajelah. Heh! :]



Satu pandangan sudut barang-barang yang dipamirkan. Terdapat beberapa Al-Quran lama juga!


Quran ini berusia tidak kurang 100 tahun, mungkin 200 tahun...


Begitu juga yang ini...


Yang ini pula dicatitkan sebagai Quran lama dari Aceh berusia 150 tahun...

Naskah dari Jawa ini katanya berumur 200 tahun!


Satu lagi naskah dari Aceh, juga berusia 150 tahun...


Quran sedikit kecil ini juga berusia lingkungan itu tetapi berasal dari Sulawesi, tanah orang-orang Bugis!


Lagi pandangan pamiran dari sudut lain...


Sebuah kain lama dengan tenunan Ayat Qursi...


Yang ini pula orang Planet mana entah, dari zaman mana... Suka lompat-lompat masa ni... Biasa dia! (Sebut dengan gaya seorang makcik kat kampung dulu-dulu, menegur anaknya yang nakal...) Sesekali dia muncul untuk memantau pergerakan manusia yang melata di muka bumi, hehe...

Oh, lupa pula. Pada sesiapa yang berminat untuk melihat koleksi Al-Quran lama dan barangan purba ini, sila hubungi saudara Wan Ahmad Arshad, pemilik Galeri Pusaka Moyang yang beralamat di No. 10, Lorong Bunga Raya 18/2, Taman Tasik Jaya, 70450 Seremban di nombor telefon 019-2618302/ 019-3700875. Sekian! :]

p/s: Adapun selepas itu, pada hari yang sama saya juga telah singgah ke beberapa tempat menarik sebelum sampai ke Muar. Sila lihat artikel-artikel Asal usul nama (Origin of the name) Masjid Tanah and Makam (Tomb of) Hang Tuah di (in) Tanjung Kling, Melaka... di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan Interlude: A visit to Kuala Linggi... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH .