Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Oktober 23, 2021

Renungan terhadap legasi pengIslaman ilmu pengetahuan dan masa hadapannya - Satu gagasan besar ummah yang harus diteruskan

Salam. Dipersembahkan perkongsian kedua tentang majlis ilmu sejak muncul kembali mood untuk menulis setengah bulan lalu. Adapun perkongsian pertama dibuat dalam artikel Epistemologi Al-Ghazali : Kepentingannya bagi pemikiran semasa manusia pada 13 Oktober. Sepatutnya majlis ilmu seterusnya diikuti lalu mahu ditulis tentangnya adalah satu pelancaran buku berserta perbincangan tentang isinya pada pagi Khamis 2 hari lalu. Tetapi sampai masanya saya tidak dapat mengikuti kerana kepenatan amat sangat. Ini kerana malam sebelumnya tiba-tiba muncul gerak ilham untuk menambah isi tesis (yang sudah amat lama tersangkut penulisannya), gerak yang boleh dikatakan sangat lancar. Sampai jam 4 pagi baru dihentikan kerana sudah perlu berehat.


Majlis kali ini berlangsung pagi Sabtu tadi 23 Oktober tadi. Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Renungan Terhadap Legasi PengIslaman Ilmu Pengetahuan dan Masa Hadapannya". Ia adalah yang pertama dalam satu siri baru syarahan tentang "Masa Hadapan Integrasi Ilmu Pengetahuan Manusia dan Perkembangan Tamadun". Terma "PengIslaman Ilmu Pengetahuan" pada tajuk harus dirujuk. Ia adalah terjemahan bagi terma bahasa Inggeris "Islamisation of Knowledge" atau singkatannya IOK.

Tentang IOK ini ia adalah satu mata pelajaran wajib perlu diambil ketika saya mula-mula masuk untuk pengajian pasca-siswazah di ISTAC (Institut Antabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Kuala Lumpur. Cuma ketika itu saya bercadang mahu menamatkan pengajian secepat mungkin dengan penghasilan tesis lalu ambil tahu perkara setakat yang perlu untuk lulus subjek. Setelah beberapa lama baru mengambil keputusan untuk tidak terlalu mengejar tesis lalu lebih komited untuk belajar selain daripada apa yang sudah sedia faham dan tahu. Ini kerana saya mula seronok mendapat ilmu-ilmu baru melalui syarahan-syarahan ISTAC di luar keperluan kelas terutama melalui siri "Klasifikasi Ilmu Pengetahuan dalam Islam" oleh guru saya Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Sila rujuk pautan-pautan berkenaan dalam artikel Epistemologi Al-Ghazali : Kepentingannya bagi pemikiran semasa manusia.

Itupun buat beberapa lama masih tidak begitu diambil tahu apakah sebenarnya konsep IOK itu (ya, biar digunakan singkatan daripada bahasa Inggeris). Ketika mengambil subjek berkenaan pada semester pertama di ISTAC bermula September 2018 saya cuma memahami ia sebagai usaha untuk meletakkan semua bentuk ilmu ciptaan atau yang ditemui manusia (human knowledge) dalam kerangka yang selari dengan ajaran Islam. Tidak diambil tahu ketika itu betapa besar dan hebat sebenarnya gagasan berkenaan. Untuk pengetahuan disebabkan gagasan inilah ISTAC diasaskan pada tahun 1987. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang merupakan badan induk menaungi ISTAC telah terlebih dahulu diasaskan akibat gagasan ini pada tahun 1983. Malah disebabkan gagasan inilah banyak usaha besar keilmuan muncul dalam dunia Islam moden.

Sebetulnya sesiapa yang hendak memasuki UIAM apa lagi di ISTAC yang taraf pemikiran dan keilmuannya lagi tinggi harus sudah cukup tahu tentang IOK sekurang-kurangnya melalui bacaan. Saya pula yang baru 3-4 hari lalu betul-betul hendak ambil tahu.  Hal ini muncul disebabkan sepupu datang bertandang ke rumah bersama suaminya, seorang pembantu profesor di UIAM (assistant profesor) pada petang Selasa 19 Oktober yang merupakan Hari Mauludir Rasul. Mereka datang kerana ayah dan ibu saya ada datang dari kampung di Muar (rujuk cerita berkenaan dalam artikel Tempat kelahiranku Muar, kerinduan pada ibu bapa dan Maulidur Rasul).

Ketika itulah timbul perbualan tentang IIIT (International Institute of Islamic Thought) atau bahasa Melayunya, Institut Antabangsa Pemikiran Islam (hampir sama makna dengan ISTAC). Sebelum itu saya pernah dengar nama itu sebagai satu badan yang sudah beberapa kali menganjurkan secara bersama syarahan-syarahan oleh guru saya Osman. Daripada perbualan dengan suami sepupu baru tahu ia sebenarnya berpengkalan di Amerika Syarikat dan diasaskan oleh pemikir besar moden Islam, almarhum Profesor Ismail al-Faruqi. Sebelum ini saya cuma tahu Ismail sebagai pengasas satu aliran atau sekolah pemikiran (school of thought) yang bersaing dengan sekolah pemikiran Tan Sri Profesor Syed Naquib al-Attas iaitu pengasas ISTAC. Baru tahu IIIT telah diasaskan lebih awal sedangkan ia dan ISTAC muncul daripada gagasan sama iaitu IOK.

Saya pernah dengar IOK ini terbit daripada satu persidangan besar di Mekah. Tapi baru dalam 2-3 hari ini tergerak untuk menggali lebih dalam lalu dapat tahu persidangan berkenaan dikenali sebagai First World Conference on Muslim Education (Persidangan Pertama Dunia tentang Pendidikan Islam), berlaku pada tahun 1977 dan dihadiri lebih 350 orang cendekiawan Islam. Harus hal ini dilorongkan Allah SWT sehingga saya dapat menemui satu artikel akademik bertajuk "Some Reflections on Islamization of Education Since 1977 Makkah Conference : Accomplishement, Failures and Tasks Ahead" (Sejumlah Renungan tentang Islamisasi Pendidikan sejak Persidangan Makkah : Pencapaian, Kegagalan dan Tugas ke Hadapan) oleh Ghulam Nabi Saqeb pada tahun 2000.  Beliau yang rupa-rupanya sudah meninggal dunia dinyatakan sebagai antara setiausaha penganjuran persidangan lalu banyaklah saya dapat tahu tentang IOK dan kesan-kesannya.

Hebat. Memang sangat hebat. Terharu rasa membacanya kerana ada kena mengena dengan gagasan peribadi saya sendiri tentang dunia (yang muncul sejak berumur 18 tahun pada tahun 1988). Artikel bahasa Inggeris sepanjang 24 muka surat itu dihabiskan bacaannya malam semalam bersama beberapa lagi bacaan lain berkaitan juga sedikit penulisan tesis (ya, perangai saya sejak kecil adalah menelaah banyak bacaan sekaligus apabila ada perkara-perkara berkait). Nampaknya minat yang baru muncul 2-3 hari ini mahu menyediakan saya bagi syarahan terbaru Osman pagi Sabtu.



Cuma itu le, lagi sekali saya dilanda rasa penat yang amat sangat. Selain itu timbul hal-hal lain menyebabkan saya menyertai majlis melalui Webinar lebih 20 minit lambat. Nasib baik masih lagi peringkat pengenalan. Disebutlah tentang Persidangan Makkah 1977 yang dilihat Osman sebagai satu perkembangan terpenting umat Islam pada zaman post-colonial iaitu selepas penjajahan. Ini faham saya merujuk pada keadaan yang mana boleh dikatakan seluruh dunia Islam sudah jatuh terjajah ke tangan kuasa-kuasa Barat, paling lewat selepas kejatuhan Kekhalifahan Uthmaniyah (setelah kalah dalam Perang Dunia Pertama 1914-1918). Selepas Perang Dunia Kedua 1939-1945 baru wilayah-wilayah berkenaan dilepaskan atau diberikan  kemerdekaan satu persatu tetapi dalam keadaan minda penduduknya sudah terjajah oleh pendidikan dan cara pentadbiran Barat. Selepas beberapa lama baru dapat mengumpul kekuatan untuk menongkah arus zaman lalu muncullah gagasan besar IOK.

Dua perkara menarik disebut Osman yang baru saya sedari tadi adalah bagaimana gagasan ini muncul ketika abad ke-15 Hijriah hampir menjelang (tahun 1400an). Terus teringat tarikh kelahiran saya 26 November 1970 adalah bersamaan 27 Ramadhan 1390.  Maka harus kurang 10 tahun selepas itu masuk abad ke-15 Hijriah. Semakan melalui program Gregorian to Hijriah pula menunjukkan abad baru Islam dimasuki pada 21 November 1979. Ini kerana ia bersamaan 1 Muharram 1400 Hijriah. Maka memanglah Persidangan Makkah itu berlaku ketika abad ke-15 hampir menjelang.

Satu lagi perkara menarik ialah faktor Revolusi Islam Iran. Ini menyaksikan naik kepimpinan baru ulamak yang diketuai Ayatollah Khomeini merampas kuasa dan menjatuhkan kepimpinan beraja turun-temurun daripada Shah Iran. Ah. Saya ingat ini walaupun baru berumur 9 tahun ketika itu kerana sentiasa berkumandang berita di akhbar dan televisyen. Ia adalah satu perubahan besar dalam tatanan cara dunia. Osman menyebutnya sebagai gempa bumi politik.



Persidangan Makkah membuka perbahasan baru tentang apakah kehendak Islam. Perkembangan semasa dunia termasuk Revolusi Iran memacu lagi kehendak. Secara rata persidangan berlaku sebagai reaksi terhadap penguasaan pendidikan oleh Barat yang bersifat sekular lalu merosakkan nilai-nilai masyarakat Islam. Sesuatu harus dilakukan sebelum kerosakan menjadi lebih parah lalu muncullah IOK iaitu gagasan untuk 'mengIslamkan' segala bentuk ilmu manusia atau meletakkannya ke dalam kerangka Islam.



Bagaimana pula tentang legasi IOK? Osman pun membahagikan kepada tiga. Pertama dalam bentuk institusi...

Osman menyebut dahulu tentang wujudnya perbahasan untuk menentukan siapakah yang sebenarnya memulakan gagasan IOK. Ini kerana Persidangan Makkah itu adalah tempat ia disuarakan oleh seseorang atau satu pihak sebelum disepakati untuk dijadikan satu gagasan besar dunia Islam. Bacaan juga cerita-cerita yang saya dengar, ada kata Ismail (al-Faruqi) memulakannya, ada kata Syed Naquib (al-Attas). Kata Osman berdasarkan 8 tahun pernah bekerjasama dengan Syed Naquib dalam dunia pendidikan dan gerakan Islam beliau melihat terma "Islamisation of Knowledge" itu sendiri sudah digunakan Syed Naquib beberapa tahun sebelum Persidangan Makkah.

Untuk pengetahuan kedua-dua Ismail dan Syed Naquib hadir pada persidangan lalu mengemukakan buah fikiran. Ismail yang lahir tahun 1931 cuma dua tahun sahaja lebih tua daripada Naquib. Namun usaha Islamisasi ilmu pengetahuan sebenarnya sudah berlaku jauh lebih awal, cuma tidak disebut dengan terma sebegitu. Kata Osman lihat sahaja Islamisasi ilmu pengetahuan yang berlaku pada abad ke-8 Masihi bersamaan abad ke-3 Hijriah dalam dunia Islam (merujuk pada zaman sejak berdirinya perpustakaan Baitul Hikmah di Baghdad). Ketika itu empayar Islam sudah membesar untuk meliputi banyak tinggalan tamadun lama besar dunia. Lalu berlakulah gerakan untuk mendapatkan, menterjemahkan, menafsirkan dan memadukan ilmu daripada ketamadunan lama Yunani, Hindi, Cina, Mesir dan sebagainya.

Kata Osman, Syed Naquib sudah bercakap tentang Islamisasi ilmu di Alam Melayu seawal tahun 1963 dalam syarahan-syarahan beliau (yang daripada segi konsep pun adalah IOK). Daripada segi organisasi pula IOK lebih awal digunakan oleh Ismail iaitu melalui pengasasan IIIT pada tahun 1981. Kata Osman sekitar waktu itu beliau sedang berada di Temple University (di Amerika Syarikat untuk pengajian pasca-siswazah).  Ismail (Osman menyebut sebagai Faruqi) ada menunjukkan plan induk IIIT lalu meminta pandangan beliau.

Hmm. Saya rasa selepas ini elok merujuk kepada Syed Naquib sebagai al-Attas dan Ismail sebagai Faruqi seperti dilakukan dalam bahasa Inggeris.

Osman menyebut, kemudian ISTAC ditubuhkan pada tahun 1987 dan ini berlaku selepas UIAM ditubuhkan 1983. Maka UIAM adalah institusi lebih awal di bawah gagasan IOK sementara ISTAC menjadi satu institusi autonomi di bawah IIUM. Bagaimana pula kaitan dengan OIC atau Pertubuhan Kerjasama Islam (antara negara-negara Islam itu)? Kata beliau OIC ditubuhkan di Rabat (Maghribi) selepas Masjid Al-Aqsa dibakar (tahun 1969). Ia kemudian turut memainkan peranan dalam gagasan IOK termasuk bagi penubuhan universiti-universiti Islam.

UIAM adalah universiti pertama Islam ditubuhkan (atas gagasan ini) diikuti satu di Islamabad (Pakistan tahun 1985). Osman kemudian menyebut tentang Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) sebagai satu hasil IOK. Namun semakan Google menunjukkan ia ditubuhkan pada tahun 1977, sama tahun dengan Persidangan Makkah. Hmm. Seterusnya muncul Islamic Academy of Cambridge  (Akademi Islam di Universiti Cambridge, United Kingdom) oleh Profesor Ali Ashraf, kemudian kumpulan pemikir dan pengkritik Ijmali yang diasaskan oleh Ziauddin Sardar diikuti ICMI (Persatuan Intelektual Islam Indonesia).



Legasi juga ditinggalkan dalam bentuk penulisan-penulisan Al-Faruqi dan anak-anak muridnya, begitu juga halnya bagi al-Attas. Seterusnya ada penulisan-penulisan oleh seorang lagi cendekiawan besar dunia Islam iaitu Seyyed Hossein Nasr. Namun Osman melihat beliau sebagai a one-man institution - institusi berupa seorang diri manusia. Disebut juga tentang hasil-hasil penulisan Syed Ali Ashraf (yang mengasaskan Akademi Islam di Cambridge itu) dan Ziauddin Sardar. Turut disenaraikan penerbitan-penerbitan di bawah nama The World Conference on Muslim Education Series (Siri Persidangan Dunia tentang Pendidikan Islam) juga penerbitan-penerbitan beliau (Osman) sendiri. Kata beliau adalah satu pembaziran jika tulisan-tulisan ini tidak dikaji kerana ia dibuat untuk ummah.




Seterusnya adalah legasi daripada segi ideologi atau kerangka pemikiran itu sendiri. Ia melibatkan rasional, matlamat dan ruang lingkup falsafah IOK. Kenapa ia perlu pada masa berkenaan? Kenapa perlu pada masa hadapan? Kata Osman ini adalah agenda (pemerkasaan) ummah. Ia penting bagi ummah supaya dapat memahami segala macam cabaran yang melanda dunia Islam seperti sekularisasi dan sebagainya.

Tambah beliau, ada dalam kalangan umat Islam sendiri mempersoalkan IOK sebagai bersifat sekretarian iaitu berada cuma dalam kelompok tersendiri yang terpisah daripada orang lain. Mereka melihatnya tidak bersifat universal ataupun menyeluruh. Kata Osman beliau sendiri pernah ditanyakan hal ini. Jawab beliau ia bergantung pada apa yang kamu faham tentang Islam.

Apapun IOK ini sebenarnya diikuti oleh ramai sarjana bukan Islam. Kata Osman beliau sendiri ada mengajar subjek IOK di Georgetown (universiti di Amerika Syarikat). Mereka tertarik kerana ada perkara-perkara yang terkait dengan mereka. Misalnya ada kaitan antara apa yang berlaku pada Islam dengan apa yang berlaku pada Kristian. 

Kata beliau di Malaysia pun ada orang bukan Islam yang mengambil tahu tentang IOK. Cuma ia adalah dalam konteks kebimbangan, takut nilai-nilai Islam dipaksakan terhadap orang bukan Islam. Padahal boleh ditekankan sifat universal Islam yang menyeluruh lalu boleh memberikan faedah kepada semua orang.




Seterusnya Osman memberikan penilaian terhadap legasi. Kata beliau ada beberapa isu yang belum selesai. Pertama adalah kemunduran (setback) dalam kepimpinan. Pada tahun 1986 Al-Faruqi dibunuh orang. Ketika itu Osman sedang berada di Georgetown. Pada tahun 1998 Ali Ashraf pula meninggal dunia. Beliau adalah seorang penggerak utama Persidangan Makkah. Pada tahun sama Anwar Ibrahim dipecat (daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia) oleh Mahathir (Perdana Menteri ketika itu). Walaupun bukan termasuk dalam golongan sarjana IOK beliau memainkan peranan penting dalam penubuhan institusi (antaranya UIAM dan ISTAC).

Seterusnya adalah peristiwa 11 September 2001 (yang menyaksikan menara berkembar World Trade Centre di New York runtuh dilanggar dua buah kapal terbang, katanya akibat serangan pengganas Islam). Apakah kesannya terhadap IOK? Osman menunjuk pada IIIT yang berpengkalan di Amerika Syarikat. Selepas peristiwa tersebut muncul gerakan anti-Arab dan anti-Islam di negara itu. IIIT berada di bawah pengawasan (diintip). FBI (badan penyiasat persekutuan AS) mahu menggaitkannya dengan keganasan lalu IIIT berpindah ke Tanah Arab.

Seterusnya tahun 2002 Al-Attas pula kehilangan ISTAC (akibat permainan politik). Semua ini membawa pada kehilangan momentum intelektual. Tidak ada buah fikiran baru muncul. Sehingga IIIT pun menilai kembali peranan mereka dalam gerakan IOK. Lalu berlaku pertukaran (misi) dari Islamisasi (ilmu pengetahuan) menjadi integrasi...

Kata Osman di UIAM ada usaha oleh (Tan Sri) Profesor (Emeritus) Kamal Hassan untuk menyelamatkan momentum (IOK). Tetapi secara rata terdapat kemerosotan dalam gerakan. Kurang kelestarian (sustainability) intelektual. Kita membuat lebih perkara yang sama tetapi tiada yang baru (We are doing more of the same but nothing new). Ada matlamat terpenuhi tetapi tidak yang lain. Apakah matlamat yang tidak terpenuhi itu? Antaranya adalah mencipta (bidang) sains baru atau mereformasi sains-sains sedia ada agar menurut epistemologi (kaedah ilmu) Islam.

OK. Saya tidak dapat memanjangkan lagi tulisan kerana ada banyak perkara perlu ditangani. Ketika menulis ayat ini sudah jam 4.33 petang. Ada tetamu, kawan lama datang bersama isteri dan sampai 5 minit tadi. Saya minta isteri layan dahulu sambil saya cuba menyiapkan penulisan. Saya cuma menyampuk sesekali kata-kata kawan.

Selain itu saya perlu menyiapkan penulisan secepat mungkin kerana harus bergegas untuk satu majlis Maulidur Rasul di lokasi 75 km dari rumah. Dan saya memang sedang banyak kerja dan hal lain ketika ini.




Maka diringkaskan bab penutup. Osman percaya gerakan IOK harus diteruskan. Ini kerana tujuan kewujudannya lebih 40 tahun lalu masih belum selesai. Sekularisai (ilmu dan sebagainya) belum hilang, penyudutan (marginalisation) agama dalam dunia akademi juga masih terus berlaku. Malah dalam sesetengah hal keadaan semakin teruk. Oleh itu IOK masih diperlukan.

Sedikit daripada sesi soal jawab. Tentang integrasi berbanding Islamisasi kata Osman integrasi adalah proses. Tetapi dalam kerangka apakah integrasi harus dilakukan? Itulah Islamisasi lalu ia tetap diperlukan. Cukuplah perkongsian daripada saya ya. Sekian, wassalam.



Selasa, Oktober 19, 2021

Tempat kelahiranku Muar, kerinduan pada ibu bapa dan Maulidur Rasul

Salam semua. Salam pagi 12 Rabiuawal, hari Maulidur Rasul. Untuk hari ini ada perkongsian istimewa yang sangat dekat dengan hati. Kiranya berkesinambungan dengan artikel Aku, ISTAC, pandemik Covid-19 dan Jumaat yang berkat yang ditulis pada hari Jumaat 1 Rabiuawal, hari pertama bulan Maulidur Rasul.



Rabu 13 Oktober 2021 malam Khamis yang tarikh Islamnya sudah masuk 7 Rabiulawal 1443 Hijriah, sekitar jam 10.30 saya dan keluarga bertolak meninggalkan rumah untuk satu perjalanan jauh.




Kami mahu mengambil kesempatan di atas kelonggaran PKP (Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan virus Covid-19) yang mana rakyat Malaysia boleh membuat perjalanan rentas negeri bermula pada hari Isnin 11 Oktober. Kali terakhir kami berjalan rentas negeri adalah pada bulan Disember tahun lepas. Tidak lama kemudian PKP diperketatkan kembali. Buat satu tempoh hendak keluar daerah pun tak boleh. Kemudian boleh, kemudian tak boleh lagi.

Hal ini menyebabkan rata-rata rakyat Malaysia tidak dapat kembali ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri pada pertengahan Mei, satu perkara yang turut berlaku pada musim raya tahun 2020. Cuma pada tahun itu perjalanan rentas negeri dibenarkan sekitar sebulan selepas Syawal lalu rakyat boleh kembali ke kampung untuk Hari Raya Aidil Adha hampir penghujung Julai. Tahun ini langsung tak boleh kerana situasi jangkitan Covid-19 lebih teruk berbanding dahulu. Maka masuk 11 Oktober itulah baru orang ramai boleh balik kampung...



Kami sengaja memilih lewat malam pada 13 Oktober untuk bertolak supaya tidak berselisih dengan ramai orang yang juga mahu balik kampung. Alhamdulillah perjalanan kami lancar tanpa melalui sebarang kesesakan sehingga sampai ke kampung di Muar, sekitar 240 km dari rumah kami di Sungai Buaya, Rawang. Gambar ini diambil pada pagi Khamis 14 Oktober. Kami mahu keluar bersarapan di bandar Muar bersama ibu bapa.



Kami mahu makan nasi beringin tapi sudah habis. Maka tukarlah pergi ke kedai jual satay...



Satu perkara menarik tentang Muar adalah satay biasa dimakan untuk sarapan bukan untuk makan tengah hari atau malam seperti di tempat lain.



Dan ada kedai masih mengamalkan cara lama yang mana satay pelbagai jenis terus dihidangkan di atas meja tanpa perlu menyatakan apa yang kita mahu dan berapa cucuk. Kita cuma perlu membayar beberapa cucuk yang sudah dimakan.  Berbeza dengan tempat lain di mana kita perlu membayar harga bagi jumlah yang diminta walau satay tidak disentuh.



Pagi Jumaat 15 Oktober saya keluar seorang diri ke bandar.




Singgah ke tempat makan di Tanjung Emas pekena asam pedas. Dah habis makan baru teringat nak ambil gambar.



Saya keluar seorang diri kerana mahu menunaikan solat Jumaat di masjid jamek Muar di sebelah tanjung, dekat kuala Sungai Muar. Bapa menunaikan solat di masjid kampung 7 km ke timur laut sementara dua orang anak laki-laki tidak dapat ikut kerana menurut SOP (standard operating procedure) bagi PKP tidak cukup umur untuk bersolat Jumaat di mana-mana masjid.



Alhamdulillah dapat juga bersolat Jumaat di masjid tempat saya selalu bersolat juga bermain semasa zaman kanak-kanak. Gembira rasa hati dapat melakukannya setelah sekian lama. Oh. Kali terakhir saya, isteri dan anak-anak kembali ke kampung bertemu ibu bapa adalah pada cuti Krismas penghujung tahun lalu. Kali terakhir bersolat Jumaat di masjid jamek? Tak ingat. Mungkin pada awal tahun 2020, mungkin sebelum itu.

Kali ini saya mengambil peluang untuk beriktikaf sedikit lama di masjid jamek Muar. Dapatlah mengaji satu juz Al-Quran hingga tamat. Hari itu adalah giliran untuk menamatkan juz ke-8 kerana tarikh Islamnya adalah 8 Rabiulawal. Bila melihat gambar di tempat makan tadi ada pula nombor 8 sebagai nombor gerai. Padahal tak rancang pun hendak makan di situ malah ke tempat makan pun tak rancang. Cuma perlu singgah kerana terasa lapar lantaran keluar awal dari rumah tanpa sempat makan kerana tidak mahu terlepas kuota masuk bersolat di masjid.



Ketika keluar untuk meninggalkan masjid sudah hampir jam 4 petang. Alhamdulillah saya juga dapat membuat sedikit kerja untuk penulisan tesis. Rujuk hal berkenaan dalam artikel Aku, ISTAC, pandemik Covid-19 dan Jumaat yang berkat. Gambar atas menunjukkan masjid jamek kedua Muar. Rupanya hampir sebijik dengan masjid jamek pertama. Jika masjid pertama siap dibina pada tahun 1930an masjid kedua yang terletak di seberang Sungai Muar hampir setentang dengan masjid pertama pula siap dibina sekitar 70 tahun kemudian. Cuma bahagian seberang ini kemudian masuk dalam daerah Tangkak yang tercipta akibat daerah Muar dipecah dua sekitar tahun 2008 (kalau tak salah ingatan).



Gambar ini pula diambil pada pagi Sabtu 16 Oktober. Kelihatan anak kecil saya sedang merenung Sungai Muar dengan masjid jamek kedua kelihatan di sebelah kanan.




Kali ini kami sekeluarga dapat menikmat hidangan nasi beringin yang didambakan. Kali ini kami keluar lebih awal.



Selepas makan kami keluar berjalan-jalan ke seberang sungai yang telah masuk ke dalam daerah Tangkak itu. Gambar ini diambil di atas jambatan ketika hampir kembali ke bandar Muar.




Singgah membeli air kopi sejuk di kedai khas Kopi 434. Anak bongsu saya suka bebeno kopi ais sini.




Lewat petang itu kami bergerak ke Melaka untuk melawat seorang adik saya yang menetap di Bukit Katil. Keesokannya selepas menginap di rumah beliau kami bergerak ke arah barat laut.



Lalu di pekan Masjid Tanah jam 1.16. Kami mahu melawat seorang ibu saudara. Suaminya yang merupakan adik kepada bapa saya sudah kembali ke rahmatullah.



Gambar ini pula diambil pada jam 4.14, ketika menyeberang Sungai Linggi dekat Kuala Linggi lalu masuk ke Negeri Sembilan meninggalkan negeri Melaka.




Seterusnya kami menziarahi seorang kawan warga Aceh yang telah lama berumah tangga dengan seorang wanita Malaysia di rumah ibunya di Sendayan. Gambar ini diambil kemudian pada jam 6.38. Ketika itu kami sedang menghampiri Kuala Lumpur.

Malam itu kami melawat seorang adik ibu dan suaminya di Bukit Damansara. Oh. Perjalanan dari Muar ini sebenarnya dibuat bersama ibu bapa. Bapa memandu kereta sendiri, dia yang mahu walau saya sedia untuk mengambil dan menghantar mereka. Ibu bapa saya kedua-duanya berumur 79 tahun, lahir tahun 1942. Alhamdulillah, bapa masih cekap memandu, cuma penglihatan waktu malam ada sedikit kurang.

Pada ketika ini mereka ada di rumah kami insyaallah hingga minggu hadapan. Mereka perlu kembali ke Muar nanti kerana ibu ada temu janji di hospital. Cukuplah perkongsian daripada saya untuk pagi 12 Rabiuawal. Allahumma soli ala Saidina Muhammad wa ala ali Saidina Muhammad.