Adapun perjalanan dimulakan pada tengah malam dari Kuala Lumpur, masuk hari Sabtu 15 November, terus ke Kuala Terengganu. Sampai ke situ selepas Subuh terus singgah ke Masjid Tengku Zaharah, juga dikenali sebagai masjid terapung di Kuala Ibai untuk mengambil gambar. Kemudian kami pergi ke Kampung Pulau Manis untuk menziarahi makam Tok Pulau Manis sebelum menghala kembali ke Kuala Terengganu lalu singgah ke Masjid Tokku Paloh di mana kami juga mandi sebelum mengambil gambar kemudian menziarahi makam Tokku Paloh.
Oh! Dalam perjalanan ini, rakan saya Shamsul Yunos yang menjadi jurugambar turut membawa 2 orang anak kecilnya berjalan. Peluang ini juga digunakannya untuk memandu uji sebuah kereta baru.
Seterusnya kami menghala ke Pulau Wan Man untuk ke Masjid Kristal kemudian masuk Taman Tamadun Islam untuk melihat segala macam replika atau model masjid-masjid terkemuka di dunia. Kemudian baru ke Chabang Tiga untuk mengambil gambar Masjid Hiliran, seterusnya ke Masjid Abidin di tengah bandaraya Kuala Terengganu.
Dengan itu selesailah rangka-kerja untuk masjid-masjid di Terengganu. Kami pun terus ke Kota Bahru, Kelantan untuk bermalam di sana. Keesokannya hari Ahad, baru kami mengambil gambar di Masjid Muhammadi, masjid jamek lama ibukota negeri itu sebelum ke Masjid Tok Kenali di Kubang Kerian, kemudian menziarahi makam ulamak besar bertaraf wali ini.
Adapun di celah-celah itu berlaku beberapa keadaan yang melambatkan perjalanan. Tapi ini akan saya ceritakan dalam bahagian yang lebih detail atau teliti nanti. Dipendekkan cerita, kami sampai ke masjid seterusnya iaitu Masjid Kampung Laut di Nilam Puri sekitar jam 5 petang. Kemudian terus menghala ke kawasan antara daerah Pasir Mas dan Tanah Merah untuk ke Danau Tok Uban... untuk melihat Masjid Brunei Darussalam dari seberang tasik.
Kami sampai di Danau Tok Uban sahaja dah sekitar jam 6.30 petang. Sedangkan jalan kereta untuk sampai ke seberang boleh tahan jauh dan banyak simpang-siurnya selain teruk keadaannya. Lalu kami beberapa kali tersilap ambil simpang, akhirnya sampai ke Masjid Brunei sekitar jam 8 malam.
Oleh kerana Shamsul harus memulangkan kereta hari Isnin, kami bergerak kembali ke Kuala Lumpur malam itu juga. Dalam perjalanan, baru kami singgah ke masjid lama di tengah pekan Kuala Lipis kemudian sebuah masjid di tepian sungai di Dong, Raub...
Bayangkan, sampai ke Kuala Lipis sahaja dah hampir jam 2 pagi. Sampai ke Kuala Lumpur hampir jam 5 pagi. Begitulah perjalanan kami yang agak terkejar-kejar itu.
Maka di sini biar diumumkan. Proses penceritaan perjalanan ke Pantai Timur ini akan dibuat begini. Akan saya lepaskan dahulu sedikit gambar yang diambil di Masjid Ibai diikuti siri gambar-gambar replika masjid-masjid di Taman Tamadun Islam untuk blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Adapun dalam perjalanan ini juga, saya dapat melihat perspektif baru untuk masjid-masjid yang pernah dilawati sebelum itu dan pernah saya letakkan gambar-gambarnya dalam blogspot dwi-bahasa itu. Maka untuk penceritaan kali ini, akan saya lepaskan perspektif terbaru itu dalam dalam satu siri penceritaan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH pula .
Kemudian baru boleh dibuat cerita-cerita yang lebih detail untuk blogspot ini pula ya. Insyaallah akan saya cuba lepaskan sebanyak mungkin hari ini. Lagipun selagi saya tak lepaskan, selagi itulah saya belum betul-betul dapat menyambung penulisan untuk isi buku masjid yang sedang diusahakan kini. Sekian... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan