Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Tuesday, May 12, 2009

Cerita An-Nur - Apabila si gadis cantik naik gila...

Gambar yang ditemui selepas membuat Google image search menggunakan perkataan "straight jacket" (sejenis pakaian keselamatan untuk pesakit jiwa kronik) terasa amat sesuai untuk cerita kali ini. Cuma ia terlalu seksi, lalu saya kena le censor mana yang patut...



Bersambung dari artikel Cerita An-Nur - Ke Perak untuk berbincang hal buku . Selesai urusan di Perak, kami terus menghala ke Kuala Lumpur. Destinasi seterusnya ialah rumah sewa An-Nur di sebuah kondominum berdekatan pusat bandaraya. Dalam perjalanan gadis itu ada membisikkan ingin saya ikut bermalam di rumahnya. Tetapi sebaik sahaja menghampiri Kuala Lumpur, bapa An-Nur bertanya jika saya ada memiliki apa-apa rumah sendiri atau rumah saudara-mara untuk bermalam lalu saya memberitahu tentang rumah milik keluarga di Kajang.

Saya pun dihantar sampai ke rumah itu. Kelihatan muka An-Nur sedikit mencebik apabila saya keluar meninggalkan kereta. Ketika itu sudah lewat malam. Esok pagi baru dia menghubungi saya bertanyakan khabar. Memandangkan An-Nur sudah selamat berada di tangan ibu-bapanya, saya terfikir juga mahu keluar mengembara lagi atau sekurang-kurangnya kembali ke Janda Baik.

Selain untuk berehat setelah berjalan jauh Segamat ke Perak kemudian kembali ke Kuala Lumpur, tujuan utama mereka kembali ke rumah sewa An-Nur adalah untuk mengemas barang-barang miliknya. Bapanya mahukan gadis itu melepaskan rumah itu dan berpindah kembali duduk di Segamat bersama keluarga. Selama inipun An-Nur bekerja tidak tentu arah. Saya tak pasti apa kerjanya tetapi ia bersifat freelance, ada kena-mengena dengan produksi rancangan televisyen terutama di Astro. Keluarganya tahu An-Nur sedang menghadapi masalah, antaranya akibat dipermain-mainkan orang dalam dunia penyiaran dan mungkin sebab itu adakalanya dia kelihatan kurang waras. Tentu lebih baik jika dia duduk bersama keluarga sekurang-kurangnya untuk sementara waktu. Lagipun bukankah An-Nur perlu melalui satu proses untuk berbaik-baik dengan keluarganya?

Saya tahu cerita masalah An-Nur yang berlaku semasa zaman kecilnya, satu cerita yang sering diulang-ulangnya sebagai punca dia jadi begitu memberontak terhadap keluarga. Setakat yang boleh dibuat sepanjang perkenalan dengan keluarga, saya telah berusaha sehabis baik untuk menjadi orang tengah yang dapat merapatkan keluarga. Tetapi di kala saya sudah membuat keputusan untuk membiarkan sahaja mereka sekeluarga menangani masalah sendiri, An-Nur menalifon lagi merayu-rayu agar saya datang ke rumahnya. Bagaimana ini? Bukankah bapanya tidak mahu saya turut bersama? Tetapi timbul juga keinginan untuk melihat bagaimana agaknya rupa rumah An-Nur apalagi ia akan dilepaskan dan gadis itu akan kembali berhijrah ke kampung halamannya di Segamat, Johor.

Setelah memikirkannya dalam-dalam saya pun berjalan kaki lebih sebatu dari rumah ke bandar Kajang sebelum mendapatkan bas ke Kuala Lumpur. Dari pusat bandaraya saya mengambil sebuah lagi bas sebelum sampai ke kawasan yang dikatakan berdekatan kondomium tempat An-Nur menyewa. Saya pun menelefonnya untuk memberitahu saya sudah sampai. Tetapi jawab gadis itu: "An-Nur tukar plan le... An-Nur sekarang on the way balik Segamat. Dah dekat nak sampai dah!"

Allah! Naik angin saya mendengar kata-kata itu. Hampir saya menyumpah-nyumpah. Apahal si An-Nur ni? Tak tahu ke dia saya bukan ada kenderaan sendiri, perlu bersusah-payah untuk sampai ke situ dan sekarang katanya dia sudah hampir sampai ke Segamat.

Ah. Menyesal rasanya ikut cakap An-Nur mahu ke rumahnya. Kan elok jika tadi saya mengambil bas untuk kembali ke Janda Baik? Kini sudah agak lambat, hampir masuk waktu Maghrib. Setelah berlegar-legar lama di sekitar itu terutama di sebuah lorong yang membawa ke satu-satunya kondominium tinggi yang ada di sana, saya pun mengorak langkah keluar ke tepian jalan besar.

Tiba-tiba kedengaran bunyi hon kereta. Seketika itu juga kelihatan sebuah kenderaan yang saya kenal dengan seorang gadis di dalamnya. Gadis itu membuka pintu lalu ketawa terkekek-kekek! "An-Nur tahu Abang akan lalu depan ni! An-Nur saja nak kacau Abang," katanya masih ketawa.

Muka saya merah padam. Kalau orang lelaki, mahu sahaja saya menerajangnya tetapi ini gadis cantik tetapi kepala gila yang bakal menjadi isteri. Aduh! Ada sajalah perangai si An-Nur ni!

Tetapi dari satu segi saya terasa lega melihat air-mukanya. Maklumlah, walaupun kepalanya seperti tak betul, walaupun dia baru sekitar 2 minggu lebih muncul dalam hidup saya, perasaan sayang sudah mula berputik tak pedulilah jika pertemuan kami berlaku sekadar sebagai ganti kepada apa yang terjadi kepada gadis kesayangan sebelum itu, si Nur.

Saya masuk ke dalam kereta. Pada mulanya saya mengajak An-Nur agar kembali ke rumahnya. Takut juga bapanya risau menunggu di rumah sedangkan kereta yang dinaiki adalah kereta ibunya. Tetapi An-Nur tidak mahu pulang, belum lagi katanya. Melihat pada air-mukanya saya meneka mungkin dia dan bapanya ada bergaduh lagi. Maka lebih elok jika kami ke tempat lain... tapi ke mana ya? Yang pasti, kami ada kereta dalam tangan. Seketika itu juga saya teringat sesuatu.

Sampai ke Tampin atau sekitarnya kalau tak salah ingatan, saya mendapat panggilan telefon dari seorang rakan lama di Janda Baik. Katanya dia dan beberapa orang kawan sedang menuju ke Kuala Lumpur untuk ke rumah Pak Ali, seorang tua (lebih 80 tahun) yang menjadi guru agama juga guru silat dan guru ilmu hakikat pada ramai orang, kata sesetengah orang sejak zaman berzaman (siapa yang faham, faham le). Diakui, Pak Ali juga boleh dikira sebagai salah seorang guru saya. Rupa-rupanya beliau baru sahaja meninggal dunia. Apa boleh buat, saya tidak dapat turut bersama melihat jenazahnya. Saya harus ke Segamat kerana menurut keadaan dan jalur baru nasib hidup saya.

Memandangkan saya ada kenderaan dalam tangan dan si An-Nur pula perlu 'berehat' sebentar dari perhatian keluarga, apa kata kami ke rumah Pak Ali? Saya pun memandu kereta ke sana. Saya sempat menelefon bapa An-Nur memberitahu kami mahu ke rumah Pak Ali. Sekurang-kurangnya lega orang tua itu apabila mendapat tahu anak gadisnya dan kereta selamat berada di tangan saya dan akan kembali malam nanti.

Kami sampai di rumah Pak Ali sejurus selepas waktu solat Maghrib. Kelihatan berpuluh orang laki-laki dan perempuan sudah siap menunggu masing-masing berbaju kurung atau berpakaian baju Melayu. Rupa-rupanya ada majlis tahlil arwah. Syukurlah, walaupun saya tidak dapat menghadiri pengkebumian, dapat juga sampai ke majlis tahlil pertama arwah tanpa disangka-sangka.

Saya menyuruh An-Nur duduk bersama para perempuan lain sebelum mengambil tempat di bahagian lelaki. Tahlil pun dimulakan dan saya terus tenggelam dalam zikir. Tamat sahaja acara, seorang hadirin wanita memanggil. Katanya ada masalah dengan An-Nur. Gadis itu telah masuk ke dalam bilik air sejurus selepas tahlil bermula dan kini, selepas hampir setengah jam dia tidak mahu keluar sedangkan ada orang mahu menggunakan bilik air itu.

Dipendekkan cerita, saya berjaya memujuk An-Nur keluar. Samping itu terdengar hadirin perempuan berbisik. Nampaknya mereka menyangkakan kami adalah pasangan suami isteri bermasalah. Mungkin saya kelihatan sedikit garang, sebab itu An-Nur mengalami tekanan jiwa?

Saya terpaksa meminta diri lebih awal kemudian terus menghala ke rumah sewa An-Nur. Alhamdulillah, kali ini ibu bapa gadis itu mengajak saya tidur di rumah itu. Masuk tengah malam, An-Nur buat lagi perangai. Kali ini lebih kronik kerana dia menghilai-hilai meracau-racau saling tak tumpah seperti orang dirasuk hantu. Allah! Apa sudah berlaku ini? Apakah ada kena-mengena dengan ziarah ke rumah Pak Ali?

Saya teringat kali pertama bermalam seorang diri bersama orang tua itu di rumahnya dahulu. Teringat awal pagi buta saya dikejutkan apabila satu makluk ganjil duduk di sebelah bermain-main dengan tulang rusuk saya seolah-olah ia sedang bermain gitar. Saya masih ingat rupa-parasnya dengan jelas. Rupanya seperti toyol, botak dan hitam legam tetapi berbadan besar seperti orang dewasa gempal lagi buncit. Di bahagian atas kepala tengah membawa ke batang hidung kelihatan urat-urat hijau besar menonjol.

Saya ingat rasa marah diganggu sebegitu rupa ketika sedang nyenyak tidur. "Engkau ni memang setan le!" kata saya spontan. Ingat badan saya ni gitar ke? Mentang-mentang ketika itu badan saya kurus hampir nampak tulang. Saya terus mencekak atas kepalanya. Boleh terasa urat-urat menonjol geli-geleman seperti memegang katak hidup.

Nasib baik saya teringat ini semua mungkin ujian untuk melihat kesabaran selain menduga betulkah saya sanggup berpegang teguh kepada amalan tenggelam dalam kefahaman Tauhid af'al yang menyatakan segala apa yang berlaku cuma hasil perbuatan Allah jua. Kalau dah semuanya dari Allah, bukankah jadi salah jika saya memburukkan makhluk yang kelihatan? Saya terus bangun sedangkan makhluk itu hilang. Saya mengambil wuduk lalu bersolat Tahajjud. Esoknya apabila saya memberitahu Pak Ali tentang perkara itu, jawabnya ringkas. "Jangan kata dia setan". Itu aje.

Berbalik pada hal si An-Nur. Apakah gadis ini telah diganggu sesuatu dari rumah Pak Ali? Setelah lebih setengah jam dia meracau sedangkan bapanya sibuk membacakan ayat-ayat Al-Quran tanpa kelihatan apa-apa kesan yang memberangsangkan, ibunya mula menalifon Hospital Besar Kuala Lumpur untuk meminta agar An-Nur dibawa masuk ke wad sakit jiwa.

Allah! Apa pula ini? Kenapa ibu An-Nur begitu cepat mahu melepaskannya ke situ? Bukankah salah satu sebab utama gadis itu mengalami tekanan jiwa adalah akibat merasakan dirinya tidak dipedulikan ibu-bapa?

Hmm... kalau ikutkan, ada baiknya saya berhenti bercerita di sini sebelum menyambung esok lusa. Penat daa... lagipun menulis ini sebenarnya boleh jadi berat kerana mengingatkan banyak perkara lama yang menyentuh perasaan. Tapi kalau begitu, takut pula tak sempat menghabiskan siri "Cerita An-Nur" untuk diikuti pengalaman umrah tahun 2005 yang diharap dapat dilepaskan mana yang patut sehingga selesai... sebelum saya dan isteri pergi ke satu tempat tertentu di luar negara pertengahan bulan Jun. Oleh itu biar disambung ke satu bahagian yang lebih patut ya...

Saya cuba memujuk ibu An-Nur untuk melupakan hal tentang wad sakit jiwa. Katanya kalau begitu siapa yang boleh menangani masalah ini? Seketika itu saya teringat seorang kawan dari Janda Baik yang menjadi orang kanan Pak Ali. Nasib baik dia yang ketika itu dalam perjalanan dari sana untuk ke rumah Pak Ali dapat dihubungi dan sudi datang bersama kawan-kawan lain ke rumah sewa An-Nur.

Dipendekkan cerita An-Nur berjaya dipulihkan. Rupa-rupanya dia ada terambil barang dari rumah Pak Ali. Tetapi gadis itu nampaknya pulih buat sementara sahaja. Esoknya dia buat perangai meracau-racau dan menghilai lagi dan kali ini saya tidak dapat menghubungi kawan untuk mengubati.

Ibu An-Nur pula begitu bertekad untuk menghantar An-Nur ke wad sakit jiwa. Saya sudah habis akal. Apakah harus dibiarkan sahaja? Ketika itulah saya teringatkan Nur yang sebenarnya ada hubungan persaudaraan dengan An-Nur walaupun mereka sekeluarga belum pernah bersua muka. Mungkin kedudukan Nur sebagai seorang artis terkenal tanah-air boleh memujuk ibu An-Nur agar melupakan hasrat untuk menghantar gadis itu masuk ke wad sakit jiwa. Dan saya rasa Nur pun sanggup menolong walaupun dia sudah sah menjadi isteri seorang politikus muda.

Saya dapat menghubungi Nur tetapi dia sedang bersiap-siap untuk menghadiri satu majlis penting. Setelah diberitahu segala latar-belakang cerita, Nur pun bersetuju untuk menolong dan melupakan majlis itu. Tetapi sempatkah dia datang sebelum An-Nur dimasukkan ke wad sakit jiwa? Sedangkan si ibu sudah tidak tahan menunggu lagi. Kami semua pun turun masuk ke kereta. Kita sambung cerita nanti...



4 comments:

selamat said...

boleh abang ms huraikan maksud Pak Ali - 'jangan kata dia setan'.
kalau tak banyak,sikitpun jadila...

Radzi Sapiee said...

Saya rasa ia soal menukar cara pandangan. Kalau kita fikir dia kacau kita tengah syok tidur maka kita kata dia setan. Tapi cuba kita fikir, seburuk-buruk makhluk tu pun, dia sebenarnya dihantar Tuhan untuk mengejutkan kita supaya bersolat Tahajud selain menguji kesabaran kita. Maka kita akan melihat ia sebagai utusan Tuhan pula! Sekurang-kurangnya untuk waktu itu sahaja...

Anonymous said...

Boleh percaya kerr perkara2 mistik nih.. Apa buktinya dia dirasuk atau hanya mengalami masalah psikologi yeaa?

Radzi Sapiee said...

Dua-dua pun boleh. Ikut sains memang le tak da rasukan langsung kecuali gangguan masalah jiwa semata-mata sehingga terbayang-bayang benda yang 'tidak wujud'. Kalau ikut cakap bomoh carik makan plak, asal jadi cam tu mesti kena rasukkan makhluk halus.
Untuk mereka yang memahami kedua-dua sudut persoalan jiwa dengan perkara ghaib, sesuatu rasukan makhluk halus memang boleh berlaku kepada mereka yang ada masalah jiwa seperti masalah keluarga lampau yang sebenarnya masih mengganggu jiwa bawah sedar. Ini membuat pertahanan dirinya lemah lalu senanglah dimasuki makhluk halus yang sentiasa ingin menyesatkan jiwa.

p/s: Peringatan untuk saudara/saudari Anonymous. Saya membiarkan sahaja komen anda yang kasar ini atas dasar timbang-rasa. Kalau ternyata selepas ini anda datang lagi dengan cara berinteraksi yang kurang beradab, saya akan delete begitu sahaja. HARAP MAKLUM!