Pagi Khamis 27 September 2012. Selepas menyelesaikan beberapa perkara termasuk membasuh motosikal besar kesayangan saya pun bersedia untuk keluar lagi mengembara.
Kali ini saya mahu menuju ke Pantai Timur. Saya mahu mengambil satu laluan baru yang belum pernah ditempohi, laluan dari Gua Musang, Kelantan ke Tasik Kenyir di Terengganu, tasik buatan manusia yang terbesar di Malaysia, mungkin di Asia Tenggara. Ambil gambar meter dahulu untuk rekod. Ini kerana punat meter bawah telah lama tanggal dan hilang. Saya tak boleh reset meter jadikan kosong...
Kali ini juga saya berjalan bersama seorang kawan, Zaidi @ Perpatih Tulus yang baru membeli sebuah motosikal sederhana besar beberapa bulan lalu. Kawasaki Ninja 250cc. Kami berjanji akan berjumpa di sebelah bangunan tol Gombak jam 10.30. Saya terlewat 25 minit sebenarnya kerana panggilan 'deposit bank', hehe. Saya datang sekitar 40 km dari arah barat-laut dia pula dari jarak lebih kurang tetapi di selatan iaitu berdekatan bandar lama Bangi.
Dengan itu kami pun meluncur laju melepasi Lebuh Raya Karak sebelum berhenti mengambil gambar di Bentong. Menurut Zaidi beliau belum pernah sampai ke sini malah mana-mana tempat dalam laluan yang bakal dilalui hari itu. Jawab saya ini adalah laluan biasa bas atau mana-mana kenderaaan ke Kelantan.
Kami berhenti lagi apabila terlihat Gunung Benom dalam perjalanan. Sebenarnya saya yang suruh Zaidi berhenti untuk melihat. Entah mengapa saya memang suka pemandangan gunung ini yang sememangnya terasing daripada mana-mana banjaran. Untuk pengetahuan ketinggiannya adalah 6,914 kaki dari paras laut, kurang 272 kaki sahaja daripada Gunung Tahan, gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia. Teringat sejurus selepas Nenek, ibu kepada ayah saya kembali ke rahmatullah tahun 2002 saya, dua orang sepupu dan seorang bapa saudara pergi menaiki lereng Gunung Benom dengan motosikal masuk jalan balak sehingga ke satu bahagian yang agak tinggi untuk mandi-manda di air terjun yang bernama Lata Berembun. Teruk juga le nak naik tu pakai motosikal besar. Bila turun pula beberapa kali tergelincir, hampir jatuh sehingga saya terpaksa meminta sepupu yang membonceng di belakang melompat turun agar saya dapat mengawal motosikal...
Perhentian seterusnya ialah di bandar Raub. Saya memang biasa sangat dengan tempat ini kerana 5 km dari bandarlah terletak rumah almarhum Nenek yang dibina oleh suaminya, orang yang saya panggil Tok Chat selepas mereka meninggalkan kampung halaman asal di Teluk Intan, Perak sekitar 60 tahun lalu.
Di sini saya dapati kami dapat menepati rancangan asal iaitu sampai jam 12 untuk menikmati hidangan istimewa daerah Raub, ikan keli gulai asam rong.
Selesai makan kami menghala ke Kuala Lipis lalu singgah di Dong melihat masjid tepi sungai yang kelihatan seperti castle ini.
Persinggahan seterusnya adalah di Jeram Besu, satu tempat yang agak terkenal bagi peminat sukan
white water river rafting. Saya tak tahu bahasa Melayunya apa. Kalau kata berakit, orang pakai bot getah. Cari sendirilah. Di sini baru saya mengambil banyak gambar kerana belum pernah mengenengahkannya dalam mana-mana tulisan saya sebelum ini. Lihat artikel
A
look at Jeram Besu blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Sampai di Kuala Lipis kami berhenti di stesyen kereta api. Sudah disebut bukan Zaidi memberitahu tidak pernah mengambil laluan Bentong menghala ke Kelantan. Maka saya tunjukkan beberapa tempat yang saya sendiri sudah pergi sekurang-kurangnya berbelas kali.
Disebabkan saya sudah pergi banyak kali tak perlulah dipanjangkan cerita atau diletakkan banyak gambar ya. Hmm. Teringat bagaimana sekitar 10 tahun lalu saya mahu bermalam di masjid ini, dalam satu pengembaraan yang belum pasti tujuan. Tetapi Allah menggerakkan saya untuk meneruskan perjalanan sampai ke makam Tok Kenali pula. Lihat artikel lama
Sedikit
cerita berkaitan Tok Kenali.
Tentang beberapa tempat yang ada dipaparkan anda boleh cari sendiri dalam artikel-artikel lama saya yang lain.
Ketika menyambung perjalanan ke Gua Musang kelihatan sebuah gunung tinggi yang saya rasa adalah Gunung Tahan. Saya tak pasti sebenarnya jika ia memang Gunung Tahan. Yang pasti ia kelihatan paling tinggi di sebelah timur, pada kedudukan yang menurut jangkaan saya cocok dengan apa yang boleh dilihat dalam peta. Saya pun menunjukkan pada Zaidi. Selepas itu baru dia memberitahu pernah mendaki Gunung Tahan hingga ke puncak semasa menuntut di universiti sekitar 15 tahun lalu. Katanya dia mengikut rombongan universiti masuk melalui Merapoh.
Kebetulan sebelum sampai ke Gua Musang kami harus melalui Merapoh. Kalau begitu Zaidi sebenarnya pernah sampai ke Bentong, Raub dan Kuala Lipis, cuma tak singgah turun sahaja kerana kenderaan cuma boleh sampai ke Merapoh melalui satu jaluran jalan dari arah selatan. Zaidi mengiyakan sahaja kerana dia tak ingat. Yang dia ingat bas membawa mereka terus ke Merapoh masuk ke pinggir hutan sebelum mereka berjalan kaki meredah bukit bukau dan sejumlah gunung lain untuk memulakan pendakian. Kemudian keluar dari arah Taman Negara iaitu berhampiran Jerantut, Pahang.
Ini pula gambar di sebelah Sungai Galas menghadap satu kawasan gua yang menarik di Gua Musang.
Ia dipanggil Gua Madu. Isteri saya ada mengingatkan kalau lalu di Gua Musang bawa le Zaidi ke sini. Kami minum petang kemudian bersolat di sebuah surau dalam gua sebelum memanjat tangga-tangga besi untuk mencapai gua-gua di bahagian atas. Kelihatan Zaidi memandang ke bawah sambil melawan rasa gayat. Saya menyuruhnya melawan rasa itu. Kata saya dahulu pun saya selalu gayat, asal naik bangunan tinggi dan memandang ke bawah je rasa seperti ditarik graviti mahu jatuh ke bawah.
Namun saya berdegil dan melawan. Pada umur 12 tahun saya pernah beberapa kali mendaki tangga menaiki 12 tingkat Bangunan UMNO Pagoh yang merupakan bangunan tertinggi di Muar kemudian memberanikan diri berdiri di atas tepian bumbung teratas melihat ke bawah. Lama-lama gayat pun hilang. Tapi jadi satu perangai pula, sampai masuk ke kolej saya suka memanjat-manjat bangunan. Saya selalu masuk ke bilik asrama yang berkunci dari bilik lain melalui tingkap luar dari tingkat 4 ke atas, sahaja untuk suka-suka. Malah semasa menuntut di London pun saya beberapa kali pernah berjalan-jalan seorang diri meniti tembok atas bumbung bangunan universiti 4-5 tingkat.
Dari Gua Muda kami masuk ke pekan Gua Musang untuk mengambil gambar di hadapan stesyen kereta api. Ternyata stesyen ini telah ditinggalkan untuk memberi ruang kepada sebuah stesyen baru. Oh. Biar diberitahu kami sampai di Gua Musang ni dah lari budget. Ikut rancangan asal kami harus sampai paling lewat pun jam 3 petang. Sebaliknya gambar ini diambil hampir 5.30 sedangkan cabaran utama kami hari itu adalah untuk mengambil jalan dari Gua Musang keluar di Tasik Kenyir, Terengganu sebelum melawat beberapa buah makam di sekitar Kuala Berang.
Ia adalah jalan yang saya belum pernah lalu sebelum ini, jalan yang saya tahu mula wujud sekitar setahun lalu. Semakan melalui Google Map menunjukkan jarak Gua Musang-Kuala Berang adalah 187 km dan dianggarkan memakan masa 3 jam. Logiknya kalau bertolak dari Gua Musang jam 3 kami ada masa untuk menikmati pemandangan dari beberapa tempat di sekitar Tasik Kenyir kemudian berpusing-pusing di Kuala Berang sebelum hari gelap. Sebelum ini saya cuma pernah melihatnya dari arah Kuala Terengganu dan Kuala Berang iaitu di Pengkalan Gawi dan empangan di hulu Sungai Terengganu.
Selepas menghala ke Kuala Krai buat beberapa ketika kami terjumpa simpang masuk menghala ke Tasik Kenyir. Walaupun sampai selepas 5.45 petang saya fikir kami masih sempat untuk sekurang-kurangnya menikmati pemandangan indah tasik waktu siang.
Saya fikir jarak 109 km yang disebut papan tanda boleh dilangkaui dalam tempoh sejam. Walaupun kemudian hujan turun lebat saya merasakan sasaran meliputi jarak dalam tempoh tersebut masih boleh dicapai. Kelihatan dalam gambar kami memakai baju hujan setelah cuaca ternyata berubah.
Apa yang kami tidak jangkakan adalah keadaan jalan kemudian. Bayangkan tengah laju-laju bawak dalam hujan tiba-tiba burrrr... habis jalan tar, masuk jalan kasar berbatu-batan. Berapa laju motosikal boleh pergi dalam keadaan ini? Kemudian masuk pula jalan tanah merah berselut licin, siap jumpa jambatan tak siap lagi. Allah! Apa hal?
Tengok ni. Sampai kena lalu masuk lumpur bawah jambatan untuk menyeberangi sungai. Pada ketika inilah kami mula akur tidak akan dapat betul-betul menikmati pemandangan Tasik Kenyir waktu siang untuk hari itu...
Rupa-rupanya jalan raya Gua Musang ke Tasik Kenyir cuma separuh siap. Kami perlu melalui hampir 30 km jalan Felda yang pecah-pecah berlubang dan sebagainya sebelum dapat bertemu kembali jalan elok cantik. Lihat
The
road to Tasik Kenyir from Gua Musang.
Kalau ikut rancangan asal kami bukan sahaja harus sempat menikmati pemandangan siang Tasik Kenyir dari beberapa sudut kemudian menziarahi makam-makam lama sekitar Kuala Berang. Kami juga dapat menziarahi makam Tok Pulau Manis 25 km dari Kuala Terengganu sebelum bermalam di Masjid Tok Ku Paloh berdekatan ibu negeri itu. Ini tak. Kami cuma dapat melihat bayang-bayang tasik. Walaupun masih ada kemampuan untuk meneruskan perjalanan ke KT apalah gunanya terkejar-kejar lagi? Buat apa penat-penat mengambil jalan yang mencabar ini jika tidak dapat menikmati pemandangan sekitar pada siang hari?
Nasib baik kami terjumpa sebuah tempat rehat. Di sekitar inilah kami bermalam, dalam kawasan hutan yang agak sejuk tapi nyaman. Ceruk tak ceruk le... signal handphone pun tak wujud. Nampaknya rancangan perjalanan kami harus diubah-suai...