Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, September 27, 2010

Al-Rasyid berhari raya : Sedikit bab politik dan sejarah sambil menjejak legasi Bugis Daeng Chelak...

Kita teruskan siri tentang perjalanan Hari Raya tahun ini. Mari! :]


Isnin 13 haribulan September 2010 bersamaan hari raya @ Syawal ke empat. Al-Rasyid cukup umur 11 bulan. Tiba-tiba muncul rasa nak jadi macam Undertaker nak kacau dia. Gambar inilah yang digunakan pada artikel Dinasti Al-Kamil bakal bangkit semula.... Heh! :]



Tengahari sedikit baru kami keluar untuk berhari-raya.. Destinasinya rumah seorang saudara dua pupu tidak jauh dari rumah ibu bapa di Muar.


Saudara dua pupu ini mengadakan majlis qeqah untuk 2 orang cucu baru merangkap majlis rumah terbuka. Menariknya rata-rata majlis ini dihadiri oleh saudara-mara yang berketurunan Bugis.


Saudara dua pupu ini sendiri merupakan cucu kepada kakak atuk lelaki saya belah ibu, bapa kepada ibu yang memang diketahui berketurunan Bugis. Rasanya majlis ini seperti pembuka kepada aktiviti hari raya keempat yang bakal bertukar menjadi satu misi menjejaki legasi Bugis keluarga.


Sedikit mukadimah telah diletakkan dalam artikel sebelum ini Al-Rasyid berhari raya : Beberapa kenangan lama, mukadimah untuk pengembaraan kecil berkaitan Bugis?. Oh, saudara dua pupu ini pernah menjadi ADUN bagi kawasan sekitar juga Exco kerajaan negeri Johor. Kalau dahulu halaman rumah ini sentiasa dipenuhi orang dengan kemah-kemah besar meliputi segenap kawasan malah melimpah-ruah sehingga ke tanah kosong seberang jalan, sekarang cukuplah ada sedikit tetamu VIP dengan lebih ramai saudara-mara.


Apapun saya, isteri dan anak meninggalkan majlis untuk memulakan perjalanan kembali ke rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor. Maklumlah esoknya Selasa isteri harus kembali bekerja, pusing dahulu di pusat bandar Muar...


Sampai masa untuk menaiki jambatan menyeberangi Sungai Muar.


Apabila habis menyeberang secara rasminya kami akan meninggalkan daerah Muar. Ini kerana kawasan seberang sungai hingga ke sempadan Melaka telah dipisahkan dari Muar untuk dijadikan daerah baru bernama Ledang, dimunculkan beberapa tahun lalu. Kata orang ini berlaku disebabkan kerenah dua orang kuat politik dari Muar yang tidak sehaluan. Seorang, Muhyiddin Yasin (Tan Sri), bekas Menteri Besar Johor yang dibawa ke kerajaan pusat, kini menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia berasal dari Pagoh yang terletak di kawasan selatan Sungai Muar, seorang lagi, Ghani Othman (juga Tan Sri) masih memegang jawatan Menteri Besar Johor, berasal dari Sungai Mati yang terletak di kawasan utara Sungai Muar.


Saya sendiri tidak menyokong sesiapa. Yang penting mereka dapat berbuat kebaikan untuk orang Melayu, apalagi baik Muhyiddin mahupun Ghani adalah berketurunan Bugis. Saudara dua pupu saya yang disebut tadi pernah menjadi setiausaha politik Ghani sebelum menjadi wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri. Namun saya difahamkan beliau disisihkan dari dunia politik apabila Muhyiddin berjaya menaikkan calonnya di kawasan berkaitan.

Di atas adalah jalan berhampiran pantai yang selari dengan jalan utama Muar ke Melaka. Saya mengambil jalan ini kerana mendapati jalan utama sesak, mungkin kerana sambutan hari raya...


Ketika mengambil jalan ini baru saya teringat satu hajat yang tertunda. Ketika kembali ke Muar pada awal bulan Ramadhan (perjalanan yang turut dibuat untuk mencari jejak Dinasti Al-Kamil) saya juga telah mengambil jalan yang sama ketika mahu kembali ke rumah lalu timbul rasa untuk melihat di manakah letaknya kuala Sungai Kesang.

Dalam perjalanan bulan Ramadhan itu saya telah melihat lorong di atas tetapi meneruskan perjalanan ke kanan lalu masuk balik ke jalan utama yang turut bersambung dengan Lebuh AMJ, jalan besar bertaraf lebuh raya yang boleh membawa hingga ke Alor Gajah, Melaka. Ini kerana saya masih teragak-agak apakah jalan kampung yang boleh digunakan untuk sampai ke kuala Sungai Kesang. Saya cuba mencari jika ada simpang lain. Tetapi apabila menyedari cuma lorong ini sahaja yang mungkin boleh membawa ke situ kereta sudah bergerak terlalu jauh ke hadapan dan isteri tidak mahu kami berpatah-balik...


Kali ini saya yakin lorong itu boleh membawa ke tujuan. Alhamdulillah, kami pun sampai...


Apa istimewanya Sungai Kesang? Cukuplah buat masa ini jika diberitahu sungai itu adalah sempadan antara negeri Johor dengan negeri Melaka. Lihat artikel Mouth of the Kesang river di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Ini pula adalah replika gergasi beca Muar (kini ditulis sebagai beca Ledang) yang terletak di satu bahagian Sungai Kesang berdekatan jambatan masuk ke negeri Melaka (melalui jalan lama). Lihat artikel The giant trishaw of Muar, baru kelihatan betapa besarnya beca ini. Walaupun perkataan Muar pada beca telah ditukar kepada Ledang akibat pertukaran status daerah, setahu saya beca seperti ini cuma masih boleh ditemui di bandar Muar, bukan di mana-mana bahagian daerah Ledang. Maka ia tetap beca Muar walaupun telah ditukar-nama...

Memikirkan perkara ini saya teringat betapa daerah kekuasaan Muar telah menjadi begitu kecil sekali berbanding dahulu. Setahu saya, Muar pernah menjadi daerah terbesar di Johor. Malah Muar pernah menjadi negeri sendiri dan begitulah statusnya semasa Inggeris masuk campurtangan ke atas pemerintahan Tanah Melayu secara aktif bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874. Sebab itu selepas landasan keretapi pertama dibina di Port Weld @ Kuala Sepetang, Perak tahun 1885, muncul pula landasan keretapi di Muar 1889 dengan perkhidmatannya dipanggil Muar State Railway (M.S.R.).

Dahulu daerah Segamat pernah menjadi sebahagian daripada NEGERI Muar. Sebab itu terdapat makam beberapa orang Raja Temenggung Muar berhampiran bandar Segamat. Untuk pengetahuan sejak awal tahun 1700an Masihi Raja Temenggung Muar adalah pemerintah berdaulat negeri Muar. Negeri ini adalah sebahagian dari empayar Johor-Riau yang turut meliputi sebahagian tengah Sumatera, warisan dari empayar Melaka. Statusnya sama dengan negeri-negeri seperti Pahang (dahulu di bawah pegangan Bendahara kerajaan Johor-Riau, bermula tahun 1700an turut dipanggil Raja Bendahara) dan Johor (ketika itu tidak termasuk Muar, berada di bawah pegangan Temenggung yang berpengkalan di Teluk Belanga, Singapura).

Empayar Johor-Riau mula dipecah-belahkan ke bawah dua blok iaitu blok kekuasaan Inggeris (bakal membentuk Malaysia) dan blok kekuasaan Belanda (menjadi Indonesia) melalui Perjanjian Inggeris-Belanda tahun 1824. Perjanjian ini menyaksikan Belanda menyerahkan Melaka kepada Inggeris dan pada tahun yang sama Singapura juga jatuh ke tangan mereka. Perjanjian Inggeris-Belanda sendiri berlaku apabila dua kuasa besar penjajah ini mengambil kesempatan ke atas kekosongan takhta akibat kemangkatan Sultan Mahmud III (memerintah empayar Johor-Riau 1761-1812). Seorang orang anak baginda disokong Belanda sedangkan seorang lagi yang berlainan ibu disokong Inggeris. Maka terbitlah perjanjian tahun 1824 sebagai 'penyelesaian' di mana kedua-dua anak dapat memerintah wilayah yang telah dipecah-dua walhal saya melihat semua ini telah dirancang agar empayar Melayu dapat diratah...

Hmm... menarik juga apabila difikirkan perenggan di atas, cerita tentang empayar yang dipecahkan terkeluar di bawah gambar Al-Rasyid melihat bayangannya sendiri pada cermin kereta. Untuk makluman artikel ini asalnya sekadar mahu menceritakan satu perjalanan mencari sebuah makam di Tanjung Bidara, Melaka yang dikatakan milik Daeng Chelak, pahlawan Bugis terkenal tahun 1700an... gambar-gambar pula dipilih sebagai kesinambungan untuk menunjukkan bagaimana sambutan hari raya di Muar boleh bersambung dengan perjalanan ke Melaka. Majlis qeqah di rumah saudara dua pupu asalnya mahu diketengahkan kerana faktor Bugis (telah disebut tadi rata-rata yang menghadiri majlis adalah saudara-mara belah Bugis sedangkan saya juga memiliki ramai saudara-mara belah Jawa di Muar dan bahagian lain Johor). Apabila menulis boleh terkeluar pula bab politik akibat mahu menerangkan bagaimana boleh berlakunya pemecahan daerah Muar, masuk juga bab sejarah dan bagaimana wilayah kerajaan Melayu boleh dipecah-belah oleh penjajah...


Jambatan menyeberang Sungai Kesang masuk ke negeri Melaka. Biar diberitahu sempadan negeri Melaka yang dikenali sekarang mula terwujud akibat kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis tahun 1511 sedangkan empayar Melaka ketika itu meliputi seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan sebahagian Sumatera berserta pulau-pulau antara kedua wilayah. Portugis cuba meluaskan jajahan tetapi sering dikekang oleh keSultanan Aceh yang muncul sebagai kuasa besar Melayu selepas itu juga empayar Johor-Riau yang mewarisi jajahan takluk Melaka. Begitu juga yang berlaku apabila Belanda mengambil-alih pemerintahan Melaka tahun 1641. Walaupun dapat menakluki banyak wilayah lain di Nusantara, kekuasaan mereka di Semenanjung cuma dapat diteruskan di sekitar itu sahaja..

Selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, wilayah kekuasaan empayar Johor-Riau terus dipecah-belahkan. Dengan sokongan Inggeris, para pembesar mula membebaskan jajahan takluk masing-masing dan ini menyaksikan keturunan Bendahara kepada Bendahara (Sultan Johor-Riau sejak tahun 1699 sendiri adalah keturunan Bendahara, lalu satu cabang keluarga mereka diangkat menjadi Bendahara kepada mereka) muncul menjadi Sultan Pahang dan Temenggung menjadi Sultan Johor penghujung abad ke 19. Sultan Hussin yang menjadi Sultan Johor-Riau selepas Perjanjian Inggeris-Belanda menjadi semakin tersepit. Jika dahulu baginda memerintah dari Singapura, selepas 1824 pula baginda sekadar menjadi tetamu di pulau itu sebelum berpindah ke Melaka.


Di jalan lama Muar ke Melaka tidak jauh selepas Sungai Kesang boleh kelihatan makam ini, makam Sultan Ali anakanda kepada Sultan Hussin. Seharusnya Sultan Ali mewarisi pemerintahan empayar Johor-Riau yang telah disempitkan kepada blok pengaruh Inggeris tetapi inipun akhirnya baginda terlepas tangan. Jika pada zaman Sultan Hussin, Singapura telah terlepas sepenuhnya ke tangan Inggeris sementara Temenggung mula menguasai Johor, pada zaman Sultan Ali, Temenggung telah menjadi Sultan Johor...


Al-Rasyid di makam Sultan Ali. Oleh kerana Johor telah memiliki Sultan lain dengan sokongan Inggeris, Sultan Ali cuma dapat bertakhta di Muar dan wilayah Kesang (sekitar Sungai Kesang). Ketika itu Muar masih meliputi daerah Segamat sedangkan wilayah Kesang turut mengandungi bahagian selatan Melaka. Raja Temenggung Muar masih berkuasa memerintah Muar tapi berada di bawah Sultan Ali sebagai waris empayar Johor-Riau (nama sahaja Johor-Riau, hakikatnya Riau sudah terlepas ke bawah Sultan lain yang dinaungi Belanda, Sultan yang jawatannya bakal dilucutkan terus nanti).

Namun Muar kemudian berjaya ditakluki dan dimasukkan ke dalam Johor. Kalau tak salah ingatan ketika itulah Raja Temenggung Muar mula hilang kedudukan. Sultan Ali pula sekadar dapat bermukim di Kesang sebelum mangkat di Umbai yang kemudian dikira berada di dalam Melaka. Al-Fatihah untuk baginda... walaupun cuma sempat berkuasa ke atas jajahan yang sangat kecil berbanding empayar Johor-Riau yang asal, baginda tetap diakui ramai sebagai Sultan terakhir empayar Melayu warisan keSultanan Melaka ini!


Perjalanan diteruskan melepasi bandaraya Melaka...


Laluan tepian pantai terus diambil melepasi Tanjung Keling sebelum masuk ke Tanjung Puteri, satu-satunya pantai elok terdekat ke bandaraya yang masih ada... kerana lain-lain kawasan pantai seperti Pantai Kelebang telah ditambak jauh ke Selat Melaka.



Dari Tanjung Puteri kami melepasi satu kawasan penapisan minyak menghala ke Sungai Udang.


Dipendekkan cerita (panjang sangat dah cerita sebenarnya...) kami pun sampai ke lokasi utama yang sebenarnya ingin dituju hari itu iaitu Tanjung Bidara. Bermulalah cerita yang asalnya ingin dipersembahkan dalam artikel ini.



Kami dapat tahu di sekitar ini terdapat makam tertentu. Dalam mencari itu singgah pula di kawasan pantai. Lihat The beach at Tanjung Bidara.




Melalui seorang penduduk yang ditemui di pantai baru saya dapat tahu lokasi makam yang dicari. Ia berdekatan sebuah masjid yang namanya sama seperti nama anak perempuan saya. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Nur Jannah, Tanjung Bidara di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).





Di sebelah masjid terletak satu tanah perkuburan...






Inilah makam yang dicari, pada batu nesannya tertulis nama Daeng Chelak. Lihat Makam (Tomb of) Daeng Chelak di (at) Tanjung Bidara, Melaka?. Penduduk tempatan mendakwa inilah Daeng Chelak yang pernah menjadi Yam Tuan Muda di Riau, bapa kepada Sultan pertama Selangor iaitu Sultan Salehuddin yang memerintah 1742 (ada yang kata 1743, ada yang kata bermula 1756) hingga 1778 juga Raja Haji, pahlawan Bugis yang amat terkenal itu. Namun secara rasminya makam Daeng Chelak diketahui berada di kepulauan Riau, Indonesia (ingat, dahulu Riau adalah sebahagian dari empayar Johor-Riau dan sebelum itu empayar Melaka).

Saya sendiri datang ke sini untuk mendapatkan kepastian apakah benar ini makam Daeng Chelak yang merupakan seorang daripada anak raja Bugis lima bersaudara yang sangat berpengaruh di Alam Melayu tahun 1700an. Untuk makluman, kawasan sekitar Tanjung Bidara hingga ke Linggi di Negeri Sembilan memang dikuasai Bugis seawal tahun 1670an iaitu apabila tanah-air mereka di Pulau Sulawesi mula dijajah Belanda. Daeng lima bersaudara turut pernah menguasai wilayah sekitar ini, maka tidak mustahil Daeng Chelak akhirnya mangkat dan dimakamkan di Tanjung Bidara. Namun hati saya mengingatkan bahawa dahulu saya pernah terbaca entah di mana bahawa terdapat seseorang bernama Daeng Chelak juga tetapi berpangkat cucu, cicit atau lebih bawah kepada Daeng Chelak yang pernah menjadi Yam Tuan Muda...





Perjalanan diteruskan ke Pengkalan Balak di mana saya dimaklumkan turut terdapat ramai anak cucu kepada Daeng Chelak yang dimakamkan di Tanjung Bidara. Oh... hati saya tetap menyebut Daeng Chelak di Tanjung Bidara tidak sama dengan Daeng Chelak yang secara rasminya dimakamkan di Riau walaupun waris-waris di sekitar ini mungkin akan membantah. Dalam pada itu terbetik di hati apakah Daeng Chelak ini ada kena-mengena dengan keluarga bapa kepada ibu? Ingat balik permulaan artikel ini yang menyebut tentang saudara-mara belah Bugis yang hadir di majlis qeqah merangkap rumah terbuka raya. Saya masih belum mendapat salasilah penuh keturunan atuk lelaki itu tetapi telah diberikan isyarat nasabnya sampai kepada Raja Ahmad ibni Raja Haji ibni Daeng Chelak.







Isteri dan anak bergambar di pantai Pengkalan Balak. Lihat The beach at Pengkalan Balak. Berbalik pada hal Daeng Chelak. Memang saya pernah terbaca di mana entah, mungkin di Internet terdapat orang bernama Daeng Chelak tetapi berpangkat cucu, cicit atau lebih bawah kepada Daeng Chelak yang diketahui ramai dalam sejarah. Lalu saya cuba merujuk kitab Tuhfat Al-Nafis karangan Raja Ali Haji abad ke 19. Untuk makluman ia merupakan satu buku induk yang menceritakan kaitan nasab Raja-raja Bugis dengan Raja-raja Melayu di Semenanjung berserta peristiwa-peristiwa berkaitan.

Namun saya tidak dapat menemui nama Daeng Chelak selain yang merupakan bapa kepada Sultan Salehuddin Selangor (juga dikenali sebagai Raja Lumu) dan Raja Haji... tak tahulah kalau saya terlepas pandang. Raja Ali Haji sendiri merupakan seorang cicit kepada Daeng Chelak. Nama beliau ialah Raja Ali Haji ibni Raja Ahmad ibni Raja Haji ibni Daeng Chelak. Secara logiknya beliau cuma dapat menyertakan nama-nama paling jauh pun sehingga ke cicit beliau. Maka kitab Tuhfat Al-Nafis seharusnya mengandungi paling lengkap pun nama-nama anak cucu Daeng Chelak sehingga 6 generasi ke bawah.

Hmm. Biar dibuat satu perbandingan menggunakan nasab bapa. Nama saya ialah Mohd. Fahrulradzi bin Mohamad Sapiee bin Muhammad Arshad bin Muhammad Wahi bin Muhammad Arshad bin Muhammad Amin bin Abdul Wakap bin Alang Muhammad bin Che Uda Kecil Tekukor bin Toh Jambu yang merupakan menantu kepada Nakhoda Hitam @ Daeng Hanasah. Mengikut satu salasilah Daeng Hanasah adalah adik-beradik kepada Daeng Selili (moyang Datuk Maharajalela Perak) malah adik-beradik juga kepada 5 anak raja Bugis terkenal yang termasuk Daeng Chelak. Namun salasilah yang sama menyebut ibu kepada Daeng Hanasah iaitu Ratu Sedinding ibni Pajung Luwuk adalah sepupu kepada Daeng Chelak kerana Pajung Luwuk adalah kekanda kepada Daeng Rilaga iaitu bapa kepada Daeng Chelak. Peliknya salasilah itu boleh meletakkan Ratu Sedinding sebagai berkahwin kepada Daeng Rilaga, satu perkara yang mustahil kerana mereka semua Islam... mana mungkin Daeng Rilaga boleh berkahwin dengan puteri kepada kekanda sendiri?

Salasilah raja-raja Bugis versi Wajo pula meletakkan Daeng Hanasah sebagai anakanda kepada Daeng Selili yang turut dikenali sebagai La Madukelleng, seorang raja besar Bugis yang dikatakan bertaraf Yang diPertuan Agung kerana dapat menyatukan semua kerajaan Bugis dalam usaha menentang penjajahan Belanda. Dalam salasilah ini 5 anak raja Bugis terkenal (Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi) bukanlah betul-betul adik-beradik kecuali bersaudara sahaja... mungkin sepupu dua pupu (yang pasti mereka upu-upu, hehe...). Dan mereka bukanlah anak raja utama melainkan berpangkat bangsawan menengah sahaja. Apapun mereka semua hidup sezaman, jadi bolehlah dibuat sedikit anggaran perbandingan.

Berdasarkan salasilah pertama, moyang saya sebelah bapa iaitu Daeng Hanasah adalah saudara dua pupu kepada Raja Haji. Ini kerana bapa Raja Haji iaitu Daeng Chelak disebut sebagai sepupu kepada Ratu Sedinding ibu Daeng Hanasah. Berdasarkan salasilah Wajo pula lebih susah hendak meletakkan kedudukan dan kaitan mereka kerana ia lebih rumit. Saiz salasilah yang ditunjukkan kepada saya adalah lebih kurang 5 x 10 kaki. Dan saya tidak memiliki salinan sedangkan seorang saudara telah diarahkan untuk membuat dan menyerahkan satu untuk saya. Maka itu biar dianggap Daeng Hanasah segenerasi dengan Raja Haji.









Bersebelahan Pengkalan Balak terdapat tempat bernama Padang Kemunting.





Ia juga memiliki pantai yang agak cantik. Padang Kemunting terletak antara Pengkalan Balak dan Tanjung Bidara.





Kami berpatah-balik ke Pengkalan Balak untuk ke utara. Perjalanan mienyusur pantai disambung dengan menghala ke Kuala Sungai Baru yang turut dikatakan memiliki majoriti penduduk berketurunan Bugis.





Sampai di satu bahagian saya tergerak untuk berhenti apabila melihat keadaan langit waktu senja yang sangat cantik. Lalu tersedar meter di bawah kereta menunjukkan angka 555.4 iaitu 555.4 km perjalanan sejak meninggalkan rumah untuk kembali berhari raya di Tanjung Sepat, Selangor (lihat Al-Rasyid berhari-raya : Mula di Tanjung Sepat...) seterusnya di Muar. Ini membuatkan saya tergerak untuk menggerakkan kereta sedikit ke hadapan sebelum berhenti lagi. Ia dibuat agar meter menunjukkan nombor 555.5...



Saya mahu melihat di manakah kedudukan apabila meter menunjukkan 555.5. Hmm... elok juga dilihat apakah artikel ke 555 di blogspot ini. Dah tu... takkan nak tengok artikel nombor 555.5 pulak? Heh! :]



Keadaan langit dilihat dari tempat kereta berhenti. Baru semak tadi. Artikel ke 555 di blogspot ini bertajuk Artikel ke 555: Betul ke keluarga saya dahulu menyimpan Taming Sari? Apa pula kena-mengena dengan Sultan Malikus Salih?...






Ke kiri sedikit formasi awan kelihatan lebih misteri. Sekarang biar disambung proses perbandingan melibatkan salasilah dan nasab demi mencari satu huraian atau titik pertemuan...

Berdasarkan salasilah bapa yang disebut pada gambar pantai di Pengkalan Balak, saya adalah generasi ke 10 keturunan Daeng Hanasah. Pada gambar yang menunjukkan papan-tanda Pengkalan Balak pula saya ada menyebut kemungkinan bahawa salasilah ibu membawa kepada Raja Ahmad ibni Raja Haji ibni Daeng Chelak. Kalau bapa saya adalah keturunan ke 9 dari Daeng Hanasah yang segenerasi dengan Raja Haji maka saya boleh beranggapan ibu pula adalah keturunan ke 9 dari Raja Haji. Maka kita bolehlah membuat padanan nama berdasarkan generasi dan kedudukan...

Dalam artikel Al-Rasyid berhari raya : Hari ketiga... beberapa kenangan lama, mukadimah untuk pengembaraan kecil berkaitan Bugis nanti? ada disebut bahawa ibu saya adalah anak kepada Ismail bin Hussin bin Betak. Kalau betullah ibu berketurunan Raja Ahmad ibni Raja Haji ibni Daeng Chelak dan 9 generasi dari Raja Haji maka saya boleh meletakkan ibu sebagai anak kepada Ismail bin Hussin bin Betak bin ... bin ... bin ... bin ... bin Raja Ahmad bin Raja Haji...

Adus... ketika menulis ayat ini sudah masuk jam 3:45 pagi. Tak larat saya nak menyemak nama-nama yang ada dalam kitab Tuhfat Al-Nafis kecuali beranggapan bahawa penulis kitab iaitu Raja Ali Haji yang merupakan salah seorang anak Raja Ahmad bin Raja Haji setakat dapat menyertakan nama-nama sehingga ke pangkat cucunya sahaja. Maka jika saya dapat pun mencari nama yang boleh disambungkan kepada salasilah ibu di atas, masih ada dua generasi yang tidak disebut dalam kitab. Itupun anggaran cuba dibuat dengan anggapan bahawa Tuhfat Al-Nafis telah menyertakan nama semua anak cucu Daeng Chelak... walhal ada kemungkinan terdapat nama yang tidak disebut misalnya Datuk Awaluddin dan Serilah yang membuka daerah Linggi selepas meninggalkan istana kerana kecewa dengan suatu perkara sedangkan sumber lama orang Linggi menyebut mereka juga adalah anak-anak Daeng Chelak.



Tidak lama kemudian kami pun sampai ke Kuala Sungai Baru...




Hmm. Nampaknya saya harus membiarkan pencarian salasilah ibu tergantung setakat ini sahaja. Hati saya cenderung mahu mengatakan salah satu dari empat nama yang kosong itu adalah Daeng Chelak yang dimakamkan di Tanjung Bidara, wallahualam.



Perjalanan diteruskan ke Kuala Linggi, satu wilayah yang pernah menjadi pusat kekuasaan Bugis sebelum Daeng 5 bersaudara terlibat dengan perebutan takhta di empayar Johor-Riau sehingga dapat menempa nama dan kedudukan. Selepas itu kami juga singgah di Rembau dan Kajang sebelum sampai ke rumah awal pagi buta. Cukuplah penceritaan dengan apa yang telah diluahkan... :]


2 ulasan:

mkhisham berkata...

Assalamu'alaikum Tuan,

Berdasarkan maklumat daripada manuskrip Linggi, Pengkalan Balak telah dibuka oleh Dato' Serilah di mana dikatakan Dato' Serilah telah merajuk dengan suaminya dan membawa diri ke Pengkalan Balak. Ada kemungkinan ia benar kerana melalui penyelidikan awal saya terdapat perhubungan persaudaraan di antara penduduk di Pengkalan Balak dengan orang-orang di Linggi. Saya telah cuba menjejaki keluarga mereka tetapi masuh belum berjaya.

Mengenai Raja Ahmad....hmmm ..tak pe....saya akan hubungi melalui email.

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam. Hmm... terimakasih. :]