Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Oktober 25, 2019

Spiritualiti Islam dalam Dunia Melayu - Dia yang Zahir Dia juga yang Batin

Salam petang Jumaat 26 Safar. Dalam artikel Islam dan identitinya di Eropah dan Asia Tenggara yang dipersembahkan dari masjid ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) pagi semalam ada disebut petang itu saya mahu menghadiri satu lagi majlis ilmu di institusi tersebut. lalu itulah yang membuat saya menginap di masjid malam sebelumnya. Tengah hari itu dipersembahkan pula artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tentang wahyu lebah dan antropologi spiritual dari masjid. Selepas berehat sedikit lagi di masjid barulah ke majlis petang Khamis. Ini ceritanya...


Syarahan ini merupakan permulaan bagi satu siri baru yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Spiritualiti Islam dalam Dunia Melayu". Pensyarah adalah Profesor Baharudin Ahmad (Dato') yang kalau tak salah saya baru semester lalu secara rasmi menyertai ISTAC, setelah beberapa lama menjadi profesor di ASWARA (Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan). Sejak tahun lepas beliau selalu datang ke majlis-majlis ilmu di ISTAC. Kali pertama saya mendengar beliau sendiri membentang adalah pada Jun 2019. Lihat Abdullah Munshi bapa sains moden di Alam Melayu?


Tajuk yang dibawa kali ini terlebih menarik. Ketika saya masuk ke bilik syarahan jam 2.41 petang sudah ramai hadir dan ini adalah di luar jangkaan...


Kedengaran Baharudin sedang bercakap tentang konsep 4 Sebab atau "Four Causes" yang terkenal dalam ilmu falsafah metafizik Aristotle, pemikir besar Yunani abad ke-4 sebelum Masihi. Ia adalah tentang matlamat membuat atau terciptanya satu perkara. Teringat dahulu Sheikhul Quliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar pernah menyebut perkara sama dalam salah satu syarahannya. Cuma tak ingat yang mana, Begini bunyinya (ingat, syarahan adalah dalam bahasa Inggeris)...


Material Cause - boleh diterjemahkan sebagai Sebab Material. Ini merujuk pada bahan. Misalnya kayu untuk membuat meja.

Formal Cause - Sebab membawa pada Bentuk. Ini merujuk kepada bentuk atau rancangan bentuk yang akan diambil. Untuk meja misalnya kita merancang untuk memotong kayu menjadi 4 batang bentuk kaki, sekeping yang lebar untuk bahagian atas meja.

Efficient Cause - Alat Penyebab. Secara ringkas ia merujuk pada ejen atau alat yang membuat perkara. Untuk membuat meja mesti ada tukang dan alatannya.

Final Cause - Tujuan akhir. Bagi meja ia biasanya untuk meletakkan barang makan minum. Jarang kita dengar orang buat meja untuk dijadikan tempat letak buku atau tempat orang tidur.



Baharudin menyebut ini secara sepintas lalu, saya pula yang tambah contoh dan penerangan untuk kefahaman pembaca. Sebetulnya beliau cuma mahu memperkenalkan konsep metafizik dan spiritual yang dipegang manusia daripada pelbagai budaya dan zaman. Bab Aristotle disebut untuk dibandingkan dengan seorang lagi pemikir Yunani sedikit lebih awal iaitu Plato. Kata Baharudin falsafah Aristotle lebih bersifat External ataupun luaran, Plato lebih Internal ataupun dalaman. 

Hal serupa, luaran berbanding dalaman terdapat juga dalam ajaran Hindu. Yang luaran dipanggil Sankya (saya tulis berdasarkan apa yang didengar ya. Maafkan jika salah ejaan), dalaman dipanggil Yoga. Aliran Vedanta menyebut pengetahuan yang sebenar adalah tentang yang dalaman. OK bermula daripada ayat ini biar digunakan perkataan Zahir bagi External ataupun luaran, Batin bagi Internal ataupun dalaman kerana begitulah faham saya.

Disebutlah tentang Upanishad sebagai pengakhiran kitab-kitab Veda ajaran tinggi Hindu. Walaupun kita biasa dengar terdapat banyak dewa disembah dalam ajaran Hindu tetapi dalam ajaran paling tinggi tetap wujud konsep penyembahan Tuhan yang Satu. Dalam agama dan falsafah Cina ada Confucianism yang membesarkan Ethics - akhlak, adab yang boleh kelihatan. Tapi ada juga Taoism yang membesarkan perkara-perkara batin melibatkan Realiti yang sebenar-benarnya Realiti (baca : keTuhanan).


Contoh-contoh daripada ajaran Buddha juga diberi tentang hal Zahir Batin ini. Sesungguhnya daripada segi falsafah terutama ajaran Aristotle ia pernah mempengaruhi bijak pandai Islam. Disebut secara pintas tokoh-tokoh seperti al-Kindi, al-Farabi dan Ibnu Sina sebagai antara yang terpengaruh dengan falsafah Yunani. Kemudian ilmu Theology yang boleh diterjemahkan sebagai kajian tentang keTuhanan. Dalam dunia Islam muncul golongan Mu'tazilah yang percaya segala-galanya boleh diterangkan dengan akal fikiran, muncul golongan Ashariyah yang tidak percayakan begitu. Daripada segala macam golongan ini tergabung pula menjadi pemikiran Sufi falsafah (belum lagi Sufi sebenar berdasarkan pengalaman selepas melakukan suatu bentuk zikir atau sebagainya). Masuk zaman Mulla Sadra (abad ke-16 Masihi) muncul golongan Hikmah yang menggabungkan ilmu pengetahuan dengan pengalaman sebenar.


Jam 3.15 kelas sudah penuh, sesuatu yang memang tidak dijangkakan oleh Baharudin kerana ia siri baru. Pada saya tajuk siri cukup menarik ramai untuk ambil tahu.


Pun begitu apa yang disyarahkan hari ini cuma mukadimah sahaja, belum lagi masuk tentang bab Sufi atau ilmu Tasawuf di Alam Melayu. Baharudin cuma mahu memperkenalkan sejarah perkembangannya di Tanah Arab, Parsi atau Asia Barat terlebih dahulu sebelum masuk ke bumi sebelah sini. Disebut satu ungkapan oleh Abu Uthman Ali-Hujwiri dalam kitab bertajuk Kahf al Mahjuj (pembukaan hijab) bahawa Sufisma atau Tasawuf dahulunya adalah satu realiti tanpa nama. Maksudnya dahulu ia sudah sedia diamalkan orang Islam tanpa memanggilnya dengan nama itu. Kemudian ia menjadi nama tanpa realiti. Maksudnya kemudian ramai orang mengaku mengamalkan Tasawuf atau menjadi orang Sufi tetapi hakikatnya tidak begitu.

Kata Baharudin ada perkara yang boleh dicapai dengan akal fikiran tetapi ada yang apabila kita cuba mena'akulnya akan menjadi semakin pelik. Maka akhir kata bagi syarahan ini carilah seorang guru ataupun Sheikh Tariqat dan berbai'ah dengannya. Semoga dibimbing sehingga terbuka hijab. Lalu dapat dilihat dengan pengalaman diri sendiri apakah yang telah diperkatakan oleh ramai ahli Sufi menggunakan kiasan dan simbol-simbol kerana terhadnya lisan manusia untuk menerangkan perkara. Untuk syarahan yang bermula dengan hal External lawan Internal atau Zahir lawan Batin ini tergerak saya untuk memberikan tajuk kecil "Dia yang Zahir Dia juga yang Batin". Ini tentunya merujuk pada Tuhan sebagai hakikat atau realiti tertinggi malah pada hakikatnya merupakan satu-satunya Realiti yang ada. Ada disebut Baharudin bahawa kita selalu melihat pertentangan termasuk Zahir lawan Batin kerana itu di peringkat yang bawah. Di peringkat paling atas tiada lagi apa-apa bentuk pun pertentangan malah semua ini tiada lain bahkan sama sahaja.


Sebagai nota apa yang saya kongsikan tidak semestinya meliputi semua yang dikongsikan dalam satu syarahan. Begitu juga sebaliknya - ada perkara tidak disebut dalam syarahan tetapi saya tambah mengikut gerak rasa dan ilham demi melengkapkan suatu penceritaan. Dikongsikan di atas nota daripada gajet (apa ke nama tu, tulis terus ke atas skrin besar sedikit daripada telefon bimbit) yang dibuat oleh seorang kawan lama yang hadir. Beliau memakai nama Notrumi Embun di Facebook. Sebagai mengakhiri artikel ini biar diletakkan satu gambar saya yang diambil oleh kawan tersebut selepas syarahan berserta teks yang mengiringi di Facebook sejam tadi...



DAH NAMANYA MAJNUN LAGI MAJZUB. ADA AKU KESAH ORANG NAK KATA APA?

Hehe. Gambar ini diambil oleh seorang kawan lama saya semalam di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) selepas menghadiri satu syarahan tentang "Spiritualiti Islam di Dunia Melayu". Saya memang suka melepak dengan cara bersandar pada bangunan air pancut di tengah dataran ISTAC. Yang ini siap melayan lagi nyanyi lalu evergreen Mat Saleh tahun 70an. Kawan yang dikenali sejak 31 tahun lalu, pernah menginap satu rumah buat satu tempoh ketika sama-sama belajar di London tahun 90an sudah lama faham perangai gila saya. Antara kami tiada hal kalau tiba-tiba saya terasa hendak lompat bangunan ke, pinjam basikal orang pusing keliling bandar ke atau menunggang motosikal besar sambil berdiri atas tempat duduk.

Tapi itu dia dan berapa orang kawan rapat. Pada orang lain gambar sebegini mungkin adalah sesuatu yang memalukan. Pada saya ia adalah gambar yang menyeronokkan. Duduk di air pancut itu mengingatkan zaman ketika saya suka melepak bebas di luar termasuk di halaman tempat saya belajar iaitu Universiti College of London pada musim panas.

Zaman itu jangankan musim panas. Masuk musim bunga dan apabila suhu baru melepasi 10 darjah Celsius pun saya dah boleh berlenggeng tak pakai baju melepak malah jalan merata di kota London tak pakai baju. Sebut pasal buat kerja gila? Ah. Dah tak terkira banyak dah. Sampai masuk surat khabar sana gambar saya pakai seluar pendek mandi atas air pancut di Trafalgar Square, antara mercu tanda paling terkenal di United Kingdom.

Malah memang pun saya pernah melalui zaman jadi majnun lagi majzub apabila ilmu sains dalam diri yang sudah lama dipegang sejak zaman sekolah rendah mula bertembung dengan minat baru membaca kitab-kitab terjemahan bahasa Inggeris tentang ilmu-ilmu Tasawuf seperti tulisan Fariduddin Attar, Jalaluddin Rumi dan sebagainya bermula umur 18 tahun. Namun itu masih lagi pertembungan dalam alam fikir dan falsafah. Kemudian saya lalui sendiri pengalaman-pengalaman berbentuk mistik termasuk roh asyik keluar masuk badan.

Hal ini sebenarnya malah berpanjangan sehingga melepasi umur 30 tahun. Jadi ada aku kesah kalau orang kata aku berbuat perkara yang memalukan? Itu memalukan bagi kamu-kamu yang nak sangat jaga air muka dan standard di mata orang ramai, tidak bagi aku yang lebih pentingkan ketulusan dan kejujuran. Lain le kalau menipu, curi barang orang, makan rasuah dan sebagainya, main perempuan di belakang tabir tapi di mata umum mahu kelihatan seperti orang penting, pejuang agama, bangsa dan negara yang sentiasa menabur jasa bagai. Pada aku tiada rasa malu berbuat sesuatu yang menggembirakan tanpa merosakkan orang lain apa lagi dalam keadaan hati sedang seronok menyaksikan kejadian berupa af'al-af'al Allah...


Khamis, Oktober 24, 2019

Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tentang wahyu lebah dan antropologi spiritual

Masuk pada majlis ilmu kedua dihadiri di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) petang semalam. Masih menulis dari masjid ISTAC. Bersambung daripada artikel Islam dan identitinya di Eropah dan Asia Tenggara.


Jam 5 lebih dimulakan syarahan seterusnya bagi siri  "Classifications of Knowledge in Islam" oleh Sheikhul Qulliyah ISTAC Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar. Siri syarahan berdasarkan buku dengan tajuk sama yang mana buku pula adalah berdasarkan tesis PhD beliau di Amerika Syarikat tahun 1980an itu masuk edisi yang ke-11 petang semalam. Tetapi bermula syarahan minggu lepas ia telah dijenamakan kembali lalu syarahan semalam disebut sebagai yang ke-4. Ini adalah menurut kiraan dalam semester baru.  Lihat penerangan dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Apabila syarahan ke-10 dijenamakan kembali menjadi syarahan ke-3.


Sudah diberitahu dalam artikel tersebut juga artikel-artikel sebelum itu bahawa syarahan dimulakan kembali daripada muka surat pertama buku kerana muncul ramai muka baru mengikuti siri apabila syarahan diadakan kembali awal Oktober. Rujuk artikel pertama untuk semester baru iaitu Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan berkenaan yang ke-8 selepas 5 bulan senyap.


Syarahan petang semalam bermula daripada bahagian tengah muka surat 4 membawa ke tengah muka surat 5. Ini adalah berkisar pada berapa bab yang telah diberikan dalam buku bagi 3 orang tokoh Islam silam yang dibincangkan seperti berikut dan atas dasar apa bab dibuat :-


1. al-Farabi (hidup tahun 258-339 Hijrah bersamaan 870-950 Masihi)

2. al-Ghazzali (hidup 450-505H/1058-1111M)

3. Qutb al-Din al-Shirazi (634-710H/1236-1311)


Bahagian muka-muka surat berkenaan secara ringkas menerangkan mengapa misalnya klasifikasi ilmu menurut al-Farabi disimpulkan dalam bab 5 dan 6. Tentang al-Ghazzali dikhaskan satu bab iaitu bab 8 tentang kenapa dan bagaimana beliau mengklafikasikan pencari ilmu itu sendiri, bukan ilmu itu sahaja. Bab akhir iaitu ke-11 digunakan untuk menerangkan asas falsafah di sebalik klasifikasi al-Shirazi. Kalau menurut ini sahaja syarahan petang semalam boleh disamakan dengan separuh akhir syarahan ke-3 daripada semester lalu merangkap syarahan ke-3 secara keseluruhan. Rujuk artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Skop kajian meluas yang melebihi fahaman sains sekarang yang ditulis lebih 6 bulan lalu. 

Tetapi hakikatnya ada sahaja benda baru boleh muncul akibat ulasan spontan juga soal jawab. OK. Sebetulnya saya masuk ke bilik syarahan lewat iaitu pada jam 5.42. Walaupun syarahan yang asalnya dijadualkan bermula jam 5 telah dilewatkan kerana majlis sebelum itu (lihat kembali Islam dan identitinya di Eropah dan Asia Tenggara) pun tamat jam 5 saya fikir ia tidaklah harus begitu lewat. Ya, orang ambil masa untuk berlegar-legar berbual-bual dan berbuat macam-macam kemudian menunaikan solat Asar sebelum kembali ke bilik syarahan. Begitu juga saya mengambil masa untuk menyelesaikan beberapa hal termasuk solat, itu yang masuk lewat. Yang ingat ketika sampai itu Osman sedang menyebut tentang hakikat ilmu pengetahuan. Disebut tentang hakikat manisnya gula. Pengetahuan sebenar adalah dengan merasa sendiri gula. Sedangkan pengetahuan berdasarkan logik akal semata ialah berdasarkan turutan logik - tebu itu manis, gula datang daripada tebu, maka gula adalah manis. Ini adalah pengetahuan tanpa merasakan sendiri bagaimanakah manisnya gula itu.

Analogi gula dan tebu ini sudah disebut hampir penghujung syarahan minggu lepas. Rujuk kembali artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Apabila syarahan ke-10 dijenamakan kembali menjadi syarahan ke-3. Dalam syarahan petang semalam Osman lebih merujuk pada hal Imam al-Ghazzali yang diketahui telah menguasai ilmu feqah, kemudian ilmu falsafah juga ilmu kalam sebelum mendapat pencerahan tertinggi melalui ilmu Sufi. Hal rasa hakikat manis berbanding cuba memahami apa itu manis berdasarkan logik akal tetapi tidak merasakan ia sendiri itu disamakan dengan pengalaman pengamal Tasawuf seperti pernah dialami al-Ghazzali. Disebut pula tentang lebah yang mana Quran menyebut (dalam Surah an-Nahl) bahawa ia diwahyukan (ya, ayat bahasa Arabnya menyebut perkataan wahyu, bukannya ilham). Biar dicopy paste ayat berkenaan...



Ayat yang merupakan ke-68 dalam Surah ke-16 ini saya rujuk melalui pautan ini (klik pada perkataan "ini"). Sesawang atau website berkenaan memberikan terjemahan berikut :-


Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.


Tetapi hakikatnya perkataan Arab pada ayat itu menyebut Tuhan memberi WAHYU kepada lebah, cuma ulamak sahaja menterjemahkan ia menjadi ilham supaya tidak terkeliru dengan hakikat wahyu yang diterima oleh para Nabi. Sebetulnya sebelum Osman menyebut tentang lebah dan ayat ini sudah terbetik dalam hati saya untuk menyebut dan bertanya tentangnya. Tengok-tengok dia sebut dan buka perkara. Sesungguhnya memang pada hal ini terkandung pelbagai rahsia.

Oh, baru ingat. Daripada hal rasa manis tadi diceritakan tentang pengetahuan luar kebiasaan atau luar akal logik biasa yang beliau sebut sebagai suprarational knowledge. Saya fikir ini boleh diterjemahkan sebagai pengetahuan suprarasional iaitu melangkaui akal logik biasa. Tentang wahyu yang diterima para Nabi sebagai pengetahuan suprarasional itu sudah jelas perkara. Osman menyebut ilham yang boleh memberikan kita suatu jawaban tanpa melalui proses penaakulan fikir soal jawab pun termasuk dalam kategori ini.

Ditanya apakah umat Islam sahaja boleh menerima ilham, Osman menjawab tidak. Orang bukan Islam pun boleh menerimanya. Bahkan binatang pun boleh menerima ilham. Sebetulnya bila disebut tentang pengetahuan suprarasional tadi saya sudah terfikir pasal hal lebah seperti dinyatakan dalam Surah an-Nahl. Bila Osman menyebut binatang pun boleh menerima ilham maka hal lebah pun disebut lalu dipanjangkan

"Tengok lebah mendapat ilham untuk mendirikan sarang di gunung-ganang dan sebagainya" lalu baru beliau sebut perkataan Arab dalam ayat Quran berkenaan memang menyebut wahyu, bukannya ilham. "Lihat bagaimana dibina petak-petak berbentuk hexagon (segi enam) dengan tepat. Kita manusia pun tidak mampu membuat dengan ketepatan itu".

Dibuka lagi beberapa hal sebagai mengupas bahagian-bahagian muka surat berkenaan dengan tumpuan pada hal al-Ghazzali. Kebetulan dalam kalangan hadirin ada seorang pelajar yang katanya mengambil bidang antropologi di kampus utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak. Ingat. UIAM adalah badan utama yang menaungi ISTAC. Berlakulah soal jawab tentang bagaimana antropologi telah diajar secara formal di institusi-institusi pengajian tinggi dengan bagaimana Islam melihat ilmu berkenaan. 

Untuk pengetahuan ilmu ini selalu dikaitkan dengan kajian manusia purba. Dalam skop kajian tersebut selalu diperkatakan tentang teori asal usul spesis atau jenis-jenis kehidupan (Origin of Species) oleh Charles Darwin. Ini pula seringkali dikaitkan dengan dakwaan saintis ateis bahawa manusia kononnya berasal dan berevolusi daripada beruk. Tentunya ia adalah salah daripada sudut pandang Islam namun ilmu antropologi tetap diajar di merata dunia sebagai suatu yang sangat penting dalam mengenali manusia.

Osman menerangkannya begini. Apa itu antropologi? Berbalik pada asal perkataan itu sendiri. Ia adalah ilmu kaji manusia. Menurut Barat mereka telah mengkaji sehabis dalam. Tetapi disebabkan mereka tidak percaya pada hal-hal spiritual sedangkan menurut Islam manusia juga adalah makhluk spiritual yang ada hubungan dengan Tuhan dan keTuhanan maka kajian ilmu antropologi Barat tidaklah menyeluruh seperti disangkakan mereka tetapi cumalah sebahagian daripada kajian tentang manusia. 

Sebagai umat Islam kita patut tahu tentang aspek-aspek spiritual manusia. Maka itu harus dipelopori satu bidang yang boleh dipanggil sebagai antropologi spiritual (spiritual anthropology) untuk menanggapi segala persoalan. Kata Osman malah sebenarnya sudah ada pakar-pakar dalam bidang ini di Barat. Tetapi ia tidaklah diajar sebagai satu sukatan matapelajaran rasmi tetapi melalui syarahan individu berdasarkan pengajian Tasawuf ataupun Sufi. Mungkin sudah sampai masanya ia dijadikan satu bidang kajian formal terutama oleh universiti-universiti Islam seperti halnya ISTAC. Cukup perkongsian.



Islam dan identitinya di Eropah dan Asia Tenggara

Salam pagi Khamis 25 Safar. Adapun malam tadi saya telah menginap dan beriktikaf entah buat ke berapa kali di masjid ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Ini untuk memudahkan saya mengikut satu majlis ilmu di ISTAC petang karang selepas mengikuti dua majlis ilmu di sini petang semalam. Sekarang biarlah dikongsikan cerita majlis semalam... menulis daripada masjid ISTAC.


Merujuk pada artikel Memasuki fasa baru - Sampai masanya untuk kembali pada penulisan tesis yang ditulis Ahad lalu. Walaupun telah bertekad untuk kembali pada penulisan tesis saya tetap memberikan perhatian pada majlis-majlis ilmu akan datang. Semalam petang Rabu 23 Oktober 2019, selepas menghantar anak-anak ke sekolah agama kemudian menghantar sejumlah buku yang diminta pengedar di Batu Caves saya pun bergegas ke ISTAC untuk majlis ilmu terbaru. Itupun sebenarnya sudah terlepas satu majlis ilmu tentang penulisan tesis pada pagi Selasa 22 Oktober. Asalnya memang hendak pergi tetapi apabila sampai masanya badan terasa tidak sihat, tak larat nak keluar rumah...


Semalam malah hingga kini pun sebenarnya badan terasa tidak berapa sihat. Tetapi kali ini saya tekadkan untuk pergi juga supaya tidak terlepas dua majlis ilmu petang Rabu.


Pertama adalah seperti ditunjukkan dalam poster. Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Islam dan identitinya di Eropah dan Asia Tenggara".


Majlis dijadualkan bermula jam 3 tapi saya sampai jam 3.30.


Kedengaran ahli panel pertama, Dr Abdennour Bidar memberikan pandangan tentang bagaimana kefahaman tentang aspek spiritual Islam seperti ditekankan dalam ilmu Sufi atau pengajian Tasawuf boleh membantu orang Eropah terutama di Perancis lebih memahami Islam. Pada poster acara (dan ini harus telah diperkenalkan sebelum saya sampai) beliau disebut sebagai ahli falsafah Perancis dan pengarang buku "L'Islam sans Submission" (bahasa Inggerisnya adalah "Islam Without Submission". Saya terjemahkan sebagai  "Islam tanpa Penyerahan").


Beliau yang kelihatan berbaju putih dalam gambar sering menekankan diri sebagai ahli falsafah Islam yang ingin membawa pembaharuan dan penyelarasan antara fahaman. Dalam menangani masalah Islamophobia yang sedang melanda Barat (kebanyakannya akibat propaganda pihak tertentu terutama Yahudi, tetapi saya tidak mendengar hal ini disebut kecuali lebih pada silap faham) memang penting diangkat unsur-unsur spiritual Islam seperti sering disebut ahli Sufi kerana ia memiliki nilai sejagat, bukan menekankan pada hukum feqah yang kelihatan seperti cuma tahu menghukum sesuatu itu halal atau haram. Dalam menangani masyarakat Barat harus difahami bahawa ramai tidak berpegang pada apa-apa bentuk agama. Yang diangkat tinggi adalah apa yang dianggap sebagai nilai-nilai tinggi kemanusiaan.


Hal ini sangat terpakai di Perancis kerana ia merupakan sebuah republik yang berpegang pada fahaman sosialis atau apa yang dianggap mereka sebagai menjaga kepentingan masyarakat. Ia boleh dikatakan berbeza dengan negara-negara seperti United Kingdom (contoh saya, bukan beliau sebut) di mana mereka masih ada raja yang dinyatakan sebagai pelindung agama Kristian, yang mana konsep keTuhanan atau kepercayaan kepada Tuhan masih wujud dalam kenegaraan walaupun apa yang mereka faham tentang Tuhan tidak sama dengan apa yang orang Islam faham. Di Perancis tidak ada lagi konsep keTuhanan dalam kenegaraan sedangkan sistem beraja yang sering disebut sebagai suatu yang wujud akibat 'lantikan Tuhan' sudah lama ditolak masyarakat. Sebaliknya yang diangkat tinggi sehingga seringkali disebut orang menjadi 'agama baru' bagi mereka adalah konsep Laïcité - sekularisma atau pemisahan antara agama dengan negara.

Dalam konsep ini yang diangkat tinggi adalah tiga perkara tonggak :-

Liberty (kebebasan)

Equality (Kesamaan/hak sama rata)

Fraternity (Persaudaraan)


Semuanya bersandarkan pada kemanusiaan tanpa melibatkan agama dan keTuhanan. Maka Bidar sebagai seorang ahli falsafah Islam cuba mencari penyelasaran antara konsep ini dengan apa yang diajar dalam Islam melalui contoh-contoh yang wujud dalam tradisi Sufi. Cuma ada yang saya kurang gemar dalam apa yang cuba dibawa oleh beliau. Misalnya tajuk buku tulisannya yang membawa makna "Islam Tanpa Penyerahan". Sedangkan pada faham saya konsep penyerahan yang membawa makna patuh kepada setiap perintah Allah SWT itu sangat penting dalam beragama.

Menurut faham beliau konsep mengabdikan diri kepada Tuhan itu tidak tepat. Beliau lebih suka mengatakan kita disuruh 'consecrate ourselves' (terjemahan saya - mengangkat tinggi diri dengan cara penyucian/melakukan ibadah suci) kepada Tuhan, bukan mengabdikan diri. Mungkin beliau bermaksud untuk mengambil jalan tengah yang boleh diterima pemikiran moden Barat. Pemikiran moden mereka tidak suka pada konsep harus mengabdikan diri kepada sesiapa, sebab itu mereka lantang bercakap tentang kebebasan (liberty, liberation, liberated) - kononnya tidak perlu tunduk kepada sesiapa walhal hakikatnya mereka tunduk kepada tuntutan nafsu haiwani sendiri juga godaan syaitan. Apapun, mungkin inilah cara seorang ahli falsafah Islam Perancis berfikir. Kalau tanya lebih-lebih karang, kita pula dikatanya tak faham...


Panelis kedua adalah Dr Imtiyaz Yusuf daripada ISTAC. Selepas memberikan sedikit latar belakang lahir dan membesar di Tanzania kemudian penglibatan dalam kajian dan hubungan antara agama Islam dan Buddha di Asia Tenggara beliau menyatakan keadaan di sini berbeza dengan di Eropah. Di sini soal keTuhanan tidak menjadi masalah kerana masyarakat rata-rata percaya pada hal spiritual. Yang berbeza cuma faham tentang apa itu keTuhanan, tidak seperti di Barat di mana ramai sejak daripada awal sudah menolak kewujudan Tuhan malah apa-apa bentuk kewujudan selain daripada apa yang dapat dilihat dan dirasakan dengan panca indera biasa.

Disebutlah bahawa di Asia Tenggara ini Islam dan Buddha adalah dua agama paling besar. Kata Imtiyaz 42% penduduk Asia Tenggara adalah beragama Islam, 40% beragama Buddha. Hmm. Saya tidak pernah mengambil tahupun fakta tersebut sebelum ini. Yang tahu di Asia Tenggara ada lebih kurang 300 juta penganut agama Islam dan kebanyakkannya adalah di Indonesia. 

Saya pun cuba mencari maklumat berkenaan di Internet. Bukanlah pada peratusan Islam/Buddha sangat tapi pada jumlah penduduk menurut negara di Asia Tenggara...



Jadual atas ini diambil daripada Wikipedia baru sebentar tadi (rujuk sini). Walaupun tidak dinyatakan penduduk beragama apa kita boleh mendapatkan gambaran dengan mengetahui yang manakah negara majoriti Islam yang mana majoriti Buddha dan sebagainya. Majoriti Islam adalah Malaysia, Indonesia, Brunei. Berdasarkan maklumat atas jumlah penduduk adalah berikut :-


   31,187,265 + 
        423,196 +
 261,115,456
-----------------
292,725,917
-----------------


Negara majoriti Buddha pula adalah Cambodia, Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam. Jumlah penduduk mereka adalah seperti berikut :=

  15,762,370 +
    6,758,353 +
  52,885,223 +
  68,863,514 +
  94,569,072
------------------
238,838,532
-----------------

Lihat pula negara-negara yang diketahui majoriti Kristian iaitu Timor-Leste, Phillippines dan Singapura. Jumlah penduduk adalah seperti berikut :-

    1,268,671 +
103,320,222 +
    5,622,455
---------------
110,211,348
---------------

Walaupun pada hakikatnya dalam setiap negara itu ada orang beragama berlainan misalnya penganut Buddha, Hindu dan Kristian di Malaysia apa yang ditunjukkan ini sudah cukup untuk memberikan gambaran yang cukup hampir pada kebenaran. Jelas di Asia Tenggara paling ramai adalah penganut agama Islam diikuti Buddha yang tidak begitu jauh beza peratusannya kemudian baru Kristian yang separuh jumlah. Yang pasti penduduk sini rata-rata beragama lalu memiliki konsep keTuhanan walaupun berbeza faham atau cara menanggapinya. Maka tidak sama cabarannya dengan Eropah yang mana agama sudah lama ditolak oleh kebanyakan masyarakat terutama di Perancis.


Ahad, Oktober 20, 2019

Memasuki fasa baru - Sampai masanya untuk kembali pada penulisan tesis

Salam hari Ahad malam Isnin 22 Safar. Dikongsikan satu luahan penting sebagai penutup bagi segala yang telah berlaku dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan. Penting sebelum membuka fasa baru bagi tempoh-tempoh akan datang.



Ini adalah gambar yang digunakan untuk menghiasi bahagian paling atas blogspot CATATAN SI MERAH SILU sejak lebih 2 tahun kebelakangan. Gambar ini diambil ketika menziarahi makam Sultan Malikus Saleh dekat Geudong, Lhokseumawe, Aceh pada hari Selasa 21 Mac 2017. Rujuk artikel lama Misi HIKMAH Aceh 2017 - Tafakur di Makam Sultan Sayyid Maulana, kemuncak di makam Ratu Nurul Aqla dan ketenangan di makam Sultan Malikussaleh. Perjalanan dibuat dalam satu rangka kerja besar berjalan keliling Aceh sambil melaksanakan satu majlis ilmu. Hal ini boleh dirujuk dalam artikel Acara kedua puluh HIKMAH di Rumah Cut Nyak Dhien, Aceh 19 Mac 2017 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) juga artikel Misi HIKMAH Aceh 2017 - Kompilasi perjalanan 8 hari yang meliputi keseluruhan perjalanan 16 hingga 23 Mac 2017.

Selepas tamat perkongsian semua cerita berkenaan perjalanan iaitu pada pertengahan April 2017 gambar atas pun dimuatnaik berserta tulisan "Catatan Si Merah Silu" bagi menggantikan gambar sebelum itu. Untuk pengetahuan gambar lama juga diambil di makam yang sama tetapi bagi perjalanan pusing Aceh yang dilakukan Mac tahun 2014. Dalam perjalanan tersebut satu acara atas nama HIKMAH dilakukan buat pertama kalinya di Aceh. Lihat artikel Acara kesepuluh HIKMAH di Muzium Aceh, Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014 diikuti Berjayanya misi HIKMAH Aceh

Perjalanan Mac 2017 menyaksikan acara diadakan buat kali kedua di Aceh. Masuk pula perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera yang berlangsung 28 Ogos hingga 4 September 2019. Perjalanan yang akhirnya memakan jarak darat lebih 1,800 km itu sendiri sudah cukup memenatkan kerana asyik terkejar-kejar untuk meliputi begitu banyak tempat-tempat bersejarah dalam tempoh yang relatif singkat. Dalam tempoh waktu itu dilaksanakan lagi acara atas nama HIKMAH. Kali ini bermula di kompleks makam Sultan Malikus Saleh 1 September bersamaan 1 Muharram 1441 Hijriah dan dipanjangkan hingga ke Banda Aceh 3 September bersamaan 3 Muharram. 

Apabila kembali ke Malaysia butiran cerita harus dikongsikan. Sambil itu muncul hal-hal lain seperti perjalanan pusing Perak 15-18 September yang turut memerlukan saya menyediakan bahan berupa kertas kerja dan slaid bagi  pembentangan majlis ilmu. Lihat Membawa semangat Aceh ke Perak - Menerangkan hubungan Aceh-Perak sejak tahun 1300an Masihi. Begitu juga halnya bagi satu majlis ilmu kurang 3 minggu kemudian. Lihat Program Tempa Melayu - Menyingkap kajian terbaru tentang Hang Tuah sebelum mengupas kelebihan Benua Tua Melayu dan bangsa.... Di celah-celah itu dihadiri pula majlis-majlis ilmu yang lain juga majlis persilatan. 

Sudah menjadi kebiasaan malah tabiat saya harus menulis tentang semua majlis tersebut sehingga mencapai tahap yang memuaskan. Kalau tidak rasa tak senang duduk. Susah hendak tidur, tidak boleh berehat. Sejak kembali daripada perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera iaitu pada 4 September hampir setiap hari saya menulis. Disebabkan cerita-cerita perjalanan memerlukan artikel-artikel sokongan ada hari-harinya saya menulis hingga 15 artikel. Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera itu sendiri memerlukan 93 artikel untuk menghuraikannya. Ini terdiri daripada 12 artikel utama di blogspot CATATAN SI MERAH SILU, 27 artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 54 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)

Campur cerita-cerita lain, sejak kembali ke Malaysia sebulan setengah lalu itu saya telah menulis lebih 150 artikel di blogspots (diletak huruf 's' pada hujung perkataan blogspot untuk menunjukkan lebih daripada 1 blogspot). Ini termasuk 7 artikel di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Ia menceritakan perjalanan acara HIKMAH yang diadakan waktu itu. Sudah diberitahu ia adalah kali ketiga acara diadakan ke Aceh. Biar ditambah ia juga adalah kali ke-21 secara keseluruhan sejak HIKMAH dimulakan 12 Oktober 2012 iaitu 7 tahun lalu.

Itu adalah cerita sekitar perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera sedangkan saya telah dilanda kesibukan pelbagai perkara sejak beberapa bulan lagi sebelum itu. Sebetulnya saya hendak meluahkan satu perkara. Sudah 6 bulan saya tidak menyentuh penulisan tesis untuk Masters atau sarjana di tempat saya belajar iaitu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Sedangkan kini sudah masuk semester ke-3...


Ini adalah gambar baru di hadapan makam Sultan Malikus Saleh daripada pengembaraan 28 Ogos hingga 4 September. Selepas ini ia akan menggantikan gambar terdahulu di bahagian atas CATATAN SI MERAH SILU. Berbalik pada hal penulisan tesis yang sudah tersangkut lama. Saya perlu menyatakan dan meluahkan ini dengan jujur dengan harapan dapat kembali menanganinya

 Adapun saya mula 'keluar' daripada penulisan tesis apabila harus pergi ke Kuala Terengganu untuk majlis haul Tok Pulau Manis bulan April. Lihat artikel-artikel berikut :-







Selepas itu disibukkan pula dengan kerja-kerja penulisan buku ke-13 saya sehingga ia terbit penghujung Jun lalu diikuti pula dengan kerja-kerja pemasaran dan promosi buku. Lihat artikel-artikel berikut :-







Akibat daripada semua ini saya hilang rentak penulisan tesis. Sampai dah tak tahu bagaimana hendak kembali menanganinya. Yang tahu ada perkara tak selesai kerana mahu menjayakan perjalanan pusing Aceh dan Sumatera 28 Ogos - 4 September. Sedangkan dalam tempoh waktu itu mahu dilaksanakan satu acara HIKMAH selepas lama melupakannya atas sebab-sebab tertentu. Rujuk artikel Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini? yang ditulis April 2017. 

Namun begitu saya tetap rajin ke ISTAC untuk mengikuti majlis-majlis ilmu supaya tidak lari terlalu jauh daripada tujuan asal menyambung pengajian di sana iaitu untuk menyiapkan tesis bagi mengangkat ilmu pengetahuan dan kajian tertentu. Itulah yang menyebabkan saya juga menulis banyak artikel ilmu. Kini segalanya sudah selesai. Perjalanan dan segala yang berkaitannya telah berlaku, penulisan tentangnya pun sudah lengkap. 

Semalam hingga petang tadi saya berusaha untuk mengumpulkan pautan bagi artikel-artikel berkenaan bagi memudahkan capaian. Ini termasuk mengemaskinikan ruangan khas bagi artikel-artikel ilmu serta membuka ruang baru. Lihat artikel-artikel berikut :-





4. Tempat-tempat dilawati dalam perjalanan pusing Perak (Places visited in Perak round trip) 15-18 September 2019




Sekarang selesailah luahan saya tentang hal ini. Sudah sampai masanya untuk kembali memberikan tumpuan pada penulisan tesis. Walaupun tetap akan ada majlis-majlis ilmu harus dihadiri malah perjalanan jauh dibuat lagi lalu menulis tentangnya, walaupun ada permintaan untuk berkongsi ilmu malah menulis buku-buku baru itu semua akan diletakkan ke belakang berbanding tesis. Harapan saya dapat menyiapkannya paling lewat sebelum tamat semester ini. Mohon tuan-tuan dan puan-puan para pembaca yang dimuliakan supaya memanjatkan doa bagi membantu saya mencapai sasaran ya. Sekian wassalam. :]


Kumpulan syarahan dan majlis ilmu di ISTAC



Tengah hari Jumaat 11 September 2019 bersamaan 12 Safar 1441 Hijriah tiba-tiba muncul ilham berikut ketika mengambil anak-anak kembali ke rumah daripada sekolah kebangsaan. Memandangkan kumpulan "Siri Refleksi Sejarah" yang mengumpulkan artikel-artikel berkenaan terutama daripada wacana dan majlis ilmu (lihat sidebar kiri paling bawah blogspot) sudah mengandungi begitu banyak artikel apa kata dibuat satu kumpulan lain bagi syarahan-syarahan atau majlis ilmu yang berlaku di tempat saya menyambung pengajian pasca-siswazah iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Ketika "Siri Refleksi Sejarah" kali terakhir dikemaskinikan iaitu pada 22 Februari 2019 ia sudah mencapai 222 buah artikel. Sejak itu berpuluh lagi majlis ilmu telah dihadiri dan kebanyakan daripadanya diadakan di ISTAC.

Oleh itu biar dibuka kumpulan atau ruangan baru bernama "Syarahan dan Majlis Ilmu di ISTAC". Artikel-artikel terdahulu yang berkenaan dalam "Siri Refleksi Sejarah" boleh dikumpulkan sekali bersama artikel-artikel baru dari ISTAC. Biar "Siri Refleksi Sejarah" mengumpulkan artikel-artikel di institusi-institusi ilmu dan sebagainya selain daripada ISTAC. Yang dah sedia ada dari ISTAC tu biarkanlah.

Artikel-artikel syarahan dan majlis ilmu di ISTAC itu sendiri boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan atau kategori kerana ada yang diadakan secara bersiri. Biar diatur begini :-


a. Siri syarahan "Ucaptama tokoh". Untuk majlis yang dimulakan dengan ucaptama orang bergelar tokoh dengan majlis merupakan lanjutan gagasan fikir beliau atau semata-mata untuk tokoh...

1. Dunia Melayu Dalam Peradaban Islam : Keperluan Untuk Kebudayaan Tinggi

2. Gagasan baru ISTAC - Memajukan perbandingan epistemologi, ketamadunan dan pengajian masa hadapan


b. Siri "Diskusi buku bulanan". Diadakan sebulan sekali berselang-seli antara buku berbahasa Inggeris dengan buku berbahasa Melayu.

1. Majlis 3 dalam 1 pelancaran buku, unit perbandingan agama dan diskusi buku - Penetapan arah baru ISTAC?







c. Siri syarahan "Classifications of Knowledge in Islam" berdasarkan buku tulisan Sheikhul Qulliyah ISTAC Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar. Diadakan seminggu sekali sejak bulan Mac 2019 tetapi kadangkala 'lompong' seminggu dua kemudian 'bercuti' panjang  pertengahan tahun sebelum disambung kembali bulan Oktober.
9. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Apabila syarahan ke-10 dijenamakan kembali menjadi syarahan ke-3


Siri syarahan "The Eternal Messages of Islam and Its Civilisation", juga oleh Osman Bakar. Yang ini diadakan 2 minggu sekali pada hari Jumaat malam Sabtu.



d. Selain itu ada yang dilabelkan sebagai "Public Lecture" (Syarahan Umum"), ada yang dianjurkan oleh persatuan pelajar ISTAC, ada juga oleh pihak lain dengan kerjasama ISTAC. Semua ini biar dikumpulkan dalam kategori "Majlis Umum"...

1. Syarahan "Prophet Adam and the Malays 60,000 Years Ago - Aligment of Time, Revealed Knowledge and Science" di ISTAC












17. Hakikat bahasa dalam pembangunan insan dan tamadun - Syarahan terbuka Awang Sariyan di ISTAC    

18. Mencari harmoni antara agama dan sains dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj

19. Menelaah makna dan rahsia puasa serta iftar di ISTAC











Artikel-artikel ilmu selepas "Siri Refleksi Sejarah" mencapai jumlah 222 pada 8 bulan lalu

Salam petang Ahad 21 Safar. Diteruskan gerak perkongsian berkenaan daripada artikel Kompilasi artikel perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos - 4 September 2019 diikuti Komplikasi cerita "Membawa semangat Aceh ke Perak".



Merujuk pada artikel Apabila jumlah artikel "Refleksi Sejarah" mencapai 222 yang dipersembahkan pada 22 Februari 2019. Sudah sampai masanya ruangan berkenaan di sidebar kiri paling bawah blogspot dikemaskinikan dengan artikel-artikel khas tentang ilmu atau majlis/wacana ilmu sejak tarikh tersebut berlalu 8 bulan lalu. Kali ini apa-apa daripada majlis yang diadakan di tempat saya sedang menyambung pengajian iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) diasingkan untuk membentuk ruangan sendiri. Dengan itu, selepas 22 Februari 2019 ruangan "Refleksi Sejarah" dikhaskan untuk artikel-artikel ilmu selain daripada apa yang diadakan di ISTAC...


1. Tentang tabiat suka menulis berkongsi fikir dan rasa

2. Bila Jomo bercakap tentang Melaka abad ke-15 - Kenapa ramai bukan Melayu nak ambil tahu?

3. Santapan ilmu CASIS - Perjuangan yang diteruskan daripada ISTAC asal dan awal

4. Himpunan aman bantah hina nabi di Masjid Negara - Zahirkan kecintaan itu, bukan sekadar marah-marah tak puas hati...

5. Pesta Buku Selangor 2019 dan aspirasi buku baru

6. Wadah Cendekia "Francis Light" - Menolak naratif pro-Barat yang menafikan keberadaan awal Melayu di Pulau Pinang

7. Bila Rumi menari...

8. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 dan harapan tentang buku baru

9. Majlis hol almarhum Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong

10. Cabaran menjejak Raja Nala - Dari Ampang ke Shah Alam dan petaka pada laptop

11. Cabaran menjejak Raja Nala - Antara dua tarikh kemangkatan dan makam yang belum pasti kedudukan

12. Haul Tok Pulau Manis - Membuka kaitan Saidina Hassan dan rahsia berkenaan secara bidan terjun

13. Sidang menolak PPSMI bersama Profesor Awang Sariyan dan para pejuang bahasa

14. Menjengok Pesta Budaya dan Masakan Warisan Minangkabau di Muzium Negara

15. Hari-hari awal bulan Syawal tahun 1440 Hijriah dan usaha memartabatkan busana tradisional Melayu

16. Satu gerak berkenaan keberadaan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Arshad

17. Sedikit berkenaan sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2019 di Arkib Negara

18. Ceritera Bahasa Melayu di Negara Tercinta dan di Peringkat Antarabangsa oleh Awang Sariyan

19. Perhimpunan dan sambutan raya keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Selayang tahun 2019

20. Kembara buku Kenangan Eropah 1995 - Ke Bangi, Putrajaya, Cyberjaya, Shah Alam dan sekitar sambil orang jauh mendapat buku pos... : Majlis Sheikh Imran Hosein

21. Majlis rumah terbuka dan 'sambutan' buku Merah Silu

22. Wacana Silat Hang Tuah di Perpustakaan Negara

23. Membawa semangat Aceh ke Perak - Menerangkan hubungan Aceh-Perak sejak tahun 1300an Masihi

24. Membawa semangat Aceh ke Perak - Rumah tradisional dua negeri dan usaha-usaha untuk memartabatkan warisan

25. Program Tempa Melayu - Membentuk jiwa Melayu kental dengan ilmu yang benar...

26. Program Tempa Melayu - Menyingkap kajian terbaru tentang Hang Tuah sebelum mengupas kelebihan Benua Tua Melayu dan bangsa...