Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Wednesday, September 25, 2019

Wacana Silat Hang Tuah di Perpustakaan Negara

OK. Bersambung gerak penulisan daripada artikel 'Mengelak' jerebu di Janda Baik - Pelengkap perjalanan Aceh dan Perak?.


Semalam pagi Selasa 24 September 2019 saya keluar seorang diri meredah lagi udara berjerubu untuk pergi ke bandar raya Kuala Lumpur.


Kali ini ke Perpustakaan Negara.


Ada majlis ilmu di Aras 1 bangunan utama.


Ia adalah tentang apa yang dipanggil sebagai Silat Hang Tuah. Baru kali ini saya mendengar terdapat silat dinamakan begitu. Kalau silat yang pengamalnya mengaku (atau mendakwa?) berasal daripada permainan Hang Tuah tu dah biasa dengar. Dah jumpa pun beberapa perguruan yang menyatakan begitu tetapi tidaklah silatnya memakai nama besar itu. Ini silat yang BERANI mengaku sebagai Silat Hang Tuah. Harus ada sesuatu yang menarik dan perlu diketahui tentangnya. 


Apapun saya telah diundang pihak perpustakaan untuk menghadirinya sejak 2 minggu sebelum itu lalu telah memberikan komitmen untuk hadir. Saya juga diminta untuk mewar-warkan acara kepada orang ramai. Walaupun bukan VIP kehadiran saya diakui ditunggu-tunggu oleh beberapa orang kakitangan. Ini kerana saya sudah biasa dilihat menghadiri majlis-majlis ilmu dengan berbusana tradisional Melayu penuh, bersampin, berkeris, bertanjak.


Ketika masuk ke bilik wacana jam 10.30 pembentang iaitu tuan guru Haji Mokhtar sedang menceritakan zaman kanak-kanak Hang Tuah. Diceritakan Hang Tuah sudah boleh bertutur dalam 12 bahasa sejak berumur 10 tahun. Ditekankan beliau sebagai orang yang cerdik, bukan sekadar pandai. Antara contoh cerdik adalah bagaimana Hang Tuah yang sedang berperahu bersama 4 orang sahabat terserempak dengan perahu lanun lalu mengumpan mereka ke darat supaya lebih senang mengalahkan musuh. 

Diceritakan juga tentang Hang Tuah pernah berguru di Bukit Panchalusa dengan Aria Putera (sumber lain menyebut Adi Putera di Gunung Ledang). Apabila mengikuti rombongan Melaka ke Majapahit meminang puteri raja sana diambil peluang pula berguru dengan Sang Persata Nala, kekanda kepada Aria Putera. Kemudian Hang Tuah berguru pula dengan Sheikh Mansur tetapi ini lebih pada ilmu keagamaan dan kerohanian. Tiga nama ini disebut sebagai guru-guru beliau.


Haji Mokhtar ada menyediakan satu set slaid tetapi satu yang kelihatan ini sahaja dipaparkan begitu lama sepanjang membuat perkongsian ilmu. Namun saya dapat melihat beberapa slaid lain ketika beliau menukar dan mencari untuk sampai ke slaid ini lalu mendapati terdapat beberapa penerangan tentang langkah, jarak dan sikap yang perlu diambil dalam menghadapi suatu ancaman. Beliau lebih banyak berkongsi pengalaman berurusan dengan pelbagai ragam orang dalam dunia persilatan lalu boleh sahaja bercakap tanpa menggunaka slaid. Sesekali diselitkan hal pekerjaan beliau sebagai seorang profesyional. Walaupun mengaku mengambil sikap orang kampung dalam bercerita tentang silat beliau seringkali bertutur dalam bahasa Inggeris, mungkin kerana berhadapan dengan khalayak akademik yang tidak ramai tahu bersilat.


Sebetulnya terdapat sejumlah hadirin merupakan golongan profesyional yang aktif bersilat. Malah ada dalam 8-10 orang memakai baju Persatuan Silat Cekak tetapi bukan baju Melayu hitam gelanggang, sebaliknya baju putih persatuan. Seorang yang sudah lama saya kenali adalah pensyarah universiti dan arkitek yang memiliki nama dalam bidang. Orang-orang sebegini biasanya sama ada telah belajar silat sejak zaman muda di kampung atau zaman sekolah menengah di asrama penuh.

Haji Mokhtar banyak berseloroh dan kelihatan lari topik apabila bercakap perkara yang katanya bertujuan untuk membuka minda khalayak yang mungkin majoritinya tidak tahu bersilat. Celah-celah itu baru diterangkan bahawa apa yang dinamakan sebagai Silat Hang Tuah itu sebenarnya bukanlah perkara baru. Permainannya ada pada silat-silat tradisional sedia ada. Cuma beliau menyusun kembali berdasarkan pengalaman sudah bersilat sejak kanak-kanak sehingga berumur bergelar mahaguru. Ini dipadankan dengan cara bersilat Hang Tuah seperti diceritakan dalam manuskrip-manuskrip berkenaan.

Walaupun tidak menyebut nama manuskrip daripada petikan yang diberikan saya tahu ia adalah daripada Hikayat Hang Tuah kerana pernah mengkhatamkan versi Rumi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1966 setebal lebih 500 muka surat sekurang-kurangnya 2 kali. Diberikanlah beberapa contoh bahawa Hang Tuah selalu mengambil sikap menunggu. Apabila datang musuh menyerang sama ada menetak mahupun menikam, dia akan 'menyalahkan' musuh.

'Menyalahkan' di sini bermaksud mengelak tanpa perlu membuat tepisan. Lalu terus dibuat serangan balas yang boleh mencacatkan jika tidak terus membunuh. Faham saya, perkataan 'menyalahkan' itu bukan sekadar mengelak tetapi masuk pada posisi yang merugikan musuh. Ia adalah posisi yang boleh menyebabkan gerakan musuh menjadi sumbang kerana tidak dapat atau sempat bertindak balas. Ia mungkin juga menyebabkan musuh hilang keseimbangan sedangkan kita yang 'menyalahkan' itu mendapat posisi baik ataupun advantage untuk bertindak.


Hj Mokhtar memberikan demonstrasi beberapa kali menggunakan senjata terutama keris sundang. Oh. Sebelum itu beliau ada memberitahu bahawa perkataan silat tidak ditemui dalam tulisan atau manuskrip sebelum abad ke-16 Masihi (ke-18? Lupa pula mana yang tepat). Sebelum itu ilmu yang sama disebut sebagai ilmu perang, ilmu penjurit atau ilmu hulubalang. Sebetulnya memang ada natijahnya pada panggilan kerana dalam ilmu perang memang sasarannya adalah membunuh. Maka silat yang asal seperti diamalkan Hang Tuah bukan membazirkan buah pukul banyak atau membuat kuncian demi kuncian tetapi untuk mematikan dengan paling sedikit langkah dan gerak, kalau boleh dengan satu sahaja pukulan.

Saya melihat sikap menunggu yang ditunjukkan adalah dalam keadaan tapak tegak atau tapak alif seperti biasa dilihat dalam Silat Cekak. Di celah-celah penerangan saya mengambil peluang untuk bertanya apakah Hang Tuah itu memang selalu menunggu dalam keadaan tapak tegak? Jawab Haji Mokhtar tidak. Bergantung pada keadaan. Namun boleh kata semua contoh yang ditunjukkan bermula dengan menunggu dalam tapak tegak. Bila dah masuk ruang setelah 'menyalahkan'  lawan baru dibuat pilihan sama ada hendak menyerang tegak, menyendeng atau masuk kekuda rendah ke bawah.

Cuma satu contoh sahaja nampaknya menunjukkan Hang Tuah dalam keadaan lain. Itupun pada mulanya saya terkeliru siapakah yang jatuh siapakah yang menjatuhkan. Sebab disebut bahawa Hang Tuah itu apabila berguling-guling di atas lantai kerisnya tetap dihunus mata ke atas untuk menghalang serangan secara berterusan. Rupa-rupanya itu contoh yang mana Hang Tuah pernah dijatuhkan lalu terus mengambil posisi yang  boleh menyelamatkan sebelum dapat kembali berdiri tegak.


Masuk sesi soal jawab saya adalah orang pertama mengemukakan soalan. Sebelum itu saya berkongsi  pemerhatian bahawa nampaknya semua cara permainan Hang Tuah yang disebut Haji Mokhtar adalah berdasarkan apa yang diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah. Sedangkan sepertimana telah disebut ramai pengkaji dan ahli akademik bahawa hikayat  itu tidak boleh diambil secara bulat-bulat sebagai sumber sejarah. Ini kerana terdapat unsur-unsur keterlaluan luar logik akal seperti raja turun dari kayangan di Bukit Siguntang, raja yang sama kemudian berpindah ke Bentan, dialah juga yang ke Singapura, dialah juga yang Melaka sampai ke akhir-akhir zaman Kesultanan. 

Kalau menurut sejarah zaman dari Bukit Siguntang membawa ke Melaka itu telah menyaksikan pertukaran ramai orang raja atau Sultan. Namun bukanlah bermaksud Hikayat Hang Tuah itu tidak boleh digunakan langsung sebagai rujukan selain sastera cerita rakyat. Tetapi ia harus dikupas dan dijernihkan menurut bab.

Maka masuklah tentang zaman-zaman pengakhiran kehidupan Hang Tuah seperti yang saya ingat terdapat dalam hikayat. Diceritakan bahawa sampai suatu masa Hang Tuah telah meninggalkan Melaka lalu bertapa di Bukit Jugra. Penghujung kehidupannya dikatakan beliau ke Hulu Perak lalu duduk bersama orang asli sana. Lalu ditanyalah tentang riwayat dalam perguruan Silat Gayong yang mana pengasasnya Dato' Meor Abdul Rahman dikatakan telah menuntut ilmu persilatan daripada datuk sebelah ibunya seorang Sayid tetapi mengkhatamkannya dengan seorang pahlawan ghaib yang ditemui di Hulu Perak. Dipercayai itu adalah Hang Tuah. Apa komen atau ulasan Haji Mokhtar?

Beliau terus meminta dibuka kembali projector lalu dipaparkan slaid tentang ilmu Sufi atau Ketuhanan yang dituntut Hang Tuah. Inilah satu-satunya slaid yang kemudian dibiar terpapar lama selain slaid yang telah ditunjukkan di atas. Selepas memberikan sedikit penerangan tentang Islam, Iman, Ihsan dan beberapa perkara berkaitan beliau cakap cukuplah diterangkan begitu sahaja, harap saya boleh terima. Cuma ditambah bahawa Hang Tuah pernah berikrar dan bersumpah dengan gurunya ada ilmu yang diterimanya tidak akan disampaikan kepada sesiapa pun walau anak cucu sendiri. Saya mengangguk faham.


Ruang soal jawab turut digunakan oleh beberapa orang untuk membuat perkongsian tanpa pertanyaan. Seorang yang kalau tak salah saya daripada Persatuan Silat Cekak memuji usaha Haji Mokhtar untuk menggali Silat Hang Tuah dengan penerangan yang ada bersifat akademik. Namun disarankan agar dikaji lagi lebih mendalam dan diberi lebih banyak bukti sokongan agar lebih mantap.


Seorang hadirin berbangsa Sikh mengambil peluang untuk menyatakan penghargaan terhadap perkongsian. Dengan dia inilah Haji Mokhtar banyak bertutur dalam bahasa Inggeris atas alasan supaya orang selain Melayu dapat faham. Apabila ditanya apakah sebab sebenar orang ini hadir pada majlis jawab beliau dia terpanggil untuk memahami jiwa orang Melayu setelah berlaku isu penolakan matapelajaran Jawi dalam kurikulum sekolah jenis kebangsaan. Apabila mendapat tahu ada majlis sebegini yang menyelami satu aspek tradisi orang Melayu beliau pun datang.


Namun penerangan paling penting tentang kenapa ada orang berani menamakan silatnya sebagai Silat Hang Tuah sedangkan ia rupa-rupanya telah menimbulkan kontroversi dan pandangan buruk daripada beberapa perguruan lain datang daripada tetamu VVIP majlis, Tan Sri Dr. Abdul Latiff Abu Bakar. Beliau adalah seorang ahli akademik dan budayawan terkemuka yang pernah memegang kerusi Profesor di beberapa universiti tempatan. Anak Melaka berketurunan Bugis ini selalu juga saya temui dalam majlis-majlis akademik tentang Melayu. Walaupun mengaku bukan pengamal silat beliau sangat prihatin tentangnya lalu sudah beberapa tahun bersama Haji Mokhtar berusaha untuk mengembangkan silat terutama di luar negara. 

Kata Abdul Latiff ramai orang luar berminat tentang silat lalu bertanya siapakah tokoh yang menjadi ikon persilatan Melayu. Maka dijawablah orang Hang Tuah. Lalu orang luar bertanya lagi - bagaimanakah rupanya Silat Hang Tuah? Untuk menjawab pertanyaan mencabar inilah beliau meminta Haji Mokhtar membuat kajian termasuk daripada manuskrip dan hikayat tentang bagaimana caranya dan langkah permainan pahlawan besar Melayu bertaraf laksamana agung itu. 

Oh, Haji Mokhtar ada menyebut seorang pesilat yang cerdik dan pintar harus dapat membayangkan bagaimana rupa suatu pergerakan berdasarkan suatu penerangan. Itulah yang diberikan contoh bagaimana Hang Tuah  'menyalahkan' serangan lawan sehingga boleh membunuh dengan satu sahaja tetakan kalau mahu. Penerangan Abdul Latiff ini sebenarnya sangat membantu. Tanpa pengakuan daripada beliau bahawa nama Silat Hang Tuah diberikan untuk menjawab persoalan orang luar, Haji Mokhtar boleh dituduh memandai-mandai mencipta silat sendiri dengan memakai satu nama yang sangat gah dan besar.


Bergambar selepas majlis bersama pembentang dan pembantunya, tokoh VVIP dan rakan-rakan daripada Persatuan Silat Cekak. Nampaknya saya seorang sahaja memakai warna-warni, yang lain semuanya hitam putih. Cukup perkongsian. :]



2 comments:

Unknown said...

Tuan seorang saja berwarna-warni sbb hamba takde ๐Ÿ˜.

Radzi Sapiee said...

Haha. Tu le. Kalau kata lain semua nampak macam taik cicak kang biadap pula bunyinya. Hehe...