Apapun, siri cerita tentang perjalanan ke Aceh penghujung Januari 2010 harus disiapkan sebelum masuk 1 Syawal. Maka itu walaupun dalam keadaan malas, biar penceritaan diteruskan. Disambung daripada artikel Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Melihat warisan Tun Sri Lanang .
Ahad 31 Januari 2010. Seperti yang telah dijadualkan, kami bersedia untuk meninggalkan Aceh dengan penerbangan tengahari. Maka itu pagi hari digunakan untuk melawat mana-mana tempat berdekatan yang belum disinggahi. Tempat pertama dituju adalah perkarangan Muzium Aceh di mana terdapat makam beberapa orang Sultan Aceh.
Di sini kaki Al-Rasyid yang ketika itu berumur 3 bulan setengah dijejakkan lagi ke tanah, setelah pertama kali ia berlaku di makam Sultan Malikus Salih 2 hari sebelumnya.
Ia dibuat dimakam Sultan Ahmad Shah Johan Berdaulat yang memerintah Aceh 1727-1735 Masihi. Ini kerana menurut cerita dari pihak tertentu inilah Sultan Aceh yang paling dekat dengan keluarga saya. Atas sebab tertentu seorang anakanda baginda membawa diri ke Patani. Kemudian anakanda kepada anakanda ini masuk ke Perak menjadi ahli keluarga bangsawan Perak yang dikenali sebagai Laksamana Raja Mahkota.

Seterusnya kami ke Kompleks Makam Sultan Iskandar Muda yang terletak bersebelahan kawasan Muzium Aceh. Oleh kerana masa semakin suntuk isteri menunggu sahaja dalam kereta bersama anak sementara saya dan teman pergi menziarahi makam. Kembali ke kereta isteri menegur. Dia terlihat satu kawasan pemakaman yang belum pernah kami ziarahi sebelum ini, letaknya di satu sudut dalam kawasan kompleks...

Kemudian kami ke Masjid Baiturrahman untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Aceh.
Kami juga mengambil peluang untuk menjejakkan kaki Al-Rasyid di perkarangan masjid. Kiranya ini kali terakhir dia menjejak tanah sebelum meninggalkan Aceh...

Peliknya hampir jam 5 petang kami ke tempat lain pula walhal kami sepatutnya menaiki penerbangan sebelum 1 tengahari.



Buat seketika timbul kekecohan apabila kami semua bertekak meminta agar dibenarkan menaiki pesawat. Apabila dimaklumkan kapten kapalterbang berkeras tidak mahu menerima penumpang baru naik, saya isteri dan teman pun menerima saranan seorang pegawai agar menunggu di kaunter luar untuk tindakan lanjut. Ketika menunggu itulah kami akhirnya mendapat tahu 8 orang penumpang lain yang turut sampai lewat telah berjaya menaiki pesawat lalu berlepas. Tinggallah kami bertiga dan anak menunggu...
Sebenarnya saya tidak terperanjat kerana merasakan ada kehadiran satu kuasa yang tidak kelihatan sedang mengatur suatu keadaan. Nasib baik pihak penerbangan sudi menggantikan tiket baru untuk penerbangan esok hari tanpa apa-apa bayaran. Peliknya sebaik sahaja mendapat tiket gantian bulu roma kami semua terus meremang.
Teman kami yang sebenarnya memang menyimpan niat mahu berada di Aceh lagi satu malam lantaran tidak puas menziarahi makam Laksamana Kemalahayati (maklumlah hari sebelumnya sampai pun waktu Maghrib, tidak dapat melihat keadaan siang sepenuhnya) sudi menaja penginapan hotel kami untuk malam itu. Dari lapangan kapal terbang kami pun berlepas ke makam, dapatlah Al-Rasyid menjejakkan kaki di satu lagi tempat iaitu di lereng bukit berdekatan makam.
Kami juga mengambil peluang untuk melihat benteng Kemalahayati. Kalau tidak disebabkan masalah SMS tentang penundaan jadual penerbangan, tentu kami tidak sempat sampai ke sini.
Cuma satu sahaja hajat tambahan kami tidak kesampaian iaitu mahu melihat matahari terbenam di pantai Lampuuk, pantai terdekat dari Banda Aceh yang menghadap Lautan Hindi, kira-kira 10-15 km ke barat bandaraya itu. Ini disebabkan kami sampai di pinggir timur Banda Aceh pun dah waktu senja. Cukuplah cerita bahagian ini. Dalam rasa malas-malas yang tak tahu sebab apa ia berlaku ni pun dapat juga menyelesaikan cerita untuk Ahad 31 Januari, Alhamdulillah! Cukuplah... :]
3 ulasan:
awekkk busana hitam tu dah kawin ke blummm...
hehehe!!!!hitamnya,,,,
Entah? Awek 'Aceh' tu hehe...
Bagus ceritanya.. thanks.. sy org aceh
Catat Ulasan