Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1, Buku 2 dan Buku 3.


Wednesday, August 25, 2010

Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Tinggalan Aceh di hulu Muar...

OK. Biar disambung lagi cerita-cerita Muar yang digilirkan dengan cerita-cerita Aceh. Bertitik-tolak daripada artikel Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Warisan Tuanku Gombang Malim Dewa? yang dibuat 5 hari lalu.


Puas melihat dan merenungkan keadaan di masjid, kami pun meninggalkan pekan kecil Gombang.


Destinasi seterusnya adalah sebuah pekan yang sedikit lebih besar iaitu Lenga.



Hari mulai hujan sedangkan sepanjang hari tadi terang.


Tidak lama kemudian sampailah ke Lenga.



Ke hadapan sedikit baru kelihatan pekan, pekan di simpang menuju ke Bukit Kepong.










Di hadapan simpang yang menghadap Sungai Muar, saya membelok ke kiri. Kalau ke kanan boleh menuju ke Bukit Kepong tetapi ada tempat yang ingin diziarahi...






Inilah Masjid jamek Lenga. Di hadapannya terdapat makam seorang ulamak besar yang dikenali sebagai Kiyai Sheikh Fadhil Banten. Lihat artikel Masjid jamek (Main mosque of) Lenga dan Makam (Tomb of) Sheikh Fadhil Banten di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Ini adalah gambar Sheikh Fadhil yang diambil dari Internet. Biar disertakan sekali satu artikel tentang beliau oleh almarhum Ustaz Wan Saghir yang pernah dimuatkan di akhbar Utusan Malaysia...

SHEIKH FADHIL BANTEN

PENYEBAR WIRID KHAUJAKAN DI JOHOR

APABILA riwayat Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar tersiar dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia, penulis menerima panggilan daripada beberapa orang di Muar, antaranya Cikgu Haji Muhammad. Beliau menyatakan bahawa sezaman dengan ulama Muar itu ada lagi beberapa ulama yang sangat besar pengaruhnya dalam bidang kerohanian di kerajaan Johor, iaitu Syeikh Kiyai Haji Fadhil bin Haji Abu Bakar al-Banten. Daripada hasil wawancara, sebuah buku berjudul Amalan Wirid Khaujakan dan Huraiannya, susunan Ustaz Haji Ahmad Tunggal diterbitkan oleh Badan Kebajikan Jamaah Khaujakan Johor Darul Takzim, serta beberapa catatan. Maka ulama berasal dari Banten yang menaburkan baktinya di Johor dapat diperkenalkan. Beliau lahir di Banten, Jawa Barat sekitar tahun 1287 Hijrah/1870 Masihi dan meninggal dunia di Bakri, Muar, Johor pada 29 Jamadilawal 1369 Hijrah/18 Mac 1950 Masihi, dikebumikan di Batu 28 Langa, Muar.Sebelum riwayat ini diteruskan, dirasakan perlu menjelaskan nama `Banten' kerana ada orang memperkata bahawa ulama yang diceritakan ini berasal dari `Bentan'. Hal ini terjadi hanyalah kerana ada orang yang tidak dapat membezakan antara Banten dengan Bentan. Banten, kadang-kadang disebut juga dengan Bantan, kadang-kadang Bantam. Banten pada zaman dulu mempunyai kerajaan sendiri. Setelah Indonesia merdeka ia dimasukkan ke dalam Propinsi Jawa Barat dan setelah reformasi, menjadi propinsi sendiri yang dinamakan Propinsi Banten.Ada pun Bentan adalah sebuah pulau di Kepulauan Riau, yang kedua terbesar sesudah Pulau Natuna. Bentan sangat penting dalam sejarah dan geografi, sama ada zaman kerajaan Melaka mahu pun zaman pembentukan kerajaan Riau-Lingga-Johor dan Pahang dan takluknya, zaman Riau-Johor dan terakhir sekali menjadi Riau-Lingga.Ulama yang dikisahkan ini berasal dari Banten bukan dari Bentan. Banten memang ramai melahirkan ulama yang terkenal, antara yang terkenal di seluruh dunia Islam ialah Syeikh Nawawi al-Bantani yang diakui oleh dunia Islam dengan gelar Imam Nawawi ats-Tsani (Imam Nawawi yang ke-2). Sedang dari Bentan hingga kini belum diketahui nama ulamanya, yang ada hanyalah ulama Riau yang berasal dari pulau-pulau lainnya. Antara ulama Riau yang mengajar di Mekah peringkat guru pada Fadhil ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga .

PENDIDIKAN

Selain mendapat pendidikan dari kalangan keluarga sendiri, Fadhil juga memasuki pelbagai pondok pengajian di Banten. Sekitar usia tiga puluhan, barulah beliau melanjutkan pendidikannya di Mekah. Sewaktu masih berada di Banten lagi, Fadhil telah mengenal beberapa thariqat yang berada di Banten, antaranya ialah Thariqat Qadiriyah yang tersebar di seluruh Jawa yang dibawa oleh murid-murid Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar Sambas (lahir 1217 Hijrah/ 1802 Masihi, wafat 1289 Hijrah/1872 Masihi). Salah seorang khalifahnya yang paling terkenal, yang berasal dari Banten ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani (wafat 18 Safar 1315 Hijrah/19 Julai 1897 Masihi). Thariqat Naqsyabandiyah yang tersebar di Banten juga berasal daripada ulama Sambas tersebut melalui Syeikh Abdul Karim al-Bantani. Oleh itu dipercayai bahawa Fadhil telah ditawajjuh dengan kedua-dua thariqat tersebut oleh Syeikh Abdul Karim al-Bantani, ulama Banten yang sangat terkenal itu. Setelah berada di Mekah, Fadhil menerima pula Thariqat Tijaniyah, walau bagaimana pun tidak jelas daripada siapa beliau menerima thariqat itu. Selain belajar, di Mekah beliau membantu saudara sepupunya Hajah Halimah mengurus jemaah haji.

DATANG KE JOHOR

Penghulu Mukim Langa bernama Haji Daud sangat tertarik pada keperibadian, keilmuan dan kerohanian yang ada pada Fadhil, maka penghulu itu berusaha memujuk ulama yang berasal dari Banten ini supaya datang ke Johor. Akhirnya hasrat Daud tercapai juga. Maka dalam tahun 1915 Masihi, Fadhil Banten sampai di Johor. Beliau mengajar di Kampung Langa, Muar. Selain pelbagai ilmu Islam yang asas seperti fardu ain, Fadhil lebih menekankan Wirid Khaujakan atau Khatam Khaujakan yang sangat terkenal dalam ajaran Thariqat Qadiriyah dan Thariqat Naqsyabandiyah.Fadhil melebarkan sayap dakwahnya bukan hanya di Kampung Langa tetapi juga termasuk dalam Bandar Maharani (Muar), Bakri, Bukit Kepong dan tempat-tempat lainnya. Pendek kata banyak surau dan masjid yang menjadi tempat beliau mengajar. Ajaran beliau dapat diterima oleh semua pihak termasuk Sultan Johor.

SULTAN JOHOR PERLU PERTOLONGAN

Perang dunia kedua meletus antara tahun 1939 hingga tahun 1945. Dalam masa darurat itulah Sultan Ibrahim, Sultan Johor merasa perlu menyelamatkan Kerajaan Johor, termasuk diri peribadi dan keluarganya dengan apa cara sekali pun. Atas nasihat beberapa insan yang arif, baginda mendekati seorang ulama sufi yang sangat mustajab doanya. Ulama yang dimaksudkan Syeikh Fadhil. Beliau tidak perlu didatangkan dari luar kerana beliau memang telah bermustautin di Johor. Baginda menitahkan Datuk Othman Buang, Pegawai Daerah Muar ketika itu untuk mencari dan menjemput ulama sufi itu datang ke istana baginda. Hajat Sultan Ibrahim itu dipersetujui oleh Syeikh Fadhil, namun walaupun sultan telah menyediakan sebuah rumah dekat dengan istana di Pasir Pelangi tetapi beliau lebih suka tinggal di Masjid Pasir Pelangi. Pada waktu malam beliau hadir di sebelah bilik peraduan Sultan Ibrahim membaca wirid untuk menjaga keselamatan sultan. Walau bagaimana pun untuk lebih mudah melakukan pelbagai amalan wirid dan munajat kepada Allah, beliau memilih masjid yang lebih banyak berkatnya dari rumah. Oleh itu Fadhil lebih banyak melakukannya di dalam masjid.

Akhirnya Sultan Ibrahim memperoleh ketenangan jiwa kerana keberkesanan dan keberkatan doa Syeikh Fadhil. Selanjutnya perang dunia kedua selesai dan baginda memberikan anugerah kepada ulama sufi tersebut. Ustaz Haji Ahmad Tunggal dalam bukunya menyebut, ``Sultan telah menganugerahkan pangkat kepada Haji Fadhil, iaitu ia dilantik sebagai Mufti Peribadi Sultan. Jawatan ini berbeza dengan Mufti Kerajaan. Mufti Peribadi adalah bertanggungjawab kepada sultan. Ia memberi nasihat dan fatwa jika dikehendaki oleh sultan.''Selain anugerah yang berupa kedudukan itu, Sultan Ibrahim juga membiayai Fadhil dan isterinya menunaikan ibadah haji, dan memberikan hadiah-hadiah yang tidak terkira besar dan banyaknya. Sumbangan yang tiada terhingga besarnya kepada Sultan Ibrahim ialah beliau telah membuka pintu kebebasan seluas-luasnya kepada Kiyai Syeikh Fadhil untuk menubuhkan kumpulan-kumpulan Wirid Khaujakan di seluruh Kerajaan Johor tanpa sebarang halangan. Berdasarkan tulisan Ustaz Haji Ahmad Tunggal, peringkat awal pembentukan kumpulan tersebut di Pontian diketuai oleh Haji Ahmad Syah. Di Batu Pahat oleh Kiyai Saleh. Di Muar oleh Haji Abdul Majid dan di Mersing oleh Haji Siraj bin Marzuki.

KETURUNAN DAN MURID

Daripada isteri yang pertama, Syeikh Fadhil memperoleh empat orang anak; seorang lelaki dan tiga perempuan. Anak lelakinya ialah Orang Kaya Penghulu Haji Abdul Hamid. Setelah isteri pertamanya meninggal dunia, beliau pindah ke Bandar Muar dan berkahwin lagi dengan seorang janda beranak dua. Kedua-duanya ialah Haji Othman bin Haji Azhari dan Haji Ali bin Haji Azhari yang meneruskan perjuangan Syeikh Fadhil. Antara murid Syeikh Fadhil ialah Sahibus Samahah Haji Ahmad Awang yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Johor. Murid dan anak tirinya, Haji Othman Azhari, dalam buku Amalan Wirid Khaujakan dan Huraiannya, pada tahun 1994 adalah sebagai Yang Dipertua Badan Kebajikan Jamaah Khaujakan, dan ramai lagi. Daripada buku Amalan Wirid Khaujakan dan Huraiannya oleh Ustaz Ahmad Tunggal yang memperoleh pendidikan di Universiti Al-Azhar, Mesir itu banyak perkara yang dapat kita ketahui. Antaranya bahawa terasasnya Badan Kebajikan Jamaah Khaujakan yang sangat meluas di seluruh Johor adalah bermula daripada Syeikh Fadhil. Amalan Wirid Khaujakan masih subur dan berkesinambungan di Johor seperti juga di beberapa tempat lain di seluruh dunia Islam.Pada pandangan penulis, walaupun ada golongan anti amalan sufi yang menuduh bahawa orang-orang sufi mengamalkan perkara-perkara bidaah dan khurafat, tuduhan melulu seperti itu tidak berasas sama sekali kerana Wirid Khaujakan dan beberapa amalan golongan sufi selainnya juga bersumberkan al- Quran dan as-sunah. Mereka yang beramal dengannya bukan terdiri daripada golongan awam saja tetapi juga termasuk ulama-ulama besar terkenal yang mampu membahas al-Quran dan hadis. Ia bukan diamalkan oleh orang-orang di dunia Melayu sahaja tetapi juga di tempat-tempat dalam belahan dunia. Penulis tidak sependapat dengan beberapa pandangan yang menuduh bahawa apabila beramal mengikut sufi mengakibatkan ketinggalan dalam membina kemajuan duniawi, kerana ternyata tidak sedikit golongan sufi yang menghasilkan karya, mencetuskan pemikiran yang bernas maju, menghasilkan sesuatu pemikiran baru pada setiap zaman dan lain-lain. Kebijakan Sultan Ibrahim yang memahami keadaan zaman darurat menghadapi huru-hara perang dunia kedua yang sukar diatasi dalam bentuk zahiri semata-mata, sehingga baginda memerlukan insan takwa seperti Syeikh Fadhil, patut dicontohi oleh pemimpin-pemimpin kita masa kini dan zaman-zaman yang akan datang. Setelah kita mengetahui dalam dunia sekarang bahawa nyawa seolah-olah tiada harganya, situasi dunia yang tiada ketentuannya, termasuk dunia Melayu juga, maka patutlah umat Islam Melayu memperbanyak zikir, wirid, selawat dan lain-lain sejenisnya demi kebaikan dan ketahanan diri Muslimin dan dunia Melayu sejagat.


OK. Biar diberitahu bahawa tempat bernama Langa yang disebut dalam artikel merujuk kepada Lenga. Saya tak tahu atas alasan apa Ustaz Wan Saghir menyebutnya sebagai Langa. Yang pasti, tempat yang dimaksudkan adalah Lenga di mana masih ada makam Sheikh Fadhil sebagai bukti. Daripada maklumat yang diberi, dapatlah dilihat bahawa ilmu selempang merah yang amat terkenal akibat dipakai Kiyai Salleh ketika menentang komunis adalah diambil dari Sheikh Fadhil ini! Hebat tak hebat, sebab itulah Sheikh Fadhil dicari oleh Sultan Ibrahim untuk menjamin keselamatan Johor.

Satu perkara lagi ingin ditambah. Menurut sumber-sumber tertentu, Sheikh Fadhil berasal dari keturunan Sunan Gunung Jati atau Sharif Hidayatullah. Sharif Hidayatullah pula berasal dari Pasai di Aceh, satu fakta yang cuba dinafikan pihak pro dan taksub Jawa kerana tidak mahu mengakui pengaruh kuat Aceh dalam mengIslamkan Jawa, apalagi jika Wali Songo yang amat dibangga-banggakan mereka ada kena-mengena dengan mana-mana kerajaan di Aceh. Lalu Sunan Gunung Jati yang memiliki banyak nama dan gelaran telah dipecahkan identiti dengan satu nama panggilannya Fatahillah dikatakan milik orang lain. Sunan Gunung Jati dikatakan raja sementara Fatahillah dikatakan panglima perang ataupun laksamana di bawah perintahnya. Terus disebut Sunan atau Sharif Hidayatullah itu memang asal Jawa, Fatahillah itulah yang dari Pasai. Namun peliknya, di makam Sunan Gunung Jati sendiri (saya belum pernah sampai tetapi gambar papan maklumat ada ditunjuk orang) ada disebut raja-raja Cirebon dan Banten berasal dari keturunan Fatahillah (disebut juga sebagai Tubagus Pasai, orang ternama dari Pasai) sementara pada catatan di lain tempat, raja-raja ini disebut sebagai anak cucu Sharif Hidayatullah!

Perkara ini sebenarnya sama dengan beberapa kes di Aceh dan Perak di mana beberapa orang raja ada memakai identiti berbeza ketika memerintah dalam istana berbanding ketika keluar memimpin angkatan perang. Perkara ini diketahui sesetengah orang tetapi atas sebab tertentu dirahsiakan sehingga raja dan laksamana dikatakan orang berbeza lalu muncul dua salasilah berlainan walhal ia merujuk kepada orang-orang yang sama. Apapun cukuplah disebut bahawa Sheikh Fadhil yang dimakamkan di Lenga berketurunan Pasai. Dengan itu kita beralih ke satu tanah perkuburan 300 meter dari Masjid jamek Lenga.








Tanah perkuburan ini menempatkan makam Sheikh Abdullah Sabihu yang dikatakan datang dari Pasai sekitar 150-200 tahun lalu untuk berdakwah. Saya telah lupa butiran... namun pernah terbaca, Sheikh Abdullah inilah yang membuka Lenga lalu dikenali sebagai Moyang Lenga.

Saya sudah lupa jika Sheikh Abdullah meninggalkan keturunan. Rasanya mungkin tidak belah laki-laki, mungkin beliau bermenantukan anak muridnya yang saya sudah lupa nama. Saya cuba ingat ya melalui apa yang tergapai ketika menulis ini semua. Mungkin ada di luar sana yang boleh menambah. Saya cuma ingat Sheikh Abdullah Sabihu ini memiliki seorang atau dua anak murid berketurunan bangsawan yang kemudian diangkat menjadi pemimpin. Besar kemungkinan Penghulu Daud yang disebut Ustaz Saghir berjaya menjemput Sheikh Fadhil datang ke Muar adalah dari keturunan bangsawan yang dimaksudkan. Lihat artikel Makam (Tomb of) Sheikh Abdullah Sabihu.








Anak dan isteri sedia menunggu saya keluar dari makam. Kalau ikut rancangan asal kami mahu terus ke Bukit Kepong yang terletak cuma lagi 10 km gitu lebih ke hulu. Dari sana kami mahu ke Pengkalan Kota, sebuah kampung lagi 3 km perjalanan, pernah menjadi pusat pemerintahan Raja-raja Temenggung Muar, pemerintah jajahan takluk negeri Muar (ya, Muar dahulu adalah sebuah negeri yang bebas dari Johor namun di bawah naungan empayar Johor-Riau) yang pernah meliputi jajahan takluk Muar. Namun kami juga sudah agak penat, maklumlah ketika itu hari Sabtu baru hari ke 4 berpuasa bulan Ramadhan.

Lagipun ketika itu sudah hampir jam 5 petang sedangkan jam 6 petang kami dijadualkan untuk menghadiri majlis tahlil arwah di rumah saudara di Kampung Temiang, kampung ibu yang terletak sekitar 45 km dari Lenga. Isteri pula menambah bukankah kami sudah pergi ke Bukit Kepong dan Pengkalan Kota menziarahi makam yang ada sekitar bulan Julai ataupun Ogos tahun 2009? Saya pun sudah ingat-ingat lupa. Tapi saya tahu ketika itu kami pergi hingga ke Kampung Lubuk Batu di Segamat di mana terdapat sejumlah lagi makam Raja Temenggung Muar dan keluarga.

Oh, untuk makluman, Raja Temenggung Muar adalah satu lagi bukti warisan Aceh di Muar. Ini kerana menurut naskah Salasilah Temenggung Muar ia adalah jawatan yang terwujud apabila seorang bernama Sayyid Zainal Abidin dari Aceh mengahwini seorang puteri di Kota Tinggi lalu mendapat anak dikenali sebagai Maharaja Seri Diraja yang mengahwini seorang puteri di Muar. Maharaja Diraja mendapat tiga orang anak, yang sulung Sayyid Jaafar memerintah Muar apabila jajahan takluk ini diserahkan oleh seorang Sultan yang memerintah empayar Johor-Riau sebagai 'maskahwin' kerana mengahwini adinda Sayyid Jaafar iaitu Puteri Bakal. Anak yang tengah menjadi Bendahara Johor yang dikenali sebagai Bendahara Padang Saujana di mana, anak-anaknya bakal menjadi Sultan empayar Johor-Riau juga Sultan Terengganu. Dari keturunan merekalah muncul Sultan-sultan Terengganu, Johor dan Pahang abad ke 18 hingga sekarang.

Sayyid Jaafar pula menurunkan Raja-raja Temenggung Muar yang terus memerintah sehingga penghujung abad ke 19 gitu. Mereka banyak berpusat di kawasan tepian Sungai Muar di sekitar Pagoh hingga ke Pengkalan Kota dan Bukit Kepong. Walaupun ulu Sungai Muar terletak lebih 280 km dari kuala iaitu di Negeri Sembilan, kawasan-kawasan ini tetap boleh dikira sebagai hulu Muar apalagi ia memang terletak di hulu daerah Muar menurut sempadan sekarang.

Ya, sekitar sebulan selepas balik dari Aceh Jun 2009, saya dan isteri ada kembali ke Muar kemudian bermandi-manda dengan keluarga yang lain di air terjun Gunung Ledang. Kemudian saya dan isteri yang ketika itu sarat mengandung pergi menziarahi makam dan warisan Raja Temenggung Muar di Pengkalan Kota, seterusnya ke Bukit Kepong masuk ke Segamat menziarahi makam Raja Temenggung yang lain di Lubuk Batu.








Perjalanan tahun lepas yang membawa dari Bukit Kepong ke Segamat itu diteruskan hingga ke Felda Jelai di Negeri Sembilan. Malah kami sempat ke Bahau di mana isteri pertama kali melihat pertemuan Sungai Muar dengan Sungai Jempol, sebahagian dari Jalan Penarikan sebelum ke Seremban terus ke Lembah Klang untuk kembali ke rumah kami atas dari Rawang. Namun seperti beberapa perjalanan yang lain ia tidak pernah diceritakan di mana-mana blogspots saya. Untuk makluman bukan semua pengembaraan yang kami buat ada diceritakan kepada umum, apalagi perjalanan lama saya seorang diri yang antaranya harus dirahsiakan. Tapi saya menyebutnya di sini hari ini kerana ia boleh dikatakan menyambung perjalanan "Menjejak Dinasti Al-Kamil di Muar" yang harus dihentikan di Lenga, apalagi ia adalah kali pertama isteri sampai ke kawasan-kawasan sekitar hulu Muar sebelum Bukit Kepong ini.

Oh... siri "Menjejak Dinasti Al-Kamil di Muar" belum tamat. Esoknya perjalanan disambung tetapi lebih dekat di sekitar bandar Muar. Biar diberitahu bahawa ada pihak menyebut Raja Temenggung Saleh yang makamnya di Pengkalan Kota datang ke Muar bersama rombongan Gombang Malim Dewa sedangkan saya sudah menyebut semakin lama semakin yakin bahawa Malim Dewa itulah Sultan Muhammad Al-Kamil. Ketepikan dahulu faktor perbezaan waktu Temenggung Saleh hidup abad ke 18-19 dengan Sultan Muhammad Al-Kamil yang dikatakan datang ke Muar penghujung abad ke 13. Mungkin ada kesilapan dalam menafsir keadaan, yang pasti mereka semua berkaitan dengan Aceh.

Di atas adalah gambar ketika singgah di sebuah ladang herba, katanya yang terbesar di Asia. Letaknya berdekatan Pagoh, dalam perjalanan menghala ke kembali ke bandar Muar. Lihat artikel The spice restaurant near Pagoh di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Lebih dua tahun lalu pula saya pernah membuat satu perjalanan dari Segamat ke Muar di mana saya mula mengenali kaitan Malim Dewa dengan Sultan Muhammad Al-Kamil. Elok juga disusuri balik apa yang sudah ditulis dalam artikel-artikel ini...


Dari Segamat kembali ke Muar... Peristiwa Bukit Kepong...

Dari Segamat kembali ke Muar... Apa ada dari Lenga ke Pagoh?

Masjid (mosque of) Kampung Gombang, Muar...

Dari Segamat kembali ke Muar... Berakhirlah satu episod pengembaraan...


Oh. Tadi semasa cuba mengumpul maklumat lama untuk dikaitkan dengan artikel ini, saya telah membuat search menggunakan keywords "Pengkalan Kota Muar". Peliknya results atau keputusan yang dapat menunjuk pada artikel Jalan-jalan Perak sebelah barat : Makam Puteri Bunian, jejak kegemilangan Beruas Gangganegara, tiada langsung mengenai Muar. Kelihatan ada satu macam petunjuk timbul untuk mengaitkan Beruas Gangganegara dengan Muar. Sebagai peringatan, sumber tempatan di Beruas ada menyebut Sultan Malikul Mansur adalah orang yang membuka Beruas sedangkan baginda adalah cucu kepada Sultan Malikus Salih pengasas kerajaan Samudera dan Pasai. Sumber Batak pula menyebut Sultan Malikul Mansur pernah datang ke Muar lalu berkahwin dengan Puteri Nur Alam Kumalasari, anakanda kepada Sultan Muhammad Al-Kamil.

Namun perlu ditegaskan, walaupun saya merujuk kepada sumber Batak dalam menjejaki hal ini, ia tidak bermakna saya menerima dakwaan Batak bahawa Sultan Malikul Mansur adalah dari keturunan mereka. Perkara ini sudah diulas panjang-lebar dalam artikel Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Ke tasik 4,000 kaki tinggi dari paras laut dan satu bab mengenai penipuan degil Batak yang dibuat malam tadi. Dengan itu cukuplah saya bercerita buat masa ini. :]


10 comments:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Radzi Sapiee said...

Anda telah diberi peluang, diberi muka dan diberi ingatan. Segala komen provokasi Batak tidak akan dilayan malah akan didelete langsung. Hihihihi!

melayularut said...

Terima kasih dan tahniah dengan maklumat di atas. Semoga kita semua diberkati

Anonymous said...

Fadhil Bantan adalah mufti Johor. Beliau pernah berguru dengan Abdul Karim Jaili dan beramal dengan Tarikat Naqshabandi, Tarikat Qadariah dan Tarikat Chistiyyah.

Pernah satu ketika ketika orang menggali perigi. Orang terjumpa mayat didalam perigi. Mayat tersebut masih elok seperti orang yang baru meninggal dan kukunya juga tumbuh. Lalu Syeikh Fadhil Bantan masuk kedalam perigi tersebut dan memberi talkin kepada mayat tersebut. Setelah di talkin mayat tersebut ghaib dengan serta-merta dan keluarlah air dari lubang yg dikorek tersebut.

Apabila Syeikh Fadhil Bantan telah tua dan bersara sebagai Mufti Johor. Barulah dia mengambil Kiyai Salleh sebagai anak angkat dan anak murid beliau.

Anonymous said...

Tarikat Naqsyabandi dan Tarikat Qadariah adalah pasti.. Satu lagi tarikat samada Tarikat Chistiyyah/Tijaniyah..?

Anonymous said...

Kiyai Salleh Panglima Bin Karim yang diambil sebagai anak angkat beliau adalah keturunan Mamak Penang.

Anonymous said...

Kumpulan yang ditubuhkan melalui anak murid beliau iaitu Kiyai Salleh Panglima Bin Karim dikenali Sebagai Selendang Merah.

Anonymous said...

Salam, sedikit pembetulan.
1. tarekat yg di ambil oleh almarhum kiyai hj fadhil ialah tarekat tiijaniyah.
2. Kiyai salleh bukan keturunan mamak Penang, beliau orang banjar.
Tahniah kepada penulis yang sangat berdedikasi menyingkap salasilah hingga je tahap ini. Moga Allah memberkati usaha murni anda.

Cucu lelaki sulung almarhum tuan guru hj Othman Azhari

Anonymous said...

ARWAH KIYAI SALLEH MEMANG BERKETURUNAN BANJAR DAN MAMAK PENANG(IAITU DARI KETURUNAN MALABARI)...DIA JUGA ADALAH SEORANG SHEIKH ATAU AWLIYA ALLAH KERANA DIA MAHIR DALAM ILMU PERSILATAN DAN KEROHANIAN ISLAM...AHLI KEROHANIAN BISA MELIHATNYA WALAUPUN DIA DAH MENINGGAL...WASALAM

Anonymous said...

apalah yang korang dok tung tang ni. Korang kenal betul kr kaitan Ky Salleh, Kadhi Mat Shah, KH Hj Shamsuddin, Wak Mustahil, Ky Muniran dan 5 orang lagi? Tahu apa pesan yang disampaikan oleh abg tua pada mereka sebelum pulang mengadap Maha Esa? Tentang amanah...