Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, September 08, 2010

Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Pesanan akhir dari putera mahkota si Merah Pupok?

Assalamualaikum semua. Tahun lepas, saya berjaya menamatkan siri tentang perjalanan ke Aceh Jun 2009 dengan artikel penutup Ke lapangan terbang untuk kembali ke Malaysia... tamatlah cerita perjalanan di Aceh... dibuat pada 27 Ramadhan 1430 Hijrah. Hari ini 29 Ramadhan 1431 pula biar ditamatkan siri tentang perjalanan ke Aceh penghujung Januari 2010 dengan artikel ini. Mari! :]


Merujuk pada artikel sebelumnya Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Takdir yang menyebabkan penambahan satu hari..., selain dapat berehat lama di makam Laksamana Raja Kemalahayati, masalah SMS yang menyebabkan kami harus tidur satu malam lagi di Aceh juga menyebabkan saya dapat menunaikan satu hajat tertunda.


Sejak lawatan ke Aceh Jun 2009 saya ada menyimpan niat untuk bersolat Subuh di Masjid Baiturrahman. Cuma ketika itu saya dan isteri yang sedang mengandung 6 bulan duduk di hotel yang terletak agak jauh dari masjid.



Dalam lawatan penghujung Januari 2010, kami duduk di hotel yang jaraknya cuma sekitar 300 meter sahaja dari masjid ini. Namun disebabkan program kami padat dan memenatkan saya tidak juga dapat melangkah ke masjid waktu Subuh kecuali pada hari terakhir iaitu hari Isnin, hari terakhir yang merupakan satu penambahan kerana kami sepatutnya sudah pulang ke Malaysia tengahari Ahad.


Rupa-rupanya masih ada lagi satu hikmah akibat satu malam tambahan di Aceh. Sebelum itu kita lihat Al-Rasyid yang sudah bersedia untuk menyambung perjalanan pagi Isnin.

Tengok tu. Elok aje dia memakai kopiah kecil yang baru dibeli di sebuah kedai berdekatan hotel malam sebelumnya, kedai yang mungkin kami tidak akan singgah kalau kembali ke Malaysia seperti yang dijadualkan asalnya hari Ahad.


OK. Kedai itu sebenarnya adalah sebuah kedai buku yang turut menjual sedikit barangan lain seperti kopiah, songkok dan tasbih. Turut dibeli adalah sebuah buku mengenai Sultan Iskandar Muda, penakluk agung yang memerintah Aceh 1607-1636 Masihi.


Sebenarnya ada beberapa buah buku yang menarik perhatian. Tetapi yang ini menjadi pilihan apabila samada sengaja atau tidak pemilik kedai buku menyuakan mukasurat yang menyebut tentang kewujudan makam Merah Pupok, anakanda Sultan Iskandar Muda yang pernah menjadi putera mahkota (juga dipanggil Raja Mahkota) Aceh tetapi katanya dihukum rejam sehingga mati kerana berzina dengan isteri orang.


Ini yang membuat saya singgah ke satu tanah perkuburan Kristian di tengah Banda Aceh.


Tanah perkuburan ini menempatkan jasad beribu orang askar Belanda yang terkorban ketika menyerang Aceh tahun 1870an.


Semasa lawatan Jun 2009, saya pernah diberitahu tentang kewujudan makam Merah Pupok di tanah perkuburan Belanda oleh seorang pakcik yang membawa kami menaiki monumen batu yang dipanggil Gunongan, letaknya cuma di seberang jalan menghadap tanah perkuburan ini. Lihat artikel lama Gunongan... di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Namun ketika itu saya tidak berminat untuk mencari kerana satu... belum nampak kepentingan Merah Pupok dalam pengkajian salasilah yang dibuat dan kedua, saya tidak ingin menjejakkan kaki ke tanah perkuburan Kristian milik musuh yang pernah cuba menjajah Aceh, apalagi ketika itu saya tidak tahu kedudukan makam Merah Pupok apakah bertanda atau tidak.


Tapi kali ini saya pergi kerana samada sengaja atau tidak pemilik kedai buku menyuakan mukasurat berkenaan pada buku tentang Sultan Iskandar Muda pada malam sebelumnya. Perkara ini tidak akan berlaku jika kami jadi kembali ke Malaysia tengahari Ahad. Oleh itu ia boleh dianggap sebagai satu petunjuk. Daripada buku itu juga saya dapat tahu makam Merah Pupok bukan sahaja bertanda malah terdapat beberapa papantanda dengan batu nesan Aceh terserlah serta sebatang pokok besar yang rendang lalu dapatlah saya mencarinya. Lihat Makam (Tomb of) Merah Pupok .

Oh. Jangan tersilap anggapan memikirkan kenapa anakanda Sultan Iskandar Muda ini dimakamkan di tengah tanah perkuburan Kristian. Jangan anggap ini satu penghinaan oleh Allah terhadap seorang hambanya yang dikatakan telah berzina sebaliknya makam Merah Pupok lah yang diceroboh orang. Untuk pengetahuan seluruh tanah perkuburan yang dipanggil Kerkhof ini dahulunya adalah sebahagian dari laman istana Aceh. Apabila berjaya menawan Banda Aceh tahun 1874 mereka pun mendirikan pusat pentadbiran baru di atas kawasan istana. Satu bahagian dijadikan tanah perkuburan dan termasuk dalam itu adalah makam Merah Peupok yang telah wujud sejak tahun 1630an gitu.



Sebelum ke lapangan terbang kami singgah sebentar ke pejabat syarikat Nurin Travel milik rakan kami Kak Ann. Kiranya ini semacam promosi untuk Nurin Travel yang telah membawa kami ke sana ke mari melawat pelbagai tempat termasuk makam-makam. Mereka yang berminat boleh hubungi mereka di travelnurin@yahoo.co.id :]



Alhamdulillah kali ini kami dapat sampai ke lapangan terbang sekitar 1 jam sebelum pesawat berlepas. Satu gambar terakhir bersama Pak Kisswoyo pemandu pelancung kami dari TravelNurin...





Isteri bergambar bersama Al-Rasyid yang sedang tidur sejurus sebelum menaiki pesawat.



Ini pula berlatar-belakangkan Gunung Seulawah (sedikit kabur), siap ada kapalterbang Air Sriwijaya lagi. Saya anggap ini juga satu petunjuk tentang kaitan kerajaan Sriwijaya @ Srivijaya dengan salasilah besar Ahlul Bait awal di Nusantara yang cuba saya cari, sepertimana ketika pertama-kali sampai ke Yan di Kedah tahun 2007 saya terlihat sekolah bernama Langkasuka ketika sedang menelusuri kaitan Aceh dengan Kedah. Lihat artikel In Yan to find the Aceh connection... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Berbalik pada kisah Merah Pupok. Semasa sampai ke makamnya hari Isnin itu baru teringat kembali pesanan pakcik yang membawa saya naik Gunongan Jun 2009. Pakcik itu menyebut anakanda kesayangan Sultan Iskandar Muda ini sebenarnya difitnah sebelum dijatuhkan hukuman rejam sampai mati oleh ayahandanya sendiri. Eh... ke saya sendiri yang terfikir begitu selepas ditunjukkan ke arah Kherkof?  Dah terlupa pulak. Sekembali dari perjalanan ke Aceh Januari 2010 pula, sejurus sebelum ke sana lagi untuk menyambut Maulidur Rasul penghujung Februari kami telah diberitahu seseorang bahawa Merah Pupok tidak mati. Sebaliknya baginda telah berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu.

Saya teringat petunjuk yang didapati apabila beristikharah untuk mendapatkan jawaban kenapa orang seperti Sayid Mashahor di Selangor (dipercayai orang yang sama dengan Sharif Mashahor yang menentang pemerintahan keluarga Brooke di Sarawak) sanggup memburu para pejuang Melayu Perak yang menentang Inggeris tahun 1870an untuk diserahkan kepada penjajah. Setelah lama bersedih memikirkan perkara ini jawaban yang timbul dalam hati adalah Sayid Mashahor sengaja berbuat begini untuk menolong para pejuang Melayu agar tidak terus diburu. Maklumlah selagi dalam buruan selagi itu mereka tidak akan dapat hidup tenang di mana-mana tempat. Segala sanak saudara boleh dijadikan tebusan begitu juga orang Melayu yang tidak bersalah boleh disiksa dan dibunuh untuk memaksa mereka keluar.

Jawaban yang saya dapat ialah Sayid Mashahor berpura-pura menyokong Inggeris dengan membuat tawaran untuk menangkap pejuang Melayu seperti Datuk Maharajalela dan Datuk Sagor. Sebaliknya apabila berjumpa mereka dia telah mencadangkan satu permainan 'silap-mata', dengan membuat klon para pejuang Melayu untuk diserahkan kepada musuh. Jangan ketawa. Ini tidak mustahil dalam ilmu orang lama. Sudah diketahui ramai malah pernah disaksikan sesetengah pihak, mereka yang bertaraf wali mampu membuat 'pemecahan wajah' dengan muncul di beberapa tempat yang berjauhan dalam waktu yang sama. Tidak mustahil juga dengan sedikit ilmu dari bahagian kewalian, seorang mampu 'memecahkan' wajah orang lain...

Sebenarnya perkara ini mampu dibuat tanpa perlu mencapai tahap kewalian. Ingat lagi cerita tentang hantu raya? Bagaimana hantu raya yang merupakan salah satu jenis jin boleh menyerupai tuannya? Ini kira cara paling senang untuk menerbitkan satu makhluk lain yang serupa dengan kita atau bahasa saintifiknya klon. Lalu tidak mustahil klon yang diterbitkan dengan cara ini ataupun cara lain itulah yang ditangkap Sayyid Mashahor untuk diserahkan lalu dihukum oleh Inggeris.

Berbalik pada soal Merah Pupok. Baginda adalah bakal pengganti Sultan Iskandar Muda yang amat ditakuti dan digeruni lawan. Jadi tidak hairan jika ramai terutama kuasa-kuasa penjajah seperti Belanda yang ketika itu sedang berbaik-baik dengan Aceh tetapi menyimpan rancangan jangka-panjang untuk menaklukinya tidak mahu seorang lagi Sultan yang berperibadi kuat naik menerajui satu-satunya kerajaan Melayu yang mampu membela nasib Islam di Nusantara ketika itu. Jadi satu rancangan mesti dilakukan agar pengganti yang kuat tidak dapat menaiki takhta. Malah sejarah telah membuktikan, tidak lama selepas Merah Pupok dikatakan direjam sampai mati oleh ayahandanya sendiri Sultan Iskandar Muda menyusul mangkat, menurut kata sesetengah orang kerana tidak dapat menahan kesedihan dan kesakitan yang timbul akibat kehilangan seorang anak yang amat disayangi.

Oh. Biar disebut dahulu apa yang berlaku. Mengikut ceritanya Merah Pupok didapati berzina dengan isteri orang dengan disaksikan sang suami dan satu atau dua, mungkin beberapa orang lain, kalau tak salah termasuk bapa sang suami sekali. Satu aduan pun dibuat di hadapan Sultan di mana sang suami yang sangat kecewa dikatakan telah membunuh diri di hadapan semua orang. Melihat ini Sultan pun tiada pilihan. Sebagai pemerintah yang ingin mendaulatkan Islam, baginda harus menjalankan hukuman hudud. Merah Pupok pun dijatuhkan hukuman rejam. Tidak lama kemudian Sultan Iskandar Muda pula mangkat. Baginda digantikan oleh menantunya Sultan Iskandar Thani yang terlalu banyak memberi muka kepada Sheikh Nuruddin, satu faktor yang saya percaya berjaya melemahkan Aceh dari dalam, mungkin atas tajaan pihak Belanda?

Hmm. Elok juga diletakkan sedutan dari buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang" (terbit Nov 2007). Namun untuk menerangkan segalanya sedutan harus diambil panjang-lebar dan ini meliputi separuh isi dari 2 bab buku. Rasanya biar dijadikan satu artikel tersendiri suatu hari nanti. Kalau tak kerana perlu bersiap untuk sambutan Hari Raya, mahu sahaja saya membuatnya selepas ini. Maka cukuplah diberitahu adalah menjadi keyakinan saya bahawa Sheikh Nuruddin memang dihantar untuk melemahkan Aceh dan perkara ini berlaku akibat ketiadaan Merah Pupok sehingga menantu Sultan Iskandar Muda pula dapat menaiki takhta.

Berkenaan dengan tuduhan zina terhadap Merah Pupok, kalau betul ia fitnah bagaimana ia boleh disaksikan suami kepada isteri yang katanya digauli Merah Pupok sehingga sang suami sanggup mengambil nyawa di hadapan Sultan ya tak? Jawaban saya, tidak mustahil ia telah dirancang. Misalnya makanan atau minuman Merah Pupok atau/dan isteri tersebut diletak dadah cukup untuk membuat mereka pengsan buat sementara waktu. Kemudian badan mereka diletak rapat di satu bilik dalam keadaan mencurigakan lalu sampaikanlah berita kepada sang suami juga sejumlah orang untuk datang melihat lebih dekat. Alaaahhh... perkara sebegini rasanya sudah kita saksikan dalam cerita-cerita televisyen.

Apabila perkara ini dibawa ke hadapan sang Sultan apalagi dengan saksi malah sang suami sanggup bertindak nekad membunuh diri, sang Sultan tiada pilihan kecuali bertindak keras walaupun terhadap anak kesayangan yang bakal mengantikan baginda di atas takhta. Lalu sejarah menyebut hukuman hudud rejam sampai mati pun dijalankan. Namun bagaimana pula ada pihak menyebut Merah Pupok dapat membawa diri meninggalkan Aceh lalu sampai ke Semenanjung?

Di sini biar disebut satu kemungkinan. Sultan Iskandar Muda sedar anaknya telah difitnah tetapi di hadapan saksi yang mendesak apalagi setelah sang suami mengambil nyawa sendiri baginda harus dilihat menjalankan keadilan. Lalu Merah Pupok pun dihukum bunuh tetapi yang dihukum itu sebenarnya adalah klon yang dicipta dengan cara seperti disebut di atas. Satu lagi kemungkinan adalah cerita tentang Merah Pupok dihukum bunuh itu sendiri adalah fitnah yang diterbitkan untuk merendahkan keIslaman Sultan Iskandar Muda. Mungkin ia sama dengan kisah Abu Syahamah, anak kepada Saidina Umar dihukum sebat hingga mati kerana dikatakan memperkosa seorang wanita dari Bani Najjar hingga mengandung.

Kisah anak Saidina Umar ini carilah sendiri di Internet. Google sahaja perkataan-perkataan ini : "Saidina Umar hukum anak" nescaya anda akan terjumpa. Cuma dalam setahun atau dua tahun lepas saya ada terjumpa tulisan panjang-lebar menganalisa perkara ini lalu ia menyebut ia sebenarnya adalah satu khayalan pihak Yahudi untuk merendahkan martabat Saidina Umar. Ceritanya kelihatan bagus kerana seperti mahu menonjolkan sifat keadilan khalifah kedua umat Islam yang sanggup mengorbankan anak sendiri demi melaksanakan hukum hudud. Tapi pada masa yang sama ia sebenarnya menghina Saidina Umar dan Islam. Dalam sedar tak sedar, minda bawah sedar kita disuapkan dengan kenyataan berikut... nama saja Saidina Umar ni khalifah, pejuang dan pemimpin Islam, tapi anak sendiri pun tak terdidik sehingga sanggup memperkosa wanita hingga mengandung.

Mungkin perkara sama telah berlaku dalam cerita Merah Pupok dan Sultan Iskandar Muda. Mungkin. Tu dia, kalau boleh saya mahu menamatkan artikel terakhir siri "Petualang Al-Rasyid ke Aceh" ini secepat mungkin. Tapi dah keluar ilham bercerita begini panjang, harus juga diluahkan hingga selesai. Apapun, saya telah diberitahu bahawa Merah Pupok tidak mati dihukum rejam sebaliknya dapat berhijrah ke Semenanjung. Lebih kurang sebulan selepas diberitahu tentang ini saya mendapat bayangan Merah Pupok bukan sahaja selamat malah dapat menaiki takhta sebuah kerajaan di Semenanjung. Cuma dalam salasilah rasmi baginda disebut sebagai anak raja dari kerajaan bukan Aceh. Mungkin ini dapat menerangkan kenapa ada kerabat diraja Perak yang sehingga kini tidak berani menjejakkan kaki ke Aceh? Kerana menurut mereka moyang mereka telah bersumpah tidak akan kembali ke Aceh lalu mereka takut muntah darah kalau kembali juga? Sekian, selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri, kalau tak esok lusa. :]


Ahad, September 05, 2010

Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Abdullah Al-Kamil, Salman Al-Farisi dan Muhammad Al-Baghdadi di sebalik sejarah Alam Melayu

Hmm. Mood malas menulis yang entah berkait ke tidak dengan Malam Tujuh Likur ni masih kuat menerkam namun perjuangan mesti diteruskan. Bersambung dari artikel Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Empayar Khalifah Sharif yang sebenar?.



Seminggu selepas kembali ke Muar kami pergi ke Raub.




Bukan apa, sejak bulan Mac gitu kami tidak pernah pergi ke daerah tempat bapa saya membesar ini. Lagipun saya teringin nak makan hidangan ikan keli gulai asam rong yang cuma boleh didapati di sekitar ini.




Walaupun ada saudara-mara di sini kami memilih untuk berehat di masjid jamek lama tengah bandar.


Al-Rasyid bermain-main di dalam masjid.



Lagipun masjid ini terletak berdekatan bazaar Ramadhan. Alhamdulillah dapat juga menikmati hidangan yang dicari.




Lewat malam baru kami pergi ke rumah almarhum Nenek, ibu kepada bapa saya, rumah yang dihuni seorang ibu saudara. Ini adalah gambar keesokan pagi apabila kami bersiap untuk meninggalkan Raub.





Singgah dahulu di makam Nenek, persinggahan yang dibuat setelah mendapat beberapa lagi maklumat baru yang melibatkan salasilah keluarga.






Perjalanan menghala kembali ke Lembah Kelang pun dibuat. Singgah sebentar di Lurah Bilut, kalau tak salah kawasan rancangan Felda yang pertama di Malaysia. Lihat artikel Masjid jamek (Main mosque of) Lurah Bilut, Pahang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).







Kemudian kami singgah di Janda Baik berehat melepaskan penat-lelah di surau tepian sungai yang menjadi tempat kegemaran saya di sini...




Petang sikit kami singgah di rumah lama dari Gunung Semanggol, Perak yang telah dicabut lalu dialih ke Janda Baik, satu lagi tempat persinggahan kegemaran saya.





Sementara anak dan isteri menunggu dalam kereta saya menunaikan solat Tahiyatul Masjid dalam rumah. Sejurus sebelum memulakan solat tergerak untuk mengeluarkan isi beg galas kecil yang dibawa. Selesai solat baru saya tersedar. Barangan yang dikeluarkan ada corak 3-3-3... 3 buah buku, 3 kertas bertulis salasilah dan hal berkaitan, 3 barangan lain termasuk selimpang, kain hitam dan batu telur mar-mar. Corak 3-3-3 ini mengingatkan pada nombor 3:33 yang tertera pada jam kereta sebaik sahaja sampai di Masjid Gombang, Muar seminggu sebelum. Lihat Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Warisan Tuanku Gombang Malim Dewa?. Apakah ada kena-mengena?

Mungkin juga ada yang tertanya apakah kena-mengena pula perjalanan ke Raub dan Janda Baik ini dengan misi menjejak Dinasti Al-Kamil di Muar? OK. Sebenarnya perjalanan itu memang dibuat untuk ke Janda Baik mencari seorang rakan yang boleh mentahkikkan atau menyemak kembali kebenaran mahupun kesalahan mengenai beberapa maklumat baru yang diperolehi hasil misi di Muar. Tetapi saya mendapat tahu kawan ini sudah berapa bulan tidak kembali ke Janda Baik, maklumlah orang yang selalu 'diculik' dibawa ke sana ke mari kerana pengetahuan tentang hal nyata dan ghaib yang beliau miliki. Itu yang menyebabkan saya pergi terus ke Raub tetapi singgah juga di Janda Baik dalam perjalanan kembali.

Dengan takdir Allah, kami dapat juga bertemu. Selepas 2 jam tidur di surau tepian sungai di Janda Baik saya pun mengorak langkah untuk kembali ke Lembah Klang... timbul rasa yang kuat untuk singgah di rumah seorang rakan lain lalu mendapati rakan yang dicari sedang singgah di rumah rakan lain itu untuk mengambil ikan segar dari kolam hadapan rumah. Subhanallah, rakan ini singgah tidak sampai setengah jam pun sebelum harus keluar dari Janda Baik demi memenuhi permintaan orang lain. Namun tanpa dirancang dapat juga kami bertemu lalu dapatlah saya menghilangkan beberapa kemusykilan dan memastikan keadaan.

OK. Dalam artikel Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Empayar Khalifah Sharif yang sebenar? saya ada menyebut begini...

Untuk artikel akan datang Insyaallah akan saya cuba kupas siapakah Khalifah Sharif yang sebenar memerintah empayar Islam besar di Nusantara sambil memecah persoalan bagaimana pihak pro Siam boleh tersasar samada sengaja atau tidak ketika meneliti persoalan ini.

Namun dalam keadaan mood malas menulis masih mencengkam dan lagi memikirkan betapa penat-lelah saya cuma menghuraikan perkara ini terasa kurang dihargai malah cuba disanggah sesetengah pihak berkepentingan saya rasa tak perlulah dihuraikan panjang-lebar pengetahuan baru yang saya dapat. Kalau mahu dihuraikan mungkin lebih baik dalam buku yang akan menyambung penceritaan siri "Berpetualang ke Aceh"... mungkin. Di sini biar disebut petunjuk-petunjuk berikut dan rasanya ia sudah cukup terang untuk mereka yang mahu mencari kefahaman, bukan mencari salah-silap...

1. Empayar Islam Khalifah Syarif yang pernah memerintah seluruh Nusantara malah lebih meluas hingga ke sempadan negara China dan pinggir Lautan Pasifik memang pernah wujud di mana kerajaan-kerajaan besar yang diketahui dalam sejarah seperti Champa, Srivijaya, Majapahit, keSultanan Melaka dan Aceh juga pernah berada di bawahnya.

2. Namun ia bukanlah seperti yang diceritakan oleh golongan pro-Siam yang terlalu memperbesar-besarkan nasab yang berkaitan dengan Cina.

3. Dinasti yang pernah memerintah inilah yang dipanggil Dinasti Al-Kamil.

4. Ia bukan sekadar Dinasti Al-Kamil yang disebut pihak pro-Batak sebagai bermula dari kedatangan seorang Laksamana dari Mesir tahun 1100an Masihi dan bertahan hingga penghujung abad ke 13 malah apa yang disebut mereka itu cuma sebahagian kecil dari dinasti asal yang dimulakan sekitar tahun 750 Masihi.

5. Dinasti ini dimulakan oleh Abdullah Al-Kamil seorang cicit Saidina Hassan yang mengetuai seluruh Ahlul Bait dan keluarga Bani Hashim pada zamannya. Nama penuh baginda adalah Abdullah ibnu Hassan Muthanna bin Saidina Hassan dan Al-Kamil merupakan satu gelaran. Ibu baginda pula adalah seorang puteri kepada Saidina Hussein.

6. Baginda pernah datang ke Aceh berkahwin puteri tempatan lalu memulakan kerajaan Jeumpa di situ yang ada kena-mengena dengan Champa di Indochina namun kembali ke Timur Tengah semasa zaman peralihan keKhalifahan Bani Umaiyah ke Bani Abbasiyah.

7. Pada tahun 770an begitu datang pula seorang anak raja dari Parsi bernama Maharaja Syahriar Salman ke Jeumpa juga berkahwin puteri tempatan lalu diangkat menjadi raja. Seperti disebut dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" (terbit Jun 2006) saya pasti baginda adalah sahabat besar Nabi Muhammad SAW iaitu Saidina Salman Al-Farisi yang diketahui seorang bangsawan Parsi.

8. Cerita pihak pro-Siam tentang Merong Mahawangsa yang dikatakan datang ke Nusantara membawa Islam tahun 770an sebenarnya merujuk kepada Saidina Salman yang turut memiliki darah diraja Cina dari sebelah ibu. Sharifah Mariam Al-Jefri yang disebut pihak pro-Siam sebagai isteri Merong Mahawangsa pula merujuk kepada isteri Salman di Jeumpa yang merupakan samada anak atau cucu Abdullah Al-Kamil yang ditinggalkan di Jeumpa. Maka isteri ini memang seorang Sharifah namun bukanlah dari keluarga Al-Jefri yang belum pun wujud ketika itu. Untuk pengetahuan keluarga Al-Jefri adalah satu dari banyak kabilah yang beranak-pinak di Hadramaut, dari keturunan seorang Ahlul Bait bernama Alawi bin Ubaidullah bin Ahmad Al-Muhajir yang lahir sekitar 950an, hampir 200 tahun selepas Merong Mahawangsa dikatakan datang ke Alam Melayu oleh pihak pro-Siam.

9. Saidina Salman ini memiliki seorang anak yang dikenali sejarah rasmi sebagai Merah Syahir Nuwi, raja kerajaan Perlak di Aceh. Orang Arab memanggil negara Siam sebagai Syahir Nuwi. Anak inilah turut merajai Siam lalu menjadi punca awal dalam salasilah pihak pro-Siam. Lihat artikel Kepala naga Merong Mahawangsa dan legasi Saidina Salman Al-Farisi, satu petanda daripada era lebih 1,200 tahun lalu? yang ditulis setengah tahun lalu.

10. Sirah Rasulullah SAW ada menyebut bahawa Saidina Salman dijadikan Ahlul Bait angkat oleh Rasulullah SAW. Maka Merah Syahir Nuwi boleh juga dikira Ahlul Bait apalagi ibunya memang Ahlul Bait dari darah daging Abdullah Al-Kamil. Namun sepertimana Imam Syafiee yang berdarah Ahlul Bait dari belah ibu (keturunan Saidina Hassan) sanggup mendiamkan diri apabila berada di majlis yang dihadiri mereka yang darah Ahlul Baitnya lebih utama, Merah Syahir Nuwi tetap memberi keutamaan kepada Ahlul Bait dari nasab belah laki-laki. Sebab itu apabila muncul rombongan Nakhoda Khalifah dengan 100 orang pendakwah ke Perlak tahun 804 Masihi, seorang ahli rombongan iaitu Ali bin Muhammad dikahwinkan dengan adinda kepada Merah Syahir Nuwi, kemudian anak hasil perkahwinan ini diangkat merajai Perlak sebagai Sultan Sayyid Maulana Abdul Aziz Shah tahun 840.

Walaupun ada pihak menafsirkan Ahlul Bait sebagai meliputi ahli keluarga Nabi yang lain seperti anak cucu bapa-bapa saudara baginda Abu Talib (selain Ali dan keturunannya) dan Saidina Abbas, tafsiran lebih kuat merujuk kepada mereka yang menjadi asbab turunnya ayat Quran yang dikenali sebagai ayat Kisa, Surah Al-Ahzab ayat 33. Mereka adalah 5 orang iaitu Nabi Muhammad, Saidina Ali, Sayiditina Fatimah, Saidina Hassan dan Saidina Hussein. Mereka bukan sahaja diharamkan menerima zakat (semua ahli keluarga dan anak cucu Bani Hashim sebenarnya haram menerima zakat), dalam peristiwa turunnya ayat Kisa, mereka semua berada di dalam satu selimut lalu Nabi mendoakan agar Ahlul Bait baginda disucikan sesucinya. Dari sini muncul definisi Ahlul Bait seterusnya sebagai anak cucu Saidina Hassan dan Hussein dengan mereka yang dari nasab belah laki-laki sahaja meneruskan keturunan kerana nasab belah perempuan (misalnya anak kepada seorang Sharifah yang berkahwin lelaki bukan Sharif/Sayyid) sudah dikira keturunan kepada bapa yang bukan Ahlul Bait.

11. Dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh" telah disebut keyakinan saya bahawa Nakhoda Khalifah yang mengetuai rombongan 100 orang yang datang ke Perlak adalah Muhammad Nafs Zakiyah atau Muhammad bin Abdullah, anakanda kepada Abdullah Al-Kamil. Baginda pernah dibaiah sebagai khalifah seluruh umat Islam sebaik sahaja pemerintahan Bani Umaiyah berjaya dijatuhkan namun kisah keKhalifahan baginda digelapkan sebaik sahaja Bani Abbasiyah dapat menguasai istana setelah lama menggunakan nama Ahlul Bait terutama Muhammad Nafs Zakiyah untuk meraih sokongan. Sejarah rasmi tidak menyebut ini tetapi ada menambah Ali bin Muhammad adalah cucunda kepada seorang lagi Ahlul Bait iaitu Imam Jaafar As-Sadiq yang berketurunan Saidina Hussein.

Sekarang biar saya sebut kenyataan baru yang mula terbetik di hati ketika pertama kali sampai ke makam Sultan Sayyid Maulana Abdul Aziz Shah Jun 2009, kenyataan yang diperkuatkan apalagi sampai ke situ lagi hari Maulud Nabi tahun ini. Bahawa Ali bin Muhammad sebenarnya adalah anak kepada Muhammad Nafs Zakiyah bin Abdullah Al-Kamil bukan anak Muhammad bin Jaafar As-Sadiq.

12. Pihak pro-Siam ada menyebut tentang satu watak yang dipanggil Saidina Ali ibni Jamalul Alam Badrul Munir yang beraja di Aceh semasa kitab Undang-undang Kedah kononnya ditulis tahun 222 Hijrah bersamaan 800an Masihi (kitab ini sebenar siap ditulis tahun 1800an Masihi). Kata mereka Ali ini adalah cucu Merong Mahawangsa. Keyakinan yang saya dapat baru-baru ini, Saidina Ali ini memang wujud tetapi baginda adalah Ali bin Muhammad yang disebut di atas... lalu Ali ini adalah menantu Merong Mahawangsa @ Saidina Salman Al-Farisi, bukannya cucu.

13. Kewujudan seorang raja bernama Jamalul Alam Badrul Munir di Aceh sekitar 1,200 tahun lalu sebenarnya adalah silap tafsir terhadap isi kitab Undang-undang Kedah. Oleh kerana pada akhir kitab (mukasurat 104 pada transliterasi oleh Maryam Salim) ada disebut ia tamat ditulis 222 Hijrah (walhal isi kitab sendiri menyatakan undang-undang yang dipakai di Kedah pada abad ke 17, 18 dan 19) pada zaman Saidina Ali ibni Sultan Jamalul Alam, maka pihak pro-Siam membuat kesimpulan akan kewujudan Jamalul Alam pada zaman itu. Walhal watak Jamalul Alam yang diketahui wujud dengan pasti dalam sejarah merujuk kepada anak cucu seorang Syarif dari Mekah yang mula merajai Aceh selepas mengahwini dan menurunkan raja perempuan ke empat Sultanah Zinatuddin Kamalat (memerintah 1688-1699).

Memang ada seorang raja dari keturunan ini bergelar Sultan Jamalul Alam Badrul Munir memerintah Aceh 1711-1726. Kemudian ada seorang keturunan baginda memakai nama Jauharul Alam memerintah 1795-1815. Disebabkan pergolakan takhta antara kerabat terdekat mereka juga dengan satu lagi jurai pemerintah Aceh yang disebut sebagai Dinasti Bugis berlakulah beberapa kekeliruan akan siapa yang sebenarnya memerintah dan pada tempoh waktu yang mana. Namun watak ini tetap lebih sesuai dikaitkan dengan raja yang memerintah Aceh semasa Undang-undang Kedah tamat ditulis tahun 1800an, bukan 800an Masihi (mana mungkin buku yang isinya ditulis berdasarkan pemakaian undang-undang tahun 1600an, 1700an dan 1800an siap ditulis 800an?).

14. Apapun menurut apa yang saya dapat watak Sultan Jamalul Alam menurut versi pro-Siam yang kononnya wujud tahun 800an lalu mendirikan istana di Bukit Treh, Muar boleh dikaitkan dengan satu watak lain yang memang pernah wujud zaman itu. Orang inilah yang disebut mereka sebagai raja kedua empayar Siam-Islam namun baginda bukanlah anakanda Merong Mahawangsa @ Saidina Salman.

15. Untuk menerangkan siapa orangnya, biar saya mengaturnya begini. Merong Mahawangsa yang disebut mereka sebagai raja pertama empayar Siam-Islam adalah Saidina Salman Al-Farisi, mengambil-alih pemerintahan empayar Islam yang telah didirikan oleh Abdullah Al-Kamil, ketika itu meliputi bahagian utara Nusantara atau Alam Melayu. Tempat baginda pula digantikan oleh anakanda baginda Merah Syahir Nuwi di mana Syahir Nuwi itu adalah panggilan orang Arab untuk Siam dan ini telah disebut di atas tadi. Namun kedatangan Muhammad Nafs Zakiyah anakanda Abdullah sebagai Nakhoda Khalifah yang memimpin angkatan 100 orang pendakwah telah menyebabkan Merah Syahir Nuwi menyatakan taat setia kepada Muhammad apalagi baginda memang pernah menjadi khalifah seluruh umat Islam. Muhammad inilah yang mengendalikan pemerintahan empayar Islam di Timur lalu dikaitkan oleh puak pro-Siam sebagai Sultan Jamalul Alam.

Empayar Abdullah dan Saidina Salman belum bertaraf keKhalifahan sehinggalah Muhammad Nafs Zakiyah naik membesarkan lagi empayar. Maka memang betul pernah berdiri empayar Khalifah Syarif di bumi Timur ini kerana Muhammad memang seorang Syarif begitu juga keturunan langsung baginda lelaki bawah lelaki. Anak cucu Merong Mahawangsa @ Saidina Salman dan Merah Syahir Nuwi yang menerbitkan raja-raja Siam termasuk dari kerajaan Ayuthia memang pemerintah besar tetapi mereka bukanlah Syarif kerana tidak menepati takrif perkataan atau gelaran Syarif itu sendiri. Mereka sebenarnya berada di bawah Syarif dari keluarga Al-Kamil sebelum berlaku sesuatu yang menyebabkan empayar ini berpecah-belah lalu pihak Siam cuba mengambil-alih mahu menjadi pemimpin tertinggi.

16. Petunjuk seterusnya pula saya pun tak dapat menerangkannya kecuali berpandukan kenyataan bahawa ia tidak mustahil apalagi apabila bercerita tentang watak-watak bertaraf wali yang mampu melangkaui masa berserta kenyataan orang lama bahawa dahulu masa tidak pernah disukat dan diletakkan tarikh seperti hari ini. Cerita Muhammad Nafs Zakiyah tahun 800an tidak diketahui lagi namun sekitar tahun 1200an watak baginda muncul kembali di Perlak yang pusatnya dikenali sebagai Bandar Khalifah dengan memakai nama Sultan Muhammad Al-Kamil.

17. Sultan inilah yang kemudian berhijrah ke Muar membuka kerajaan Kuala Bandar Muar. Sultan inilah yang saya percaya adalah watak bernama Tuanku Gombang Malim Dewa seperti tersebut dalam kitab Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman. Lalu wujudlah istana di Bukit Treh yang turut dikatakan telah berdiri tahun 800an. Mungkin ada berlaku pertindahan ruang yang sama atas dua tempoh waktu yang berbeza, satu konsep yang boleh difahami mereka yang mengaji ilmu fiziks peringkat tinggi, satu konsep yang turut difahami orang-orang tua 'tidak berpelajaran' yang telah dibukakan hijab mereka terhadap realiti alam ini.

18. Atas sebab tertentu baginda kemudian berhijrah ke Terengganu di mana baginda telah menulis Batu Bersurat Terengganu yang dikatakan dibuat tahun 1303 Masihi. Di sana baginda dikenali sebagai Syarif Muhammad Al-Baghdadi.

19. Saya tak boleh sebut lagi dah kerana ini melibatkan peristiwa akhir zaman. Ia turut berkaitan dengan Empayar Chermin yang dikatakan pernah berpusat di Kelantan sehingga Sultan Brunei yang berketurunan seorang Ahlul Bait bernama Sharif Ali pernah mendirikan sebuah masjid cantik di kawasan terpencil sekitar Danau Tok Uban. Kalau dirumus lagi nescaya akan keluar juga bab berkenaan kerajaan Kemabayat Negara dan perkara sewaktu dengannya. Percaya atau tidak tak menjadi masalah pada saya. Kalau tak percaya jangan baca dan jangan pegang. Saya bukan mahu menuntut takhta atau mahu menaikkan puak sendiri sehingga sanggup membuat kenyataan apa yang disebut ini semuanya realiti mutlak, lain daripada itu adalah penipuan para pencacai penjajah yang dibuat di Melaka atau sebagainya. Kalau percaya, fikirkanlah apa kaitan semua ini dan segala macam benda yang pernah saya tulis dalam semua blogspots saya dan buatlah persediaan yang patut. Itu sahaja.

Sekian. Tadi saya tak nak bercerita panjang namun terpaksa melepaskan perkara ini agak panjang-lebar juga. Kalau saya tidak bercerita secara bernombor begini nescaya isi akan jadi lebih panjang lagi. Kalau ikut mood malam ini, mahu sahaja saya sebut "habis cerita" selepas gambar atas tadi. Namun pengetahuan yang ada terus memberontak mahu keluar untuk faedah mereka yang mahu berfikir dan mengambil iktibar. Dengan ini selesailah siri "Menjejak Dinasti Al-Kamil di Muar". Malam ini malam 27 Ramadhan @ Tujuh Likur di mana saya sudah cukup umur 41 tahun menurut kiraan Islam, saksikanlah Ya Allah bahawa hambaMu ini telah menjalankan tugas sebaik dan semampu mungkin. Wassalam.




Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Takdir yang menyebabkan penambahan satu hari...

Assalamualaikum semua! Malam ini, malam 27 Ramadhan atau 7 Likur masuklah umur saya 41 tahun mengikut kiraan kalendar Hijrah Islam. Apakah ini yang menyebabkan saya rasa moody sepanjang hari sehingga malas hendak keluar, berjumpa orang mahupun membuat apa-apa penulisan? Entahlah...

Apapun, siri cerita tentang perjalanan ke Aceh penghujung Januari 2010 harus disiapkan sebelum masuk 1 Syawal. Maka itu walaupun dalam keadaan malas, biar penceritaan diteruskan. Disambung daripada artikel Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Melihat warisan Tun Sri Lanang .

Ahad 31 Januari 2010. Seperti yang telah dijadualkan, kami bersedia untuk meninggalkan Aceh dengan penerbangan tengahari. Maka itu pagi hari digunakan untuk melawat mana-mana tempat berdekatan yang belum disinggahi. Tempat pertama dituju adalah perkarangan Muzium Aceh di mana terdapat makam beberapa orang Sultan Aceh.



Di sini kaki Al-Rasyid yang ketika itu berumur 3 bulan setengah dijejakkan lagi ke tanah, setelah pertama kali ia berlaku di makam Sultan Malikus Salih 2 hari sebelumnya.



Ia dibuat dimakam Sultan Ahmad Shah Johan Berdaulat yang memerintah Aceh 1727-1735 Masihi. Ini kerana menurut cerita dari pihak tertentu inilah Sultan Aceh yang paling dekat dengan keluarga saya. Atas sebab tertentu seorang anakanda baginda membawa diri ke Patani. Kemudian anakanda kepada anakanda ini masuk ke Perak menjadi ahli keluarga bangsawan Perak yang dikenali sebagai Laksamana Raja Mahkota.


Seterusnya kami ke Kompleks Makam Sultan Iskandar Muda yang terletak bersebelahan kawasan Muzium Aceh. Oleh kerana masa semakin suntuk isteri menunggu sahaja dalam kereta bersama anak sementara saya dan teman pergi menziarahi makam. Kembali ke kereta isteri menegur. Dia terlihat satu kawasan pemakaman yang belum pernah kami ziarahi sebelum ini, letaknya di satu sudut dalam kawasan kompleks...

Rupa-rupanya ada makam beberapa orang lagi Sultan Aceh dan keluarga. Kami semua pun pergi lebih dekat. Lihat artikel Makam keluarga kerajaan (Tombs of the ruling families) yang telah disediakan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) 5 bulan lalu.



Kemudian kami ke Masjid Baiturrahman untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Aceh.








Kami juga mengambil peluang untuk menjejakkan kaki Al-Rasyid di perkarangan masjid. Kiranya ini kali terakhir dia menjejak tanah sebelum meninggalkan Aceh...



Peliknya hampir jam 5 petang kami ke tempat lain pula walhal kami sepatutnya menaiki penerbangan sebelum 1 tengahari.





Tempat yang dimaksudkan adalah makam Laksamana Kemalahayati, makam yang kami telah sampai hari sebelumnya tapi pada waktu Mahgrib. Apa yang berlaku adalah sehari dua sebelum itu kami ada mendapat SMS dari pihak Air Asia menyatakan penerbangan kembali ke Kuala Lumpur hari Ahad bakal ditunda selama sejam kerana ada masalah teknikal.






Makam Kemalahayati dilihat dari satu lereng bukit berdekatan yang ada makna tersendiri buat saya. Disebabkan SMS tersebut kami pun tidak lagi tergesa-gesa untuk mendaftar masuk di lapangan terbang. Logiknya kami boleh masuk sejam lewat kerana penerbangan ditunda sejam bukan?


Namun apabila sampai ke lapangan terbang, tempat mendaftar ataupun check-in telah ditutup Apa yang berlaku adalah mereka tidak jadi menunda penerbangan lalu kembali ke jadual asal sedangkan kami pula sampai sekitar 10 minit sebelum pesawat berlepas. Apapun kalau ikutkan pesawat masih lagi boleh menunggu dan membenarkan kami masuk dan itulah yang berlaku kepada 8 orang penumpang lain yang turut mendapat SMS menyatakan penerbangan ditunda lalu mereka turut sampai lewat. Rupa-rupanya semua penumpang mendapat SMS tentang penundaan penerbangan tetapi sejumlah termasuk kami tidak mendapat SMS baru yang menyatakan penundaan dibatalkan.

Buat seketika timbul kekecohan apabila kami semua bertekak meminta agar dibenarkan menaiki pesawat. Apabila dimaklumkan kapten kapalterbang berkeras tidak mahu menerima penumpang baru naik, saya isteri dan teman pun menerima saranan seorang pegawai agar menunggu di kaunter luar untuk tindakan lanjut. Ketika menunggu itulah kami akhirnya mendapat tahu 8 orang penumpang lain yang turut sampai lewat telah berjaya menaiki pesawat lalu berlepas. Tinggallah kami bertiga dan anak menunggu...

Sebenarnya saya tidak terperanjat kerana merasakan ada kehadiran satu kuasa yang tidak kelihatan sedang mengatur suatu keadaan. Nasib baik pihak penerbangan sudi menggantikan tiket baru untuk penerbangan esok hari tanpa apa-apa bayaran. Peliknya sebaik sahaja mendapat tiket gantian bulu roma kami semua terus meremang.

Teman kami yang sebenarnya memang menyimpan niat mahu berada di Aceh lagi satu malam lantaran tidak puas menziarahi makam Laksamana Kemalahayati (maklumlah hari sebelumnya sampai pun waktu Maghrib, tidak dapat melihat keadaan siang sepenuhnya) sudi menaja penginapan hotel kami untuk malam itu. Dari lapangan kapal terbang kami pun berlepas ke makam, dapatlah Al-Rasyid menjejakkan kaki di satu lagi tempat iaitu di lereng bukit berdekatan makam.



Kami juga mengambil peluang untuk melihat benteng Kemalahayati. Kalau tidak disebabkan masalah SMS tentang penundaan jadual penerbangan, tentu kami tidak sempat sampai ke sini.





Cuma satu sahaja hajat tambahan kami tidak kesampaian iaitu mahu melihat matahari terbenam di pantai Lampuuk, pantai terdekat dari Banda Aceh yang menghadap Lautan Hindi, kira-kira 10-15 km ke barat bandaraya itu. Ini disebabkan kami sampai di pinggir timur Banda Aceh pun dah waktu senja. Cukuplah cerita bahagian ini. Dalam rasa malas-malas yang tak tahu sebab apa ia berlaku ni pun dapat juga menyelesaikan cerita untuk Ahad 31 Januari, Alhamdulillah! Cukuplah... :]