Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, April 07, 2022

Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - Antara Best Out dengan pelita tembaga warisan

Salam petang Khamis 5 Ramadhan 1443 Hijriah. Sampai masanya untuk menutup cerita perjalanan ke Teluk Intan hampir penghujung minggu lalu. Bersambung daripada artikel Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - 1 April 2022. Jumaat yang sejahtera walau rasa dikhianati.


Awal pagi Sabtu 2 April 2022. Saya pergi lagi ke jeti tepi Sungai Perak berdekatan rumah ibu saudara di Batak Rabit. Sepatutnya saya telah meninggalkan rumah tersebut dan persekitaran Teluk Intan petang Jumaat. Tetapi disebabkan bersama dengan saudara mara sehingga hampir senja lebih baik menginap lagi satu malam di rumah ibu saudara. Lihat artikel Early morning views from a jetty a Batak Rabit di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Sekembali sahaja ke rumah bapa saudara mengajak bersarapan di kedai mamak. Ketika bergerak keluar ternampak kawasan belukar seberang jalan yang pernah menempatkan rumah besar keluarga lalu teringat mahu meneroka ke dalam. Sekembali dari sarapan saya pun pergi ke belukar. Cerita berkenaan telah dipersembahkan pada penghujung artikel Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - 1 April 2022. Jumaat yang sejahtera walau rasa dikhianati.


Alhamdulillah, tidak seperti pada petang Jumaat yang mana air pasang besar menyebabkan kawasan rata-rata tenggelam kali ini saya tidak masalah untuk masuk meneroka ke dalam. Cuma memang sangat bersemak, belukarnya tebalnya. Namun tetap dihabiskan masa untuk mendapat rasa selain bertafakur mengenangkan perjalanan hidup nenek moyang. Lihat Exploring the grounds that used to have the big house of Batak Rabit.



Puas meneroka saya bergerak menghala kembali ke rumah ibu saudara. Sampai ke jambatan kecil di hadapan, jambatan yang menyeberang Sungai Batak Rabit, sungai yang pada zaman dahulu boleh dimudiki sampan dan kapal kecil sehingga ke kota lama yang pernah meliputi rumah besar keluarga terlihat sesuatu yang menarik perhatian.




Nampak seperti biawak besar sama yang dilihat dalam belukar tadi. Terasa seperti ada perkara tersirat hendak diberitahu tentang ini.



Gambar ini menunjukkan Sekolah Kebangsaan Dato' Laksamana Raja Mahkota. Ia diambil pada jam 9.11 pagi, tidak lama selepas meninggalkan rumah ibu saudara untuk mengorak langkah kembali ke negeri Selangor.  Ada pun sebelum meninggalkan rumah saya ada memberitahu bapa dan ibu saudara hendak ke Gunung Besout lagi. Tetapi ke bahagian lain berdekatan gunung, bukan kawasan yang dimasuki ketika menuju ke Teluk Intan petang Khamis. Rujuk kembali artikel . Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - Antara Gunung Besout dan Teluk Intan. Bapa saudara berseloroh lalu menyebutnya sebagai : "Best out".  Kata beliau orang sana sering menyebutnya begitu.




Ketika bergerak meninggalkan rumah itu terbetik dalam fikiran. Kenapa ya asyik teringatkan Gunung Besout? Bapa saudara pula menyebut "Best out". Agaknya betul le orang best atau terbaik kena out atau dikeluarkan? Ah. Mungkin ini merujuk pada gelaran Tok Muda Laksamana yang baru secara rasminya diisi Jumaat itu. Rujuk hal berkenaan dalam Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - 1 April 2022. Jumaat yang sejahtera walau rasa dikhianati.

Ah. Mungkin saya sahaja yang perasan diri sebagai calon terbaik untuk menjadi Toh Muda kalau tidak pun Laksamana. Orang lain nampak lain, kita nampak lain. Tapi saya tetap yakin begitulah keadaannya. Ini kerana tahu kekuatan diri, pengalaman dan latar belakang berbanding calon-calon lain bagi gelaran tersebut selain nasab keturunan yang sangat kanan dalam susur galur Laksamana. Namun sejak sekian lama saya juga sedar akan sifat diri yang ada "kepala sendiri", tidak senang-senang angguk-angguk ikut cakap orang lalu boleh menyebabkan saya tidak dikehendaki. 

Ya. Aku tahu itu. Aku tahu susur galur keturunan dan kekuatan diri yang boleh menyebabkan pihak-pihak berkepentingan takut kalau aku dapat naik lalu mempengaruhi istana. Aku tahu dan yakin. Aku bukan perasan. Aku tahu sudah berlaku politik lobi melobi di balik tabir yang menyebabkan aku tersisih. Aku juga yakin ada pihak telah memburuk-burukkan aku. 

Selain suka berambut panjang dan berbusana penuh tradisional Melayu berkeris bertanjak bagai malah ada kalanya berpedang sekali aku jelas tanpa bersorok suka melibatkan diri dengan majlis-majlis Maulud yang mana aku tidak pernah merasa segan silu menggerakkan seluruh tubuh badan seperti halnya ahli tariqat yang tenggelam dalam kerinduan dan kecintaan terhadap baginda Rasulullah SAW. Aku punya sejarah latar belakang yang kontroversi namun aku juga jujur hendak memperjuangkan Melayu dan Islam, tidak bermuka-muka. Namun hal-hal sebeginilah yang boleh dijadikan modal bagi menyisihkan aku, bukan hendak diambil tahu sangat kekuatan dan kelebihan diri.

Oh. Gambar atas menunjukkan satu barangan tembaga yang dihadiahkan oleh ibu saudara sebelum keluar meninggalkannya. Kata beliau ia adalah barangan nenek moyang yang dihadiahkan oleh... hmm... lupa pula, seorang datuk atau nenek saudara saya kepada beliau. Saya tak minta, tiba-tiba beliau tanya jika sukakan barangan tembaga. Ini berlaku selepas memberitahu bahawa ketika dalam belukar saya cuba untuk mencari jika ada kepingan-kepingan kayu daripada rumah lama boleh diambil untuk dibawa balik. Saya pernah melibat gambar-gambar menunjukkan ada saudara mara mengambil kayu-kayu berukir cantik daripada tinggalan rumah. Saya memang minat ukiran-ukiran begitu.

Tanpa dipinta, ibu saudara mengeluarkan barangan tembaga itu daripada almari hiasannya. Katanya ia sebuah pelita lama. Terasa seperti kiasan pula. Pelita sebagai penunjuk arah, warisan daripada nenek moyang. Mungkin daripada rumah lama besar yang pernah wujud dalam belukar tadi, rumah yang mungkin pernah menjadi istana bagi Sultan ke-26, Sultan Abdullah ketika bersemayam di Batak Rabit tahun 1874-1877. Rumah yang kayu kayannya dicabut, dipotong dan sebagainya lalu diagih-agihkan untuk kegunaan saudara mara mendirikan rumah-rumah mereka pula.




Perjalanan diteruskan menuju ke Gunung Besout.




Sampai ke satu simpang baru teringat saya dan isteri pernah lalu kerana mengikut orang untuk ditunjukkan beberapa perkara.






Dekat-dekat sini dikatakan pernah wujud sebuah tasik besar yang kelihatan seperti laut kira-kira seabad lalu. Pernah berlaku beberapa peristiwa yang nampaknya melibatkan saudara mara saya daripada cabang lain keluarga besar Laksamana juga kemunculan seekor naga. Lihat artikel Menyelesaikan bab Perak : Cerita sebenar Puteri Buih dan Tiang Bertarah di Sungkai berserta Kota Laksamana yang ditulis hampir 12 tahun lalu. Apabila melihat kembali artikel tersebut serta tempat di mana naga tersebut dikatakan muncul terasa memang ada kena mengena dengan Gunung Besout.




Jam 10.37 sampailah ke Felda Gunung Besout.




Di situ saya mengambil satu jalan berbatu menuju ke kawasan bukit bukau dan gunung untuk ke satu air terjun kecil. Menariknya didapati batu-batu di sekitar air terjun tersebut rata-rata adalah daripada jenis batu pasir yang digunakan untuk membuat batu nesan Aceh. Lihat To the small waterfall of Gunung Besout.



Seterusnya singgah di satu bahagian yang memberikan pemandangan cantik ke sekeliling...




Dari situ dapat dilihat puncak tertinggi Gunung Besout seperti memanggil-manggil. Lihat The vantage viewing point at Gunung Besout.




Perjalanan diteruskan dengan menuju ke Felda Suharto. Sempat melihat aliran Sungai Bernam yang merupakan sempadan semulajadi antara negeri Perak dengan Selangor dari atas dua buah jambatan yang belum pernah dilalui sebelum ini. Lihat artikel The bridge near Kuala Slim diikuti The bridge at Seri Keladang.




Dipendekkan cerita sampai kembali ke rumah sekitar jam 3.30. Didapati secara keseluruhan perjalanan telah memakan jarak 337 km.


Isnin, April 04, 2022

Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - 1 April 2022. Jumaat yang sejahtera walau rasa dikhianati

Salam hari Isnin malam Selasa 3 Ramadhan 1443 Hijriah. Gerak hati ini membawa untuk berkongsikan cerita hari ke-2 pengembaraan baru ini. Kali ini ada hal penting mahu dinyatakan berkenaan perjalanan hidup dan peranan diri. Bersambung daripada artikel Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - Antara Gunung Besout dan Teluk Intan.


Pagi Jumaat 1 April 2022. Sebaik sahaja matahari naik saya bergerak ke jeti berdekatan rumah ibu saudara di Batak Rabit. Sebelum itu saya telah membaca separuh Surah Al-Kahfi di rumah. Di jeti saya menyelesaikan lagi separuh bacaan surah. Gambar ini diambil melunjur kaki bagi menunjukkan di manakah saya telah duduk bersila menghadap Sungai Perak sepanjang membuat bacaan itu. Kalau diambil gambar ketika duduk bersila memang tak boleh nampak kaki bersama sungai...

Sejak masuk tahun baru Islam 1443 Hijriah iaitu pada 8 bulan lalu saya membiasakan diri agar membaca 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir Surah Al Kahfi pada pagi setiap hari. Setiap pagi Jumaat pula saya akan berusaha untuk menghabiskan bacaan keseluruhan surah. Ini adalah tambahan bagi sejumlah amalan lain termasuk mengkhatamkan bacaan Al-Quran setiap bulan Hijriah yang dimulakan 3-4 tahun lalu. Selepas menyelesaikan Surah Al-Kahfi saya menyambung usaha pengkhataman dengan memulakan bacaan Juzuk ke-30 Al-Quran. Tiba-tiba mendapat panggilan telefon daripada seorang saudara. Selain mahu memastikan saya sudah berada di Teluk Intan untuk dua sesi mesyuarat pada pagi dan petang Jumaat beliau mahu memberitahu satu berita yang mengejutkan.




Ini adalah rumah ibu saudara, adik kepada bapa. Rumah itu dan dua pintu rumah kedai lama kayu yang bersambung dengannya terletak di atas tanah yang dihadiahkan kepadanya oleh nenek iaitu ibu kepada bapa saya. Antara 9 orang adik beradik bapa, ibu saudara ini sahaja yang terus menetap sepanjang hidup di Teluk Intan. Ini kerana dijadikan anak angkat sejak bayi oleh seorang bapa saudaranya di situ. 

Bapa yang merupakan anak sulung berserta beberapa orang adik ikut atuk dan nenek berpindah ke Raub sekitar tahun 1960 kalau tak salah. Saya pula lahir tahun 1970 di kampung ibu di Muar kemudian membesar di sana sebelum melanjutkan pelajaran ke London tahun 1991-1995, selepas itu bekerja di Kuala Lumpur lalu menetap di sekitar Lembah Klang sehingga kini. Setelah berumur lebih 30 tahun baru hendak berjinak dengan keluarga belah bapa di Teluk Intan. Ini adalah setelah mendapat mimpi melibatkan nasab keturunan keluarga yang nenek moyangnya berasal dari Aceh, pada penghujung tahun 2001. Di rumah inilah saya mula menyambung pertalian lama, dengan ibu saudara tersebut sebagai penyampai cerita setelah mendapat pengenalan daripada almarhum nenek di Raub.




Tentang apa yang berlaku sudah diluahkan panjang lebar dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" yang terbit Jun 2006 hingga November 2007. Sedikit cerita boleh diikuti melalui artikel-artikel berikut :-



Sekitar jam 9.40 pagi saya bertolak meninggalkan rumah ibu saudara. Mesyuarat waktu pagi di bandar Teluk Intan dijadualkan bermula jam 10.30. Masuk dahulu berjalan-jalan di pusat bandar...




Menara condong yang kelihatan boleh dikatakan pengenalan jelas bahawa suatu gambar itu diambil di Teluk Intan. Ini menjadi bukti sudah sampai ke sana...




Pergi ke Masjid Melayu di pinggir timur bandar. Saya sebenarnya keluar dalam keadaan belum mandi dan bertukar pakaian. Di masjid baru dilakukan...




Gambar ini pula menunjukkan tempat mahu mengadakan mesyuarat iaitu di pejabat Orang Besar Jajahan (OBJ) Hilir Perak. Saya dan keluarga, atau lebih tepat saudara mara berupa tiga orang sepupu bapa, seorang saudara dua pupu saya dan seorang anak saudara telah pergi ke restoran berdekatan. Sepatutnya kami bermesyuarat dengan OBJ yang juga merupakan pemegang jawatan Laksamana Raja Mahkota Perak. Tengok-tengok beliau berada di Manjung untuk beberapa urusan. Nampaknya terlupa tentang mesyuarat bersama kami jam 10.30 

Namun sebagai gantinya beliau berjanji akan bertemu di pejabat pada jam 3 petang. Sekadar memberitahu saya dan isteri pernah berjumpa dengan beliau di situ pada 23 Februari lalu. Ketika itu beliau yang asalnya adalah pemegang jawatan Toh Muda Laksamana iaitu bakal Laksamana baru sekitar 3 minggu diangkat menjadi Laksamana. Ini berlaku setelah hampir setahun kedudukan dibiarkan kosong iaitu setelah pemegang terdahulu meninggal dunia pada 25 Februari kalau tak salah ingatan. Lihat artikel Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Menjiwai perjuangan orang Melayu menentang kesan buruk penjajahan.




Merujuk pada berita memeranjatkan yang diterima selepas selesai membaca Al-Quran di jeti tepian Sungai Perak di Batak Rabit. Kami semua baru sahaja diberitahu bahawa jawatan Toh Muda Laksamana telah diisi dan ini berkuatkuasa pada hari Jumaat itu 1 April. Saya sebagai orang yang berharap dapat mengambil kedudukan tersebut setelah gelaran Laksamana diisi 2 bulan sebelum itu tentu merasa terperanjat dan kecewa. Walaupun sudah bersedia dengan kemungkinan tersebut kerana tahu ada pihak berkuasa tidak suka orang seperti saya naik kerana "ada kepala sendiri" saya menyangkakan gelaran Toh Muda cuma akan disi selepas Hari Raya Syawal nanti.

Ketika pergi ke pejabat OBJ saya sudah berjaya mengenepikan perasaan kecewa. Tengok-tengok saudara mara lebih dukacita dan hampa malah merasa dikhianati. Ini kerana mereka mengharapkan saya dapat mengisi sebagai satu-satunya wakil keturunan Laksamana daripada cabang Muhammad Wahi bin Orang Kaya Muhammad Arshad bin Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin (yang dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan Abdullah, Sultan ke-26 Perak pada tahun 1877). Lebih kurang seabad lalu Muhammad Wahi pernah menolak gelaran lalu adiknya Muhammad Ali Wasi pun menjadi Laksamana. 

Selepas beberapa lama naik anak kepada Muhammad Ali Wasi iaitu Muhammad Razali menjadi Laksamana. Beliau adalah sepupu kepada datuk saya. Kemudian naik anak Razali iaitu Hamidi sebagai Laksamana. Beliau adalah dua pupu kepada bapa saya. Selepas itu baru naik Laksamana Muhammad Amin Shukeri yang merupakan cucu kepada Laksamana Muhammad Amin daripada isteri ke-5 kalau tak salah, anak kepada Laksamana Ali Akbar yang umurnya sekitar 40 tahun lebih muda daripada abangnya Muhammad Arshad yang berlainan ibu iaitu belah saya. Amin Shukeri inilah yang meninggal dunia Februari tahun lalu. Inilah yang digantikan dengan Laksamana yang ada kini iaitu Dato' Meor Redwan.




Selepas moyang saya Muhammad Wahi menolak belum ada lagi keturunannya memegang apa-apa gelaran atau jawatan istana. Semasa Hamidi iaitu dua pupu bapa menjadi Laksamana bapa saya pernah diminta masuk memohon untuk menjadi Toh Muda. Kerana selain merupakan seorang cucu lelaki sulung kepada Muhammad Wahi, beliau yang lahir tahun 1942 memiliki taraf pelajaran paling tinggi dalam kalangan saudara mara. Tetapi bapa menolak atas sebab tertentu. 

Kini saya pula berhajat setelah diminta saudara mara kemudian meminta pandangan kawan-kawan aktivis dalam dunia persilatan dan kedaulatan orang Melayu. Hal ini ada dinyatakan panjang lebar dalam artikel Laksamana pulang ke Perak? Membuka langkah diiringi doa orang ramai. Lihat juga artikel yang menyusul selepas itu iatu Laksamana pulang ke Perak? Temu bual yang dipermudahkan.

Saudara mara daripada cabang Muhammad Wahi mengharapkan saya naik supaya dapat membela nasib keluarga. Ada cerita di sebalik itu melibatkan pengkhianatan dan pecah amanah terhadap kami oleh saudara mara daripada cabang lain. Saya diharapkan kerana dilihat sebagai memiliki kelulusan, pengetahuan dan pengalaman hidup terbaik juga keberanian dan keyakinan tinggi untuk menjadi Toh Muda seterusnya Laksamana. Alangkah hampanya mereka apabila mendapat tahu pagi itu yang naik adalah orang lain yang bukan sahaja jauh lebih muda dan dilihat tidak berpengalaman seperti saya. Malah, setahu kami, dia sebenarnya adalah keturunan Laksamana Muhammad Amin daripada sebelah ibu, bukan daripada nasab lelaki bin lelaki bin lelaki seorang Laksamana seperti seharusnya seorang bakal Laksamana.

Tentang apa yang berlaku (atau mungkin telah berlaku di sebalik tabir) biar disimpan ceritanya untuk kesempatan lain. Dipercayai pengesahan untuk jawatan Toh Muda itu telah dibuat 2 minggu lalu. Saya pun merenung kembali apa yang telah berlaku pada diri sendiri sekitar waktu itu. Tengok-tengok baru sahaja berjaya menyelesaikan satu keperluan rasmi penting untuk penulisan tesis di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Lihat Berjaya mempertahankan cadangan tesis di ISTAC.

Maka fahamlah saya Allah SWT mahukan agar diberikan tumpuan penuh bagi menyelesaikan tesis. Saya pun pergi ke masjid warisan keluarga di Batak Rabit tengah hari itu dengan perasaan akur. Di situ berjaya menamatkan bacaan Juzuk ke-30 lalu dapat mengkhatamkan Al-Quran bagi bulan Sya'aban.




Keadaan dalam masjid selepas masuk waktu Zohor. Untuk pengetahuan pada hari itu 1 April umat Islam seluruh Malaysia buat pertama kali dibenarkan untuk merapatkan saf setelah lebih 2 tahun dipaksa solat berjarak akibat wabak virus Covid-19. Saya merasa amat bersyukur kerana dapat merasakan ini di masjid keluarga. Sesungguhnya bangunan ini sangat bermakna buat diri. Saya sudah beberapa kali bermalam berseorangan juga bersama keluarga.




Keadaan sejurus sebelum solat Jumaat bermula. Gambar diambil dari satu sudut kegemaran di masjid iaitu dengan berbelakangkan satu tiang seri utama. Untuk pengetahuan masjid ini harus sudah berumur lebih 150 tahun. Berdasarkan fakta bahawa Sultan Abdullah bersemayam di Batak Rabit sepanjang memerintah Perak dari tahun 1874 hingga 1877 ia adalah masjid utama negeri pada waktu itu.




Sebelum itu pernah wujud masjid kayu lebih tua di tapak yang kelihatan iaitu di halaman utara masjid. Ini adalah dalam kawasan pemakaman khas bagi keluarga Laksamana daripada cabang kami iaitu anak cucu Muhammad Arshad.




Petang itu jam 3 bermesyuaratlah kami dengan OBJ iaitu Laksamana Raja Mahkota Dato' Meor Redwan. Alhamdulillah, kali ini beliau dapat muncul tepat pada waktunya lalu meminta maaf atas apa yang berlaku pada pagi hari. Dinyatakanlah harapan kami kepada beliau sebagai pemegang baru jawatan Laksamana. Ini termasuk memastikan kesejahteraan masjid di Batak Rabit walau beliau bukan daripada cabang keluarga belah situ. 

Antara perkara paling pokok mesti dilakukan adalah seperti yang telah saya cadangkan kepada Laksamana lebih sebulan sebelum itu. Ini adalah agar nama masjid ditukar menjadi Masjid Laksamana Raja Mahkota. Turut mahu dipastikan jadi adalah galeri bagi memaparkan sejarah berkenaan keluarga besar Laksamana dan Batak Rabit juga negeri Perak. Rujuk kembali cerita berkenaan dalam artikel Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Menjiwai perjuangan orang Melayu menentang kesan buruk penjajahan.




Jam 4.30 saya dan saudara mara bertolak ke masjid keluarga. Selepas solat Asar diadakan pula mesyuarat bersama ahli jawatan kuasa masjid. Ada beberapa perkara dibincangkan termasuk hasil pendapatan daripada beberapa keping tanah kelapa sawit yang diwakafkan oleh keluarga termasuk tanah datuk saya. Selepas itu kami singgah ke rumah bekas pengerusi masjid bagi mendapatkan versi beliau tentang tanah-tanah wakaf tersebut.




Ini pula dekat tepi Sungai Batak Rabit yang mengalir masuk ke Sungai Perak. Saya telah meminta seorang bapa saudara agar menunjukkan di manakah kedudukan rumah besar keluarga yang sudah lama roboh, kedudukan yang beliau masih ingat kerana dibesarkan dalam rumah di sebelah rumah besar tersebut. Rupa-rupanya letaknya cuma di seberang jalan dari rumah ibu saudara... 




Ditunjukkanlah satu kawasan yang telah diliputi hutan belukar tebal.  Ia diapit oleh dua keping tanah peninggalan yang ada rumah. Satu masih diduduki waris, satu lagi katanya mahu dijadikan inap desa ataupun homestay. Kata bapa saudara dalam kawasan belukar itu pernah terletak istana yang didiami oleh Sultan Abdullah juga rumah besar keluarga. Tetapi seingat beliau cuma ada satu sahaja rumah besar yang mana bapa saya pernah memberitahu pernah melihat singgahsana raja di dalamnya. Ini berlaku ketika bapa masih kecil tahun 1940an dahulu. 




Apabila ditanya tentang ini bapa saudara yang 7 tahun lebih muda daripada bapa pun memberitahu mungkin rumah besar dan istana merujuk pada bangunan yang sama. Selepas beberapa lama rumah besar ditinggalkan tidak berpenghuni, kayu kayannya pun diambil oleh saudara mara untuk didirikan rumah masing-masing pula. Bapa pernah memberitahu tiang-tiang serinya begitu besar sehingga setiap satu boleh dibelah untuk menjadi beberapa tiang seri bagi mendirikan rumah baru.




Menurut cerita keluarga, moyang yang memiliki rumah besar dikenali sebagai Haji Musa. Anaknya Hajah Halijah dikenali sebagai seorang wanita yang sangat cantik sehingga dikatakan anak-anak raja sanggup berperang untuk mendapatkannya. Akhirnya beliau berkahwin dengan datuk kepada datuk saya, Orang Kaya Muhammad Arshad bin Laksamana Muhammad Amin. Daripada perkahwinan ini terbitlah moyang saya Muhammad Wahi yang pernah menolak gelaran Laksamana lalu sampai sekarang belum ada keturunannya menjadi orang istana.



Oh. Ketika itu air sedang pasang tinggi lalu saya tidak dapat masuk ke kawasan belukar yang pernah menempatkan rumah besar keluarga. Dikatakan Haji Musa ini sangat kaya dan memiliki tanah seluas mata memandang serta ramai pekerja. Diceritakan, beliau selalu memerhatikan orang bekerja menggunakan teropong. Anaknya Hajah Halijah yang merupakan ibu kepada moyang saya dikatakan memiliki dayang-dayang dan barangan istana. Siapakah mereka sebenarnya ya sehingga Sultan Abdullah pun bersemayam dalam kota yang sama, kalau tidak pun dalam rumah yang sama?

Sesungguhnya boleh dikatakan seluruh tanah-tanah yang ada di Batak Rabit ini asalnya milik keluarga. Selepas berlaku perubahan zaman sehingga banyak tanah dijual atau terlepas tangan baru muncul para pemilik juga penduduk dari luar. Kalau tidak, yang ada selain daripada keluarga adalah para pengikut juga pekerja mereka sahaja. Cukup.


Nota tambahan (dibuat pada jam 12.44 pagi Selasa 5 April 2022) : Adapun selepas artikel ini disiapkan saya pun berkongsikan ia di Facebook. Sedikit kata-kata harus dikongsikan sebagai pengenalan. Elok ia diabadikan dalam artikel ini :-


PENGUMUMAN - LAKSAMANA TIDAK TOH MUDA PUN TIDAK

Salam malam 3 Ramadhan. Malam ini timbul rasa untuk mengumumkan bahawa saya bukan sahaja tidak dapat memegang gelaran Laksamana Raja Mahkota bagi negeri Perak. Gelaran Toh Muda iaitu bakal Laksamana pun tak dapat. Saya isytiharkan ini supaya tidak timbul cerita pada kemudian hari bahawa saya ada menyamar sebagai Laksamana mahupun Toh Muda untuk kepentingan diri atau mengabui mata orang ramai. Yang sebenarnya adalah saya memang ada malah sering mengaku diri sebagai keturunan Laksamana, pernah dipanggil untuk temu duga bagi jawatan tersebut oleh istana dan ramai ahli keluarga juga orang lain yang mengenali percaya saya memang layak menjadi Laksamana. Dan iya, saya memang pernah memberitahu beberapa orang berkedudukan tinggi termasuk mantan Ketua Polis Negara iaitu Tun Hanif Omar bahawa jika tiada aral melintang insyaallah saya akan menjadi Laksamana negeri Perak yang baru.

Tidak. Ini bukanlah cakap besar tetapi menyatakan harapan demi perjuangan Melayu. Kawan2 aktivis dalam dunia persilatan dan kedaulatan Melayu dan Islam pula ramai mengharapkan agar saya dapat naik menjadi Toh Muda kalau tidak pun Laksamana... supaya dapat memperjuangkan agenda2 Melayu ke peringkat yang lebih tinggi. Tapi apakan daya? Selain ada yang dengki memang ada yang tak mahu saya naik kerana risau ada "kepala sendiri".

Saya bukan jenis angguk2 senang ikut cakap demi menjaga status quo, mahu hidup mewah sehingga sanggup menggadaikan tanah orang Melayu kepada towkay2 Cina dan sebagainya. Saya sudah beberapa kali memberitahu kepada umum bahawa tidak sukakan orang politik juga sistem demokrasi yang pada saya membenarkan orang2 jahat lagi korup menjadi pemimpin Melayu. Antara agenda utama saya kalau menjadi pembesar istana adalah mengurangkan pengaruh orang politik dalam pentadbiran negara. Saya jelas dan tidak berselindung dengan kepercayaan bahawa sistem pembesar tradisional dan istana boleh diperbaiki sehingga dapat menjadi rantaian bagi berdirinya sistem kekhalifahan Islam yang sejati pada akhir zaman di bawah kepimpinan Imam Al Mahdi.


Ahad, April 03, 2022

Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - Antara Gunung Besout dan Teluk Intan

Salam 1 Ramadhan 1443 Hijriah. Selamat berpuasa semua. Merujuk pada artikel Perjalanan 'keemasan' di Negeri Sembilan - Menyahut dahulu panggilan 'keLinggian' dan Perjalanan 'keemasan' di Negeri Sembilan - Melengkapkan panggilan Ulu Muar dengan Az-Zukhruf. Adapun selepas membuat pengembaraan berkenaan pada hujung minggu lalu 26-27 Mac saya fikir tidak mahu lagi membuat apa-apa lagi perjalanan lebih 40 km dari kawasan rumah sehingga paling awal penghujung bulan April. Tengok-tengok muncul satu hal menyebabkan saya harus bergegas ke Teluk Intan sekitar 130 km ke utara. Petang semalam baru sampai kembali ke rumah. Sekarang biar dikongsikan cerita...



Lewat petang Rabu 30 Mac 2022 saya mendapat panggilan telefon daripada seorang saudara meminta agar dapat hadir untuk dua sesi mesyuarat di Teluk Intan pada hari Jumaat 1 April. Oleh kerana ia melibatkan hal warisan keluarga saya rasa harus bersama walaupun kepenatan. Selain penat asyik berjalan jauh boleh kata hampir setiap hujung minggu sejak dua tiga bulan kebelakangan saya juga sibuk dengan kerja-kerja bagi menyiapkan penulisan tesis bersama ISTAC (Institut Antarabanga Tamadun dan Pemikiran Islam).

Nasib baik isteri memberikan semangat. Beliau menyarankan agar saya keluar bermalam lalu bersedia untuk mengambil alih urusan persekolahan anak yang biasa saya buat. Petang Khamis 31 Mac selepas Zohor saya pun mengorak langkah ke Teluk Intan. 




Terus mengambil Lebuh Raya PLUS supaya cepat sampai...











Sebetulnya yang nak cepat sampai tu bukan Teluk Intan sangat. Saya tidak perlu cepat sampai pun pada hari Khamis sebenarnya. Tetapi ada tempat yang hendak disinggahi dalam perjalanan. Saya teringin sangat hendak memanjat gunung kecil yang kelihatan.




Namanya Gunung Besout, dekat-dekat Sungkai, Trolak dan Slim River. Saya telah mendapat tahu laluan terdekat untuk menuju ke puncak tertingginya iaitu sekitar 1,300-1,400 kaki dari paras laut adalah melalui jalan masuk di ladang kelapa sawit berdekatan MRSM Trolak. Saya pun masuk sejauh mungkin yang boleh dicapai dengan kereta kecil. Selepas itu menyambung dengan berjalan kaki...




Namun didapati jalan kelapa sawit banyak bercabang. Seharusnya puncak boleh dicapai dalam tempoh 30 minit hingga sejam. Tetapi saya tidak tahu laluan yang perlu diambil, cuma main jalan sahaja kemudian agak-agak le simpang mana nak ambil. Dalam keadaan begitu banyak masa terbuang. Lihat artikel Exploring the ways to Gunung Besout di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Selepas jam 4.30 baru menyambung perjalanan ke Batak Rabit. Terus menghala ke Kampung Batak Rabit lalu singgah di sebuah restoran mamak untuk makan petang.




Sekitar jam 6.30 gitu baru sampai ke Batak Rabit lalu terus ke rumah ibu saudara. Ini adalah pemandangan selepas matahari terbenam dari jeti berdekatan menghadap Sungai Perak. Saya ada mengambil gambar ketika hari terang. Lihat Late afternoon at a jetty in Batak Rabit.

Keadaan begitu menenangkan sehingga saya terus duduk seorang diri di jeti sampai selepas jam 8 malam. Di situlah dihabiskan bacaan juzuk ke-29 Al-Quran. Di situ juga dijamakkan solat Maghrib dan Isyak sebelum membuat zikir malam kemudian membaca Surah Yassin bagi malam Jumaat.