Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Sunday, September 09, 2007

To see a World in a Grain of Sand... Melihat dunia di dalam sebutir pasir...

Allah! Syukur kepada Ilahi... Berjaya juga saya siapkan 3 posting untuk SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan 3 untuk BERPETUALANG KE ACEH . Dua posting telah pun dimasukkan untuk blogspot ini menunggu sahaja posting yang ini untuk melengkapkan sesi penulisan kali ini... Isinya, iaitu sedutan daripada buku "Berpeteluang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang?" yang sedang diusahakan memang sudah sedia menunggu... Maka ini dia... Sekali lagi sebuah preview daripada buku ketiga yang akan melengkapkan siri novel unik yang meliputi sejarah 1,200 perjuangan Islam, Melayu serta bumi Serambi Mekah dengan perjuangan akhir zaman... Bacalah... Bacalah dengan nama Tuhan mu yang menciptakan Kalam...
Oh... Kenapa saya sengaja memilih tajuk dengan bahasa Mat Saleh ini? Lihatlah sendiri dengan teliti, nescaya anda akan faham apa yang tersurat dan tersirat... :]

--------------------------

Rasyid memandang Masjid Raya Langsa dengan kubah besarnya seperti mahkota raja, juga bangunan menara azan yang kelihatan seperti Masjid Jamek Putraya “kurus” yang di kelilingi kolam-kolam berisi ikan-ikan tetapi sebenarnya tempat mengambil wuduk.
“Ah!” getus hatinya. “Memang nampak lain macam.”
Dia memandang sekeliling. Pepohon di tepian, warung-warung makanan dan minuman serta pasar menjual barang basah juga kelihatan lain daripada yang lain, terasa seperti berada di planet lain padahal ini semua adalah pemandangan biasa, tiada apa-apapun yang istimewa…
Hmm... Mungkin dia sudah terkeluar daripada keadaan fikiran dan minda biasa, kata Orang Putih, alternative state of mind… Dahulu Rasyid pernah mempersoalkan kenapa sesetengah lukisan yang menunjukkan sesuatu bangunan, objek ataupun tempat kelihatan lain macam, nampak begitu cerah dan hidup melangkaui realiti biasa. Misalnya lukisan Sunflower atau bunga matahari oleh pelukis Belanda terkenal, Van Gogh... Warnanya dilukis terlebih terang daripada biasa seolah-olah berasal daripada dunia yang lain, out of this world. Mungkin seperti di alam bunian agaknya sedangkan bangunan, objek atau tempat yang dilukiskan kelihatan tawar dan hambar apabila dilihat dengan mata kepala sendiri di dunia nyata...
Sampai satu ketika, beberapa tahun yang lalu, ketika sedang berehat menikmati teh tarik di sebuah kedai makan yang bangunannya dari jenis lama, jenis sebelum Perang Dunia Kedua atau pre-war shops, di tepian Jalan Tuanku Abdul Rahman di tengah kesibukan kotaraya Kuala Lumpur, barulah pemuda itu faham. Sedang Rasyid duduk termenung, tiba-tiba dia terasa lain macam... Rasa hening dan tenang yang amat sangat sementara deria dan pancainderanya terasa lebih peka daripada biasa.
Apa yang berlaku agak memeranjatkan... Tiba-tiba sahaja keadaan sekeliling nampak begitu menarik, warna-warnanya begitu mengesankan. Bayang-bayang cawan teh tarik nampak begitu hidup membelah cahaya matahari kuning keemasan. Para pelanggan sedang berbual, pelayan kedai berulang-alik memenuhi permintaan, tukang masak menunjukkan kepakaran di celah-celah asap yang berkepul-kepul naik ke atas... Orang ramai lalu lalang di luar malah kereta-kereta banyak dengan hiruk-pikuk yang sebelum ini membingungkan semuanya nampak indah dan bergerak begitu cantik dan teratur... Seperti sebuah orkestra, sebuah pergerakan yang telah dichoreographkan. Poetry in motion, puisi di dalam pergerakan.
Masyaallah! Baru dia teringat. Keadaan dan perasaan yang dialami di Langsa adalah satu keadaan yang terbit apabila jiwa terasa hening.... Bila seseorang dapat melihat dunia tanpa hiruk-pikuk dan kecelaruan pemikiran yang sentiasa hendak mengupas dan menghukum keadaan sekeliling, bila kita dapat menerima segala keadaan, Takdir, Qada dan Qadar, baik dan buruknya dengan redha tanpa apa-apa harapan dan prasangka atau terbetik di hati sedikit pun untuk mengubah keadaan.
Inilah rupa alam apabila kita betul-betul redha menerima segala sesuatu, dapat menerima apa sahaja yang wujud dan terjadi sebagai yang terbaik dicipta dan diatur Allah SWT yang mana setiap sesuatu yang dijadikan tidak ada yang sia-sia, semuanya ada sebab tertentu di bawah ilmu dan kebijaksanaanNya. Barulah pemuda itu sedar betapa indahnya dunia ini kalau sahaja semua orang dapat melihatnya daripada kacamata yang benar, sudut pandangan Haq. Seperti disebut Wali besar dan sasterawan lama Aceh, Sheikh Hamzah Fansuri dalam sebuah syairnya:

Dirimu itu seperti zilal (bayang)
Jangan kau pandang pada waham dan khayal
Jika pandangmu itu pada rupa Jamal
Kamulah da’im beroleh wisal


Baru dia faham kenapa ada pelukis mengabadikan pemandangan mereka terhadap sesuatu objek, tempat atau keadaan dengan cara yang begitu hidup... Walaupun pada orang lain, apa yang dilukis itu tidak pernah kelihatan begitu secara nyata. Dan baru Rasyid teringat bahawa dahulu, dia sering terasa begini, dapat melihat keindahan di sebalik segala sesuatu, hatta pada seekor ulat yang sedang memakan daun sampai ke batu-batu kerikil dan pasir di tepian jalan yang ada masanya kelihatan seperti lombong intan berlian dengan permata yang indah-indah lagi bergemerlapan.
Satu masa dahulu begitulah cara pemuda ini melihat dunia yang nyata. Derianya terasa begitu ceria dan peka sehingga dapat mendengar setiap deruan angin yang bertiup seperti menyapa lembut seraya berzikir membawa gelombang Maujud Ilahi . Kicauan burung terdengar seperti simponi orkestra dengan alunan sakti yang indah lagi mengasyikkan. Setiap dedaunan pokok seperti mengandungi hutan belantaranya yang tersendiri, setiap batu ibarat planet-planet yang penuh kehidupan dan aktiviti.
Agaknya inilah keadaan yang pernah diceritakan seorang penyajak Inggeris, sudah lupa siapakah namanya, kalau tidak silap Rudyard Kipling:

To see the world in a grain of sand,
To see heaven in a wild flower…


Melihat dunia di dalam sebutir pasir, melihat syurga di dalam sekuntum bunga liar… Begitu dalam maksud yang tersurat dan tersirat. Oh… Baru teringat. Bukan Rudyard Kipling tetapi William Blake… Empat rangkap pertama sajak “Auguries of Innocence” yang tulisannya berbunyi:

To see a World in a Grain of Sand
And a Heaven in a Wild Flower,
Hold Infinity in the palm of your hand
And Eternity in an hour.

Hah! Lebih kurang begitulah Rasyid dahulu… Sentiasa berada dalam keadaan itu. Sampailah satu ketika selepas tamat zaman remaja di mana dia mula terasa seperti seolah-olah telah terputus pertalian peribadinya dengan Tuhan... Sudah ada suatu tembok pemisah menghalang pancaran kerohanian, gelombang daripada ‘atas’ yang dapat memberikan keheningan dalam diri walaupun ketika keadaan sekeliling kalut sekalut-kalutnya.
Ketika itu, dunia sudah nampak semakin pudar dan hambar kecuali di tempat-tempat yang ‘diterangkan’ secara plastik, secara artificial oleh alatan ciptaan manusia seperti lampu neon di tengah kota... Atau ruang berdansa yang diwarnai sinaran laser berserta percikan cahaya berwarna-warni daripada bebola kaca di kelab-kelab malam. Mungkin ini berlaku kerana Rasyid sudah mengumpul banyak dosa? Telah menodai kesucian diri, lost his innocence dengan segala nikmat kehidupan dunia moden yang mencabar nafsu dan kelakiannya tetapi sebenarnya merosakkan dalaman? Entahlah.
Apapun, sejak itu, susah untuknya merasakan saat-saat indah yang betul-betul hening dan tenteram. Kedamaian yang pernah dikecapi mula diganti dengan kecelaruan. Jadilah Rasyid seorang manusia yang harus menuju hiruk-pikuk disko dan kelab malam untuk merasai kehidupan, to feel alive and kicking… Dia sudah menjadi kufur nikmat, tidak dapat merasakan keindahan di sebalik benda-benda biasa, the simple things in life.
Kalau dahulu, dia boleh duduk tenang berjam-jam di pinggir sungai mendengar deruan air mengalir, bertafakur lama tanpa menggerakkan tubuh- badan untuk memerhatikan air hujan jatuh daripada bumbung berkecai menghempas lantai, tetapi sejak masuk umur 20 tahun, sudah jadi cukup sukar untuknya mendapatkan ketenangan yang sama. Anak muda berdarah Aceh ini cepat terasa panas punggung, selalu sahaja hendak melangkah bertukar angin ke tempat lain, selepas itu tempat lain lagi dan lagi… Satu perubahan tidak henti semata-mata untuk mencari lokasi selesa yang dirasakan boleh memberikan rasa rehat yang dicari-cari.
Sesekali sahaja baru dapat dirasakan sedikit keindahan dan ketenangan yang selalu dialami dahulu, ada masanya ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi kesayangannya mengembara dari satu kota ke satu kota, ada ketika di dalam hutan mendaki bukit atau duduk di tepian sungai. Tetapi sejenak sahaja... Tak lama kemudian, datang kembali kecelaruan jiwa yang tak pasti pucuk pangkalnya. Mungkin kerana dosa-dosa yang banyak terkumpul? Disebabkan kesombongan dan keangkuhan diri akibat lupa kelebihan yang dimiliki sebenarnya berasal daripada Yang Maha Esa?

4 comments:

yoyo said...

macammana nak dptkan tu semua? teringat pulak masa kecik sy selalu pergi ke suatu tempat dgn hanya memejamkan mata, kat tempat tu sy selalu bermain dgn gadis2 remaja yg selalu melayani sy, yg peliknya sy boleh mengajak adik perempuan sy sekali ke tempat tu dgn hanya sama2memejamkan mata, bila2 masa sy boleh ke tempat tu dgn hanya memejamkan mata,adakah itu imaginasi ataupun ingatan sy ttg masa kecil x betul, tapi sy pun x tahu kenapa sy x boleh lupa benda tu?

Radzi Sapiee said...

Hmm. Kadangkala secara tak sengaja kita boleh 'termasuk' alam lain, bukan sekadar imaginasi. Bila itu berlaku berhati2lah, takut kita terpengaruh dengan alam jin, bunian dan sebagainya. Apa yang saya maksudkan dalam artikel ini bukanlah melibatkan alam lain tetapi alam kita sendiri. Cuma cara melihatnya sahaja boleh berbeza bergantung pada keadaan kita sendiri pada sesuatu waktu.

Kalau kita melihat sebagai seorang pelukis yang berjiwa seni Insyaallah kita dapat melihat segalanya cantik belaka. Tetapi kalau kita melihat dengan jiwa amarah yang banyak masalah, kuih yang sedap pun boleh terasa pahit seperti hempedu gitu. Kuncinya adalah pada ketenangan jiwa. Cuba dapatkan itu... ikutlah apa cara yang sesuai asalkan tidak menyakiti orang lain. Sebaiknya dengan bersolat dan banyak zikir... :]

entahlah said...

sy mmg minat bab2 kerohanian ni, sy pernah kena marah dgn atok sy kerana curi2 baca kitab dia yg bertajuk hakikat insan,tapi sy baca jugak sampai khatam,lepastu sy rasa teruja nak masuk alam rohani,last2 satu hari sy jumpa member,yg baru lepas hisap gam,dia kata masa dia hisap gam ,dia rasa diri dia bukan dia yg kawal tapi org lain,dari situ sy dpt satu idea,esoknya sy pun join geng2 bebudak hisap gam ni pegi hisap gam,mungkin perbuatan sy ni bodoh tetapi kerana terujanya sy nak masuk alam rohani mengikut jln pintas,akhirnya sy hisap gam,sy tau apa yg sy buat, hisap gam ni x ketagih kalau setakat hisap 2-3 kali, buktinya sy dah dua kali hisap gam tapi x ketagih pun,dan sy dah berenti buat keje bodoh tu,masa sy hisap gam sy rasa diri sy ni bukan sy yg kawal,tapi ada satu diri tah dtg dari mana,masa sy hisap gam tu jugak sy rasa sy berada di alam mimpi,kadang2 sedar,kadang2 hilang,lepastu sedar balik,lepastu hilang balik,begitulah seterusnya sampai sedar betul2.masa sy hisap gam tu jugak sy rasa separti deja vu,segala yg sy buat masa hisap gam tu mcm sy dah pernah buat sblm ni,dan seolah-olah sy tak dpt lari dari apa yg ditentukan oleh satu kuasa yg sy tak tau,sy seolah-olah hanya mampu menyaksikan

zulzufar said...

Assalam buat kamu semua...
Kita amat menyokong usaha yg dilakukan oleh penulis ini, semoga penulis sekelurga ditempatkan pada syurga yg paling mulia. Bile dilihat pada isteri yg membawa anak kecil cukup utk membuatkn kita sebak seketika, tapi keserasian suami isteri ini menampakan bukan menjadi satu penghalang dgn anak yg masih kecik dan pasti banyak ragam semasa proses membuat passport, naik turun kapal terbang, faktor cuaca dan sebagainya demi merungkai permasalahan kehidupan yg akan datang.

Saya juga pasti tentangan hebat pasti akan berlaku di era ini mengenai segala yg terungkai dlm blog ini. Zaman ini penuh tipu muslihat, apabila mata pelajaran sejarah menjadi kebencian tulen mutlak, ibu bapa yg membebaskan anak mereka supaya lebih terbuka berdikari utk mengejar kerjaya. Bile dinasihatkan jgn berkiblat duit, tinggi suara menempelak kita balik 'jgn nak jadi alim sangat lah bukan nya kau boleh bg duit kat aku' di situ telah menampakkan kebimbangan mengenai duit. Sedangkan dalam hati kita berkata, zaman dah maju, gunakanlah kemajuan terkini utk menjana pendapatan. Tiada apa yg perlu dirisaukan.

Bile keluar kita keluar makan dgn anak-anak sering kali melihat pasang suami isteri dari jauh bersama 1org cahaya mata, bile duduk je di meja makan jadi 3org anak. Mak ayah sibuk bermain tablet, anak itu tadi sibuk bergelak ketawa bersama anak org lain. Pening kepala kita mengenangkan anaknya itu..

Jika kita cerita kisah-kisah silam pasti kita lah hamba yang paling hina diantara kamu semua.

Allah lebih berkuasa, dulu, kita selalu diejek kerana suka menyanyikan gerimis senja
dari kumpulan alleycats sejak zaman sekolah rendah dgn perasaan yg gembira dan bangga tanpa mempedulikan apa kawan2 cemuhkan. Bile beberape bulan yg lalu terjumpe semula kaset berkenaan, bile kite dgr balik lagu itu, air mata yg mengalir tiada makna nya lg. Aku terus faham.

Sejak dari kejadian itu, kita menghambakan diri sepenuh hati kpd Allah dan kpd isteri serta 3 anak perempuan. Jika gagal kita membimbing mereka dgn nyawa yg masih ada, bertambah hina lah kita bersama ahli neraka nanti. Ikhlas.