Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, August 08, 2008

Bab 12, pemergian Nenek dan pencarian makam-makam Sultan Perak yang berkaitan...

Gambar makam moyang dan datuk saya sebagai hiasan. Diambil daripada artikelPerjalanan terbaru ke Perak... Singgah ke Teluk Intan... yang dibuat hampir 2 bulan lalu.



Assalamualaikum. Tadi saya telah membuat 3 artikel di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dengan tajuk-tajuk ini:-
Saya juga sempat membuat 2 artikel di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dengan tajuk-tajuk ini:-
Sekarang baru saya boleh mengemaskini-kan blogspot ini pula. Maka bersambung kita daripada artikel Bab 12, cerita tayar motosikal meletup dan almarhum Nenek yang sedang nazak...

Hmm... Senang cerita saya copy and paste sedutan seterusnya daripada Bab 12 buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" ya. Kiranya daripada sini kita mula membawa kepada cerita salasilah Raja-raja Perak yang seterusnya akan membawa kepada cerita-cerita di sekitar peristiwa Perjanjian Pangkor 1874, sebagai persediaan untuk perjalanan ke Perak seminggu lagi seperti dinyatakan dalam artikel Program berjalan sambil buat video cerita Perak sekitar Perjanjian Pangkor 1874 dan pembunuhan Birch, apa sebenarnya berlaku... Jemputan untuk semua! Mari! :]


--------------------


Pagi Jumaat sekitar jam 9, Nenek sudah begitu nazak. Pihak hospital menasihatkan supaya dibawa kembali saja ke rumah. Tiada apa lagi mampu dilakukan, tiada guna nafasnya terus disokong alat. Rasyid terdiam menerima hakikat. Dia tahu Nenek dah lama merana akibat kencing manis, darah tinggi, rasanya sakit jantung sekali! Elok juga dilepaskan pergi, biarlah berehat setelah lama menanggung derita.

Cuma pemuda ini terkilan kerana tak dapat mengenalinya lebih dekat. Selama ini dia lebih rapat dengan keluarga sebelah ibu, kali terakhir berbual dengan Nenek setelah lebih tiga tahun tak menziarahinya! Pencarian untuk memahami diri pula masih jauh sedangkan Neneklah satu-satunya ahli keluarga yang faham keadaannya.

Tanpa dipinta, Rasyid menjadi satu-satunya ahli keluarga yang menemani Nenek dalam ambulans menghantarnya kembali ke rumah. Peluang itu digunakan untuk mengadu betapa perit keadaan hidupnya setahun kebelakangan... Betapa dia mengharapkan Nenek dapat memberikan sedikit lagi petunjuk dan menerangkan keadaan kepada ahli keluarga lain terutama ayah supaya tak terus dipandang serong.

Rasyid memeluk rapat tubuh Nenek yang terkulai layu apabila jalan pintas berbonggol membuat tubuh itu melambung. Dia mula tersedu-sedan menahan air mata... Apabila memasuki kawasan rumah, tiba-tiba semacam getaran elektrik mengalir daripada tubuh Nenek disertai hawa panas dan rasa seram-sejuk. Ah! Apakah ini hembusan nafasnya yang terakhir? Ya Allah, berilah aku kekuatan. Apakah satu-satunya ahli keluarga yang mampu memahami keadaanku sudah pergi?

Sebaik saja ambulans berhenti, saudara-mara lain bergegas mendapatkan tubuh Nenek lalu diangkat naik tangga masuk ke rumah yang sudah dipenuhi ahli keluarga dan pengunjung, Kata mereka, Nenek sempat hidup hingga ke muka pintu. Apapun, pemuda itu dapat mengangkat tubuh Nenek sampai ke permandian di dapur... Sempat melihat mukanya senyum berseri-seri setelah selesai dibasuh!

Al Fatihah untuk Nenek. Semoga kekal bahagia di sisi Pencipta… Dalam diam, Rasyid berazam akan mematuhi segala pesanan nenda. Insyallah, dia akan mendekatkan diri kepada Allah SWT, beramanah sebaik mungkin dengan zat dan darah yang mengalir dalam tubuh.

————————

Almarhum Nenek pernah menyebut beliau dan suami, Atuk Perak memiliki moyang sama iaitu Keramat Kuala Bidor. Mereka berdua berasal dari Teluk Intan, Perak dan bersaudara rapat, kalau tak silap dua pupu. Maklumlah, orang dahulu biasa berkahwin saudara-mara...

Katanya: “Atuk Perak belah Laksamana. Nenek yang belah raja.”

Semasa itu, anak muda ini tak faham langsung maksudnya. Kenapa Nenek membahagikan suaminya kepada belah Laksamana dan beliau belah raja? Bukankah mereka bersaudara? Bukankah Atuk Perak juga berkait dengan kerabat diraja Perak? Apakah perlu ada garis pemisah? Bila Rasyid bertanya lagi, itu juga jawaban yang diberi. Kemudian beliau menyambung, keluarga sebelahnya berasal dari Batubara lalu berpesan, jika sampai ke Sumatera, singgahlah ke sana. Katanya, masih ada saudara mara... Kalau berkesempatan, carilah mereka.

Menurut salasilah keSultanan Perak hasil kajian Barat yang digunakan Rasyid untuk menelusuri sejarah keluarga, kaitan dengan Batubara cuma muncul melalu perkahwinan Sultan Perak ke 23, Sultan Ja’afar Safiuddin Muazam Shah (memerintah 1857-1865) dengan Wan Mahtra, anak Datuk Muda Wan Abdul Rahman bin Maharaja Lela Ngah Hassan, Orang Suku Laksamana Batubara. Dari perkahwinan ini terbit Sultan Abdullah yang dibuang ke Pulau Seychelles, Sultan yang menandatangani Perjanjian Pangkor 1874 sebelum menyedari dirinya tertipu. Lalu terlibat membunuh Residen Inggeris J.W.W. Birch.

Selepas berjumpa dengan Nenek dan berbual mengenai asal-usul keluarga Oktober 2001, pemuda itu pergi ke Perak untuk menziarahi makam Keramat Kuala Bidor serta makam keluarga Laksamana yang mengandungi makam Atuk Perak di Teluk Intan. Kemudian memohon Allah Subhanahuwata’ala memberi petunjuk kaitan sebenar keluarganya dengan keSultanan Perak lalu mendapat gerak untuk berkelana mudik kanan Sungai Perak menghala ke Kuala Kangsar.

Memandangkan terdapat hampir 30 buah makam Sultan Perak di sepanjang perjalanan, Rasyid membuat keputusan melawat makam tertentu sahaja. Tapi dia tak tahu makam mana yang patut diziarahi lalu memohon Allah agar diberi gerak rasa tanpa diduga... Cukuplah sekadar dapat melihat kaitan sebenar keluarga dengan kerabat diraja.

—————————

Pada hari pertama berjalan mencari makam menunggang motosikal kesayangan, Rasyid tersesat di tengah bandar Teluk Intan. Sampai ke tepian Sungai Perak berdekatan Jalan Mak Intan lalu masuk ke Kampung Terengganu... Terus terjumpa makam Sultan ke 22, Sultan Abdullah Muhammad Shah (bukan yang dibuang ke Pulau Seychelles tapi yang memerintah 1851-1857) atau Marhum Durian Sebatang.

Selepas berjaya menemui jalan keluar menghala ke Kampung Gajah, Rasyid tergerak untuk memasuki sebuah lorong di Kampung Air Mati, Lambor Kanan... Sampai pula ke makam Sultan Perak ke sepuluh, Sultan Muzaffar Shah II atau Marhum Jalilullah lalu singgah sebentar.

Sebenarnya Pak Uteh, suami kepada adik ayah di Teluk Intan ada menyarankan supaya melawat satu makam di sekitar Lambor Kanan. Cuma dia tak tahu makam siapakah itu dan belum pasti jika mahu singgah. Lagipun sekitar kawasan itu sahaja terdapat beberapa makam Sultan termasuk Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah I (memerintah 1528-1549) dan Sultan ke 13, Sultan Muzaffar Shah III (memerintah 1728-1754)... Maka apakah membuat Rasyid terpanggil untuk ke makam yang itu? Apakah kerana letaknya di kawasan kebun terpencil? Tak seperti kebanyakan makam yang pernah diziarahinya, makam itu adalah satu-satunya kubur di situ. Di batu nesan bahagian kepala pula terdapat sebuah busut besar yang agak menakutkan...

Apabila melangkah masuk kawasan makam, tiba-tiba angin menderu kuat sehingga daun-daun jatuh berguguran seperti nak ribut. Nasib baik ia reda apabila dia memberikan salam lalu menghadiahkan Fatihah. Apakah makna di sebalik kejadian itu? Mungkin ada kaitan dengan pencarian Rasyid untuk memahami erti diri sejati?










Paling menarik adalah penemuan tak sengaja makam Sultan Perak kedua, Sultan Mansur Shah ibni Sultan Muzaffar Shah I di Kota Lama kanan yang boleh menjawab kenapa keluarga Nenek boleh berasal dari Batubara atau Batu Bahara yang terletak di Sumatera, hampir 400km di selatan Aceh. Ini berlaku ketika menunggang motosikal besarnya melalui Sayong, Kuala Kangsar sehingga melepasi projek jambatan baru Sungai Perak yang belum siap ketika itu.

Setelah berjalan sekitar dua kilometer melepasi projek jambatan, tiba-tiba Rasyid gelisah amat. Dia mesti melihat kuala Sungai Sayong... Kalau tidak, rasa tak puas hati, terkilan. Tak tahulah kenapa…

Pemuda itupun berpatah kembali ke Sayong. Apabila sampai satu lorong menghala ke tebing Sungai Perak, tergerak pula untuk masuk ke penghujung hingga ke sebuah kebun jagung. Di situ, Rasyid terjumpa seorang tua yang kelihatan sibuk mengerjakan kebun lalu bertanyakan arah kuala Sungai Sayong. Beliau menuding ke arah hujung kebun... “Di belakang kebun inilah terletak kuala Sungai Sayong,” katanya.

Anak muda itu terus bergegas berjalan kaki menyusuri sempadan kebun. Ternampaklah kuala Sungai Sayong bertemu Sungai Perak... Lebih kecil dari kuala Sungai Gombak di Masjid Jamek Kuala Lumpur. Tiada apa yang istimewa, sekadar kuala sungai berlumpur.

Demi memuaskan hati, Rasyid berjalan lagi sampai betul-betul ke kuala yang berlumpur itu. Dia berdiri sejenak menghirup udara lalu menyentuh sedikit air kuala. Baru terasa puas hati... Semasa keluar dari kebun, orang tua tadi masih ada. Pemuda itu tergerak pula untuk bertanya jika ada apa-apa cerita pelik tentang kawasan ini. Jawab orang tua tak jauh dari situ, terdapat satu masjid yang didirikan di atas tapak sebuah masjid lama. Masjid lama itu pernah cuba dibakar Inggeris tapi tak tahulah apakah sebabnya, api tak dapat menyala...

“Mungkin berkat orang alim yang duduk di situ?” tambahnya.

Rasyid bertanyakan arah ke masjid lalu bergegas ke sana. Sampai saja di perkarangan masjid, kelihatan sebuah makam besar agak terserlah di kawasan perkuburan halaman masjid selain sebuah meriam lama antik. Makam ini memang nampak menonjol dari yang lain... Dia pun berkira inilah makam orang alim yang barakahnya telah menyebabkan masjid itu terselamat dari dibakar Inggeris. Eloklah singgah sebentar untuk memberi salam dan menghadiahkan Fatihah.

Sedang pemuda itu berjalan ke makam tersebut, tiba-tiba timbul rasa nak buang air kecil pula. Dia terus bertukar arah ke tandas demi melangsaikan hajat... Dengan masih memakai but kulit menunggang kuda yang tingginya sampai ke lutut, hadiah daripada Pasukan Polis Berkuda Putrajaya semasa bertugas sebagai wartawan dahulu, but yang kadang-kala dipakai ketika menunggang motosikal jarak jauh.

Rasyid cuma mahu singgah sebentar di masjid sebelum meneruskan perjalanan. Malas nak buka but kerana memakan masa, banyak sangat buckle, pengancing atau ikatan perlu dileraikan, kemudian mesti diikat kembali kemas. Selesai itu, dia mencuci but sebelah luar, setakat untuk memastikan tiada percikan najis terlekat. Entah kenapa, keluar saja dari tandas, pemuda itu terasa stokinnya lembab... Sedangkan but itu kalis air dan tingginya sampai ke lutut!

Mula-mula Rasyid buat tak tahu. Terus berjalan ke makam lalu berdiri sejenak menghadiahkan Al-Fatihah. Selepas itu berpatah balik ke kawasan tandas dan tempat berwuduk untuk membasuh muka. Tetapi makin dibiarkan makin terasa tak selesa. Stokin itu masih terasa lembap malah basah sedangkan pemuda itu pula makin gelisah.

Mahu tak mahu, terpaksa juga dibuka but dengan pengancingnya satu demi satu. Satu di buku lali, tiga di bahagian atas. Kanan campur kiri, lapan pengancing semuanya. Itupun perlu dibuka perlahan-lahan kerana bahagian lidah yang panjang sampai ke lutut agak keras... Rasanya ada dekat lima minit baru dapat buka but seluruhnya!

Bila sudah dibuka, tenyata tiada bahagian yang basah baik dalam but atau stokin mahupun mana-mana di kaki kiri dan kanan. Ah... dia kena tipu agaknya. But ini kalis air, kenapa pula boleh terasa basah di dalam? Tapi siapa pula nak menipunya? Bukankah ini tempat orang alim? Tiba-tiba hatinya terbetik. Mungkin perlu masuk ke masjid? Nampaknya begitulah... But sudah dibuka, stokin pun dah. Apa salah masuk sebentar? Lagipun dia sedang letih, boleh juga berbaring…

Rasyid masuk membawa beg galas besar yang selalu menjadi teman kembara di jalanan. Kalau tak silap ingatan, semasa itu pagi, baru jam 11... Ada banyak masa untuk sampai ke destinasi sebenarnya hari itu iaitu makam Tok Temong di utara Kuala Kangsar. Dia pun keluar mengambil wuduk... Buat solat Tahiyatul Masjid kemudian berbaring di tengah masjid, berbantalkan beg galas. Tup... tup... terus terlelap...

Sejam kemudian, baru Rasyid tersedar. Dalam keadaan sedikit mamai matanya mula melilau melihat sekeliling masjid. Tiba-tiba pandangannya terpaku ke satu bahagian tertentu, satu saf di belakang sejadah yang menandakan tempat imam, sekitar lima makmum ke kanan. Eh... Batu nesan! Benarkah apa yang dilihat? Kenapa boleh berada di dalam masjid? Sebatang pula itu, bukan sepasang! Apakah dia sedang bermimpi atau diberikan sebuah bayangan? Ketika itu tiada orang lain dalam masjid. Apakah dia saja yang nampak?

Pemuda ini menggosok-gosokkan kedua biji mata... Batu nesan itu masih kelihatan. Dia pun bangun untuk meneliti lebih dekat. Batu nesan itu terasa solid, kukuh dan nyata bila dipegang... Tertanam kukuh ke lantai masjid, tidak boleh digoyang-goyangkan…

Apapun, samada batu nesan itu betul-betul wujud atau tidak, Rasyid terasa perlu membacakan Surah Al-Fatihah dan Ya Sin, dihadiahkan kepada pemilik batu nesan yang dia pun tak tahu entah siapa… Mungkin orang alim yang disebut orang tua tadi? Bagaimana pula makam di luar masjid? Yang mana satu milik orang alim yang dimaksudkan?

Dipendekkan cerita, memang terdapat sebuah batu nesan terpacak di dalam Masjid Kota Lama Kanan... Rasyid dapat tahu apabila penduduk tempatan sampai ke masjid untuk menunaikan solat Zohor. Merekalah yang menyatakan batu nesan tersebut adalah milik Sultan Perak kedua, Sultan Mansur Shah ibni Almarhum Sultan Muzaffar Shah (memerintah 1549-1577). Tapi ini bukan bermakna baginda mangkat di situ. Ia sekadar menandakan tempat baginda ghaib sahaja...

Sultan Mansur Shah dikatakan ghaib ketika sedang menunaikan solat Jumaat. Sebab itu tempat baginda ghaib ditanda dengan satu batu nesan, bukan sepasang. Kata seorang ahli jemaah masjid pula, ada cerita lama menyebut baginda hilang diculik tentera Aceh. Sejarah rasmi yang dibaca Rasyid ada menyatakan Aceh pernah menyerang Perak sekitar 1570an atau 1580... Lebih tepat lagi selepas 1577 yang dianggap sebagai tahun kemangkatan Sultan Mansur Shah. Tak tahulah pula bagaimana baginda boleh diculik di tengah orang ramai yang menunaikan solat Jumaat... Ada pula berkata ia berlaku atas permintaan Sultan Mansur sendiri yang mahu meninggalkan Istana Perak!



No comments: