Namun berlaku ujian kereta rosak sehingga tersadai di tepian Lebuh Raya PLUS selepas tengah malam. Ini menganggu rancangan asal iaitu mahu sampai ke kaki Gunung Jerai untuk berehat selewatnya pada jam 3 pagi sebelum menyambung perjalanan masuk ke selatan Thailand melalui Wang Kelian di Perlis selawatnya jam 10 pagi Selasa. Walaupun kemudian kami harus 'berlabuh' lama di suatu tempat untuk menunggu kereta diperbaiki perjalanan dapat diteruskan juga sehingga ke destinasi utama iaitu pantai peranginan Aonang di Krabi menghampiri Phuket. Pun begitu laluan perjalanan harus diubah disebabkan kerosakan.
Perjalanan kali ini dibuat lebih untuk mengembirakan anak-anak berbanding perjalanan-perjalanan terdahulu yang keutamaannya adalah menjejak tempat-tempat bersejarah. Oleh itu tumpuan adalah pada tempat-tempat tarikan pelancongan walaupun ada tempat-tempat bersejarah tetap dijejak. Dua orang anak besar kami, seorang berumur 19 tahun seorang baru lepas menduduki peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) turut serta kali ini. Ia adalah kali pertama mereka betul-betul dapat berjalan ke luar negara bersama kami.
Maka bergeraklah kami 6 beranak iaitu saya, isteri, 2 orang anak kecil yang biasa bersama ke sana ke mari dan 2 anak remaja tersebut yang paspot antarabangsa mereka pun baru dibuat bulan November lalu. Perjalanan harus ditamatkan sebelum pagi Khamis 26 Disember kerana isteri harus kembali masuk bekerja hari itu. Alhamdulillah kami sempat sampai ke tempat bekerja isteri di Rawang sejurus masuk waktu Subuh. Berdasarkan tarikh perjalanan dimulakan iaitu 16 Disember sebelum betul-betul tamat 26 Disember ia meliputi tempoh 11 hari.
Daripada segi jarak lebih 2,000 km telah diliputi. Peta (gambar atas) yang dibuat sebelum memulakan perjalanan setakat memberikan gambaran asas tanpa menunjukkan perincian sebenar yang menambah lagi jarak. Nanti bila sampai gerak akan dikongsikan butirannya hari demi hari, insyaallah. Tunggu... :]