Kita ke kawasan bernama Pulau Besar yang terletak di antara Kampung Gajah dan Teluk Intan. Perhatikan betul-betul. Kawasan yang dimaksudkan dilingkungi aliran Sungai Terus di utara, Sungai Perak di barat dan Sungai Kinta timur ke selatan sedangkan Sungai Terus berpunca dari Sungai Kinta. Maka ia memang dikelilingi air walaupun tidak selebar mana. Jadilah ia sebuah pulau sepanjang 7 km dengan kelebaran lebih 3 km...
Di sekitar ini terdapat makam 5 orang Sultan dengan seorang kerabat diraja Perak bernama Raja Ahmad.
Mula-mula singgah ke Masjid Pulau Besar...
Selain tumpang membuang air, saya juga mahu bersolat Tahiyatul Masjid seraya berdoa kepada Allah Ta'ala meminta agar perjalanan dimudahkan. Saya tahu di sekitar inilah perjalanan paling mencabar dan saya tidak mahu timbul apa-apa halangan. Jika anda merasakan perjalanan ke makam Sultan Tajul Ariffin di Pulau Semat (lihat
Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Makam keramat di Pulau Semat...) sudah cukup
adventure, tunggu sehingga anda dapat menjiwai perjalanan seterusnya...
Jalan menjadi semakin sukar selepas itu. Lihat sahaja laluan yang menunjukkan pernah ada jalan tetapi telah runtuh masuk ke dalam sungai. Jika tadipun jalan sudah teruk berlubang-lubang, dari sini kenderaan besar memang langsung tak boleh lepas. Saya terpaksa meninggalkan anak dan isteri di dalam kereta sebelum menumpang motosikal seorang penduduk tempatan.
Oh. Penduduk tempatan ini sebenarnya ditemui berdekatan makam Raja Ahmad. Dari mulutnya baru saya tahu makam tanda itu kini dijaga dengan baik oleh Raja di Hilir Perak, Raja Jaafar. Nasib baik dia sudi menolong apabila saya memberitahu mahu menziarahi makam-makam Sultan di sekitar Pulau Besar. Saya tahu keadaan jalan yang begitu teruk. Ini yang menyebabkan saya setakat itu cuma dapat menziarahi makam 2 orang Sultan, tidak pernah menziarahi 3 lagi yang terletak di kawasan paling ceruk.
Di atas kelihatan tanah perkuburan Kristian di mana jasad Residen pertama British ke Perak J.W.W. Birch disemadikan, setelah dibunuh orang-orang Datuk Maharajalela 1875. Ada yang kata beliau memang ditanam di sini tetapi jasadnya telah digali untuk dibawa kembali ke England. Adapun ini adalah kali ke 3 atau ke 4 saya sampai ke sini. Jalan yang teruk pernah memaksa saya untuk berjalan kaki tetapi dari arah yang berlawanan.
Lihat keadaan jalan. Ini boleh dikira bahagian elok kerana ada yang tidak boleh dilepasi kereta langsung, motosikal pun teruk nak lalu! Kali pertama sampai tahun 2006 saya berjalan kaki seorang diri sekitar 2-3 km, sampai di perkuburan Birch waktu Maghrib...
Seterusnya kami melalui makam Sultan Abdul Malik Mansur, Sultan ke 19. Lihat
Makam (tomb of) Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Makam ini telah beberapa kali saya sampai malah boleh kata makam yang wajib diziarahi apabila berada di sini.
Dalam lawatan-lawatan lalu, saya masuk melalui jalan lain di mana terdapat sebuah kampung tersusun terus ke hujung satu simpang tiga dengan Sungai Perak di hadapan. Simpang masuk ke jalan tersebut terletak hampir 3 km ke selatan Jambatan Pulau Besar. Dalam lawatan pertama tahun 2006, saya naik teksi dari Teluk Intan hingga ke penghujung berhadapan sungai. Kelihatan pemandu teksi ketakutan, tidak ingin lagi masuk lebih dalam... maklumlah, ketika itu sudah hampir senja dan tempat ini memang tidak diduduki orang.
Dari simpang tiga saya berjalan kaki seorang diri membelok ke kanan mara ke hadapan. Begitulah caranya saya terjumpa masjid lama tinggal diikuti makam Sultan Abdul Malik seterusnya kubur Birch... lihat sidebar kanan tengah blogspot ini, pada bahagian yang bertajuk "Siapakah sebenarnya Raja Ahmad?". Dalam lawatan kali kedua tahun 2007, saya datang bersama rakan baik Zaidi @ PerpatihTulus lalu masuk lebih dalam. Namun 100 meter sebelum masjid kami terpaksa meninggalkan kereta kerana ada bahagian jalan berselut terlalu teruk. Begitu juga yang berlaku dalam lawatan 2 kali tahun 2008.
Dalam satu lawatan, dari simpang tiga saya masuk ke kiri dengan niat untuk menziarahi makam 3 orang Sultan yang terletak ke selatan. Namun apabila melihat sebuah kereta 4x4 terlekat teruk dalam lumpur saya membatalkan niat. Kali ini pula saya terasa wajib menyelesaikan hajat yang tertunda. Saya tahu kawasan sebelah sini memang tidak boleh dilepasi kereta. Ternyata sampai satu peringkat motosikal pun dah tak boleh lagi kerana jalan yang pernah ada sudah roboh ke dalam sungai sedangkan bahu jalan yang tinggal terlalu sempit!
Terpaksalah kami berjalan kaki. Lihat sahaja laluan sempit dengan hutan belukar di kiri, tebing tinggi sungai di kanan. Itupun saya amat bersyukur kerana cuaca elok terang-benderang sejak hari Sabtu. Padahal dalam tempoh beberapa hari sebelum itu boleh dikatakan hampir semua bahagian Pantai Barat Semenanjung sering dilanda hujan!
Dengan kuasa Allah sampailah kami ke makam pertama di sebelah selatan. Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke sini.
Namun selepas saya dan isteri pertama kali membawa anak kecil kami Al-Rasyid ke Aceh bersama seorang teman Januari 27 hingga Feb 1 baru saya berpeluang untuk bertemu seorang rakan lama yang sering memberikan petunjuk. Rakan itu sudah 8 bulan gitu tidak ditemui dan melalui ilmu tertentu yang dimiliki beliau dapat mentahkikkan atau memberi kepastian bahawa apa yang dijangkakan tentang Sultan ini adalah benar seperti yang diduga...
Namun kelewatan ini tetap ada hikmahnya. Disebabkan jarak masa itulah timbul gerak baru untuk menziarahi setiap makam Sultan Perak yang ada.
Gambar di atas diambil ketika berpatah-balik ke motosikal. Walaupun papan-tanda di sebelah Jambatan Pulau Besar memberitahu kedudukan 2 lagi makam Sultan di sebelah selatan sudah tidak begitu jauh dari makam Sultan ke 17, saya diberitahu bahawa tiada lagi jalan darat untuk ke sana...
Sebaliknya saya harus mengambil kereta berpatah-balik 10 km utara ke Kampung Gajah...
Kemudian menyeberang Sungai Perak ke Pasir Salak sebelum bergerak lagi 12 km gitu ke selatan.
Perjalanan yang dilalui serupa dengan apa yang dibuat bersama rakan-rakan ketika membuat rakaman video untuk DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" penghujung 2008.
Bezanya kali ini saya bersama anak dan isteri pergi lebih jauh sehingga ke Kampung Bandar...
Malah kami pergi lebih jauh tanpa membelok sehingga jalan yang ada mengecil!
Rupa-rupanya jalannya mati...
Terpaksalah berpatah-balik... tengok-tengok ada jentolak membuat kerja menghalang pula...
Nasib baik ada burung-burung bermuka kelakar ini membuat saya leka...
Saya tahu sudah berada di Kampung Bandar, satu tempat yang 2 tahun lalu ingin dilawati tetapi tidak pernah pergi kerana tersilap menjangkakan sebuah kampung lain sebagai kampung ini. Lihat catatan yang tertulis pada artikel
Masjid (Mosque of) Muhammediah, Kampung Ayer Mati. Saya tahu di Kampung Bandar ini terletak sebuah masjid lama dengan makam seorang ulamak besar. Tetapi saya tidak dapat melihat ia atau cara menuju ke arahnya dari tepian jalan. Maka itu setelah mencari-cari lagi sehingga melepasi sekolah, saya mengambil satu simpang kanan menuju ke satu kelompok dua atau tiga buah rumah di tepian Sungai Perak...
Alhamdulillah juga pakcik ini tahu kedudukan makam 2 orang Sultan di seberang. Memang pun ia lebih senang dicapai melalui jalan air dari Kampung Bandar. Apapun kami perlu mendapatkan bot sedangkan pakcik ini cuma memiliki sebuah sampan kecil. Nasib baik ada anak saudara di sebuah kampung berdekatan, dapatlah kami menumpang kenderaan miliknya untuk sampai ke makam-makam. Lihat klip-klip video berikut...
Sekarang biar diletakkan gambar satelit dengan kedudukan makam mengikut turutan dari utara ke selatan. Selama ini saya menyangkakan Pulau Indera Sakti adalah pulau yang boleh kelihatan di hadapan muara Sungai Kinta... rupa-rupanya ia sebuah daratan di tebing kanan muara sungai, selatan dari Pulau Besar. Mungkin dahulu ia memang sebuah pulau?
Oh! Saya ingin mengambil peluang ini untuk menghadiahkan bacaan Al-Fatihah kepada Almarhum Habib Ali Batu Pahat yang baru sahaja kembali ke Rahmatullah petang tadi, begitu juga kepada Allahyarham Ustaz Ashaari bekas pemimpin Arqam yang meninggal dunia siang lebih awal. Walaupun amat sederhana orangnya dan sering menolak permintaan untuk memimpin, Almarhum Habib Ali memang seorang yang amat dihormati sehingga dikunjungi para pencinta Ahlul Bait dari Afrika juga Tanah Arab.
Tentang Ustaz Ashaari pula saya menghormati perjuangan beliau memartabatkan Islam sehingga dapat membina rangkaian ekonomi sendiri yang mampu menggugat rangkaian perniagaan kuffar. Namun itu bukanlah tiket untuk menyatakan seseorang itu bertaraf wali apalagi Pemuda Bani Tamim. Kalau nak ikutkan, daya kepimpinan Ustaz Ashaari yang sering diwar-warkan sebagai ajaib oleh orang tertentu cuma 'seco'et' sahaja berbanding sesetengah orang. Banyak lagi orang yang pencapaiannya lebih dasyat baik dari segi kepimpinan mahupun kewangan dengan latar-belakang agama yang mantap berserta pengikut di seantero dunia...
Mereka yang berbangga dengan pencapaian Ustaz harus melihat, kalau dengan rangkaian yang dibinanya itupun ada yang merasakan beliau begitu tinggi, apalah sangat pencapaian itu berbanding menjadi Perdana Menteri Malaysia atau Presiden Amerika. Kita mungkin senang mengutuk PM atau Presiden sebagai orang yang angkuh dibuai harta, pangkat dan kuasa tetapi apakah kedudukan kita sendiri jika merasakan diri kita besar dan tinggi apabila mendapat pengikut beribu-ribu, belum lagi berjuta? Dalam konteks ini saya merasakan pemergian Ustaz Ashaari merupakan satu rahmah. Ternyatalah sungguh beliau bukan Pemuda Bani Tamim yang dicari, dapatlah kita semua keluar dari terus dibuai mimpi...
Oh, untuk pengetahuan walaupun pada bawah dinyatakan artikel ini ditulis pada jam 7.19 petang itu cuma waktu permulaan membuka ruang untuk menulis. Hakikatnya, selepas itu saya masih perlu menyiapkan beberapa artikel sokongan di blogspots lain. Lalu artikel ini cuma benar-benar dapat dimulakan selepas jam 9 malam, siap selepas jam 3 pagi! Selamat pagi Jumaat...