Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, September 19, 2014

Forum Keindahan Sistem Kesultanan Alam Melayu-Nusantara : Menuju aspirasi raja yang insan kamil




Selepas jam 9.,30 malam forum pun sedia untuk dimulakan. Kelihatan di atas pentas para panelis yang akan membentang atau memberi hujah/kuliah. Mereka ialah (dari kiri) Tun Suzana Tun Hj Othman, pengkaji sejarah dan pengasas Pertubuhan Kesedaran Melayu dan Islam (KEMUDI), Profesor Madya Dr Shamrahayu Aziz, felo utama Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Sidi Syaikh Rohimuddin Nawawi al-Bantani, pembimbing rangkaian madrasah Darul Hasani di Mesir, Malaysia dan Indonesia dan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Jamal, felo Pusat Pengajian Perniagaan Putra dan naib pengerusi Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM).


Moderator, Mohd Khalid bin Yahya, penulis dan pengerusi Akademi Kajian Rumpun Nusantara (AKAR) membuka sesi dengan sedikit mukadimah tentang kesultanan di Alam Melayu dan raja-raja. Umum tahu topik ini sedang hangat diperbicarakan kerana kini institusi beraja di Malaysia sedang hangat diserang pihak sekular yang bersifat republican, cuba menyanggah atau menghapuskan terus institusi. Perkara ini pernah menjadi hangat beberapa tahun lalu apabila Sultan Perak memperkenankan pertukaran kerajaan negeri dan perlantikan menteri besar baru akibat beberapa orang ahli sebuah parti keluar lalu menyokong parti lawannya. Ini kembali hangat masa kini apabila Selangor mengalami krisis akibat menteri besarnya hilang sokongan parti politiknya yang mahu menggantikan beliau dengan yang lain. Sultan dan istana Selangor dilihat sebagai penghalang cita-cita penggantian itu yang pada ramai pihak yang waras menilai memiliki motif-motif tidak elok membelakangkan kepentingan rakyat sambil memuaskan nafsu gila seorang politikus yang gila kuasa.


Hal inilah yang menyebabkan kedatangan pada majlis forum ini melepasi jangkaan awal sehingga harus dialihkan ke ruang atau dewan yang lebih besar. Memang perkara ini sedang hangat diperkatakan dengan ramai pendokong kedaulatan Melayu dan Islam, NGO-NGO, golongan pesilat dan sebagainya sedia ke hadapan untuk mempertahankan sultan. Apabila rancangan untuk mengadakan forum disampaikan kepada beberapa pihak termasuk saya lalu disebarkan lebih meluas melalui Facebook dan sebagainya, ramai menyambarnya sebagai peluang untuk melihat perkara ini diulas sambil menyatakan taat setia terhadap institusi beraja. Mereka ini rata-rata sudah bosan dengan kerenah ahli politik dan sistem demokrasi yang sering menerbitkan perpecahan dan perbalahan sesama ummah. Walaupun ada mempersoalkan peribadi raja-raja atau kerabat diraja yang sesetengahnya diketahui jelek, yang mereka sokong bukan individu tetapi institusi beraja yang menjadi benteng untuk mempertahankan kedaulatan Melayu dan Islam.


Tun Suzana menjadi panelis pertama membuat pembentangan. Beliau yang telah menulis 15 buah buku kalau tak salah, paling terkenal bertajuk "Ahlul Bait (Keluarga) Rasulullah s.a.w. Dan Raja-Raja Melayu" (pada cetakan atau versi kemudian perkataan "Raja-raja Melayu" ditukar menjadi "Kesultanan Melayu") menggunakan slaid. Pembentangan diberi tajuk "Orientalisme, Khulafa' Rasulullah & Kosmos Kesultanan Melayu". Namun ia tidak ada kena-mengena dengan surat khabar Kosmos ya... :)






Secara rata beliau membicarakan bagaimana penjajah Barat terutama Inggeris telah mengaburkan makna sebenar pemerintahan beraja lalu memperkecilkan malah "memperdajalkan" (perkataan saya) institusi yang menjadi tonggak kekuatan orang Melayu. Ini dibuat menggunakan kajian Orientalis yang kelihatan syumul mahu memahami budaya orang kita dan Islam tetapi sebenarnya mencari ruang yang boleh digunakan untuk merosakkan institusi dengan meracun pemikiran orang Melayu. Kosmos atau alam kesultanan Melayu asalnya sudah sedia teratur dan efisyien, setiap komponennya, daripada raja sebagai kepala, ulamak sebagai penasihat yang mendampingi umarak, pembesar sebagai pentadbir, golongan hulubalang sebagai barisan pertahanan membawa kepada para pedagang yang memeriahkan ekonomi seraya memenuhi keperluan harian biasa juga rakyat ada tempat dan peranan masing-masing. Tetapi melalui Orientalisma, semua ini berjaya dikaburkan menjadi caca marba lalu institusi beraja dapat diburukkan dengan dakwaan tidak lagi relevan untuk zaman sekarang.


Ah. Isteri saya (kanan) sedang tekun mendengar pembentangan. Sungguh beliau adalah penyokong utama yang memberikan kekuatan untuk saya berjuang bersama barisan seperti para panelis yang mahu mendaulatkan Melayu dan Islam.



Syaikh Rohimuddin menjadi panelis kedua, membuka bicara tanpa memakai slaid mahupun teks. Melihat kedudukan panelis di atas pentas juga kedudukan nama dan gambar pada grafik promosi acara dan bunting ramai menjangkakan Prof Shamrahayu yang duduk di sebelah Tun Suzana harus mengambil pentas terlebih dahulu. Nama Syaikh Rohimuddin cukup terkenal sebagai salah seorang ulamak besar yang sering berdakwah dalam majlis-majlis ilmu di Malaysia dan Indonesia. Sebagai seorang pengamal Tasawuf malah sheikh Tariqat yang boleh membimbing kenaikan kerohanian seseorang, beliau mengambil pendekatan aspek keSufian dalam membina kerangka kerelevanan institusi raja-raja dan kenapa ia perlu dipertahankan.



Dengan tutur kata lembut penuh sopan penampilan biasa orang keSufian beliau menyatakan betapa beruntungnya kita di Alam Melayu Nusantara ini berbanding orang di Tanah Arab yang disangkakan sesetengah orang lebih kuat Islam. Kata Syaikh Rohimuddin, Nusantara ini memiliki 3 perkara yang tidak ada pada Tanah Arab. Hmm. Saya mula ingat-ingat lupa kerana tidak pernah mengambil catatan. Saya tulis aje le apa yang ingat kerana saya ni jenis yang mencerna maklumat ibarat makanan menjadi zat. Bila dah jadi zat dalam badan ibarat ayam sudah dikunyah dan dihadam, tidak ada lagi rupa ayam tetapi zat yang membina kesihatan sudah ada di dalam badan.

Yang saya ingat katanya begini :-

1. Nusantara ini memiliki raja-raja berketurunan Ahlul Bait iaitu anak cucu Nabi Muhammad Rasulullah SAW.  Malah katanya semua raja-raja Islam di Nusantara memiliki darah tersebut. Ini berbeza dengan di Tanah Arab yang raja-raja Islamnya bermula dengan Dinasti Umaiyah dari keturunan Muawiyah ibnu Abu Sufian, dari orang yang dikatakan seorang sahabat Nabi. Dinasti Abbasiyah yang menyusul selepas itu juga dikatakan dari keturunan sahabat Nabi (walaupun mungkin ada yang mempertikaikan apakah ini keturunan sahabat atau harus disebut keturunan keluarga, kerana Bani Abbasiyah berasal dari keturunan Saidina Abbas, bapa saudara Rasulullah).

2. Kedua, yang membawa dan menyebarkan Islam ke Nusantara adalah golongan Sufi. Sedangkan di Tanah Arab kelihatannya yang menyebarkan itu lebih pada golongan fuqaha, ahli fekah atau golongan hukamak. Ada perbezaan ketara sebenarnya antara kedua ini. Di kala ahli fuqaha lebih menekankan hukum hakam dan pemahaman melalui ilmu kalam, ahli Sufi menekankan kerohanian sambil membina akhlak.

3. Nusantara rata-rata bermazhab Syafiee dan ini menurut Syaikh Rohimuddin adalah mazhab pakaian Ahlul Bait. Biar saya menambah ibu Imam Syafiee, pengasas mazhab ini adalah seorang Ahlul Bait dari keturunan Saidina Hassan kalau tak salah.

Berasal dari Indonesia, lebih tepat di Pulau Jawa beliau kemudian menyentuh sejarah kemunculan raja-raja Islam di sana. Sejarah Majapahit pun disentuh berserta kedatangan para Wali Songo (sembilan orang wali) yang sangat terkenal dengan penekanan diberikan kepada bagaimana Sunan Ampel yang berdarah Arab-Champa mendidik seorang anak raja Majapahit sehingga layak menjadi seorang raja Islam lalu membina Kesultanan Demak. Ini dilanjutkan menjadi sejarah bagaimana Belanda merosakkan kefahaman Islam Indonesia dengan memisahkan raja-raja sebagai para umara' dengan para ulamak, antaranya melalui doktrin keSufian yang disalah-tafsir lalu salah-tafsir ini sengaja diperbesar-besarkan sehingga dianggap sebagai kebenaran. Misalnya kisah Sheikh Siti Jenar yang terkenal ceritanya sering melakukan perbuatan yang melanggar syariat kebiasaan Islam.

Hasilnya terbitlah raja-raja kemudian yang mengaku Islam tetapi tidak mahu bersolat atas alasan tidak perlu lagi kerana sudah mencapai tahap tinggi kebatinan Islam. Ulamak yang tentunya tidak sebulu pun terpisah. Jika dahulu raja-raja menjadi penaung untuk ulamak berdakwah, kemudiannya ulamak harus bergerak sendiri mengembangkan ajaran melalui sistem sekolah pondok. Lalu apabila gugusan kepulauan yang membentuk Indonesia dapat memerdekakan diri daripada penjajahan Belanda ia terjadi tanpa ulamak dilibatkan lalu Islam tidak diangkat paling utama dalam falsafah pembentukan negara. Dan seperti kita tahu Indonesia menjadi sebuah republik, banyak raja-rajanya telah digulingkan, institusi beraja dihapuskan kecuali di beberapa tempat, itupun sekadar tinggal menjadi lambang adat.

Sebetulnya begitu banyak perkara penting disentuh ulamak besar ini, kalau tidak kerana had masa tentu sahaja beliau boleh bercakap lebih panjang. Biar saya simpulkan pembentangan/hujah/ceramah beliau ini kepada beberapa perkara :-


1. Pentingnya pendidikan pondok atau yang berasaskan cara pendidikan pondok untuk membina sahsiah ramai terutama raja-raja yang boleh memimpin rakyat ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat.

2. Pentingnya cara pendidikan dari ulamak yang bersifat Tasawuf, para ahli Sufi yang menggalas tanggungjawab berdakwah. Yang ini saya cukup suka. Saya suka sangat apabila beliau menyebut konsep 'limpahan'... limpahan ilmu, akhlak dan sebagainya untuk mendidik, bukan sekadar mengajar, baru yang mengikut itu betul-betul mendapat manfaat.

3. Raja itu harus seorang insan yang kamil, Tanpa menyatakan apakah maksudnya ini, ia harus difahami semua yang memiliki walau sekelumit pengajian Tasawuf, Ia bermakna insan yang sempurna, sudah mencapai tahap kerohanian atau pengenalan/makrifat yang sempurna tentang Allah.


Tentang hal ini, tentang raja haruslah insan yang kamil boleh rujuk beberapa penulisan lama saya sendiri di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Ringkasnya (sebenarnya agak panjang lebar juga) lihat artikel Demokrasi vs Raja-raja lagi? yang memaparkan sedutan daripada buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" (terbit Mei 2007).
.


Ketika panelis ketiga, Prof Shamrahayu mengambil pentas sudah masuk jam 10.40 malam. Beliau yang memiliki kepakaran dalam bidang undang-undang juga bercakap terus tanpa slaid dan teks. Dengan gaya seorang pensyarah bersyarah di dalam bilik kuliah beliau menceritakan peranan raja-raja Melayu mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Islam sewaktu berunding dengan pihak British dalam membentuk perlembagaan negara. Walaupun sangat informatif dan akademik lalu memberikan banyak maklumat tentang undang-undang negara dan perlembagaan, ada sesuatu yang saya kurang gemar. Ini kerana walaupun beliau menyebut beberapa fasal yang mengakui hak raja-raja untuk memutuskan suatu perkara, saya dapati apa yang disebut masih kuat terperangkap dalam legasi peninggalan penjajah yang memang bertujuan mahu meminggirkan Melayu dan Islam.



Saya merasakan cerita atau kuliah yang beliau bawa lebih mahu menjustifikasikan kepentingan orang politik dan sistem demokrasi. Segala fasal itu fasal ini, akta itu akta ini yang disebut dengan penuh bijak pandai tanpa perlu meneliti apa-apa rujukan itu sekadar memanjangkan lagi kerja residen atau penasihat British. Semasa zaman penjajahan, nasihat-nasihat mereka wajib digunapakai. Peranan residen ini diambil alih oleh orang politik selepas Semenanjung Tanah Melayu mencapai kemerdekaan 1957.  

Rata-rata kami yang datang ini sudah bosan dengan kerenah orang politik. Kami mahu raja-raja kembali memainkan peranan mendaulatkan Melayu dan Islam tanpa dikekang manusia tamak haloba yang semakin lama semakin nyata cuma mementingkan diri sendiri sahaja. Kalau ada keprihatinan terhadap rakyat pun lebih pada bermuka-muka untuk mendapatkan sokongan dan undi. Cuma apabila berlaku keadaan komposisi dewan undangan negeri mahupun parlimen menjadi 50-50, tergantung akibat pegangan kerusi kerajaan dan pembangkang sama banyak sahaja baru kelihatan raja boleh memainkan peranan. Selain itu adalah keadaan darurat di mana undang-undang biasa tidak lagi terpakai. Ketika itu pihak tentera mengambil kuasa dengan Yang di-Pertuan Agong boleh menentukan segalanya kerana baginda adalah ketua tertinggi angkatan tentera. 

Dalam dua keadaan ini sahaja nampaknya raja boleh jadi terserlah mengatasi sistem politik demokrasi. Selain dari itu tetaplah raja-raja duduk 'mendengar nasihat', disuruh tandatangan itu ini, buat itu, buat ini oleh ahli politik, Berbuatlah ia seperti menerima perintah orang politik kecuali dalam sedikit perkara kerana terikat dengan takrif raja berperlembagaan yang diperkenalkan (sebenarnya dipaksakan tetapi Shamrahayu samada tak tahu atau sengaja mengkaburkan ini) oleh penjajah sebelum meninggalkan Tanah Melayu. Pada saya segala itu cuma alat tinggalan penjajah untuk mengekang raja-raja daripada menggalas tugas sebenar meninggikan syiar Islam. Nak buat bagaimana? Tangan mereka diikat oleh kepentingan ahli politik yang sering merayu undi dengan cara menurut nafsu kehendak orang kebanyakan yang sering bersifat amarah.


Apa yang saya ingin dengar dari pakar undang-undang seperti Shamrahayu adalah bagaimana tafsiran undang-undang, akta mana, fasal mana boleh digunakan agar raja-raja dapat betul-betul memainkan peranan mengatasi permainan ahli politik yang kami naik mual itu. Maka bersyukurlah kami ada anak muda bertenaga, hebat berfikir dan tinggi wawasan seperti Wan Ahmad Fayhsal menjadi panelis keempat dan terakhir. Anak didik cendekiawan besar Profesor Syed Naguib al-Attas ini memang tegar mahu mengangkat kembali peranan institusi beraja. Kenyataan beliau boleh disimpulkan begini (perkataan saya ya) : "Tolak ketepi orang-orang politik yang tidak boleh diharapkan lagi untuk membela kepentingan Melayu dan Islam, zahirkan sultan yang keras lagi tegas untuk memperbetulkan segala kepincangan yang sudah sangat lama berakar-umbi".


Di kala anak-anak muda di Malaysia, anak Melayu dan Islam kini banyak terpesong malah terpasung dengan kerangka pemikiran sekularisasi yang semakin nyata semakin mahu menghancurkan Islam tetapi pandai berselindung di sebalik segala macam slogan muluk seperti kebebasan bersuara, hak asasi manusia dan ketuanan rakyat, beliau terang-terang menyanggah semua itu sebagai instrumen atau alat untuk menghancurkan ummah. Beliau memberi contoh bagaimana gerakan anak muda berpendidikan Barat yang dikenali sebagai Young Turks di Turki menjadi salah satu punca besar kejatuhan Kekhalifahan Uthmaniah yang berpusat di sana. Melaungkan slogan Tanzimat yang sebenarnya bermakna reformasi (ya, sama seperti keadaan di Malaysia sekarang), kekhalifahan dijatuhkan. Hasilnya umat Islam seluruh dunia hilang tumpuan kepimpinan lalu lebih mudah dijajah. Segala aspek kehidupan mereka pun diubah agar menjauhi Islam, kalau atas nama Islam pun bersifat zahir sahaja tanpa hakikat roh Islam yang amat tinggi lagi suci itu.

Sayang, Wan Ahmad Fayhsal tidak boleh bercakap lama kerana ketika mula naik bercakap pun sudah 11.15 malam. Saya kagum dengan jangkauan pemikiran dan ilmu beliau, mampu menulis dan bertutur dengan lincah dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, cukup arif Bahasa Arab dan nahu-nahunya, mampu meneliti karya-karya besar Timur dan Barat, boleh bercakap tentang penulisan seperti The Leviathan oleh Thomas Hobbes begitu juga tulisan cendekiawan Islam seperti al-Mawardi. Dalam masa suntuk tidak dapat mengupas perkara seperti yang awalnya beliau rancang forum dibawa melompat ke arah penelitian realiti zaman yang lebih tinggi. Faktor geopolitik dunia dengan Malaysia menjadi perebutan pengaruh antara blok pro-US dengan lawannya, blok pro-Russia dapat dikaitkan dengan usaha-usaha jahat pihak tertentu untuk menjatuhkan institusi beraja.

Maka untuk menangani inilah raja-raja harus diperkasakan kembali melampaui kekangan tangan-tangan cemar ahli politik yang sentiasa hendak menjaga kepentingan diri sendiri sehingga selalu memperkudakan rakyat. Malah Wan Ahmad Fayhsal  mendakwa Russia yang sudah lama hilang institusi beraja pun berura-ura mahu mengembalikannya. Mereka hilang raja akibat ditekan gerakan ketuanan rakyat Bolshevik yang modus operandi atau gerak kerjanya serupa dengan gerakan Young Turks dengan laungan Tanzimat mereka. Satu kepala kepimpinan yang kuat, yang keputusannya tidak sering disoal seperti halnya dalam sistem demokrasi diperlukan untuk betul-betul dapat menangani cabaran hegemoni US yang semakin hari semakin mengancam. Katanya, presiden Russia sekarang iaitu Vladimir Putin adalah calon raja itu!



Sesi pembentangan tamat sekitar 11.30 diikuti sesi soal jawab. Tak payahlah dipanjangkan ya. Cukuplah menyebut antara yang disentuh adalah bab asal usul Melayu yang berkaitan dengan Nabi Ibrahim, kekhalifahan dan peribadi bagaimana layak menjadi khalifah juga bagaimana menangani persoalan personaliti raja atau kerabat diraja yang jelek sehingga merosakkan nama baik institusi lalu dijadikan alasan sesetengah pihak untuk menyanggah malah mahu menghapuskannya.



Cukuplah ditambah, forum ditamatkan dengan Tun Suzana mengemukakan resolusi agar semua kembali memperbaiki agama dan diri masing-masing dengan mengaji. Selain itu beliau menyatakan kesimpulan bahawa kita sebenarnya ada cukup cendekiawan dan cerdik pandai untuk menyelesaikan segala macam masalah yang melanda negara juga umat Melayu dan Islam. Tapi malangnya jalan penyelesaian yang dikemukakan tersangkut pada peringkat ahli politik disebabkan kepentingan. Teringat saya bagaimana pada satu wacana ilmu yang lain ada disebut bahawa peruntukan undang-undang dan pelembagaan sekarang, walaupun telah menghadkan kuasa sebenar raja-raja sejak sekian lama, sebenarnya memberikan lebih banyak kuasa dari yang disangka. Tetapi para penasihat raja sendiri tidak menasihati sebaik mungkin. Nampaknya mereka sengaja mahu mengaburkan hak kekuasaan raja agar orang politik dapat terus memegang teraju utama. Raja-raja pun dijadikan sekadar burung kak tua, rubber stamp atau tukang cap/tandatangan surat untuk membenarkan agenda...


Soal jawab selesai selepas 12 tengah malam. Ketika gambar ini diambil sudah 12.15 dan ramai masih berlegar.


Daripada seorang rakan yang berniaga buku saya mendapatkan senaskah kitab Hikayat Iskandar Zulkarnain. Ia merujuk kepada seorang raja besar luar negara yang dipercayai menjadi nenek-moynag raja-raja Melayu. Walaupun sudah lama tahu tentang kewujudan naskah yang telah ditransliterasikan ke dalam tulisan Rumi, malah sejak 1967 kalau tak salah sudah ada naskahnya, baru sejak seminggu lalu saya merasa perlu memilikinya dan meneliti isi.


Tu dia, rakan-rakan seperjuangan memakai busana penuh tradisional Melayu, bersampin, berkeris, bertanjak bergambar bersama panelis.


Dengan ini selesailah ulasan tentang forum institusi beraja ini. Bolehlah saya menelaah Hikayat Iskandar Zulkarnain. Semoga selepas itu dapat menyambung kembali penulisan buku ke-8 dengan lebih bersemangat, dengan gerak kerja juga ilham yang lebih teratur lagi mantap. Amin. :]



2 comments:

Anonymous said...

Terima kasih tuan atas perkongsian majlis yg dianjurkan, semoga Melayu Islam akan terus gemilang dan sedar akan segala agenda2 asing yg sengaja atau tidak sengaja utk menjajah fizikal dan lahiriah kita. Teruskan usaha tuan!! Assalamualaikum

Radzi Sapiee said...

Wassalam... :]