Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Jun 22, 2007

Cerita-cerita Muar dalam "Berpetualang ke Aceh"...

Hmm... Rupanya saya masih ada sedikit masa lagi untuk berceloteh. Tuan kedai komputer di Raub tempat saya memakai line wi-fi ini membenarkan saya berada lebih lama sedikit, cukuplah untuk membuat sebuah lagi posting.
Oleh kerana kebelakangan ini, saya telah bertemu kembali ramai juga kawan-kawan lama daripada Muar, biar saya letak sedikit excerpts cerita-cerita berkaitan Muar yang ada dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh"... Excerpts ini telah disediakan malam semalam. Mari kita mulakan dengan buku satu, "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" atau BKA I ya... Sila... :]

p/s: Beberapa pembetulan serta komen tambahan dalam artikel ini ditambah sekitar jam 4 petang Ahad 24 Jun 2007 di Kuala Kubu Bahru, setelah turun dengan bas daripada Fraser's Hill. Kebetulan di kawasan warung tempat saya minum teh halia ni ada signal wi-fi free, tu yang boleh update tu... :]

---------------------------


Bab 1 mukasurat 28-29

Bayangkan, ketika sedang menduduki peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pun Rasyid sempat lari rumah kerana bergaduh dengan ayah. Sebab ibu asyik complain pemuda ini selalu keluar malam, melepak main gitar dengan kawan-kawan entah di rumah siapa, hampir Subuh baru nak balik ke rumah. Study jangan haraplah, sejak keluar sekolah asrama dia tidak pernah lagi mengulang-kaji pelajaran. Sekolah asrama dulu lainlah, terpaksa... Semua pelajar diwajibkan prep, singkatan untuk preparatory class. Mesti berada di kelas selepas Isyak sehingga jam 10, siap ada pengawas memastikan mereka mengulang-kaji pelajaran. Sejak masuk sekolah harian biasa, Sekolah Tinggi Muar tiada siapa yang boleh menegurnya lagi kecuali ayah yang jarang berada di rumah. Itu yang dia makin “besar kepala”...
Apabila ayah kembali dari Kuala Lumpur (dia bekerja di sana sejak 1982, seminggu sekali balik ke Muar) ibu pun mengadu kepadanya. Kebetulan rambut Rasyid telah hampir mencecah kolar, maka ayah yang sedang marah pun masuk ke bilik untuk mengambil gunting. Anak muda itu teringat pula bagaimana rambutnya telah ‘ditakik’ sehingga berlubang sana-sini oleh guru disiplin di sekolah berasrama penuh dahulu, akibat rambut panjang mencecah kolar juga. Maka dengan jiwa yang memberontak, dia pun terus keluar lari dari rumah sehelai-sepinggang lalu menumpang di rumah kawan.Nyaris-nyaris tidak meneruskan SPM...
Dipendekkan cerita, setelah berfikir masak-masak tentang masa hadapannya, pemuda ini menelefon seorang adiknya supaya membawa pakaian sekolah untuk dipakai ke dewan peperiksaan. Rendesvous di warung tempat kawan-kawan biasa melepak... Tiga hari kemudian, barulah dia kembali ke rumah, setelah terserempak dengan ayah dan ibu ketika menolong seorang kawan menjual rojak di tepi Sungai Muar, selepas selesai menduduki satu kertas peperiksaan, masih lagi dalam pakaian sekolah!
Dalam keadaan ini, Rasyid masih mampu mendapat Gred 1 walaupun aggregatnya tidaklah sehebat mana, cuma 14 sahaja... Sepatutnya, dia masih boleh memperolehi keputusan yang lebih elok tetapi anak muda ini kurang peduli. Ketika. kebanyakan pelajar Grade 1 material boleh score dalam matapelajaran Agama Islam dan Bahasa Malaysia, boleh dapat 1 kerana dua matapelajaran ini dikira bonus, sering dianggap senang oleh kebanyakan pelajar Melayu dan Islam, dia pula setakat mendapat 6 untuk Agama, 3 untuk BM. Bahasa Inggeris dan Matematik pula yang dapat 1... Kalau tidak mesti sudah dapat agregat 10 ke bawah.


p/s: Warung tempat rendesvous yang dimaksudkan ialah warung Pak Yem di hadapan sekolah menengah Sultan Abu Bakar. Maha Suci Allah telah menemukan saya kembali dengan anak Pak Yem iaitu Khairul @ Aloy melalui Internet selepas 20 tahun tidak bersua-muka. Lalu perkenalan kembali ini disusuli dengan pertemuan di hadapan mata semasa majlis pelancaran siri buku "Berpetualang ke Aceh" yang diadakan di Khazanah Fathaniyah di Chow Kit 9 Jun.

-------------------

Bab 2 mukasurat 59-60

Setahu Rasyid, makam Sultan Alauddin adalah satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih wujud. Makam-makam lain nampaknya hilang begitu sahaja, mungkin kerana telah dirobohkan Portugis, untuk menghilangkan segala kesan warisan keSultanan Melaka selagi dapat? Malah pemuda yang pernah menjelajah hampir seluruh pelusuk Perak semata-mata untuk menziarahi makam-makam lama ini percaya, penjajah Barat itu sanggup merobohkan masjid-masjid dan istana-istana di Melaka lalu menggunakan batu-batu asasnya bersama batu-batu nesan raja-raja untuk mendirikan kota demi menangkis segala serangan orang Melayu.
“Itulah Kota A Famosa yang sangat dibangga-banggakan sebagai warisan peninggalan sejarah Melaka, sering diwar-warkan sebagai salah satu tarikan utama pelancong ke bekas pusat empayar Melayu itu bersama bekas peninggalan penjajah yang lain seperti Gereja Saint Paul,” kata Rasyid penuh geram setiap kali mendapat peluang untuk mengemukakan ‘penemuannya’ itu kepada sesiapa sahaja yang sanggup memasang telinga.
Nasib baik Sultan Alauddin dimakamkan di Pagoh, dalam daerah Muar, Johor. Kalau tidak, makam baginda pun agaknya turut lenyap sama!
“Itupun ada orang yang mempersoalkan kesahihannya walaupun penduduk setempat menyatakan batu nesan baginda yang bertulisan jawi merekodkan nama pemiliknya sebagai Sultan Alauddin Riayat Shah ibni Sultan Mansur Shah ibni Sultan Muzaffar Shah,” katanya penuh semangat. “Apakah ada Sultan lain dengan nama yang sama? Yang nama ayahanda serta nendanya juga serupa dengan Sultan Melaka itu? Saya rasa tidak...”
Maka timbullah satu persoalan yang menjolok fikiran - Mengapa baginda tidak dimakamkan di Kota Melaka, pusat pemerintahan empayar yang mengandungi makam diraja Melaka seperti Sultan-sultannya yang lain? Pagoh bukannya pusat pemerintahan atau pentadbiran kerajaan. Malah cuma sebuah jajahan terpencil di luar lingkungan kebesaran dan kemewahan Kota Melaka. Apakah istimewanya pekan kecil di kawasan pendalaman Muar ini sehingga seorang Sultan yang tersohor dalam sejarah keSultanan Melaka boleh dimakamkan di situ? Bukankah ini aneh? Atau wujud satu cerita lama yang telah digelapkan, cerita tersembunyi yang mengandungi punca sebenar kejatuhan Melaka ke tangan Portugis nanti?
Rasyid teringat lawatannya ke makam Sultan Alauddin di Kampung Raja, Pagoh setahun lalu. Makam berhadapan sebuah perkuburan lama ini terletak di perkarangan sebuah masjid berwarna kuning yang rekabentuknya serupa dengan sebuah masjid yang pernah dilihatnya dalam sebuah mimpi. Cuma dalam mimpi itu, masjid ini terletak di lereng bukit yang sederhana tinggi, bukan di atas bukit rendah seperti di Kampung Raja. Dan mimpi itu membayangkan sebuah lokasi di Perak yang pernah terletak berhampiran bumi Serambi Mekah suatu zaman dahulu...

p/s: Tentang ini, ada lagi satu cerita yang menarik. Usaha saya mewar-warkan cerita-cerita lama Melayu sebegini melalui Internet telah menyebabkan saya juga ditemukan dengan seorang lagi rakan lama, kali ini seorang rakan yang pernah duduk sebilik di Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang. Kawan ini memakai nama Pofs dalam Internet.
Sebelum itu, kali terakhir kami bertemu adalah ketika menuntut di Tingkatan Empat tahun 1986. Tetapi setelah bertemu kembali lebih 20 tahun kemudian, baru saya tahu rakan ini adalah seorang anak Muar malah rumahnya terletak di Pagoh, tidak jauh daripada makam Sultan Alauddin Riayat Shah!

---------------------------

Bab bertajuk “Sedikit mengenai Sheikh Abdul Qadir al-Jilani” page 165

Rasyid juga pernah beberapa kali mengunjungi Pulau Besar di Melaka, sebuah pulau yang dianggap sangat keramat, bukan boleh diziarahi secara sembarangan, untuk mencari makna sebuah mimpi yang pernah dialaminya lebih enam tahun lalu. Pemuda ini sudah lama mendengar cerita-cerita tentang kekeramatan dan ‘keras’nya pulau itu, salah satunya, orang yang berniat buruk atau tidak bersih seperti cuba membawa arak masuk ke sana atau ingin berzina akan tenggelam dipukul ombak. Rasyid dilahirkan dan dibesarkan di Muar, kampung ibu, boleh nampak pulau itu dari Tanjung Emas, tempatnya selalu bersantai dahulu. Tetapi dia cuma mendapat “panggilan pulau”, tergerak untuk ke sana selepas lama mencari tempat yang dapat memenuhi ciri-ciri yang terdapat dalam mimpi yang dialaminya tahun 1998, mimpi yang menunjukkan Semenanjung Tanah Melayu pernah bersambung dengan Sumatera suatu masa dahulu.
Kebetulan pula mimpi yang sama telah membawanya untuk mengenali siapa itu Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani. Maka apabila sampai masanya, pemuda inipun bergegas ke Anjung Batu, Melaka untuk menaiki feri ke pulau itu. Barulah Rasyid tahu tentang kewujudan sebuah makam keramat yang dianggap paling utama di antara banyak makam keramat di sana. Itulah makam Sultan Ariffin Sheikh Ismail yang menonjol dengan panjangnya yang luar biasa, dikunjungi beribu malah berpuluh ribu orang terutama pengikut Tariqat Qadiriyah dari seluruh Nusantara. Lalu terjumpalah sirah menyatakan nama sebenarnya ialah Ismail bin Abdul Qadir bin Abdul Jabbar bin Saleh bin Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani...

p/s: Teringat kawan-kawan yang selalu melepak sama makan angin di Tanjung sambil menikmati angin dan pemandangan laut. Masyaallah! Kalau difikirkan, memang banyak sangat kenangan lama mengusik jiwa sampai tak terkata...

-------------------

Dalam buku dua, "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal", ada lebih banyak cerita berkenaan Muar. Nanti saya letak di sini ya... Wassalam! :]

p/s: Nak tengok gambar-gambar Muar, boleh masuk ke sini... Nostalgia kenangan silam di bandar Muar. Ada cerita mengenai kenangan serta dunia pemikiran saya semasa zaman kanak-kanak dahulu...

"Berpetualang ke Aceh" tour trial run...

Gambar yang diambil di Raub petang semalam...



Assalamualaikum para pembaca sekalian... Oleh kerana kesuntukan masa akibat kedai komputer tempat saya memakai wi-fi berbayar di Raub, Pahang ini akan tutup sebentar lagi, tak dapatlah saya melanjutkan cerita... Tadi pun dah pakai banyak masa buat cerita pasal jalan malam-malam buta di Kuala Lumpur jadi biarlah saya letak gambar-gambar ini sebagai pembuka selera OK... Nanti ada masa, saya sambung lagi...

Sementara itu, masuklah ke sini... Mari bersama war-warkan "Berpetualang ke Aceh". Marilah... Anda semua dipersilakan memeriahkan acara. OK. Got to go... Cheers!






Gambar di ambil di Chow Kit sebelum pergi ke Raub...



Ait??? Dalam bas pun ada poster promosi "Berpetualang ke Aceh"? Apa ceritanya ini?...


Khamis, Jun 21, 2007

Jalan-jalan KL malam-malam buta!

Gambar ini diambil di sebuah restoran di Wisma Central, Ampang sejurus sebelum masuk waktu Subuh. Dalam bahagian basement bangunan ini pernah wujud sebuah disko terkenal semasa zaman saya ligat keluar malam 20 tahun lalu, disko bernama Traqs (atau Traxx? Tak ingat ejaannya) kemudian bertukar nama jadi Baze.
Adapun sebab utama saya tergerak untuk mengambil gambar ini adalah kerana nama Rasyid yang tertera sama seperti nama watak utama dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh".
Hmm... Muncul pula rasa untuk copy and paste sesuatu daripada buku pertama saya, "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti". Ini dia...

Pak Syed pun mula bersyarah tentang kehidupan dan kejayaan, tentang penulisan dan penerbitan buku... Tentang bagaimana dia sendiri melangkah sebelum menjadi penulis terkenal. Pemuda itu cuma mendengar sahaja, tidak terfikir pun mahu enjoy. Terlalu banyak perkara yang merunsingkan fikirannya... Tahun Baru akan menjenguk tidak lama lagi tetapi kemelut yang melanda jiwanya tidak juga selesai-selesai. Semuanya terasa tawar dan hambar. Mana ada mood hendak enjoy? Tengok orang ramai pun pening, meluat... Rasa nak muntah pun ada. Boleh ke celebrate new year begini?
Lalu Rasyid teringat perayaan-perayaan hujung tahun 80an dan awal 90an dahulu, ketika dia masih suka enjoy... Ketika itu layaklah kalau Pak Syed menegurnya... Zaman itu, awal-awal lagi dia sudah menyiapkan seluar, baju dan kasut yang hendak dipakai dan digayakan, supaya penampilannya ‘mengancam’, dapat menarik perhatian... Sudah merancang dengan kawan-kawan, manakah lokasi yang happening, tempat ‘hinggap’ yang sesuai...
Tempat-tempat seperti Dataran Merdeka boleh tahanlah juga, boleh menonton konsert free dengan show bunga api. Tetapi anak muda ini sudah terbiasa menghabiskan zaman kolejnya di pusat-pusat hiburan eksklusif seperti Scandals di Bukit Bintang dan Faces di Jalan Ampang, tempat-tempat yang pengunjungnya ada class, bukan orang sembarangan... Barulah boleh berjumpa awek yang dapat memenuhi citarasanya yang agak tinggi.
Zaman itu, waktu hujung minggunya sering dipenuhi bersama kawan-kawan ‘sealiran’ berdansa mengurat perempuan, kalau tidak membawa girlfriend ataupun date bersama... Gelak ketawa santai minum-minum, kadang-kala sampai tujuh disko satu malam! Dari Scandals boleh ke Faces, tukar selera pula ke Traqs. Eh... Ke Trax? Sudah lupa ejaannya, diskonya pun tak ada lagi... Yang nyata, ia terletak di Jalan Ampang juga, tidak jauh dari beberapa kelab malam lain dalam segitiga emas Kuala Lumpur.


OK... Sekarang barulah saya boleh meneruskan cerita.

Adapun artikel kali ini mahu digarap setelah selesai berjalan kaki pusing bandaraya Kuala Lumpur seorang diri pada suatu malam (atau pagi?) buta. Ini berlaku setelah membuat artikel tentang Janda Baik bertajuk "Nyamannya Janda Baik!" Isnin malam Selesa di sebuah cyber-cafe di kawasan Pudu Raya, artikel yang dibuat di dalam ketiga-tiga blogspot saya, dalam bahasa Melayu untuk blogspot ini, dalam bahasa Inggeris untuk blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan dalam bahasa Melayu berserta terjemahan Inggeris untuk blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)
Hari itu, saya memang banyak berjalan kaki. Pada siang hari, saya telah berjalan kaki daripada sebuah rumah keluarga di Sungai Jelok, Kajang sehingga ke Stesyen Komuter (hampir 3km) untuk mengambil keretapi komuter ke Bandar Tasik Selatan. Petangnya, saya berjalan kaki daripada Chow Kit sampai ke Masjid Jamek pula di mana saya telah menunaikan Solat Maghrib sebelum ke cyber-cafe di Puduraya.
Niat saya adalah untuk menyiapkan cerita bergambar mengenai Janda Baik hasil ilham berehat di sana minggu lepas. Cuma cerita yang dibuat untuk ketiga-tiga blogspot termasuk proses terjemahan (selain merayap melihat perkembangan lain di dunia siber) telah menyebabkan saya terperuk di cyber-cafe sehingga melepasi waktu tengah malam.
Oleh kerana penghuni rumah ibu saudara tempat saya menumpang di Ampang semuanya tidur awal, sudah menjadi kebiasaan saya apabila keluar lewat untuk menghabiskan sisa-sisa malam di luar rumah agar tidak mengganggu mereka. Saya akan berehat di rumah kenalan, saudara-mara atau buat apa-apa aktiviti sehingga muncul waktu Subuh... Dan kali ini, saya membuat keputusan untuk merayau-rayau melihat suasana pagi buta kotaraya, sesuatu yang saya selalu buat semasa zaman remaja melarikan diri daripada rumah juga semasa zaman saya ligat berdansa sambil mengurat wanita di disko-disko. Kira nak buat jejak nostalgia lah ini... Hehe!

Oh... Sebenarnya saya bercadang untuk membuat artikel ini dalam dua bahasa untuk digunakan di dalam ketiga-tiga blogspot saya... Tetapi memandangkan saya rasa kurang sihat, penat campur sedikit malas, rasanya cukuplah ia dibuat untuk blogspot ini sahaja ya... Lagipun saya kekurangan masa. Semasa menulis ayat ini, jam sudah masuk pukul 5.11 petang sedangkan kedai komputer tempat saya menulis dan menggunakan wi-fi akan tutup jam 6 petang.
Itupun nasib baik saya telah memasukkan gambar yang ingin dipakai dalam bentuk draft semalam. Hmm... Lupa pula nak beritahu, draft itu dibuat di Kuala Lumpur sedangkan saya kini berada di Raub, Pahang. Sebab itu blogspot ini menyatakan artikel ini dimulakan Khamis 21 Jun 2007 sedangkan penulisan sebenar dibuat hari ini, Jumaat 22 Jun 2007.
Apapun, saya bersyukur kerana dapat memulakan penulisan ini... Kalau tak mungkin tertunda lagi akibat kurang mood dan rasa letih-lesu bercampur demam sedangkan saya rasa kurang senang jika tidak menyiapkan cerita yang patut dimulakan 2 hari lepas. Baiklah dilepaskan sekarang, besok lusa entak ke mana pula saya akan merayap... Mungkin ke Fraser's Hill pula?
OK... Inilah ceritanya menurut urutan peristiwa setelah meninggalkan cyber-cafe di Pudu-raya sekitar jam 12.30 malam pagi Selasa...


Di atas adalah pemandangan daripada luar cyber-cafe. Kelihatan di kiri, jejantas untuk masuk ke kawasan letak-kereta kompleks stesyen bas dan teksi Pudu Raya. Teringat pula yang saya belum menunaikan solat Isyak. Nasib baik boleh menggunakan bahagian luar surau di stesyen itu...



Selesai menunaikan solat, saya pun berjalan kaki melalui hadapan Kompleks Kotaraya, Petaling Street seterusnya Central Market. Terserempak seorang rakan pelukis yang sedang berbaring di hadapan bangunan annexe Central Market... Sempatlah bertukar-tukar cerita... Baru saya tahu rakan (sebenarnya rakan kepada seorang rakan lain) ini berdarah Bugis malah berpangkat Daeng dan berasal daripada Perak, negeri kelahiran bapa... Klik Central Market pula jadi port terbaru "Berpetualang" untuk mengetahui hubungan saya dengan Central Market.
Kemudian saya berjalan-jalan pula di Dataran Merdeka. Banyak juga mat rempit sedang "bersiar-siar" jadi Superman. Tak nak kacau mereka... Biarlah budak-budak dengan darah muda, saya dengan hal saya sendiri melihat kebesaran Allah mencipta alam maya ini. Maka saya pun ambillah sekeping gambar bangunan Sultan Abdul Samad seperti yang dipaparkan di atas...



Gambar ini pula diambil di Jalan Raja Laut, berdekatan dengan Wisma Cycle and Carriage. Tidak lama kemudian, beberapa kaki sahaja daripada tempat saya berdiri mengambil gambar ini, saya nyaris-nyaris dilanggar sebuah kereta (kalau tak salah Proton Wira) yang sedang berlumba dengan sebuah kereta lain.
Kedua-dua kereta ini sedang memecut laju, saya tak pasti daripada arah Jalan Sultan Ismail atau arah Kompleks Pertama. Pada awalnya, kedua-dua kereta kelihatan seperti hendak memecut terus melalui Jalan Raja Laut tetapi apabila menghampiri tempat saya berdiri, tiba-tiba sahaja mereka membuat pusingan ke kanan untuk masuk ke jalan berhadapan sebuah hotel besar (lupa namanya) yang berhubung terus ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, tanpa membuat apa-apa signal untuk menyatakan pertukaran arah!
Kereta yang di hadapan dapat membuat corner dengan lebih teratur tetapi kereta di belakang pula yang tersasar sedikit sehingga membelok langsung menuju kepada saya. Nasib baiklah saya sempat melompat ke belakang, cukuplah untuk mengelak dalam jarak 1 kaki daripada libasan maut besi sementara kereta itu sedikit terbabas lalu naik ke penghadang jalan dan melanggar sebuah tiang penghadang.


Sampai ke kawasan Chow Kit, saya boleh sahaja memendekkan perjalanan dengan memotong terus melalui mana-mana jalan pintas ataupun lorong untuk ke Jalan Tuanku Abdul Rahman tapi entah kenapa, saya rasa perjalanan ini tidak akan lengkap tanpa melalui sedikit bahagian Jalan Ipoh yang menyambungkan kedua-kedua jalanraya besar itu.
Di atas adalah gambar kawasan Chow Kit sekitar jam 2-3 pagi...

Berehat sebentar di lorong belakang Chow Kit bersama warga-kota menyaksikan cerita Kung-Fu di warung.


Ini pula adalah pemandangan stesyen monorail Medan Tuanku, dalam perjalanan daripada Jalan Tuanku Abduk Rahman menghala ke Ampang setelah membuat keputusan untuk melalui kawasan KLCC.


Papan-tanda di hadapan menunjukkan KLCC lagi 1.5 km lagi...



Ini pula gambar persimpangan Jalan Sultan Ismail dengan Jalan Ampang. Kelihatan hotel Concorde di belakang, teringat zaman disko saya 20 tahun lalu ketika hotel itu dipanggil Hotel Merlin (kalau tak salah ingatan). Di basement hotel itulah terletak disko Reflections yang selalu beroperasi sehingga jam 8 pagi!



Pemandangan Menara Berkembar Petronas di KLCC pagi buta, dalam jam 5 pagi begitu. Inilah gambar kelam yang kelihatan menggunakan kamera digital murah saya....



Singgah berehat minum teh tarik di sebuah restoran 24 jam di Wisma Central. Gambar restoran ini yang diambil daripada sudut lain telah digunakan sebagai gambar permulaan untuk menghiasi artikel ini.



Bahagian anjung Masjid As-Syakirin di sekitar KLCC. Sempat menunaikan Solat Subuh sebelum berjalan kaki ke Ampang Park kemudian naik bas kembali ke rumah ibu saudara di Ampang. Tammmmmaaat!!! :]






Selasa, Jun 19, 2007

Cara-cara mendapatkan siri buku BKA dan DVD...

Gambar daun kering berlatar-belakangkan jubin yang diambil di Janda Baik... Saja je seronok buat hiasan cerita!


Assalamualaikum. Oleh kerana ramai telah bertanyakan soalan yang sama iaitu bagaimana mahu membeli buku "Berpetualang ke Aceh" secara pos, biarlah diberitahu caranya. Siapa yang berminat membeli boleh menghantar wang pos berpatutan kepada :




Radzi Sapiee,

No 17, Jalan Hijau 1/1,

Bandar Tasik Puteri,

48020 Rawang,

Selangor





Sila nyatakan buku mana yang hendak dibeli, BKA I ("Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti", BKA II ("Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal") atau BKA III ("Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?), samada satu, dua mahupun tiga. Harga BKA I dan BKA II adalah sama iaitu RM24.90. Kedua-dua mengandungi 304 mukasurat. BKA III pula mengandungi 320 mukasurat dan berharga RM27.90.


Merujuk pada sebab-sebab yang diberikan dalam artikel Tentang perjalanan sekitar raya dan promosi buku (dibuat 21 September 2011). Biar dimaklumkan. Bermula tarikh tersebut kos pos untuk siri "Berpetualang ke Aceh" harus dinaikkan untuk menampung perubahan harga semasa. Jika dahulu kos campur pos untuk buku pertama siri dengan tajuk kecil "Mencari diri dan erti" (BKA I) dan buku kedua "Membela syiar yang asal" (BKA II) adalah RM30 setiap satu, kini saya terpaksa meletakkan harga RM31. Untuk buku ketiga "Sirih pulang ke gagang?" (BKA III) pula selama ini saya telah menyerap kos sebanyak RM2.40 setiap kali penghantaran senaskah apabila turut meletakkan kos campur pos sebanyak RM30. Kini saya terpaksa meletakkan harga RM34.

Namun itu adalah kos jika membeli satu sahaja buku. Untuk dua buku saya masih boleh menyerap kos kerana boleh menggunakan satu kotak Pos Ekspress RM7. Maka harga RM60 campur kos pos masih terpakai untuk pembelian mana-mana dua buku dalam siri ini. Harga RM90 untuk tiga buku atau satu set juga masih terpakai kerana saya cuma perlu menyerap 70 sen sahaja bagi setiap penghantaran. Harap maklum

Ramai juga telah menyatakan minat untuk mendapatkan DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874". Untuk makluman, DVD sepanjang 2 jam yang mengandungi lawatan menyusuri sejarah di lebih 44 lokasi seluruh Perak ini dijual pada harga RM15 sekeping. Dahulu saya pernah menjual pada harga yang sama melalui pos tetapi disebabkan perubahan semasa, ia harus dijual pada harga RM17 campur pos. Namun sebagai tawaran (selagi stok masih ada), peminat sejarah boleh membeli ketiga-tiga buku dalam siri BKA bersama DVD sekali dengan harga RM100 sahaja!

Pada wang pos itu, sila nyatakan nama penerima sebagai Mohd Fahrulradzi bin Mohamad Sapiee (nama saya mengikut IC), atau Mohd. Fahrulradzi saja pun boleh. Ini kerana pejabat pos kini cuma menerima wang pos menurut nama dalam IC sahaja. Harap maklum...



Ada juga pihak yang bertanya jika mereka boleh membayar secara bank-in-account. Alhamdulillah, ada yang telah cuba membuat transfer duit terus masuk ke account saya di Islamik Affin Bank dan ternyata ia berjaya. Maka pembaca juga boleh berbuat begitu melalui nombor akaun di bawah...



Affin Islamic Bank : 20-530-011171-1

Atas nama: Mohd Fahrulradzi b Mohamad Sapiee



Maklumkan anda telah membuat transaksi dengan menghantar SMS berserta alamat rumah dan buku yang hendak dibeli ke telefon nombor 013-3082131. Selepas terbukti transaksi telah berjaya, saya akan poskan buku ke alamat rumah anda secepat mungkin. Anda juga boleh menggunakan nombor akaun isteri saya.




Maybank - 112110854698


Atas nama: Nor Afidah binti Yusof



Adapun siri buku "Berpetualang ke Aceh" pernah dijual di tokoh-tokoh terpilih MPH dan Popular Bookstores seluruh Malaysia. Di tokoh buku Books Kinokuniya di KLCC juga ada begitu juga Borders di Berjaya Megamall selain kedai-kedai buku seperti Minerva di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Saya diberitahu, ada juga yang telah dibawa masuk ke Brunei oleh individu yang berminat lalu menjualnya. Begitu juga buku ini pernah dijual di kedai buku lapangan terbang di sesetengah bandar di Malaysia Timur. Namun sejak Oktober 2010 rasanya tiada lagi di kedai-kedai tersebut. Namun saya masih menyimpan stok untuk jualan langsung, juga untuk jualan secara pos. Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi saya di 013-3082131 atau e-mail merahsilu@hotmail.com



Isnin, Jun 18, 2007

Nyamannya Janda Baik!

Pemandangan Sungai Chemperoh yang berjeram daripada sebuah warung makan di tepian jalan. Sungai ini merupakan salah sebuah daripada beberapa buah sungai yang menghiasi kawasan perkampungan di Janda Baik, Bentong, Pahang.
Tidak jauh dari sini, terletak sebuah surau yang sering menjadi tempat persinggahan ramai pengikut Tabligh serta mereka yang mahu beruzlah, beribadat seraya menjauhkan diri daripada hiruk-pikuk keduniaan masyarakat luar. Surau ini juga merupakan salah sebuah "rumah penginapan" saya apabila berada di Janda Baik.


"Katakanlah: inginkah aku kabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu, untuk orang-orang yang bertaqwa kepada Allah, pada sisi Tuhan mereka ada syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan mereka dikarunia isteri-isteri yang disucikan serta keridhaan Allah, dan Allah Maha Melihat akan hamba-hambanya."

- Ayat 15, Surah Ali Imran


Assalamualaikum para pembaca sekalian. Hari ini, saya tergerak untuk berkongsi beberapa gambar yang diambil di sekitar Kampung Janda Baik, daerah Bentong, Pahang... Ketika berehat di sana minggu lepas. Adapun kawasan perkampungan yang nyaman ini terletak di kawasan lembah di celah Banjaran Titiwangsa, pada ketinggian 1,400 kaki daripada aras laut.
Untuk pengetahuan, ia adalah satu-satunya kawasan tanah tinggi di Malaysia yang telah diwartakan sebagai Tanah Rezab Melayu. Kawasan tanah tinggi lain nampaknya telah dikuasai atau dimiliki bangsa lain. Lihat pada Genting Highlands yang terletak tidak jauh daripada sini sebagai contoh...
Gambar-gambar ini disertakan menurut satu turutan peristiwa dan perjalanan. Sila lihat dengan teliti dan ikutilah rentak bercerita yang keluar secara spontan. Insyaallah, di sebalik ini, akan ada satu bentuk penyampaian ilmu yang tersirat secara batin untuk semua... Silakan!

--------------------


Cerita bergambar ini dimulakan dengan gambar yang diambil sebaik sahaja turun daripada bas Kuala Lumpur-Bentong-Raub. Untuk masuk ke Janda Baik, seseorang itu perlu turun di pekan Bukit Tinggi yang terletak di tepian lebuhraya.
Kelihatan dalam gambar adalah pusat peranginan Selesa Hill Homes di belakang. Di hadapan pula adalah rumah pangsa yang kebanyakannya didiami orang luar yang bekerja di sekitar Janda Baik dan Bukit Tinggi.

Ini pula lorong pejalan kaki yang perlu dilalui daripada perhentian bas untuk ke pekan Bukit Tinggi. Perhentian bas untuk menghala ke Kuala Lumpur terletak betul-betul bersebelahan pekan sedangkan perhentian menghala ke Bentong dan Raub di mana saya turun terletak hampir setengah kilometer jauhnya!



Terowong bawah tanah menyeberangi lebuhraya untuk sampai ke pekan Bukit Tinggi.



Keluar sahaja daripada terowong, kelihatan pula pasar lambak yang diadakan hari Selasa



Inilah dia pekan Bukit Tinggi. Asalnya, ia merupakan salah sebuah perkampungan baru untuk mengumpulkan warga Malaysia keturunan Cina, diterbitkan tahun 1960an untuk menangani masalah komunis ketika itu.
Warga di sini banyak berniaga dan menanam sayur-sayuran termasuk di sekitar kawasan Genting Sempah di mana terdapat tanaman halia gred satu untuk eksport ke luar negara. Ada juga warga Bukit Tinggi yang mengambil malah menanam sayur di Janda Baik yang merupakan Tanah Rezab Melayu lalu membawanya ke pasar borong di Selayang, Kuala Lumpur.


Pemandangan di pasar lambak Bukit Tinggi. Perkataan "pasar lambak" adalah perkataan yang biasa digunakan di daerah kelahiran saya, Muar, Johor. Di Kuala Lumpur pula, pasar sebegini selalu dipanggil sebagai pasar malam.
Oleh kerana gambar ini diambil waktu petang, terasa janggal pula memanggilnya sebagai pasar malam. Maka biarlah saya gunakan perkataan pasar lambak ya...



Ini pula gambar yang diambil keesokan harinya, daripada rumah Puan Ainon, pemilik syarikat PTS, sebuah syarikat penerbitan buku yang sekarang merupakan salah sebuah syarikat tempatan terbesar dalam bidang itu. Ada masanya, saya bertandang di rumah ini untuk menumpang line wi-fi Internet. Malangnya line wi-fi di rumah ini sedang menghadapi masalah sehingga Puan Ainon dan suaminya terpaksa turun ke Kuala Lumpur untuk menyambung kerja.



Ini pula gambar sebuah rumah, diambil daripada perkarangan rumah Puan Ainon. Untuk makluman, di sekitar Janda Baik ini terdapat banyak lagi rumah-rumah besar lagi mewah milik para hartawan juga orang-orang berkuasa yang menjadikan kampung ini tempat bersantai hujung minggu.


Ini pula gambar sebuah pohon yang tumbuh di tengah sungai berdekatan balairaya serta masjid Kampung Janda Baik. Lupa pula nama sungai ini tetapi kawasan ini dikenali sebagai Pulau Santap.
Menurut ceritanya, ia dipanggil Pulau Santap kerana pernah menjadi kawasan kegemaran tempat keluarga diraja Pahang berehat dan makan-makan terutama semasa zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar, ayahanda kepada Sultan Pahang sekarang.



Sungai yang sama dilihat daripada sudut lain. Kalau tak salah saya, di belakang batu-batu besar itu pernah wujud timbunan pasir yang menjadi sebuah pulau kecil lalu dijadikan tempat keluarga diraja Pahang dahulu berehat dan makan-makan... Sebab itu dipanggil Pulau Santap!




Ini pula padang yang terletak berhadapan sekolah rendah Janda Baik. Di sinilah tempat anak-anak kampung bermain bola waktu petang.




Ini pula gambar yang diambil ketika berjalan kaki kembali daripada Pulau Santap untuk ke Sungai Chemperoh. Kelihatan di latar-belakang adalah Gunung Nuang setinggi sekitar 5,000 kaki daripada paras laut, gunung tertinggi di negeri Selangor.
Puncak gunung ini terletak di sempadan Selangor, Pahang. Tidak jauh daripada puncak pula terletak sempadan Negeri Sembilan iaitu di Kenaboi.
Saya pernah memanjat gunung ini seorang diri lalu sesat lebih 19 jam. Ceritanya ada dinukilkan dalam buku pertama saya, "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" atau BKA I.


Inilah dia "pekan" Janda Baik... Ada sebuah kedai yang merupakan mini-market serta 2-3 buah kedai makan, juga perhentian bas untuk perkhidmatan Janda Baik ke Bentong.
Kawasan ini juga dikenali sebagai Simpang Tiga... Satu simpang ke Sungai Chemperoh dan kawasan seterusnya, satu simpang ke Bukit Tinggi terus ke Bentong juga ke Kuala Lumpur dan satu simpang ke Pulau Santap di mana jalannya berpusing jauh sebelum bersambung kembali dengan jalan ke Bukit Tinggi.
Kalau mahu ke Kuala Lumpur, boleh naik bas dari sini sampai ke Bukit Tinggi, 10 kilometer jauhnya. Kemudian tunggulah bas Raub-Bentong-Kuala Lumpur yang berkhidmat setengah jam sekali.
Masalahnya, perkhidmatan bas Janda-Baik ke Bentong cuma ada 3 kali sehari. Maka itu saya lebih senang hitchike menumpang motor, kereta malah lori sayur untuk keluar masuk Janda Baik.


Gambar ini diambil ketika berjalan kaki daripada Simpang Tiga ke Sungai Chemperoh.
Mula-mula, saya ternampak seekor anak lembu berlari-lari sambil berbunyi seperti mencari ibu. Tidak lama kemudian, kelihatan pula tiga ekor lembu ini...



Ini pula gambar bahagian Sungai Chemperoh yang menghiasi laman rumah ayah angkat saya, penulis buku politik S.H. Alattas. Untuk makluman, saya pernah menumpang di rumah ini selama lebih 2 tahun. Dalam tempoh itu, rumah ini dijadikan "markas" untuk saya berehat sebelum mengembara ke merata tempat.




Suasana di sebuah warung makan bersebelahan Sungai Chemperoh. Gambar sungai yang diambil daripada warung inilah yang dijadikan gambar pertama penghias artikel kali ini.

-----------------

Hmm... Rasanya cukuplah bercerita buat masa ini ya... Sambil bersantai melihat gambar pemandangan yang nyaman, harap-harap jiwa kita semakin cergas untuk melihat kebesaran Ilahi yang tersurat dan tersirat juga pengajaran di sebalik semua ini, insyaallah, wassalam! :]