Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Ogos 27, 2009

Ke makam Sultan Malikus Salih - Dua sekolah pondok di Bireuen...

Alhamdulillah. Dapat beberapa mukasurat lagi mengaji tadi walaupun kepenatan dan sudah lewat malam malah sudahpun masuk pagi buta. Bersambung dari Ke makam Sultan Malikus Salih - kenapa pula deja vu lama di Makam Lapan? . Biar kita tutup terus sesi penulisan kali ini @ malam ini terus ya...


Mood penceritaan untuk artikel ini boleh juga dikira bersambung daripada artikel-artikel Inggeris The journey to Pekan Saree, a hillside small town of Aceh..., From Pekan Saree down to Sumatra's east coast... dan From Pidie on to Bireuen. Dari Makam Lapan kami berkejar untuk ke bandaraya Bireuen.


Kami sampai ke bandaraya ini hampir waktu senja...



Di sini sudah ada seorang kenalan Kak Ann menunggu. Orang yang pernah menjadi salah seorang panglima perang GAM (Gerakan Aceh Merdeka) ini akan menemani kami untuk perjalanan seterusnya...


Sebenarnya kenalan itu sudah menunggu kami sejak tengah hari lagi, apabila mendapat tahu kami akan menghala ke makam Sultan Malikus Salih yang memerlukan kami melalui Bireuen. Tetapi gerak hati Kak Ann menyuruh kami berlepas daripada Banda Aceh selepas jam 3 petang gitu, mungkin hampir jam 4... setelah cuaca kelihatan lebih redup dan elok untuknya memandu. Sedangkan untuk sampai ke Bireuen yang terletak sekitar 230 km ke tenggara Banda Aceh melalui jalan bukan lebuhraya yang adakalanya kurang cantik lagi berliku biasanya memakan masa tidak kurang 4 jam.



Apapun kami sempat sampai ke destinasi pertama kami di Bireuen sejurus sebelum masuk waktu Maghrib. Destinasi kami ini adalah sebuah dayah (bahasa Aceh) ataupun pesantren (bahasa Indonesia), atau kalau di Malaysia, agak sama dengan institusi sekolah pondok yang banyak mengajar agama dan turut menyelitkan unsur-unsur Tasawuf selain amalan tariqat tertentu dalam pelajarannya untuk anak-anak yang juga dipanggil para santri.




Di sini kami disambut tidak kurang daripada ulamak merangkap pengetua yang memegang dayah ini. Maklumlah, Kak Ann cukup dikenali golongan ulamak di Aceh kerana selain selalu mendampingi mereka, dia selalu memberikan sumbangan untuk pembangunan dayah.

Oh. Sebenarnya kami disambut lebih ramai orang lagi. Tetapi saya cuma mengambil gambar ketika kami betul-betul baru sampai, sedangkan ramai orang lain sedang bersiap-sedia untuk masuk waktu Maghrib ketika itu.




Ini adalah gambar selepas kami menikmati sedikit juadah yang sudah disediakan sekurang-kurangnya sejak 3 jam sebelum kami sampai. Di atas pangkin ini, pengetua yang dipanggil Teungku, satu panggilan kehormat orang Aceh untuk ulamak yang berperanan tinggi dalam masyarakat telah menghadiahkan saya sebiji batu cincin yang mereka temui dan canai sendiri.




Selepas masuk Isyak gitu baru kami meninggalkan dayah tadi. Kami masuk lebih jauh ke kawasan kampung untuk melawat sebuah lagi dayah, perlu melalui jalan gelap yang kurang rata. Tu yang jadi gambar cam ni... disebabkan kereta asyik bergegar sedangkan suasana yang gelap memerlukan exposure yang lama untuk kamera menangkap cahaya...




Kami sampai di dayah ini selepas jam 9 malam gitu...




Di sini kami disambut lebih meriah. Tidak kurang 50 tenaga pengajar dan pemimpin dayah berserta orang kampung sudah sedia menunggu, tidak dicampur para pelajar yang melihat dari dalam pondok-pondok tempat belajar...




Seperti di dayah sebelum tadi, makanan yang ada di sini, makanan dari hasil ternakan dan cucuk tanam sendiri telah disediakan sejak siang tadi menunggu kami datang yang asalnya dijangka jauh lebih awal. Selesai makan, kami berbual panjang tentang pelbagai perkara, daripada bab Tasawuf sampai ke sejarah Aceh... terkeluar juga cerita yang mengaitkan kemunculan Sultan Malikus Salih, bukan saya yang sebut tetapi Teungku atau ulamak pemimpin di sini yang sebut.

Ceritanya sama seperti kata-kata pembukaan yang ada dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari diri dan erti", cuma aturannya sahaja mungkin lain. Ketika itu, Teungku cuma menerangkan kenapa Aceh dikenali sebagai Serambi Mekah. Katanya orang tua-tua ada menyebut cerita bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda... copy and paste sahaja yek daripada buku saya, kata-kata yang diambil daripada kitab lama Hikayat Raja-raja Pasai ini...

“Sepeninggal aku telah wafat kelak, akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya. Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu, serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu, serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat. Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan menjadi wali Allah.”



Selepas jam 11 malam (atau dah masuk 12 malam?) baru kami berlepas meninggalkan Bireuen. Makam Sultan Malikus Salih di Geudong terletak sekitar 15 km di tenggara Lhokseumawe, bandaraya seterusnya yang kami perlu lalui sedangkan bandaraya itu sendiri terletak lebih sejam perjalanan. Apakah kami akan sampai ke sana awal pagi? Nanti kita sambung cerita ya!

Alhamdulillah, dapat juga melepaskan cerita sampai ke tahap ini setelah hampir 2 minggu terasa begitu liat dan berat untuk menyambung cerita-cerita tentang Aceh. Esok, eh... esok pulak. Dah awal pagi Khamis dah ni. Hari ini le... saya perlu berkelana jauh ke Pantai Timur, harus berada di sana beberapa hari. Insyaallah saya akan cuba sambung minggu depan ya. Selamat malam dan selamat bersahur untuk semua! Wassalam... :]

Ke makam Sultan Malikus Salih - kenapa pula deja vu lama di Makam Lapan?

OK. Saya sebenarnya tidak tahu cara terbaik untuk melepaskan cerita seterusnya tentang perjalanan di Aceh tetapi saya harus menyambungnya hari ini juga setelah hampir dua minggu tidak membuat cerita tentangnya. Setelah membuat artikel bertajuk Berkejar ke Lampuuk... tempat matahari terbenam cantik dan masjid paling teruk diserang tsunami pada 15 Ogos, cerita seharusnya bersambung dengan perjalanan yang dibuat pada Rabu 17 Jun 2009 iaitu hari ketiga saya di Aceh. Eloklah diberitahu, saya akhirnya membuat perjalanan untuk ke makam lama pengasas kerajaan Samudera dan Pasai iaitu Sultan Malikus, perjalanan yang menjadi tujuan utama saya masuk ke Aceh Januari 2004 ketika ia masih darurat dan porak-poranda.

Perjalanan ke situ yang cuba dibuat lebih 5 tahun lalu akhirnya tergendala dan ini sudah pun diceritakan dalam siri buku atau novel "Berpetualang ke Aceh". Dahulu, perjalanan cuba dibuat dari Medan di selatan naik sekitar 120 km ke sempadan Aceh-wilayah Sumatera Utara di Temiang sebelum terus lagi ke utara sedangkan perjalanan kali ini dari Banda Aceh harus bergerak kira-kira 300 km ke tenggara.

Perjalanan baru ini dimulakan selepas jam 3 petang meninggalkan hotel di Banda Aceh dengan menaiki 2 buah MPV, sebuah Landcruiser dan sebuah Innova. Adapun tadi saya telah membuat beberapa artikel berkaitan di blogspots BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Seeloknya untuk memahami gerak perjalanan dan penceritaan, baca dahulu artikel-artikel ini mengikut turutan...

The journey to Pekan Saree, a hillside small town of Aceh...

From Pekan Saree down to Sumatra's east coast...

From Pidie on to Bireuen

Adapun setelah membuat artikel-artikel di atas ini dan meneliti gambar-gambar untuk digunakan seterusnya, baru saya mendapat ilham bagaimana mahu menyambung cerita di sini pula. Maka tanpa membuang masa, kita terus ke satu destinasi tak dirancang (tak dirancang oleh saya le) yang terdapat dalam perjalanan.

Hampir ke bandaraya Bireuen, lebih 200 km gitu dari Banda Aceh kelihatan bangunan ini di tepian jalan utama.


Kata Kak Ann, dia selalu berhenti dan singgah apabila lalu di sini. Kebetulan kami belum bersolat Zuhur dan Asar, maka kami membuat jamak di musolah yang ada.




Corak lantai yang ada nampaknya cuba melambangkan sesuatu...




Untuk pengetahuan, kawasan ini dipanggil Makam Lapan. Kenapa lapan? Tiba-tiba saya teringat Kampung Jambu Lapan berdekatan Bahau, Negeri Sembilan di mana terdapatnya pertemuan Sungai Jempol dengan Sungai Muar yang membawa kepada Jalan Penarikan. Sila lihat artikel-artikel lama Kembara terbaru ke Pantai Timur... Sesi dibuka dengan menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan! dan Sambungan cerita "Menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan!"... Menyusuri juga makna sebuah mimpi lebih 10 tahun lalu dan kehadiran hantu Siam? , juga Where Muar river meets Jempol in Negeri Sembilan... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH .




Apapun, tempat ini diberi nama Makam Lapan kerana ia tempat bersemadinya lapan orang pahlawan Aceh yang mati syahid diserang musuh. Cerita yang ada menyebut, pada awal tahun 1902, ketika perang Aceh-Belanda sedang kuat bersemarak, lapan orang pahlawan yang banyak berjasa kepada orang ramai telah diserang hendap oleh Belanda lalu ditembak mati, kalau tak salah ketika mereka cuba menyelamatkan orang ramai yang terperangkap.




Sekarang mari kita masuk ke dalam bangunan makam. Untuk pengetahuan, sejak saya turun dari kereta untuk ke sini hinggalah ke pintu ini saya deja vu panjang. Segala yang berlaku, cara saya menatap kawasan sekeliling dan sebagainya sebijik seperti pernah saya lihat dalam mimpi beberapa tahun yang lalu.

Rasanya pembaca yang sudah biasa mengikuti penulisan saya tentu tahu betapa saya seringkali mengalami deja vu. Yang istimewanya, sepanjang perjalanan terbaru ke Aceh, baru di sini saya deja vu. Lalu baru saya tahu tempat apa sebenarnya yang saya lihat dalam mimpi lama itu...

Untuk mereka yang tidak tahu apakah makna deja vu, biar diletakkan sedutan daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari diri dan erti"... dari Bab 4.



------------------



Pernah dengar tak perkataan deja vu? Maksudnya, satu perasaan yang kita pernah melihat atau mengalami sesuatu peristiwa, misalnya rasa seperti pernah sampai ke suatu tempat walaupun itulah kali pertama kita ke sana. Kata orang, itu maknanya roh kita pernah ke situ sebelum jasad ini menyusul kemudiannya. Kerana tidak seperti jasad, roh boleh melangkaui ruang dan waktu...

Sejak kecil lagi, Rasyid sering mendapat mimpi ataupun vision, bayangan yang kemudian bertukar menjadi nyata nanti. Ada masanya, mimpi dan bayangan itu sangat terang, ‘sebijik’ seperti apa yang berlaku di depan mata. Adakalanya dia cuma sedar bila menukar angle, tukar sudut pandangan atau menukar posisi badan.Misalnya, pada suatu malam pemuda ini berbual-bual dengan wanita kesayangannya Nur sambil duduk di atas pangkin di pinggir hutan diterangi cahaya pelita. Tidak ada apa-apa yang pelik kecuali tempat itu memang cantik dan suasananya begitu tenang. Tetapi apabila bangun daripada duduk, baru dia sedar muka Nur tersenyum, rupa pangkin dari tempatnya berdiri serta suasana hutan diterangi pelita saling tidak tumpah seperti sebuah gambaran yang pernah dilihat suatu masa dahulu. Cuma tidak ingat bila...

Ada masanya pula Rasyid mengalami deja vu bila terkeluar sesuatu perkataan tertentu daripada mulut orang. Selalunya ini berlaku dalam sesuatu perbualan. Mula-mula seperti biasalah, tidak ada apa-apa yang pelik, setakat orang bercerita atau bertukar-tukar pandangan. Tiba-tiba terkeluar satu perkataan yang menyentak fikiran. Terus dia teringat yang perkataan itu pernah didengar dalam keadaan yang sama begitu juga ayat sebelumnya, dan dengan siapa dia berbual... Kadang-kadang boleh tahu ayat apa pula yang akan keluar dari mulut orang itu! Kira dah macam cerita Back to the Future lah pula...

Sampai di Masjid Al Mansun, Muhammad al Aminul Rasyid terus menuju ke bilik wuduk untuk menyucikan diri. Terpandang sahaja air pancur yang cantik di dalamnya, dia terus deja vu. Seperti pernah nampak sebelum ini! Tetapi di mana ya? Mungkin di tempat lain yang air pancurnya serupa? Air pancur yang ditempah daripada kedai yang sama?

Ini mungkin juga kerana ada masjid-masjid yang sengaja dibina menggunakan rekabentuk yang sama, building plan serupa selalunya untuk menjimatkan belanja. Rasyid ada ternampak beberapa masjid kecil yang sama rekabentuk di Medan, masing-masing menggunakan kubah daripada kepingan besi nipis yang dikimpal ke atas rangka serupa. Tetapi masjid tempat pemuda ini berada sekarang bukan sebarang masjid... Ini Masjid Al Mansun, masjid lama kebanggaan rakyat Medan yang dibina abad ke 19 Masihi, semasa keSultanan Deli masih lagi gemilang. Takkanlah hendak pakai standard design? Lagipun memang ia diakui mempunyai rekabentuk yang unik, sesuai dengan reputasinya sebagai masjid raja-raja dahulu. Yang pasti Rasyid memang pernah ternampak dalaman bilik wuduk itu secara terperinci, dari air pancurnya yang menarik sampai ke rekabentuk sekeliling yang berunsur Timur Tengah, jubin-jubin yang teratur bersih dan indah, malah lampu berhias dengan cahaya kuningnya memancar dari atas suatu masa dahulu. Tidak cukup itu, dalam masjid pun dia deja vu lagi!





OK. Dalam bangunan makam inilah terletak sebidang tanah kecil di mana jenazah lapan orang pahlawan itu telah disemadikan di dalam satu liang lahad.


Turut terdapat di dalam adalah himpunan kain-kain putih yang digantung dengan tulisan tangan ayat-ayat Al-Quran. Dari orang-orang di sekitar makam, saya dapat tahu bahawa kain-kain bertulisan ini ditinggalkan oleh para pelawat, tak tahulah untuk membayar nazar, memperingati pahlawan yang mati syahid atau untuk mahu berkongsi semangat.

Alhamdulillah, dengan selesainya penulisan ini saya juga mendapat ilham bagaimana untuk menamatkan sesi penulisan kali ini untuk malam ini. Untuk pengetahuan, saya harus meneruskan cerita sampai ke satu peringkat kerana seperti minggu lepas, minggu ini juga saya harus berjauhan daripada Internet kerana perlu berjalan jauh, bermula esok...

Apapun sebelum menamatkan sesi bercerita kali ini, biar saya mengaji Quran dahulu ya. Alhamdulillah, tidak pernah lagi seumur hidup saya begitu bersemangat mahu cuba mengkhatamkan Quran dalam bulan Ramadhan... saya cuma pernah khatam Quran sekali sahaja iaitu ketika berumur 12 tahun gitu, itupun sebab dipaksa pergi mengaji dengan seorang makcik oleh ibu bapa. Sebaliknya semalam saya berjaya menamatkan sehingga habis Surah An-Nisa. Tunggu nak masuk Surah Al-Maidah aje ni tapi disebabkan banyak hal lain, hari ini saya masih belum mengaji lagi.

Berjumpa lagi kita, Insyaallah sebentar nanti! :]

Isnin, Ogos 24, 2009

Salam Ramadhan... semoga berkat bulan mulia menghilangkan H1N1 dan segala macam kekalutan...

Assalamualaikum semua. Ini adalah gambar dari lawatan terbaru saya ke makam Sultan Alauddin Riayat Shah (memerintah Melaka 1477-1488 Masihi) di Pagoh, Muar, Johor. Untuk makluman gambar ini diambil petang Ahad iaitu semalam.

Ini pula gambar di hadapan makam Sultan Malikus Salih (pengasas kerajaan Samudera dan Pasai yang dikatakan mangkat 1297 Masihi), diambil dalam perjalanan saya di Aceh pertengahan bulan Jun. Bandingkan dengan gambar yang terdapat pada artikel Ole-ole dari Aceh... coming! yang dibuat 2 bulan lepas. Setelah duduk beberapa lama di tepian makam, timbul gerak untuk meletakkan selempang merah saya pada batu nesan. Dan gerak yang sama timbul semalam di makam Sultan Alauddin.

Adapun gambar-gambar ini diletakkan di sini sebagai hiasan untuk ucapan selamat menyambut Ramadhan. Rasanya belum terlambat lagi untuk saya mengucapkannya untuk semua rakan-rakan, kenalan dan para pembaca setia blogspots saya.

Seharusnya saya mengucapkan selamat Ramadhan ini lebih awal tetapi perjalanan yang dibuat hujung minggu 'menjauhkan' saya dari Internet untuk beberapa hari. Alhamdulillah, dalam perjalanan kembali ke kampung di Muar petang Jumaat dengan niat untuk berpuasa hari pertama Ramadhan dan berbuka bersama keluarga, saya dan isteri sempat singgah ke beberapa tempat sekitar Linggi sebelum bersolat Tarawikh dan beriktikaf sebentar di Masjid Kampung Hulu, Melaka selain menziarahi makam Sheikh Shamsuddin Pasai yang terletak berdekatan. Semalam Ahad, dalam perjalanan pulang ke Lembah Kelang pula kami sempat singgah ke makam Sultan Alauddin Riayat Shah sebelum ke Linggi lagi terutama Kuala Linggi untuk melihat tempat-tempat tertentu ketika waktu terang.

OK. Apa yang menarik perhatian saya sejak bermula Ramadhan ini ialah betapa kes H1N1 kelihatan agak reda. Laporan berita hari Ahad pula menyebut, tidak ada kes kematian langsung pada hari sebelumnya iaitu hari Sabtu. Walaupun laporan itu tidak mengaitkannya dengan apa-apa perkara tertentu, saya rasa sebagai orang Islam, tidak salah untuk kita mengaitkan ketiadaan kematian itu dengan berkat bulan Ramadhan. Bayangkan, setelah beberapa hari setiap hari kebelakangan ini kita asyik terdengar kes orang mati akibat H1N1, tiba-tiba Sabtu, hari pertama Ramadhan tahun ini tiada apa-apa kematian...

Satu lagi perkara yang menarik... lihatlah keadaan langit yang amat terang dan cantik. Jika sebulan dua ini langit terutama sekitar Lembah Kelang sentiasa sahaja berjerebu walaupun sudah beberapa kali hujan lebat, masuk sahaja Ramadhan tiba-tiba langit menjadi terang. Teringat pula ayat berulang-ulang daripada Surah Ar-Rahman. Fabi ayyi ala irobbikuma tukazziban... nikmat Tuhan yang manakah hendak kamu dustakan?

Semoga bulan Ramadhan ini juga dapat menghilangkan segala kekalutan mahupun kekusutan, dari peringkat diri peribadi masing-masing sampai ke peringkat masyarakat terbesar baik di Malaysia mahupun seluruh dunia Islam. Sekian... :]