Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, Mac 31, 2010

Maulidur Rasul di Aceh : Makam Syiah Kuala... dan makam Maharajalela Abdul Rahim...

Assalamualaikum semua. Pagi tadi isteri saya menalifon dari pejabatnya untuk bertanya apakah saya akan membuat apa-apa artikel baru di blogspot hari ini. Saya jawab tidak. Fikir saya mahu membuat satu dua kerja tertentu dahulu sebelum membuat apa-apa update. Lagipun semalam hari Selasa, saya telah membuat satu artikel baru yang bertajuk Dah 'sampai' ke belum? .

Isteri saya mengingatkan tarikh hari ini cantik... 31 haribulan Mac 2010 jadi 31/03/10 atau 31.03.10. Memang cantik. Kalau diatur tanpa sengkang mahupun noktah akan jadi nombor 310310, kalau dihilangkan kosong jadi pula 3131. Kalau ikutkan saya memang malas hendak menulis hari ini tetapi memikirkan faktor tarikh dan nombor, saya pun akur. Apa nak buat... saya kan ada gila-gila nombor?

Saya pun mencari apa yang sesuai untuk dihidangkan. Kebetulan siri "Maulidur Rasul di Aceh" akan masuk bab tentang Makam Syiah Kuala... kebetulan juga ia adalah cerita ke 3 dalam siri ini. Jadi itulah pilihan untuk hari ini.

Seperti biasa, terlebih dahulu saya harus membuat satu artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Untuk siri ini saya telah memutuskan klip-klip video harus diletakkan di sini sementara gambar berkaitan diletakkan di sana. Maka itu sambil menyediakan dan menyunting video klip yang sesuai, saya pun melihat koleksi gambar yang ada. Kebetulan tergerak menulis selepas jam 1 atau 13:00 seperti tertera pada komputer, saya pun bercadang untuk membuat artikel di BERPETUALANG KE ACEH ketika masuk 13:13.

Rupa-rupanya saya terlambat dan terlepas jam 13:13. Namun saya ada sedikit masa lagi untuk mengejar nombor kesukaan saya 131 selagi belum melepasi waktu 13:19. Sebaliknya proses publishing video klip yang telah disunting melalui program Windows Moviemaker menyebabkan komputer jadi 'berat'. Website untuk menulis di blogspot cuma dapat dibuka setelah masuk 13:20.

Ini membuat saya terpaksa memilih waktu seterusnya yang aturan nombornya cantik ada kena-mengena iaitu 13:31. Sampai waktu tersebut saya pun menekan butang "new post" dan memulakan artikel. Apabila artikel siap lalu dipublish ke blogspot, saya terperanjat. Ternyata di sana menyebut artikel baru bertajuk Celebrating the Prophet's birthday in Aceh : Enter the tomb of Syiah Kuala... itu dibuat pada jam 1:31!

Rupa-rupanya saya terlupa bahawa jam 13:31 itu bersamaan 1:31 petang. Tengok bagaimana Allah mengatur keadaan! Walaupun asalnya saya cuba mendapatkan nombor 13:13 kemudian 13:19, Allah tidak membenarkannya dengan asbab komputer jadi 'berat'. Di ketika saya mengalah lalu menerima jam 13:31, tenyata ia jadi 1:31 pula...

Untuk artikel ini saya terus dapat memilih jam 3:13 petang. Nah... itulah gila-gila nombor saya. Sampai tarikh dan waktu pun mahu diatur supaya ada synchronicity yang dapat membuka pintu-pintu rahsia, Insyaallah! :]





OK. Inilah video-video klip lawatan terbaru ke Makam Syiah Kuala. Hmm... kebetulan ini merupakan lawatan ke 3 saya dan isteri ke sana. Dan baru kali ini kami mendapat tahu beberapa perkara, misalnya siapakah yang turut dimakamkan dalam satu kawasan bertutup bersama ulamak besar bertaraf wali yang dikenali sebagai Syiah Kuala...

Paling mengharukan saya apabila mendapat tahu pemilik makam yang batu nesannya sama bentuk dan sama besar dengan apa yang terdapat di makam Syiah Kuala adalah seseorang yang dipanggil Sheikh Abdul Rahim Maharajalela. Ternyata inilah Abdul Rahim yang merupakan ayahanda kepada Sultan Ahmad Shah Johan Berdaulat yang memerintah Aceh awal abad ke 18 lalu keturunannya terus menjadi pemerintah bumi Serambi Mekah, sebelum keSultanannya ditamatkan oleh Belanda awal abad ke 20.

Oh... dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh", saya menyebutnya sebagai Laksamana Abdul Rahman. Sebenarnya saya tersilap bersandar pada satu salasilah kajian Barat. Nama sebenar beliau memang Abdul Rahim dan beliau (lebih tepat, baginda sebenarnya...) ada memang memakai kedua-dua pangkat bangsawan Laksamana dan Maharajalela...

Apapun, 'penemuan' makam Abdul Rahim yang terletak bersebelahan makam Syiah Kuala @ Sheikh Abdul Rauf Singkil adalah seperti pucuk dicita ulam mendatang. Allah! Baru di Malaysia sebelum itu saya terfikir hendak mencari makam mereka yang ada kena-mengena dengan apa yang dikenali sebagai Dinasti Raja-raja Bugis yang memerintah Aceh. Lihat artikel lama Apa cerita bangsawan Bugis pula boleh menjadi raja Aceh?. Biar diberi sedikit latar-belakang...

Adapun dinasti ini bermula dengan kemunculan seorang ulamak bernama Daeng Mansur yang datang dari Tanah Bugis ke Aceh abad ke 16. Beliau yang turut dikenali sebagai Teungku di Reubee (ulamak di Reubee) mendapat seorang anak yang dikenali sebagai Laksamana Zainal Abidin. Laksamana Zainal Abidin ini berkahwin dengan pahlawan wanita Aceh yang sangat terkenal iaitu Laksamana Raja Kemalahayati @ Keumalahayati @ Malahayati. Dari perkahwinan inilah muncul Laksamana atau Maharajalela Sheikh Abdul Rahim.

Abdul Rahim ini pula berkahwin dengan raja perempuan kedua Aceh iaitu Sultanah Naqiatuddin. Ada yang kata dari perkahwinan inilah muncul Laksamana Maharajalela Ahmad yang menaiki takhta Aceh tahun 1727 dengan memakai nama Sultan Ahmad Shah Johan Berdaulat, ada yang kata baginda adalah anak dengan isteri lain. Yang pasti saya sudah tahu dan sampai ke makam Sultan Ahmad tahun lepas, baru kali ini sampai ke makam ayahandanya. Makam Laksamana Zainal Abidin juga saya sudah sampai tahun lepas kerana ia terletak bersebelahan makam Laksamana Malahayati.

Satu perkara menarik. Adapun sebelum perjalanan terbaru ke Aceh ini, baru saya dapat tahu Laksamana Zainal Abidin juga dikenali sebagai Teungku atau ulamak di Lhoong. Lihat artikel
Maulidur Rasul di Aceh : Ke kompleks anak yatim Nurin di Lhoong . Dengan kuasa Allah dan tanpa dirancang saya telah menemui dan pergi ke kawasan yang pernah menjadi pusat operasinya... keesokan pagi baru dapat menziarahi makam anakanda yang meneruskan zuriatnya sehingga muncul menjadi para pemerintah Aceh. Apakah ini semua kebetulan atau ada lagi yang mahu dibuka? :]

Selasa, Mac 30, 2010

Dah 'sampai' ke belum?

Alhamdulillah, setelah beberapa hari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 tamat baru saya terasa hendak menulis lagi. Bukan apa, saya sebenarnya penat. Untuk mereka yang hadir di pesta samada untuk membeli buku ataupun mahu berjumpa, terimakasih diucapkan kerana sudi memeriahkan suasana. Maaf dipinta jika saya tiada di gerai semasa anda datang... sejak ada anak kecil ni saya kena ikut rentak dia sebelum berbuat apa-apa. Hasilnya saya cuma dapat menonjolkan diri di gerai cuma selepas jam 5 petang Jumaat hingga Ahad. Sekarang biar dibuat satu cerita selingan sebelum siri "Maulidur Rasul di Aceh" yang dihentikan semasa pesta buku dapat disambung kembali. Mari! :]




Tadi jam 2 petang setelah mengambil paspot baru di pejabat Jabatan Imigresen di Wangsa Maju hujan turun lebat. Saya pun duduk di luar menunggu hujan selesai lalu terlihat satu kedai di hadapan. Terus teringat zaman-zaman semasa saya rajin mencari jawaban tentang keTuhanan secara terang, hampir tidak bertapis langsung mulut apabila bertanya. Ketika itulah saya banyak terjumpa golongan yang kononnya 'sampai', mereka yang kononnya telah mengenal Tuhan.

Satu perkara yang saya perhatikan tentang golongan ini... tak kiralah dari kumpulan mana mereka datang, pengajian atau perguruan mana, mereka ada tabiat riak yang sama. Mereka suka bertanya soalan berbunyi "Engkau dah 'sampai' ke belum?" dengan gaya mengejek. Kemudian dengan nada riak lagi meninggi diri mereka memperlekehkan orang-orang yang dikira tidak 'sampai'.

Kalau diperlekehkan itu setakat saya tak mengapa juga kerana saya memang jenis orang yang tak 'sampai-sampai'. Masalahnya bila ulamak seperti Imam Ghazali dan Imam Syafiee pun mahu diperkecilkan. Seterusnya mereka menjadikan ilmu syariat dan mereka yang patuh pada amalan Nabi Muhammad SAW sebagai bahan gurauan senda. Kata mereka, apabila dah 'sampai' apa lagi yang perlu disembah? Kerana bila dah 'sampai' yang menyembah dan disembah sama sahaja.

Sekadar mengingat kembali keadaan biar diletakkan sedutan-sedutan berkenaan daripada siri trilogi buku "Berpetualang ke Aceh". Sedutan pertama dari buku satu yang bertajuk kecil "Mencari diri dan erti" (terbit Jun 2006)...


--------------




Pencapaian Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani yang tinggi dalam ilmu kerohanian telah menyebabkan Iblis cuba menipunya dengan mengaku dirinya sebagai Tuhan, kemudian cuba menimbulkan riak dengan memuji-muji ketinggian taraf keilmuannya.

Pernah satu ketika, baginda sedang berjalan-jalan seorang diri, tiba-tiba muncul satu cahaya yang terang benderang dari atas lalu memenuhi seluruh langit. Kemudian kelihatan di dalamnya satu kelibat bentuk manusia lalu berkata: “Wahai Abdul Qadir, akulah Tuhanmu. Kamu telah mencapai darjat yang tertinggi dalam ilmu kerohanian. Sekarang aku halalkan segala perkara yang haram bagimu.”

Mendengarkan ini, Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani pun bertempik: “Chis syaitan! Janganlah kamu cuba hendak menipu aku. Berambuslah kamu dari sini wahai makhluk terkutuk!”

Langit yang terang benderang tadi pun bertukar menjadi gelap dan bentuk manusia itu mendesir menjadi asap. Kemudian Iblis berkata: “Wahai Abdul Qadir, aku telah berjaya menyesatkan 70 orang ahli Sufi dengan cara ini. Bagaimana kamu tahu aku ini Iblis?”

Jawab Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani: “Kerana hukum Syariat itu tetap. Allah tidak pernah menghalalkan perkara yang haram.”

Nah. Apa lagi yang mahu diragukan?

Iblis menukar taktik lalu berkata. “Kamu memang seorang yang alim. Disebabkan ketinggian ilmu kamulah helahku berjaya dibongkar.”

Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani dapat membaca niat jahat Iblis untuk menimbulkan rasa riak dan ujub dengan memujinya. Lalu baginda menjawab: “Tidak. Aku selamat kerana rahmat Allah semata-mata.”

Baginda sedar, belas ikhsan Tuhan sahaja yang melindunginya, bukan apa-apa kelebihan yang terbit daripada dirinya...

Menyedari dia tidak akan berjaya, Iblis terkutuk pun terus menghilang. Lebih baik cari orang yang boleh diperdayakan kerana kejahilan atau digoda dengan puji-pujian. Mereka yang menuntut ilmu dan beramal bukan untuk menghayati erti ubudiah, perhambaan sebenar yang tersirat dalam firman tidak Aku cipta manusia dan jin kecuali untuk menghambakan diri kepada Ku, tetapi untuk menjadi tuan yang memerintah... Untuk mendapat kelebihan-kelebihan tertentu supaya dapat mengatasi orang lain, samada dari segi harta benda, pangkat, nama ataupun kuasa.

Pendek kata, ramai yang masuk ke gelanggang kerohanian dengan hati yang berkarat. Lalu ada yang sampai mengaku dirinya Tuhan sedangkan perangai mereka adalah perangai Hantu jua...


————————

“Ramai yang kononnya menghalusi agama dengan menyelam ke dalam pengajian ilmu Hakikat dan Makrifat tetapi akhirnya menjadi kafir zindiq,” kata pakcik itu. “Mereka adalah orang yang perjalananan kerohaniannyanya belum matang tetapi perasan dirinya dah tinggi sangat, sudah ‘sampai’ ke Hadirat Allah Subhanahu Wata’ala. Ramai yang tidak mahu menunaikan puasa dan solat kerana katanya cukuplah dengan niat. Kononnya orang Syariat sahaja yang wajib melakukan semua ini. Lalu ramai yang hidup mengarut kerana yakin telah mengenali Allah padahal mereka sangat keliru, tidak tahu adab hamba dengan Pencipta. Akhirnya yang susah mereka juga...”

“Anak mesti ingat, nak beramal ilmu Tasawuf ni mestilah dengan hati yang bersih, suci!” dia berpesan pula. “Tidak boleh menyimpan dendam atau apa-apa motif tersembunyi. Beribadat dengan ikhlas, seperti kata Rasulullah SAW, memberi dengan tangan kanan, tangan kiri pun tak tahu. Biar orang kata kita jahat, tidak pernah berbuat kebaikan. Lebih baik menganggap diri kita buruk, banyak dosa supaya sentiasa rasa insaf dan rendah diri.”


------------------------------------


Ini pula sedutan kedua, dari buku seterusnya "Membela syiar yang asal" (terbit Mei 2007)...


------------------------------------



Semalam, di serambi masjid raya, anak Malaysia itu sempat berkenalan dengan seorang pemuda tempatan yang suka bercerita tentang Tasawuf. Lalu mereka berjanji akan berjumpa selepas solat Jumaat dan anak Malaysia itu akan dibawa berjumpa seseorang yang katanya mahir dalam ilmu Sufi... Kononnya cuma terdapat empat orang sahaja sepertinya di Langkat.

Mengikut cerita anak tempatan itu lagi, orang itu pernah memberitahu bahawa seorang sahabat sealirannya telah mendapat mimpi akan ada orang dari jauh datang berjumpa mereka dan orang yang dimaksudkan adalah Rasyid! Dipendekkan cerita, selepas solat Asar, pemuda itupun muncul dengan motosikalnya lalu membawa Rasyid ke rumah orang tersebut di sebuah kawasan terpencil melepasi lorong masuk ke rumah Hassan Oka.

Mereka dijemput masuk lalu berkenalan. Kemudian mula bercerita tentang latarbelakang kedatangan Rasyid ke Pengkalan Brandan. Tidak lama kemudian tuan rumah menyatakan bahawa dia dan rakan-rakannya telah mendapat alamat akan kedatangan anak Malaysia itu melalui mimpi lalu membuka cerita tentang pemahamannya mengenai Tasawuf… Biarlah nama mereka dirahsiakan kerana perbincangan itu amat berat, rasanya sudah jauh menyimpang daripada akidah... Rasyid sedar orang itu susah hendak diperbetulkan kerana terlalu yakin dengan pengalaman dirinya. kononnya sudah “Mikhraj”, betul-betul mengenal Allah. Nampaknya dia termasuk golongan Tasawuf sesat yang merasakan tidak perlu lagi bersolat kerana telah mencapai hakikat solatan da’iman, solat yang berkekalan.

Pemuda itu tetap melayan kerana ingin mengetahui lebih lanjut tentang ilmu “mengenal diri” yang dianutinya. Berbekalkan sedikit pengetahuan berkat bertahun menelaah kitab-kitab Tasawuf karangan wali-wali Allah terkenal seperti Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani serta tunjuk-ajar dan bimbingan beberapa orang tua yang pernah ditemui... Juga sedikit amalan zikir yang pernah dijazahkan mereka dicampur bertahun-tahun usaha mujahadatunnafsi, berperang melawan nafsu sendiri berserta keyakinan bahawa Allah tetap melindungi jika kita ikhlas mencari kebenaran, anak Malaysia itupun terjun ke dalam arena perbincangan.

Kalau hendak diringkaskan, pengajaran orang itu lebih kurang begini: Segala yang terlihat di muka bumi ini, juga yang ada di langit, malah segala-gala yang dicipta Allah Ta’ala sehingga ke syurga, neraka, Kursi dan Arash semuanya ada di dalam diri sendiri iaitu diri setiap manusia. Maka itu tidak perlulah berjalan jauh, lihatlah ke dalam diri kerana di situ terdapat segala jawaban kepada segala persoalan yang membelenggu jiwa manusia.

Rasyid tidak ada masalah tentang ini kerana sudah terbiasa mendengar pengajaran sebegini... Memang ada kebenarannya jika dipandang daripada sudut tertentu, memang ada di dalam pengajian Tasawuf peringkat tinggi, jikalau seseorang itu betul-betul memahami apa itu makna insan saghir, insan kecil dan apa itu insan kabir, insan besar dan kaitan antara keduanya. Yang menjadi masalah adalah apabila orang ini mendakwa telah “sampai ke matlamat mengenal Allah” lalu tidak perlu lagi membuat perjalanan zahir, cukup dengan membuat perjalanan batin sedangkan para Rasul, Nabi dan Wali muktabar pun terus berkelana ke sana ke mari dengan tubuh badan kasar demi mencari kebenaran dan mengalami pengenalan atau Makrifat yang sejati. Lagipun pada mereka yang lebih mengetahui, pengenalan atau Makrifat terhadap Allah sebenarnya mempunyai banyak peringkat... Sedangkan orang seperti Fariduddin Attar, penulis kitab Tazkiratul Awliya (kisah para wali) dan Mantiq-at-Tair (Perjumpaan burung-burung. Komposer terkenal M. Nasir tanahair telah menggunakan cerita itu untuk mencipta lagu Tanya Satu Itu Hud-hud) yang juga dianggap seorang wali besar pernah menyebut, terdapat 70,000 “lembah” yang perlu dilepasi sebelum dapat “melihat” Allah! Dia baru dapat melepasi satu sahaja...

Hamba Allah di Langkat ini terus bercakap seolah-olah tuntutan jasad tidak perlu lagi dipenuhi dalam beribadah kepada Allah apabila kita sudah mencapai makam tertentu. Rukun Islam seperti solat, puasa serta menunaikan haji tidak perlu dizahirkan lagi, cukup sekadar “dilaksanakan” secara batin sedangkan orang ini masih lagi bertubuh kasar, perlu makan dan minum, tidur dan buang air. Katanya, dalam diri kita ada segala Rasul yang pernah dicipta, segala Nabi, juga empat Khulafak al Rasyidin - Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali - sambil menunjukkan tempat masing-masing di badannya dengan yakin. Wah… Cukup senang ini. Oleh kerana semuanya ada di dalam diri termasuk Mekah dan Madinah, apa perlu lagi pergi ke sana secara fizikal untuk menunaikan haji, umrah atau menziarahi makam Rasulullah SAW ya tak? Cukuplah sekadar ‘berjalan’ dalam diri sendiri…

Orang ini juga mengemukakan beberapa potong terjemahan ayat Al-Quran dan Hadis dengan tafsiran yang jauh menyimpang... Seringkali menghina ulamak Syariat sebagai bodoh, tidak sampai kepada tujuan, terlalu meninggi-ninggikan Hakikat seolah-olah agama itu tidak perlu lagi dipakai kulitnya apabila sudah faham makna keTuhanan. Tetapi punchlinenya, kata muktamad yang mengenalkan “perguruannya”, ilmu ini malah segala ilmu Tasawuf yang tertinggi berasal daripada Jawa... Terus hati Rasyid berkata sahlah dia ini jenis manusia yang suka mengagungkan Sheikh Siti Jenar di samping memperbesar-besarkan Sunan Kalijaga, wali songo berketurunan Jawa yang amat dibangga-banggakan masyarakat di sana. Dan betul telahan itu, tidak lama kemudian, orang ini terus memuji-muji Siti Jenar dan Sunan Kalijaga sebagai contoh-contoh terbaik peribadi para wali.

Menurutnya, apa yang dibawanya adalah ilmu Bung Karno atau Sukarno, Presiden Indonesia kebanggaan masyarakat Jawa sehingga ada yang percaya presiden itu telah mencapai taraf wali dan masih hidup lagi! Kemudian dia menghuraikan beberapa istilah Jawa yang diberi pemahaman Tasawuf! Kononnya, ini adalah ajaran rahsia Sukarno yang cuma diketahui empat orang sahaja di wilayah Langkat ini termasuk dirinya sendiri. Maka burung Garuda yang menjadi lambang Republik Indonesia dikatakan singkatan untuk “Garuklah Dadamu” seraya menunjukkan aksi menggaruk dada... “Bukalah dadamu, telanjangkan jiwa demi mendekati Tuhan mu,” katanya. Perkataan Jawa pula dikatakan bermakna mereka yang mengerti, tidak ingat apakah alasannya... Maka orang Jawa adalah orang yang “sudah mengerti” makna keTuhanan yang hakiki sementara Sumatera pula bermakna “Sudah Makin Terang”... Tetapi belum cukup terang seperti di Jawa…

Orang ini juga memberi huraian yang tersendiri terhadap nama-nama tempat seperti Bali, Malaysia dan sebagainya. Seingat Rasyid, hamba Allah juga menyatakan bahawa perkataan Malay pada Malaysia bermakna Malaikat... Maka Malaysia itu Malaikat yang menjaganya. Sebab itu aman makmur lagi sejahtera. Dan ada lagi lebih 10 istilah berkaitan orang Jawa yang diberinya “huraian Tasawuf.” Kononnya itulah makna yang tersirat.

“Inilah ajaran Bung Karno. Ajaran Tasawuf tertinggi yang boleh dipelajari manusia. Ajaran ini cuma boleh didapati cuma di Pulau Jawa, maka jika ingin tahu, perlu belajar lagi di sana.” dia memberitahu, bangga.

——————————————


Di Malaysia lagi, Rasyid sudah terjumpa ramai orang Jawa atau berketurunan Jawa yang menganggap pulau itu ialah pusat dunia. Menurut mereka, segala-galanya ada di Jawa, semua ilmu boleh dipelajari di sana. Semua wali besar datang daripada sana dan seperti biasa, mesti keluar cerita Wali Songo... Mungkin mereka terpengaruh dengan dongeng lama Jawa yang mendakwa Gunung Mahameru, paksi alam tempat tinggal Dewa-dewa terletak di pulau itu? Sampai ada yang turut mendakwa bahawa orang Eropah yang berkulit putih bermata biru, langsung tiada ciri-ciri fizikal Jawa pun berasal daripada sana! Begitu taksub mereka terhadap Jawa...

Di kaki lima bangunan bandar-bandar termasuk Muar pula sering terdapat penjual barangan antik dan pelik seperti keris lama dan batu cincin lalu mendakwa kononnya barang-barang ini berasal daripada Jawa dan mempunyai kelebihan tertentu. “Kesaktian” Jawa begitu diperbesarkan sehingga penjual ubat tepian jalan yang diketahui bukan berketurunan Jawa pun sering menggunakan loghatnya untuk melariskan jualan. Rasyid juga pernah terjumpa ahli perubatan tradisional seperti bomoh dan pawang yang menurun lalu bercakap bahasa Jawa atau loghat Jawa seraya mendakwa diresapi rohani para wali terutama Sunan Kalijaga, satu-satunya Wali Songo yang dikatakan Jawa tulin. Malah dia pernah terjumpa seorang wanita yang mendakwa mempunyai hubungan istimewa dengan wali besar yang dikenali sebagai Sultanul Ariffin Sheikh Ismail... Yang peliknya, Sheikh Ismail berasal dari Timur Tengah tetapi apabila wanita itu “diresapi” Sheikh Ismail, dia mula bersuara garau dan bercakap dengan loghat Jawa !

Rasyid terjumpa wanita tersebut ketika menziarahi Makam Seribu di Pulau Besar, Melaka sebuah kawasan yang dikatakan mengandungi lebih 1000 makam tidak bertanda para pejuang Islam yang mati syahid sekitar abad ke 16 hingga 18 Masihi dalam usaha membebaskan Melaka daripada cengkaman penjajah Barat. Wanita berumur sekitar 40an itu mendakwa dia tahu apakah masalah yang sedang membelenggu anak muda yang rajin menziarahi makam-makam lama itu lalu menjemput Rasyid ikut balik ke rumahnya di sebuah kawasan perumahan di Melaka.

Di situlah wanita itu menunjukkan kebolehannya “menilik” atau meneropong apa sahaja yang sedang berlaku di tempat lain juga perasaan yang terbetik di dalam hati orang lain. Dan dia dapat menggambarkan rupa serta sifat beberapa orang kenalan pemuda itu dengan tepat walaupun ketika sedang sibuk membuaikan anak atau menyediakan masakan.

Sheikh Ismail yang makamnya dianggap paling “keramat” di antara banyak makam lama dan tempat berunsur mistik di Pulau Besar adalah seorang pendakwah Islam dari Timur Tengah. Menurut kitab Hikayat Raja-raja Pasai, juga kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang, beliau bertanggungjawab mengIslamkan negeri Samudera dan menabalkan pengasas kerajaan itu, Sultan Malikus Salih lebih 700 tahun lalu selain membawa syiar Islam ke beberapa negeri lain di bumi Timur ini.

Memang Sheikh Ismail dikenali sebagai wali Allah, maka tidak hairanlah jika makamnya dikatakan keramat dan beliau boleh melakukan pelbagai perkara mencarik adat. Tetapi adakah patut beliau meresap ke dalam badan seorang wanita lalu bercakap loghat Jawa dengan suara garau dan garang? Sedangkan setahu Rasyid, wali Allah berketurunan Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani ini berdarah Arab campur Parsi dan suka bertutur secara berhemah serta lemah-lembut… Lagipun bukan adab para wali memasuki tubuh badan orang apalagi seorang perempuan.

Mereka yang kurang ilmu mungkin akan cepat terpengaruh dan lekas percaya bahawa manusia seperti wanita tersebut memang telah diresapi roh wali sedangkan anak muda itu sudah lama bergaul dengan pelbagai pihak, tahu perbuatan sebegini lebih menghampiri sihir atau dilaksanakan dengan pertolongan jin samada Kafir mahupun Islam. Lalu dia teringat pesan seorang tua: Ketahuilah wali-wali itu wujud sampai sekarang dan memang mampu ghaib atau menghadirkan diri melampaui ruang dan masa. Tetapi mereka tidak akan meresapi tubuh orang lain kerana ini berlawanan dengan sifat mereka sebagai insan Al-kamil, manusia yang sempurna, yang telah mengenal makna keTuhanan dengan sebenar-benar perkenalan.

Kalau begitu, apakah yang sebenarnya meresapi badan ahli perubatan tradisional sebegini kemudian pandai pula bercakap Jawa? Mengajilah dengan guru mursyid... Fahamilah tipu-daya syaitan dan makhluk halus yang sentiasa cuba merendahkan martabat sebenar manusia dengan menyesatkan mereka… Hakikatnya orang seperti ini menggunakan pendamping dari kalangan jin samada sedar ataupun tidak... Ilmu kebatinan seperti ini boleh dipelajari dalam sesetengah perguruan silat. Tetapi ramai di antara mereka mengaku telah mendapat ilmu laduni dan kasyaf, mengaku sudah sampai ke taraf wali. Sedangkan pada orang yang betul-betul mengkaji serta mencontohi amalan dan cara hidup Nabi, amalan sebegini bukanlah cara hidup orang-orang Salih, apalagi pakaian seorang wali!

Maka itu janganlah merasa hairan, takjub apalagi taksub dengan orang-orang sebegini serta “karamah” yang ditonjolkan mereka. Setakat mahluk halus berbisik di telinga lalu memberikan maklumat tersembunyi, setakat pandang tembus melihat apa yang orang lain sedang buat di sebalik tembok atau melihat orang yang jauh mahupun apa yang terbetik di hati insan lain, setakat boleh mengerakkan benda-benda seperti keris dengan menggunakan ilmu tafakur dan nafas tak payahlah cakap banyak... Ramai orang mampu melaksanakan perkara sebegini dengan khidmat jin atau memakai Qarin (kembar manusia dari alam jin)...Tidak payah menjadi wali, tidak perlu pun mendekati perjalanan seorang Solehin. Pendek kata, walaubagaimana menakjubkan sekali pun kebolehan yang dipertontonkan, walau boleh mencairkan besi, berjalan di atas air, walau boleh terbang di langit seperti burung, ini belum boleh dikatakan bukti kewalian seseorang.

Seorang wali akan mencontohi akhlak, budi-bahasa serta cara ibadat yang terbaik seperti diamalkan Nabi Muhammad SAW. Solat dan puasa tetap dijaga malah jauh melebihi amalan orang biasa. Dan mereka selalunya akan menyembunyikan sifat karamah atau perkara-perkara mencarik adat yang ada pada mereka kecuali apabila betul-betul perlu atau terdesak... Seperti menolong orang yang dalam kesusahan, membuktikan kebenaran Islam apabila diperlekehkan atau berjihad ke jalan Allah.


p/s: Ini adalah artikel ke 656 di blogspot ini. Pada gambar atas ada tertera nombor pendaftaran kedai atau syarikat yang mengandungi nombor 131. Modelnya pun ada 3. Hmm... :]


Ahad, Mac 28, 2010

Mari meriahkan hari terakhir pesta buku!

Hmm. Baru sahaja balik dari lawatan malam ke Janda Baik ni...



Ini adalah tempat saya melepak di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010. Lihat artikel Buku-buku saya di pesta buku antarabangsa . Siap ada gitar lagi...


Al-Rasyid menjadi 'maskot'. Alhamdulillah anak saya yang kini berumur 5 bulan setengah ini tidak banyak kerenah. Dia seronok 'berkenalan' dengan orang ramai. Dia kan 'hero' buku "Berpetualang ke Aceh"...



Isteri dengan anak bergambar bersama orang kuat Karnadya, Uncle Arif. Kelihatan novelis Aina Emir sedang melayan peminat di sebelah tempat lepak saya. Cuma sayangnya disebabkan hal-hal lain saya datang lambat lagi siang tadi. Seperti hari Jumaat, saya sampai selepas jam 5 petang. Tapi tak pa le, janji selamat...

Ahad siang ini adalah hari terakhir pesta buku. Disebabkan saya pula baru kembali dari Janda Baik jam 3 malam tadi maka saya kini bermalam di rumah seorang rakan di Jalan Ipoh. Dari situ hendak ke PWTC untuk Pesta Buku cuma sekitar 3-4 km sahaja. Insyaallah saya akan sampai lebih cepat... saya usahakan paling lambat pun jam 3 petang.

Pada sesiapa yang ingin berjumpa atau menyokong usaha saya menulis cerita-cerita berkaitan sejarah Islam dan kerajaan-kerajaan Melayu, silalah datang ke gerai kami seperti ditunjukkan dalam artikel Buku-buku saya di pesta buku antarabangsa . Merujuk kepada artikel Tiga buku baru untuk pesta buku... , saya ada membuat beberapa naskah buku baru. Sesiapa yang berminat boleh mendapatkannya di tempat lepak saya. Mari le meriahkan hari terakhir pesta buku!