Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Tuesday, February 05, 2013

Kelantan-Langkawi-Perak hujung tahun - Kota Lama Kanan dan Bukit Chandan

Sampai masanya untuk menamatkan cerita pengembaraan kecil yang dibuat awal Disember 2012. Bersambung dari Kelantan-Langkawi-Perak hujung tahun - Dayang Bunting, Gunung Raya dan Mahsuri


Rabu 12 Disember 2012, 12/12/12. Selepas bermalam di surau Kampung Temong kemudian menziarahi makam Tok Temong kami pergi makan laksa di kedai kegemaran kami di Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar.


Walaupun pekan Kuala Kangsar terkenal dengan laksa kami suka pergi ke belah sini apalagi ia berdekatan dengan sebuah masjid yang bersejarah.


Masjid Kota Lama Kanan ini ada sebuah batu nesan yang tercacak di dalamnya. Saya rasa sudah banyak kali bercerita tentangnya.


Saya tak ingat jika pernah melakukannya sebelum ini. Kali ini saya terasa mahu berkongsi cerita berkaitan daripada buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" (terbit November 2007)...


Paling menarik dalam perjalanan ini adalah penemuan tidak sengaja makam Sultan Perak kedua, Sultan Mansur Shah ibni Sultan Muzaffar Shah I di Kota Lama kanan yang akan memberikan jawaban kenapa keluarga Nenek boleh berasal daripada Batubara atau Batu Bahara yang terletak di Sumatera, hampir 400km di selatan Aceh. Ini berlaku ketika menunggang motosikal besarnya melalui Sayong, Kuala Kangsar sehingga melepasi projek jambatan baru Sungai Perak yang belum siap ketika itu. 

Setelah berjalan sekitar dua kilometer melepasi projek jambatan, tiba-tiba sahaja Rasyid terasa gelisah amat. Dia mesti melihat kuala Sungai Sayong... Kalau tidak, rasa tidak puas hati, terkilan. Tak tahulah kenapa…

Pemuda itupun berpatah kembali menghala ke Sayong. Apabila sampai ke sebuah lorong  menghala ke  tebing Sungai Perak, tergerak pula untuk masuk ke penghujung sampai ke sebuah kebun jagung. Di situ, Rasyid terjumpa seorang tua yang kelihatan sibuk mengerjakan kebun lalu bertanya arah manakah kuala Sungai Sayong. Beliau menuding ke arah hujung kebun... “Di belakang kebun inilah terletak kuala Sungai Sayong,” katanya. 

Anak muda itu terus bergegas berjalan kaki menyusuri sempadan kebun. Ternampaklah kuala Sungai Sayong bertemu dengan Sungai Perak... Lebih kecil daripada kuala Sungai Gombak di Masjid Jamek Kuala Lumpur. Tidak ada apa yang istimewa, sekadar kuala sungai yang berlumpur.

 Demi memuaskan hati, Rasyid berjalan lagi sampai betul-betul ke kuala yang berlumpur itu. Dia berdiri sejenak menghirup udara lalu menyentuh sedikit air kuala. Barulah terasa puas hati... Semasa keluar dari kebun, orang tua tadi masih ada. Pemuda itu tergerak pula untuk bertanya jika ada apa-apa cerita pelik mengenai kawasan ini. Orang tua itu menjawab tidak jauh dari situ, terdapat sebuah masjid yang didirikan di atas tapak sebuah masjid lama. Masjid lama itu pernah cuba dibakar pihak Inggeris tetapi tidak tahulah apakah sebabnya, api tidak dapat dinyalakan... 

“Mungkin berkat orang alim  yang duduk di situ?” tambahnya.

Rasyid bertanyakan arah ke masjid ini lalu bergegas ke sana. Sampai sahaja di perkarangan masjid, kelihatan sebuah makam besar yang agak terserlah di kawasan perkuburan halaman masjid selain sebuah meriam lama yang kelihatan antik. Makam ini memang nampak menonjol lain dari yang lain... Dia pun berkira inilah makam orang alim yang barakahnya telah menyebabkan masjid itu terselamat daripada dibakar Inggeris. Eloklah singgah sebentar untuk memberi salam dan menghadiahkan Fatihah.

Sedang pemuda itu berjalan ke makam tersebut, tiba-tiba timbul  rasa hendak membuang air kecil pula. Dia terus bertukar arah ke tandas demi melangsaikan hajat... Dengan masih memakai but kulit menunggang kuda yang tingginya sampai ke lutut, hadiah daripada Pasukan Polis Berkuda Putrajaya semasa bertugas sebagai wartawan dahulu, but yang kadang-kala dipakai ketika menunggang motosikal jarak jauh. 

Rasyid cuma mahu singgah sebentar di masjid itu sebelum meneruskan perjalanan.  Malas hendak membuka but kerana memakan masa, banyak sangat buckle, pengancing atau ikatan yang perlu dileraikan, kemudian mesti diikat kembali kemas. Selesai itu, dia mencuci but di sebelah luar, setakat untuk memastikan tidak ada percikan najis yang terlekat. Entah kenapa, keluar sahaja daripada tandas, pemuda itu terasa seperti stokinnya lembab... Sedangkan but itu kalis air dan tingginya sampai ke lutut...

Mula-mula Rasyid buat tak tahu. Terus berjalan ke makam lalu berdiri sejenak untuk menghadiahkan Al-Fatihah. Selepas itu baru berpatah balik ke kawasan tandas dan tempat berwuduk untuk membasuh muka. Tetapi makin dibiarkan makin terasa tidak selesa. Stokin itu masih terasa lembap malah basah sedangkan pemuda itu pula makin terasa gelisah.

Mahu tidak mahu, terpaksa juga dibuka but dengan pengancingnya satu demi satu. Satu di buku lali, tiga di bahagian atas. Kanan campur kiri, lapan pengancing kesemuanya. Itupun perlu dibuka perlahan-lahan disebabkan bahagian lidah yang panjangnya sampai ke lutut agak keras... Rasanya adalah dekat lima minit baru dapat membuka but seluruhnya… 

Bila sudah dibuka, tenyata tiada bahagian yang basah baik dalam but atau stokin mahupun mana-mana di kaki kiri dan kanan. Ah... dia kena tipu agaknya. But ini kalis air, kenapa pula boleh terasa basah di dalam? Tapi siapa pula hendak menipunya? Bukankah ini tempat orang alim? Tiba-tiba hatinya terbetik. Mungkin pemuda itu perlu masuk ke masjid? Nampaknya begitulah... But sudah dibuka, stokin pun sudah. Apa salahnya masuk ke dalam sebentar? Lagipun dia sedang letih, boleh juga berbaring…

Rasyid masuk membawa beg galas besar yang selalu menjadi teman kembaranya di jalanan. Kalau tak silap ingatan, semasa itu pagi, baru jam 11... Ada banyak masa untuk sampai ke destinasi sebenarnya hari itu iaitu makam Tok Temong di utara Kuala Kangsar. Dia pun keluar mengambil wuduk... Buat solat Tahiyatul Masjid kemudian berbaring di tengah masjid, berbantalkan beg galas. Tup... tup... terus  pemuda ini terlelap...

Sejam kemudian, baru Rasyid tersedar. Dalam keadaan sedikit mamai  akibat baru bangun tidur, matanya mula melilau melihat sekeliling masjid. Tiba-tiba pandangannya terpaku ke satu bahagian tertentu, satu saf di belakang  sejadah yang menandakan tempat imam,  sekitar lima makmum ke kanan. Eh... Batu nesan! Benarkah apa yang dilihat?  Kenapa boleh berada di  dalam masjid? Sebatang pula itu, bukannya sepasang! Apakah dia sedang bermimpi atau diberikan sebuah bayangan? Ketika itu tidak ada orang lain di dalam masjid. Apakah dia sahaja yang boleh nampak? 

Pemuda ini menggosok-gosokkan kedua-dua  biji matanya... Batu nesan itu masih kelihatan. Dia pun bangun untuk meneliti lebih dekat. Batu nesan itu terasa solid, kukuh dan nyata bila dipegang. Ia  tertanam kukuh ke lantai masjid, tidak boleh digoyang-goyangkan…

Apapun, samada batu nesan itu betul-betul wujud atau tidak, Rasyid terasa perlu untuk membacakan Surah Al-Fatihah dan Ya Sin, dihadiahkan kepada pemilik batu nesan yang dia pun tidak tahu entah siapa… Mungkin orang alim yang disebut orang tua tadi? Bagaimana pula makam di luar masjid? Yang mana satu milik orang alim yang dimaksudkan?

 Dipendekkan cerita, memang terdapat sebuah batu nesan terpacak di dalam Masjid Kota Lama Kanan... Rasyid dapat tahu apabila beberapa orang penduduk tempatan sampai ke masjid untuk menunaikan solat Zohor. Merekalah yang menyatakan batu nesan tersebut adalah milik Sultan Perak kedua, Sultan Mansur Shah ibni Almarhum Sultan Muzaffar Shah (memerintah 1549-1577). Tetapi ini bukan bermakna baginda mangkat di situ. Ia sekadar menandakan tempat baginda ghaib sahaja...

Sultan Mansur Shah dikatakan ghaib ketika sedang menunaikan solat Jumaat di masjid itu. Sebab itu tempat baginda ghaib ditandakan dengan sebuah batu nesan, bukannya sepasang. Kata salah seorang ahli jemaah masjid pula, ada cerita lama menyebut baginda hilang diculik tentera Aceh. Sejarah rasmi yang dibaca Rasyid ada menyatakan Aceh pernah menyerang Perak sekitar tahun 1570an atau 1580...  Lebih tepat lagi selepas 1577  yang dianggap sebagai tahun kemangkatan Sultan Mansur Shah. Tidak tahulah pula bagaimana baginda boleh diculik di tengah-tengah orang ramai yang menunaikan solat Jumaat... Ada pula yang berkata ia berlaku atas permintaan Sultan Mansur sendiri yang mahu meninggalkan Istana Perak! 




Anak kami Muhammad Al-Aminul Rasyid berehat di luar masjid. Kelihatan jauh sikit di belakang makam seorang pembesar negeri Perak. Lihat artikel Makam (Tomb of) Temenggung Wan Husain blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Melihat meriam di hadapan teringat dalam satu lawatan sendirian di masjid (saya sudah bermalam sekurang-kurangnya 2 kali di sini), saya berfikir bagaimana sultan kedua Perak itu dapat dibawa ke Aceh tanpa disedari oleh mana-mana orang baginda. Kan Aceh begitu jauh daripada Perak? 

Ketika bersandar pada meriam tiba-tiba muncul satu jawaban. Menurut ilham yang sampai, ketika itu seberang sahaja Sungai Perak ke barat, itu sudah dikira wilayah Aceh zaman itu. Sambung lagi sedikit cerita daripada buku...



Setahun kemudian, beberapa bulan setelah Nenek meninggal dunia, baru Rasyid faham kenapa dia boleh sampai ke makam Sultan Mansur Shah di Kota Lama Kanan, makam Sultan Muzaffar Shah II di Lambor Kanan juga makam Sultan Abdullah Muhammad Shah di Teluk Intan. Ini kerana tiga Sultan ini menandakan tiga pecahan zaman atau tiga fasa keSultanan Perak yang mempunyai kaitan dengan keluarganya...

Daripada sumber-sumber tertentu, pemuda ini mendapat tahu suatu masa dahulu pernah wujud sebuah komplot oleh ahli keluarga Sultan Mansur Shah (ada yang kata oleh anak isteri sendiri!) untuk meracuni baginda. Maka ‘penculikannya’ oleh tentera Aceh berlaku kerana baginda ingin memencilkan diri kerana kecewa disebabkan keluarga sendiri sanggup berpakat untuk membunuh baginda demi merebut takhta. Menurut cerita ini lagi, sebab itu juga Aceh melanggar Perak selepas baginda ‘ghaib’ 1577. Lalu seluruh ahli keluarganya ditawan dan diangkut ke sana. Tidak lama kemudian, baru mereka dihantar kembali ke Perak dan seorang anakanda baginda yang bukan anak sulung diangkat menjadi Sultan Perak  ketiga dengan memakai nama Sultan Ahmad Tajuddin Shah. 

Sumber sejarah di tangan Rasyid menyatakan Sultan Ahmad Tajuddin mangkat 1584 lalu digantikan adindanya Sultan Tajul Ariffin. Ini berlaku kerana anakanda Sultan Ahmad Tajuddin yang bernama Raja Inu, juga dikenali sebagai Raja Kechil Lasa mangkat lebih awal. Sebab itu juga anakanda Raja Inu iaitu Raja Ali diangkat menjadi Sultan kelima apabila Sultan Tajul Ariffin mangkat 1594. Raja Ali yang merupakan cucu saudara Sultan Tajul Ariffin pun ditabal menjadi Sultan Alauddin Shah.

Kemangkatan raja ini 1603 menyaksikan kenaikan Sultan Mukaddam Shah, anakanda seorang Raja Aceh (tidak diketahui siapa) dengan puteri kepada Sultan Mansur Shah. Jika selama ini, keSultanan Perak berbangga sebagai penyambung zuriat keSultanan Melaka kerana Sultan pertamanya, Sultan Muzaffar Shah adalah anakanda Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah, kenaikan Sultan Mukaddam Shah sebagai Sultan Perak ke enam pula bermakna kesinambungan zuriat keSultanan Melaka dari sebelah pihak laki-laki mula putus, tinggal kesinambungan sebelah perempuan. 

Perak dilanggar Aceh lagi 1607 lalu kerabat dirajanya diangkut. Sultan Mukaddam diketahui mangkat di Aceh 1619. Kesinambungan darah Raja Melaka sebelah lelaki di Perak dapat berdiri kembali apabila seorang lagi anak Raja Inu ditabal menjadi Sultan Mansur Shah II (1619-1627). 

Sultan seterusnya, Sultan Mahmud Shah  (1627-1630) adalah adinda kepada Sultan Mukaddam diikuti anakanda baginda Sultan Salehuddin Shah (1630-1635) yang menjadi Sultan Perak ke sembilan. Selepas itu bermulalah fasa kedua keSultanan Perak seperti yang tersirat dalam perjalanan pertama Rasyid menziarahi makam-makam Sultan.  

Pada tahun 1636, muncul Sultan Perak ke sepuluh, Sultan Muzaffar Shah II yang makamnya diziarahi pemuda itu di Kampung Air Mati, Lambor Kanan. Mengikut sejarah dan salasilah rasmi, baginda berasal daripada keSultanan Siak yang berpusat di  tengah Sumatera. Dari Sultan ini terbitlah Sultan-sultan Perak seterusnya sampai sekarang, Nama asalnya ialah Raja Sulong bin Raja Mahmud bin Raja Kasab, anak kepada Sultan Khoja Ahmad Shah yang memerintah kerajaan Siak penghujung abad ke 15.

Peliknya, kitab Misa Melayu karangan Raja Chulan (abad ke 18) mencatatkannya sebagai Sultan Perak yang pertama walaupun baginda menaiki takhta  lebih 100 tahun selepas kemunculan Sultan Muzaffar Shah I yang diiktiraf sejarah rasmi sebagai pengasas keSultanan Perak. Kitab itu adalah satu-satunya karangan orang Melayu lama yang khusus untuk menceritakan sejarah keSultanan itu. Mesti ada sebab pengarangnya  meletakkan Sultan berketurunan Siak itu sebagai pengasas keSultanan... 

Apapun, Sultan Muzaffar Shah II ini sebenarnya dinaikkan ke atas takhta Perak oleh kerajaan Aceh yang sedang diperintah Sultan Iskandar Thani (1636-1641) seorang anak Raja Pahang yang menjadi anak angkat,  seterusnya menantu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (memerintah Aceh 1607-1636). Sejarah rasmi menyebut  Sultan Muzaffar II dan Sultan Iskandar Thani pernah menjadi tawanan di Aceh, semasa Sultan Iskandar Muda menjalankan kempen perluasan empayar Aceh ke atas hampir seluruh bumi Nusantara. Kempen itu menyaksikan ramai kerabat diraja negeri-negeri Melayu di Semenanjung termasuk Johor dan Pahang ditawan dan diangkut ke sana. Malah kedua-dua Sultan ini adalah saudara sepupu, melalui ibu mereka yang berketurunan Bendahara Melaka. 

Semasa di Aceh, Sultan Muzaffar II atau Raja Sulong telah dikahwinkan dengan Puteri Fatimah binti Raja Abdullah ibni almarhum Sultan Abdul Ghafur Mohiuddin Shah, seorang Sultan Pahang. Puteri Fatimah pula adalah anak Raja Pahang itu dengan isterinya Puteri Perak yang merupakan cucu Sultan Perak kedua, Sultan Mansur Shah dan adinda kepada Sultan Mukaddam yang berbapakan seorang Raja Aceh...

 Selepas kemangkatan baginda 1654, anakanda baginda Raja Mahmud pula menaiki takhta sebagai Sultan Mahmud Iskandar Shah... Tetapi Sultan yang memegang takhta selama 66 tahun ini tidak meninggalkan waris lelaki. Maka anak kepada adindanya al Marhum Raja Mansur yang dikenali sebagai Yang di Pertuan Muda yang bersemayam di Pulau Tiga,  Raja Radin pula memegang kuasa sebagai Sultan Alauddin Mughayat Shah.
Sultan Alauddin Mughayat mangkat  1728 meninggalkan seorang waris lelaki yang dikenali sebagai Raja Kechil Bongsu sahaja. Tak tahulah kenapa anak ini tidak menaiki takhta. Sebaliknya, adinda Sultan menggantikannya sebagai Sultan Muzaffar Shah III, Sultan ke 13, juga dikenali sebagai Marhum Hajiullah kerana dikatakan boleh pergi ke Mekah dalam sekelip mata!

Baginda yang mangkat 1754 juga tidak meninggalkan waris lelaki. Salasilah rasmi Perak meletakkan adinda Sultan Muzaffar III iaitu Sultan Muhammad Shah sebagai Sultan ke 14 tetapi ada pihak mengatakan raja ini cuma menjadi Yang di Pertuan Muda atau Raja Muda sahaja... Pada zaman itu berlaku perebutan takhta. Sultan Muhammad mengisytiharkan diri sebagai Sultan Perak walaupun berkuasa di atas satu bahagian.

Peristiwa yang dinukilkan di dalam kitab Misa Melayu ini berakhir dengan Sultan Muhammad meminta ampun kepada kekandanya. Perak pun bersatu kembali di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III. Apapun, Sultan Muhammad Shah yang mangkat 1750 meninggalkan empat orang anak yang akan bergilir-gilir menaiki takhta Perak, bermula dengan Sultan Iskandar Zulkarnain (memerintah 1754-1765), diikuti adindanya Sultan Mahmud Shah (1765-1773), Sultan Alauddin Mansur Shah (1773-1792) dan akhir sekali Sultan Ahmaduddin Shah (1792-1806).

Ketika itu, Perak yang telah memiliki 18 orang Sultan (termasuk Sultan Muhammad Shah) sudah mula menggunakan sistem giliran waris-waris takhta di mana pemerintah tertinggi kerajaan adalah Sultan diikuti Raja Muda, Raja Bendahara dan Raja di Hilir. Pengganti takhta dipilih mengikut turutan kedudukan ini. Ia digilirkan untuk memuaskan hati semua jurai keluarga diraja yang mempunyai hak ke atas takhta demi mengelakkan perebutan kuasa dan perang saudara seperti pernah berlaku beberapa kali dalam sejarah keSultanan Perak sejak ia bermula 1528...



Dari Masjid Kota Lama Kanan kami mengambil jalan kampung menyusuri tepian Sungai Perak ke selatan. Berhenti sebentar di Surau Tok Subang. Tengok-tengok ada orang ramai.


Kami sampai betul-betul ketika ada orang ramai menyusung jenazah untuk dibawa ke tanah perkuburan. Saya pula memang mahu ke situ untuk menziarahi sebuah makam lama yang berkaitan dengan kesultanan Perak lama. Lihat Makam Tok Subang di siang hari (The tomb of Tok Subang during daytime).


Perjalanan diteruskan menaiki Bukit Chandan sebelum turun ke Kampung Padang Changkat di bahagian belakang. Singgah di makam Daeng Selili kemudian ke rumah tukang besi dan pembuat keris terkenal iaitu Pak Mazin.


Di bengkel besi saya diberi lihat replika keris Taming Sari, keris kebanggaan pahlawan Melayu Melaka dahulukala Hang Tuah, keris yang kini dikatakan terdapat di dalam simpanan istana Perak. Kata Pak Mazin dia telah beberapa kali menyiapkan replika sebegini, Ini adalah tempahan terbaru dan sudah siap. Cuma memerlukan ia dihantar kepada tukang emas dan permata untuk diberi hiasan mahal jika mahu dijadikan betul-betul serupa seperti keris di istana.


Selepas itu kami naik kembali ke Bukit Chandan, pergi bersolat di Masjid Ubudiyah.


Kalau dah sampai di sini saya mesti juga menziarahi kawasan pemakaman diraja untuk melihat makam beberapa orang saudara mara. Kelihatan di sini makam almarhum Raja Ashman ibni Sultan Azlan Shah, kembali ke rahmatullah sekitar April tahun lepas.


Al-Fatihah untuk almarhum. Teringat bagaimana kami menerima berita tentang kemangkatan beliau ketika sedang berada di Kota Bahru, Kelantan, ketika dalam satu perjalanan yang dibuat sejurus selepas tamat pantang melahirkan anak kecil kami Muhammad Alauddin Johan. Beberapa hari kemudian baru kami ke Perak menziarahi makam. Lihat artikel lama Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - Tentang gigi Rasyid dan ziarah ke makam Raja Ashman.


Saya dan isteri sudah pergi ke Bukit Chandan entah berapa kali. Baru kali ini tergerak untuk masuk melihat pameran di sebuah bekas istana. Lihat Galeri (Gallery of) Sultan Azlan Shah. Selepas itu kami terus kembali ke rumah di Bandar Tasik Puteri. Selesailah cerita pengembaraan ini... :]



9 comments:

Royal Beauty Boxer said...

hmmm interesting...thanks for sharing abang silu

Radzi Sapiee said...

Wokey. Tak habis cerita tu. Tengah demam, don't feel well. Nanti sambung...

Royal Beauty Boxer said...

terbaikkkkkkkkkkkkkk..get well soon

nadz said...

Sangat bagus..saya akan terus membaca

hizam said...

keris tu pon saya dah 'rasa'....masa saya singgah ke sana...

Anonymous said...

salam sejahtera buat saudara sekeluarga...

saya suka melihat cahaya diwajah anda...

Anonymous said...

mohon dipelihara cahaya itu...:)

Anonymous said...

Gen X Tok Kadok: as salam mohd radzie... sudahkah anda bertemu/berjumpa dngn salah seorang Muazzin di masjid ubudiah k kangsar tu yg bernama Daeng ...... dari jurai Daeng ......

Radzi Sapiee said...

Insyaallah. Semoga cahaya itu terus menyinar. Muazzin nama Daeng tu saya tak tahu.