Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, April 16, 2015

Seminar Asal-Usul Melayu di UKM - Apabila kekeliruan menyelinap masuk ke dalam majlis



Selepas makan tengah hari kemudian berbual panjang bersama beberapa orang cendekiawan saya berjalan kaki ke masjid UKM untuk bersolat Zuhur.


Selepas itu baru kembali ke dewan, lebih tepat Bilik Senat untuk mengikuti sesi petang seminar. Menurut jadual ia bermula jam 2 tapi saya sampai jam 2.15.


Nasib baik masih banyak perkara sempat dikongsikan pembentang pertama sesi iaitu Profesor Madya Dr Zafarina Zainuddin daripada USM (Universiti Sains Malaysia). Menangani tajuk "Asal Usul Melayu Dalam Konteks Kajian DNA" beliau mungkin orang paling ke hadapan dalam kajian DNA di Malaysia. Saya difahamkan Profesor Dr Stephen Oppenheimer daripada Oxford University, England yang terkenal dengan buku "Eden of The East" itu pun merujuk pada data yang dikumpul Dr Zafarina untuk kajian terbarunya. Rujuk artikel Ke Pulau Pinang untuk mendengar pembentangan Oppenheimer.


Saya mula mengenali Dr Zafarina (saya baru tahu, dalam lingkungan menara gading kalau Prof Madya tu tak boleh panggil Prof sebab belum Profesor penuh, teringat seorang saudara yang begitu bangga dengan gelaran Associate Professornya walhal ia cuma bahasa Inggeris untuk Profesor Madya...) ketika beliau membuat pembentangan tentang hal sama di UKM hampir 3 bulan lalu. Lihat Forum "Melayu Bukan Pendatang" di UKM. Ketika itu pembentangannya kelihatan lebih teknikal, susah sedikit untuk diserap oleh mereka yang bukan daripada bidang yang sama.


Kali ini saya melihat pembentangan beliau lebih 'mesra pengguna'. Tafsiran data telah diberikan persembahan mudah walaupun masih terdapat terma-terma teknikal yang tidak dapat dielakkan dalam perkongsian hasil kerja.





Bila masuk perbandingan data seperti ini saya lihat ia serupa dengan pembentangan terdahulu.





Kesimpulan juga serupa kerana ia benda sama yang telah diulang banyak kali. Bahawa kajian DNA menunjukkan kesamaan antara kelompok pelbagai etnik atau suku kaum yang membentuk bangsa besar Melayu dan mereka sememangnya berasal dari bumi sebelah sini, bukan dari luar.


Pembentang kedua sesi Bapak (sama macam Encik) Bambang Budi Utomo daripada Pusat Penelitian Arkeologi Nasional, Indonesia membawa tajuk "Kerajaan Melayu-Sriwijaya Dan Tinggalan Budayanya".


Beliau merujuk pada tinggalan-tinggalan yang boleh ditemui di pulau Sumatera. Oh, sebelum itu beliau mendefinisikan Melayu sebagai satu bangsa yang memiliki ciri-ciri serupa dalam melakukan beberapa perkara. Saya senaraikan mengikut apa yang diingati tanpa catatan ya. Untuk makluman saya ini jenis yang suka mencerna ilmu ibarat orang mengambil zat daripada makanan. Makanan hilang rupa dan sifat tapi zat sudah masuk membentuk tubuh badan...

1) Daripada segi pembuatan rumahnya, suka mendirikan rumah di atas tiang-tiang tinggi (ada kaki tinggi, kalau di sesetengah tempat boleh tambat bot di bawah rumah)

2) Daripada segi pembuatan kapal - tanpa memerlukan penggunaan logam (merujuk pada masa sebelum zaman logam) mereka sudah pandai membuat kapal menggunakan kepingan-kepingan kayu yang diikat dengan cara tertentu

3) Daripada segi pembuatan tembikar - lupa bagaimana huraiannya

4) Daripada segi bercucuk tanam - orang Melayu ada budaya menanam pokok-pokok tertentu di halaman rumah


Menggunakan ciri-ciri ini dapat dilihat bagaimana taburan orang Melayu itu menata kehidupan mereka.


Daripada segi agama pula, apabila bercerita tentang Srivijaya kita tidak dapat lari daripada pengaruh Buddha.


Namun saya tertarik apabila Pak Bambang menyatakan telah ditemui kepingan seperti kelihatan  pada kiri gambar tertera Asmaul Husna. Saya dah lupa yang manakah antara 99 nama Allah yang tertera. Seingat saya ia daripada abad ke-10 Masihi.


Dan apabila bercerita tentang Melayu kita tidak dapat lari daripada menyebut tentang Bukit Siguntang, tempat yang dikatakan asal usul raja-raja Melayu.


Beberapa tapak arkeologi yang menunjukkan keberadaan kerajaan Srivijaya pun ditunjukkan...








Secara rata ia menggambarkan budaya sebelum Islam atau lebih tepat, sebelum Islam syariat Nabi Muhammad SAW masuk mendominasi.


Perlu diingatkan apa yang dikongsikan di sini malah rata-rata artikel saya merupakan interpretasi atau ulasan sendiri terhadap suatu perkara. Ia tidak semestinya betul-betul sama dengan apa yang dibawa oleh pembentang. Tetapi saya berusaha sebaik mungkin untuk menyatakan apa yang dikongsikan mereka. Cuma ayatnya mungkin lain ibarat menceritakan apa ada pada zat makanan sedangkan makanan itu sendiri sudah lama hilang sifat dan rupa setelah dicerna. Cuma sesekali sahaja saya menyatakan sesuatu itu secara ad verbatim iaitu menggunakan ayat dan perkataan sama seperti diperkatakan seseorang...


Pembentang ketiga sesi Dr Mohd bin Samsuddin daripada Pusat Pengajian Sejarah, Politik & Strategi, UKM membawa tajuk "Raja-raja Melayu : Kedaulatan, Perjuangan dan Cabaran Masa Depan".


Pembentangan beliau sebenarnya cukup menarik daripada segi isi. Tetapi daripada segi persembahan slaid saya kira agak 'kureng' lalu malas hendak mengambil lebih banyak gambar. Apa yang dibawa adalah peranan raja-raja Melayu paska/setelah kedatangan British. Walaupun bangsa Barat itu cuba menghadkan kuasa raja-raja masih ada cukup ruang yang kemudian ditafsirkan dalam perlembagaan untuk raja mengaplikasikan kuasa dalam menentukan hala tuju negeri dan negara. Lalu beliau membuat kesimpulan bahawa kedudukan raja-raja secara rata adalah selamat. Antara yang saya ingat Dr Mohd ada menunjukkan peruntukan perlembagaan yang memberitahu bahawa ada perkara melibatkan raja-raja tidak boleh diputuskan oleh sesiapa pun tanpa persetujuan Majlis Raja-raja. Saya menganggap ini bermaksud institusi raja-raja tidak boleh dihapuskan oleh parlimen walau mendapat 2/3 majoriti sokongan ahli selagi raja-raja sendiri tidak bersetuju.


Sampai kepada pembentang keempat untuk sesi, pembentang terakhir keseluruhan seminar, Dr Mohd Faizal Musa membawa tajuk "Sisi Melayu Yang Lain : Cita Bencana". Melihat pada tajuk pun saya rasa ada perkara yang tidak kena. Telahan saya ternyata betul. 

Adapun sebaik sahaja pembentangan sebelum itu tamat saya telah ke tandas untuk membuang air. Sebaik sahaja kembali ke dalam bilik saya terus ke hadapan untuk mengambil gambar pembentang terakhir yang sedang bersedia untuk memulakan bicara. Terus beliau menegur apa yang hendak dikongsikan bukan untuk dipublish atau disiarkan kepada umum kerana masih belum final, masih boleh diperbaiki. Teguran itu sendiri tiada masalah. Tetapi ada yang terasa tidak kena secara batinnya sehingga saya terus merasa meluat, malas hendak mengikuti pembentangan.

Sebetulnya kalau orang tak kasi publish ia lebih mudah kerana saya pun tidak perlu bersusah-payah mengulangi ceritanya panjang lebar untuk dilaporkan kepada orang lain. Perkara ini sudah saya huraikan agak terperinci pada artikel Seminar Asal-Usul Melayu di UKM - Mengaitkan Adam dengan bangsa Melayu. Namun sebagai pencinta kebenaran juga aktivis kedaulatan Melayu dan Islam saya harus terus melihat apa yang hendak diperkatakan...


Ternyata amaran yang diberikan batin saya memang benar. Orang ini secara bijak (atau licik?) membuka pemikiran cendekiawan besar Syed Hussein al-Attas untuk mengenengahkan idealisma dalam pemerintahan dan berkerajaan. Tetapi tidak lama kemudian lawan idealisma iaitu kepincangan atau kebobrokan pula ditonjolkan dengan masih menggunakan konteks pemikiran dan kritikan al-Attas untuk mengutuk raja-raja Melayu dan golongan bangsawan. Segala yang buruk-buruk tentang raja misalnya kes Sultan Mahmud mangkat dijulang yang terkenal membelah perut perempuan mengandung mengidamkan nangka cuba ditelanjangkan malah 'dihiasi' sekali laporan (daripada pihak Barat kalau tak salah) yang mengatakan baginda memiliki tabiat seks yang pelik (ada yang cenderung untuk mengatakan baginda seorang homoseks!). 

Keburukan anak-anak raja seperti dilaporkan Munshi Abdullah dalam kisah pelayarannya turut diangkat tanpa mengambil kira bahawa Munshi Abdullah berkepentingan memburukkan raja-raja kerana berkhidmat dengan Stamford Raffles lalu ingin memberikan gambaran orang Inggeris (kolonialis) itu lebih bijak, berpelajaran, lagi adil dan bertimbang-rasa (konon). Rata-rata golongan raja dan bangsawan Melayu dihina dan diperkecilkan secara pukal, seolah-olah tiada yang baik langsung tentang mereka. Sebagai lawannya gagasan rakyat, hak asasi manusia dan sebagainya pula dilaungkan untuk menggambarkan keadilan sejagat...


Terasa sungguh pembentangan dibuat dengan begitu banyak niat buruk, bad faith atau mala fide. Diakui raja-raja dan golongan bangsawan terutama yang dapat dilihat zaman sekarang juga banyak kelemahannya. Tetapi kenapa tidak diangkat sekali contoh baik, misalnya Sultan Alauddin Riayat Syah Melaka yang selalu keluar malam memakai pakaian biasa untuk memantau nasib rakyat ibarat Khalifah Umar Abdul Aziz yang terkenal begitu adil, prihatin dan rendah diri itu? Sebetulnya darah saya mendidih mendengar segala penghinaan ini tetapi saya tetap mengawal perasaan. Kempen Touch A Dog yang pernah menggemparkan umat Islam tanah air suatu masa dahulu pula boleh disokongnya dengan alasan Hang Tuah pun pernah tidur dengan anjing sultan. Dan Hang Tuah dihina lagi dengan mengatakan beliau juga suka minum arak, satu perkata yang pernah dibangkitkan pembentang ini ketika umat Islam sibuk menolak pesta minum arak October Fest suatu masa dahulu.

Saya cuma menzahirkan kemarahan dengan mengeluarkan mata keris lalu meletakkannya di atas meja. Melihat pada latar belakang pembentang yang saya tahu pernah menjadi penulis novel pujaan ramai tetapi jatuh merudum populariti apabila kecenderungannya terhadap fahaman Syiah Imam 12 semakin terserlah, seminar ini seperti menjadi medan membalas dendam sambil menyatakan sokongan terhadap pihak yang masih sudi mengangkat beliau, pihak yang nampaknya cenderung untuk menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu. Semasa sesi soal jawab petang pula saya dapat melihat pengerusi majlis seperti sealiran apabila menghalang saya daripada mengemukakan soalan dengan alasan tengah hari tadi saya sudah banyak bersoal jawab. Selepas seorang peserta bertanyakan apakah yang patut dibuat agar orang Melayu bukan beragama Islam seperti yang terdapat di Filipina dapat merasa bersama dalam gagasan Melayu besar, pembentang dari Indonesia pula boleh menjawab hilangkan STIGMA Melayu mesti Islam. STIGMA? Kan buruk maknanya itu.

Nampaknya kami sedang berhadapan dengan 3 orang manusia liberal yang walaupun bercakap tentang Melayu dalam seminar asal usul Melayu, jiwa mereka kurang Melayu. Atau mereka tidak dapat menerima Melayu lama yang tahu hormatkan golongan bangsawan dan raja?Patutlah saya lihat mereka ini seperti asyik memandang semacam pada saya yang berbusana tradisional Melayu, berkeris, bersampin, bertanjak. Bayangkan, setelah beberapa lama dan sebelum menutup majlis saya akhirnya diberi peluang untuk menyatakan soalan lalu saya cuba menyusul dengan satu lagi soalan. Terus dipotong pengerusi dengan mengingatkan saya supaya menghormati adab majlis. Saya akur lalu tidak meneruskan soalan. Tetapi apa ke halnya pengerusi kemudian menyebut begini : "Jangan sampai Melayu tinggal baju Melayu?". Sedangkan dalam majlis itu cuma saya seorang saya yang berpakaian Melayu penuh. orang lain mungkin ada 2-3 sahaja yang memakai baju Melayu itupun setakat baju.


Bergambar selepas majlis dengan beberapa orang yang sehaluan termasuk Profesor Dato Dr Abdullah Zakaria di sebelah bahu kanan saya. Nasib baik masih ramai yang mahu memperjuangkan Melayu dan Islam. Mengingatkan inilah antara sebab saya tidak menzahirkan lebih banyak kemarahan sedangkan begitu ternyata ada unsur yang sangat biadap dalam majlis. Secara rata seminar ini memang baik. Cuma unsur-unsur pada penghujung majlis sahaja yang sedikit mengganggu. Saya anggap ini semua kekeliruan terutama bagi pihak yang kecewa setelah hilang populariti lalu cuba mencari suaka dengan pihak lawan (anti-Melayu) yang sudi menyokongnya. Semoga Allah SWT memberikan dia hidayah agar tidak dipergunakan orang demi kepentingan politik jahat yang mahu meminggirkan orang Melayu dan Islam.



Seminar Asal-Usul Melayu di UKM - Menyelaraskan peristiwa purba menurut sains berbanding kitab



Kalau ikutkan selepas tamat sesi pembentangan pagi maka harus diadakan soal jawab untuk sesi itu. Tetapi ketika ia tamat pun sudah hampir jam 11.30 sedangkan majlis mahu mematuhi masa berehat makan tengah hari pada 12.30. Maka itu tinggal sejam sahaja untuk 3 orang pembentang sesi tengah hari dengan semua soalan termasuk daripada sesi pagi ditujukan selepas pembentangan. 


Disebabkan sejam yang tinggal itu termasuk soal jawab untuk dua sesi pengerusi memberikan peringatan kali ini pembentang cuma diberi masa 15 minit sahaja setiap seorang. 15 minit sahaja fikir saya? Ini harus jadi semacam express train presentation yang tergesa-gesa. Tak mengapa, asal dapat mencapai tujuan perkongsian ilmu. Pembentang pertama sesi tengah hari, Profesor Emeritus Dato' Dr Wan Hashim Wan Teh menerima ini dengan senyuman. Orang lama akademik yang kini berkhidmat dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia itu membawa tajuk "Asal Usul Melayu Dalam Perspektif Antropologi Budaya Dan Etno-Linguistik".


Beliau membuka dengan menerangkan dahulu teori-teori lama, teori-teori lapuk tentang asal usul Melayu.





OK. Saya dah terlupa apakah yang disanggah Prof Wan di sini. Rasanya bukanlah beliau menyanggah Prof Nik (Prof Emeritus Dato' Dr Nik Hassan yang membentang pada sesi pagi - lihat Seminar Asal-Usul Melayu di UKM - Mengaitkan Adam dengan bangsa Melayu). Kerana saya baru tahu mereka sering membuat kajian bersama. Pada majlis ini juga saya mendapat tahu Prof Wan sudah lebih dahulu mempelopori ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu) di UKM sebelum Pro Nik mengambil-alih teraju. Maka itu saya rasa yang dimaksudkan adalah ada pihak menyanggah teori Prof Nik yang seiring dengan teori Prof Wan.



Seingat saya baru sekali dua pernah mendengar pembentangan Prof Wan sebelum ini. Kalau Prof Nik saya dah ikuti banyak kali dan sedikit sebanyak kami sudah saling mengenali. Dengan Prof Wan baru dalam majlis ini saya bertegur sapa lalu berbual-bual dengannya. Yang saya ingat Prof Wan menolak teori-teori lama yang mengatakan Melayu berasal daripada luar sebelum berhijrah ke mari. Lalu seperti dinyatakan Zaharah pada sesi pagi dan Oppenheimer (yang menjadi salah satu rujukan Zaharah) dan sebagainya beliau memegang kuat teori baru bahawa orang Melayu memang sedia asal pribumi di Asia Tenggara yang dahulunya pernah menjadi daratan besar yang dikenali pengkaji sebagai Sundaland.


Dahulu ramai mendakwa bahawa orang Melayu berasal dari selatan Cina. Prof Wan telah ke sana lalu mengkaji budaya dan bahasa hampir semua kalau tidak semua pun suku kaum Cina yang ada. Beliau mendapati tidak ada satu pun yang memiliki ciri-ciri bersamaan Melayu. Logiknya kalau Melayu berasal dari sana, maka harus ada kaum induk yang mana Melayu berasal daripadanya. Dan kaum ini harus memiliki ciri-ciri yang boleh menunjukkan Melayu di Asia Tenggara berasal daripada mereka. Tapi Prof Wan tidak menemui ciri-ciri tersebut pada sekian banyak kaum yang ada bukan sahaja di selatan China malah bahagian lain wilayah itu.


Kajian meliputi pula kawasan Hainan dan pulau Taiwan yang boleh dikira bahagian selatan Cina. Di situ baru ditemukan satu etnik yang memiliki ciri-ciri Melayu. Jadi apakah ini menyokong teori berkenaan bahawa Melayu berasal daripada Taiwan pula? Tidak kata Prof Wan. Malah etnik di Taiwan yang memiliki ciri-ciri Melayu itu yang sebenarnya berasal dari Alam Melayu. Mereka masuk ke Taiwan melalu Philipina yang memang termasuk di dalam lingkungan Alam Melayu.



Hal etnik Taiwan bercirikan Melayu ini pertama kali saya dengar dalam pembentangan Prof Dato Dr Md Salleh Yaapar di DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) setengah tahun lalu. Ketika itulah, setelah beberapa lama mengikut pelbagai polemik tentang asal usul Melayu di merata tempat dan perkumpulan intelektual baru saya terasa puas dengan penerangan yang diberikan. Lihat Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu : Ke Arah Pencerahan yang Dinantikan... diikuti Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu : Sudah terang lagi bersuluh!.





Cuma Prof Wan telah menambah satu lagi dimensi yang tidak saya ketahui sebelum ini. Bahawa etnik Melayu di Taiwan itu berasal daripada orang Melayu-Champa yang berhijrah keluar daripada lingkungan biasa Alam Melayu beberapa kurun yang lalu.

Nota : Ada pembaca menegur bahawa yang dikatakan daripada Melayu-Champa itu adalah etnik di Hainan bukannya Taiwan, Saya pun tak pasti kerana begitu banyak maklumat cuba dicerna semalam tanpa saya membuat catatan. Jadi saya letakkan teguran sebagai nota ya...


Lebih menarik adalah apabila Prof Wan mengangkat kembali satu pendedahan yang beliau buat bersama Prof Nik 21 tahun lalu. OK, saya tidak merakamkan semua slaid kerana satu, apabila saya fokus lensa untuk mengambil gambar tengok-tengok dah tukar slaid lain, Kedua, kadangkala memang saya terlupa mengambil gambar kerana leka mencerna maklumat masuk ke dalam kepala. Yang pasti, Prof Wan memberitahu bahawa pada tarikh yang disebut di atas beliau dan Prof Nik mengumumkan bahawa Melayu sedia berasal daripada Asia Tenggara. Ini pada tahun 1994 ni, ketika saya masih terkapai-kapai mencari identiti diri di London, 7 tahun kemudian baru betul-betul mula mencari keMelayuan. Hampir penghujung tahun 2013 pula baru tahkik atau tetap dalam fikiran saya bahawa Melayu berasal daripada Sundaland iaitu daratan besar yang pernah wujud di Asia Tenggara. Padahal saya telah diberitahu oleh orang tua-tua hal ini seawal tahun 2002 tetapi tidak mengendahkannya.






Ketika itu saya sedang bersedia untuk mengadakan satu acara HIKMAH di mana peserta dibawa untuk bersama mengisi satu projek filem epik Melayu. Lihat artikel Acara ketujuh HIKMAH di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 Nov 2013 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) atau terus masuk ke HIKMAH VII di Melaka - Darah Melayu pun mula menggelegak. Dalam tempoh 2-3 bulan sebelum itu kalau tak salah ingatan, saya sempat membaca dua buah buku tulisan Barat yang mengangkat teori Melayu berasal daripada Sundaland. Ia adalah "Eden of The East" karangan Prof Dr Stephen Oppenheimer dari England diikuti "Atlantis, The Lost Continent Finally Found" oleh Prof Dr Arysio Santos dari Brazil. Setelah tamat mencerna maklumat daripada buku-buku ini saya telah dihubungi seorang pengarah filem terkenal meminta saya untuk membantu membentuk pengisian filem epik Melayu. 

Pada kala beberapa orang lain mahu filem dimulakan dengan kisah kebesaran Srivijaya saya pula bertegas ia harus dimulakan dengan kisah Sundaland diikuti ia dilanda banjir besar yang membentuk muka bumi sekarang. Banjir itu harus dapat dikaitkan dengan kisah banjir Nabi Nuh. Baru kita boleh membuka lain-lain persoalan berkenaan Melayu termasuk keagungan kerajaan Srivijaya dan sebagainya. Secara rata saya mahu asal usul Melayu dapat dikaitkan dan diseleraskan dengan kisah-kisah daripada kitab juga kajian saintifik. Selepas itu baru boleh dikembangkan agar dapat menerangkan keberadaan kita sekarang.




Berdasarkan pembacaan buku "Eden of The East" yang diterbitkan tahun 1998 diikuti "Atlantis, The Lost Continent Finally Found" tahun 2005 saya menyangkakan bahawa teori Melayu berasal daripada sini harus pertama kali diwar-warkan kepada umum tahun 1998. Pada majlis ini baru saya tahun Prof Wan dan Prof Nik sudah mewar-warkannya sejak 1994 lagi. Cuma mereka tidak menyebut tentang Sundaland, cukup Melayu berasal dari sini, bukan dari luar. Dan seingat saya dalam seminar ini, Prof Wan ada menyebut hal tersebut beliau mula siasat setelah membaca satu buku atau kajian dari Philipina tahun 1980an gitu. 


Kesimpulan pembentangan adalah seperti di atas. Jika dahulu cendekiawan seperti Prof Wan dan Prof Nik mendapat keyakinan Melayu berasal dari sini melalui kajian budaya dan bahasa kini ia turut disokong pelbagai disiplin termasuk ilmu geologi dan kajian DNA.


Pembentang kedua sesi tengah hari, Profesor Dato' Dr Abdullah Zakaria daripada Jabatan Sejarah, Universiti Malaya membuka tajuk "Kerajaan Melaka Dan Kelangsungan Kerajaan Melayu di Tanah Melayu" dengan bercakap terus tanpa bantuan slaid di tempat duduknya, tidak di salah satu podium yang disediakan untuk membuat pembentangan. 


Menggunakan premis kerajaan Melaka diasaskan tahun 1262 Masihi (diumumkan tahun 2010 namun masih ramai menggunakan premis lama Melaka bermula tahun 1400 kerana ada beberapa perkara belum dapat diselaraskan oleh pentarikhan baru) tanpa melupakan bahawa Kedah sudah masuk Islam seawal 1136 M, beliau menceritakan peringkat demi peringkat, zaman demi zaman bagaimana Malaysia boleh mendapat 9 orang raja yang kita lihat sekarang (di Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan).


Pembentang ketiga dan terakhir sesi, Prof Madya Dr. Zuliskandar Ramli pula membawa tajuk "Kerajaan Dan Politik Awal Di Asia Tenggara Antara Abad Pertama Hingga Abad Kelima Masihi".


Dengan itu sejarah kerajaan Funan di Indo-China pun disentuh membawa kepada kerajaan-kerajaan yang dikira muncul kemudian seperti Langkasuka, Pan-Pan, Chi Tu dan Kataha (Kedah Tua).


Masuk sesi soal jawab saya terus membuka persoalan tentang Nabi Adam, bila atau berapa ribu tahun dahulukah baginda turun dari syurga ke bumi dan bagaimana hal ini mahu diseleraskan dengan kajian saintifik yang menunjukkan manusia moden sudah wujud lebih 100,000 tahun lalu sedangkan sesetengah ulamak mengatakan baginda turun 6,000 tahun lepas. Prof Nik (ingat, sesi soal jawab ini adalah untuk sesi pagi juga tengah hari) menjawab bahawa apapun penemuan saintifik beliau tetap berpegang kita semua berasal daripada Adam. Cuma bilakah Adam turun itu, menurutnya tiada siapa dapat menentukan lagi, yang ulamak sebut 6,000 tahun lalu itu beliau tak pegang.

Prof Wan pula menambah beliau percaya memang ada makhluk serupa manusia sebelum Adam yang menjadi moyang kita itu turun. Kewujudan makhluk sebegitulah yang menerangkan kenapa ditemui fosil atau tinggalan tulang manusia sehingga usia lebih 100,000 tahun malah hampir 2 juta pun ada. Namun beliau pun tidak dapat menyatakan bilakah Adam turun. Dengan itu saya pun berkongsi fikiran bahawa apa yang beliau katakan itu sudah lama saya sendiri pegang berdasarkan kisah dalam Surah al-Baqarah yang membayangkan pernah wujud makhluk seperti manusia membawa kerosakan di muka bumi selepas Allah SWT menyatakan Adam dicipta untuk menjadi khalifah di muka bumi. 

Selain itu saya menambah bahawa Quran (ke hadis, saya dah lupa) menyebut bahawa masa di bumi ini makin lama makin pendek. Maka sehari pada zaman Nabi Muhammad SAW adalah jauh lebih panjang berbanding sehari zaman ini, apalagi sehari semasa zaman Nabi Adam. Maka itu kalau kita mengambil kira faktor ini mungkin boleh dibuat kiraan sehingga Adam boleh diletakkan sebagai turun pada tempoh masa yang bersamaan lebih 100,000 tahun lalu (berbanding panjangnya masa kini). Hal serupa malah pernah saya kemukakan di hadapan Prof Nik dan sejumlah cendekiawan lain 3 tahun lalu. Lihat Forum Identiti Melayu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Pada artikel Kira-kira masa sebenar berdasarkan maklumat orang 'lama' yang dibuat setahun setengah selepas itu pula saya cuba membuat kira-kira baru berdasarkan fakta hari semakin pendek itu. Tetapi ada asas perkiraan, variable atau pemboleh-ubah seperti berapa panjangkah masa pada zaman Nabi Adam yang harus diperbaiki jika kita mahu kiraan yang lebih tepat. Apapun ia cukup untuk menunjukkan bagaimana tempoh turunnya Nabi Adam itu boleh dipanjangkan sehingga beratus ribu tahun dahulu jika dibandingkan dengan hari zaman sekarang yang jauh lebih pendek.



Seminar Asal-Usul Melayu di UKM - Mengaitkan Adam dengan bangsa Melayu

Lagi bab ilmu. Meriah dah sekarang ni dengan segala macam majlis ilmu tentang Melayu...


Beberapa hari lepas saya ditunjukkan poster ini dalam Facebook berserta senarai tajuk dan pembentang yang amat menarik. Kebetulan seminggu dua kebelakangan saya memang menyimpan hajat untuk ke UKM atau Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, 75 km gitu daripada rumah saya untuk bertemu dengan seorang profesor yang baru dikenali. Majlis pun menjadi alasan baik untuk ke sana.


Itupun saya nyaris-nyaris tak pergi, apabila mendapat tahu yuran untuk menyertai majlis adalah RM200 seorang. Nasib baik pihak produser saya (untuk projek dokumentari "Daulah Melayu" yang mana saya jadi penyelidik dan hos) sudi menanggung. Sebenarnya kalau nak masuk secara percuma pun boleh kerana salah seorang pembentang, seorang profesor ternama daripada UM (Universiti Malaya) rapat dengan saya. Saya boleh datang sebagai pembantu beliau dan ini cukup untuk membuka banyak pintu.


Apapun produser sudah sedia menanggung apa lagi ia boleh dimasukkan ke dalam bajet penyelidikan dokumentari. Turut ditanggung adalah direktor atau pengarah yang datang sama kerana selain untuk penyelidikan acara sebegini adalag bagus untuk pihak produser berkenalan dan merapatkan diri dengan golongan cendekiawan dan para profesor ternama.


Saya sendiri sudah kenal ramai golongan ini dan mereka sudah biasa dengan keadaan saya yang datang ke majlis selalu berbusana tradisional Melayu penuh kemudian selalu mengemukakan soalan, sesekali pandangan dalam majlis. Sengaja saya buat ini kerana selain mahu mempromosikan busana Melayu saya mahu menunjukkan kehadiran diri yang menyatakan kecintaan terhadap budaya dan tamadun Melayu. Dan sengaja saya menonjolkan daya intelektual untuk menunjukkan bahawa yang berpakaian begini bukan orang kampungan yang cuma tahu bersilat atau buat show sahaja. Saya mahu golongan cerdik pandai tahu dan menghargai bahawa dalam kalangan kami aktivisi kedaulatan Melayu dan Islam, ada yang cukup intelektual dan berpelajaran tinggi, boleh duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan para cendekiawan dan profesor.


Ketika saya masuk ke dewan jam 9.25 sesi pembukaan/perasmian baru sahaja selesai.


Walaupun yuran adalah RM200 sekepala (kemudian saya baru tahu untuk pelajar tak kira daripada mana ia cum RM50) nampaknya ramai juga sanggup datang.


Sesungguhnya ramai berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang asal usul Melayu. Daripada pemerhatian saya terutama 3 tahun kebelakangan ramai berminat untuk menggali kembali jati diri agar dapat berdiri teguh sambil menjawab pelbagai tohman sesetengah pihak terutama orang bukan Melayu yang kelihatan berusaha bersungguh-sungguh untuk menafikan hak keistimewaan orang Melayu seperti termaktub dalam perlembagaan negara Malaysia.


Sarapan. Kita minum dulu...


Jam 10.10 gitu mengikut rekod pada kamera saya, sesi pembentangan pun dibuka. Pembentang pertama adalah Encik Farid Mat Zain daripada Fakulti Pengajian Islam UKM. Bercakap terus tanpa bantuan slaid (cuma saya lihat beliau bergantung pada nota-nota di tangannya) beliau membawa tajuk "Dari Syurga ke Alam Nyata : Menjejaki Asal Usul Nabi Adam".


Seingat saya, sejak mula menghadiri majlis-majlis ilmu tentang sejarah, budaya dan kerajaan-kerajaan Melayu di tempat-tempat seperti Wisma Sejarah, Universiti Malaya, Arkib Negara, Muzium Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka dan sebagainya 6 tahun lalu belum pernah topik berkenaan Nabi Adam dijadikan salah satu tajuk pembentangan. Inilah antara sebab kenapa saya rasa perlu menghadiri seminar ini. Saya mengharap agar ada pihak dapat memberikan jawaban atau penerangan yang definitif di manakah letak kedudukan Nabi Adam apabila cuba dipadankan dengan kajian saintifik yang menunjukkan manusia moden (yang berdiri/berjalan tegak dengan rupa bentuk manusia sekarang, dipanggil Homo Sapiens dalam istilah saintifik) telah wujud lebih 100,000 tahun lalu. Itu belum cerita makhluk-makhluk SEPERTI manusia tetapi mungkin berjalan bongkok sedikit, otaknya lebih kecil berbanding kita... makhluk-makhluk serupa manusia dengan istilah saintifik seperti Neanderthal Man dan sebagainya yang dikatakan wujud seawal 2 juta tahun lalu! Bagaimana hendak diseleraskan semua ini dengan kenyataan sesetengah ulamak bahawa Nabi Adam AS turun ke muka bumi 6,000 tahun lalu, atau paling awal pun 10,000 tahun lalu?


Saya mengambil kedudukan yang cukup selesa untuk mengikuti pembentangan. Oleh kerana semasa itu terasa keris seperti berlaga dengan tempat duduk saya pun meletakkannya atas meja. Farid memulakan pembentangan dengan menceritakan kejadian Nabi Adam dibuat di syurga dengan tanah yang diambil daripada pelbagai tempat di bumi membawa kepada turunnya baginda yang mengikut sejumlah ulamak adalah di tanah Al-Hind yang biasa dikaitkan dengan India, lebih tepat di Serendib yang dikatakan pulau Sri Lanka. Selepas itu baru masuk bab keturunan Nabi Adam terutama Nabi Syith yang mewarisi kepimpinan baginda. 

Tetapi masa yang diberikan untuk setiap pembentang iaitu 20 miniti terlalu pendek untuk beliau pergi lebih jauh. Selepas Nabi Adam beliau setakat sempat masuk bab Nabi Syith, anak Nabi Adam yang mewarisi kepimpinan baginda, itu pun setelah terlajak membentang lebih 10 minit lagi kalau tak salah. Saya tak tahu jika Farid akan mengaitkan kemunculan bangsa Melayu dengan Nabi Adam kalau diberi lebih masa, mungkin dengan menceritakan perkaitan melalui anak cucu atau cabang keturunan yang mana. Sesungguhnya saya mengharapkan akan terkeluar maklumat sebegitu. Tetapi nampaknya tak sampai hajat akibat kekangan masa...


Menurut maklumat pada kamera, pembentang kedua, Puan Zaharah Sulaiman daripada Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IAAM) memulakan tajuk "Asal Usul Melayu Dalam Pelbagai Perspektif Kajian Terkini" pada jam 10.42. Perlu diingat selepas beliau ada seorang lagi pembentang untuk sesi pagi diikuti 3 pembentang sesi tengah hari. Campur beliau ada 5 orang pembentang perlu berkongsi ilmu sebelum majlis berehat untuk makan tengah hari jam 12.30. Masih ada ruang untuk setiap seorang bercakap 20 minit tetapi masa untuk bersoal jawab pula tinggal kurang 10 minit. Itu belum dikira kecenderungan dan kebiasaan untuk ramai membentang melebihi had masa...


Seperti biasa (saya sudah menghadiri pembentangan Zaharah beberapa kali) beliau menggunakan slaid. Terus dibuka bab Sundaland merujuk pada dataran besar yang pernah wujud di atas plet Sunda (di mana Asia Tenggara terletak) sebagai tempat asal usul ramai kelompok manusia terawal.


Saya rasa tak perlulah diberikan penerangan lanjut tentang apa itu Sundaland. Saya sudah menyebutnya dalam beberapa artikel terdahulu...





Saya tak ambil gambar semua slaid dan saya tahu Zaharah pun sebenarnya tak suka jika semua gambar slaidnya diambil lalu diwar-warkan kepada orang ramai. Sebagai seorang bekas wartawan yang kemudian menjadi pencinta ketamadunan dan peradaban orang Melayu saya kongsikan apa yang dapat untuk membantu pencerahan pihak lain, tidak sesekali saya akan mengaku ilmu orang lain sebagai hak milik sendiri mahupun mengambil apa-apa keuntungan material, membuat duit dan sebagainya. Lihat sahaja blogspot ini yang menghampiri 12 juta pageviews. Mana ada apa-apa iklan, AdSense dan sebagainya? Paling kuat saya cuma mempromosi buku-buku tulisan sendiri, kadangkala majlis-majlis ilmu. Kalau saya ada buat pautan iklan seperti dibuat ramai orang, nak baca artikel kena klik like dan sebagainya agak-agak berapa banyak saya boleh dapat dengan hampir 12 juta pageviews yang sudah ada setakat ini?


Saya sebut hal ini panjang lebar kerana selepas makan tengah hari saya ada duduk semeja dengan Zaharah, Profesor Dato Dr Abdullah Zakaria, Profesor Emeritus Dato Dr Nik Hassan Shuhaimi dan Prof Madya Dr Zafarina Zainuddin untuk berbual-bual. Terkeluarlah cerita pasal kajian Prof Dr Oppenheimer daripada Oxford University lalu saya menyebut bahawa Oppenheimer ada mengingatkan saya agar jangan mewar-warkan secara terperinci isi kajian beliau kerana ia belum diterbitkan kepada umum, setakat perkongsian dalam dewan kuliah bersama golongan cendekiawan dan pelajar. Rujuk artikel Ke Pulau Pinang untuk mendengar pembentangan Oppenheimer. Ketika itulah Zaharah menyebut beliau pun tidak suka kajian terbarunya diwar-warkan selagi beliau sendiri belum menerbitkannya. Malah katanya dia pernah menyaman portal on-line Malaysiakini atas sebab itu. Saya pun berterus-terang menyatakan pernah menyiarkan isi kajian Zaharah selain ramai lagi orang di blogspot. Saya berbuat ini atas kapisiti seorang penulis yang suka berkongsi pengalaman hidup juga maklumat daripada majlis ilmu untuk tatapan ramai.


Sebetulnya kalau ada orang tidak mahu pembentangannya dikongsikan kepada umum ia lebih mudah buat saya kerana tidak perlulah saya bersengkang mata bertungkus lumus mengambil masa untuk bercerita demi perkongsian ilmu untuk orang ramai. Saya malah boleh mengeluarkan sahaja pembentangan sebegitu daripada cerita atau penulisan artikel. Tetapi rasa tanggungjawab untuk berkongsi ilmu demi pencerahan orang ramai, demi kedaulatan Melayu dan Islam adalah lebih penting daripada kehendak mana-mana individu. Maka itu saya tetap cuba kongsikan apa yang saya nilai tidak melanggar hak intelektual orang lain sehingga melayakkan saya disaman atas alasan mempamerkan hasil kerja orang tanpa kebenaran dan hak. 

Sekali lagi biar disebut saya sudah menghadiri begitu banyak majlis ilmu yang melibatkan para cendekiawan ternama lalu boleh menilai apakah yang dikongsikan itu memang hak hasil kajian sendiri seseorang atau sekadar mengulas tak pun mempamerkan kembali dalam bentuk sendiri/memberi rupa baru pada hasil kerja orang lain. Pada saya kalau dah satu perkara itu memang sebenarnya hasil kerja orang lain, kita sekadar pandai memberikan persembahan yang lebih menarik, pandai collate data dan sebagainya maka tak patutlah kita melarang orang lain menyebarkannya. Melainkan kalau orang lain itu buat publication atau kertas kerja juga menulis buku lalu mengaku itu semua hasil kerja dia...


Lagi satu yang melayakkan untuk orang disaman adalah apabila hasil pembentangan kita diambil kemudian kena spin atau diputar-belitkan kenyataan untuk menyokong satu hujah atau pendapat yang bertentangan dengan prinsip kita. Ini sekarang biasa dilakukan oleh pihak-pihak yang anti-Melayu sehingga reputasi kita pula boleh terpalit dan tercalit sebagai menyokong suatu propaganda yang tidak enak. Secara rata pun kita seharusnya tahu menghormati hasil kerja penat lelah orang lalu kalau nak pakai, berikanlah kredit yang sepatutnya, dalam konteks yang seharusnya tidak melanggar idealisma pemilik asal kerja atau tidak bercanggah dengan tujuannya. Tetapi kalau ikut tradisi sarjana Islam, semua ilmu datang daripada Allah SWT lalu kita sebagai makhluk cuma alat penyampai sahaja. Jadi tidak patutlah kita terlebih-lebih mengaku suatu perkara itu adalah hasil kerja/kepandaian kita sahaja sehingga menafikan hak orang lain untuk menyebarkan apa yang patut demi pencerahan umum.


Ah. Saya sudah bercakap terlebih panjang lebar pula tentang hak untuk berkongsi ilmu. Sebetulnya kalau zaman moden ini hal sebegini sudah terjawab dan menjadi perkara piawai dalam dunia kewartawanan. Jadi orang tak boleh senang-senang menolak hak orang lain untuk menyebarkan apabila sesuatu itu sudah disampaikan dalam majlis ilmu sebegini. Lainlah kalau kita curi daripada fail rahsia atau fail peribadi seseorang, hack daripada komputernya atau sebagainya. Apapun pembaca boleh baca slaid yang tertera lebih terang dengan cara membuka gambar dalam windows lain. Kita masuk kepada pembentang seterusnya, pembentang ketiga iaitu Prof Nik Hassan daripada Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM.

Oh, kenapa di sini saya tidak menyebut nama berserta pangkat/gelaran penuh beliau iaitu Profesor Emeritus Dato Dr Nik Hassan Shuhaimi? Sebab saya sudah menyebutnya lebih awal iaitu ketika menceritakan tentang perbualan selepas makan tengah hari bersama Zaharah dan beberapa orang. Mengikut standard atau piawaian penulisan kewartawan di akhbar-akhbar terkemuka (maaf cakap, akhbar nyamuk seringkali lari etika penulisan) kita tidak perlu menulis perkataan-perkataan tambahan seperti Yang Mulia, Yang Berbahagia apa lagi Tuan, Puan, Encik dan sebagainya pada laporan juga ulasan akhbar. Nama dan pangkat penuh pula disebut sekali sahaja iaitu pada sebutan pertama, selepas itu nama je, kalau ada gelaran Dr boleh sebut Dr si polan dan si polan. Seingat saya kalau ikut piawaian akhbar saya patut sebut Prof Nik Hassan sebagai Dr Nik Hassan sahaja. Prof Emeritus Dato' tak sebut lagi. Tapi dalam kalangan akademik yang sudah agak rapat, walaupun seorang profesor itu sudah bergelar Tan Sri sekali pun, panggilan Prof itu lebih mesra dan memadai. Maka itu saya suka sebut Prof Nik Hassan atau Prof Nik dan akan menggunakan rujukan serupa pada beberapa orang cendekiawan.


Beliau membentang tajuk "Asal Usul Melayu Dari Sudut Arkeologi Dan Lain-lain". Dunia akademik cukup mengenali Prof Nik sebagai mahaguru dan peneraju bidang arkeologi di Malaysia, Yang Dipertua IAAM (dah sebut tadi Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia, kalau dalam laporan akhbar memang terus disebut singkatan sahaja selepas sebutan pertama tetapi saya ulang kerana mahu ingatkan orang, dan saya pun tidak begitu terikat dengan apa-apa bentuk piawaian kecuali gerak penulisan sendiri). Sebagai seorang pakar arkeologi tentunya beliau biasa memakai klasifikasi dan terma-terma akademik seperti Neanderthal Man, Australopitecus dan sebagainya untuk merujuk kepada manusia-manusia purba. Terma-terma seperti Neolitic, Paleolitic dan sebagainya (maaf jika ejaan saya salah, untuk menulis terus dan jujur daripada hati saya harus membiarkan gerak itu mengalir tanpa selalu perlu membuat semakan) merujuk pada tahap-tahap zaman orang purba, orang batu juga adalah 'makanan' biasa beliau. Segala ini boleh menyebabkan orang menyangkakan beliau menyokong Teori Evolusi Charles Darwin (yang menyebut manusia sebagai berasal daripada beruk itu) walhal tidak.

Prof Nik malah menegaskan (buat kesekalian kalinya) bahawa beliau berpegang kuat pada ajaran Islam yang menyebut manusia berasal daripada Adam dan Hawa. Tentang segala macam bentuk manusia purba itu kelihatannya beliau pun belum mendapat jawaban yang pasti bagaimana mahu menerangkannya daripada sudut agama. Cukuplah dikatakan apa pun penemuan baru yang akan dibuat kemudian, beliau menyatakan ia harus selari dengan apa yang tertera dalam kitab suci Al-Quran dan ajaran Islam. Dengan itu tamatlah sesi pembentangan pagi. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke 1,310 di blogspot ini.