Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Ogos 28, 2020

Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Menyusur Sungai Serting ke Sungai Bera lalu ke Sungai Pahang

Salam Jumaat malam Sabtu 10 Muharram. Dengan masuknya tarikh keramat yang disebut sebagai Hari Asyura biarlah disambung penceritaan daripada artikel  Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Mengesan hal sebenar laluan kapal purba yang dikenali sebagai Jalan Penarikan?. Pagi Sabtu saya dijadualkan berjalan jauh bersama keluarga ke utara. Jadi biarlah siri kecil ini diselesaikan.


Kami sudah menyusuri Sungai Muar dari kuala di Bandar Muar, Johor hingga membawa ke Jalan Penarikan di Bahau, Negeri Sembilan. Untuk melengkapkan perjalanan sampailah masa untuk menyusuri laluan kapal purba berkenaan sehingga ke kuala Sungai Pahang.


Dari Bahau kami mengambil jalan raya yang didapati paling dekat mengikuti aliran Sungai Serting.


Sudah diterangkan dalam artikel Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Mengesan hal sebenar laluan kapal purba yang dikenali sebagai Jalan Penarikan? bagaimana Sungai Serting mengalir masuk ke Sungai Bera kemudian Sungai Bera mengalir masuk ke Sungai Pahang.





Cuma untuk sampai ke tempat di mana Sungai Serting masuk ke Sungai Bera kelihatan agak sukar. Google Map menunjukkan kedudukannya agak jauh ke pendalaman, jauh daripada mana-mana jalan raya yang wujud dalam peta. Kalau ada jalan pun mungkin berbentuk off-road atau jalan balak. 


Lagipun kami sudah kesuntukan masa. Ketika meninggalkan Bahau sudah jam 3.45 petang. Sedangkan kami mahu sampai ke kuala Sungai Pahang sebelum Maghrib menggunakan laluan berliku-liku lebih 250 km. Dengan itu keutamaan kami adalah singgah ke kuala Sungai Bera sebelum menyusuri Sungai Pahang. Saya tahu boleh sampai ke kuala dengan kereta kerana pernah singgah sekali lebih 3 tahun lalu. Lihat artikel lama Batu nesan 1,000 tahun Islam Pahang, panggilan Tasik Chini dan pencarian di Kuala Bera.
 

Sekurang-kurangnya kami telah mengambil jalan yang disebut dalam Google Map sebagai Jalan Serting Hilir. Maka tahulah kami itulah jalan raya terdekat bagi menyusuri sungai tersebut. Selepas beberapa lama nampak pula pintu gerbang masuk ke Kampung Orang Asli Kuala Serting. Tahulah kami sudah lalu dekat dengan tempat di mana Sungai Serting masuk ke Sungai Bera.



Oh. Tadi tu adalah gambar ketika menyeberangi jambatan melepasi Sungai Bera di Kuala Bera. Jam 5.10 masuklah kami ke jalan kecil yang boleh membawa ke kuala.





Kami masuk sejauh mungkin tempat yang boleh dicapai dengan kereta. Kalau tidak kerana pengalaman sudah sampai lebih 3 tahun lalu belum tentu boleh jumpa jalan masuk itu dengan sekali pandang. Dan bila dah tahu di manakah jalan masuknya pun belum tentu berani hendak mengambilnya. Ini kerana keadaannya seperti tempat jin bertendang. Sehingga kawan saya Shamsul merasa ragu-ragu kalau tidak diberikan jaminan boleh sampai ke hujung...


Kami pergi hingga sampai ke gigi air di mana Sungai Bera betul-betul bertemu dengan Sungai Pahang. Lihat artikel On to the actual estuary that is Kuala Bera di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Dahulu saya tak sempat sampai ke bahagian tersebut kerana sudah hampir waktu Maghrib. Sedangkan ada benda lain lagi mahu dicari di Kuala Bera. Rujuk kembali cerita berkenaan dalam artikel  Batu nesan 1,000 tahun Islam Pahang, panggilan Tasik Chini dan pencarian di Kuala Bera.


Sesungguhnya pengalaman banyak mengembara ke merata ceruk rantau sangat-sangat membantu untuk menentukan tempat-tempat yang patut disinggahi dan jalan terbaik untuk mencapainya. Disebabkan pengalamanlah saya boleh memberitahu  Shamsul dengan yakin bahawa dari Kuala Bera kita boleh bergerak ke bandar diraja Pekan, Pahang menggunakan jalan yang kelihatan. Kalau tidak perlu mengambil jalan lain di sebelah utara...


Disebabkan pernah mengambil laluan ini sekurang-kurangnya 2 kali saya tahu bagaimana dekat ia menyusuri Sungai Pahang. Ia asalnya adalah laluan yang terputus-putus. Setelah beberapa lama baru disambungkan sehingga boleh sampai ke Pekan.








Ternyata Shamsul amat teruja. Kata beliau inilah laluan terbaik setakat ini beliau temui untuk memandu uji kereta. Ia kerana ia cukup ciri-ciri untuk memecut, bermain dengan liku serta turun naik bukit. Ada pula perbezaan kondisi jalan antara elok bertar dengan sedikit bahagian kasar. Dan semua ini  berlatarbelakang pemandangan cantik sungai, bukit bukau dan kawasan kampung tradisional.


Jam 7.21 kami menghampiri Pekan.


Namun bandar diraja negeri Pahang itu bukanlah tujuan utama kami ketika itu. Sebaliknya kami mengambil jambatan menyeberangi Sungai Pahang ke suatu tempat yang masih di dalam lingkungan daerah Pekan...





Kami mahu pergi ke bahagian paling dekat kuala Sungai Pahang boleh dicapai dengan kereta. Untuk itu kenalah pergi ke tempat bernama Kuala Pahang.


Cuma kami sampai selepas masuk waktu Maghrib. Ternyata pula kuala sungai kini terletak lebih jauh ke laut disebabkan berlakunya kerja-kerja penambakan. Lihat artikel Pressing on further down the Pahang river mouth.


Selesai itu baru menyeberang kembali jambatan untuk masuk ke bandar Pekan di mana kami makan malam juga mengisi minyak. Dekat jam 11 baru mengorak langkah kembali ke Lembah Klang. Shamsul yang menetap di Bukit Damansara menghantar saya sehingga ke Bandar Sungai Buaya, Rawang. Didapati ketika itu kami sudah mengembara sejauh 1050 km dalam tempoh 20 jam!

Rabu, Ogos 26, 2020

Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Mengesan hal sebenar laluan kapal purba yang dikenali sebagai Jalan Penarikan?

Salam petang Rabu 7 Muharram. Sampai masanya untuk menyambung cerita daripada artikel Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Menjejak sejarah dan makan-makan dari Bandar Maharani ke Bukit Kepong membawa ke Negeri Sembilan.


Sekitar jam 2.45 petang Sabtu 15 Ogos 2020 sampailah kami ke tempat yang dikenali sebagai Sungai Pertemuan.


Ia merujuk pada pertemuan di antara Sungai Muar dengan Sungai Jempol iaitu dekat bandar Bahau, Negeri Sembilan. 



Pada ketika ini kami sudah berjalan sejauh lebih 350 km iaitu sejak meninggalkan rumah kawan di Kuala Lumpur jam 5.45 pagi. Rujuk artikel pembukaan Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Mukadimah perjalanan malam.


Tentang Sungai Pertemuan ia ada diceritakan dalam beberapa artikel lama saya. Saya dan keluarga sudah banyak kali sampai. Kawan yang bernama Shamsul baru pertama kali sampai.


Ditunjukkanlah kedudukan Sungai Muar (ke kiri gambar) berbanding Sungai Jempol (kanan). Diterangkan bagaimana dahulukala kapal-kapal boleh bergerak dari Selat Melaka masuk Sungai Muar di kuala (dekat bandar Muar atau bandar Maharani sekarang) mudik melepasi Panchor, Lenga, Bukit Kepong dan seterusnya hingga sampai ke Sungai Pertemuan.



Cuma dipercayai kedua-dua Sungai Muar dan Sungai Jempol adalah lebih besar dan lebar pada zaman dahulu. Bahagian Sungai Muar yang kelihatan ini misalnya harus 2-3 kali ganda lebih besar.



Ditunjukkan lokasi makam tokoh yang dikenali sebagai Datuk Sempedang. Menurut ceritanya beliau telah membawa 9 buah keluarga dari Pasai (dalam Aceh sekarang) masuk ke laluan ini lalu membina penempatan yang diberi nama Jempol. Dari Sungai Muar kapal-kapal boleh masuk ke Sungai Jempol. Menurut geografi sekarang mudiklah dalam 1 km mengikut liku-liku sungai sehingga sampai ke satu bahagian yang kini terletak di belakang sebuah masjid dan taman perumahan. Dari situ kapal boleh ditarik dalam 500 meter untuk sampai ke Sungai Serting yang boleh membawa ke Sungai Pahang lalu boleh keluar ke Laut China Selatan.


Selain taman perumahan, laluan Jalan Penarikan kini telah ditutup oleh jalan raya juga Istana Serting milik kerabat diraja Negeri Sembilan.


Saya pun menceritakan kepada kawan bagaimana laluan ini pernah pertama kali cuba jejaki lebih 12 tahun lalu. Oleh kerana Istana Serting telah menutup sebahagian daripada laluan saya cuba menjejak melalui ladang kelapa sawit di sebelah luar pagar kiri atau barat istana. Rujuk artikel-artikel lama berikut :-



Saya mengajak Shamsul masuk ke ladang untuk melihat sendiri keadaan. Kami cuba menjejak kembali suatu macam parit besar yang pernah saya lihat dahulu, dipercaya adalah terusan yang pernah cuba dibina tentera Siam dalam rangka kerja untuk menyerang Melaka. Cerita berkenaan ada dalam artikel-artikel lama yang tertera tadi.



Kali ini laluan adalah jauh lebih mudah berbanding ketika saya pertama kali sampai Mac 2008. Ini kerana ladang lebih bersih, tidak teruk bersemak samun penuh belukar seperti dilalui dahulu sedangkan ada satu bahagian belakang pula telah dibuka lapang dan luas. 


Dengan adanya bahagian lapang tersebut kereta dapat dibawa mendekati bahagian Sungai Serting yang dipercayai termasuk dalam laluan Jalan Penarikan. Ia boleh membawa kapal masuk ke Sungai Bera kemudian Sungai Pahang lalu ke Laut China Selatan. Lihat artikel Serting river at Jalan Penarikan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Tetapi terusan yang dicari tidak juga kelihatan. Nampaknya ia sudah dikambus akibat pembangunan.






Di sini biar diberikan kedudukan tempat-tempat menggunakan peta Google Map. Jejak yang dibuat adalah dalam kawasan yang dibulatkan...


Lihat di manakah Sungai Pertemuan, di mana Jalan Penarikan. Seringkali orang merujuk kepada keseluruhan laluan dari Sungai Pertemuan sebagai Jalan Penarikan. Sedangkan Jalan Penarikan sebenarnya adalah tempat di mana kapal harus ditarik di atas darat sebagai penyambungan antara dua sungai. Atau lebih tepat, penyambungan antara dua sistem sungai.



Sungai Jempol termasuk di dalam sistem saliran Sungai Muar, Sungai Serting dalam sistem saliran Sungai Pahang. Lihat juga penerangan dalam artikel Jalan Penarikan - Membuka Laluan Lama di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Berdasarkan bentuk muka bumi sekarang didapati jarak terdekat antara dua sungai adalah 520 meter. Harus garisan yang ditanda kuning itulah Jalan Penarikan.



Lihat bagaimana Istana Serting dan halamannya menutup laluan. Ia nampaknya merentas halaman kanan atau timur istana...


Namun siapa tahu bentuk muka bumi sebenar ketika Jalan Penarikan sering digunakan pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka lebih 500 tahun lalu? Bagaimanakah keadaan ketika sungai-sungai berkenaan dikatakan lebih besar dan lebar? Dengan itu tergerak saya untuk membuat garisan ke kiri luar halaman Istana Serting. Ini adalah berdasarkan laluan yang diambil ketika saya pertama kali menjejakkan kaki sehingga dapat melihat Sungai Serting tahun 2008.


Kalau diteruskan sehingga dapat menyambungkan Sungai Jempol dengan Sungai Serting ia mencapai kepanjangan 580 meter. Ini adalah 60 meter lebih panjang berbanding laluan yang merentasi halaman timur istana.


Namun sekali lagi... siapa tahu keadaan sebenar muka bumi lebih 500 tahun lalu? Kalau sungai lebih besar dan lebar tentu laluan lebih dekat berbanding sekarang. Dan adakah Jalan Penarikan itu cuma satu jalur yang boleh dilalui sebuah kapal sahaja buat suatu masa? Atau ia boleh dilalui beberapa buah kapal atas satu jalur yang sama iaitu setiap kapal digerakkan pada jarak tertentu seperti halnya beberapa buah kereta dapat bergerak atas jalan satu lane atau satu lorong? 

Sebuah jalan raya satu lorong yang bukan sehala pun sebenarnya memiliki dua buah lorong untuk menampung kenderaan daripada dua arah berlawanan. Logiknya, kalau suatu laluan itu sibuk harus sekurang-kurangnya ada dua lorong atau dua jalur. Kalau di Jalan Penarikan ini harus sekurang-kurangnya ada satu dari Sungai Jempol ke Sungai Serting, satu sebaliknya iaitu dari Sungai Serting ke Sungai Jempol. Kalau tidak kapal-kapal daripada arah yang berlawanan akan bertembung lalu perjalanan menjadi tersekat.

Kalau begitu harus ada jarak antara kedua jalur. Melihat pada gambar kapal-kapal lama di Alam Melayu saya percaya satu jalur atau lorong adalah sekurang-kurangnya 30-40 kaki lebar. Kalau dua jalur pergi balik campur kawasan kosong tengah supaya kayu-kayu balak yang digunakan untuk mengalas kapal ketika ditarik tidak berselisih, harus sekurang-kurangnya 100 kaki lebar. Itu kalau ada 2 jalur pergi balik. Sedangkan boleh jadi ada lebih daripada 2 jalur untuk menampung banyak kapal.


Teringat bahawa ketika pertama kali sampai di sekitar ini pada waktu malam lebih 12 tahun lalu saya telah menginap di masjid bersebelahan Sungai Jempol, dekat pangkal selatan Jalan Penarikan. Malam itu saya mendapat mimpi dapat melihat dua bukit utama ke utara dan selatan Bahau dengan kakinya dan lembah antara kedua bukit penuh air menjadi sebuah tasik air besar. Saya dapat melihat banyak kapal dagang besar sedang berlabuh. Apakah itulah keadaan sebenar Jalan Penarikan pada suatu zaman yang lampau? 

Boleh jadi ketika itu kapal boleh belayar terus dari Sungai Muar membawa ke Sungai Pahang tanpa perlu ditarik di atas daratan di mana-mana tempat. Boleh jadi setelah beberapa lama paras air turun menyebabkan kapal perlu ditarik di bahagian yang kelihatan? Boleh jadi. Elok perkara ini dikaji dengan lebih mendalam oleh mereka yang memiliki pengetahuan dan kemudahan. Sekurang-kurangnya kajilah Jalan Penarikan itu sebenarnya mengandungi berapa jalur atau lorong untuk ditarik kapal. Rasanya perkara ini belum dikaji lagi oleh mana-mana pihak. Setakat ini semua memberikan gambaran seolah-olah ia cuma dapat dilalui oleh sebuah sahaja kapal sehingga selesai. Wallahualam.


Selasa, Ogos 25, 2020

Road trip kawan lama kolej ke Melaka dan kenangan masa lalu

Merujuk pada artikel Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Menjejak sejarah dan makan-makan dari Bandar Maharani ke Bukit Kepong membawa ke Negeri Sembilan yang dipersembahkan Khamis lalu. Pada bahagian tengah artikel ada disebut bagaimana kawan-kawan satu kolej saya telah beberapa kali merancang untuk membuat road trip tapi asyik tak jadi. Baru ini, dengan kuasa Allah SWT jadi juga satu road trip kawan-kawan lama. Oleh itu sebelum menyambung kembali cerita perjalanan "Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang" biar dilepaskan cerita berkenaan terlebih dahulu...


Ketika sedang sibuk menulis artikel Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Menjejak sejarah dan makan-makan dari Bandar Maharani ke Bukit Kepong membawa ke Negeri Sembilan tiba-tiba saya mendapat pesanan melalui WhatsApp bahawa 2 orang kawan sekolej kami akan bergerak ke Melaka 2 hari lagi untuk menghadiri majlis perkahwinan anak kepada seorang lagi rakan sekolej. Sebetulnya undangan sudah disampaikan kepada semua sejak lebih sebulan lalu. Cuma menunggu sahaja kalau ada kawan-kawan mahu bergerak bersama dalam satu kereta. Dalam tempoh waktu itu ada yang memberitahu akan ke majlis bersama isteri. Tetapi beliau mahu bergerak hari Jumaat untuk kembali ke kampungnya di Batu Pahat. Selepas majlis beliau mahu ke kampung isteri di Pontian pula.



Bila dah ada kawan mahu bergerak sama tanpa lari jauh daripada laluan Lembah Klang ke Melaka baru saya dapat memberikan kepastian untuk menghadiri majlis. Sampai waktunya pagi Sabtu 22 Ogos 2020 isteri pun menghantar ke stesyen bas Rawang supaya saya boleh menaiki bas ke Kuala Lumpur. Kali terakhir saya menaiki kenderaan awam ke mana-mana adalah pada hampir 7 bulan lalu, untuk mengambil kereta pinjam di Tanjung Malim. Ini ada diceritakan dalam artikel Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Memulakan proses menutup cerita setelah 6 bulan tertangguh hampir 2 bulan lalu.


Dahulu saya memang biasa menaiki kenderaan awam ke mana-mana. Saya juga biasa berjalan kaki jauh dari tempat dan tempat. Kalau setakat Kuala Lumpur hampir semua tempat di pusat bandar raya pernah dijejaki dengan berjalan kaki sahaja. Sebagai perbandingan saya pernah berjalan kaki sejauh 50 km merentas bandar raya Paris di Eropah dan sekitarnya. Dalam pengembaraan lama pusing Eropah tahun 1995, saya telah meliputi jarak hampir 5,900 km yang mana 230 km adalah dengan berjalan kaki. Lihat Ringkasan perjalanan solo hitchhike keliling Eropah tahun 1995 dan Ulasan buku KEMBARA EROPAH 1995 dalam akhbar Berita Harian.


Bas dari Rawang berhenti di perhentian terakhir dekat Kompleks Kota Raya, satu kawasan tempat saya selalu 'bermain-main' zaman muda dahulu. Sambil berjalan kaki ke arah Central Market teringat bagaimana  saya juga selalu bergaul dengan orang-orang di jalanan seperti para pemuzik juga budak-budak nakal pelbagai ragam.





Adapun saya ke Central Market itu adalah untuk ke stesyen MRT lalu mengambilnya ke arah Bukit Damansara.


Di sana bertemu dengan kawan lama sekolej, saudara Shamsul yang sedang memandu uji satu lagi kereta baru. Rujuk kembali cerita tentang kenapa beliau sering memandu uji kereta dalam artikel Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Menjejak sejarah dan makan-makan dari Bandar Maharani ke Bukit Kepong membawa ke Negeri Sembilan.


Turut bersama adalah seorang lagi kawan sekolej yang namanya adalah Shamsul juga. Cuma nama penuhnya Shamsul Rizal, yang pandu uji itu Shamsul Bahrin. Tapi kami tak pernah keliru kerana memanggil kedua-duanya dengan nama lain. Seorang dipanggil Adik, seorang dipanggil Atok. Haha. Dah macam satu keluarga pula.


Ah. Memang pun kami seperti satu keluarga. Kami pernah duduk sebilik di kolej selama lebih setahun. Kami pernah melalui pelbagai jenis pengalaman susah senang selama 2 tahun berada di kolej kemudian terus berhubung semasa di United Kingdom awal tahun 90an walaupun berlainan universiti membawa ke zaman bekerja sehinggalah kini.   Majlis perkahwinan di Melaka pula diadakan oleh kawan sekolej berlainan bilik. Apapun kami secara rata memang rapat kerana sama umur dan sama batch.









Majlis dijadikan alasan untuk bertemu beberapa orang lagi kawan sekolej. Kawan yang mengundang, bapa pengantin perempuan juga seorang kawan lain sudah lebih 30 tahun tidak ditemui iaitu sejak keluar kolej. Yang lain ada ditemui beberapa kali selepas kembali dari UK. Memang seronok dan penuh nostalgia dapat bertemu kembali apa lagi kami kini semua sudah berusia setengah abad.


Ini gambar kami bersama pengantin. Cukuplah 8 orang kawan lama sekolej dapat bersama memeriahkan majlis (termasuk saya dan bapa pengantin).


Balik ke Lembah Klang kami mengambil jalan tepian pantai menyusuri laut (Selat Melaka) menuju ke Port Dickson. Kelihatan kereta yang sedang dipandu uji, sebuah Toyota Corolla Altis terbaru tahun 2020 ketika kami berhenti untuk menunaikan solat di suatu tempat. Lihat artikel The beach at Sungai Tuang di blogspot BERPETUALANG KE ACEH diikuti Masjid (Mosque of) Aminin, Sungai Tuang, Masjid Tanah di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Ini termasuk dalam proses pandu uji kereta sambil mencari dan melihat tempat-tempat cantik.


Sampai satu bahagian kami berhenti lama kerana ada pangkin sebelah warung yang terasa sangat selesa lalu kami juga minum petang dan menikmati sedikit juadah di situ.


Saya turut mengambil peluang untuk main-main air. Lihat The beach at Kuala Sungai Baru.


Kami menyambung perjalanan hampir waktu Maghrib. Akhirnya tak jadi ke Port Dickson kerana hari sudah gelap lalu kami menyusur lagi pantai sampai ke satu bahagian sebelum mengambil lebuh raya untuk kembali ke Lembah Klang. Jadilah road trip ini walau tak pergi beberapa jauh. Janji dapat bersama kawan-kawan lama sekolej walaupun cuma kami bertiga sahaja yang bergerak dalam satu kereta sambil ditemani seorang daripada 6 anak kawan yang membuat pandu uji.