Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, April 09, 2009

Cerita An-Nur - Apa masalah si Nur?

Gambar Gunung Nuang dilihat dari Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang. Diambil daripada artikel My latest trip to Janda Baik and the number 22222! yang ditulis di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tahun lepas...


Bersambung daripada artikel Cerita An-Nur - pertemuan tak dijangka., tapi dengan Nur pula.... . Nur terus mengajak saya keluar. Setelah mandi di sungai bersebelahan saya pun bersiap-sedia.

"Mahu ke mana kita?" tanya saya.

"Ke mana sahaja!" jawab Nur. "Saya ikut awak"

Dengan menaiki kereta Nur kami pun pergi ke sebuah rumah lama milik seorang kerabat diraja terdekat Perak. Rumah lama itu telah diambil dan dibuka dari tapak asalnya di Gunung Semanggol, Perak sebelum dibawa dan dipasang balik di satu bahagian Janda Baik. Ada yang kata rumah lama yang jarang digunakan ini adalah sebuah istana lama. Yang pasti, pemilik asalnya dahulu adalah berketurunan kerabat diraja Perak campur Sayyid keturunan Nabi.

Saya masuk ke dalam. Timbul rasa untuk menunaikan solat Asar.

"Saya bagaimana pula?" tiba-tiba Nur bertanya.

"Maksud awak?" saya pula pelik...

"Saya kena buat apa?" Nur bertanya seperti seseorang yang kehilangan arah.

"Awak nak buat apa buatlah!" kata saya.

"Saya nak ikut awak bersolat!" jawab Nur lembut.

Pelik saya. Selama kami berkawan inilah kali pertama kalau tak salah ingatan Nur kelihatan begitu beriya-iya mahu bersolat dengan saya. Dahulu Nur pun jenis yang tak mahu bersolat dan berpuasa. Selain berfikiran liberal akibat penglibatannya dalam dunia seni dan orang-orangnya yang bermacam ragam tetapi lebih keBaratan, Nur juga terjebak dengan ajaran kebatinan yang menyebut tidak perlu bersolat atau mendirikan syariat apabila sudah tahu hakikat... hakikat tentang hubungan sebenar Allah dengan manusia katanya!

Apabila saya mula mahu mendekati agama balik terutama apabila dapat merungkai asal-usul sebenar keluarga yang menyebabkan saya selalu mendapat mimpi-mimpi tertentu, saya sentiasa cuba mengajak Nur agar kembali kepada agama. Jika asal-usul keturunan saya boleh dikira samar-samar kerana melibatkan banyak rahsia yang tidak bertulis, asal-usul keturunan Nur memang terang-terang sampai kepada Nabi Muhammad SAW kerana dia memang seorang Sharifah yang bapanya Syed, ibunya juga seorang Sharifah.

Tetapi akibat baru mendapat tahu tentang asal-usul keluarga sendiri cuma sekitar tahun 2003, ketika saya mahu memasuki umur 33 tahun, setelah berbuat banyak perkara yang tidak patut, perkara yang harus mencemarkan keluhuran nasab yang dikatakan mulia, saya jadi malu pada diri sendiri. Akibatnya saya jadi begitu keras dalam mahu kembali kepada agama dan perubahan keras ini pula seolah mahu dipaksakan ke atas Nur sehingga kami sering bergaduh!

Apapun, di rumah lama itu tiba-tiba Nur begitu bersemangat mahu bersolat berimamkan saya. Kami pun bersolat sama sebelum keluar ke sebuah gerai untuk makan sup tulangnya yang sedap.

Sekali lagi Nur berperangai pelik. Dia risau keretanya diletakkan di tepian jalan utama keluar masuk Kampung Janda Baik lalu mengalihkannya ke satu sudut yang sedikit tersorok. Entah apa yang dirisaukannya, saya cuba menolak perasaan itu ke tepi. Kami pun makan sup tulang dengan nasi dan sambal gorengnya yang pedas. Sedap! Lawan pula dengan kopi pekat diikuti sebatang rokok Pasir Gudang... eh, Gudang Garam!

Selepas makan, kami kembali ke rumah Pak Habib. Duduk sebentar di tepi sungai minum air dan berbual-bual. Entah bagaimana, saya terlihat gambar si Nur dalam telefon bimbitnya... kelihatan dia seperti sedang memakai baju pengantin!

Ah! Hati saya mula terasa lain macam. Tetapi Nur juga sudah beberapa kali berlakon menjadi pengantin. Mungkin itu cuma gambar dalam salah satu drama lakonannya? Saya menyedapkan hati. Apabila saya bertanya, Nur cuma tersenyum dan tidak berkata apa-apa.

Kemudian timbul rasa untuk berjalan-jalan di taman. Nur pun ikut sama... sampai di bahagian rumah lereng bukit yang tidak siap, terasa mahu memanjat lereng sampai ke atas, sampai ke tangki air di puncak terus kami panjat lagi sampai ke atas tangki. Seronok!

Pemandangan dari atas tangki air memang menarik. Kami boleh melihat hampir keseluruhan Janda Baik juga bukit-bukau dan gunung-ganang di sekitar termasuk Genting Highlands dan Gunung Nuang. Kami berbual-bual sedikit tentang masa-masa lalu. Dalam pada itu kelihatan Nur bermuka sayu seolah-olah ada sesuatu yang tak kena. Saya pula cuba buat tak tahu... yang penting kami gembira dapat melihat alam sekitar begitu indah di sekeliling.

Hampir waktu Magrib baru kami turun, mengikut jalan utama turun bukit sebelum masuk ke kawasan rumah Pak Habib melalui pintu depan. Sampai di dewan utama kedengaran suara seorang lelaki sedang bersolat sambil membaca surah dengan kuat, sedangkan di tepi bahagian blok tengah rumah (dalam kawasan ini ada beberapa blok rumah) kelihatan sebuah kereta besar diletakkan menghalang jalan untuk masuk ke bahagian taman di belakang.

Sekali lagi saya terasa ada yang tidak kena sedangkan si Nur terus mengajak saya agar pergi ke musolah di bahagian belakang taman. Sekali lagi dia teringin bersolat berimamkan saya. Ait! Rajin betul dia...

Saya pula terasa perut tak sedap lalu pergi dahulu ke tandas. Nur tunggu di belakang selepas mengambil air wuduk di sungai. Dari tandas saya masuk sebentar ke bahagian rumah tengah sebelum menghala ke belakang. Ketika berjalan di taman, terserempak seorang pemuda bertubuh gempal, rasanya orang yang bersolat di dewan dengan suara kuat tadi!

Dia bertanya jika saya ada nampak Nur! Saya terasa pelik... kenapa pula dia sibukkan pasal gadis itu? Tetapi saya sekadar menjawab Nur ada di belakang, di bangunan kecil musolah. Dia bertanya apa yang Nur buat di sana. Jawab saya kami ingin bersolat berjemaah.

Tiba-tiba pemuda ini meminta agar dia dapat menjadi imam untuk bersolat. Nak tahu sebab apa? Nanti kita sambung ya... :]

Stadium Wembly, bola sepak dan kekhalifahan Islam!

Ini adalah gambar Stadium Wembly yang baru dikutip di Internet. Rasanya ramai peminat bola mesti pernah terdengar nama stadium yang sangat terkenal ini. Suatu masa dahulu  ia adalah stadium bola sepak yang paling utama di England.


Ini pula ialah peta rangkaian keretapi bawah tanah di bandaraya London juga dikenali sebagai London Underground atau The Tube, bercampur rangkaian keretapi biasa yang menghubungkan tempat ke tempat di bandaraya London. Untuk melihatnya lebih dekat, sila klik pada gambar dan buka di windows yang lain.

Untuk pengetahuan, keseluruhan bandaraya London atau apa yang dipanggil sebagai Greater London adalah sebesar negeri Melaka sekarang. Kalau diamati peta ini, anda akan dapati satu stesyen bernama Wembley Park di bahagian kiri atas atau barat-laut. Di situlah terdapatnya Stadium Wembly yang terkenal itu.

Lebih menarik, di London juga terdapat markas sekurang-kurangnya 5 kelab Premier League atau kelab-kelab paling utama dalam Liga Bola Sepak Inggeris. Itu yang setakat saya dapat pastikan melalui penelitian di Internet tadi. Kelab-kelab ini ialah Arsenal, Totenham Hotspurs, Fulham, Chelsea dan West Ham. Sedangkan terdapat banyak lagi kelab lebih kecil tetapi tidak kurang hebat bermarkas di sana.

Namun sepanjang 4 tahun menetap di London 1991-1995 saya tidak pernah menghadiri walau satu pun perlawanan bola Liga Inggeris. Sedangkan di Malaysia, beribu, mungkin berjuta orang berebut membuka rangkaian sukan di televisyen setiap kali terdapat perlawanan terbaru liga tersebut.

Terus-terang saya mengaku, saya bukan kaki bola. Zaman sekolah menengah dan kolej dahulu saya lebih aktif bermain ragbi. Namun pada satu hari sekitar tahun 1992 atau 1993, saya pun dah lupa tarikh tepatnya, saya sanggup bergegas ke Stadium Wembley semata-mata untuk satu menghadiri satu acara... bukan acara bola sepak atau apa-apa acara sukan tetapi satu perhimpuan umat Islam yang bercakap tentang kekhalifahan.

Ya, saya ke Wembley untuk menghadiri perhimpunan tentang kekhalifahan. Walaupun saya bukan contoh umat Islam yang terbaik, walaupun ketika itu saya termasuk dalam golongan orang yang nama sahaja dilahirkan Islam tetapi sudah jauh rosak akhlak, saya tetap rasa perihatin akan isu ini walaupun saya sendiri kurang faham kenapa.

Semasa itu, saya termasuk di dalam golongan orang Islam yang sudah terpengaruh dengan ajaran kebatinan yang menyebut tidak perlu lagi mengamalkan syariat jika sudah faham hakikat. Pendek kata, saya tidak bersolat malah diakui saya suka minum arak! Namun saya rajin pergi ke Speaker's Corner atau ruangan orang berdebat dan bercakap di Hyde Park hampir setiap pagi Ahad, juga malam-malam minggu di hadapan Leicester Square untuk turut meluahkan rasa menyokong semangat Islam di hadapan mereka-mereka yang memandang rendah Syariat Nabi Muhammad SAW. Walaupun saya sendiri tidak pasti diri saya sudah goyah entah ke mana, saya tetap menyokong Islam walaupun amalan saya sendiri amatlah berkarat.

Saya sudah lupa bagaimana mendapat tahu tentang perhimpunan berkenaan kekhalifahan di Stadium Wembley. Yang pasti, saya cukup bersemangat untuk mendengar apa yang ingin diketengahkan lalu pergi ke sana bersama seorang buah hati lama. Kalau tak salah ingatan, perhimpunan itu dihadiri sekitar 20,000 orang Islam yang hidup atau bermastautin di England!

Sayangnya setelah lebih kurang 2 jam berada di sana, timbul satu kesimpulan negatif dalam diri ini. Betul ke kekhalifahan dapat ditegakkan balik di muka bumi ini? Mungkin saya yang tersilap rasa tetapi apa yang dapat saya hayati, terdapat banyak kelompok yang ada kepentingan tersendiri.

Ya, masing-masing melaungkan ingin menegakkan kembali konsep kekhalifahan Islam yang dikatakan runtuh dengan kejatuhan kerajaan Uthmaniyah di Turki tahun 1920an. Masalahnya, siapa yang harus dipilih sebagai khalifah? Apa yang saya lihat, setiap kelompok seolah-olah sudah memiliki calon tersendiri, orang Turki mungkin dengan khalifah dari Turki, orang Arab khalifah daripada Arab.

Keadaan ini saya lihat masih berlanjutan hingga kini. Ada begitu banyak tariqat, gerakan Islam dan sebagainya yang katanya sudah mengenali pemimpin tertinggi yang bakal membuka daulah Islam di bumi Timur untuk diperluaskan lalu diserahkan kepada Imam Mahdi. Masing-masing kelihatan seperti sudah ada calon dari kumpulan mereka, masing-masing mengaku mendapat isyarat dari langit dan kata penentu dari golongan yang kasyaf tentang status pemimpin yang diagung-agungkan mereka.

Jadi bagaimana ini? Dari satu sudut positif saya melihat ini semua sebagai 'muslihat' daripada langit. Bagus juga jika ada ramai calon Pemuda Bani Tamim dan Imam Mahdi. Biar musuh dari golongan Zionis dan para pencacai mereka jadi keliru. Kalau sudah pasti siapakah Pemuda Bani Tamim dan Imam Mahdi ini, tentu sudah lama dicantasnya mereka. Sebaliknya sudah muncul begitu banyak calon sehingga dah tak tahu dah nak buat bagaimana.

Begitu juga, apabila disebut bahawa watak-watak utama pemimpin Islam akhir zaman ini berasal daripada keturunan tertentu terutama keturunan Ahlul Bait anak cucu Nabi. Rasanya setiap salasilah yang terang-terang menunjukkan seseorang itu berdarah keturunan Saidina Hassan ataupun Saidina Hussin juga berada dalam tangan Yahudi Zionis. Bukan susah sangat untuk mereka mendapatkannya. Sesetengahnya ada dibincangkan malah diperincikan di Internet! Lalu kalau nak cari calon-calon pemimpin akhir zaman, mereka cuma perlu menelusuri setiap salasilah ini kemudian memerhati dengan lebih dekat sifat-sifat sesiapa yang layak menjadi calon dan cantaslah ia jika ada ciri-ciri yang boleh memenuhi sifat sebagai pemimpin akhir zaman.

Ah... mungkin Allah masih lagi mahu merahsiakan semua ini. Maka itu ada keturunan Nabi yang tidak tahu pun mereka berasal dari keturunan Nabi sampai tiba waktu tertentu. Sekurang-kurangnya musuh tidak dapat menjejaki identiti mereka sehingga mereka cukup dewasa untuk mempertahankan diri sendiri. Sambil itu muncul mula berbagai-bagai calon yang setiap seorang diwar-warkan oleh para pengikut masing-masing sebagai pemimpin akhir zaman yang akan membawa kegemilangan. Mungkin ini semua berlaku agar apabila betul-betul sampai saat yang dinanti-nantikan, semua orang akan mendapat big surprise nanti? Kerana semua jangkaan yang sering diwar-warkan bakal meleset akibat cuba menduga rahsia Tuhan, kononnya kerana sudah mantap ilmu kasyaf lalu begitu pasti dengan calon pilihan sendiri?


Rabu, April 08, 2009

Cerita An-Nur - Pertemuan tak dijangka., tapi dengan Nur pula....

Gambar lama daripada artikel My latest trip to Janda Baik and the number 22222! yang ditulis di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tahun lepas...

OK. Kita sambung balik cerita An-Nur. Lihat cerita pembukaan bertajuk Cerita An-Nur - satu pertemuan yang tak dijangka...

Beberapa hari sudah berlalu setelah perkenalan dengan gadis ini di Janda Baik. Tiba-tiba saya mendapat panggilan telefon. An-Nur rupanya! Dia bertanyakan khabar kemudian mula bercerita. Katanya dia ada menceritakan perkenalan kami kepada ibunya dan ibunya juga teruja terutama apabila mendapat tahu saya adalah seorang lulusan ijazah matematik daripada London.

Rupa-rupanya ibunya seorang pensyarah universiti. Dia ada merancang mahu membuat program tertentu tentang pembelajaran dan terfikir mahu mengajak saya turut serta. Saya tersenyum sahaja. Rasanya fikiran saya tidak lagi begitu tajam dalam dunia matematik malah terasa begitu tumpul sekali. Tetapi jika itulah yang Tuhan rancangkan untuk saya akan datang maka akan cuba saya usahakan.

Beberapa hari kemudian saya mendapat panggilan lagi daripada An-Nur. Kali ini dia begitu bersemangat mahu membawa saya berjumpa ayah dan ibunya yang menetap di Segamat. Ah, apa pula ini? Bawa jumpa mak bapak? Tetapi apabila memikirkan kembali ini mungkin juga rancangan Allah untuk saya, saya pun bersetuju.

"Baiklah!" katanya. "An-Nur akan ambil Abang di Janda Baik minggu hadapan". Nak sebut harinya dengan tepat saya dah terlupa. Pendek kata satu hari sudah ditetapkan. Dia yang ingin menjemput saya, maka silakanlah. Saya tidak memiliki apa-apa kenderaan kecuali motosikal besar yang ketika itu masih lagi tersadai rosak di rumah Pak Habib.

Disebabkan janji itu, saya menunggu di Janda Baik. Kalau tidak kerana itu mungkin saya sudah keluar berjalan-jalan ke tempat lain. Hari yang ditunggu pun tiba. Masuk selepas Zuhur, An-Nur belum kelihatan malah tiada apa-apa berita daripadanya. Saya mula terasa mengantuk lalu masuk tidur di satu bilik tamu.

Saya tidak tahu berapa lama saya tertidur. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan satu siri ketukan ke pintu. Satu suara kedengaran: "Awak! Bangun!"

Ait! Lain macam aje suara ni. Saya pun melihat keluar. Ah... ini bukan An-Nur tetapi Nur! Bagaimana dia boleh muncul di sini? Pada hari yang dijanjikan An-Nur akan datang mengambil saya untuk ke Segamat? Kalau tak salah ingatan ketika itu saya sudah lebih sebulan tidak berjumpa dengan Nur. Rupa-rupanya sudah berlaku suatu perkara besar yang mengubah segala-galanya. Apa perkara itu? Nanti kita sambung cerita... :]

Selasa, April 07, 2009

Pemerintahan Najib membuka jalan ke arah kedatangan sistem khalifah?

Satu gambar yang saya jumpa selepas membuat Google Search Image dengan kata-kunci "Mayan 2012"...

Tadi, saya tergerak untuk masuk ke blogspot Kuda Kepang kelolaan Datuk Ruhanie Ahmad, bekas ketua backbenchers di Parlimen lalu membaca artikel terbarunya yang bertajuk SELEPAS TEORI RAHMAN TEORI HAMKA? . Rasanya ramai tahu tentang teori R.A.H.M.A.N yang dinyatakan sebagai pangkal nama para Perdana Menteri Malaysia. Teori ini telah muncul lebih dua dekad lalu dan kini ia telah pun dilengkapi dengan kenaikan Datuk Seri Najib (huruf N) sebagai Perdana Menteri ke enam. Lalu dipenghujung artikel itu ada disebut begini: -

Abjad terakhir N dalam teori RAHMAN ini dipenuhi oleh Najib semalam. Ini bermakna tamatlah curcuit teori RAHMAN ini. Dengan itu, mungkin muncul pihak yang akan mengemukakan teori-teori lain bagi meramalkan siapakah PM Malaysia di masa akan datang? Mungkinkah muncul teori HAMKA – H=Hishamuddin. A=Ahmad Zahid Hamidi. M=Mukhiz. K=Khairy. A=?????

Sebenarnya saya ada teori sendiri tentang ini dan terfikir juga untuk berkongsinya di sini, jika tidak kerana terasa perlu untuk melepaskan dahulu cerita tentang An-Nur kerana ia sudah lama dijanjikan di blogspot ini sehingga isteri saya sendiri pun ada bertanya tentangnya. Kini cerita pertama tentang An-Nur sudah dilepaskan melalui sebuah artikel baru bertajuk Cerita An-Nur - satu pertemuan yang tak dijangka di Janda Baik... tadi sedangkan artikel tulisan Ruhanie yang dibaca kemudian menyebabkan saya terasa mahu memberi komen, komen yang sudah masuk tetapi masih dalam peringkat tapisan moderator.

Di sini saya terasa mahu berkongsi komen tersebut. Lagipun seperti disebut awal tadi, memang saya terasa ingin mengatakan sesuatu selepas kenaikan Najib sebagai Perdana Menteri. Ini dia... komen yang tercetus apabila Ruhanie menyebut SELEPAS TEORI RAHMAN TEORI HAMKA? ...

Hamka? Ka! Ka! Ka!

Satu lagi kemungkinan. Selepas R.A.H.M.A.N tidak akan ada lagi PM di Malaysia malah di mana-mana. Sistem pemerintahan dunia secara seluruhnya mungkin berubah secara total. Sistem politik demokrasi berparlimen akan hancur seiring dengan sistem kapitalis sekarang yang sudah pun merudum. Dunia menghampiri kancah perang besar agar Yahudi dapat memenuhi cita-cita mereka mahu menakluki dan memerintah dunia secara terang dan banyak tanda-tanda sudah pun muncul membawa kepada peristiwa penghujung akhir zaman seperti disebut dalam Hadis-hadis Nabi malah ramalan-ramalan dalam agama-agama lain.

Jika dalam kalimah Bismilah, Ar-Rahman diikuti Ar-Rahim. Dari segi tafsir berbentuk keSufian, ar-Rahman membawa makna kasih-sayang Allah yang meliputi semua makhluk, samada Islam mahupun kafir. Atas nama Ar-Rahman lah para penderhaka turut mendapat rezeki, lalu Ar-Rahman juga disebut sebagai Yang Maha Pemurah.

Tetapi Ar-Rahim lebih spesifik iaitu kasih-sayang Allah terhadap cuma mereka-mereka yang terpilih sahaja. Atas nama ini, mereka yang tidak mendalam agamanya tidak layak mendapat tempat apa lagi jika bukan Islam dan berIman, tidak akan lagi mendapat layanan baik Allah. Bersedialah untuk menyambut sistem KHALIFAH!

p/s: Ada kenalan baru-baru ini membuat kira-kira astrologi bahawa pemerintahan Najib cuma akan bertahan selama 3 tahun sahaja. Ini bermakna ia akan tamat tahun 2012 sedangkan keadaan dunia termasuk ekonomi menurut astrologi pula akan semakin kelam-kabut.

Saya pun teringat tentang ramalan menurut kalendar kaum Maya yang menyebut dunia akan berakhir tahun 2012. Mungkin juga dunia yang kita kenali kini akan berakhir untuk digantikan dengan dunia bentuk baru yang tak kita sangka-sangka? Satu dunia penuh karamah yang bakal melangkaui imaginasi kita yang selama ini sudah terbiasa hidup dalam dunia sains beku?

Cerita An-Nur - Satu pertemuan yang tak dijangka


Assalamualaikum. Rasanya sudah sampai masanya saya mula bercerita tentang An-Nur. Lebih cepat saya melepaskan cerita ini, lebih cepat saya boleh bercerita tentang apa yang berlaku ketika umrah tahun 2005. Maka lebih cepat juga saya melepaskan suatu perkara penting yang terbuku di dada. Siang tadi, saya baru menyiapkan satu artikel baru di blogspot BERPETUALANG KE ACEH yang melibatkan kenangan lama juga. Artikel itu bertajuk Remembering the "A" Level college days. Start of the disco fun and girls... sebenarnya adalah sambungan kepada satu siri penceritaan kenangan zaman kolej 20 tahun lalu yang pernah dimulakan ceritanya di blogspot itu hampir setahun lalu. Tetapi ia jadi terbengkalai tidak lama kemudian akibat gerak rasa yang tersekat lalu berubah ke arah penceritaan lain.

Di atas adalah bahagian sungai tempat saya berkenalan dengan An-Nur awal tahun 2005, dikutip balik daripada artikel lama Janda baik tempat rehatku yang dibuat tahun 2007. Saya tidak berapa ingat bila perkenalan itu berlaku... rasanya sekitar Februari atau Mac tahun itu.

OK. Ketika itu saya masih lagi duduk menumpang di rumah penulis politik terkenal tanahair, S.H. Alattas, atau panggilannya Pak Habib. Dah masuk 2 tahun dah di sana, sejak saya keluar dari rumah sewa yang pernah diduduki bersama bekas isteri. Ketika itu saya sudah siap menulis segala isi yang patut untuk dijadikan siri buku "Berpetualang ke Aceh", malah dah jadi bentuk buku pun. Tetapi ia masih belum dapat diterbitkan kerana satu, orang-orang yang katanya mahu menolong menerbitkan buku itu tidak mengotakan kata. Sementara pihak lain yang berminat pula mahu saya menukar isi dan jalan cerita ke satu tahap yang saya tidak boleh terima. Malah tajuk utama "Berpetualang ke Aceh" yang saya dapat secara ilham semasa mula-mula sampai ke sempadan Aceh ketika masih darurat awal 2004 pun disuruh tukar jadi lain. Mana boleh!

Sepanjang tempoh menumpang di sana, saya samada akan berada di Janda Baik ataupun bermalam di pejabat Pak Habib di Kuala Lumpur. Kalau di pejabat, saya akan menolong memberikan idea atau memperbaiki isi buku terbarunya, kalau di Janda Baik saya sekadar berehat atau berjumpa kawan-kawan. Di celah-celah itu, saya juga rajin keluar mengembara, sesekali ke belah Perak hingga ke Kedah, sesekali ke belah Kelantan dan Terengganu. Tak sangka pula ketika berada di Janda Baik, akan berlaku satu perkenalan yang tak diduga.

Sebenarnya sudah banyak kali berlaku perkenalan yang tak diduga dalam hidup saya. Tetapi yang ini agak pelik dan istimewa kerana apa ya? Ah... ikut sahajalah ceritanya.

Pada satu petang, saya keluar dari rumah melalui arah dapur. Memang saya biasa keluar dari situ samada untuk ke bilik air di belakang, ke taman untuk berjalan-jalan kaki ayam atau mandi di sungai yang bersebelahan. Hmm... kalau tak salah ingatan memang petang itu saya keluar melalui dapur untuk ke bilik air. Kemudian dalam perjalanan kembali untuk masuk ke bilik tidur, saya terlihat seorang gadis manis mandi berseorangan di sungai bersebelahan.

Ah... saya tidak ingat secara terperinci apa yang berlaku. Apa yang ingat, saya telah menegurnya lalu kami mula berbual-bual, rasanya tentang alam sekitar. Gadis ini memperkenalkan dirinya sebagai An-Nur. Orangnya langsing, berambut sederhana panjang dengan kulit agak putih kemerahan dan rupa-paras ada ciri-ciri Arab. Saya pula tergerak untuk bertanya tentang asal-usulnya, Ternyata dia seorang Sharifah dari cabang keluarga yang sama dengan gadis kesayangan saya ketika itu, gadis yang saya sering panggil sebagai Nur.

Saya bertanya jika An-Nur mengenali Nur. Memang dia mengenali nama Nur yang merupakan seorang penggiat seni yang agak dikenali ramai di tanah air. Tetapi mereka tidak saling-mengenali secara peribadi. Dalam pada itu, saya ternampak ada sesuatu yang menghantui pemikiran An-Nur. Saya rasa ia ada kena-mengena dengan perjalanan hidupnya sendiri. Apakah dia juga sedang mencari diri dan erti?

Memikirkan perjalanan hidup saya sendiri yang akhirnya membawa kepada perkenalan dengan salasilah keluarga yang melibatkan amanah tertentu, saya terpanggil untuk menasihati An-Nur agar menghayati betul-betul makna keluarga Ahlul-Bait, mereka yang berketurunan Nabi Muhammad SAW. Kata saya, kita semua harus menghayati kembali cara hidup Nabi yang syumul. Lebih penting lagi, sebagai anak cucu keturunan, kita harus memperjuangkan agama Islam dan nasib ummah dan untuk itu, kita harus bangun lebih kuat daripada orang lain... dengan mencari kembali jati-diri sebenar yang tersorok di sebalik zat dan darah-daging dalam diri.

Lebih satu jam juga kami kami bercerita macam-macam. An-Nur sempat menunjukkan sebuah sajak yang dikarangnya sendiri lalu meminta komen, tak ingat tentang apa. Pada saya sajak itu boleh tahan, cuma jumlah perkataannya harus dikurangkan. Cuba bercerita perkara yang sama dengan untaian perkataan yang lebih ringkas dan mudah.

Rupa-rupanya An-Nur datang bersama dua orang kawan. Tetapi dua orang kawan itu nampaknya telah membawa diri jauh ke belakang hingga masuk ke kawasan hutan. Entah apa yang dibuat mereka, lelaki dan perempuan. Yang saya ingat, apabila An-Nur sudah bersiap untuk pulang, terbetik dalam hati ini... "Ah... boleh tahan cantik budak ni. Menarik juga ini." Tetapi bagaimana pula tentang Nur yang bertakhta dihati?

Kemudian An-Nur pun pulang ke Kuala Lumpur bersama dua orang kawannya. Walaupun dia memang menarik orangnya, cuma banyak cakap sikit, tetapi saya tidak mengharapkan apa sangat. Siapa sangka nanti dia teringin sangat mahu menjadi isteri saya! Tetapi itu sudah melangkaui cerita. Cukuplah ini sebagai pembukaan ya... selamat malam! :]