Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Disember 07, 2019

Batu Aceh Sultan Alauddin Melaka di Pagoh - Pendekatan hidup mati Sufi sebagai pegangan raja-raja Melayu

Merujuk pada artikel Membina kekuatan Sufi dalam diri pemimpin - Suatu elemen penting dalam kenaikan empayar Uthmaniyyah yang dipersembahkan lewat petang Jumaat semalam. Adapun artikel itu sebenarnya dimulakan sekitar jam 11 pagi tetapi terpaksa dihentikan kurang setengah jalan bagi menunaikan solat Jumaat. Selepas itu harus berkejar ke Kuala Lumpur untuk satu majlis ilmu. Ini ceritanya...


Tajuk majlis boleh diterjemahkan sebagai "Batu-batu Aceh Sultan Melaka". Ia merujuk pada batu-batu nesan jenis Aceh yang berada di makam Sultan Alauddin (memerintah Melaka 1477-1488 Masihi menurut kiraan lama, 1449-1481M menurut kiraan baru). Kiraan lama merujuk pada tarikh-tarikh pemerintahan para Sultan Melaka yang digunapakai dalam sukatan sejarah rasmi sejak beberapa dekad lalu. Kiraan baru (ini saya tambah, tidak disebut langsung dalam majlis) merujuk pada tarikh-tarikh pemerintahan berlainan berdasarkan satu kajian yang dimulakan tahun 2010 menggunakan satu versi kitab Sulalatus Salatin (yang sering disebut sebagai Sejarah Melayu itu). Namun ia belum digunapakai sepenuhnya kerana terdapat percanggahan kronologi yang belum dapat diselesaikan apabila dibandingkan dengan rujukan dari luar negara. 

Untuk pengetahuan makam yang berada di Kampung Raja, Pagoh, Muar ini adalah satu-satunya makam Sultan Melaka yang disahkan masih wujud di Malaysia. Lain-lain makam tidak dapat dipastikan lokasi tepat kerana dikatakan telah dimusnahkan musuh apabila Portugis menakluki Kota Melaka tahun 1511.


Majlis dijadualkan bermula di Muzium Kesenian Islam berdekatan Masjid Negara jam 2.30 petang. Selepas bersolat Jumaat di masjid berdekatan rumah saya pun berkejar ke sana. Kali ini dengan menaiki motosikal besar kesayangan yang sudah lama tidak dibawa berjalan jauh.


Saya sudah beberapa kali menghadiri majlis ilmu di muzium ini. Tetapi inilah kali pertama masuk ke bahagian yang kelihatan.





Majlis diadakan dalam bilik bengkel muzium...


Berkongsi ilmu iaitu membentang tentang batu nesan Aceh atau batu Aceh adalah Dr Heba Nayel Barakat, ketua kurator muzium. Selepas menceritakan ciri-ciri umum batu Aceh seperti reka bentuk pelbagai gaya tetapi masih dalam 'julat-julat' tertentu juga kebiasaannya dihiasi ayat-aya Al-Quran, hadis atau syair bersifat Sufi yang dipahat dengan tulisan khat halus lagi berseni perhatian khusus pun diberikan terhadap batu-batu nesan Aceh di makam Sultan Alauddin.


Ada 4 buah batu nesan dalam satu kepuk khas bangunan makam. Batu nesan pertama dibincangkan adalah yang berkedudukan paling dekat dengan masjid (makam terletak dalam halaman masjid). Pada muka dalamnya terletak kalimah "Lailahailallah" di bahagian atas. Pada bawahnya ada ayat dalam bahasa Arab yang dengan jelas menyatakan ia adalah makam Sultan Alauddin ibni Sultan Mansur Syah ibni Sultan Muzaffar Syah.



Pada bahagian atas muka luar ada kalimah "Muhammadarasulullah" yang harus merupakan sambungan daripada kalimah "Lailahailallah" pada muka dalam. Pada bahagian bawah dinyatakan bila mangkat tetapi sebahagian tulisan telah hilang, mungkin akibat hakisan alam. Yang dapat dibaca adalah perkataan tiga (tiga apa? mungkin hari, mungkin bulan) dan lapan ratus (yang ini harus tahun Hijriah kerana tidak ada tarikh hari dan bulan sampai beratus). Menurut kira-kira saya 800 Hijriah adalah bersamaan 1398 Masihi. Nampaknya ada nombor puluhan untuk tahun terpadam memandangkan Sultan Alauddin dikatakan mangkat tahun 1488M menurut kiraan lama (yang nampaknya dipakai dalam pembentangan ini - ia harus bersamaan 892H)  atau 1481M menurut kiraan baru (885H).


Ditunjukkan pula ayat-ayat yang menghiasi sisi-sisi kiri dan kanan batu nesan. Tidak pandai saya untuk menterjemahkan.


Kemudian baru pergi ke batu nesan kedua dalam kawasan kepuk yang kedudukannya adalah ke tenggara batu nesan pertama tadi. Tertera ayat-ayat Al-Quran yang membawa terjemahan berikut :-


Allah menyatakan bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan Dia (yang berhak disembah), Yang menegakkan keadilan. Para Malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu). Tak ada Tuhan melainkan Dia (yang berhak disembah), Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Ali Imran ayat 18)

Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah. BagiNyalah kuasa memutuskan segala hukum, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan. (Al-Qasas ayat 88)



Di bahagian belakang ada ayat Al-Quran yang begini terjemahannya :-


Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya. (Surah Al-Hashr, ayat 23)


Pergi pula pada batu nesan ketiga yang kedudukannya kelihatan seperti batu bahagian kaki pada batu kedua yang kedudukannya adalah bagi batu kepala. Ayat yang tertera adalah Ayatul Kursi (ayat ke-22 dalam Surah Al-Baqarah). Begini terjemahannya :-


Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).


Pergi pada batu nesan keempat yang kedudukannya kelihatan seperti batu bahagian kaki pada batu pertama yang kedudukannya adalah bagi batu kepala. Sebetulnya susah untuk mengatakan yang manakah batu kepala yang mana batu kaki. Ini kerana semua batu nesan ini asalnya ditemui telah jatuh berselerak. Ia disusun kembali sehingga kelihatan seperti terdapat 2 buah makam, setiap satu ada batu nesan kepala dan batu nesan kaki seperti kebiasaan pada mana-mana makam atau kubur orang Islam. Tetapi sebenarnya ia boleh jadi milik 4 orang tokoh yang berlainan.

Selepas ayat pengenalan Qa'lallah ta'ala (kata Allah SWT) dan Bismilllahirrohmanirrohim tertera ayat-ayat Al-Quran dengan terjemahan berikut :-


Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa. Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan. (Surah Al-Rahman, ayat 26 & 27)


Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah. BagiNyalah kuasa memutuskan segala hukum, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan. (Surah al-Qasas, sebahagian ayat 88)


Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi. (Surah Taha, ayat 55)



Pada satu bahagian ada ayat yang membawa maksud begini :-


Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati.


Semakan di Internet menunjukkan ia adalah ayat ke-57 dalam Surah al-Ankabut. Tetapi ia telah disambung dengan ayat-ayat lain (tidak semestinya daripada Al-Quran) menjadikan satu bentuk syair.


Menurut Heba ada bahagian yang kelihatan seperti diambil daripada cerita tentang Ali Shar dan Zamrud iaitu dalam kumpulan cerita hari ke-309 dalam Hikayat 1,001 Malam. Semasa kecil dahulu saya ada membaca cerita-cerita daripada hikayat tapi tak ingat (atau mungkin tak pernah dengar pun) tentang Ali Shar. Yang ingat cerita Ali Baba dan Sinbad.


Disebut pula bahawa ada yang tertulis pada batu-batu nesan ini serupa dengan apa yang terdapat dalam manuskrip Sufi oleh Al-Maqdisi (meninggal dunia tahun 1280H). Maaf. Yang ini pun saya tak tahu nak ulas.


Setelah itu baru cuba ditebak apakah asal usul batu nesan Aceh di Pagoh malah batu Aceh secara umum memandangkan terdapat tidak kurang 400 buah batu Aceh telah diketahui wujud di Semenanjung Malaysia. Dibandingkan dahulu dengan beberapa batu nesan terukir Khat cantik di Alam Melayu yang diketahui diimpot dari Cambay/Gujerat (utara pantai barat India). Kata Heba penggunaan ayat-ayat Al-Quran yang ditulis dalam seni khat cantik untuk menyatakan hal-hal berkaitan mati dan kehidupan yang bersifat sementara bukan sahaja terdapat pada batu nesan di Pagoh, Ia juga terdapat pada batu-batu Aceh lain malah menjadi antara ciri-ciri khas batu jenis ini.


Memang Gujerat antara wilayah yang rajin berdagang dengan Melaka.


Tetapi batu-batu nesan dari sana didapati terdiri daripada batu mar-mar. Berdasarkan ciri-ciri fizikal yang terdapat pada batu nesan makam Sultan Alauddin iaitu ia adalah daripada jenis batu pasir, lain langsung daripada batu mar-mar berserta gaya seni itu sendiri ia dipercayai memang berasal dari Aceh. Malah ada tercatat dalam sejarah kisah jelas seorang Sultan Aceh iaitu Sultan Iskandar Thani (memerintah 1636-1641) menghantar rombongan ke Pahang untuk mendirikan batu-batu nesan yang ditempa dan dibawa khas dari Aceh bagi menandakan makam kaum kerabat baginda. Untuk pengetahuan Iskandar Thani adalah anakanda seorang Sultan Pahang yang dibawa ke Aceh ketika kecil lalu dijadikan anak angkat Sultan Iskandar Muda (memerintah 1607-1636). Baginda kemudian dijadikan menantu sebelum diangkat sebagai pengganti atas takhta Aceh.


Disebut pula bagaimana tulisan-tulisan pada batu nesan itu berbentuk puisi dan syair. Oh, tentang makam-makam kaum kerabat Sultan Iskandar Thani di Pahang boleh rujuk artikel lama saya Berjalan ke Makam Chondong... Satu ulang-tayang filem di alam arwah?. Tentang batu Aceh memang asal buatan sana sila rujuk Perjalanan ke-7 di Aceh - Makam para Merah, punca batu nesan Aceh dan makam Hamzah Fansuri. Cuma sepengetahuan saya berdasarkan pembacaan terhadap kajian intensif dan menyeluruh batu nesan Aceh oleh Datuk Dr Othman Yatim juga interaksi dengan para pengkaji di Aceh ada dua tempat utama asal batu Aceh yang terkait dengan zaman. Yang awal adalah daripada Kesultanan Samudera-Pasai (berdiri tahun 1260an hingga 1521 Masihi) dengan pusatnya terletak 6 jam perjalanan darat dari ibu kota Aceh sekarang iaitu Banda Aceh. Yang kemudian adalah dari Kesultanan Aceh yang berpusat di Banda Aceh (naik tahun 1511).


Dibuat kesimpulan bahawa batu-batu nesan Aceh di Pagoh itu mengandungi ayat atau kata-kata berikut :-


- Kalimah Shahadah pada bahagian atas/kepala atau dalam teks (bawah)

- Ayat-ayat tentang kemangkatan : Ini adalah berkaitan mati, kehidupan yang sementara dan fana'. Ia dilihat oleh sarjana Melayu sebagai pendekatan Sufi terhadap hidup dan mati

- Ayat-ayat Al-Quran : Surah al-Qisas ayat 88, Ali Imran ayat 18, al-Hashr ayat 23, al-Rahman ayat 26 & 27, Taha ayat 55 juga ayat-ayat berkenaan mati, nama-nama Allah dan Ayatul Kursi

- Ada satu pepatah daripada Khalifah Ali ibn Abi Talib tetapi tiada hadis Nabi Muhammad SAW



Sedikit sebanyak sejarah Kesultanan Melaka dapat dilihat atau dibina kembali melalui epigrafi atau kajian tulisan pada batu-batu nesan ini. Melaluinya dapat dilihat perkara-perkara berikut (saya terjemahkan apa yang tertera dalam slaid kemudian tambah ulasan) :-


Kehadiran ajaran Sufi dalam kalangan penduduk dipanjangkan kepada para Sultan. 

Namun yang saya tahu adalah sebaliknya. Para raja atau sultan menerima ajaran Sufi daripada para pendakwah Islam terlebih dahulu. Selepas itu baru dipanjangkan kepada penduduk.


Bahasa yang digunakan begitu kaya sehingga harus ada gerakan penterjemahan daripada bahasa Arab (termasuk Parsi juga) ke dalam bahasa Melayu yang berlaku kerana arahan rasmi. 

Yang ini saya tahu memang telah dilakukan di Samudera-Pasai sebelum sampai ke Melaka. Malah berdasarkan apa yang saya tahu tentang sejarah Aceh gerakan ini sudah wujud seawal abad ke-9 Masihi lagi melalui para pemerintah Kesultanan Perlak yang dikatakan berdarah keturunan Nabi Muhammad SAW campur keturunan kerabat diraja Parsi daripada Dinasti Sassanid.


Sultan Mansur (1456-1477) diketahui pernah memerintahkan agar dilakukan terjemahan terhadap buku-buku daripada luar yang terima Qadi Abu Bakar. Mansur Shah merujuk pada sarjana dari Pasai tentang isu-isu keagamaan disebabkan kepakaran mereka. 

Yang ini jelas tertera dalam kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu itu. Setiap kali ada masalah agama yang tidak dapat diselesaikan di Melaka, satu pertanyaan rasmi akan dihantar penuh adat istiadat ke Pasai bagi mendapatkan jawaban dan kata muktamad.


- Dalam tahun 1582 satu buku nahu (grammar) Arab-Parsi dengan terjemahan Melayu dimasukkan di celah-celah (inter lineal) telah ditulis oleh Abdul Jamal. Sekarang di Leiden.

Yang ini saya tak tahu langsung. Apapun kesimpulan saya adalah batu-batu nesan Aceh di makam Sultan Alauddin menunjukkan pendekatan Sufi dalam menangani hidup dan mati adalah pegangan raja-raja Melayu sekurang-kurangnya pada zaman itu.


Jumaat, Disember 06, 2019

Membina kekuatan Sufi dalam diri pemimpin - Suatu elemen penting dalam kenaikan empayar Uthmaniyyah

Salam hari Jumaat yang berkat. Merujuk pada artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Pengembaraan jauh mencari kebenaran yang memungkinkan sintesis pelbagai faham yang dipersembahkan jam 3.30 pagi semalam. Ketika menulis itu (ia dimulakan jam 8.30 Rabu malam Khamis) isteri mengingatkan ada majlis ilmu menarik akan berlangsung di Perpustakaan Tun Uda di Shah Alam petang Khamis. Ini ceritanya...


Ini adalah poster bagi majlis. Isteri yang melihatnya diletakkan seorang kawan di grup Whatsapp "Kelab Buku Merah Silu" begitu bersemangat mengingatkan. Saya sudah melihatnya lebih awal  tetapi tak pasti apakah hendak pergi. Fikir saya biarlah berehat di rumah sepanjang hari Khamis. 

Setelah menyiapkan artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Pengembaraan jauh mencari kebenaran yang memungkinkan sintesis pelbagai faham ada kerja dan pembacaan lagi perlu dibuat. Nanti hari Jumaat (hari ini) akan ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) untuk satu syarahan bersiri waktu malam. Lalu seperti bias saya selepas itu harus menulis tentangnya. Pagi Sabtu pula kami sudah merancang anak beranak hendak naik ke Bukit Fraser.

Kata isteri eloklah bawa anak-anak sekali ke Perpustakaan Tun Uda. Memang mereka suka pergi kerana bahagian kanak-kanaknya yang cantik, ada unsur-unsur tamat permainan dan rehat. Siap ada pokok buatan berdiri di atas semacam gundukan bukit kecil di mana orang ramai boleh bersandar malah berbaring rehat. Sementara mereka bermain dan baca buku saya boleh menghadiri majlis di bahagian lain. Kebetulan seorang anak remaja kami yang baru habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) di sekolah berasrama ada di rumah. Bolehlah dia menengok-nengokkan adik-adiknya yang masih bersekolah rendah.

Sebetulnya pagi Khamis jam 10 pagi juga ada majlis menarik di ISTAC. Ada syarahan tentang pembinaan kembali Bosnia-Herzegovina selepas perang oleh dutanya di Kuala Lumpur. Kalau dah alang-alang keluar biar ke situ dahulu baru ke perpustakaan di Shah Alam. Tapi kata isteri ini akan menyusahkan anak-anak. Sementara mengikut syarahan dalam bahasa Inggeris yang boleh memakan masa hingga 3 jam apa anak-anak hendak buat? Tak boleh fikir diri sendiri sahaja seronok mendengar syarahan...

Dan lagi saya sebenarnya kepenatan walau bersemangat. Menulis artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Pengembaraan jauh mencari kebenaran yang memungkinkan sintesis pelbagai faham pun jam 3.30 pagi baru betul-betul siap. Ini setelah 7 jam menulis, sebelum itu 2 jam mengikuti syarahan yang memerlukan tumpuan dan daya keintelektuan tinggi untuk mena'akul segala maklumat. Tiba-tiba jam 10 pagi dah kena berada kembali di ISTAC 40 km dari rumah jika mahu mengikuti syarahan. Baik lupakan. Biar hari Khamis dikhaskan untuk majlis di perpustakaan lalu sampailah kami anak beranak ke sana selepas jam 2 petang.


Masuk sahaja ke ruang legar saya terus menyuruh anak remaja membawa adik-adiknya ke bahagian kanak-kanak di tingkat bawah. Saya terus berkejar ke tingkat 3 untuk majlis yang diberi nama "Forum Kebangkitan & Kejatuhan Empayar Uthmaniyyah : Suatu Iktibar & Pengajaran". Terus mengambil satu kerusi di barisan hadapan agar lebih mudah mena'akul maklumat.


Walaupun ada kalanya suka duduk jauh di belakang saya selalu memastikan dapat melihat orang yang berucap tanpa dihalang. Ketika gambar ini diambil sudah jam 2.17 petang. Kelihatan moderator, Dr Mansoureh Ebrahimi daripada UTM (Universiti Teknologi Malaysia) sedang memberikan pengenalan. Beliau yang nampaknya orang Turki bercakap dalam bahasa Inggeris.


Difahamkan majlis sudah beberapa minit bermula. Namun sempat saya mendengar sejarah ringkas bagaimana kerajaan Uthmaniyyah bermula penghujung abad ke-13 Masihi membawa kepada kenaikan dan zaman kegemilangan abad ke-15 hingga 16 sebelum jatuh awal abad ke-20. 


Jam 2.24 pembentang pertama, Profesor Madya Dr Zaki Hamzah daripada UPM (Universiti Putra Malaysia) diminta untuk memulakan perkongsian. Tajuk yang ingin dibawa adalah "Strategi Muhammad al-Fateh Semasa Pembukaan Istanbul". Tetapi berlaku masalah teknikal apabila slaid pembentangan tidak dapat dibuka kerana dibuat menggunakan software lain yang bukan kebiasaan ramai untuk pembentangan seperti halnya Power Point. 


Apabila masalah ini tetap tidak dapat diselesaikan selepas beberapa minit mencuba diminta pembentang kedua iaitu Profesor Dr Ensar Nisanci daripada Universiti Tekirdag Turki mengambil alih ruang. Tajuk bahasa Melayu yang diberikan adalah "Asas Kekuatan Kerajaan Turki Utsmaniyyah". Tetapi beliau bercakap sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.

Bercakap tanpa slaid beliau melihat pada sistem pentadbiran dan sosio-politik terbuka sebagai sumber kekuatan kerajaan Utsmaniyyah. Bukan seperti yang sering disangka penduduk kerajaan bukanlah rata-rata Islam malah ramai penganut agama lain terutama Kristian. Begitu juga halnya di pusat pemerintahan kerajaan iaitu Istanbul yang terletak di barat Turki menyambungkan benua Asia dan benua Eropah. Ia adalah sebuah kota kosmopolitan seperti halnya Kuala Lumpur sekarang.

Kata Ensar ini adalah kesinambungan daripada hakikat sejarah bahawa kota tersebut yang nama lamanya adalah Constantinople adalah pusat Empayar Byzantium atau Rum Timur, kerajaan paling besar dan utama Kristian sebelum jatuh ke tangan Islam. Ia sudah lama mengandungi pelbagai jenis masyarakat walaupun paling utama adalah masyarakat Kristian. "Kerajaan Utsmaniyyah sebagai kerajaan Islam cuma mengubah sedikit perkara-perkara tertentu (tweak and twist here and there) tanpa terlalu mengacau struktur pemerintahan dan suasana sosio-politik asal. Terdapat begitu banyak kepelbagaian masyarakat dan komuniti pelbagai kepercayaan dan mereka semua diberi ruang untuk mentadbir diri secara autonomi".

Beliau menyebut ini sebagai sistem milad. Masyarakat boleh berdiri dan mentadbir kumpulan sendiri dalam perhatian kerajaan tanpa pemaksaan nilai-nilai agama Islam. Kerajaan bertindak sebagai pelindung dan atas perlindungan itu orang bukan Islam membayar jizyah (satu bentuk cukai menggantikan zakat bagi orang Islam). Apa yang terpakai di Istanbul turut diamalkan di kota-kota besar lain yang dahulunya adalah sebahagian daripada Empayar Byzantium. Masyarakat-masyarakat di jajahan jauh yang terdiri daripada penganut bermacam agama dan kepercayaan pun menerima layanan baik sebegitu. Tidak ada paksaan untuk menganut agama Islam, yang ada adalah dakwah.


Ensar tidak suka menyebut kerajaan Uthmaniyah (biar digunakan berbagai cara mengeja nama yang sama ya)  sebagai satu empayar walaupun memiliki jangkauan jajahan takluk yang sangat luas. Pada beliau perkataan empayar membawa konotasi pemaksaan dalam penjajahan sedangkan Uthmaniyah bersifat terbuka kepada pelbagai sudut faham. Beliau kemudian meminta dibuka peta dunia untuk menunjukkan sesuatu. Ditunjukkan Semenanjung Turki sebagai kepala 'burung helang' dengan mata-matanya di Istanbul. 

Satu sayap menjulur ke tenggara mewakili Semenanjung Arab, satu ke arah timur laut yang juga mewakili satu bahagian kemasyarakatan penting Uthmaniyah (wilayah Caucasus antara tasik-tasik besar Laut Hitam dan Laut Kaspian). Tapi ia kemudian harus berhadapan dengan 'singa' yang kepalanya adalah Semenanjung Iberia (mengandungi Portugis dan Sepanyol) di hujung barat benua Eropah. Belakang 'badannya' adalah Peranchis dan Jerman. 'Kaki-kakinya' adalah Semenanjung Itali dan Yunani.

'Menunggang' di atas 'singa' adalah Great Britan atau United Kingdom (yang diterajui England) di barat laut. Masuk zaman kejatuhan Uthmaniyah 'singa' ini membaham dan menghempap 'helang' lalu menekannya ke bawah sehingga tidak mampu lagi terbang. Untuk menyaksikan ia bangkit 'singa' harus ditahan daripada menghempap dan 'helang' dibiarkan kembali terbang.


Jam 3, pembentang ketiga Profesor Dr. Kamaruzzaman Yusof daripada UTM mula membawa  tajuk "Hubungan Turki Utsmaniyyah dengan Alam Melayu". Beliau yang juga bercakap tanpa slaid memulakan dengan menyatakan bahawa hubungan Tanah Arab dengan Alam Melayu sudah bermula melalui jalan dagang sejak abad ke-4 Masihi lagi. Maka itu apabila naiknya Islam dengan munculnya Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah abad ke-7M tentunya Alam Melayu terkait sekali. Beliau percaya agama Islam sampai ke rantau sini selewatnya pada zaman khalifah Islam ke-3 iaitu Saidina Uthman ibnu Affan (644-656M). Hubungan ini berkesinambungan hingga Turki muncul sebagai kuasa besar yang membela Islam. Titik paling jelas adalah apabila Sultan Muhammad al-Fatih dapat menakluki kota Constantinople sehingga jatuh Empayar Rum Timur tahun 1453M.

Tetapi Kerajaan Turki Utsmaniyyah bukanlah pembela utama umat Islam waktu itu. Ia tidak pernah menganggap dirinya satu kekhalifahan, sekadar satu kesultanan sampailah suatu masa yang lebih lewat (lebih 60 tahun kemudian). Ini kerana masih wujud kerajaan Mamluk di Mesir yang mana masih ada lagi khalifah yang merupakan keturunan dan kesinambungan daripada kerajaan Kekhalifahan Abbasiyah iaitu khalifah Islam yang sah sebelum itu. Walaupun pusat kerajaan Abbasiyah iaitu Baghdad jatuh ke tangan Monggol tahun 1258M sehingga kerajaan pun secara efektiknya jatuh Mamluk dikatakan mengambil alih tugas apabila keturunan Abbasiyah dibawa ke Mesir untuk bertakhta walaupun lebih sebagai simbol.

Kata Kamaruzzaman kerajaan Mamluk (bermula 1250M iaitu selepas jatuh kerajaan Ayubid yang diasaskan oleh Salahuddin al-Ayubi tahun 1171M) tidak berani mengisytiharkan diri sebagai khalifah walaupun ia kerajaan Islam terkuat waktu itu kerana asal usul raja-rajanya daripada askar hamba abdi. Bila sudah ada keturunan Abbasiyah dalam jagaan mereka barulah ia dianggap sebagai satu kuasa kekhalifahan kesinambungan Abbasiyah. Oleh itu ia diharapkan untuk menjaga maslahat seluruh ummah. Namun ia dilihat gagal apabila pusat Kesultanan Melaka iaitu Kota Melaka yang sangat penting dalam dunia Islam jatuh ke tangan Portugis tahun 1511. Hal inilah yang membuat Utsmaniyyah mengalahkan Mamluk lalu mula mengambil alih takhta kekhalifahan tahun 1517.

Diceritakan juga tentang hubungan Aceh-Turki melalui bantuan ketenteraan untuk membebaskan  Kota Melaka daripada tangan Portugis. Ini berlaku pada abad ke-16 dan 17. Pada pertengahan abad ke-19 hubungan Turki dengan Alam Melayu dapat dilihat melalui lawatan Maharaja Abu Bakar (kemudian menjadi Sultan Johor) sehingga membawa balik 2 orang wanita Turki, seorang dikahwininya seorang dikahwinkan dengan adiknya. Daripada perkahwinan dengan adik dapat Profesor Diraja Ungku Aziz. 

Kemudian wanita tersebut berkahwin pula dengan seorang pembesar Melayu lalu dapat Dato' Onn (ayahanda kepada Tun Hussein Onn). Ini membawa kepada cucunya Dato Hishammuddin Hussein.  Akhir sekali wanita tersebut berkahwin dengan seorang Sayyid daripada keluarga al-Attas. Dapat Syed Naquib al-Attas (pengasas ISTAC) dan abangnya Syed Hussein yang juga merupakan seorang cendekiawan terkenal zaman sekarang (tetapi telah meninggal dunia tahun 207)

Hubungan pada awal abad ke-20 juga dapat dilihat melalui perjuangan Tok Janggut menentang Inggeris. Kata Kamaruzzaman ini mendapat sokongan melalui surat bertulis daripada Sultan Uthmaniyah yang sampai melalui beberapa pihak...


Jam 3.21 bermulalah pembentangan 'pertama' yang ditunda akibat masalah teknikal tadi. Setelah beberapa lama baru dapat diselesaikan masalah itu. Maka jadilah ia pembentangan 'ketiga'...


Pembentangan ini memerlukan sokongan slaid untuk jadi lebih efektif. Apabila slaid yang sudah lama disediakan dapat dipaparkan barulah ia boleh berjalan dengan baik.


Ini disebabkan penerangan melibatkan beberapa perkara teknikal tentang strategi perang. Tajuk pun "Strategi Muhammad al-Fateh Semasa Pembukaan Istanbul". Rupa-rupanya pembentang iaitu Profesor Madya Dr Zaki Hamzah yang merupakan timbalan dekan (hal ehwal pelajar & jaringan), Fakulti Perhutanan UPM adalah juga seorang Kolonel Bersekutu dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia). Beliau turut memegang jawatan timbalan komandan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam. 


Hal tersebut sebenarnya diberitahu pada penghujung pembentangan. Patutlah dapat menerangkan taktik dan strategi perang dengan begitu tuntas. Dan ini memang memerlukan bantuan slaid untuk memberi hadirin dan umum faham...





Diterangkan juga tentang etika perang dalam Islam. Hal ini penting untuk difahami kerana sejarah dunia menunjukkan ramai pihak sanggup menggunakan apa sahaja cara untuk menang sehingga banyak melakukan perbuatan khianat yang berlawan dengan sifat-sifat orang bermaruah lagi percaya terhadap Tuhan.


Setelah diberi sedikit latar belakang strategi dan falsafah perang baru dilihat keadaan medan perang yang mahu diperkatakan iaitu kota Constantinople. Untuk pengetahuan ia adalah pusat empayar dunia Barat yang paling besar dan kuat ketika itu iaitu Empayar Byzantium, juga dikenali sebagai Rum Timur.


Lihat bagaimana kedudukannya sebelum berjaya ditakluki oleh Sultan Muhammad al-Fatih tahun 1453. Walaupun pada ketika itu kerajaan Uthmaniyah yang diasaskan tahun 1299 telah menjadi cukup besar dan kuat, dapat menelan wilayah demi wilayah Rum Timur sehingga cuma tinggal yang berwarna merah ia tetap sukar ditawan. Ia dapat bertahan walau sudah lebih 800 tahun cuba diasak oleh tentera Islam sejak sahabat Rasulullah SAW iaitu Abu Ayub al-Ansari cuba melakukan (tahun 669M).


Ini mendorong Sultan Muhammad al-Fatih (berumur 25 tahun sahaja ketika itu) untuk betul-betul mengkaji kenapa ia sukar hendak ditembusi. Lihat pada kedudukan geografi yang menyebabkan ia susah hendak diserang dari laut. Ada pula rantai besi direntang pada satu laluan menghalang (atau menghadkan) kapal keluar masuk.


Di bahagian darat (barat dalam peta) pula terentang tembok kukuh dengan 3 lapisan rintangan yang belum pernah dapat ditembusi oleh mana-mana pihak. Belum ada peluru meriam atau apa-apa bentuk senjata lempar dapat menjejaskan ia walau sedikit pun. Zaki mengibaratkan serangan seperti nyamuk menggigit pipi. Paling kuat kita cuma rasa tak selesa, gatal. Tapi tidak sesekali dapat memecahkan pipi.


Namun umat Islam sudah lama mendambakan untuk menakluki kota ini. Ia disebabkan hadis Nabi seperti tertera di atas...


Ayat Al-Quran yang berkenaan dirujuk dalam merangka strategi...


Rancangan diatur untuk meliputi semua kemungkinan.





Setelah beberapa lama disediakan angkatan besar yang memenuhi ciri-ciri tertentu seperti disebut dalam hadis Nabi. Sebelum serangan bermula risikan dekat telah dilakukan untuk betul-betul menilai kekuatan musuh dan bagaimana menghadapinya.


Antaranya adalah menghalang bantuan yang biasanya muncul daripada arah Laut Hitam di utara.


Risikan dekat telah dilakukan sehingga tahu lebar dan kedalaman parit di hadapan benteng darat kemudian jenis bahan yang digunakan untuk membina benteng dan ketebalannya. Ini harus melibatkan ilmu kimia kemudian fizik untuk menjangka dan menjana kekuatan yang perlu. Dengan itu dapat dicipta meriam besar yang pertama kali dalam dunia mampu menggegar dan memecahkan benteng kota Constantinople.


Menurut Zaki apa yang dibuat Muhammad al-Fatih menjadi contoh bagi membina kekuatan perang selepas itu.


Oh. Ini yang disebut tadi tentang perisikan untuk mengesan kekuatan lalu mencari cara-cara mengatasinya. Dipanjangkan mengenai sekatan terhadap bantuan dari arah utara. Kata Zaki dicipta peluru khas yang apabila ditembah dari meriam boleh melantun-lantun atas air untuk bergerak terus  ke hadapan sehingga sampai dan membinasakan kapal.


Dilakukan juga taktik kepungan untuk melemahkan kedudukan lawan.


Paling menarik mungkin adalah kejutan apabila 80 buah kapal perang diangkat melalui jalan darat untuk melepasi sekatan rentangan rantai besi pada permukaan air lalu masuk kembali ke air daripada arah yang tak disangka dalam tempoh 1 malam. Kata Zaki ini dilakukan dengan meletakkan roda lalu kapal dapat ditolak oleh tentera. Ada pula bantuan angin memudahkan. Ini berlaku setelah Sultan menunggu waktu tertentu angin bertiup ke arah yang menguntungkan.


Maka berlakulah kemenangan yang amat didambakan umat Islam.


Namun semuanya ditangani dengan penuh adab rasa bersyukur terhadap Allah SWT.


Sungguh raja dan tenteranya adalah sebaik-baik raja dan tentera seperti disabdakan Rasulullah SAW. Mereka tidak bermegah mahupun menindas musuh malah begitu lemah lembut terhadap mereka selepas menang.


Masuk sesi soal jawab beberapa orang bertanya. Saya mengambil kesempatan untuk bertanya kaitan pembinaan kerajaan Uthmaniyah dengan kerajaan-kerajaan Islam terdahulu terutama yang diterajui bangsa Turki. Ini memandangkan ia asalnya satu daerah kecil dalam apa yang dipanggil sebagai Sultanate of Rum (1075-1308) sedangkan kesultanan ini terbina selepas perpecahan Kesultanan Seljuk (1037-1194), kuasa ketenteraan paling besar di sebalik tegaknya Kekhalifahan Bani Abbasiyah pada zaman itu. Turut ditanya adalah pengaruh Sufi atau ilmu Tasawuf terhadap kerajaan Uthmaniyah dan kepimpinan memandangkan Turki sangat terkenal dengan tokoh Sufi, Maulana Jalaluddin Rumi (1207– 1273) sehingga ke hari ini. Saya lihat persoalan ini sangat patut diterangkan tetapi mungkin para pembentang terlepas pandang. Sedangkan Sultan Muhammad al-Fatih itu pun setahu saya mendapat bimbingan seorang guru Sufi bernama Sheikh Shamsuddin terutama dalam hal-hal penting seperti hendak menakluki Constantinople.

Maka diberitahulah bahawa iya, Sufi adalah elemen yang sangat penting dalam kepimpinan dan gerakan keIslaman Uthmaniyyah. Sehingga ada satu barisan hadapan pendakwah Sufi yang juga mampu berperang dihantar terlebih dahulu ke merata pelusuh rantau untuk berdakwah, baru disusuli angkatan perang (jika perlu). Malah setiap pemimpin Uthmaniyyah apa lagi anak-anak raja memang dihantar jauh daripada luar kawasan keselesaan istana seawal umur 8 tahun masuk ke madrasah khas yang dipimpin seorang Khawaja  (guru agama melebihi tahap ustaz) yang ada Irfan (erti mudah dalam bahasa Arab adalah kebijaksanaan, kesyukuran, pengetahuan. Tetapi erti mendalamnya terkait dengan perkataan Arif dan Ariffin iaitu orang yang betul-betul mengenali Allah SWT). Maka jelaslah dimensi Sufi sangat penting dalam membina kekuatan pemimpin yang mampu mencapai kemenangan di sisi manusia juga Islam.


Walaupun majlis ini diberi nama "Forum Kebangkitan & Kejatuhan Empayar Uthmaniyyah : Suatu Iktibar & Pengajaran" tidak begitu banyak disebut tentang kejatuhan kecuali sedikit ringkasan sejarah. Apabila ditanya tentang kejatuhan Ensar memberitahu ia berlaku akibat Uthmaniyah tidak tahu bagaimana hendak menangani perubahan zaman apabila kuasa-kuasa besar Eropah meningkat maju pantas (melalui perkara-perkara seperti revolusi industri yang bermula abad ke-17). Beliau melihat ini cuma berlaku secara luaran. Tetapi pada saya ada faktor-faktor dalaman seperti penyusupan ajen-ajen kuasa perbankan Yahudi dalam polisi kewangan Uthmaniyah yang menyebabkan ia mula terjerat. 

Cukuplah diakhiri artikel ini dengan gambar atas. Kelihatan moderator iaitu Mansoureh menunjukkan tempat asal usul bangsa Turki dekat kawasan Turkmenistan bawah Kazakhtan sana (dahulunya dalam U.S.S.R atau Soviet Union). Mereka asalnya cuma bangsa nomad yang lasak tetapi mula membina pengaruh politik apabila kekuatan perang mereka dijadikan tulang belakang oleh Kekhalifahan Abbasiyah. Ini seterusnya membawa ke penubuhan Kesultanan Seljuk. Selepas beberapa lama muncul Uthmaniyah di wilayah Turki sekarang yang asalnya bukan pun penempatan orang Turk.