Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, Januari 08, 2007

Laksamana pulang ke Perak : Apakah yang tersirat?

Di sini ialah sambungan kepada segmen "Laksamana pulang ke Perak" yang diterbitkan dalam tabloid Kencana... Cerita di bawah ini telah keluar dalam edisi 15-31 Dis.. Tetapi yang di sini lagi istimewa kerana tidak diedit, sama seperti ketika ia mula ditulis hampir 2 bulan lalu (lambat keluar sebab Kencana ada masalah sedikit semasa itu). Apapun, bacalah... :] 


----------


Sudah hampir 2 bulan jasad Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, seorang pejuang Melayu abad ke 19 dikembalikan ke Perak… Begitu juga jasad menantunya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim yang turut dibuang ke Pulau Seychelles tahun 1877 kerana terlibat dalam pembunuhan Residen British J.W.W Birch. Kedua-duanya sudah selamat disemadikan kembali di tanah-air tercinta, Laksamana di kawasan permakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Menteri di kota peninggalannya di Matang. Jika hari-hari sebelum peristiwa bersejarah itu menyaksikan dada-dada akhbar tempatan riuh sensasi dengan berita akan kembalinya jasad dua tokoh pejuang Melayu yang pernah “terkandas” hampir 100 tahun di Singapura akibat dilarang kembali ke tanah-air sendiri oleh British, hari-hari berikutnya pula menyaksikan mereka seolah-olah dilupakan kembali, hilang khabar berita hanyut semula ditelan zaman. 

Seperti lazimnya dalam dunia moden hari ini, berita sebegini cuma hangat apabila ia mula-mula keluar sebelum senyap ditiup angin perubahan zaman apabila ia selesai. Tidak ada yang mahu mengulas apakah ada makna yang tersirat di sebaliknya. Apapun, bagi sesetengah pihak terutama penulis yang mempunyai kaitan kekeluargaan dengan Laksamana, proses pengembalian jasad itu meninggalkan erti penuh makna dalam jiwa ini, mungkin juga erti yang lebih besar bagi mereka yang sanggup mengkaji lebih jauh. Alhamdulillah, sedikit cerita mengenainya sudah diabadikan dalam Kencana edisi lepas. Maka dalam edisi ini pula biar disuratkan sedikit pula makna yang mungkin tersirat di sebalik peristiwa yang julung-kali diadakan dalam sejarah mana-mana negara moden, hasil pengamatan dan perjalanan peribadi penulis. 


SEJARAH DIUBAH SECARA SISTEMATIK 

Ramai tahu bagaimana peristiwa Perjanjian Pangkor 1874 telah menyaksikan hak-hak pribumi dicabul British terutama oleh Residen pertamanya di Perak J.W.W. Birch sehingga orang Melayu yang tidak tahan lagi membendung kemarahan bangkit memberontak lalu membunuhnya tahun 1875. Ramai juga tahu bagaimana mereka yang dituduh terlibat – Datuk Maharajalela Pandak Lam, Datuk Sagor Ngah Kamdin, Pandak Endut, Siputum dan beberapa yang lain dihukum gantung sampai mati sementara Sultan Abdullah, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, Syahbandar Uda Ma’amor dan Menteri Paduka Tuan dibuang negeri ke Pulau Seychelles tahun 1877. Tetapi berapa ramai yang sedar akan peristiwa berikutnya yang menyaksikan sejarah Tanah Melayu diubah sehingga orang Melayu jadi hilang punca sampai ke hari ini? Berapa ramai yang sedar bahawa sebelum itu, Tanah Melayu ini penuh dengan bandar-bandar milik Melayu yang berasaskan hierarki penempatan bangsawan serta raja Melayu dahulukala? 

Bukankah tamadun Melayu sudah wujud beribu tahun dahulu, bukan setakat bermula dengan keSultanan Melayu Melaka abad ke 14 di mana pusat pemerintahannya di bandar Melaka sekarang pernah menjadi entreport antarabangsa, “Venice of the East” dengan tidak kurang 84 jenis bahasa dituturkan di pasar-pasar perniagaannya? Bukankah catatan jurnal panglima Portugis Alfonso Alburqueque yang menakluk bandar Melaka 1511 sendiri menyebut pihaknya telah merampas 3,000 pucuk meriam dan jumlah itu sebenarnya baru separuh meriam di kota Melaka? Bukankah ini menunjukkan tamadun Melayu sudah lama gemilang, apalagi jika kita sanggup keluar daripada kepompong sempit sejarah untuk turut menyertakan keSultanan Samudera-Pasai di Aceh (bermula pertengahan abad ke 13 Masihi) serta keSultanan Perlak (mula abad ke 9) juga di Aceh sebagai tamadun Melayu yang layak diwar-warkan dalam buku teks sejarah untuk diajar kepada segenap lapisan masyarakat di Malaysia? Apalagi jika kita sanggup menyertakan tamadun GanggaNegara yang berpusat di Perak dan Langkasuka yang meliputi Kedah, Kelantan dan Patani, masing-masing telah bertapak hampir 2,000 tahun dahulu sebagai tamadun kegemilangan Melayu sebelum munculnya syariat Nabi Muhammad SAW! 

Malangnya sejak kekuasaan Melayu dipekup dengan lantang oleh kuasa Barat, kesan-kesan kegemilangan Melayu dihilangkan dengan licik sementara bandar-bandar baru model British yang mengangkat bangsa lain sebagai peneraju ekonomi diterbitkan secara sistematik sehingga anak Malaysia sekarang tidak sedar bahawa dahulu, tidak begitu lama dahulu, sekitar 120 tahun dahulu, pernah wujud bandar-bandar Melayu di serata bumi Timur ini. Maka kita yang hidup zaman sekarang celik mata sahaja terus melihat segala kegiatan ekonomi diterajui bangsa bukan Melayu, tidak pernah terfikir pun keadaan ini sebenarnya baru diterbitkan British dalam era moden ini sehingga kita lupa, suatu masa dahulu bangsa Melayu pernah betul-betul berdaulat di bumi ini. 


BAGAIMANA INI BOLEH BERLAKU? 

Peristiwa pengembalian jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin seakan-akan menyentak fikiran kepada tempoh-masa sekitar Perjanjian Pangkor 1874. Jika dahulu penulis lebih berminat mengkaji sejarah lebih lama melibatkan kaitan keSultanan Melaka dan Aceh dengan Perak sehingga sanggup bermalam di makam-makam purba mencari ilham dan petunjuk, tempoh sebulan sebelum peristiwa itu seolah-olah memanggil-manggil menyuruh mencari di manakah pula bersemadinya Laksamana Muhammad Amin yang merupakan moyang kepada datuk penulis. Barulah sedar, Laksamana yang pernah dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan Abdullah ini disemadikan di Singapura lalu timbul perkiraan untuk menziarahi makamnya walaupun sudah 20 tahun tidak menjejakkan kaki ke pulau itu. 

Entah kenapa, hari itu juga boleh terjumpa sebuah artikel dalam akhbar tempatan menyatakan jasad Laksamana akan dikembalikan ke Perak 9 September. Seolah dirancang, penulis terus menghubungi seorang bapa saudara yang baru dikenali kembali seminggu lalu untuk memberitahu akan berita baik itu. Sebaliknya bapa saudara itu telah lebih dahulu tahu akan perkembangan itu malah menjemput penulis supaya menyertai rombongan keluarga menyambut jenazah Laksamana di Lumut seterusnya menghadiri upacara pengkebumian di makam diraja di Bukit Chandan. 

Sepanjang perjalanan daripada Lumut ke Kuala Kangsar menaiki bas kerajaan Perak, penulis yang sudah lama memusatkan fikiran terhadap sejarah Melayu 300 tahun ke atas tiba-tiba terfikir sejak bilakah munculnya bandar-bandar yang diterajui bangsa asing di bumi Melayu ini. Memang sejarah rasmi mencatatkan Taiping yang didirikan British tahun 1880an adalah bandar pertama bukan Melayu di tanah-air kita. Jadi kenapa pula kita yang hidup di zaman moden ini sering terasa seolah-olah bandar-bandar sebegini (bukan milik Melayu) telah wujud berkurun-kurun di Tanah Melayu? Kenapa sampai orang Melayu sekarang boleh jadi begitu lemah sehingga dikatakan segala aktiviti ekonomi akan tergencat jika bangsa asing berhenti berniaga walaupun sehari? Insyaallah, cerita mengenai kewujudan bandar-bandar Melayu pra-British akan kami suakan dalam isu Kencana yang kemudian. Buat masa ini, biar kita susur sedikit sejarah selepas Perjanjian Pangkor yang menyaksikan proses perubahan Tanah Melayu, bermula di Perak sehingga jadilah Malaysia yang kita lihat hari ini. 


PERUBAHAN SETERUSNYA 

Sejak tahun 1877 menyaksikan para peneraju utama kepimpinan negeri Perak dibunuh atau dibuang negeri, tinggallah negeri yang mewarisi benih keSultanan Melaka itu terumbang-ambing dihimpit kekuasaan British berserta kemasukan beramai-ramai kaum lain yang bakal membentuk demografi negara Malaysia moden nanti. Mungkin ramai tidak tahu, sejak itu, Perak sebenarnya diperintah British atas nama Sultan Abdullah sedangkan si Sultan pula terkapai-kapai jauh di negeri orang. Gantinya cuma Raja Yusuf yang bergelar Raja Muda, maka Perak sebenarnya tidak beraja sampailah 10 tahun kemudian apabila Raja Yusuf ditabalkan sebagai Sultan Yusuf Sharifuddin, Sultan Perak ke 27 pada 11 May 1887. Itupun sang Sultan sempat bertakhta tidak sampai 3 bulan, sebelum mangkat 26 Julai tahun yang sama. Maka tidak banyak yang dapat dilakukan untuk menyekat apa-apa program British untuk membentuk Perak mengikut acuan mereka, samada dengan menghilangkan kesan-kesan kegemilangan bandar Melayu mahupun dengan mendirikan bandar-bandar baru yang bakal diterajui bangsa asing yang dibawa beramai-ramai ke Perak. 

Baki kerabat diraja dan pembesar nampaknya terpaksa mengalah dan angguk bersetuju dengan apa-apa program British. Sejarah membuktikan Perak adalah negeri pertama di Tanah Melayu yang “dirombak” penjajah dalam proses “modernisasi”nya sebelum polisi yang sama dikembangkan ke atas negeri-negeri lain di Semenanjung. Kemangkatan Sultan Yusuf yang bertakhta di Sayong menyaksikan menantu baginda Sultan Idris I dimasyurkan sebagai Sultan Perak ke 28 pada 29 Julai 1887 sebelum ditabalkan di bandar diraja baru iaitu Kuala Kangsar 5 April 1889. Pembukaan Kuala Kangsar yang hampir selari dengan pembukaan bandar Taiping memecah tradisi hampir 400 tahun keSultanan Perak apabila buat pertama kalinya dalam sejarah, perjanjian asal antara Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah I dengan seorang pembesar wanita bernama Tok Temong dirombak.

Mengikut perjanjian yang berlaku semasa pertabalan Sultan Muzaffar tahun 1528 itu, anak cucu Sultan akan memerintah mudik kanan Sungai Perak sementara anak cucu Tok Temong di sebelah kiri. Sila rujuk artikel mengenai Tok Temong untuk huraian lanjut. Pembukaan kota Kuala Kangsar dengan Sultan bersemayam di sana sendiri menandakan perjanjian ini tidak dipatuhi lagi kerana kota itu terletak di mudik kiri Sungai Perak. Tapi mengikut sejarah rasmi Perak sekarang, perjanjian itu dimansuhkan apabila Sultan Idris mendapat alamat ketika baginda masih menjadi Raja Muda. Mengikut ceritanya, baginda telah pergi memburu di kaki Gunung Bubu lalu terjumpa seorang tua. Orang tua itulah yang memberitahu baginda akan menaiki takhta Perak dan harus bersemayam di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. 

Apakah ada makna mendalam di sebalik peristiwa ini? Yang pasti, di sinilah bermula sejarah Raja-raja Melayu mula “di Mat-Saleh” kan. Sejarah rasmi yang diolah cendekiawan Barat menyatakan Sultan Idris sebagai Sultan paling moden dan progresif di Tanah Melayu. Baginda dipuji sebagai raja yang pandai mengikut perkembangan zaman lalu mengaplikasikan segala saranan Inggeris demi “memajukan” Tanah Melayu. 

Pada zaman pemerintahan Sultan Idris lah wujudnya maktab perguruan pertama di tanah-air iaitu Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Selain itu, wujud juga Maktab Melayu Kuala Kangsar yang lebih dikenali sebagai MCKK sebagai kolej menengah elit yang asalnya dibuka untuk anak-anak raja dan bangsawan Melayu memasuki bidang perkhidmatan awam ala Inggeris. Baginda juga adalah raja yang mula sekali memakai pangkat Colonel askar dan mendapat bintang gelaran Sir daripada Ratu England. Mungkin ada yang menganggap gelaran itu adalah satu penghormatan besar bagi seorang Raja Melayu tetapi pada pihak lain, ia sebenarnya adalah satu penghinaan terhadap orang Melayu secara halus. Ini kerana pangkat Sir ialah pangkat orang kebanyakan, ibarat memberi gelaran Datuk kepada seorang Sultan sedangkan baginda sebagai kepala orang Melayu harus diberi bintang seperti Darjah Kerabat yang lebih selari dengan kedudukan baginda. 

Apapun, pembukaan Bukit Chandan yang menandakan permulaan berkuasanya Raja-raja Melayu berpendidikan Barat, selari dengan pembukaan bandar Taiping yang diterajui bangsa asing, boleh dikatakan sebagai model awal acuan Malaysia moden nanti. Dan ia terjadi sebagai natijah Perjanjian Pangkor 1874 dengan kuasa Melayu untuk menentukan hala-tuju dan aspirasi bangsa sendiri dipatahkan dengan berlakunya hukuman bunuh serta buang negeri terhadap para pemimpin Melayu tahun 1877. Maka dalam konteks ini, apakah pengembalian jasad Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ke makam diraja Perak di Bukit Chandan mempunyai makna tersirat? Insyaallah, kita akan meneroka perkara ini lebih lanjut dalam keluaran Kencana seterusnya nanti. 


TOK TEMONG

Salah satu tempat yang wajib diziarahi setiap Sultan Perak dalam proses pertabalan baginda adalah Makam Tok Temong di Kampung Temong Hulu, daerah Kuala Kangsar. Malah makam purba yang terletak di tebing kiri Sungai Perak menghampiri ke daerah Hulu Perak ini adalah tempat wajib pertama untuk diziarahi sebelum Sultan melawat makam-makam purba lain sepanjang Sungai Perak, diakhiri dengan baginda menjejakkan kaki di Beting Beras Basah, kuala Sungai Perak, tempat kapal Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah I tersangkut semasa mula sampai ke negeri ini. Anehnya, makam-makam lain yang perlu diziarahi adalah milik Sultan-sultan terdahulu sedangkan Tok Temong bukannya seorang Sultan malah beliau seorang perempuan. Lebih aneh lagi, mengikut cerita orang-orang yang tahu, apa yang tertanam di Makam Tok Temong adalah sebuah tongkat milik beliau, bukan jasad tubuh-badan! Jadi apakah yang begitu istimewa tentang Tok Temong sehingga makamnya menjadi tempat pertama perlu diziarahi setiap Sultan Perak yang sedang ditabal? 

Sejarah rasmi negeri Perak mencatatkan Tok Temong sebagai seorang pembesar di Hulu Perak yang terlibat dalam proses pertabalan Sultan Muzaffar Shah I tahun 1528 Masihi. Sultan pertama Perak yang merupakan anakanda Sultan Mahmud Shah Melaka dengan isterinya dari Kelantan, Puteri Onang Kening telah dijemput oleh para pembesar di Perak lalu disambut penuh istiadat termasuk oleh rombongan yang mengandungi 70 ekor gajah. Tok Temong sangat dihormati kerana kealimannya serta dikenali sebagai seorang wanita yang memiliki karamah bertaraf wali. Beliau telah menghadiahkan sejenis barang azimat yang dikenali sebagai Mastika Embun kepada Sultan lalu baginda membalasnya dengan setepak sirih yang dikenali sebagai Puan Bujur. 

Namun Tok Temong menolak pemberian itu malah beliau meminta satu wa’ad atau janji iaitu – anak cucu Sultan akan memerintah mudik kanan Sungai Perak turun-temurun sementara anak cucu Tok Temong memerintah di mudik kiri. Janji itu diperkenankan Sultan, maka sebab itu pusat pemerintahan Perak serta makam-makam diraja terletak sebelah kanan Sungai Perak (Bota Kanan dan sebagainya)... sampailah Sultan Idris I, Sultan ke 28 Perak membuka Bukit Chandan penghujung abad ke 19. 

Yang menarik, bagaimana seorang wanita yang dikatakan cuma bertaraf pembesar boleh berunding dengan Sultan untuk membahagikan wilayah pemerintahan kepada dua bahagian untuk diperintah anak cucu masing-masing? Bagaimana boleh seorang pembesar biasa berunding dengan seorang raja yang mewarisi daulat keSultanan Melaka jika beliau sendiri tidak memiliki daulat atau mempunyai taraf kepimpinan yang sama? Kebanyakan sumber sejarah rasmi menyatakan Tok Temong, juga dikenali sebagai Tun Perabu adalah adinda kepada Tun Saban, seorang pembesar di Hulu Perak. Ada juga menyebut beliau sebagai anakanda pembesar itu. 

Tun Saban pula dikatakan sebagai anakanda kepada Tun Perak, Bendahara semasa zaman kegemilangan Melaka. Jika ini benar, maka Tok Temong adalah bertaraf seorang anak Bendahara, maka mana mungkin layak berunding untuk memecahkan wilayah pemerintahan dengan seorang pewaris keSultanan Melaka bukan? Apakah mungkin Tok Temong berasal daripada satu jurai keturunan raja yang tinggi daulatnya juga? Ini tidak mustahil kerana ada cerita lisan masyarakat setempat di Hulu Perak menyebut, Tok Temong semasa bayi dijumpai di dalam sebuah peti kaca yang hanyut di Sungai Perak lalu dijadikan anak angkat oleh keluarga Tun Saban. 

Ada kajian pula menyebut Tun Saban sebagai berasal daripada keluarga diraja Samudera-Pasai di Aceh. Apakah mungkin Tok Temong sendiri adalah seorang puteri diraja Aceh memandangkan makamnya sekarang ditanda dengan batu nesan diraja Aceh? Mungkin juga. Kalau tidak kenapa penghormatan begitu tinggi telah diberi kepada beliau walhal apa yang ditanam cuma sebatang tongkat yang ditinggalkan apabila beliau ghaib, langsung hilang khabar berita.


Sedikit catatan daripada buku “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti” untuk renungan

Berikut adalah sedutan daripada Bab 2 buku “Berpetualang” yang banyak menyentuh keadaan keSultanan Melaka selepas kemangkatan Sultan Alauddin Riayat Shah. Atas sebab-sebab tertentu, anakanda baginda yang lebih tua Raja Munawar telah disisihkan daripada takhta, sebaliknya anakanda daripada ibu berdarah Bendahara yang masih berhingus pula diangkat menjadi Sultan Mahmud. Tidak lama kemudian Melaka pun diserang lalu dijajah Portugis tahun 1511. Bermulalah episod malang bangsa Melayu sehingga banyak sejarah sebenar bangsa digelapkan lalu kita hilang punca dan identiti sampai ke hari ini. 


------------


Pernahkah anda bertanya secara jujur, mengapa Kota Melaka yang digelar Barat sebagai “Venice of the East” boleh kalah dengan mudah? Bukankah ia diakui ramai sebagai kota paling makmur di rantau ini pada zaman itu? Dan untuk mempertahankannya, bukankah Melaka memiliki angkatan perang hebat termasuk kelengkapan laut yang amat besar dan paling canggih di bumi Melayu? Lalu bagaimana ia boleh jatuh ke tangan Portugis yang menurut ceritanya cuma membawa beberapa buah kapal sahaja? Apakah kelengkapan Melaka begitu lemah? 

Sejarah rasmi sering menyebut Melaka jatuh kerana kelengkapan moden angkatan Portugis mengatasi kelengkapan kuno orang Melayu. Mereka memiliki meriam-meriam berkuasa tinggi, istinggar (pistol lama), baju dan perisai besi sedangkan orang Melayu kononnya cuma mengharapkan tombak, lembing, pedang dan keris. Pakai pula baju Melayu yang senang dirobek senjata. Orang Portugis pakai baju besi yang tidak lut dek keris. Mana tak Melayu kalah? Kuno dan mundur ketinggalan zaman... 

Tetapi tanyalah diri anda secara jujur. Apakah orang Melaka yang ketika itu telah lama menerima para pengunjung dan pedagang dari peradaban-peradaban besar seperti empayar Islam di Timur Tengah, China dan India begitu daif dan mundur? Kita telah lama menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara yang jauh lebih maju daripada Barat zaman itu. Apakah orang Melayu tidak mengerti keperluan pertahanan untuk menjaga sebuah kota yang menjadi nadi perdagangan Nusantara malah seluruh dunia? Apakah bangsa kita begitu kolot dan bodoh? 


 ————————— 


 “Tidak. Melaka jatuh bukan kerana orang Melayu kuno,” Rasyid bercerita ala seorang pejuang bangsa di hadapan beberapa orang kenalan lain pula. “Dahulu lagiMelaka sudah memiliki meriam dan istinggar yang boleh dibeli dari Timur Tengah atau Cina, sudah kenal apa itu baju besi. Malah aku yakin orang Melayu sudah mampu membuat semua alatan perang ini sendiri. Ingat Melayu dahulu bodoh sangatkah?” 

“Mereka yang memilih untuk berlawan dengan keris, tombak dan lembing pula bukan calang-calang orang,” dia meneruskan. “Bukan tidak pernah melihat senjata moden atau berfikiran kuno. Percaya atau tidak, mereka memiliki kebolehan tertentu untuk mengatasi alatan canggih.” 

Angkatan laut Melaka yang sering meronda sepanjang Selat Melaka, laluan dagang tersibuk di dunia sampai sekarang pula diakui kecekapannya. Di bawah kepimpinan tokoh-tokoh berwibawa seperti Bendahara Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah, ia telah berjaya memukul mundur armada laut Siam, juga ancaman mana-mana pihak... 

“Bukankah ia cukup besar dan kuat untuk menjamin keselamatan penduduk, pendatang dan pedagang sepanjang Selat Melaka?” Rasyid mengutarakan. “Mampu meronda dari utara Semenanjung sehingga selatan ke Pulau Jawa, memantau dan menghidu pergerakan musuh sebelum mereka dapat menghampiri pusat pemerintahan di Kota Melaka?” 

Lalu bagaimana Kota Melaka boleh jatuh? Lebih pelik lagi, di manakah angkatan laut Melaka ketika ia diserang? Satu soalan cepumas yang membuat ramai kenalan pemuda itu ternganga... 

“Bacalah mana-mana buku cerita atau sejarah mengenai kejatuhan Melaka termasuk tulisan Barat yang berat sebelah,” dia mencabar pula. “Angkatan laut ini langsung tidak terlibat sehingga Melaka dengan senangnya boleh dibedil Portugis dari laut. Tidak ada satu pun kapal Melaka menghalang, tidak ada apa-apa sekatan. Tidakkah ini aneh?” 

 “Inilah akibatnya bila raja yang bodoh dan rakus diangkat menaiki takhta sementara pembesar yang korup diharap menjaga negara.” Rasyid terus bercerita. “Mereka yang benar-benar berkebolehan dipinggirkan sedangkan pembesar berwibawa yang masih ada menjadi tawar hati. Bagaimana jentera pertahanan hendak digerakkan dengan cekap? Mungkin penduduk Melaka sendiri serta para pedangang luar sudah siap sedia membelot, membuka laluan untuk Portugis menawan Melaka? Atau memang sudah lama wujud gunting dalam lipatan yang inginkan Melaka jatuh sehingga angkatan laut Melaka tidak berfungsi sama sekali?” 

Ada cerita lama orang tua-tua Melayu menyebut kebanyakan kapal yang menyerang Kota Melaka sebenarnya bukan milik Portugis tetapi Melayu, kapal angkatan laut Melaka juga! Rasyid juga pernah terbaca, tidak ingat di mana, sebuah laporan Portugis pula menyebut mereka ada ternampak sebuah angkatan laut yang dikenalpasti milik orang Melayu sedang disediakan untuk menyerang dari satu tempat di perairan Melaka. Mungkin benar Tun Mutahir sedang bersiap-sedia untuk merampas takhta atau ada pihak lain bertanggungjawab tetapi menuduh Bendahara pula yang ingin berlaku khianat? Yang pasti, ada pihak yang membelot...


Tiada ulasan: