OK. Petang ini saya mahu mengikuti satu majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Esok pagi pun ada majlis ilmu mahu diikuti di tempat sama. Sebelum itu biar dilepaskan satu cerita tentang majlis ilmu yang telah diikuti di sana 2 hari lalu.
Petang Isnin 17 Februari 2020, selepas menghantar anak-anak ke sekolah agama saya pun berkejar ke ISTAC untuk majlis tersebut.
Adapun pada tarikh itu anak bongsu saya, Muhammad Alauddin Johan genap umur 8 tahun. Atas sebab itu saya harus masuk ke sekolah agama terlebih dahulu untuk menghantar 2 kotak kek hari jadi agar sambutan kecil hari jadi dapat dibuat di kelasnya.
Sebelum itu iaitu pada waktu pagi saya telah menghantar 2 kotak kek hari jadi juga ke sekolah kebangsaan. Hari Ahad sebelumnya isteri telah menghabiskan hampir sepenuh hari untuk membuat sendiri kek-kek itu. Saya yang bekerja sendiri berpengkalan di rumah le kena hantar kerana isteri bekerja di pejabat.
Oh. Sengaja ditunjukkan gambar-gambar dalam perjalanan ke ISTAC kerana itulah kali pertama saya datang dengan kereta yang kelihatan. Ia adalah Proton Iswara lama pinjam dari sebuah bengkel kereta di Ipoh. Ada satu kereta saya rosak dalam perjalanan menuju ke Selatan Thailand pertengahan tahun lalu. Sebuah kereta lagi adalah untuk kegunaan isteri ke pejabat. Tetapi ada masanya kami bertukar pakai...
Sepanjang bulan Januari saya harus menggunakan motosikal besar kesayangan yang telah berusia lebih 23 tahun untuk menghantar dan mengambil anak-anak sekolah. Tetapi motosikal pula mengalami masalah enjin selalu mati tak pasal-pasal atau susah nak hidup. Hal ini menjadi semakin kerap sedangkan kereta di Ipoh masih tak siap-siap. Mendengarkan ini pemilik bengkel pun menghantar Proton Iswara lama untuk kegunaan sementara 2 minggu lepas. Tentang kereta rosak rujuk artikel-artikel berikut :-
Hal kereta rosak dan motosikal bermasalah inilah yang menyebabkan saya tidak dapat hadir ke beberapa majlis ilmu yang telah diadakan di ISTAC selain komitmen keluarga. Kali ini saya harus datang kerana ada urusan penting perlu diselesaikan di ISTAC tentang satu majlis yang mahu dianjurkan pihak saya di situ hujung minggu ini hari Sabtu. Dah alang-alang datang biar diikuti juga majlis ilmu seperti tertera pada poster. Tajuknya, "Social and Spiritual Justice Through Spatial Design" boleh diterjemahkan sebagai "Keadilan Sosial dan Spiritual Melalui Reka Bentuk Ruang".
Saya masuk ke bilik majlis pada jam 3.06. Sedangkan ia dijadualkan bermula pada jam 2.30.
Inilah satu masalah saya disebabkan komitmen keluarga. Bagaimana mahu selalu ke ISTAC yang terletak lebih 40 km dari rumah sedangkan saya harus menghantar dan mengambil anak-anak sekolah? Duit minyak dan belanja tol dah satu hal selain ada kerja-kerja lain perlu dilakukan. Setiap Isnin dan Selasa anak-anak habis sekolah pagi pun dah jam 1.30 petang. Kena ambil di sekolah 3 km perjalanan, bawa balik 3 km kembali ke rumah, bagi mereka makan tengah hari, mandi dan bersiap, solat Zuhur lagi sebelum menghantar masuk ke sekolah petang yang bermula jam 2.30. Hari tu siap kena hantar kek hari jadi lagi sampai ke kelas. Pastikan ia selamat berada di tangan cikgu. Selepas itu baru dapat berkejar ke ISTAC.
Kalau mahu hadir majlis yang bermula pagi hari pula saya harus pastikan sempat kembali untuk mengambil anak-anak dari sekolah waktu tengah hari. Kalau hari Rabu atau Khamis mereka habis sekolah jam 1. Hari Jumaat jam 12. Kalau tak sempat terpaksa menyusahkan isteri memintanya berkejar dari pejabat 14 km perjalanan pada masa rehat tengah hari. Kemudian beliau harus berkejar kembali ke pejabat lagi 14 km perjalanan bagi mengejar masa masuk kembali jam 2. Disebabkan kesukaran bergerak pergi itu pejabat memberikan sedikit kelonggaran masa untuk keluar lebih awal dan kembali sedikit lewat. Namun mana boleh buat selalu macam tu? Kalau majlis petang baru ada kelegaan kerana saya tidak perlu berkejar untuk mengambil anak balik sekolah. Isteri boleh ambil sedikit lewat setelah habis kerja.
Ah. Banyak pula saya berleter tentang hal perlu menguruskan anak-anak sambil mahu berkejar mengikuti majlis-majlis ilmu di ISTAC. Namun sebetulnya ia amat kena-mengena dengan tajuk majlis kali ini yang saya terjemahkan sebagai "Keadilan sosial dan spiritual melalui reka bentuk ruang". Ini kerana menurut pembentang atau penyampai iaitu Profesor Tay Kheng Soon ia adalah berkenaan kualiti hidup. Secara rata pakar seni bina (arkitek) yang turut menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Singapura ini bercakap tentang bagaimana pengunaan ruang yang baik dan terancang boleh meningkatkan kualiti. Ia harus memberikan keadilan sosial dan memuaskan kehendak/keperluan spiritual penduduk.
Menurut beliau perancangan yang bagus termasuk pembinaan jalan raya, jambatan dan infrastuktur yang memanfaatkan geografi iaitu bentuk muka bumi setempat. Dalam slaid atau gambar ini misalnya ditunjukkan bagaimana satu rancangan (tidak atau belum direalisasikan) menghubungkan jalan dari Melaka ke Pulau Sumatera melalui Pulau Rupat kemudian bersambung pula ke Singapura melalui pulau lain dapat memberikan manfaat besar kepada 45 orang juta penduduk daripada 3 buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Tan (tengah dalam gambar) menyebut tentang konsep-konsep seperti estetika (keindahan) dan keadilan sosial sebagai keperluan masyarakat yang perlu dipenuhi oleh pihak pemerintah demi meningkatkan kualiti hidup masyarakat. Oh, cara beliau bercakap, nada suara dan suka berseloroh, malah rupa paras dan bentuk tubuh badan mengingatkan pada seorang menteri berbangsa Cina selalu saya temui semasa bertugas sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times. Namanya Lim Keng Yaik...
Berbagai proposal atau cadangan lama reka bentuk perancangan infrasktuktur yang mana Tan pernah terlibat ditunjukkan kepada hadirin.
Beliau menyarankan agar imaginasi digunakan untuk reka bentuk ruangan pada skala geografi (skala besar melibatkan satu wilayah, negeri malah lebih besar, bukan sekadar satu rumah ataupun bangunan). Menurut beliau kita ada kepandaian itu tetapi memerlukan kepakaran-kepakaran baru (new skills). Disebutlah tentang statistik yang diketahui umum bahawa dalam satu sampel penduduk harus ada 2 peratus yang cukup pandai dan berpemikiran tinggi. Berdasarkan jumlah penduduk ASEAN (gabungan negara-negara Asia Tenggara) yang katanya telah mencapai 600 juta orang maka kita harus ada 12 juta orang pandai. Tentu macam-macam boleh dilakukan jika jumlah ini dimanfaatkan.
Ditunjukkan pula satu rancangan beliau bagaimana satu ruangan sebesar 1 kilometer persegi (1 km panjang x 1 km lebar) boleh memenuhi keperluan 100,000 orang penduduk dengan baik.
Dengan perancangan dan penggunaan ruang yang betul segala keperluan masyarakat dapat dipenuhi dalam ruangan sebesar itu. Ini termasuk pekerjaan, sekolah untuk anak-anak, ruang untuk bersosial dan masing-masing memenuhi tuntutan sosial. Nah. Nampak tak bagaimana hal ini relevan dengan cerita panjang lebar berleter saya tentang komitmen keluarga tadi? Kalaulah segala keperluan dapat dipenuhi dalam ruangan sebesar 1 km persegi ini tidaklah saya begitu terkejar-kejar untuk menghantar anak pergi balik sekolah. Nak ikuti syarahan ilmu selalu pun ada tempatnya dalam 1 km persegi ini. Isteri bekerja pun dalam ruang yang sama. Jadi semua orang ada masa lebih untuk bersosial jua memenuhi keperluan spiritual (Tan tidak mahu menyebut perkataan agama. Beliau nampaknya kurang senang dengan konsep agama kerana melihatnya seperti memaksa kita menurut dogma-dogma tertentu).
Konsep 1 km persegi yang dirancang dengan baik untuk memenuhi keperluan 100,000 orang penduduk itu boleh diaplikasikan pada penduduk pulau Singapura. Unit-unit bandar sebesar 1 km persegi setiap satu boleh diatur seperti dalam gambar supaya masing-masing dapat merasai kenyamanan hiduo berdekatan tepian perairan sementara bahagian tengah pulau dijadikan kawasan hijau penuh tumbuhan.
Menurut Tan ini adalah konsep pengunaan ruang ideal yang mahu diketengahkan beliau. Namun ia memerlukan komitmen penuh pemerintah di mana infrastruktur-infrastruktur lama yang tidak sesuai harus diruntuhkan lalu segalanya dibina kembali menurut perancangan itu...
Sungguh, konsep-konsep penggunaan ruang yang diperkenalkan beliau ini kedengaran begitu menarik. Siap ada cara menjana tenaga menggunakan hasil buangan orang (najis le tu). Tetapi hati saya mengatakan ada yang tidak kena. Perkataan "pigeon hole" merujuk pada ruang-ruang tersusun untuk burung merpati terbit dalam hati.
Disebut tentang estetika, tentang menggunakan ruang dengan reka bentuk rupa yang sesuai untuk memenuhi keperluan ideologi juga budaya tanpa perlu lagi dikongkong orang lain terutama para kapitalis yang mengambil untung daripada kelemahan masyarakat.
Digunakan pula konsep ilmu saikologi atau kajian jiwa bagi mendapatkan keseimbangan antara keperluan ideologi, kebudayaan dan kehendak asas dalam diri manusia (primal instinct).
Kata Tan, masyarakat harus diberikan tujuan hidup melalui reka bentuk ruang...
Secara rata saya melihat perkongsian ilmu daripada Tan sangat menarik. Banyak ilmu baru diperolehi namun banyak juga konflik disebabkan beliau sendiri nampaknya bergerak dalam kerangka ideologi tertentu yang ada pincangnya. Beliau bercakap tentang keindahan, keperluan masyarakat untuk diakui dan diberi harga diri (dignity) tapi pada masa yang sama mahu meletakkan manusia ke dalam kotak-kotak tersusun dan mahu setiap daripada mereka larut dalam satu identiti sama. Beliau bercakap tentang keperluan untuk membebaskan pemikiran masyarakat tetapi pada masa sama menetapkan ia harus dalam kerangka tertentu yang dipandang paling bagus dan ideal oleh beliau. Bukankah ini juga satu bentuk sekatan pemikiran oleh pihak tertentu juga?
Hal ini menjadi jelas apabila dalam sesi soal jawab dibangkitkan soal identiti diri. Kata beliau apa perlu identiti diri? Kenapa tidak satu identiti besar sahaja yang sama bagi semua?. Saya pun mencelah : "Bukankah Profesor bercakap tentang harga diri (dignity)? Sedangkan bukankah harga diri itu termasuk hak setiap manusia untuk memiliki identiti tersendiri diri lalu diterima identiti itu?".
Terus beliau memberikan contoh bahawa (kononnya) identiti dirilah yang menyebabkan puak Nazi German memandang rendah orang lain. Ini seterusnya membawa kepada penindasan oleh pihak mereka terhadap orang lain. Jawab saya itu adalah contoh identiti diri yang salah di mana satu puak menganggap diri mereka lebih bagus daripada yang lain lalu merasa 'berhak' untuk menindas. Sedangkan yang mahu disebut dan difahami adalah keperluan semulajadi setiap manusia untuk dikenali sebagai diri mereka sendiri tanpa merendahkan orang lain. Sesungguhnya identiti diri itu ada peringkat-peringkat. Setiap daripada kita ada identiti sebagai individu, kemudian identiti sebagai ahli suatu keluarga, seterusnya identiti sebagai ahli suatu masyarakat, identiti sebagai penduduk sebuah negeri, negara dan seterusnya. Beliau pun mengangguk bersetuju selepas itu.
Sebetulnya ada banyak lagi perkara mahu diutarakan tetapi tak dapat kerana saya harus keluar awal untuk ke pejabat ISTAC bagi menguruskan perkara yang ada disebut awal tadi. Malam itu saya keluar makan bersama seorang kawan lama yang mengikuti pembentangan sejak daripada awal. Beliau memberitahu bahawa Tan ada mengaku dirinya sebagai seorang Marxist-Socialist. Ooo... ada ikut pemikiran Karl Marx rupanya. Tapi setakat sosialis, taklah sampai pada komunis. Pemikiran sebegini memang menolak kapitalis kerana melihatnya sebagai sumber kepincangan masyarakat. Ini kerana pihak kapitalis yang jumlahnya sedikit dilihat sentiasa memaksakan kehendak mereka terhadap orang ramai melalui penguasaan modal dan kewangan. Lalu pengikut fikiran Karl Marx (disebut sebagai Marxist) cuba mengatur pemikiran umum dengan cara lain yang dilihat terbaik pada mereka. Tetapi cara ini harus mengorbankan identiti individu diri kerana mahukan semua larut dalam satu identiti besar yang lebih berguna lagi bermanfaat katanya.
Ah. Baru saya faham kenapa buah-buah pemikiran Tan kelihatan begitu menarik tetapi banyak perkara berlawanan, konflik atau kontradiksi. Bercakap tentang harga diri tetapi menolak keperluan identiti individu diri. Bercakap tentang keadilan sosial membawa pada keperluan spiritual tetapi menolak agama dan seperti tidak mahu mengakui wujudnya Tuhan. Memang akan keliru sampai bila-bila.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan