Salam petang Rabu 15 Zulhijjah 1441 Hijriah. Adapun hari ini saya bercadang untuk mula berkongsi cerita tentang beberapa aktiviti menarik sekitar sambutan Hari Raya Haji atau Aidil Adha pada hujung minggu lalu. Tetapi apabila gambar-gambar berkenaan dialihkan daripada kamera ke laptop baru tersedar ada cerita daripada sebulan lalu harus dilepaskan terlebih dahulu. Alang-alang mahu dilepaskan biar disertakan sedikit luahan rasa.
Tengah hari Jumaat 3 Julai 2020 saya membawa isteri dan anak-anak keluar kawasan perumahan menuju ke pekan Kuala Kubu Baru.
Sampai di pinggir pekan kelihatan kereta banyak diparkir untuk solat Jumaat. Saya pun mahu ke masjid, isteri dan anak-anak boleh menunggu dalam kereta. Tengok-tengok tak boleh masuk kerana tidak mendaftar untuk menunaikan solat Jumaat di masjid sana.
Apapun tidak menjadi kewajiban untuk saya menunaikan solat Jumaat kerana sedang bermusafir jauh. Tujuan kami ke Kuala Kubu Baru atau singkatannya KKB adalah untuk mendaftar haji bagi anak-anak. Untuk itu tempat paling dekat dan mudah bagi kami adalah pejabat Tabung Haji di KKB. Oleh kerana ia cuma dibuka pada hari bekerja isteri telah mengambil cuti.
Umum harus tahu bagaimana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula dilaksanakan pada hari Rabu 18 Mac bagi membendung penyebaran wabak Covid-19 telah menyebabkan ramai harus bekerja dari rumah. Tetapi tidak bagi isteri. Beliau adalah salah seorang frontliner atau petugas barisan hadapan yang harus terus bertugas di tempat kerjanya di bandar Rawang, Selangor seperti biasa. Sebagai seorang petugas teknikal TM (Telekom Malaysia) beliau harus memastikan talian telefon dan Internet dalam kawasan liputan berkenaan sentiasa lancar. Kalau tidak bagaimana orang lain dapat bertugas dari rumah sedangkan dua talian inilah yang menyebabkan mereka dapat bekerja secara jarak jauh?
Oleh kerana pejabat Tabung Haji cuma dibuka bermula jam 2.30 petang iaitu selepas waktu rehat solat Jumaat kami pun layan makan durian dahulu di tengah pekan.
Alhamdulillah urusan di KKB selesai sekitar jam 2.45. Kami pun bergerak ke arah timur dan kawasan pergunungan Banjaran Titiwangsa. Alang-alang dah keluar ke KKB 40 km dari rumah biar diteruskan hingga ke rumah arwah Nenek iaitu ibu kepada bapa saya di Raub lagi 70 km perjalanan.
Sebetulnya sejak PKP dilonggarkan lalu perjalanan rentas negeri dibenarkan bermula Rabu 10 Jun kami sudah beberapa kali keluar berjalan. Cuma saya kurang mood hendak berkongsi cerita. Kerana apa? Sekarang biarlah diluahkan rasa.
Adapun saya mula minat menjejaki sejarah lama Melayu termasuk banyak yang sudah lama digelapkan bermula tahun 2001. Ini berlaku setelah mendapat mimpi membawa untuk mencari salasilah keluarga sebelah bapa di Perak membawa ke Aceh. Hal ini ada diceritakan panjang lebar dalam 3 buku terawal tulisan saya iaitu siri trilogi "Berpetualang ke Aceh" yang terbit tahun 2006-2007. Pada hujung tahun 2006 pula saya mula aktif menulis di blogspot.
Yang dikongsikan rata-rata adalah penulisan berdasarkan pengalaman dan perjalanan sebenar diri menggunakan gambar-gambar yang diambil sendiri, bukan mengambil cerita orang atau membuat karangan kreatif berdasarkan imaginasi subur tanpa pernah melalui sendiri suatu perkara atau tidak pernah menjejakkan kaki ke suatu tempat yang diperkatakan. Pada ketika ini sudah terdapat 1,931 artikel dikongsikan di
blogspot CATATAN SI MERAH SILU, 2,070 di
blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 2,083 di
blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Hampir penghujung tahun 2012 saya mula aktif dengan aktiviti-aktiviti NGO dalam kalangan peminat sejarah, busana tradisional Melayu dan dunia persilatan tanah air. Satu lagi
blogspot pun diterbitkan iaitu
Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Setakat ini kami telah melaksanakan 22 acara ilmu atas nama HIKMAH di merata Semenanjung Malaysia membawa 3 kali di Aceh.
Blogspot berkenaan telah memiliki 388 artikel.
Dengan itu sudah sejumlah 6,472 artikel dikongsikan setakat ini kepada umum merangkumi banyak perkara, bidang ilmu dan perkongsian pengalaman hidup sebenar, bukan cerita-cerita tipu. Gambar-gambar yang diambil sendiri pula sudah berpuluh ribu, mungkin lebih seratus ribu keping telah dikongsikan tanpa meletakkan apa-apa bentuk tanda trade mark, copyright atau water mark. Seperti orang lain saya juga suka apabila artikel tulisan sendiri mendapat perhatian. Tetapi tidak seperti sesetengah orang saya tidak akan menggunakan apa-apa teknik marketing agar artikel dibaca. Sesungguhnya setiap penulisan saya adalah perkongsian rasa yang terbit daripada gerak spontan seorang penulis yang suka mengembara. Penulisan bagi saya adalah terapi jiwa, bukan alat untuk mendapatkan apa-apa kelebihan walaupun benar ia juga memberi peluang untuk mencipta nama.
Bagi mereka yang sudah mengikuti penulisan-penulisan saya sejak awal dengan jujur lalu dapat membandingkan dengan penulisan-penulisan lain yang muncul di dunia awam sekurang-kurangnya sejak tahun 2006 tentu sedar bagaimana saya telah mempelopori banyak perkara dan isu. Antaranya adalah tentang keturunan Saidina Hassan yang hilang, senjata api Melayu zaman Kesultanan Melayu Melaka dan kajian batu nesan Aceh demi menjejak sejarah lama. Tapi apa yang berlaku kemudian adalah muncul muka-muka baru yang pandai bermain ayat-ayat marketing lalu berebut untuk meraih perhatian ramai. Ada yang sanggup memburukkan nama saya dengan pelbagai tuduhan lalu mengajak pengikut mereka untuk membuat perkara sama.
Maka saya yang sudah mengkaji turun padang sejak penghujung tahun 2001 diberikan gambaran seperti orang baru yang terhegeh-hegeh muncul untuk mencipta nama dalam bidang kajian sejarah umum cuma pada tahun 2010. Ada pula yang misalnya baru mengkaji batu nesan Aceh tahun 2012 tetapi bercerita seperti dialah pelopor lalu anak-anak muda yang tidak tahu pucuk pangkal perkara pun percaya. Sedangkan saya sudah melakukannya 11 tahun lebih awal dan telah berkongsi cerita-cerita berkenaan melalui blogspot sejak tahun 2006.
Dalam keadaan ada yang berebut nama lalu mahu memburukkan inilah apabila keluar sedikit gambar yang ada diri saya di makam atau tempat tinggalan sejarah saya dituduh menunjuk-nunjuk. Ada yang menghina dengan mengatakan monyet pun boleh bergambar depan batu bersurat. Padahal peratusan gambar yang ada muka saya sangat-sangatlah kecil berbanding segala macam gambar tempat-tempat bersejarah yang telah dikongsikan daripada pelbagai sudut pandang. Tapi bila ada orang lain bergambar depan makam atau tinggalan sejarah takda pula masalah malah dipuji pula sebagai bukti pernah sampai dan sanggup berpenat lelah menjejak demi memberi faham kepada orang lain. Kalau saya buat baru jadi salah.
Oh. Gambar ini diambil ketika sudah sampai ke pusat pekan Bukit Fraser. Oleh kerana jalan ke Raub dari KKB boleh membawa ke jalan naik ke pusat peranginan atas gunung itu kami pun singgah.
Fikir kami hendak singgah sebentar sahaja kemudian bergerak ke Raub. Tetapi apabila mendapati ada bilik kosong di Bungalow TM kami pun memilih untuk menginap satu malam. Petang itu sempat masuk sebentar ke satu denai menarik dalam hutan. Lihat
A brief look at the Pine Tree Trail of Fraser's Hill.
Ini pula gambar daripada anjung bilik kami pada pagi Sabtu 4 Julai. Lihat
Views from the TM Bungalow at Fraser's Hill. OK. Kita sambung luahan sambil ditunjukkan gambar-gambar ketika meninggalkan Bukit Fraser tengah hari itu.
Saya diburuk-burukkan oleh beberapa pihak disebabkan beberapa hal tertentu. Satu adalah apabila budak-budak baru berebut nama dalam dunia kajian sejarah maka fikir mereka saya juga begitu. Kedua adalah dalam dunia aktivis NGO. Dalam hal ini boleh kata lebih parah. Saya dituduh berhajat untuk mengumpul pengikut kerana mahu merebut takhta kerajaan tertentu.
Tetapi yang lebih menghiris hati adalah dalam bab sejarah. Ini kerana sayangkan bidang ini. Bab takhta tiada dipedulikan walaupun benar ada darah keturunan yang melayakkan ke arah itu. Saya mula tercetus untuk mengkaji sejarah akibat mencari salasilah keluarga. Sejarah pada saya adalah simbol dan alat bagi kekuatan jati diri Melayu, bukan untuk bermegah-megah apa lagi mencari nama malah apa-apa bentuk kepentingan duniawi.
Saya terpanggil untuk membantu menaikkan kembali jati diri sebenar anak-anak Melayu apabila menyedari ia termasuk amanah dalam darah daging yang dimiliki. Tapi apa yang berlaku kemudian adalah muncul tuduhan-tuduhan saya berniat keji. Misalnya tahun lepas ada orang memberitahu saya diwar-warkan oleh pihak-pihak tertentu sibuk mahu menumpang nama menghimpit satu NGO Aceh yang rajin membersihkan makam-makam lama. Walhal nama NGO tersebut mula naik dalam kalangan pengkaji di Malaysia bermula hampir penghujung tahun 2012 pun disebabkan usaha saya membawa wakil mereka ke satu majlis anjuran pihak kami demi membantu usaha mereka menyelamatkan satu situs penting sejarah yang sedang diancam pembangunan moden. Lihat
Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Faktor Aceh dan sokongan kerajaan Melaka.
Dalam mengenengahkan hasrat menaikkan jati diri Melayu saya ada masanya kelihatan begitu sombong dan berlagak kerana suka menyebut diri sebagai seorang graduan matematik daripada University College of London, sebuah institusi pengajian tinggi luar negara yang tersenarai sebagai antara 10 terbaik di dunia. Sesekali saya menyebut ada kenalan daripada golongan atasan, berpangkat tinggi dan sebagainya. Nampak seperti berlagak tetapi pernah ke saya meletakkan apa-apa gambar diri sendiri dengan mana-mana orang daripada golongan atasan di media sosial? Saya berani bercakap tidak kerana memang tak pernah buat. Yang ada setakat gambar isteri dengan Tun Dr Mahathir di luar parlimen, satu lagi di majlis perkahwinan seorang sepupu. Selain itu ada gambar isteri dengan Sultan Nazrin ketika baginda masih lagi Raja Muda Perak. Itu juga diambil di majlis perkahwinan sepupu yang dihadiri beberapa orang sultan. Kalau saya jenis menempel suka bergambar dengan orang ternama tentu tidak terlalu susah untuk mendapatkan ruang dan peluang.
Sesungguhnya semasa zaman bertugas sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times tahun 1996-2001 lagi saya sudah biasa bertemu dengan para menteri. Dengan Tun M pun biasa duduk bersila pakai t-shirt di hadapan beliau dalam sidang-sidang akhbar. Saya pernah diperkenalkan secara one on one dengan Sultan Selangor semasa baginda masih Raja Muda di kelab kapal layar Selangor, begitu juga halnya dengan Raja Perlis dalam satu pertemuan di kelab polo Selangor. Tak pernah sesekali pun saya mengendeng untuk bergambar bersama mereka apatah lagi untuk ditayangkan kepada umum.
Saya tidak perlu berbuat begitu kerana tidak merasakan apa-apa kelebihan bergambar dengan orang seperti itu. Sesungguhnya dalam kalangan ahli keluarga dan saudara mara pun sudah terdapat ramai orang berada yang dikenali sejak kecil. Ramai lagi dikenali apabila masuk zaman bekerja. Dalam kalangan kawan-kawan lama zaman bersekolah menengah dan kolej yang sebaya pun dah ramai jadi orang ternama.
Ada beberapa orang dah jadi duta besar di luar negara, ada orang kuat dalam badan-badan korporat seperti Khazanah dan Sime Darby, yang dah jadi Jeneral tentera pun ada. Bukan setakat main sebut pangkat nak bagi sedap cerita sedangkan mereka tak kenal kita. Sesungguhnya kami masih keep in touch sekurang-kurangnya melalui WhatsApp dan Facebook. Tetapi jarang sekali saya hendak menyebut tentang mereka. Ini kerana memang jenis tak suka pakai contact untuk apa-apa.
Sebetulnya apabila menyebut tentang kelulusan dalam bidang matematik dari London saya cuma hendak memberitahu bahawa kalau kerja besar, pangkat dan kemewahan yang dimahukan tentu sahaja boleh dicapai. Buat apa sibuk mengejar cerita-cerita sejarah yang tidak memberikan pulangan material apa-apa dan kesenangan? Apa yang hendak diberitahu sebenarnya adalah saya rela mengorbankan masa hadapan yang dilihat ramai sebagai lebih cemerlang demi kesayangan dan kecintaan terhadap sejarah dan jati diri sejati Melayu. Pendek kata tidak perlu berebut nama seperti yang kamu-kamu tuduh dan anggap itu apatah lagi hendak membuat cerita-cerita dongeng marketing bagi meraih perhatian.
Perjalanan hidup saya adalah berkenaan amanah dan tanggungjawab yang sedikit sahaja orang faham. Namun sebagai manusia biasa ada masanya merasa tersinggung dengan segala macam tuduhan setelah segala macam bakti telah dicurahkan demi agama, bangsa dan negara. Kemudian boleh pula timbul golongan yang kononnya Sufi sangat. Bila kita luahkan rasa tersinggung dikatanya kita tak ikhlas. Kalau ikhlas tentu tidak terkesan dengan pujian dan kejian. Cakap memanglah senang. Cuba kalau dah terkena banyak kali kat batang hidung sendiri.
Itu yang membuat saya terasa begitu malas untuk menulis beberapa bulan kebelakangan ini. Apapun saya harus berusaha untuk memperbaiki lagi hati agar tidak terkesan langsung dengan semua hal keduniaan ini. Penulisan adalah satu cara melepaskan apa yang terbuku dalam hati. Dan memang saya selalu sebut ia adalah terapi jiwa buat diri ini, bukan jalan bagi meraih nama apa lagi kepentingan-kepentingan keji.
OK. Cukuplah luahan. Sampai sahaja ke Raub terus menuju 5 km ke utara untuk menziarahi makam Nenek. Sesungguhnya ibu kepada ayah saya ini banyak bertanggungjawab dalam membantu perjalanan awal dalam mengenali salasilah keturunan keluarga diikuti amanah dan tanggungjawab yang datang bersamanya...
Selepas itu baru ke rumah arwah Nenek yang sedang dijaga oleh seorang ibu saudara dan suaminya, rumah yang dibina dengan tulang empat kerat ayah dan adik-adik lelakinya...
Lewat petang kami bertolak ke Janda Baik (JB juga walau bukan Johor Bahru ya) dalam keadaan hujan lebat lalu sampai waktu malam...
Petang itu kami kembali ke Lembah Klang melalui jalan lama lalu sempatlah menjenguk ke tapak taman tema Mimaland yang sudah lama ditinggalkan. Sekian.