Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, Januari 11, 2010

Bukit-bukit 'berhantu' di Kuala Selangor dan batu nesan Aceh di perdu pokok - Membuka kaitan Aceh-Bugis dan cerita sebenar sistem penggiliran Perak?

Sekali lagi saya terasa amat susah untuk melelapkan mata. Maka biar dilepaskan satu gerak cerita ya...


Siang tadi saya terasa begitu lembab dan malas hendak meninggalkan tempat tidur. Tetapi melihat Al-Rasyid yang sudah dimandikan dan dipakaikan baju baru, timbul semangat untuk bangun dan mandi. Kebetulan di sudut katil terbentang pakaian dewasa berwarna sama. Selepas mandi dan menyarung pakaian tergerak pula untuk membawa anak dan isteri makan tengahari di Batu Arang kemudian berjalan-jalan menghala ke Kuala Selangor.


Adapun Khamis hari itu kami telah pergi ke Kuala Selangor. Nampaknya untuk siang Ahad pula ada perjalanan yang perlu disambung. Lihat balik artikel Apa ada di Bukit Belimbing? . Dalam artikel itu saya ada memberitahu terlupa hendak mengambil gambar Bukit Belimbing. Apa yang tidak diberitahu adalah dari sana, saya asalnya mahu mencuba jalan terus ke Batang Berjuntai sebelum kembali ke rumah... sebaliknya saya naik ke Bukit Melawati dan mengambil jalan biasa ke Ijok.

Maka untuk perjalanan 'sambungan', saya memilih jalan lama dari Batu Arang lalu mengambil simpang sebelum Batang Berjuntai untuk masuk ke satu jalan melepasi Universiti Selangor, jalan yang turut membawa ke Tanjung Karang. Seterusnya saya mengambil simpang kiri ke Kuala Selangor. Sampai ke Bukit Belimbing saya pun mengambil gambar bukit yang lupa diambil Khamis lalu. Sekali imbas ia kelihatan seperti selonggok pokok-pokok besar di sebalik bangunan sekolah. Sebab itu ada penduduk tempatan yang tidak menyedari kewujudan bukit ini.


Saya juga ada berjalan kaki masuk ke tepian bukit melalui ladang kelapa sawit tetapi tidak tergerak mengambil gambar. Sebaliknya saya cuma mengambil gambar lagi apabila sampai ke sebuah bukit lain, lebih kurang setengah batu ke hadapan menghala ke pekan Kuala Selangor.



Saya dapat tahu tentang kewujudan bukit kecil bernama Bukit Kemuning ini daripada pengawal sekolah tadi. Katanya seperti Bukit Belimbing, Bukit Kemuning juga sangat 'keras', ada penempatan orang bunian dan sebagainya.


Sebab itu terdapat kompleks peranginan tinggal di sini. Menurut pengawal sekolah, berjuta-juta Ringgit telah dibelanjakan untuk mendirikan kompleks, lupa pula tanya tahun bila. Tetapi tak sampai beberapa bulan ia dibiarkan kerana orang tak tahan. Mana nak tahan? Setiap yang menginap di bilik tengok-tengok esok pagi sudah dialih ke tempat lain.


Saya pula terpegun deja vu apabila melihat bangunan utama kompleks peranginan di hadapan. Sampai ke bangunan sebelah belakang (gambar sebelum ini) deja vu terus berjalan. Gambar di atas menunjukkan pokok yang tumbuh di puncak bukit. Seperti Bukit Belimbing, Bukit Kemuning juga tidak berapa tinggi lalu kelihatan seperti selonggok pokok-pokok hutan besar jika tidak diperhatikan dengan lebih teliti.


Lihatlah bangunan belakang yang telah rosak. Masuk ke dalam pun saya masih deja vu lagi...


Satu bahagian tepian bukit mengingatkan saya kepada bahagian bawah Bukit Treh di Muar di mana ada batu-batuan yang kelihatan seperti buritan kapal. Teringat kata-kata pengawal sekolah bahawa bukit-bukit kecil di sini mungkin adalah kapal-kapal yang disumpah menjadi batu dahulukala.


Seterusnya kami ke Pasir Penambang yang terletak berhadapan Bukit Melawati tetapi di seberang Sungai Selangor.


Dalam lawatan kami ke Bukit Melawati hari Khamis, kami telah diberitahu bahawa di Pasir Penambang ini juga terdapat kubur-kubur lama.


Allah! Kami sudah ke sekitar ini banyak kali untuk menikmati air kelapa pandan dan air tebu segar. Baru kini kami terlihat kubur-kubur lama yang ada. Batu nesan di atas mengingatkan saya kepada Makam Tok Soh di Kedah. Lihat artikel Makam Tok Soh di Kedah dan kaitannya dengan Merong Mahawangsa (The tomb of Tok Soh in Kedah and its relation to Merong Mahawangsa)... yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) Februari 2008. Dari satu segi, memang bentuknya menyamai batu nesan Makam Tok Soh yang dikategorikan sebagai jenis batu nesan Aceh. Namun ukiran bulat di hadapan nampaknya membawa satu simbol berlainan yang tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana jenis batu nesan Aceh.


Saya baru sahaja mahu berlepas meninggalkan kawasan perkuburan lama... tiba-tiba terlihat mangkuk perasap kemenyan di pangkal pokok besar lalu ternampak batu nesan yang lain.


Setelah diperhatikan dengan lebih dekat, kelihatan sungguh ia memang jenis batu nesan Aceh yang berkepak tapi sudah tenggelam ke dalam tanah. Begitu juga nampaknya keadaan sebuah lagi batu nesan yang kepalanya berbentuk lain sedikit di kanan.

Di sini biarlah diberitahu. Ramai menyangkakan batu nesan Aceh berkepak menandakan ia milik orang perempuan. Sebenarnya ini tidak tepat. Batu nesan Aceh berkepak boleh digunakan baik untuk lelaki mahupun perempuan.Yang membezakan ialah bahagian kepala di atas kepak. Batu nesan Aceh untuk perempuan selalunya kepala lebih memanjang dengan ukiran berhias, batu nesan lelaki pendek sedikit dan lebih ringkas.


Lihat gambar makam sepasang suami isteri berdarah raja di Aceh ini sebagai perbandingan. Diambil daripada artikel Benteng Laksamana Malahayati, kerajaan lama Lamuri dan satu rahsia yang tersembunyi... . Lihat makam sang suami di kanan yang memakai batu nesan Aceh berkepak...


Berbalik pada batu nesan Aceh di perdu pokok. Ia sebenarnya dikepung dua pohon besar dengan akar-akar yang terkeluar. Perhatikan dengan teliti gambar di atas. Boleh kelihatan batu-bata kepuk makam seperti terangkat di celah-celah akar.

Keadaan ini menunjukkan makam-makam di tengah pokok telah wujud lebih dahulu daripada pokok. Melihat pada rupa pokok, ia seharusnya berumur lebih 100 tahun, mungkin 200 tahun, mungkin juga lebih...

OK. Setahu saya batu nesan Aceh berkepak tidak lagi dipakai selepas abad ke 17 Masihi. Ia melambangkan pemiliknya berdarah raja lalu turut dipakai pada kebanyakan makam-maka raja di Tanah Melayu sedangkan keSultanan Selangor seperti yang ada sekarang cuma wujud apabila Sultan Salehuddin @ Raja Lumu ibni Daeng Chelak menaiki takhta dengan pengiktirafan dan nobat daripada keSultanan Perak tahun 1756, pertengahan abad ke 18. Jadi makam siapakah ini? Milik dinasti atau keSultanan mana? Di sini biarlah dilepaskan satu perspektif segar sejarah yang baru saya dapat termasuk dari sumber ilham berbanding sejarah yang diketahui umum.

Adapun keSultanan Selangor sering dikaitkan dengan Bugis. Anak-anak Raja Bugis termasuk 5 Daeng terkenal, Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Kemasi dan Daeng Chelak diketahui telah mula datang beramai-ramai ke Tanah Melayu selepas Perjanjian Bungaya tahun 1667 menyaksikan Tanah Bugis di Pulau Sulawesi mula dikuasai penjajah Belanda. Sejarah kurang popular Selangor pula menyebut satu penempatan orang Bugis diketuai seseorang bernama Daeng Lakani telah wujud selepas itu dan ini dianggarkan berlaku sekitar 1680. Namun saya percaya batu nesan Aceh yang ada di perdu pokok di Pasir Permatang telah wujud lebih lama menandakan satu fasa keSultanan yang kurang diketahui orang atau sengaja disorokkan.

Umum mengetahui bagaimana 5 Daeng terkenal telah terlibat dalam pemerintahan empayar Johor-Riau sejak tahun 1722. Anak kepada seorang Daeng inilah iaitu Raja Lumu kemudian menaiki takhta Selangor dengan pengktirafan dan nobat dari Perak. Kenapa kena ada pengiktirafan dari Perak? Cerita rasmi menyebut ini disebabkan keSultanan Perak berasal dari keturunan Raja-raja Melaka sedangkan Selangor dahulu termasuk dalam jajahan takluk Melaka. Tetapi cerita baru yang saya dapat dari kaum kerabat sebelah Wajo di Tanah Bugis menyebut, pengiktirafan dari Perak diperlukan kerana di sana terdapat seorang raja besar Bugis bertaraf Yang diPertuan Agung yang sengaja menyembunyikan identiti sebenar baginda dengan memakai nama samaran Daeng Selili.

Di sini saya terfikir tentang sesuatu perkara yang tersembunyi. Perak diketahui mempunyai sistem penggiliran takhta yang unik di mana anak seorang Sultan tidak semestinya menjadi Sultan seterusnya. Sebaliknya diadakan beberapa tangga kedudukan anak raja untuk memberi peluang wakil dari 3 buah keluarga memerintah mengikut giliran. Sejarah rasmi menyebut ini dilakukan untuk menyelesaikan masalah perebutan takhta antara anak-anak raja berlainan ibu. Tetapi sejarah tidak rasmi yang saya dapat beberapa tahun lalu menyatakan bahawa penggiliran sebenar asalnya dibuat antara anak raja berketurunan Melaka (yang membentuk keSultanan awal Perak), anak raja Bugis dan anak raja Aceh. Bagaimana ini boleh berlaku? Biar kita sorot dahulu apa yang sedia diketahui dalam sejarah.

Pertama, seluruh daerah Bernam dahulunya berada di dalam negeri Perak sebelum dimasukkan ke dalam Selangor. Pada tahun 1728, Raja Bernam iaitu Raja Inu telah menjadi Sultan ke 13 Perak yang bergelar Sultan Muzaffar Shah III. Maka tersebutlah dalam sejarah bahawa adinda baginda Raja Bisnu telah menyerang baginda sehingga Perak terbahagi dua, bahagian ke hulu terus diperintah Sultan Muzaffar, bahagian hilir diperintah Raja Bisnu yang memakai nama Sultan Muhammad Shah Amanullah. Saya tak pasti bilakah ini berlaku, rasanya sekitar tahun 1740an gitu. Yang pasti, sejarah menyebut Sultan Muhammad Shah yang tersenarai sebagai Sultan ke 14 Perak dibantu oleh Daeng Chelak serta orang-orang Bugis.

Kitab Misa Melayu karangan Raja Chulan (bukan Raja Chulan anakanda Sultan Abdullah yang hidup hingga ke abad ke 20 ya), satu rujukan utama sejarah Perak menyebut anakanda Sultan Muhammad Shah iaitu Raja Iskandar menjadi orang yang mendamaikan keadaan. Katanya baginda telah bertindak secara diplomatik sehingga Sultan Muhammad Shah meminta maaf lalu mengembalikan semua kuasa kepada kekandanya Sultan Muzaffar. Namun katanya Sultan Muzaffar tidak mempunyai anak lelaki. Maka Raja Iskandar yang telah berkahwin dengan puteri Sultan Muzaffar pun menaiki takhta menjadi Sultan Iskandar Zulkarnain, Sultan ke 15 Perak.

OK. Sekitar ketika Sultan Muhammad Shah Amanullah melawan kekandanya dengan bantuan Daeng Chelak dahulu, ada disebut bahawa Raja Lumu ibni Daeng Chelak telah pun memakai nama Sultan Salehuddin iaitu pada tahun 1742. Tersebut pula dalam sejarah Perak bahawa pada tahun berikutnya seorang anak raja Bugis (ada versi yang terus menyebutnya sebagai Raja Bugis) bernama Daeng Selili yang merupakan adik ipar Sultan Muzaffar merangkap pengawal peribadi baginda telah menawan lanun-lanun di Pulau Sembilan berdekatan kuala Sungai Perak lalu mengamankan negeri Perak. Cerita sedikit lain tapi berkenaan menyambung Daeng Selili telah bertembung dengan ketua lanun tetapi mereka tidak jadi bergaduh. Ini akibat sang ketua lanun mengenali senjata pada pinggang Daeng Selili yang melambangkannya (sebenarnya baginda) sebagai seorang raja Bugis lalu mereka pun berpeluk-pelukan seperti lama tidak berjumpa.

Cerita ketua lanun bergelar Nakhoda Hitam yang sangat ditakuti penjajah Belanda ini sangat terkenal di kalangan sesetengah pihak. Beliau yang juga dikenali sebagai Daeng Hanasah (sebenarnya layak dipanggil baginda juga) kemudian diangkat menjadi Laksamana bergelar Laksamana Raja Mahkota Perak yang pertama sementara Daeng Selili menjadi Datuk Maharajalela bergelar Pancung Tak Bertanya juga Haji Besar atas peranannya sebagai mufti agama. Jadi bagaimana seorang ketua lanun boleh diangkat menjadi Laksamana? Bagaimana pula Daeng Selili dan Daeng Hanasah boleh berpelukan...

Sebuah salasilah yang saya temui 3 tahun lalu menyebut mereka sebagai adik-beradik yang beribukan raja perempuan kerajaan Luwu di Tanah Bugis. Ibu mereka sepupu dengan Daeng 5 bersaudara, Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Kemasi dan Daeng Chelak. Salasilah lain yang baru saya lihat tahun lepas bersumberkan apa yang dipanggil sebagai Lontara Sukuna Wajo pula menyebut Daeng Hanasah sebenarnya anakanda Daeng Selili. Gelaran sebenar Daeng Selili di Tanah Bugis ialah La Madukelleng, pemerintah Wajo yang berjaya menyatukan lain-lain kerajaan Bugis untuk menentang penjajahan Belanda.

Lontara Sukuna Wajo juga menawarkan versi cerita yang berlainan tentang 5 Daeng bersaudara. Menurut versi ini, Daeng Menambon telah mengikut Daeng Selili @ La Madukelleng untuk membuka kerajaan-kerajaan baru di Kalimantan sementara membina kekuatan untuk membebaskan Tanah Bugis daripada cengkaman Belanda. Lain-lain Daeng bersaudara juga sebenarnya anak-anak raja bawahan baginda. Dengan menggunakan armada kapal milik Daeng Selili baru mereka dapat membina pengaruh di empayar Johor-Riau sehingga menjadi Yamtuan Muda Riau juga memerintah Selangor, Linggi dan sebagainya.

Allah! Sudah lama saya tidak menulis begini panjang dalam blogspot ini. Tetapi gerak rasa harus diturutkan untuk meleraikan sesuatu permasalahan yang sudah lama bermain di fikiran. Setakat ini saya cuma banyak menceritakan perihal raja-raja Bugis yang berkaitan dengan keSultanan Selangor juga keSultanan Perak. Tetapi tajuk kecil artikel ini ialah "Membuka kaitan Aceh Bugis... ?", jadi di manakah cerita Aceh nya?

OK. KeSultanan Perak itu sendiri banyak kaitannya dengan Aceh. Ada disebut dalam sejarah bahawa moyang Sultan-sultan Perak iaitu Sultan pertama Melaka, Sultan Iskandar Shah telah berkahwin dengan seorang anak Raja Pasai (kerajaan lama yang kemudian dimasukkan ke dalam pemerintahan Aceh) sedangkan ada Raja Singapura yang merupakan moyang Sultan Melaka telah berkahwin dengan anak Raja Perlak (kemudian menjadi sebahagian daripada Pasai). Sejarah rasmi negeri Perak sendiri menyebut Sultan kedua Perak, Sultan Mansur Shah dan keluarga pernah dibawa untuk menetap di Aceh sedangkan anakanda sulung baginda dijadikan Sultan Aceh yang bergelar Sultan Alauddin Mansur Shah (memerintah 1580 - 1585).

Hmm... saya teringat awal 2004 sebelum pertama kali sampai ke Aceh, ketika saya masih sibuk bertungkus-lumus untuk mengenali salasilah keluarga. Saya sempat menyalin sebuah kajian salasilah Aceh oleh pihak Barat di dalam sebuah website sedangkan sekembalinya saya dari sana website bahagian Aceh itu ditutup hingga sekarang! Satu lagi, saya sempat melihat carta rasmi keSultanan Perak yang menyebut selepas Sultan Mansur, Perak diperintah adinda kepada Sultan Alauddin Mansur iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Shah diikuti Sultan ke 4 Perak, Sultan Tajul Ariffin. Selepas itu Perak diperintah oleh cucu-cucu seterusnya cicit dan keturunan Sultan Mansur. Yang peliknya salasilah rasmi kini meletakkan Sultan ke 6, Sultan Mukaddam Shah dan Sultan ke 8, Sultan Mahmud Shah dalam satu baris dengan Sultan Ahmad Tajuddin dan Sultan Tajul Ariffin yang menggambarkan mereka sebagai adik-beradik.

Pelik ini. Nampaknya seperti ada percubaan untuk menyembunyikan sesuatu. Saya tidak lagi memiliki salinan salasilah rasmi yang diperolehi dahulu tetapi saya cukup ingat sehingga tercatit dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" bahawa Sultan Mukaddam dan Sultan Mahmud adalah adik-beradik yang berbapakan seorang Raja Aceh (tidak disebut siapa) dengan seorang puteri kepada Sultan Mansur Shah. Maka mereka sebenarnya anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin dan Sultan Tajul Ariffin. Nasib baik salasilah terkini itu masih mengakui bahawa memang ada puteri Sultan Mansur berkahwin dengan Raja Aceh. Cuma anak dari hasil perkahwinan disebut seorang sahaja iaitu seorang puteri yang berkahwin dengan Raja Muda Pahang lalu mendapat seorang anak perempuan yang berkahwin dengan Sultan ke 10 Perak, Sultan Muzaffar Shah II.

Menurut salasilah rasmi pula Sultan ini adalah seorang anak Raja Siak yang bersaudara sepupu dengan Sultan Aceh ketika itu, Sultan Iskandar Thani (memerintah 1636-1641), menantu kepada Sultan Aceh sebelumnya, Sultan Iskandar Muda. Maka itu pusing tang mana pun tidak dapat dinafikan kewujudan darah mahupun kaitan keSultanan Perak dengan Aceh. Fakta bahawa Sultan Muzaffar Shah dirajakan di Perak dengan perintah Sultan Iskandar Thani yang merupakan seorang anak raja Pahang tetapi dinaikkan ke takhta Aceh cukup menunjukkan kekuasaan Aceh ke atas Perak dahulukala. Memang tersebut banyak cerita betapa Perak berada di bawah kekuasaan Aceh dan ini paling terserlah ketika Sultan Iskandar Muda memerintah 1607-1636.

Sekarang kita cuba kaitkan semuanya dengan Bugis juga keberadaan negeri Selangor. Memang diketahui ramai Selangor berada di bawah kekuasaan Raja-raja Melaka dahulukala tetapi selepas kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis tahun 1511 rasanya tidak ada diceritakan bagaimana letak duduknya pemerintahan Selangor. Apakah ia berada di bawah pemerintahan empayar Johor-Riau yang dikatakan mewarisi empayar Melaka? Apakah di bawah pemerintahan Perak yang juga berdarah Raja Melaka malah lebih afdal daripada Johor-Riau kerana Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah I ialah anakanda Sultan Mahmud Melaka dengan Puteri Onang Kening dari Kelantan, sedangkan Sultan Alauddin Riayat Shah II yang memerintah Johor-Riau adalah anakanda Sultan Mahmud dengan Tun Fatimah anak Bendahara. Yang pasti Selangor tetap memiliki ketua-ketuanya sendiri sejak zaman Melaka. Tetapi pada raja mana mereka menghadap dan menyatakan taat-setia? Itulah persoalannya...

Pemerintahan Sultan Iskandar Muda Aceh yang berjaya menakluki Perak, Pahang, Johor-Riau malah seluruh Tanah Melayu dan separuh alam Nusantara secara automatik meletakkan Selangor di bawah pengaruh Aceh. Maka tidak keterlaluan jika dikatakan apabila pengaruh Aceh mula berkurangan ke atas Perak akibat ia mula diperintah raja-raja perempuan tahun 1641, Selangor yang sememangnya tidak beraja ketika itu terus dipegang Perak walaupun secara longgar.

Sekarang saya mahu pergi ke faktor Bugis dalam pemerintahan Aceh agar dapat dikaitkan dengan semua ini. Tersebutlah kisah seseorang bernama Daeng Mansur datang dari Tanah Bugis ke Aceh lalu menjadi ulamak besar yang dikenali juga sebagai Teungku di Reubee. Ada yang menyebut beliau (sebenarnya baginda juga) datang dari Wajo. Yang pasti sejarah rasmi Aceh mengenalinya sebagai ayahanda kepada Putri Sani, permaisuri pertama Sultan Iskandar Muda. Raja perempuan pertama Aceh, Sultanah Safiatuddin, balu Sultan Iskandar Thani adalah putri mereka. Raja perempuan kedua Aceh, Sultanah Naqiatuddin pula berkahwin dengan cucu Daeng Mansur, Laksamana Abdul Rahman (ada yang kata namanya Abdul Rahim) ibni Laksamana Zainal Abidin ibni Daeng Mansur.

Yang pasti anakanda Laksamana ini menaiki takhta Aceh tahun 1727 dengan memakai gelaran Sultan Alauddin Ahmad Shah Johan Berdaulat. Keturunan Sultan Alauddin Ahmad terus memerintah Aceh sehingga keSultanannya diluputkan oleh Belanda 1903. Maka itu pemerintahan mereka dikenali sebagai pemerintahan raja-raja Dinasti Bugis walaupun ada cerita menyebut Daeng Mansur yang merupakan moyang mereka sebenarnya berketurunan Raja-raja Aceh juga... ayahandanya datang dari Aceh berkahwin dengan seorang puteri Bugis, dapat Daeng Mansur yang kembali ke Aceh.

OK. Selama beberapa tahun saya menyangkakan Daeng Selili Maharajalela pertama dengan Daeng Hanasah Laksamana pertama Perak adalah adik-beradik hasil perkahwinan Sultan Alauddin Ahmad Shah dengan puteri Luwu tetapi mereka terpinggir dari takhta Aceh. Sebaliknya sumber dari Lontara Sukuna Wajo yang saya temui tahun lepas menyatakan Daeng Hanasah adalah anakanda Daeng Selili yang berketurunan Arung Matoa Wajo atau raja yang memerintah Wajo di Tanah Bugis. Sumber ini menambah, dalam perjuangannya menentang Belanda seraya melindungi identiti sebenar dari penglihatan musuh, memang Daeng Hanasah telah dihantar untuk menetap beberapa lama di Aceh sebelum datang ke Perak. Namun bila difikirkan kembali, masih ada kemungkin mereka itu sangat berkait dengan pemerintahan Aceh yang dikatakan berdarah Bugis itu. Bukankah Daeng Mansur yang merupakan moyang Dinasti Bugis itu ada disebut berasal dari Wajo?

Tapi katakanlah... katakanlah jika Daeng Hanasah dan Daeng Selili itu seratus-peratus asal keturunan diraja Wajo tanpa bercampur langsung dengan darah Dinasti Bugis yang merajai Aceh. Masih ada satu kemungkinan lagi yang dapat mengaitkan mereka dengan darah diraja Aceh. Tersebut dalam sejarah rasmi Perak ada seorang manusia yang cuma dikenali sebagai Toh Jambu atau Keramat Sungai Durian, yang seorang malah seorang lagi puterinya (selepas yang pertama meninggal dunia) berkahwin dengan Sultan ke 18 Perak iaitu Sultan Ahmaduddin Shah. Untuk pengetahuan, Toh Jambu adalah menantu Daeng Hanasah. Dari puteri Toh Jambu yang berkahwin dengan Sultan Ahmaddin, lahirlah Sultan ke 19 Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Shah lalu darah ini mengalir dalam Raja-raja Perak seterusnya sehingga ke hari ini.

Saya masih belum mendapat kata putus lagi tentang identiti sebenar Toh Jambu. Namun dalam menangani persoalan saya tertarik pada era pemerintahan Sultan ke 13 Perak, Sultan Muzaffar Shah III. Ingat tak lagi cerita di atas tentang Sultan ke 14 Perak, Sultan Muhammad Shah Amanullah yang dikatakan melawan kekandanya Sultan Muzaffar Shah III... kerana mahu merampas takhta negeri Perak dan dengan bantuan Daeng Chelak, seorang daripada 5 Daeng bersaudara? Dalam tempoh masa yang sama iaitu pada tahun 1742, anakanda Daeng Chelak iaitu Raja Lumu mula merajai negeri Selangor dengan memakai nama Sultan Salehuddin Shah walaupun pengiktirafan penuh dan nobat dari Perak katanya cuma didapati pada tahun 1756. Ingat tak cerita Daeng Selili dikatakan menawan lanun-lanun di Pulau Sembilan tahun 1743 kemudian boleh pula berbaik dengan ketua lanun Daeng Hanasah yang kemudian menjadi Laksamana Raja Mahkota Perak?

OK. Satu cerita yang saya perolehi dari seorang keturunan Daeng Selili menyebut bagindalah yang sebenarnya bertanggungjawab memperkenalkan sistem penggiliran takhta negeri Perak, agar anak-anak raja tidak bergaduh lagi sesama sendiri. Dalam pada itu saya teringat cerita daripada seorang saudara yang baru dikenali ketika berlakunya pengembalian jasad Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ke Bukit Chandan (lihat artikel lama Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam diraja Bukit Chandan... ) bahawa pada zaman itu telah berlaku pergaduhan anak-anak raja dari Aceh, Bugis dan Perak (yang dikatakan berketurunan Melaka). Hmm... teringat baju besi Bugis yang dipamirkan di Muzium Kota Ngah Ibrahim di Larut Matang, Taiping. Di bawahnya tertulis baju besi itu pernah digunakan dalam siri peperangan orang Aceh dengan Bugis sedangkan setahu saya tidak tercatat di mana-mana sumber rasmi sejarah tentang peperangan antara dua suku kaum Melayu ini di Perak atau Aceh mahupun di Tanah Bugis

Kata saudara itu keadaan ini membawa kepada peperangan demi peperangan yang tidak mencapai kesudahan atau kata putus. Lalu akhirnya boleh disimpulkan begini: "Engkau anak raja, aku pun anak raja," saudara itu bercerita. "Kalau terus bergaduh tak habis cerita... jadi apa kata kita buat satu sistem giliran?"

Maka itulah yang berlaku, takhta Perak digilirkan antara beberapa keluarga yang asalnya pernah berebut kuasa. Perebutan kuasa yang membawa kepada sistem penggiliran memang disebut dalam sejarah rasmi. Yang tidak disebut adalah keluarga yang dimaksudkan adalah kerabat diraja Aceh, kerabat diraja Bugis dan kerabat diraja Perak seperti yang sedia ada ketika itu berlawan sesama sendiri, bukan setakat sepupu melawan bapa saudara atau anak-anak raja Perak berlainan ibu berebut takhta.

Biasa dengar tak cerita-cerita lama menyebut tentang 7 adik-beradik merantau dan sebagainya walhal bukan semua 7 orang tu adik-beradik kandung bahkan yang sebenarnya mereka ipar, sepupu malah saudara angkat? Tapi disebabkan terlalu 'kamcing' macam adik-beradik mereka semua disangkakan sama bapa sehingga itulah kemudian yang termaktub dalam salasilah. Ada pula ketikanya salasilah dibentuk sebegitu rupa untuk menghilangkan satu cerita seperti yang saya lihat berlaku pada salasilah rasmi Perak kini di mana Sultan ke 6, Sultan Mukaddam dan Sultan ke 8 Sultan Mahmud Shah diletakkan sebagai adik-beradik kepada Sultan ke 3 Sultan Ahmad Tajuddin dan Sultan ke 4 Sultan Tajul Ariffin. Walhal menurut salasilah rasmi yang saya sering lihat beberapa tahun dahulu, mereka berdua berpangkat anak saudara dan berbapakan seorang Raja Aceh!

Tadi saya cuba untuk memasukkan salinan salasilah rasmi baru itu tetapi tidak berjaya. Nampaknya anda kena melihatnya sendiri di http://rajakita.perak.gov.my/salasilah.swf. Harap-harap jangan diubah lagi selepas ini sudahlah...

Sekarang perhatikan bahagian tengah salasilah di mana kelihatan empat orang anak Sultan ke 14 Sultan Muhammad Shah muncul berturut-turut menjadi raja : - Sultan ke 15 Sultan Iskandar Zulkarnain, Sultan ke 16 Sultan Mahmud Shah, Sultan ke 17 Sultan Alauddin Mansur Shah dan 18 Sultan Ahmaddin Shah. Kemudian boleh kelihatan bahawa semua Sultan selepas itu adalah anak cucu Sultan Ahmaddin Shah dan ini ada termaktub dalam Undang-undang Tubuh Perak kalau tak salah ingatan yang menyebut Sultan-sultan Perak kemudian mestilah dari keturunan Sultan ke 18. Alhamdulillah salasilah ini masih sama dengan apa yang pernah dilihat dahulu.

Apapun, saya cukup pelik apabila mendapati Sultan Alauddin Mansur Shah atau gelaran penuhnya Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda dipanggil sebagai Marhum Sulung setelah baginda meninggal dunia. Ini kerana salasilah rasmi di mana-mana setakat yang boleh ditemui meletakkan baginda sebagai adinda kepada Sultan Iskandar Zulkarnain dan Sultan Mahmud. Cuma dalam http://rajakita.perak.gov.my/salasilah.swf nama Iskandar Muda tidak diletakkan sebagai sebahagian daripada nama baginda. Harap-harap ini bukan satu percubaan untuk menghilangkan kemungkinan kaitan sebenar baginda dengan darah keturunan Aceh...

OK. Dalam mengkaji salasilah keluarga bermula dengan yang di Aceh saya telah mendapati kes-kes di mana anak raja yang keluarganya mula-mula dipinggirkan dari takhta lalu mula memakai gelaran Laksamana boleh kembali menjadi raja. Dalam kes anakanda Laksamana Abdul Rahman (atau Abdul Rahim) ibni Laksamana Zainal Abidin ibni Daeng Mansur yang kemudian muncul menjadi Sultan Alauddin Ahmad Shah Johan Berdaulat tahun 1727 ia dinyatakan dengan terang dalam sejarah rasmi. Dalam satu kes lain pula, seorang Laksamana lebih awal menaiki takhta menjadi Sultan Aceh dalam usia yang sangat lanjut tetapi cerita sebenar baginda seolah-olah ingin disembunyikan sehingga nasab sebenar bapa bin bapa telah digantikan dengan nasab sebelah ibu.

Dalam pengkajian peribadi yang turut meliputi keSultanan Perak saya telah mendapati kes-kes di mana orang yang sama identitinya dipecah dua sehingga salasilah keturunannya boleh kelihatan tidak berkaitan lagi. Lalu adik-beradik boleh menjadi orang asing. Ibarat menyatakan anak perempuan dari isteri dahulu saya adalah anak kepada Radzi yang kononnya tidak ada kena-mengena dengan anak sekarang jika dikatakan bapanya adalah Merah Silu. Pada masa yang sama adik ipar atau sepupu boleh 'dijadikan' adik-beradik apabila diletakkan bapa mereka sebagai orang yang sama dalam salasilah rasmi pula.

Perkara ini boleh berlaku kerana dua sebab. Untuk meminggirkan sesuatu keturunan daripada kuasa dan takhta. Sebaliknya ia juga boleh digunakan secara positif untuk menyelamatkan sesuatu keturunan daripada terus diburu dan dihapuskan musuh.

Aduh! Saya sudah pergi terlalu jauh ini. Cukuplah dikatakan pada nama Sultan ke 17 Perak iaitu Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda kelihatan seperti menunjukkan baginda sebenarnya berdarah keSultanan Aceh melalui campuran darah Sultan Alauddin Mansur Shah anak Sultan Mansur Shah Perak yang dirajakan di Aceh lebih 400 tahun lalu dengan Sultan Iskandar Muda yang ada kaitan rahsianya yang tersendiri dengan Dinasti Bugis di Aceh. Batu nesan Aceh yang ditemui di Pasir Penambang sekadar menolong membuka cerita sehingga masuk Subuh barulah saya selesai menulis artikel ini. Sekian! :]


Nota: Penceritaan Apa ada di Bukit Belimbing? yang merupakan artikel ke 616 di blogspot ini boleh dikatakan pencetus penulis artikel ke 619 ini. Harap maklum.


17 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Adakah anda ada kaitan dengan salasilah salah satu daripada pemerintahan diraja Perak ?

Radzi Sapiee berkata...

Saya pun tak pasti apakah duduk letak sebenar perkara. Yang pasti saya berasal daripada keluarga Laksamana Raja Mahkota.

Tanpa Nama berkata...

Salam, Saudara Cube try Hubungi Orang Kaya Laksamana Raja Mahkota ini utk tahu lebih lanjut tentang hal ini..Sila Hbungi
Y.Bhg.Orang Kaya Kaya Laksamana
Raja Mahkota:Dato' Mohd. Amin Shukeri bin Dato' Ali Akbar

Orang Besar Jajahan
Hilir Perak,
Pejabat Orang Besar Jajahan Hilir Perak,
36000 Teluk Intan.
012-3551584 (HP)

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam. Hmm. Nampaknya saudara juga kaum kerabat. Insyaallah akan saya hubungi apabila sampai masa yang sesuai. Ada isyarat-isyarat yang perlu didapati terlebih dahulu. Sampaikan salam saya kepada kaum kerabat lain. :]

Tanpa Nama berkata...

Salam, saya cadangkan eloklah saudara hubungi no tel tersebut untuk mengetahui duduk perkara sebenar. Jika benar adakah saudara ingin mendapat apa-apa keistimewaan dari istana Perak ? Hal ini telah berlaku bertahun-tahun lamanya dan tak siapa tahu cerita susur galur sebenar, jika tahupun dari sedikit sahaja daripada pembelajaran sejarah disekolah. Memang eloklah jika ada orang yang suka mengkajinya. saya sokong saudara, Insyaallah.

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam. Insyaallah akan saya hubungi jua. Lagipun saya memerlukan satu salinan salasilah rasmi yang memasukkan ahli keluarga terkini kerana ada diminta menyampaikannya kepada kerabat Bugis Wajo untuk simpanan rekod di sana.
Saya mengaku dahulu ada niat meminta keistimewaan. Ini disebabkan pesanan almarhum Nenek ketika saya mula-mula kemaruk mencari asal-usul selain rasa marah apabila mendapat tahu ada moyang yang dianiaya. Sekarang ini tidak lagi penting. Yang penting cuma mahu mengetahui sebab-musabab berlaku itu dan ini dan segala macam perkara yang membentuk diri ini agar saya dapat melangkah ke hadapan lebih normal dan yakin.

p/s: Saya harap tidak ada apa-apa arahan daripada istana untuk memekupkan mulut saya. Salam persaudaraan kembali. :]

awanbadai berkata...

Salam,

Bang, kat gambo terakhir tu mcm ada susuk tubuh je. bikin naik bulu roma ... hehe. cuma imaginasi aku je kot yang berlebih2an.

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam. Mungkin kot. Dah tempat dia. Biarlah dia tengah buat tahyat akhir kat situ. Takkan nak kacau! ;)

Radzi Sapiee berkata...

Salam saudara Anon yang ada meminta saya menghubung Dato Laksamana. Tadi saya baru sahaja menalifon nombor yang diberi - 012 3551584. Peliknya yang menjawab ialah seorang perempuan, katanya di Shah Alam dan tak kenal pun Dato Laksamana.

Katanya lagi dia baru membeli nombor ini 2 bulan. Tetapi baru-baru ini banyak yang menalifonnya. Apa cerita ini?

Tanpa Nama berkata...

Salam saudara..maaf, mungkin no hp telah bertukar..Saya biasa juga mengalami pekara mcm ni..kdg2 bila no kita hilang di curi, kita tukar no baru, no lama kita yg hilang tu orng lain pulak yg pakai..jd bila call org lain pulak yg jawab..ok, takpe cuba try call no rumah dato laksamana 605-8080171 (R).wasalam

Tanpa Nama berkata...

Ramai tidak tahu perjanjian ghaib dibeting beras basah dan tidak hairan kesultanan perak dari zuriat kesultanan melaka diganti acheh tapi zuriat lelaki dari kesultanan melaka sudah tiada kecuali zuriat perempuan campuran acheh,selepas acheh diganti zuriat kesultanan siak memerintah perak,selepas itu giliran bugis pula selepas itu pula keturunan la madukelleng(daeng salili)berkahwin dengan puteri disana dan perjanjian telah dimaktubkan ketika itu kesultanan pasir dibawah pemerintahan kesultanan banjar dan keturunan ini jualah membentuk kekerabatan kesultanan perak.Diharap jika mengkaji sejarah jangan ditinggalkan fakta berguna.sekian

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum Mungkin2 kekerabatan kesultanan banjar dengan la madukelleng dikesultanan perak terbentuk cuma tak ditonjolkan. Mungkin kelengkapan warisan sebagai bukti.Wallahualam

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum encik bolehkah kita berhubung? Johor67@gmail.com

Unknown berkata...

salam tuan...saya pun diberitahu arwah atuk saya adalah dari keturunan kesultanan aceh...mcmana nak tau salah silah lebih mendalam

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam. Kena cari saudara mara yang tua lalu bertanya. Gali sejarah keluarga...

Mrs Zaza berkata...

Agak² kompleks peranginan tu ada lagi tak?

Unknown berkata...

Makam daeng selili berada di Kuala kangsar, Kaum kerabat baginda ramai di sayong,lubuk merbau, Kuala kangsar