Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Oktober 10, 2014

Borobudur tinggalan Nabi Sulaiman? - Iskandar Zulkarnain, Ratu Balqis dan Nabi Daud

Salam Jumaat lagi. Sampailah bab yang ditunggu-tunggu. Bersambung dari Borobudur tinggalan Nabi Sulaiman? - Membuka langkah pengamatan di Jogja....



Pagi Sabtu 27 September 2014. Saya melihat rumah penginapan dari luar.


Sejumlah peserta yang mahu melihat apa yang didakwa bukti-bukti Borobudur tinggalan Nabi Sulaiman dalam program yang dipanggil Jelajah Negeri Saba (JNS) menginap sama di sini lalu sudah sedia untuk memulakan program. Cuma kami harus tunggu beberapa orang lagi sampai dari Jakarta. Sementara itu biar diberi taklimat...


Penulis buku "Borobudur & Peninggalan Nabi Sulaiman", KH Fahmi Basya memulakan taklimat dengan mengaitkan Kaabah di Mekah dengan Candi Borobudur yang terletak 40 km dari kota Jogjakarta. Dia menunjukkan bagaimana garis lurus yang ditarik daripada titik tengah Kaabah hingga ke titik tengah Borobudur tepat melalui sudut di mana terdapat batu suci hitam yang dipanggil Hajar Aswad. Kata beliau program JNS sudah dimulakan sejak tahun 2009. Kami adalah kumpulan yang ke-42. Bermula kumpulan yang ke-41 ada ditambah satu lagi destinasi istimewa untuk dijelajah.


Hampir jam 10.15 pagi baru kami sedia untuk bergerak. Ikut program asal perjalanan harus bermula jam 9. Saya lihat 3 buah kereta MPV digunakan, setiap satu cukup selesa untuk membawa 7 orang dewasa. Saya dan hamba Allah yang menaja perjalanan saya dipanggil masuk ke dalam kereta yang sama dengan Pak Fahmi. Mungkin kerana kami orang Malaysia, yang lain semuanya Indonesia.


Rombongan bergerak ke barat membelah sisi utara pusat kota Jogja.


Kami terus ke barat keluar sempadan besar kota sebelum berubah arah masuk ke kawasan pendalaman, kampung-kampung dan sawah kemudian hutan mendaki bukit bukau hampir ke kemuncak. Sepanjang perjalanan Pak Fahmi tidak kering mulut bercerita tentang kajiannya yang mendakwa Borobudur adalah tinggalan Nabi Sulaiman. Malah daerah Jogja dikaitkan dengan makhluk perosak misteri Yakjuj dan Makjuj. Kata beliau, nama Jogjakarta berasal dari Yakjujakarta!



Sekitar jam 11.50 baru kami berhenti lalu dibawa ke sebuah rumah orang tempatan. Kami dijamu dengan juadah sebagai persediaan untuk membuat sedikit pendakian.



Timbul juga kerisauan hendak mendaki kerana sejak beberapa hari itu saya sering mengalami sakit-sakit belakang selain sakit urat di peha kiri.



Alhamdulillah, sampai juga ke tempat yang dituju. Kata Pak Fahmi di sinilah Raja Iskandar Zulkarnain yang ceritanya disebut di dalam Quran memasang halangan yang menutup makhluk perosak Yakjuj dan Makjuj. Beliau membayangkan makhluk ini kecil daripada manusia, suka merosakkan tanam-tanaman, sebab itu penduduk tempatan meminta bantuan Zulkarnain untuk menghadangnya. Saya pula merasakan inilah kaitannya dapat mengkhatamkan kitab Hikayat Iskandar Zulkarnain sebelum berlepas ke Jogja. Lihat Hikayat Iskandar Zulkarnain dan panggilan tak disangka ke Borobudur.



Katanya lagi pada bahagian seperti lubang itulah Zulkarnain menuang tembaga untuk menerbitkan penghadang. Dia membayangkan Yakjuj dan Makjuj itu datang dari dalam tanah. Bahagian tembaga sudah hilang meninggalkan lubang. Walaupun badan dan kaki sakit (saya tidak lagi mampu melompat-lompat sewenang-wenangnya seperti dahulu akibat patah berdekatan pergelangan kaki kiri sehingga harus dimasukkan besi) saya tidak dapat menahan desakan untuk memanjat memunculkan diri di tengah lubang... :]




Apapun kawasan ini memang ada sesuatu yang istimewa. Kata seorang pembantu Pak Fahmi sebidang tanah di belakang telah dibeli oleh orang Kristian Katholik kerana kelebihan yang dimiliki. Untuk gambar-gambar pendakian lihat artikel Batu Blencong, the place where Gog and Magog was subdued? di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Selepas berehat sambil menikmati juadah tengah hari di rumah tadi kami pun menghala ke Borobudur.



Singgah bersolat di masjid ini. Lihat artikel Masjid (Mosque of) al-Ashri, Bata Kembang Nanggulan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Jam 3.26 baru sampai ke kaki Candi Borobudur. Kali ini saya berjaya masuk sebagai 'rakyat tempatan', tidak seperti pertama kali datang 2 tahun lalu di mana saya terpaksa membeli tiket antarabangsa yang harganya berkali-kali ganda mahal. Lihat artikel lama Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Wali Hassani di Kebumen, Buddha di Borobudur dan Jawa Kejawen di Jogja....



Dahulu, saya dan keluarga terus menuju ke puncak candi kemudian melihat-lihat apa yang ada dari bawah ke atas. Lihat artikel-artikel lama berikut...








Kali ini saya mengikut rombongan bermula dari bawah kerana mahu meneliti ukiran/pahatan atau lebih tepat relif-relif yang katanya membuktikan Borobudur adalah tinggalan Nabi Sulaiman. Relif bermaksud hasil seni rupa pada dinding dan sebagainya tanpa mengira bagaimana ia dihasilkan, diukir, dipahat atau dibuat dengan teknik lain.  Pak Fahmi memanggilnya sebagai tamatsil, kalau tak salah perkataan Arab. 


Memandangkan begitu banyak gambar diambil agar nyata selok belok perjalanan dan apa yang dilihat untuk penelitian kemudian, bagaimana kami bergerak dari satu relif ke relif lain dan sebagainya, saya telah mengagih-agihkannya membentuk 5 buah artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Di sini saya cuma akan tunjuk terus relif-relif terpilih misalnya ini.

Adapun struktur keseluruhan Borobodur itu boleh disamakan dengan piramid 12 tingkat. Dua tingkat pertama dari bawah lebih merupakan bangunan tapak tanpa apa-apa relif mahupun patung. Relif dan patung boleh didapati bermula pada sisi tingkat ke-3. Untuk melihatnya kami sebenarnya berdiri pada tapak tingkat ke-2 memandang dinding tingkat ke-3.

Di sini Pak Fahmi menunjukkan relif-relif pada tingkat tersebut. Oh, ada 5 tingkat di Borobudur yang penuh dengan relif, satu wilayah yang dipanggil sebagai Rupadhatu (alam rupa-rupa). Beliau mendakwa tingkat pertama Rupadhatu menunjukkan pelbagai bangsa seluruh dunia yang berada di bawah pemerintahan Nabi Sulaiman. Memang kelihatan relif menunjukkan cara pemakaian dan rupa paras manusia yang berbeza-beza. 

Menariknya relif-relif ini membentuk formasi 1-3-1-1 iaitu relif satu orang diikuti 3 orang diikuti seorang dan kemudian seorang lagi. Kemudian formasi ini berulang-ulang, katanya sehingga cukup sekali pusing tingkat itu. Setakat yang dapat kami lihat begitulah keadaannya kecuali di satu tempat seperti ditunjukkan Pak Fahmi. Lihat artikel The 1-3-1-1 formation of Borobodur.



Adapun Boborudur memiliki 4 sisi yang kelihatan tepat menghadap timur, barat, utara dan selatan. Hal ini boleh disemak melalui gambar satelit pada Google Earth. Tadi kami naik dari sisi timur. Selepas itu bergerak lawan arah jam masuk ke sisi utara lalu mendaki ke tingkat dua Rupadhatu.



Di tingkat ini kami ditunjukkan relif manusia separuh burung. Kata pembantu kanan Pak Fahmi motif burung ini juga boleh ditemui pada dinding-dinding bangunan lama kebudayaan purba lain, misalnya pada piramid kaum Maya di Amerika Tengah. Manusia burung dianggap mewakili satu ketamadunan tinggi yang mengajar manusia untuk jadi lebih maju. Kalau tak salah di tingkat ini juga ditunjukkan relif-relif yang didakwa merujuk kepada burung hud-hud yang diceritakan di dalam kitab suci Al-Quran.

Ada satu berbentuk 3D tersembul keluar dari bahagian atas dinding seperti burung merpati bertenggek di atas batu, Satu lagi menggambarkan burung meninjau orang dari celahan menara lalu dikatakan burung hud-hud melihat aktiviti orang di negeri Saba sebelum membawa laporan kepada Nabi Sulaiman. Sayangnya saya terlupa untuk mengambil gambar dua bahagian ini. Ini kerana saya sibuk membuat penelitian sendiri sambil mengambil beberapa sudut bangunan sehingga sering tertinggal rombongan yang nampaknya menurut sahaja apa yang ditunjukkan Pak Fahmi dan para pembantunya.


Saya cuma merapati kembali rombongan apabila sampai pada relif yang didakwa menunjukkan Ratu Balqis menyingsing kain ketika masuk ke istana Nabi Sulaiman kerana menyangkakan lantainya yang licin berkilat adalah air. Di bahagian ini juga ada relif yang katanya menunjukkan Balqis sedang mandi, ada kapal penuh orang yang katanya merujuk pada peristiwa Nabi Nuh ketika banjir besar. Lihat  From manbirds to Ratu Balqis, the Queen of Sheba.



Bergambar sebentar bersama Pak Fahmi di bawah relif "Ratu Balqis". Saya ada melontarkan beberapa pertanyaan dalam keadaan aman.


Kemudian beliau membawa kami ke satu bahagian di mana ada relif yang katanya menunjukkan peristiwa Nabi Yunus ditelan ikan. Laluan adalah seperti tadi bergerak lawan arah jam lalu menghampiri pula sisi barat. Lihat Fascination without explanation and Jonah's fish.


Di sisi barat itu kami naik lagi setingkat masuk ke tingkat atau lebih tepat, aras ketiga dan tengah Rupadhatu, satu kawasan yang mungkin paling penting dalam skema penceritaan JNS (Jelajah Negeri Saba).


Kali ini kami dibawa berjalan arah jam menghampiri kembali sisi utara. Relif yang kelihatan didakwa menunjukkan Nabi Daud (tengah) sedang menyerahkan kuasa kepada Nabi Sulaiman (kanan). 


Di bawah "Nabi Daud" kelihatan seorang khadam dengan peti yang didakwa Tabut, lambang kekuasaan kerajaan Bani Israel. Maka penyerahan peti melambangkan pewarisan takhta...



Selepas itu baru kami kembali berjalan melawan arah jam menghampiri bahagian tengah sisi barat. Lihat David, Solomon and Tabut, the Ark of Covenant. Sampailah ke relif yang didakwa menunjukkan peti Tabut diangkut. Lambang kebesaran kerajaan Bani Israel ini dikatakan membantu mereka mencapai kemenangan dalam peperangan demi peperangan sehingga ia hilang, Akibatnya Bani Israel kehilangan negara dijajah orang lalu berpecah belah jadi hamba dan sebagainya selama beberapa beberapa abad. 

Hebatnya mitos tentang Tabut ini sehingga  boleh timbul filem terkenal "Indiana Jones and Raiders of the Lost Ark" lakonan Harrison Ford tahun 1981. Filem menceritakan bagaimana tentera Jerman zaman Hitler sekitar tahun 1940,  era Perang Dunia Kedua 1940 mahu mencari Tabut yang disebut Barat sebagai Ark of the Covenant demi meningkatkan kuasa. Pencarian dilakukan berlumba dengan pakar arkeologi Indiana Jone lakonan Ford.  Secara rata semuanya berlaku di Timur Tengah, dari Mesir membawa ke Jordan.


Kini nampaknya sudah timbul mitos yang jauh lebih hebat. Borobudur didakwa peninggalan Nabi Sulaiman, peti Tabut pula dikatakan berada di Pulau Jawa. Hal ini akan dinyatakan lebih panjang lebar apabila membuat artikel khas ulasan dan analisis nanti. Buat masa ini biar saya sekadar menceritakan apa yang berlaku dalam perjalanan, apa yang didakwa Pak Fahmi dan orang-orangnya sambil kami dibawa melihat relif-relif.

Relif seterusnya (di atas) dikatakan menunjukkan Nabi Sulaiman (kiri) sedang dihadap orang. Pada tangannya kelihatan sebatang tongkat pendek. Kata Pak Fahmi ini menunjukkan Nabi Sulaiman ketika mengawasi pembinaan Borobudur. Dengan menggunakan dalil ayat-ayat Al-Quran di mana ada diceritakan Nabi Sulaiman membina patung-patung dan piring-piring besar kaitan lanjut dibuat dengan Borobudur. Ia bukan sahaja dikatakan binaan jin atas perintah baginda malah binaan terakhir Sulaiman!

Dakwaan dibuat berdasarkan cerita baginda pernah mengawasi pembinaan satu bangunan dalam keadaan bertongkat (saya sudah lupa apakah ayat Quran menyebut baginda berdiri ataupun duduk). Yang pasti memang bertongkat malah Sulaiman wafat ketika bertongkat sehingga jin-jin tidak menyedari hal ini lalu meneruskan kerja, Bila anai-anai memakan tongkat sehingga reput dan patah baru jasad baginda rebah, Baru jin tahu Sulaiman sudah wafat lalu meninggalkan kerja sehingga ada bahagian yang tak berapa siap. Kata Pak Fahmi relif ini membayangkan keadaan baginda wafat bertongkat.



Perjalanan disambung lawan arah jam lalu naik lagi satu tingkat daripada tangga di sisi selatan candi.


Kami dibawa ke satu bahagian, menghadap matahari jatuh kalau tak salah ingat. Relif seterusnya didakwa satu macam jentera yang susah hendak dibayangkan boleh wujud pada zaman purba. Kata Pak Fahmi ia jentera yang sangat dasyat. Dibina oleh Nabi Daud lebarnya sahaja dah 13 km. 'Buktinya' kata beliau ada kesan tinggalan jentera bergerak di dalam laut di selatan Pulau Jawa yang memanjang menghala ke timur. Ini boleh dilihat melalui gambar satelit pada Google Earth.

Saya pun bertanya bagaimana beliau pasti apa yang dilihat di laut itu adalah tinggalan buatan jentera, bukan hakisan semulajadi air atau sebagainya? Beliau bertanya balik bagaimana kamu kenal isteri kamu? Bila lihat sudah tahu kan ini orangnya? Begitulah juga beliau mendapat tahu hal jentera dan kesannya itu. Lihat The monster machine called Saabighaat.



Selepas itu kami naik terus melepasi aras ke-5 Rupadhatu (jentera tadi di aras 4) untuk ke bahagian atas tanpa relif yang dipanggil Aruphadatu (Alam tanpa rupa). Di sini terdapat binaan-binaan seperti loceng yang dipanggil Stupa, biasanya dikaitkan dengan agama Buddha. Malah selama ini memang pun Candi Borobudur dikatakan binaan berunsur Buddha, segala yang ada melambangkan kosmologi iaitu rupa bentuk alam baik yang nyata mahupun alam ghaib malah akhirat mengikut kepercayaan Buddha. Apabila timbul Pak Fahmi dengan kajian-kajiannya baru ramai mula terfikir mungkin benar ia tinggalan Nabi Sulaiman yang diketahui hidup jauh lebih awal daripada Buddha, setahu saya sekitar 400 tahun lebih awal.


Bahagian Arupadhatu ini memiliki 3 aras lingkaran bulatan yang semakin mengecil ke dalam. Menyebut ayat Quran yang berkaitan, Pak Fahmi mendakwa seluruh bahagian ini berasal daripada satu bangunan di Istana Ratu Balqis yang dipindahkan oleh seorang yang tahu kitab dalam sekelip mata! Adapun setiap lingkaran memilik sejumlah Stupa yang ada patung manusia duduk bermeditasi di dalamnya, patung yang selama ini dikatakan melambangkan Buddha dalam beberapa posisi. Tetapi Pak Fahmi pula mengatakan semua patung melambangkan pelayan di syurga, orang-orang sana yang disebut Quran dengan panggilan Wildan juga Ghilman menjadi khadam manusia yang mendapat ganjaran baik kerana menurut perintah Allah SWT.


Semua Stupa menutup rupa paras patung di dalamnya kecuali pada 2 tempat. Dalam bukunya Pak Fahmi ada membuat kira-kira menggunakan jumlah ayat pada surah-surah Al-Quran yang tertentu lalu posisi 2 Stupa terbuka dapat dipadankan dengan ayat yang mengandungi perkataan Wildan juga Ghilman (pelayan yang sedikit tua).

Paling menarik adalah sebuah Stupa pada lingkaran teratas, satu-satunya Stupa yang tiada patung di dalamnya. Ayat-ayat Quran juga digunakan untuk memadankan posisi. 


Kata Pak Fahmi Stupa ini kosong kerana di dalamnya Nabi Sulaiman duduk memerhatikan pembinaan Borobudur oleh para jin sehingga baginda wafat! Oh, saya lupa nak memberitahu beliau mendakwa Sulaiman adalah satu-satunya Nabi dan Rasul yang berdarah Jawa. Alasannya, baginda adalah satu-satunya Nabi yang memiliki nama Su di hadapan, sama seperti Sukarno dan Suharto yang menjadi presiden pertama dan kedua Indonesia juga Susilo (Bambang Susilo) yang menjadi presiden sekarang. Lihat Servants from heaven and Solomon's last stand?.

Beliau menambah Nabi Daud memiliki begitu ramai isteri dan ibu Nabi Sulaiman berbangsa Jawa. Ibu itu pula dikatakan anak kepada Thalut yang pernah menjadi raja Bani Israel sebelum Nabi Daud. Malah Thalut sendiri dikatakan orang Jawa, sebab itu para pemuka Bani Israel susah hendak menerima Thalut sebagai raja kerana orang luar. Sebab itu peti Tabut dibawa oleh malaikat, bukan manusia, Kata Pak Fahmi ini kerana harus meliputi jarak jauh,  saya sudah lupa apakah katanya dibawa ke Pulau Jawa atau dari sana.

Malah Pak Fahmi mendakwa seluruh Rupadhatu iaitu 5 tingkat Candi Borobudur itu dibuat untuk meniru isi kitab Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud. Katanya Zabur diturunkan dalam bentuk lukisan atau ilustrasi, bukannya tulisan. Lalu ia ditiru jin pada dinding Borobudur atas perintah Nabi Sulaiman, Ia dibuat agar dapat diabadikan menjadi pedoman dan pengajaran bagi generasi akan datang.


Dengan itu cukuplah penelitian di Candi Borobudur. Jam 5.40 petang iaitu hampir Maghrib di sebelah sini, kami check-in di sebuah rumah peranginan dan penginapan berdekatan.


Malam itu kami dibawa ke pusat Solomon Centre (badan yang didirikan Pak Fahmi) untuk mendengar lagi taklimat. Letaknya di luar pagar Kompleks Candi Borobudur. Ada cerita menarik tetapi biarlah dikupas dalam artikel khas ulasan dan analisis nanti.


Kembali ke rumah penginapan ada pula pertunjukan wayang kulit. Saya dan anak Malaysia yang menaja pun layan sehingga hampir tengah malam.



Gambar close up jadi begini pula bila dimuatnaik. Biarkanlah. Saya malas dah nak pening-pening kepala membetulkannya. Hendak menyiapkan artikel ini berserta artikel-artikel sokongannya pun memakan masa dari pagi Jumaat hingga ke tengah hari Sabtu. Cuma penanda waktu pada artikel sahaja mengatakan ia mula dipaparkan 6.29 petang Jumaat 10 Oktober 2014. Walhal ketika itu baru letak gambar, selepas siap artikel-artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) baru artikel ini boleh dimulakan. Cukup.



Rabu, Oktober 08, 2014

Apabila Putrajaya 'ditarik' ke titik tengah Kaabah...

Selepas artikel Borobudur tinggalan Nabi Sulaiman? - Membuka langkah pengamatan di Jogja... memberikan sedikit rasa Jumaat lepas saya bercadang untuk membuat artikel sambungan menunjukkan penelitian yang dilakukan di satu tempat yang didakwa tinggalan Raja Iskandar Zulkarnain diikuti sekurang-kurangnya sebahagian penelitian di Borobudur dalam tempoh 2-3 hari selepas Raya Haji. Tetapi sebaik sahaja sampai ke rumah dari bercuti di kampung ibu awal pagi semalam fikiran saya disibukkan dengan keinginan untuk membuat kira-kira mengaitkan Kaabah dan Hajar Aswad dengan Alam Melayu. Akibatnya dari jam 12.30 pagi gitu hingga ke petang saya asyik membuat penelitian melalui Google Earth juga melukis beberapa gambar rajah menggunakan Paint dan Word. Selepas berehat sedikit waktu Maghrib dan Isyak saya menyambung  lagi, hampir jam 3.30 pagi tadi baru terasa cukup puas lalu dikongsikan gambar berikut berserta ulasan di Facebook. Biar disalin balik di sini...






ALAM MELAYU MENGHADAP TERUS KE HAJAR ASWAD


Dalam sehari dua ini saya agak kemaruk mengkaji bagaimana Alam Melayu kita bersambung dengan Kaabah. Ini bermula dengan dakwaan bahawa bahagian tengah Candi Borobudur apabila dihubungkan dengan bahagian tengah Kaabah akan menimbulkan garis lurus yang melalui batu hitam suci pada sudut timur Kaabah yang dikenali sebagai Hajar Aswad. Saya pun menyemak melalui program Google Earth. Nampaknya dakwaan ini benar... kelihatan Candi Borobudur memiliki kedudukan yang amat istimewa samada disengajakan atau dirancang mahupun tidak.

Keadaan ini menyebabkan saya ingin melihat bagaimana kalau dibuat garis keluar dari kiri, kanan dan tengah pintu Kaabah. Ketika itulah didapati bahawa banyak tempat juga di Alam Melayu dapat dihubungkan dengan garis lurus ke tengah Kaabah melalui Hajar Aswad. Saya pun tergerak untuk meneliti lebih mendalam jangkauan garisan yang terwujud. Nampaknya banyak tempat boleh dijangkau kerana satu, garis lurus yang ditarik itu mungkin tidak dapat dimulakan pada titik tengah yang tepat kerana kita cuma mengharapkan gambar melalui Google Earth yang jadi agak kabur apabila zoom in terlalu dekat. Hal serupa juga boleh berlaku apabila garis ditarik melalui sudut Hajar Aswad. Ini disebabkan sudut kelihatan kabur apabila gambar dibesarkan. Selain itu ada ralat ketika meletakkan titik menggunakan mousepad...

Selain itu kita mesti ingat, Hajar Aswad bukan sekadar satu titik tetapi objek sebesar perut perempuan mengandung kalau tidak pun lebih besar. Maka itu selain sudut tepat yang tajam jangkauan garisan boleh dilebarkan agar dapat meliputi setiap bahagian Hajar Aswad ke kiri dan ke kanan lalu baru dipanjangkan hingga ke Alam Melayu. Menggunakan data2 tentang ukur dimensi tepat Kaabah yang boleh didapati di Internet berserta sudut terbaik yang dapat dikira menyambungkan hingga ke tengah Borobudur saya pun membuat projeksi seperti dalam gambar. Dengan Hajar Aswad dianggarkan selebar 1 meter, kawasan jangkauan setelah ditarik sampai ke Borobodur melebar lebih 1,000 kilometer...





Sebetulnya hal bahagian tengah Borobudur boleh disambung dengan garisan lurus ke tengah Kaabah dengan garisan sama betul-betul menyentuh sudut Hajar Aswad mahu diletakkan dalam siri kecil "Borobudur tinggalan Nabi Sulaiman?" Saya sudah menelitinya agak mendalam dan ada cukup isi untuk menerbitkan artikel khusus.. Tetapi ini cuma akan dibuat apabila selesai memaparkan artikel menunjukkan penelitian on site yang berlaku di Borobudur diikuti pemerhatian di Keraton Ratu Boko yang didakwa milik Ratu Balqis. Cuma pagi semalam saya terasa harus 'membocorkan' sedikit kajian agar dapat masuk tidur lena.

Tidak ditunjuk ketika itu gambar rajah seperti di atas menunjukkan bagaimana unjuran boleh dibuat berdasarkan penyambungan titik tengah Borobudur ke titik tengah Kaabah melalui Hajar Aswad. Dari gambar rajah inilah 3 garisan kuning yang kelihatan boleh dipanjangkan menjadi seperti gambar rajah di atas. Pengunjuran itu menunjukkan bukan Candi Borobudur sahaja yang boleh 'ditarik' sambung ke titik tengah Kaabah dengan garisan yang terbentuk melalui Hajar Aswad.  Ada julat atau had tertentu yang cukup besar menyebabkan apa sahaja tempat atau objek dalam julat boleh disambung untuk mendapatkan keputusan yang serupa!

Namun pengunjuran berdasarkan Candi Borobudur sebagai asas itu nampaknya tidak meliputi negara Malaysia langsung. Garisan yang kelihatan menunjukkan 1/3 Sumatera juga terkeluar daripada julat sedangkan seluruh Pulau Jawa berada di dalamnya. Turut terkeluar adalah seluruh Sulawesi yang mana tanah asal Bugis terletak di selatannya. Pulau Borneo pula cuma tersentuh di hujung barat laut. Hal ini boleh menyebabkan mereka yang fanatik Jawa semakin besar kepala. Nampaknya satu lagi hujah boleh diangkat mereka untuk memperbesar-perbesarkan Pulau Jawa, sedikit tentang Indonesia sedangkan Malaysia pula boleh dinafikan duduk letak keistimewaannya.




Hal ini menyebabkan saya ingin menyelidik apakah yang berlaku jika garis serupa mengunjur ke Kaabah dimulakan dari Putrajaya. Sebetulnya mana-mana tempat dalam had kawasan bandar boleh digunakan untuk membuat penelitian ini tetapi biarlah yang ada signifikan atau bermakna. Saya tak tahu titik mana paling sesuai untuk dijadikan tempat permulaan. Terbetik juga di hati mungkin Masjid Besi, mungkin Istana Kehakiman. Tetapi sebaik sahaja melihat gambar satelit Putrajaya dengan lebih dekat saya terus tertarik kepada bulatan besar yang kelihatan. Biar dimaklumkan saya memilih titik tengah bulatan tanpa mengambil kedudukannya menghadap Masjid Putra juga bangunan Jabatan Perdana Menteri, Walaupun tahu itu kerana sering ke sana, saya mengambil ia sebagai titik permulaan semata-mata kerana bulatan kelihatan menarik dan terserlah dalam gambar...




Garisan lurus pun 'ditarik' membawa ke Semenanjung Arab, masuk ke Mekah...




Terus dibawa hingga ke apa yang dianggarkan sebagai titik tengah Kaabah. Nampaknya garisan yang dibuat dari Putrajaya juga boleh melalui Hajar Aswad.



Sekarang biar dibuat unjuran meliputi seluruh kelebaran Hajar Aswad yang dianggarkan 1 meter seperti telah dibuat lebih awal di atas. Bezanya kali ini kita menggunakan Putrajaya sebagai asas. Unjuran ditarik kembali ke Alam Melayu atau Nusantara. Nah. Nampak terang seluruh Semenanjung Malaysia berada di dalam julat bersama sebahagian Pulau Sumatera diikuti sebahagian Pulau Borneo. Ini bermakna seluruh Semenanjung akan menghadap Hajar Aswad apabila disambung garisan lurus hingga ke titik tengah Kaabah.




Bagaimana pula Pulau Jawa? Kita close up lalu unjuran disambung menggunakan Paint pula kerana kalau ditarik lagi menggunakan Google Earth ditakuti unjuran tidak lagi tepat, Ini akibat proses menarik garisan semasa close up boleh menyebabkan ia lari keluar dari sudut sepatutnya. Akibatnya kawasan yang tidak menghadap terus ke Hajar Aswad secara tidak sengaja akan dimasukkan ke dalam julat. 

Nah, lihat apa yang berlaku. Cuma sedikit sahaja bahagian Pulau Jawa yang termasuk ke dalam julat. Ini bermakna Candi Borobudur yang terletak di Jawa Tengah sudah terkeluar langsung daripada senarai! Kalau begitu bolehkah lagi ia dikatakan begitu istimewa sehingga dianggap satu-satunya bangunan dengan kelebihan-kelebihan tertentu seperti dilaungkan pihak yang mendakwa Borobudur adalah tinggalan Nabi Sulaiman? Hal ini akan dikupas lebih lanjut apabila sampai masa yang tepat. Sabar... :]