Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Jun 20, 2015

Jejak Kalimantan Barat - Sultan-sultan Sambas, Opu Daeng Kemasi dan Gusti Jamiril

Salam semua. Hari ini adalah hari ke-3 bulan Ramadhan tahun ini. Sementara masih ada baki hari iaitu sebelum masuk waktu berbuka puasa lalu tarikh berubah menjadi hari ke-4 Ramadhan eloklah kita mulakan cerita hari ke-3 perjalanan di Kalimantan Barat. Bersambung daripada Jejak Kalimantan Barat - Menyahut panggilan Daeng Menambon dan para ulamak Mempawah sebelum berkejar ke Sambas.


Pagi Rabu 10 Jun 2015. Selepas berehat di sebuah hotel yang kelihatan paling besar di kota Sambas kami sedia untuk meneroka persekitaran kota. Pemandangan daripada tingkap hotel. Rasanya tidak ada bangunan melebihi 5 tingkat...


Keadaan di jalan utama kota.


Kami mengambilnya untuk menuju  ke tempat yang disinggahi sebaik sahaja sampai malam sebelumnya.


Ia adalah masjid diraja dan persekitarannya. Daripada jambatan boleh kelihatan di hujung kanan sungai...


Untuk sampai ke sana harus melepasi pintu gerbang yang menandakan batas kawasan persekitaran istana Sambas.


Jumpa kawasan pemakaman diraja dahulu lalu kami pun singgah.





Ziarahlah beberapa makam sultan yang pernah memerintah kerajaan Sambas juga seorang kerabat yang memegang jawatan tertinggi istana selepas Kesultanan dimansuhkan 70 tahun lalu...







Namun tujuan utama kami masuk ke kawasan pemakaman adalah untuk mencari dan menziarahi makam Opu Daeng Kemasi, salah seorang ahli Opu Daeng 5 Bersaudara yang sangat terkenal dalam sejarah Alam Melayu abad ke-18 Masihi. Singgah ke makam-makam tadi pun dalam rangka kerja mencari makam Daeng Kemasi. Adapun kami sampai ke Kalimantan Barat, lebih tepat Pontianak tengah hari Isnin dalam keadaan tahu makamnya ada dalam lingkungan wilayah tersebut, cuma tak tahu di sebelah mana. Setelah masuk ke Istana kerajaan Mempawah lalu melihat salasilah Opu Daeng 5 Bersaudara di dalamnya baru tahu ia terletak di Sambas. Lihat artikel Istana (Palace of) Amantubillah, Mempawah di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Tapi di mana di Sambas masih menjadi teka teki sehinggalah saya tertarik untuk melihat lebih dekat bangunan agak buruk ini.


Masyaallah! Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya apabila terlihat nama yang tertera.


Allah! Sampai juga saya ke sini. Dengan ini cukuplah makam semua Opu 5 Daeng Bersaudara sudah diziarahi. Sesungguhnya saya sampai ke Kalimantan Barat itu sendiri pun dalam keadaan agak kabur tujuan kerana diajak seorang rakan yang sanggup menanggung segala kos yang perlu agar menemaninya menelusuri mana-mana tempat bersejarah yang patut. Sebelum itu saya setakat pernah berkira-kira mahu ke Pontianak melalui Sarawak, tidak pernah terfikir akan sampai ke Sambas lalu menziarahi makam ini.

Kalau menunggu keinginan untuk pergi sendiri timbul mungkin sangat lambat lagi. Ini kerana kondisi kewangan saya buat setahun kebelakangan ini setakat cukup untuk menampung kos keperluan hidup keluarga di rumah, tak boleh nak pergi berjalan jauh sangat apa lagiseberang laut ke negara orang. Kalau ada wang lebih pun kemungkinan besar akan ke tempat lain. Apabila rakan tersebut menyatakan tempat-tempat yang mahu dilawati adalah kota dan persekitaran Pontianak, Mempawah dan Sambas baru teringat salah satu Opu Daeng 5 Bersaudara iaitu Daeng Menambon pernah memerintah di Mempawah lalu mangkat di sana. Bila dah bertolak ke Pontianak baru terfikir mungkin akan menjejaki letak duduk makam Daeng Kemasi sekali...



Puas sungguh hati setelah sampai ke makam itu. Sehingga terasa tidak perlu lagi berlegar-legar di kawasan pemakaman diraja walaupun ada beberapa lagi bangunan yang kelihatan menempatkan makam orang penting kerajaan belum diteliti lebih dekat. Dengan itu saya mengajak kawan menukar tumpuan ke kawasan istana. Ia terletak di seberang jalan menghadap kawasan pemakaman.


Dalam lingkungan kawasan halaman istana terdapat masjid diraja. Memang masjid selain istana menjadi tempat tumpuan yang mahu dijejaki di setiap pusat kerajaan lama yang kami sampai Selain itu adalah kawasan pemakaman diraja dengan tumpuan diberikan kepada makam pengasas kerajaan. Lebih daripada itu adalah bonus... dan bonus paling besar bagi saya setakat itu adalah ziarah ke makam Opu Daeng Kemasi...


Untuk sampai ke masjid perlu berjalan mengeliling pagar hingga sampai ke pintu gerbang kawasan istana. Lalu dahulu kawasan berhadapan sungai yang agak luas.


Keadaan perairan yang seperti simpang tiga air akibat terletak di pertemuan dua buah sungai sederhana besar terasa begitu aman. Ada semacam suasana seperti di Kampung Ayer, Brunei. Lihat artikel The waters in front of Sambas royal grounds di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Inilah masjid diraja Sambas yang juga merupakan masjid agung (utama) wilayah Sambas merangkap masjid jamek kota. Lihat Masjid Agung Jami' (Great main mosque of) Sultan Muhammad Tsafiuddin, Sambas.




Selepas beberapa lama meninjau keadaan dalam masjid kami pun ke istana.


Dapatlah melihat segala macam barangan yang ada. Lihat. Istana (Palace of) Alwatzikhubillah, Sambas. Sekarang, sedikit latar belakang tentang kerajaan seperti terpapar di Wikipedia...


KESULTANAN SAMBAS 


Kesultanan Sambas adalah kesultanan yang terletak di wilayah pesisir utara Provinsi Kalimantan Barat atau wilayah barat laut Pulau Kalimantan dengan pusat pemerintahannya adalah di Kota Sambas sekarang. Kesultanan Sambas adalah penerus pemerintahan dari kerajaan-kerajaan Sambas sebelumnya. Kerajaan yang bernama "Sambas" di wilayah ini paling tidak telah berdiri dan berkembang sebelum abad ke-14 M sebagaimana yang tercantum dalam Kitab Negarakertagama karya Mpu Prapanca. Pada masa itu rajanya bergelar "Nek", salah satunya bernama Nek Riuh. Setelah masa Nek Riuh, pada sekitar abad ke-15 M muncul pemerintahan raja yang bernama Tan Unggal yang terkenal sangat kejam. Karena kekejamannya ini Raja Tan Unggal kemudian dikudeta oleh rakyat dan setelah itu selama puluhan tahun rakyat di wilayah Sungai Sambas ini tidak mau mengangkat raja lagi. Pada masa kekosongan pemerintahan di wilayah Sungai Sambas inilah kemudian pada awal abad ke-16 M (1530) datang serombongan besar orang-orang dari Pulau Jawa (sekitar lebih dari 500 orang) yaitu dari kalangan Bangsawan Kerajaan Majapahit yang masih beragama Hindu, yaitu keturunan dari Raja Majapahit sebelumnya yang bernama Wikramawardhana.

Pada saat itu di pesisir dan tengah wilayah Sungai Sambas ini telah sejak ratusan tahun didiami oleh orang-orang Melayu yang telah mengalami asimilasi dengan orang-orang Dayak pesisir dimana karena saat itu wilayah ini sedang tidak ber-Raja (sepeninggal Raja Tan Unggal) maka kedatangan rombongan pelarian Majapahit ini berjalan mulus tanpa menimbulkan konflik. Rombongan Majapahit ini kemudian menetap di hulu Sungai Sambas yaitu di suatu tempat yang sekarang disebut dengan nama "Kota Lama". Setelah sekitar lebih dari 10 tahun menetap di "Kota Lama" dan melihat keadaan wilayah Sungai Sambas ini aman dan kondusif maka kemudian para pelarian Majapahit ini mendirikan sebuah Kerajaan hindu yang kemudian disebut dengan nama "Panembahan Sambas". Raja Panembahan Sambas ini bergelar "Ratu" (Raja Laki-laki) dimana Raja yang pertama tidak diketahui namanya yang kemudian setelah wafat digantikan oleh anaknya yang bergelar Ratu Timbang Paseban, setelah Ratu Timbang Paseban wafat lalu digantikan oleh adindanya yang bergelar Ratu Sapudak. Pada masa Ratu Sapudak inilah untuk pertama kalinya diadakan kerjasama perdagangan antara Panembahan Sambas ini dengan VOC yaitu pada tahun 1609.

Pada masa Ratu Sapudak inilah rombongan Sultan Tengah (Sultan Sarawak ke-1) bin Sultan Muhammad Hasan (Sultan Brunei ke-9) datang dari Kesultanan Sukadana ke wilayah Sungai Sambas dan kemudian menetap di wilayah Sungai Sambas ini (daerah Kembayat Sri Negara). Anak laki-laki sulung Sultan Tengah yang bernama Sulaiman kemudian dinikahkan dengan anak bungsu Ratu Sapudak yang bernama Mas Ayu Bungsu sehingga nama Sulaiman kemudian berubah menjadi Raden Sulaiman. Raden Sulaiman inilah yang kemudian setelah keruntuhan Panembahan Sambas di Kota Lama mendirikan Kerajaan baru yaitu Kesultanan Sambas dengan Raden Sulaiman menjadi Sultan Sambas pertama bergelar Sultan Muhammad Shafiuddin I yaitu pada tahun 1671.



Di dalam istana kami berkenalan dengan beberapa orang kerabat diraja Sambas yang menjaga istana. Seorang daripada mereka kemudian membawa kami keluar untuk menunjukkan jalan ke makam Sultan pertama.


Inilah makam pemerintah tersebut, Sultan Muhammad Tsafiuddin I. Baginda adalah anakanda kepada Sultan Tengah, adinda kepada Sultan ke-9 Brunei yang diberikan pemerintahan ke atas negeri Sarawak. Sebelum ke sini saya menjejakkan kaki ke makam Sultan kedua. Makam Sultan Tsafiuddin terletak agak tersorok di dalam kampung orang sebelah kawasan pemakaman diraja. Kemudian kami menziarahi makam beberapa orang lagi sultan. 








.
Saya juga mengambil peluang untuk ke makam Daeng Kemasi lagi. Ini kerana semasa lawatan pertama tadi terlupa pula hendak mengambil gambar di sisi makam. Bukan apa... saya jarang mahu menonjolkan diri dalam apa-apa gambar. Tapi untuk ini saya rasa wajib sangat. Ini kerana seperti disebut tadi, ziarah ini melengkapkan lawatan ke semua makam Opu Daeng 5 Bersaudara, satu pencapaian yang bermakna buat diri ini.


Oh. Saya tidak dapat menemukan banyak tulisan tentang Daeng Kemasi. Oleh itu biar dikongsikan zoom-in gambar maklumat yang terdapat di makam juga perenggan bawah yang ditemui di Intenet, katanya sinopsis ringkas terhadap bab berkenaan dalam Hikayat Opu Daeng Menambun (Menambon)... 


BAB VII

Opu Daeng Menambun dan Opu Daeng Kemasi di Sambas serta Perkahwinan Opu Daeng Kemasi

Opu Daeng lima bersaudara telah dijemput oleh Raja Sambas dan ingin menjodohkan mereka dengan adik perempuannya yang bernama Urai Tengah seterusnya dilantik menjadi Pangeran Mangkubumi di Sambas. Opu daeng Menambun menerima pelawaan tersebut lalu pergi ke Sambas bersama-sama dengan Opu Daeng Kemasi. Kedatangan mereka berdua telah disambut oleh Sultan Adil dan anakandanya serta disediakan satu rumah dalam sebuah kampung. Setelah tiga hari, Sultan Adil menyuruh pangeran dan kiai bertujuh berjumpa dengan Opu Daeng Menambun dan Opu Daeng Kemasi bagi menyampaikan hajat untuk mengahwinkan salah seorang daripada mereka dengan adiknya Raden Tengah. Opu Daeng Menambun mencadangkan agar Opu Daeng Kemasi dikahwinkan dengan Raden Tengah dan Sultan Adil bersetuju lalu mereka berkahwin. Opu Daeng Kemasi dilantik menjadi Pangeran Mangkubumi di dalam daerah negeri Sambas.



Akhir sekali kami menziarahi makam Sultan ke-13 Sambas, orang yang bertanggungjawab mendirikan istana dan masjid diraja yang masih ada. Letak makam ini ke luar sedikit daripada lingkungan utama kawasan pemakaman diraja. Kami singgah dalam perjalanan meninggalkan Sambas. Lihat Makam (Tomb of) Sultan Muhammad Tsafiuddin II.



Destinasi utama seterusnya adalah kota Ngabang pusat sebuah kerajaan lama bernama Landak (ya, nama binatang berduri itu!). Malam sebelumnya pemandu kami mendapat tahu ia boleh dicapai melalui laluan pendalaman lain daripada yang beliau ketahui dan biasa gunakan. Kami pun mencuba laluan itu.


Laluan ini melepasi hutan, ladang kelapa sawit dan kampung-kampung seperti penempatan majoriti orang Dayak. Memang Kalimantan ramai orang Dayak dan mereka biasanya menetap di kawasan pendalaman. Sebelum sampai ke Ngabang laluan memotong bandar Bengkayang di mana terdapat simpang ke sebuah pekan bernama Karangan, menghala ke arah berlain daripada Ngabang. Kami mengambil simpang kerana ada tempat penting mahu diziarahi di sana. Lihat To Karangan via Bengkayang


Sampai di Karangan kami makan tengah hari sebelum bertanya arah ke tempat yang dimaksudkan Terlihat masjid ini saya pun singgah sebentar. Lihat Masjid besar (Big mosque of) Karangan.


Inilah tempat yang dimaksudkan. Lihat Makam (Tomb of) Gusti Jamiril. Orang yang dimakamkan adalah putera kepada Opu Daeng Menambon lalu pernah memegang takhta Mempawah. Kami pernah cuba mencari makam ini di sekitar kawasan pemakaman diraja di Kota Mempawah tapi tak jumpa. Ketika mencari itulah baru mendapat tahu ia terletak di Karangan. Lihat balik cerita dalam  Jejak Kalimantan Barat - Menyahut panggilan Daeng Menambon dan para ulamak Mempawah sebelum berkejar ke Sambas.


Sesungguhnya orang yang disemadikan ini adalah seorang tokoh penting dalam sejarah kerajaan-kerajaan di Kalimantan Barat. Biar artikel yang dikutip daripada arkib Utusan Malaysia tanggal 17/07/2006 memberikan penerangan...



Gusti Jamiril tokoh ulama, raja dan pahlawan

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

DALAM Halaman Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 12 Jun 2006, telah diceritakan kisah Raja Haji, Pahlawan Teragung Nusantara, iaitu saudara sepupu Gusti Jamiril. Gusti Jamiril ialah putera Upu Daeng Menambon. Raja Haji pula ialah putera Upu Daeng Celak.

Upu Daeng Menambon dan Upu Daeng Celak ialah adik-beradik. Kajian awal saya tentang riwayat mereka adalah bersumberkan Salasilah Melayu dan Bugis, Tuhfat an-Nafis. Kedua-duanya ialah kitab karangan Raja Ali Haji.

Selain kedua-dua karya tersebut, beberapa versi tulisan tangan naskhah Mempawah dan Pontianak juga menjadi sumber saya. Selain yang terakam berupa tulisan, cerita lisan juga saya dengar di Mempawah dan Riau.

Perlu juga saya sebutkan di sini bahawa Gusti Jamiril sebenarnya ada peranan yang tersendiri dalam kedua-dua karya Raja Ali Haji yang dinyatakan itu kerana sejarah asalnya berdasarkan tulisan Upu Daeng Menambon dengan tulisan dan bahasa Bugis. Yang menterjemahkannya daripada bahasa Bugis ke bahasa Melayu ialah Gusti Jamiril.

Terjemahan Gusti Jamiril itulah yang diproses oleh Raja Haji Ahmad, iaitu putera Raja Haji, tetapi tidak sempat diselesaikan lalu disambung oleh putera beliau, Raja Ali Haji. Gusti Jamiril digelar juga dengan gelaran Penembahan Adiwijaya Kesuma Jaya. Beliau mangkat pada waktu Zuhur, hari Ahad, bulan Zulkaedah 1204 H/Julai 1790.

Pada judul artikel ini saya nyatakan bahawa Gusti Jamiril ialah ulama, raja dan pahlawan. Ketiga-tiganya dapat dibuktikan.

Persyaratan seorang ulama bermula dengan pengetahuan alat Arabiyah, seperti ilmu nahu, ilmu sharaf, dan lain-lain, serta pelbagai bidang ilmu Islam yang lain. Gusti Jamiril sempat belajar segala persyaratan itu dengan Saiyid Husein al-Qadri (Mufti Mempawah yang pertama) dan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani (Mufti Mempawah yang ke-2).

Walau bagaimanapun, sistem mendidik kedua-dua ulama itu adalah berbeza. Saiyid Husein al-Qadri yang berasal dari negeri Arab, mengutamakan lughah Arabiyah. Sedangkan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani, yang berasal dari Patani, memperkenalkan sistem pendidikan pondok seperti di Patani. Sistem Pondok Patani lebih mengutamakan kecermatan dalam membaca setiap kitab bahasa Arab. Dalam hal ini penting seseorang ulama menguasai ilmu nahu, ilmu sharaf, dan semua ilmu alat Arabiyah.

Bukti Gusti Jamiril menguasai ilmu-ilmu Islam disebut oleh Raja Ali Haji dalam Salasilah Melayu dan Bugis. Sewaktu Gusti Jamiril ke Pinang Sekayuk, antara pertanyaan Pangeran Dipati adalah: “Apakah cundaku tahu mengaji Quran?” Jawab Gusti Jamiril: “Tahu!” Maka baginda menyuruhnya membaca al-Quran. Maka membacalah Gusti Jamiril. Dalam dua maqra' beliau berhenti.

“Apakah cundaku sudah mengaji nahu dan sharaf?” Maka dijawab Gusti Jamiril: “Tahu!” Maka disuruhnya ertikan ayat al-Quran yang dibaca itu.

Maka diertikan lafaz maknanya. Selain sebagai seorang yang menguasai ilmu yang banyak, Gusti Jamiril juga sangat kuat berwirid. Amalan yang tiada ditinggalkannya ialah tilawah al-Quran, selawat atas Nabi Muhammad s.a.w., zikir dan lain-lain. Selawat yang diamalkannya ialah ‘Shalawat Dalail al-Khairat’. Amalan selawat tersebut juga tidak pernah ditinggalkan oleh Raja Haji asy-Syahid fi Sabilillah Yang Dipertuan Muda Riau Ke-IV, saudara sepupu Gusti Jamiril.

KERAJAAN MEMPAWAH

Upu Daeng Menambon, Raja Mempawah yang pertama, mangkat pada 26 Safar 1174 H/7 Oktober 1760 M (riwayat lain baginda mangkat tahun 1166 H/1752 M). Baginda diganti oleh puteranya yang bernama Gusti Jamiril, diberi gelar ‘Penembahan Adiwijaya Kesuma Jaya’, atau selanjutnya disingkat kepada Adiwijaya saja. Pada zamannya pusat pemerintahan Mempawah dipindahkan dari Sebukit Raya ke Pulau Pedalaman, Mempawah Hilir. Namun setelah terjadi perselisihan dengan Belanda, Penembahan Adiwijaya terpaksa memindahkan pusat pemerintahan dari Pulau Pedalaman, Mempawah ke Hulu Mempawah iaitu satu lokasi yang sangat jauh yang dinamakan Karangan.

Penembahan Adiwijaya ialah seorang ulama dan raja yang tidak mahu ditakluk penjajah Belanda. Baginda lebih sedia dan setia mengikut jejak langkah perjuangan saudara sepupunya, Raja Haji (Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga Ke-IV) yang gugur sebagai syahid fi sabilillah di Melaka. Ia merupakan langkah yang sama seperti anak saudara sepupunya, Raja Ali Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga Ke-V, yang ketika itu terpaksa berhijrah menyusun strategi di Sukadana.

Pihak Belanda menuduh Adiwijaya bersekongkol dengan pahlawan yang berasal dari Riau itu. Oleh sebab Belanda tidak dapat mengesan apatah lagi menangkap Raja Ali, maka tekanan yang sangat keras dikenakan ke atas Adiwijaya kerana hanya baginda sendiri mampu menyembunyikan Raja Ali.

Padahal ketika itu Raja Ali yang sangat faham keadaan maritim bukan setakat berada di Sukadana tetapi kadang-kadang berada di Kepulauan Tambelan. Kadang-kadang beliau berada di Kepulauan Siantan dan tempat-tempat lain.

Akibat Penembahan Adiwijaya tidak mahu dijajah oleh bangsa asing yang bukan Islam, maka kolonial Belanda dengan dalih untuk pemulihan yang disebut Rusten en orde (Ketenteraan) mengirim pasukan tentera penjajah itu dari Pontianak menyerang Mempawah. Peristiwa tersebut terjadi pada tahun 1787 M. Oleh sebab pendengaran, penciuman dan pandangan Penembahan Adiwijaya untuk mengetahui kondisi dan situasi dalam keadaan aman dan perang memang hebat, ternyata yang diserang hanyalah tempat yang telah dikosongkan. Penghijrahan Penembahan Adiwijaya bersama dengan pengikut-pengikut setia baginda dari Pulau Pedalaman Mempawah Hilir ke Karangan Mempawah Hulu dilakukan sekitar 1786.

Setelah kekosongan pentadbiran Mempawah, Syarif Abdur Rahman al-Qadri, Sultan Pontianak, saudara ipar Penembahan Adiwijaya, mengambil langkah bijaksana dengan melantik putera beliau, Pangeran Syarif Qasim al-Qadri menjadi Raja di Mempawah.

Ibu Syarif Qasim al-Qadri ialah Utin Cenderamidi iaitu adik-beradik Penembahan Adiwijaya. Jadi Pangeran Syarif Qasim al-Qadri masih layak menjadi Raja di Mempawah kerana beliau ialah cucu Upu Daeng Menambon. Walau bagaimanapun perang antikolonial Belanda di sana-sini masih berlaku yang melibatkan Gusti Jati dan Gusti Mas, kedua-duanya putera Adiwiyaja. Kedua-duanya dapat membentuk pasukan gabungan Melayu dan Dayak. Tempat-tempat yang pernah tercetus perang antaranya ialah di Galah Herang, Sebukit Rama, di sekitar makam Upu Daeng Menambon dan Sangking.

Perang di Mempawah itu berlarutan hingga tahun 1788 M. Pada tahun itu pula Sultan Mahmud dan Bendahara Abdul Majid Pahang mengirim utusan ke Mempawah mengajak pihak Mempawah dan Raja Tempasok untuk menyerang Belanda yang telah menjajah Riau. Situasi Mempawah sangat gawat, maka pihak Mempawah tidak bersedia untuk membantu Sultan Mahmud Riau. Begitu juga Raja Tempasok kerana penentangan masih ditumpukan kepada pihak Belanda yang telah menguasai Pontianak dan akan menjajah Mempawah pula.

Sewaktu utusan Riau datang ke Mempawah, pada waktu itulah terjadi pergaduhan antara orang-orang Cina dengan orang-orang Melayu di sekitar Kuala Mempawah. Diriwayatkan bahawa pergaduhan itu terjadi kerana orang-orang Cina yang terlibat dengan organisasi rahsia mereka di Mandor telah mengambil kesempatan membantai orang Melayu dan Bugis ketika terjadi peperangan antara Melayu-Bugis dengan Belanda.

Muncullah pahlawan-pahlawan Riau dan Patani yang gagah perkasa. Orang Cina yang beratus-ratus hanya dihadapi oleh tiga orang. Mereka ialah Habib Syaikh yang terkenal dengan keramatnya dan Tengku Sembob yang terkenal dengan kegagahan dan kehandalannya bermain senjata. Kedua-dua mereka berasal dari Riau.

Yang seorang lagi ialah Abdur Rahman yang digelar orang dengan nama Wak Tapak. Beliau berasal dari Patani, anak cucu Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani. Ketiga-tiga mereka yang membela Islam dan bumi Melayu itu termasuk antara orang-orang terdekat dengan Penembahan Adiwijaya yang diriwayatkan ini.

Setelah perang berakhir, beberapa orang putera dan kerabat yang terdekat memujuk Penembahan Adiwijaya supaya berpindah semula ke Pulau Pedalaman Mempawah untuk membangunkan Mempawah kembali. Mereka ingin membina kembali masyarakat Melayu-Bugis yang beragama Islam supaya mereka menjadi penyebar-penyebar Islam dalam lingkungan penduduk suku Dayak yang sebahagian besarnya masih animisme.

Ajakan suci itu pada mulanya diterima oleh Penembahan Adiwijaya, tetapi setelah melakukan sembahyang istikharah berulang-ulang kali, baginda membuat kesimpulan bahawa selagi Belanda, iaitu penjajah, yang tidak seagama dengan baginda masih bercokol di Pontianak, apatah lagi Mempawah memang sudah dalam genggaman Belanda, selama itulah penyebaran Islam akan mendapat hambatan daripada pihak penjajah itu.

Penembahan Adiwijaya berasakan umurnya telah lanjut, seakan-akan baginda tahu ajalnya telah hampir tiba. Oleh itu sebelum mangkat baginda berwasiat. Bahawa baginda tidak rela jenazahnya dikebumikan di tempat yang pernah dijamah oleh penjajah Belanda. Ketika Penembahan Adiwijaya mangkat terjadi sedikit pertikaian iaitu ada kerabat yang mempertahankan wasiat baginda supaya dimakamkan di Karangan, bumi tempat baginda mangkat yang belum dijamah oleh Belanda.

Golongan kerabat baginda yang lain pula berpandangan bahawa ‘wasiat tinggal wasiat’, dan berpendapat baginda mesti dimakamkan di Pulau Pedalaman Mempawah. Kononnya jenazah Penembahan Adiwijaya dimasukkan ke dalam sebuah peti yang dimuat dalam sebuah sampan lalu dibawa ke hilir menelusuri Sungai Mempawah. Ia dibawa ke Pulau Pedalaman Mempawah.

Semua pengiring dan petugas hairan kerana dengan tiba-tiba air sungai menjadi kering. Sampan yang membawa peti jenazah terkandas. Ternyata peti bertambah ringan, lalu dibuka. Tiba-tiba didapati jenazah Penembahan Adiwijaya tidak terdapat dalam peti itu lagi. Peti yang kosong tiada berjenazah itu terus juga dibawa ke Pulau Pedalaman Mempawah menurut adat istiadat kebesaran raja pada zaman itu.

Hingga kini belum diketahui di manakah sebenarnya makam Penembahan Adiwijaya kerana terdapat dua makam beliau. Makam yang pertama terletak di Karangan (Mempawah Hulu) dan yang sebuah lagi di Pulau Pedalaman (Mempawah Hilir).

Ada beberapa orang ulama yang berasal dari dunia Melayu memiliki makam lebih daripada satu, antaranya Syeikh Yusuf Tajul Khalwati yang makamnya terletak di Afrika Selatan dan Sulawesi Selatan. Makam Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pula terdapat di Taif dan di Mekah. Terjadinya hal yang demikian semuanya ada sejarah yang tersendiri.



Selesai urusan di Karangan, kami pun berkejar ke Ngabang, pusat kerajaan Landak.


Sampai ketika hampir waktu Maghrib lalu terus ke masjid diraja. Lihat Masjid jamek (Main mosque of) Keraton Landak.


Pemandangan masjid waktu malam. Selepas solat kami diajak melihat ke dalam istana yang terletak di sebelah masjid. Lihat (The building called) Keraton Ismahayana Landak... Untuk pengetahuan gambar-gambar utama artikel ini juga gambar-gambar untuk artikel-artikel sokongan (ada 19 kesemuanya) telah diletakkan pada hari pertama Ramadhan Khamis lalu. Sabtu petang 3 Ramadhan baru cerita dapar ditambah pada setiap artikel sokongan sedangkan artikel ini sendiri setakat ditambah lagi gambar berserta links atau pautan artikel sokongan lalu dipaparkan sejurus sebelum berbuka puasa. Tengah hari ini 4 Ramadhan baru cerita betul-betul siap... :]



4 ulasan:

Zamri berkata...

Sgt berinformasi sekali. Terima kasih

MUNADI MMC berkata...

makam opu daeng kemassek (logat)

Tanpa Nama berkata...

Permisi ncek, boleh minta email atau kontak yang boleh untuk di hubungi?

Tanpa Nama berkata...

rrama.anggara@gmail.com