Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, Disember 16, 2008

Nombor 131 dan makna satu pernikahan...

Gambar diambil dari http://abangman.fotopages.com/

Assalamualaikum semua. Setelah menyiapkan beberapa buah artikel untuk blogspots saya, baru saya boleh menulis satu artikel tentang peristiwa besar terbaru dalam hidup saya... iaitu pernikahan dengan Nur kedua @ Anggun yang baru berlangsung minggu lepas.

Sebelum itu, biar kita bercerita sedikit tentang tarikh pernikahan. Seperti ramai pembaca setia blogspot ini tahu, saya sukakan nombor 131. Ini kerana pada saya ia melambangkan home sweet home atau "rumahku syurgaku" yang sudah amat lama saya dambakan.

Nombor 131 ini muncul dalam hidup saya sejurus selepas perkahwinan dengan bekas isteri penghujung 1999. Ia sebenarnya adalah nombor sebuah rumah semi-D di Hulu Langat yang dibeli, sudah dibayar wang pendahuluan juga duit peguam untuk pinjaman rumah... rumah yang sepatutnya siap tahun 2002 tetapi sebaliknya tahun itu menyaksikan beberapa ahli keluarga terdekat meninggal dunia, rumahtangga saya pula porak-poranda apabila ketidak-sefahaman kami menjadi semakin ketara setelah saya hilang pekerjaan tetap sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times penghujung tahun 2001.

Keadaan saya amat kelam-kabut ketika itu. Di celah-celah panggilan kebatinan untuk memahami susur-galur keturunan dan peranan, di sebalik celaan bekas isteri yang tidak memahami, kami mendapat anak ketika duit simpanan saya hampir tiada. Keesokannya pula adik lelaki bongsu saya meninggal dunia akibat kemalangan jalan-raya, selepas beberapa bulan Nenek, ibu kepada bapa saya juga meninggal dunia, satu-satunya insan yang sebenarnya faham keadaan saya yang seperti gila isim ketika itu.

Kematian adik membuat saya terasa begitu lemah walaupun kami tidaklah begitu rapat. Ia berlaku ketika saya amat mendambakan kami sekeluarga dapat hidup bersama dalam satu rumah sendiri, dapat sehari pun jadilah...

Selama ini kami cuma duduk di rumah Mak, ibu kepada ibu saya yang banyak membesarkan kami adik-beradik sedangkan ayah yang berkerja di Kuala Lumpur duduk di Kajang, hujung minggu baru pulang ke Muar. Fikirkan... walaupun keluarga saya memiliki 5 (atau lebih? lupa pula) buah rumah, selama itu kami belum pernah betul-betul tinggal satu keluarga dalam rumah milik sendiri. Jadi selama 2-3 tahun sebelum itu terutama setelah mendirikan rumahtangga dengan bekas isteri, saya sebenarnya berusaha agar kami sekeluarga dapat duduk dalam rumah sendiri bersama. Kehilangan adik menghilangkan langsung harapan ini.

Apabila harapan itu sudah hancur-berkecai, maka yang tinggal adalah harapan untuk membina home sweet home bersama isteri sendiri. Sebaliknya perhubungan kami semakin renggang akibat keadaan sedangkan sebulan selepas adik saya meninggal dunia, seminggu selepas Hari Raya Aidil Fitri, Mak pula kembali ke Rahmatullah.

Ah! Cukuplah luahan yang ini. Segalanya telah pun saya ceritakan di dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh" melalui pengalaman watak yang diberi nama Muhammad Al-Aminul Rasyid.

Apa yang tidak diceritakan, pada tahun yang sama iaitu 2002, rumah yang dibeli sepatutnya siap sebaliknya projek perumahan itu langsung terbengkalai. Dalam keadaan segala-galanya haru-biru, saya langsung melupakan duit lebih RM7,000 yang telah dibayar untuk rumah itu!

Yang tinggal cuma nombor rumah dalam ingatan iaitu 131 sebagai lambang saya ingin merasai kebahagian berumahtangga sebenar. Sejak itu, ayah dan ibu saya sudah duduk di rumah sendiri, sebuah bungalow baru yang dibeli secara tunai 3 tahun lalu sedangkan saya terus terkapai-kapai mencari arah.

Saya cuma mendapat sedikit kerehatan setelah berjaya menyajikan ketiga-tiga buku dalam siri trilogi "Berpetualang ke Aceh" iaitu buku satu dengan sub-title "Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006), buku dua "Membela Syiar yang Asal" (Mei 2007) dan buku tiga "Sirih Pulang ke Gagang?" (Nov 2007).

Oh! Adapun awal tahun lalu saya telah berniat akan menamatkan zaman duda sebelum masuk tahun Hijriah terbaru ini. Ini kerana pada tahun 1430 Hijrah ini umur saya akan masuk 40 tahun (menurut kiraan Islam). Bukankah ada pepatah menyebut "life begins at 40" ("kehidupan bermula pada umur 40 tahun")? Bukankah umur pemuda di syurga dikatakan ibarat orang berumur 40 tahun di bumi (cukup matang tetapi tidak terlalu tua)? Bukankah Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi rasul pada umur 40? Bukankah juga disebut bahawa jika seseorang itu tidak mengubah perangainya menjadi baik sebelum umur 40 maka ia akan semakin teruk dan tidak akan baik-baik selepas itu?

Keadaan yang berlaku kebelakangan ini menyebabkan saya lebih rapat kepada seseorang. Dan keadaan itu juga membenarkan kami cuma dapat bernikah sejak baru-baru ini. Oleh kerana nombor 131 melambangkan harapan tinggi saya untuk mendirikan kembali rumahtangga, dan ia harus berlangsung sebelum masuk tahun Hijriah baru ini maka saya cuba mendapatkan tarikh 13 Disember atau 13.12.2008 (perhatikan, ada nombor 131 di situ) untuk pernikahan itu. Sebaliknya pak imam pula ada hal lain lalu meminta saya samada memilih tarikh lebih awal atau terkemudian.

Ini memaksa saya bertafakur sebentar. Lalu baru saya mendapat ilham untuk memilih tarikh 11 Disember kerana kebetulan ia juga bersamaan 13 Zulhijjah atau 13.12.1429 Hijriah (kerana Zulhijjah adalah bulan ke 12), ada juga 131. Kemudian baru saya dapat tahu, rupa-rupanya tarikh itu juga adalah hari keputeraan Sultan Selangor. Malah apabila saya menalifon ibu memberitahu tentang rancangan pernikahan ini, ternyata ia juga adalah tarikh hari lahir ayahanda saya sendiri!

Maka itu jangan hairanlah jika maskahwin perkahwinan saya juga berjumlah RM131. Asalnya seperti dijanjikan kepada bapa mertua, saya cuma akan memberikan maskahwin dengan sebentuk cincin sahaja, maklumlah, saya bukan ada duit sangat... tetapi apabila kembali ke kampung pada Hari Raya Aidil Adha, ayah menyarankan agar saya menambah 3 jenis barang hantaran tanpa perlu dibalas.

Akhirnya saya menghantar 5 dulang barangan - 1 dulang berisi maskahwin diikuti 3 dulang tambahan mengandungi sepasang kasut, sebuah beg tangan dan sehelai kain pasang dengan diapit 1 dulang berisi cincin. Nah, ada 131 lagi di sini. Lebih menarik lagi, walaupun segala gubahan dibuat tangkap muat oleh beberapa orang termasuk ayah (kecuali maskahwin yang dibuat bentuk jambangan bunga oleh seorang kawan isteri), hasilnya adalah barangan yang cukup serasi kombinasi dan gubahannya.

Lagi satu... pada awalnya saya takut ibu bapa saya sendiri tidak dapat datang untuk majlis pernikahan ini. Ini kerana selain agak terperanjat dengan keputusan untuk melangsungkan pernikahan yang cuma dimaklumkan kepada mereka 2 minggu lepas iaitu pada 26 November yang kebetulan harijadi saya ke 38 menurut kalendar Masihi, mereka harus menjaga adik bongsu saya yang baru sahaja melahirkan anaknya yang ketiga. Keluarga isteri saya juga terperanjat dengan keputusan kami. Mereka masih lagi terpinga-pinga memikirkannya. Jadi saya sudah bersedia untuk datang bernikah seorang diri, mungkin di hadapan beberapa orang sahaja ahli keluarga isteri.

Tetapi alhamdulillah, majlis dapat berlangsung dengan saya ditemani sekitar 30 ahli keluarga termasuk ibu bapa sedangkan di pihak perempuan sendiri tidak kurang 60 orang saudara terdekat yang hadir. Alhamdulillah juga, walaupun saya tidak berduit, sebuah majlis kecil tetapi gemilang dapat diadakan oleh pihak laki-laki di kawasan mewah Bukit Damansara. Siapa sangka, seorang bapa saudara menawarkan untuk membuat majlis itu tanpa dipinta. Hasilnya lebih 100 orang saudara mara saya dapat datang sedangkan saudara mara isteri sekitar 30 orang yang bertandang, belum dicampur kawan-kawan saya dan kawan keluarga walaupun ia asalnya cuma sebuah majlis kecil untuk keluarga!

Sekarang kami sudah selamat melayari kehidupan sebagai suami-isteri. Maka di sini biar saya luahkan satu lagi perkara sebelum menutup cerita.

Adapun baru ini saya ternampak di Internet ada pihak mempersoalkan perkahwinan saya dengan Anggun yang juga saya panggil Nur kedua. Ini kerana pihak itu merasakan saya membuat pilihan dalam keadaan terburu-buru lalu mengenepikan kekasih sebelum itu iaitu Nur pertama sehingga dia terus menghilangkan diri. Katanya, akibat pergaduhan saya terus membuat keputusan untuk mengahwini Nur kedua, kononnya saya banyak termakan budi lalu mengabaikan cinta dengan Nur pertama.

Sebenarnya ini tidak benar. Nur kedua saya kenali awal tahun 2007, selepas setengah tahun menyajikan buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti". Dia muncul dalam keadaan saya sedang renggang dengan Nur pertama lalu dialah yang paling banyak menolong saya selepas itu sehingga siapnya buku kedua "Membela Syiar yang Asal" pertengahan tahun dan buku ketiga "Sirih Pulang ke Gagang?" penghujung tahun itu.

Baik Nur pertama yang saya kenali sejak tahun 1995 mahupun Nur kedua yang muncul 12 tahun kemudian, kedua-duanya banyak menolong saya. Malah apabila saya mengenalkan dan mempertemukan mereka berdua, mereka juga sering berbual berkongsi masalah dan menolong sesama mereka tanpa perlukan kehadiran saya. Tetapi takdir telah menentukan, di kala Nur pertama terus terjerat dengan keadaan yang melarang kami untuk betul-betul bersama Nur kedua pula berjaya membebaskan diri daripada masalah yang membelenggunya. Maka itu suratan takdir menentukan Nur kedua yang dapat bersama saya sedangkan Nur pertama merestuinya...

Seperti disebut awal tadi harapan saya adalah mendirikan kembali rumah tangga sebelum masuk umur 40 tahun menurut kiraan Islam. Maka tidak seperti telahan sesetengah orang yang Nur kedua kononnya cuma mahu menumpang apa yang ada pada saya, dia adalah pendorong besar dalam kehidupan saya sehingga saya kembali waras dan mampu berumahtangga.

Tuhan telah menentukan dia menjadi isteri saya. Dan sememangnya saya mencintainya kerana sudi berkongsi susah dan senang saya selama ini. Di kala ramai orang masih mempersoalkan segala perjuangan saya sebagai sesuatu yang sia-sia, dia berusaha untuk membawa mereka memahaminya. Nur kedua juga menjadi sebab saya kembali rapat dengan keluarga. Itu sahaja luahan. Sekian selamat malam! :]

p/s: Sila lihat juga artikel-artikel A family outing to Morib... dan 11th December 2008, the day I got hitched (again!) di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Ada sedikit gambar keluarga...

Jalan-jalan di Muar sekitar Aidil Adha sehingga mencari bukit tertentu dalam mimpi...

Sebelum memulakan cerita ini, biar saya lepaskan gambar ini, gambar bahagian menara Masjid Sultan Ibrahim atau masjid jamek pertama Muar yang diambil pada satu malam selepas menyambut Hari Raya Korban atau Aidhil Adha di Kampung pada Sabtu lalu. Di masjid ini termasuk bahagian menara inilah dahulu saya dan rakan-rakan suka memanjat-manjat hingga ke atas seraya berangan-angan jadi komando dan perisik antarabangsa ala James Bond dan The Professional gitu. Sila baca artikel-artikel lama yang merupakan sedutan daripada buku kedua saya, "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal"...


MSD (Military, Spy, Detective)... Satu episod nakal seorang budak hyper-active

MSD (Military, Spy, Detective)... Tempat jatuh lagikan dikenang...

MSD (Military, Spy, Detective)... Akhirnya jadi kongsi gelap pula?



Kemudian saya ingin berkongsi gambar ini, kedai emas taik, hehe! :]


OK, kita mulakan cerita sebenar...

Pada petang Selasa minggu lepas, timbul lagi rasa untuk menziarahi makam Sultan Alauddin Riayat Shah di Pagoh. Oleh kerana gambar-gambar sekitar makam itu telah ditunjukkan beberapa kali di blogspots saya maka saya tidak mengambil apa-apa gambar baru. Sebaliknya saya mengambil gambar ini, gambar di hadapan makam Panglima Mat Berani kerana inilah kali pertama saya sampai ke makam ini ketika matahari masih terang lagi. Lain-lain lawatan semuanya dibuat waktu senja atau malam hari. Sila lihat artikel Makam (tomb of) Panglima Mat Berani, Pagoh... yang baru dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tadi.

Adapun makam di tepian Sungai Muar ini terletak sekitar 2-3 km dari makam Sultan Alauddin, di sebelah jalan kampung menghala ke pekan Panchor. Saya mengambil laluan ini untuk melihat sekali lagi kedudukan bukit-bukit di sekitar untuk dipadankan balik dengan sebuah mimpi lama. Sila baca artikel-artikel ini...



Jalan-jalan lepas raya... Dari Muar ke Pagoh ke Melaka, entah le nak cari apa!



Selepas itu saya naik lagi ke Bukit Setaki yang terletak berdekatan. Kemudian saya mengambil jalan melalui estet ke pekan Panchor lalu mengambil sebuah jalan kampung lain dengan harapan dapat memotong masuk ke Jorak yang terletak lebih dekat ke bandar Muar.

Sebaliknya setelah melalui jalan berliku-liku kecil masuk ke bawah Lebuhraya Utara-Selatan sehingga sampai ke perhentian rehat Pagoh saya dapati tiada lagi jalan kampung yang sesuai kecuali jalan tanah merah pecah-pecah yang pernah saya lalui pada suatu malam sehingga menyeberang kawasan berbukit-bukit menghala ke Bukit Pasir. Lalu saya berpatah-balik ke Panchor sebelum menghala ke utara mengambil jalan ke Grisek. Sampai ke jambatan menyeberangi Sungai Muar, saya pun memandang ke kiri lalu turun dari motosikal untuk mengambil gambar ini...


Ini pula gambar ke kanan...

Kelihatan motosikal saya di hadapan samar-samar pada waktu senja...



Walaupun dah masuk waktu senja ketika itu, saya masih lagi dapat mengambil gambar Gunung Ledang terbentang luas di Sawah Ring, beberapa kilometer dari jambatan tadi sebelum kembali ke rumah keluarga malam hari.



Esoknya hari Rabu, saya perlu kembali ke Kuala Lumpur untuk bersiap-sedia untuk satu acara penting dalam hidup saya keesokannya Khamis 11 Disember 2008 bersamaan 13 Zulhijjah 1429. Namun walaupun saya cuma meninggalkan rumah hampir jam 4 dan perlu bertemu dengan pasangan hidup petang nanti di Kuala Lumpur, saya mengambil jalan jauh berpatah ke timur-laut untuk ke Pagoh.

Kalau nak cepat, dari rumah keluarga di Temiang saya boleh mengambil jambatan kedua bandar Muar samada untuk terus ke Melaka atau melalui Tangkak sebelum masuk ke Lebuhraya Utara-Selatan untuk ke Kuala Lumpur. Sebaliknya saya masuk melalui exit Pagoh yang terletak lebih 30 km di selatan exit Tangkak. Campur perjalanan dari rumah ke exit Pagoh, jadi tambahan perjalanan 50km... semata-mata untuk melihat kedudukan bukit-bukit di sekitar dari jambatan menyeberangi Sungai Muar yang ini pula!

Tetapi saya puas hati kerana ternyata apa yang terbentang lebih menyamai apa yang pernah kelihatan dalam mimpi. Selepas itu saya berserah kepada Allah bagaimanakah makna semua ini dan relevannya pada hidup saya akan disampaikan kepada saya nanti...


Ini adalah pemandangan ke kanan sikit bukit-bukit tadi. Nampaknya tiada lagi bukit di hadapan ini...



Ini pula pemandangan arah bertentangan dari jambatan yang sama... kiranya menghala ke Timur gitu...



Hampir sampai ke Tangkak, baru tersedar yang motosikal saya tidak cukup minyak... tak cukup untuk sampai ke stesyen minyak yang terletak di perhentian seterusnya iaitu di Ayer Keroh lebih 20km lagi ke utara. Maka terpaksalah keluar ke Tangkak... bila dah isi minyak, tergerak pula mengambil jalan belakang ke Melaka hampir ke Asahan sebelum melalui Jasin. Dapatlah mengambil gambar Gunung Ledang dari sudut ini pula sebelum masuk ke lebuhraya kembali melalui Ayer Keroh.

Alhamdulillah, saya masih sempat sampai ke Kuala Lumpur sebelum waktu Maghrib. Itulah saya, dah kesuntukan masa untuk bersiap-sedia untuk satu majlis penting dalam hidup pun masih lagi sempat menyahut 'panggilan' untuk berjalan-jalan melihat sesuatu perkara. Dan tengah malam itu, saya dapat membawa orang tersayang dalam kereta untuk kembali ke kampungnya di Tanjung Sepat lebih 100km dari Kuala Lumpur sebelum kembali ke bandaraya untuk berehat, kemudian paginya pergi lagi ke Tanjung Sepat dengan rombongan keluarga... penat tapi alhamdulillah... :]



Mencari batu nesan Aceh di Bukit Beruang, Melaka

OK. Satu cerita baru...

Sekitar penghujung tahun 2006 begitu, seorang saudara sebelah ibu di Muar yang pernah bekerja di negeri Melaka memberitahu bahawa di Bukit Beruang yang terletak di pinggiran bandaraya Melaka, terdapat sebuah kawasan pemakaman yang mengandungi beberapa batu nesan Aceh. Dia berkata begini setelah melihat buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" yang mengandungi gambar batu nesan Aceh milik Sultan Malikus Salih yang mendirikan kerajaan Samudera dan Pasai lebih 700 tahun lalu.

Sejak itu saya ada rasa teringin untuk ke Bukit Beruang mencari kawasan pemakaman yang dimaksudkan. Sebelum itu, saya setakat tahu batu nesan Aceh di Melaka cuma terdapat di makam Hang Jebat dan makam Tun Teja. Sebuah buku yang saya temui tahun 2005, kalau tak salah ingatan tajuknya ialah "Aceh gravestones" tulisan Profesor Othman Yatim terbitan tahun 1980an atau 1990an gitu pula setakat menyatakan kewujudan batu nesan Aceh di makam Tun Teja...

Tetapi minat ini jadi luput apabila saya pergi ke beberapa lokasi lain di sekitar tanah-air yang disebut orang mengandungi batu nesan Aceh tetapi apabila saya sampai ke lokasi-lokasi itu, ternyata batu-batu nesan itu berbentuk lain. Apapun saya tidak boleh menyalahkan mereka kerana orang-orang ini cuma penduduk tempatan yang mungkin sedikit teruja tapi keliru apabila melihat gambar batu nesan Aceh yang disuakan kepada mereka.

Berbalik ke cerita Bukit Beruang. Saudara saya itu sendiri belum pernah sampai ke kawasan pemakaman yang disebutnya... dia setakat pernah mendengar cerita kawan-kawan. Maka itu saya tidak mencarinya walaupun gerak hati saya sering menyebut ada sesuatu yang menarik di Bukit Beruang, bukit besar yang boleh kelihatan tersergam gagah sebaik sahaja seseorang itu masuk ke Melaka melalui tol lebuhraya di Air Keroh.

Sekitar 2 tahun kemudian iaitu awal bulan lepas, baru saya dapat tahu memang betul-betul wujud batu-batu nesan Aceh di Bukit Beruang. Ini berlaku dalam lawatan saya ke Masjid Kampung Hulu, dalam rangka-kerja membuat buku tentang masjid-masjid di Malaysia. Sila lihat artikel Cerita projek buku masjid - Masjid Kampung Hulu dan masjid-masjid di Melaka ...
Sabtu lepas, dalam perjalanan kembali ke kampung ibu di Muar untuk menyambut Hari Raya Aidil Adha, saya pun ke Bukit Beruang untuk mencari kawasan pemakaman itu. Setelah beberapa ketika mencari-cari bertanyakan orang sehingga beberapa kali tersilap jalan lalu harus pula meredah hujan, terjumpalah saya dengan papan-tanda di atas yang menyebut "Tapak sejarah batu nisan Acheh".
Oh! Biar diberitahu, saya lebih suka menggunakan ejaan "nesan" untuk "nisan" dan "Aceh" untuk "Acheh", tak kiralah apakah ejaan terbaru yang dikeluarkan Dewan Bahasa dan Pustaka yang saya lihat boleh berubah-ubah mengikut zaman. Anggaplah ini house style saya... sepertimana ketika bekerja sebagai wartawan di akhbar di The New Straits Times, saya diajar supaya menggunakan ejaan "Datuk" untuk setiap pangkat Datuk tak kiralah anugerah dari negeri mana sedangkan ada akhbar lain menggunakan ejaan "Dato'" malah ada menyebut pangkat Datuk dengan Dato' ini ada bezanya, wallahualam...


Ke hadapan sedikit, terdapat pula papan-tanda menyebut arah ke "Makam Datuk Aroom". Teringat semasa di Masjid Kampung Hulu, saya diberi sebuah buku kecil sejarah Datuk Aroom oleh penjaga masjid. Menurut ceritanya, Masjid Kampung Hulu dibuka oleh Datuk Aroom pada tahun 1670 sedangkan sejarah rasmi menyebut masjid itu dibuka oleh anaknya Datuk Shamsuddin tahun 1728.


Akhirnya saya pun sampai di hadapan kawasan pemakaman. Ketika itu hujan masih renyai-renyai...


Kelihatan dua buah papan tanda... di kiri menyebut "Makam Datuk Kapitan Melayu Melaka Datuk Aroom dan kerabat" sedangkan di kanan cuma menyebut "Tapak batu nisan Acheh"...


Batu maklumat yang didirikan pihak muzium menyebut batu-batu nesan Aceh yang terdapat di sini tidak diketahui milik siapa sedangkan sepasang batu nisan Aceh di luar kawasan ini dikatakan milik Datuk Shamsuddin bin Arom (Aroom). Apa makna semua ini?

Buku kecil sejarah Datuk Aroom yang saya dapat menyebut semua makam di sini adalah milik kaum kerabat Datuk Aroom. Saya pula sedikit musykil. Setahu saya batu-batu nesan Aceh cuma boleh dipakai oleh golongan bangsawan dan raja-raja Melayu. Termasuk dalam golongan juga adalah alim-ulamak besar yang apabila disusur-galur keturunannya memang memiliki darah bangsawan ataupun keturunan raja-raja.
Buku kecil itu menyebut Datuk Aroom sebenarnya adalah orang Cina dari Tiongkok yang memeluk Islam kemudian menetap di Melaka. Jadi bagaimana mahu dikaitkan dengan bangsawan atau raja-raja Melayu? Sekali lagi, sila baca cerita di artikel Cerita projek buku masjid - Masjid Kampung Hulu dan masjid-masjid di Melaka . Hmm... elok juga saya copy and paste bahagian yang berkenaan di sini...
Saya pun mengundurkan diri untuk membaca buku tentang Pulau Besar dan Sheikh Ismail diikuti buku sejarah Datuk Aroom yang juga mengandungi sejarah Masjid Kampung Hulu. Baru saya tahu Datuk Aroom adalah Kapitan atau ketua orang Melayu Melaka pertama zaman pemerintahan Belanda (1641-1824). Ini kerana menurut buku tulisan warisnya itu, Datuk Aroom dan orang-orangnya telah membantu Belanda mengalahkan Portugis tahun 1641 lalu dilantik menjadi kapitan dan dianugerahkan sejumlah tanah sekitar Melaka.
Yang menarik, Datuk Aroom asalnya seorang pedagang muda bernama Tan Seek Tiong dari Tiongkok di negeri Cina. Tetapi kapalnya karam dipukul taufan di Selat Melaka sebelum jasadnya yang telah nyawa-nyawa ikan ditemui penduduk kampung di Pantai Kelebang.
Semasa diusung ke rumah ketua kampung, kebetulan laungan azan mula berkumandang. Pemuda Cina itu tersedar lalu bertanya tentang azan. Setelah diterangkan makna seruan di sebalik panggilan azan, beliau pun meminta diIslamkan. Hmm... macam kena pula dengan tajuk buku ini, ... (dirahsiakan) . Sejak itu Tan Seek Tiong memakai nama Islam Harun, kemudian dipanggil Harom, Arom dan Aroom.

Inilah makam Datuk Aroom @ Tan Seek Tiong. Tetapi ia bukan batu nesan Aceh.
Menurut sepasang suami isteri yang duduk di sebelah kawasan pemakaman ini, batu nesan asal di makam telah rosak dan patah lalu digantikan dengan yang ini . Batu nesan asal agak besar dan cantik.

Kata mereka, batu nesan Datuk Aroom serupa dengan batu nesan ini yang terdapat sekitar 200 meter di luar kawasan pemakaman tadi. Batu nesan di atas ini dikatakan milik anakandanya Datuk Shamsuddin.
Sebenarnya, selain mahu melihat batu-batu nesan Aceh di Bukit Beruang, saya juga ingin meneliti betulkah makam-makam ini milik kaum kerabat Datuk Aroom seperti dinyatakan dalam buku kecil sejarah Datuk Aroom yang ditulis mereka? Kecuali makam Datuk Shamsuddin di luar kawasan utama, pihak muzium sendiri menyebut makam-makam yang ada tidak diketahui milik siapa.
Persoalan yang bermain di fikiran saya ketika itu... apakah keluarga anak cucu Datuk Aroom terlebih-lebih membesarkan datuk nenek mereka? Seperti disebut awal tadi, setahu saya batu-batu nesan Aceh cuma boleh dipakai oleh golongan bangsawan dan raja-raja Melayu. Kajian peribadi saya pula menunjukkan bahawa pemilik-pemilik batu nesan ini boleh disusur-galur keturunannya sampai ke keturunan Nabi Muhammad SAW. Sebab itu ada batu nesan ekslusif ditempa dari Aceh, bumi Serambi Mekah tempat masuk ramai anak cucu Nabi yang berhijrah ke Nusantara sebagai tanda. Maka mana mungkin Datuk Aroom yang sebenarnya seorang Cina masuk Islam dan kaum kerabatnya memakai batu nesan jenis ini.
Kemudian saya teringat cerita Laksamana Cheng Ho yang pernah memimpin armada besar Cina datang melawat Melaka dan beberapa kerajaan Melayu lain. Kajian-kajian terkini telah pun mengiktiraf Cheng Ho sebagai seorang Islam sejak lahir lagi, bukannya pendatang bangsa Cina yang datang memeluk Islam kemudian. Malah ada kajian menyebut nama sebenar beliau ialah Sayid Muhammad Adjal, seorang keturunan Nabi dari cabang keluarga yang berpindah ke Bukhara kemudian dibawa masuk ke istana Maharaja Cina!
Jadi apakah mungkin Datuk Aroom juga sebenarnya memiliki darah keturunan Nabi? Yang pasti, beliau bukan orang sembarangan. Kalau tidak, kenapa boleh diangkat untuk mengetuai orang-orang Melayu di Melaka! Dengan persoalan ini, saya tamatkan cerita. Sekian! :]