Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, Disember 26, 2017

Buku baru "Membela Syiar" sudah berada di pasaran

Salam semua. Baru sejam lebih tadi saya menerima satu berita baik yang mengejutkan. Terus terasa harus berkongsi cerita apa lagi tahun 2017 tinggal 5 hari sahaja lagi sebelum tamat...



Adapun isteri saya baru sejam dua menyedari bahawa seorang kawan baiknya telah menghantar gambar atas melalui Whatsapp. Gambar dihantar sebelum jam 10 malam. Saya pula dimaklumkan oleh isteri sekitar jam 2 pagi tadi. Ia menunjukkan buku saya yang ke-3 bersama Hijjaz Records Publishing (HRP) terpampang cantik di sebuah kedai buku Popular. 

Buku yang diberi tajuk "Membela Syiar Kesultanan Aceh : Mencari Hakikat di Sebalik Syariat" itu adalah kesinambungan bagi dua buku saya sebelum ini bersama HRP di bawah "Siri Pengembaraan Merah Silu". Rujuk artikel-artikel lama berikut :-







Buku ini adalah yang ke-10 secara keseluiruhan hasil penulisan saya. Sebetulnya saya memang terkejut kerana tidak dimaklumkan oleh HRP bahawa ia sudah diterbitkan dan berada di pasaran. Sebelum ini sekitar 2-3 minggu lalu ada seorang kawan menghantar gambar melalui Whatsapp menunjukkan kulit hadapan buku. Kelihatan pada saya ia seperti poster promosi buku sahaja. Oleh itu saya tidak fikir ia telah diterbitkan lagi.




Kenapa saya boleh berfikir sebegitu? Ini kerana merasakan mungkin HRP tidak lagi berminat untuk menerbitkan buku-buku saya. Saya tidak pernah merasakan buku saya laku keras seperti sering didakwa oleh sesetengah pihak tentang buku-buku mereka, Walaupun saya kelihatan seperti selalu membesarkan diri apabila menegur orang tentang hal-hal tertentu melalui Facebook dan sebagainya, hakikatnya saya tidak pernah merasakan diri ini siapa siapa.

Kali terakhir saya berhubung dengan HRP adalah sebelum pertengahan tahun ini. Ketika itu saya meminta mereka untuk menerbitkan buku tentang masa seperti kelihatan pada artikel Nabi Adam AS dan orang Melayu 60,000 tahun lalu - Bagaimanakah hubungan sebenarnya? yang ditulis setengah bulan lalu. Setelah beberapa lama menunggu saya dapati mereka seperti tidak berminat. Mungkin kerana saya belum menunaikan janji mahu memberikan manuskrip satu buku baru tentang Kesultanan Perak seperti pernah disebut kepada mereka ketika kami pertama kali bersua muka untuk membincangkan kerjasaman awal tahun 2015 iaitu hampir 3 tahun lalu.





Sesungguhnya saya bukan tidak mahu menunaikan janji. Cuma penulisan asyik tersekat akibat ketiadaan ilham dan gangguan gerak penulisan. Pun begitu buku tentang Perak tetap saya cuba tulis walau dapat sedikit demi sedikit, Entah kenapa pula buku lain tentang masa dan sambungannya (lihat artikel Benua Tua Melayu - Betulkah ia sumber peradaban dunia?) lebih lancar dapat dihasilkan sampai ke peringkat ia sudah boleh diterbitkan. Tapi takkan nak paksa mereka menerbitkannya sedangkan tajuk asal yang dipinta masih tak tiba-tiba?




Pada ketika buku tentang Perak masih tak siap-siap juga HRP sudah cukup baik mahu menerbitkan kembali siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh' (terbit tahun 2006-2007) menjadi satu siri baru di mana setiap buku dalam siri asal mahu dipecah dua ditambah maklumat, gambar, peta dan sebagainya untuk menjadi 6 buku dalam satu set baru yang dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Itu yang terbit buku pertama bertajuk "Mencari Diri dan Erti : Menjejak Salasilah Kesultanan yang Hilang" hampir penghujung tahun 2015 diikuti buku kedua bertajuk "Menelusuri Jejak Leluhur : Menyingkap Makna Wasiat Nabi"  hampir pertengahan 2016.




Pada penghujung tahun 2016 saya telah menerima draf akhir dalam bentuk PDF penuh gambar buku ketiga untuk semakan terakhir saya. Ketika itu ia masih memakai tajuk "Membela Syiar yang Asal : Mencari Hakikat di Sebalik Syariat". Ini mengambil nama sempena tajuk buku kedua dalam siri asal "Berpetualang ke Aceh". Buku baru ini isinya diambil daripada separuh pertama buku tersebut. 




Kalau tak salah ingatan semakan siap dibuat sebelum penghujung Januari 2017. Dengan itu saya beranggapan HRP mahu dan sedia untuk menerbitkannya untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tahun ini yang berlangsung 28 April hingga 7 Mei. Tetapi apabila sampai masanya ia tidak berlaku. Dan setelah beberapa lama kelihatan seperti buku ini tidak akan diterbitkan mereka.




Saya pula sudah malu untuk bertanya mendapatkan penjelasan. Kalau dah siap buku tentang Perak yang sudah dijanjikan sejak sekian lama itu lainlah cerita. Ini apa yang asalnya diharapkan daripada saya masih tak terlaksana. Saya pun terus cuba mengusahakan buku Perak itu walaupun begitu lembab perkembangan penulisannya. Apabila terasa tak dapat pergi baru diberikan tumpuan sepenuhnya kepada buku-buku melibatkan masa seperti ditunjukkan pada artikel Nabi Adam AS dan orang Melayu 60,000 tahun lalu - Bagaimanakah hubungan sebenarnya? dan Benua Tua Melayu - Betulkah ia sumber peradaban dunia?




Jadi bayangkan bagaimanakah perasaan apabila mendapati buku ketiga saya bersama HRP rupa-rupanya sudah berada di pasaran. Menariknya ia berlaku sebaik sahaja selesai berkongsi artikel 'bayangan isi' tentang pengembaraan terbaru saya iaitu bersama keluarga ke Thailand 12-23 Disember. Lihat Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Bayangan untuk cerita akan datang. Entahlah sejak bila. buku terbaru saya itu berada di pasaran. Mungkin dah ada sejak 2-3 minggu lalu kerana ia ada dimasukkan ke dalam senarai pilihan rangkaian kedai buku Popular untuk bulan Disember. Takkanlah baru masuk semalam ya tak? Sedangkan tinggal 5 hari sahaja kini sebelum bulan tersebut tamat lalu kita memasuki tahun baru 2018...




Terbitnya buku ini menunjukkan HRP tidak 'membuang' saya lagi. Ya, walaupun saya sering kelihatan seperti angkuh dan suka membesarkan diri,, sekali lagi biar diberitahu... saya sebenarnya sentiasa merasakan diri tidak punya apa-apa. Saya tak merasakan tulisan saya hebat sehingga boleh laku keras. Dan saya masih merasa malu untuk menghubungi HRP kerana belum menyiapkan manuskrip buku tentang Kesultanan Perak itu.




Apa pun selain 3 keping gambar menunjukkan buku ke-3 saya bersama HRP merangkap buku ke-10 secara keseluruhan itu sudah berada di pasaran biar ditunjukkan sedikit  muka-muka surat terpilih untuk memberikan gambaran isi. Ia diambil daripada PDF yang diterima penghujung tahun 2016 iaitu lebih setahun lalu untuk semakan akhir. Semoga dapat memberikan manfaat buat semua.



Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Bayangan untuk cerita akan datang

Patung Buddha di mana terdapat tulisan atau inskripsi yang dikenali sebagai Prasasti Grahi pada bahagian pangkal bawah lapik patung...


Merujuk pada artikel Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Satu perjalanan jauh penuh harapan hujung tahun 2017 yang dipersembahkan Isnin malam Selasa 2 minggu lalu. Sukacita dimaklumkan bahawa perjalanan yang dimulakan keesokannya Selasa malam Rabu 12 Disember 2016 selamat dilakukan lalu saya dan keluarga sampai kembali ke rumah hampir jam 1 pagi Ahad baru ini 24 Disember. Perjalanan memakan masa tempoh keseluruhan 12 hari. Ini termasuk 9 malam 10 hari di negara Thailand di mana kami menjelajah jauh sehingga ke kota lama Ayuddhya di utara Bangkok. hampir 1,300 km dari tempat kami meninggalkan Malaysia dekat Betong.

Berlaku beberapa perubahan dalam rancangan perjalanan apabila dihadapkan dengan realiti sebenar di lapangan sering terlajak masa melebihi jadual asal, antaranya akibat tersilap jalan dan membuat persinggahan yang tidak dirancang. Apabila kembali ke rumah meter kereta menunjukkan kami sudah memandu sejauh 4,167 km. Tolak jarak pergi balik dari rumah ke sempadan kami sudah berjalan sejauh 3,300 km dalam Thailand. Daripada jarak keseluruhan 4,167 km itu isteri memandu sekitar 500 km, bakinya lebih 3,600 km dipandu oleh saya.  

Kalau tidak kerana kepenatan amat di beberapa tempat harus saya memandu sendiri kesemuanya. Alhamdulillah kereta MPV kami iaitu Kia Carens 1st generation model tahun 2001 yang telah berumur 16 tahun dapat bertahan, Ia tidak sekali pun meragam. Cuma balancing tayar terasa ada sedikit goyang dan lari apabila bergerak laju melebihi 120 km/h.

Sukacita dimaklumkan kami berjaya mencapai beberapa matlamat dalam mencari jejak sejarah nyata, antaranya adalah melihat dengan mata kepala sendiri apa yang dipanggil sebagai Prasasti Grahi. Ia adalah bukti bahawa wilayah Chaiya hampir ke Segenting Kra adalah termasuk di dalam wilayah kekuasaan kerajaan Srivijaya di bawah Dinasti Mauli abad ke-12 Masihi, Ketika itu ia juga dikenali sebagai kerajaan Dharmasraya yang berpusat di Pagar Ruyung, Sumatera. Selama ini kami sering mendengar beberapa pihak menyebut tentang prasasti. Tetapi ternyata tidak ada seorang pun daripada mereka pernah sampai ke Chaiya apa lagi melihatnya atau tempat asal ia ditemui iaitu di sebuah kuil bernama Wat Hiang. 

Kami dapat melihat pelbagai kesan yang menunjukkan kedudukan Chaiya agak penting kalau tidak pun sangat penting dalam asal muasal juga bibit-bibit akhir empayar Srivijaya yang menjadi satu simbol kebanggaan ketamadunan Melayu lama. Kami juga dapat melihat bagaimana wilayah-wilayah Melayu yang termasuk di dalam pemerintahan Thailand mengalami kesan selepas ditakluki bangsa Thai yang beragama Buddha sekitar 2-3 abad lalu. Di Yala, Narathiwat dan Patani semua orang yang kami temui boleh bercakap bahasa Melayu loghat Kelantan. Namun disebabkan semangat keMelayuan yang masih kuat itu mereka nampaknya sering diperhatikan pihak berkuasa Thai. Ini kelihatan nyata dengan terdapatnya begitu banyak road block atau sekatan jalan raya perlu kami lepasi. Seringkali kami ditahan oleh askar yang lengkap bersenjata mesingan sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan...

Road block hampir tiada atau sekali sekali ada di wilayah Melayu seterusnya seperti Songkhla yang turut meliputi kota Hatyai juga kota lain yang memakai nama Songkhla itu sendiri. Untuk makluman Songkhla adalah panggilan bangsa Thai untuk wilayah Melayu Singgora. Namun susah untuk ditemui lagi orang Melayu yang boleh bercakap bahasa Melayu di wilayah ini walaupun jumlah mereka masih ramai. Begitu juga apabila kami bergerak masuj ke wilayah-wilayah lain yang asalnya milik orang Melayu sampai ke Ranong di Segenting Kra.

Peliknya kami diberitahu terdapat beberapa kampung dan pulau yang sekarang terletak di dalam wilayah negara Myanmar ataupun Burma yang semua penduduknya masih bertutur dalam bahasa Melayu. Oh, sepanjang berada di Thailand kami telah menginap di 5 buah hotel, 3 buah masjid dan sebuah rumah. Rumah tersebut adalah milik orang Melayu di sebuah kampung bernama Ban Hin Chang yang bermakna Kampung Batu Gajah kira-kira 16 km ke timur laut bandar Ranong. Begitu banyak perkara boleh dikongsikan dan diceritakan termasuk hal saya deja vu boleh kata setiap hari di Thailand. Ikutlah nanti angin dan mood saya nak keluar bagaimana. Insyaallah penceritaan akan dimulakan selepas masuk tahun baru 2018 iaitu selepas 5 hari daripada sekarang. Tunggu... :]




Selasa, Disember 12, 2017

Benua Tua Melayu - Betulkah ia sumber peradaban dunia?

Salam semua. Sekarang tentang buku lagi satu. Bersambung daripada artikel  Nabi Adam AS dan orang Melayu 60,000 tahun lalu - Bagaimanakah hubungan sebenarnya?.




Pada hari yang sama  Jumaat 24 November 2017 saya meletakkan gambar atas berupa tajuk buku di Facebook berserta teks berikut :-


--------------


Salam semua. Semoga sihat sejahtera. Merujuk kepada update saya sebelum ini tentang satu buku bertajuk "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu". Sebenarnya saya bercadang untuk menerbitkan ia secara berkembar bersama sebuah lagi buku. Oleh itu apa pula pendapat kawan2 tentang tajuk yang kelihatan di bawah? Apakah yang terbit atau tercetus dalam fikiran?


--------------


Maklum balas yang diterima.... rata-rata mengatakan tajuk ini cantik dan menarik.



Sudah disebut pada penghujung artikel Nabi Adam AS dan orang Melayu 60,000 tahun lalu - Bagaimanakah hubungan sebenarnya?. bahawa buku ini memanjangkan lagi cara pemikiran yang dipertontonkan dalam buku Nabi Adam. Biar ditambah, jika buku Nabi Adam ada menceritakan tentang majlis-majlis ilmu dan pembentangan yang membentuk isi buku, sambungannya iaitu buku ini pula mendapat pengisian awal akibat mengkaji dakwaan seorang penulis Indonesia bahawa Candi Borobudur di Jawa Timur adalah peninggalan Nabi Sulaiman AS.




Lalu dipanjangkan kajian saya sendiri tentang dakwaan tersebut baik berdasarkan buku berkenaan mahupun lawatan lapangan ke Borobudur. Daripada situ ulasan, pemerhatian dan kajian dikembangkan lagi untuk menunjukkan keistimewaan kedudukan geografi Alam Melayu di Asia Tenggara. Sesungguhnya ada kajian-kajian daripada sarjana Barat sendiri menyatakan memang bumi sini sangat istimewa dalam sejarah manusia. Dikaitkan pula dengan cerita-cerita berdasarkan kitab termasuk tempat turunnya Nabi Adam AS setelah dikeluarkan dari syurga bertambah-tambah lagilah keistimewaan Alam Melayu yang suatu masa dahulu pernah berdiri di atas tanah besar yang dikenali pengkaji sebagai Benua Sunda.





Daripada situ dapat disusuri pergerakan manusia sejagat sehingga ke merata ceruk rantau dunia terutama orang Melayu, Maka baru betul-betul dapat dipanjangkan pemikiran daripada buku "Nabi Adam AS dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" (mungkin ditukar tajuk bergantung pada ilham dan saranan yang tiba). Jika buku tersebut cuba menyelaraskan fakta kewujudan manusia berdasarkan sains berbanding kitab menggunakan satu formula matematik yang mengambil kira hakikat daripada hadis Nabi Muhammad SAW bahawa hari menjadi semakin pendek semakin kita menghampiri kiamat buku ini pula memanjangkan kesan atau implikasi daripada kira-kira. Maka peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah dunia, kemunculan tamadun-tamadun dan sebagainya pun diatur balik berdasarkan kira-kira. Semuanya diletak kembali dalam konteks 25 nabi dan rasul yang wajib orang Islam ketahui.

Seperti buku Nabi Adam, buku ini juga dibuat dengan pada saiz 6.36 x 9 inci dan 304 muka surat. Tetapi pada penghujung artikel Nabi Adam AS dan orang Melayu 60,000 tahun lalu - Bagaimanakah hubungan sebenarnya? ada disebut bahawa baru pagi tadi saya disarankan untuk mengubah saiz dan muka surat supaya lebih jimat dan ekonomi kos percetakan. Saya disarankan agar mengubah saiz kepada 6 x 9 inci dan muka surat jadi 320. Ini untuk mengambil kesempatan atas sistem lipat kertas 32 muka surat (orang dalam bidang faham le) sedangkan selama ini saya ingat cuma ada sistem lipat kertas 16 muka surat.

Insyaallah ini akan dilakukan selepas kembali daripada perjalanan jauh seperti disebut dalam artikel Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Satu perjalanan jauh penuh harapan hujung tahun 2017. Selain itu kedua-dua buku belum mendapat reka bentuk kulit yang sesuai. Oh, merujuk pada gambar paling atas tadi, tentang teks berkenaan di FB. Lagi satu maklum balas utama yang diterima adalah membuka pre-order atau tempahan awal untuk buku. Elok tempahan dibayar awal oleh mereka yang berminat, dengan itu saya boleh mendapat bayangan baik berapa banyak bukukah yang perlu dicetak selain mendapatkan modal untuk percetakan. 

Dengan ini cukuplah saya berkongsi tentang buku. Doakan ia iaitu kedua-dua tajuk buku berjaya mencapai matlamat, selamat dan lancar penerbitannya seperti mana harus juga selamat, lancar, mencapai matlamat malah mendapat berkat dunia dan akhirat perjalanan jauh yang akan dimulakan sedikit masa sahaja lagi. Amin. :]



Nabi Adam AS dan orang Melayu 60,000 tahun lalu - Bagaimanakah hubungan sebenarnya?

Rasanya saya belum pernah memberitahu pembaca di blogspot ini tentang satu projek buku yang dimulakan Mac tahun lepas lalu siap manuskrip pertama hampir setahun kemudian. Sekarang biar diceritakan sedikit tentangnya. Ini boleh dikira menyambung lagi gerak yang berkaitan daripada artikel Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Satu perjalanan jauh penuh harapan hujung tahun 2017.



Pada hari Jumaat 24 November 2017 iaitu hampir 3 minggu lalu saya telah meletakkan gambar atas berupa tajuk buku di Facebook berserta teks berikut :-


---------- 


Salam tengah hari Jumaat 5 Rabiul Awal 1439 Hijriah. Nak tanya kawan2. Apa yang anda nampak atau fikirkan bila melihat tajuk ini pada buku? Apa anda harapkan? Apa maklum balas?


---------- 


Hasilnya saya mendapat sejumlah maklum balas berkenaan.. Biar dicopy paste beberapa yang terpilih tanpa menyatakan siapakah yang memberikan komen...


Sejarah yang detail dari zaman Nabi Adam hingga wujudnya bangsa Melayu. Perbandingan (secara ringkas) antara kajian2 ilmuan Islam dan ilmuan barat....


Yg dlm fikiran saya bangsa melayu adalah bangsa tertua.


Mendalam dan kena banyak kajian. Terutama kepada penulisan melayu lama yang banyak kiasan dan makna tersembunyi


Ada juga yang musykil kenapa Nabi Adam dan bangsa Melayu ditulis seolah seperti wujud pada zaman yang sama. Ada pula menyoalkan bagaimana datang hal Melayu 60,000 tahun lalu sedangkan menurut kiraan ulamak  seperti Profesor Dr Hamka umur manusia daripada zaman Nabi Adam sampai sekarang lebih kurang 7 hingga 8 ribu tahun sahaja. 




Ada juga beberapa orang yang menyatakan keingina untuk membeli buku. Apa pun percayalah jawabannya ada dalam buku.Hari ini, memandangkan saya akan membuat perjalanan jauh tidak lama lagi biar diberikan bayangan isi buku. Biar ditunjukkan tajuk-tajuk bab dan tajuk-tajuk kecil atau sub-topik dalam setiap bab. Sesungguhnya apa yang dikongsikan dalam buku ini adalah berdasarkan pemikiran berserta maklum balas yang diperolehi daripada sejumlah cendekiawan dalam majlis-majlis ilmu di pelbagai menara gading dan institusi setaraf awal tahun 2011. Cerita tentang majlis-majlis ini berserta sedikit isi pembentangan ada dikongsikan dalam buku agar jelas rentetan pemikiran yang membawa kepada penulisan buku...




Secara rata saya cuba menyatukan sudut pandangan sains tentang kemunculan makhluk manusia berbanding sudut pandangan bersumberkan kitab. Bagaimana hendak diletakkan kemunculan makhluk berkaki dua serupa manusia sekarang yang disebut sains sebagai homo sapiens pertama kali muncul 209,000 tahun lalu sedangkan kira-kira berdasarkan kirab menyebut Nabi Adam AS diturunkan ke muka bumi tidak lebih 10,000 tahun lalu!




Saya mendapati penyelarasan boleh dibuat berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW bahawa semakin kita menghampiri hari kiamat semakin pendek masa yang berlalu pada setiap hari. Sebetulnya perkara ini telah saya utarakan beberapa kali kepada para cendekiawan di majlis-majlis ilmu.. Saya meminta mereka cuba mengambil kira hal masa semakin pendek ni. Tetapi mereka nampaknya tidak jelas bagaimana mahu menangani perkara. Maka berterusanlah pencapahan pemamahan tentang kewujudan manusia - mereka yang berpegang pada sains terus dengan apa yang dipelajari, mereka yang berpegang dengan kitab terus dengan apa yang diyakini. 

Setelah beberapa lama saya membuat keputusan untuk menangani sendiri hal ini. Berdasarkan fakta bersumberkan wahyu ilmu naqli saya membuat satu formula kira-kira matematik yang boleh menyelaraskan pencapahan sudut pandang. Harapan saya semoga dengan penjelasan dalam buku golongan cendekiawan akademik berdasarkan sains dan golongan agamawan berdasarkan kitab dapat duduk semeja membincangkan perkara. Betulkanlah apa yang kurang dalam buku saya. Yang penting dapat keputusan tuntas yang boleh dipegang oleh semua.



Ada pun manuskrip akhir buku ini yang lengkap reka letak teks dan gambar dapat saya siapkan  sepenuhnya sebulan atau dua bulan lalu. Saya pun dah lupa bilakah sebenarnya kerana selepas itu saya terus menyambung penulisan satu buku lain yang memanjangkan lagi pemikiran yang telah diperkenalkan dalam buku ini. Ia sudah cukup baik untuk dicetak. Cuma satu, saya belum ada modal dan kedua, belum dapat ilham yang baik untuk reka bentuk kulit buku. 

Yang kelihatan di atas ini cuma satu cadangan ringkas yang terbit secara spontan dalam fikiran . Warna pun belum nampak lagi nak pakai apa. Ia mungkin digunakan mungkin tidak. Mungkin  akan diletakkan keris bersilang di tengah. 

Untuk makluman buku ini saya letak bersaiz 6.36 inci (lebar) x 9 inci (tinggi). Ketebalannya 304 muka surat. Cuma pagi tadi saya dinasihatkan agar mengubah sedikit ini supaya lebih menjimatkan kos percetakan. Tentang hal tersebut akan saya ceritakan dalam artikel selepas ini, artikel tentang buku sambungan yang juga sudah siap manuskrip yang boleh dicetak. Tapi sama juga seperti buku ini, belum ada modal dan belum dapat ilham reka letak kulit buku.

Tajuk buku ini mungkin diubah menjadi "Orang Melayu Keturunan Adam Sebelum Adam?" Tapi ini cuma satu cadangan. Kalau ada tajuk lebih baik sila kemukakan. Sila juga berikan maklum balas berdasarkan apa yang anda dapat bayangkan tentang isi buku berdasarkan apa yang diceritakan dalam artikel ini ya. OK. Saya nak kena tulis tentang buku lagi satu pulak...



Isnin, Disember 11, 2017

Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Satu perjalanan jauh penuh harapan hujung tahun 2017

Salam hari Isnin malam Selasa 23 Rabiulawal 1439 Hijriah. Menyambung gerak penulisan berkenaan daripada artikel Kamera digital ke-9 untuk tugas perjalanan jauh akan datang - Dan kamera setiap satu bagi setiap anak laki-laki..... 



Jumaat lalu 8 Disember 2017 saya telah meletakkan peta atas di Facebook berserta teks berikut :-



JEJAK LANGKASUKA-SIAM LAMA-SRIVIJAYA

Salam semua. Insyaallah tidak lama lagi saya dan keluarga akan membuat perjalanan darat masuk ke selatan Thailand dari Rantau Panjang/Sungai Golok ke Narathiwat naik ke Patani ke Songkhla ke Nakhon Si Thammarat ke Surat Thani ke Chaiya ke Chumpon kemudian naik ke Bangkok sampai kota lama Ayuthia. Selepas itu kembali ke selatan singgah Segenting Kra, Ranong, Takuapa, Phuket, Krabi, Trang, Patthalung dan Hatyai sebelum balik Malaysia melalui sama ada Padang Besar atau Bukit Kayu Hitam. Sila bagi cadangan tempat2 menarik bersejarah yang patut kami singgah. Kalau boleh bagi sekali maklumat sokongan dan lokasi tepat serta gambar2. Doakan perjalanan ini berjaya mencapai matlamat dan selamat sejahtera dunia akhirat. Terima kasih. Amin.

p/s :: Peta yang ditunjukkan adalah bayangan ringkas perjalanan dari Golok ke Bangkok. Jarak yang bakal diliputi harus lebih jauh kerana banyak tempat mahu disinggahi dalam perjalanan pergi balik sampai ke Bangkok/Ayuthia...




Adapun perjalanan tersebut telah difikirkan sejak awal tahun 2017. Ini berikutan perjalanan yang saya buat ke Patani bersama satu rombongan tanpa membawa keluarga lalu diikuti perjalanan solo ke Songkhla dan Hatyai sebelum kembali ke Malaysia singgah ke beberapa tempat. Lihat artikel lama Misi jejak Aceh-Langkasuka - The compilation. Sejak itu isteri menyimpan hajat untuk bersama berjalan ke Patani dengan kenderaan kami sendiri. Cadangnya mahu dibawa sekali dua orang anak besar, anak isteri bersama suami terdahulu berserta dua orang anak kecil kami.




Tentunya paling utama kami mahu melihat tempat-tempat bersejarah di Patani. Apa yang disenaraikan dalam gambar atas adalah sedikit contoh...




Isteri juga mahu menurut laluan saya ke Songkhla dahulu. Dalam perjalanan itu saya dapat menziarahi makam ulamak besar Melayu, Sheikh Abdussamad Al-Falimbani tidak jauh dari simpang Patani-Hatyai-Songkhla.




Alang-alang dah rancang nak naik kenderaan sendiri biar pergi lebih jauh lagi sampai ke Nakhon Si Thammarat yang pernah menjadi pusat kerajaan Melayu Ligor. Sebelum itu ia pernah menjadi pusat kerajaan Sri Dharmaraja, sebelumnya Tambralingga...




Bila dilihat lagi peta biar sampai ke Surat Thani kemudian Chaiya. Difahamkan Chaiya yang berasal daripada perkataan Melayu Cahaya pernah menjadi pusat sebuah negara kota bernama Grahi. Di situ pernah ditemukan satu artifak berupa bukti bahawa kerajaan Srivijaya pada zaman pemerintahan Dinasti Mauli yang berpusat di selatan Sumatera abad ke-12 Masihi berkuasa sampai ke situ. Malah ada yang percaya Srivijaya sebenar bermula di situ!




Dari Chaiya dah cukup dekat dengan Segenting Kra, kawasan paling sempit di sepanjang Semenanjung Tanah Melayu. Oleh itu biarlah berjalan sampai ke Chumpon kemudian baru bergerak ke Segenting Kra yang disebut sebagai Kra Isthmus. Dari situ barulah turun kembali ke selatan melalui Ranong, Takuapa, singgah di Phuket kemudian Krabi, Trang, Phattalung dan Hatyai sebelum kembali ke Malaysia sama ada melalui Padang Besar di Perlis atau Bukit Kayu Hitam di Kedah. Begitulah rancangan kami suami isteri sejak sebulan dua kebelakangan. Difahamkan kerajaan Melayu Kedah sendiri pernah menguasai wilayah yang memanjang sampai ke Ranong sekitar abad ke-18 Masihi.





Kemudian apabila dilihat lagi peta lalu kelihatan Bangkok sudah tidak berapa jauh ditambah pula perjalanan ke situ dalam rancangan. Itu yang kemudian saya buat status di FB menunjukkan peta perjalanan dari Rantau Panjang ke Bangkok. Peta yang diperolehi melalui program Google Map itu meletakkan jarak perjalanan sebagai 1,190 km. 

Tapi itu adalah perjalanan terus. Kalau campur persinggahan di tempat-tempat yang dirancang seperi disebut tadi dah jadi 1,284 km. Campur perjalanan dari rumah di Sungai Buaya, Rawang (464 km kalau ikut Grik) dan lagi kami bercadang hendak ke kota lama Ayuthia ( Ayudhya) 78 km ke utara Bangkok perjalanan harus memakan jarak 2,000 km. Kembali ke rumah dan singgah di beberapa tempat dalam perjalanan harus makan lagi jarak 2,000 km. Dah jadi 4,000 km pergi balik tu!



Kalau ikutkan dari Bangkok dah tak berapa jauh untuk sampai ke Angkor Wat di Cambodia (Kemboja) cuma 400 km lebih sahaja lagi. Bila melihat peta dan jarak memang timbul rasa kuat hendak pergi, Bukan selalu dapat peluang begini. Ada pun seorang kawan isteri yang ikut sama pun teringin sangat nak pergi sampai ke sana.

Tapi pergi balik campur perjalanan pusing bandar kampung dah sebagainya kena tambah 1,000 km. Campur dengan 4,000 km tadi dah jadi 5,000 km. Kena fikir juga ketahanan kereta MPV keluarga yang akan kami gunakan untuk perjalanan ini. Tu yang dalam beberapa hari lalu saya kata tak boleh pergi le Angkor Wat. Cukup sampai ke Bangkok dan  Ayudhya sahaja...

Nak dijadikan cerita semalam semasa menghadiri majlis perkahwinan anak seorang kawan di Gombak kami telah terjumpa seorang kawan lain yang agak sealiran. Isteri tergerak untuk mengajak bersama dalam perjalanan. Beliau terus bersetuju! Malah apabila dinyatakan agar memberi sumbangan untuk duit minyak beliau menawarkan diri untuk menaja sepenuhnya sekurang-kurangnya ketika berada di Thailand yang harga minyaknya lebih mahal di Malaysia. Apabila kawan isteri yang turut hadir di majlis menyatakan sangat berhasrat untuk sampai ke Angkor Wat beliau menambah kenapa tidak? Selain sedia menanggung kos minyak beliau sanggup menanggung kos maintenance atau penjagaan kereta...



Oleh itu diputuskan kami akan berjalan sampai ke Angkor Wat. Beginilah jarak perjalanan sampai ke sana sambil singgah ke tempat-tempat yang dirancang. Tapi itu perjalanan terus sambil lalu di tempat-tempat. Kalau dicampur perjalanan pusing bandar masuk kampung cari tempat-tempat  bersejarah, masjid, makam termasuk balik ke rumah harus mencapai 5,000 km! Tentang masa boleh adjust. Kalau asalnya saya bercadang selepas Patani mahu bermalam di Songkhla kemudian Nakhon Sri Tammarat ini boleh ditukarkan supaya kami sekadar singgah sebelum bermalam sama ada di Surat Thani, Chaiya atau Chumpon. Kemudian boleh terus bergerak ke Bangkok.

Dalam artikel Kamera digital ke-9 untuk tugas perjalanan jauh akan datang - Dan kamera setiap satu bagi setiap anak laki-laki..... saya ada menyebut akan membuat perjalanan jauh darat lebih 4,000 km. Nampaknya saya harus mengubah kenyataan menjadi sekitar 5,000 km. Tentang tajuk artikel ini kenapa disebut "Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya"? Biar saya ringkaskan begini...

Sejak sekian lama saya percaya dengan jalan cerita kemunculan kerajaan-kerajaan lama yang diceritakan dalam kitab Hikayat Merong Mahawangsa. Daripada kemunculan kerajaan Langkasuka di kaki Gunung Jerai timbul kerajaan Kedah kemudian anak cucu yang naik jauh ke utara membina kerajaan Siam lama yang disebut hikayat sebagai Siam Lanchang. Saya percaya itulah yang membawa kepada kemunculan kerajaan atau empayar Funan yang terkenal dalam sejarah Asia Tenggara. Daripada situ ada keturunan yang turun di sekitar Chaiya untuk menerbitkan kerajaan Srivijaya awal sebelum ia berkembang untuk meliputi seluruh Semenanjanung Tanah Melayu dan Pulau Sumatera juga lain-lain kawasan. Harapan saya semoga segala perkara ini dapat dijejaki dalam perjalanan lalu dibukakan hijab ilmu dan penglihatan agar dapat memahami keadaan dengan Ilmul Yaqin, Ainul Yakkin dan Haqqul Yakin, insyaallah. Doakan perjalanan kami lancar, selamat dan mencapai matlamat. Amin.



Kamera digital ke-9 untuk tugas perjalanan jauh akan datang - Dan kamera setiap satu bagi setiap anak laki-laki...

Sukacita dimaklumkan tidak lama lagi saya dan keluarga akan membuat satu perjalanan jauh yang sangat menarik. Sebelum bercerita tentang rancangan perjalanan biar dilepaskan satu gerak berkaitan.



Adapun perjalanan jauh ini dijangka akan meliputi jarak lebih 4,000 km atas darat meliputi tiga buah negara dengan kereta sendiri. Agar anak-anak kecil kami Rasyid yang berumur 8 tahun dan Johan 5 tahun tidak merasa jemu kerana kami tidak mahu mereka bermain games di telefon bimbit lagi seperti kebiasaan kami biarkan bila berjalan jauh isteri mencadangkan agar diberikan kamera. Fikir isteri biar kamera saya yang sedia ada diserahkan kepada Rasyid, untuk saya pula dibelikan kamera baru.

Semalam dalam perjalanan kembali dari satu majlis perkahwinan saudara kami pun singgah di tengah bandar raya Kuala Lumpur untuk mencari kamera yang sesuai, tidak mahal tetapi cukup berkualiti dan elok hasil gambar. Apabila mendapati ada model yang sesuai dan setelah ditanya di beberapa tempat kami mendapat harga yang cukup baik, isteri pun membeli dua. Biar satu lagi dihadiahkan kepada seorang anak laki-laki besar yang tidak dapat ikut dalam perjalanan ini. Kebetulan beberapa bulan sebelum itu saya ada menghadiahkan sebuah kamera lama saya yang masih boleh dipakai, cuma rosak sedikit mekanisma fokus kepada anak tersebut. Dengan itu kamera lama itu pun diserahkan pula kepada anak bongsu, si Johan.

Hasilnya malam tadi Ahad malam Isnin 10 Disember 2017 saya mendapat kamera digital ke-9 setelah beberapa tahun rajin mengambil gambar lalu berkongsi cerita di blogspots. Bagaimana saya boleh tahu ia adalah yang ke-9? Kerana saya selalu mencatat cerita apabila mendapat kamera baru juga komputer laptop. Lihat artikel Kamera digital ke-7 memulakan peranan secara rasmi diikuti Kamera baru Sony dan semangat 46

Alang-alang dah sebut begitu baru teringat saya tidak pernah menyebut tentang satu komputer laptop Acer dengan processor I7 yang dibeli awal tahun ini. Sebelum itu saya ada menggunakan komputer Sony Vios I5 yang dibeli pertengahan tahun 2014 lalu bercerita tentangnya pada artikel bertajuk Hikmah laptop rosak. Maka biar hal komputer Acer itu disebut sepintas lalu. 

Berbalik kepada kamera digital semalam. Atas asbab perjalanan jauh akan datang maka saya kini memiliki kamera digital ke-9. Setiap 3 orang anak laki-laki saya juga memiliki sebuah kamera digital seorang satu. Sebagai mengakhiri artikel ini biar diletakkan pautan bagi 4 artikel terakhir di blogspot BERPETUALANG KE ACEH menggunakan gambar-gambar daripada kamera saya sebelum itu, kamera model Sony yang kini jadi milik Rasyid...







Isnin, Disember 04, 2017

Pelancaran buku "Elmu P. Ramlee" di Putrajaya

Salam bulan Maulidur Rasul. Demi melengkapkan satu gerak penceritaan malam ini saya telah membuat artikel-artikel berikut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH


Johan's kindergarten graduation for 2017

Checking out the Expo Negaraku 2017

Rawang bypass finally opened

Checking out the PLUS highway viewing point near Negeri Sembilan-Melaka border


Kemudian saya bercerita tentang satu majlis Maulud yang dihadiri di Kuang, Selangor pada Sabtu lalu di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Lihat artikel-artikel berikut :-


Maulud Agung Alam Melayu 2017 - Aktiviti santai siang hari

Maulud Agung Alam Melayu 2017 - Melayan kecintaan kepada Rasul di malam hari


Sekarang biar dikongsikan cerita tentang satu aktiviti yang menyusul sehari selepas itu.


Petang selepas Zuhur, Ahad 3 Disember 2017 saya membawa dua orang anak kecil berkejar ke bulatan hadapan Masjid Putra dan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.


Ada suatu karnival sedang berlangsung. Tetapi saya datang semata-mata untuk menyokong seorang kawan yang baru menerbitkan sebuah buku.


Buku beliau mahu dilancarkan di  pentas utama karnival. 



Ia mendapat sokongan Arkib Negara...


Tajuk buku adalah "Elmu P. Ramlee"



Cuma saya agak pelik kenapa le pentas begitu jauh dari tempat duduk hadirin.


Apa pun yang penting saya dapat mengikut pelancaran. Isteri tidak dapat bersama kerana selepas itu saya mahu ke Muar bercuti beberapa hari bersama ibu bapa di kampung.


Isteri harus bekerja Isnin hingga Jumaat sedangkan cutinya yang tinggal sedikit harus disimpan untuk satu pengembaraan akan datang hujung tahun...


Alhamdulillah. Walaupun sampai sedikit lewat kerana harus menyelesaikan dahulu sedikit urusan bersama isteri dan dua anak yang lebih besar saya sempat mengikut lebih separuh daripada sesi perbincangan buku yang diadakan sebelum pelancaran.


Bagusnya penulis iaitu saudara Kamal memiliki sejarah pernah berkhidmat lama dengan ulamak penulis berwibaya, almarhum Sheikh Wan Saghir lalu dapat mengenengahkan sisi-sisi falsafah tinggi dalam filem-filem dan dialog P. Ramlee.


Disebabkan itulah beliau mendapat sokongan Arkib Negara lalu dapat mengadakan pelancaran juga mempromosi buku di gerai Arkib.











Dinyatakan bahawa P,. Ramlee sempat berguru dengan ulamak besar Tanah Melayu pertengahan abad ke-20 iaitu Sheikh Abdullah Fahim, datuk kepada Perdana Menteri Malaysia yang ke-5, Pak Lah atau Tun Abdullah Badawi.


Jumaat, November 17, 2017

Himpunan Ilmuwan Warisan dan Peradaban Melayu - Membawa gagasan besar penglibatan aktif intelektual membentuk negara yang pro nilai murni Melayu

Salam Jumaat. Setelah beberapa lama masuklah kita pada sesi petang dan terakhir pembentangan ilmu hari kedua majlis di Universiti Sains Malaysia diikuti penutup. Bersambung daripada artikel Himpunan Ilmuwan Warisan dan Peradaban Melayu - Masuk bab perubatan juga hal-hal seperti teknologi optik.


Sesi tengah hari yang dipanjangkan sehingga hampir jam 2 sudah cukup lewat. Turun makan tengah hari di tingkat paling bawah saya leka berbual panjang dengan Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali . Berbagai hal tentang sejarah kami bincangkan terutama mengenai watak bernama Hang Semaun yang dikatakan seorang anak Hang Tuah yang beribukan orang Perak, Kami juga berbual panjang tentang Baginda Demu yang disebut orang Raub dan Lipis sebagai anak seorang Sultan Perak yang ibunya anak Hang Tuah, bagaimana hendak dipadankan kewujudan watak-watak ini yang tidak berapa dikenali orang di luar persekitaran hulu Pahang dengan sejarah rasmi.

Kami pun sudah agak lama tidak bersua sedangkan Abdullah harus pergi ke majlis lain petang nanti. Akibatnya saya kembali ke bilik majlis dekat jam 3. Sudah terlepas dua pembentangan awal sesi petang iaitu "Warisan Peradaban Melayu dalam Dunia Arab" oleh Prof Dr  Adel M Abdelaziz dari UIM dan "Warisan dan Alam Semulajadi dalam Melahirkan Kepimpinan yang Bijaksana" oleh Prof Dr Ab Hamid Abdullah juga dari UIM.


Ketika saya masuk seorang lagi cendekiawan dari UIM sedang membentang. Beliau adalah Prof Dr Mohd Khalid Mohd Noor.


Pembentangan beliau yang bertajuk "Warisan dan Alam Semulajadi dalam Melahirkan Kepimpinan yang Bijaksana" sudah berlangsung setengah jalan.


Alhamdulillah saya tetap dapat mengikuti ia dengan baik.





Pembentang keempat Prof Dr Jamal Othman dari Majlis Profesor Negara (MPN) naik mengambil tempat jam 3.18 petang.


Membawa tajuk yang kelihatan saya dapati beliau banyak melihat daripada sudut pandang orang Jawa...








Pembentang kelima Prof Dato' Wira Dr Ismail Ibrahim (tak sebut dalam atur cara dari mana) membawa tajuk "Dasar Pendidikan Bercirikan Islam dalam Peradaban Melayu" berpandukan maklumat yang diletakkan dalam Microsoft Word...








Saya tak dapat mengikuti sehingga selesai kerana harus keluar bilik akibat sakit perut. Sebenarnya saya sedang berpuasa sunat Khamis hari itu Saya turun ke ruang makan tengah hari tadi pun untuk berbual dan berbincang tentang sejarah dengan Prof Abdullah Zakaria.

Dan saya juga penat kurang rehat. Malam sebelumnya saya tidak dapat tidur nyenyak akibat nyamuk  banyak ketika bermalam di Masjid Raja Haji Fisabilillah. Selalunya saya akan standby ubat nyamuk kalau bermalam di masjid tetapi kali ini terlupa. Penat campur perut kosong campur duduk lama dalam bilik aircond  yang sejuk... saya harus keluar melegakan perut selain tukar angin sat..


Apabila masuk kembali selepas jam 4 saya sudah terlepas pembentangan keenam bertajuk "Warisan Manuskrip Melayu dalam Peradaban Melayu Serumpun" oleh Profesor Emeritus Dr Muhammad Bukhari Lubis dari UIM. Ketika itu pembentang ketujuh iaitu Prof Dato' Dr AbdulMonir Yaacob dari universiti yang sama sedang membentang tajuk "Adat dan Undang-undang dalam Peradaban Melayu"...








Jam 4.19 pembentang kelapan Prof Dr Mohamad Zain Musa dari Akademi Diraja Kemboja membawa tajuk yang kelihatan.





Beliau yang sudah lama bermastautin di Malaysia tetapi selalu berulang-alik ke Kemboja bercakap atas pengalaman seorang anak Melayu Kemboja yang membesar dengan realiti paska kejatuhan empayar Melayu di sana...








Pembentang kesembilan Prof Datuk Dr Zainal Kling membawa tajuk "Jati Diri sebagai Teras Keperibadian dalam Peradaban Melayu" secara terus tanpa bantuan slaid...





Ikut atur cara harus ada seorang lagi pembentang selepas itu iaitu Prof Dato Dr Zakariah Kasa membawa tajuk "Falsafah dan Dasar Pendidikan Malaysia dalam Pembinaan Peradaban Malaysia". Tetapi beliau tidak dapat muncul atas halangan tertentu lalu dimulakanlah sesi penutup majlis hampir jam 5 petang...


Tampil ke hadapan Tan Sri Prof. Dr Abdul Latiff Abu Bakar dari UIM merumuskan hasil perkongsian ilmu dalam majlis kemudian membacakan resolusi...


Saya kongsikan gambar untuk resolusi tersebut ya. Nak baca lebih jelas sila buka dalam windows lain...





Presiden UIM Tan Sri Prof Dr Mohd Yusof Noor kemudian memberikan ucapan penutup. Disebutlah tentang sejarah UIM yang bermula sebagai sebuah kolej Islam untuk menghasilkan lepasan yang layak menyambung ijazah di universiti-universiti Timur Tengah tahun 1955. Baru saya tahu universiti ini memiliki gagasan pemikiran yang hebat di bawah Majlis Raja-raja Melayu. Baru faham kenapa mereka mampu mengatur satu majlis ilmu yang disertai begitu ramai profesor walhal sebelum itu tidak pernah saya mendengar UIM mengadakan apa-apa wacana ilmu. Namanya pun baru tahun lepas saya dengar dan untuk majlis ini baru menjejakkan kaki. Sekian perkongsian saya.