Salam semua. Adapun hari ini adalah hari ke-2 seluruh negara Malaysia berada dalam perintah pergerakan terhad (restricted movement) yang bermula sebaik sahaja masuk tarikh 18 Mac 2020 tengah malam semalam akibat wabak virus Covid-19 yang sudah sebulan dua melanda dunia. Disebabkan itu edisi ke-6 siri syarahan buku "Classification of Knowledge in Islam" (Klasifikasi Ilmu Pengetahuan Dalam Islam") oleh Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar bagi tahun 2020 di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) yang sepatutnya berlangsung petang Rabu semalam harus ditangguhkan sehingga perintah pergerakan terhad dijadualkan selesai 31 Mac. Apapun ada perkongsian tentang siri syarahan boleh dibuat kerana edisi ke-5 yang berlangsung petang Rabu sebelumnya 11 Mac iaitu pada 8 hari lalu masih belum diceritakan. Sebelum itu biar diputar masa dahulu 3 hari lagi ke belakang.
Ini adalah gambar pemandangan satu bahagian bandar raya Kuala Lumpur diambil pada tengah hari Ahad 8 Mac 2020. Ia diambil dari serambi kondominium seorang kawan di Sentul. Dari atas itu dapat dilihat bangunan ISTAC tersergam indah menyerlahkan seni bina bercirikan Istana Alhambra legasi zaman keemasan Islam Andalusia yang pernah wujud di Semenanjung Iberia (wilayah paling barat Eropah di mana terdapat negara Portugal dan Sepanyol) beberapa ratus tahun yang lampau. Gambar diambil apabila didapati susah untuk menemukan gambar ISTAC tersergam besar daripada jauh melalui Google
Sebelum mengambil gambar-gambar tadi saya dan keluarga ada berjalan-jalan di taman cantik sebelah kondominium di Sentul. Lihat artikel
A walk around Sentul Park di
blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Sekarang pergi kita ke ISTAC pada petang Rabu 11 Mac. Saya sampai pada jam 3.22 petang untuk menyelesaikan beberapa urusan pejabat. Kalau tidak kerana harus menghantar anak-anak ke sekolah agama terlebih dahulu jam 2.30 petang tentu saya akan sampai lebih awal.
Selesai urusan saya membuka komputer riba untuk memulakan penulisan artikel
Semangat keilmuan Andalusia dalam menongkah arus zaman. Ketika gambar ini diambil jam 5.21 penulisan sudah siap. Tetapi ia masih memerlukan satu lapisan suntingan dan semakan baru boleh dipersembahkan. Sedangkan mengikut jadual syarahan "Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam" sudah bermula jam 5.15.
Nak tak nak saya harus bergerak masuk ke bilik yang digunakan untuk syarahan. Dengan mengusung komputer dalam keadaan terbuka (ia lebih mudah diusung dalam keadaan terkatup tetapi ini akan menyebabkan suis komputer dimatikan lalu mengambil masa untuk dihidupkan kembali) saya pun mengambil tempat. Gambar ini diambil jam 5.24. Selepas itu saya harus membuka PDF buku "Classification of Knowledge in Islam" sebagai rujukan bagi mengikuti syarahan.
Tumpuan penuh pun mula diberikan pada syarahan. Menurut turutan bacaan dalam buku ia harus bersambung daripada syarahan terdahulu seperti dikongsikan dalam artikel
Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Penulisan tesis sebagai pembuktian dakwaan yang diyakini benar (dipersembahkan 5 Mac). Kedengaran Osman sedang menerangkan apakah itu maksud dan konsep fakulti yang wujud dalam diri manusia. Perkataan asalnya dalam bahasa Inggeris iaitu "
faculty" membawa dua makna. Satu adalah kebolehan-kebolehan yang wujud pada diri manusia lalu dalam hal-hal tertentu boleh disamakan dengan deria. Misalnya :-
Faculty of hearing = fakulti pendengaran = deria pendengaran
Faculty of seeing = fakulti penglihatan = deria penglihatan
Daripada segi 'dalaman' pula kepandaian boleh dikaitkan dengan faculty of intelligence. Ia bukan lagi satu bentuk deria tetapi kebolehan bersifat abstrak. Bandingkan dengan pemahaman biasa kita tentang apa itu fakulti. Kita cuma biasa dengar fakulti berupa cabang-cabang pengajian dalam suatu universiti. Saya pun menyemak makna perkataan 'fakulti' iaitu daripada perkataan faculty yang telah diMelayukan. Lihat apa kata kamus Dewan Bahasa dan Pustaka versi atas talian (on-line) :-
[fa.kul.ti] | فاکولتي
Definisi : 1 jabatan di universiti (kolej) yg mengajarkan sesuatu cabang ilmu atau yg khusus dlm sesuatu jurusan pengajian: ~ sastera. 2 pensyarah-pensyarah dan mahasiswa-mahasiswa dr sesuatu jabatan ilmu pengetahuan di universiti. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Nah. Nampak tidak bagaimana perkataan Melayu fakulti telah disempitkan makna berbanding perkataan asal "faculty" dalam bahasa Inggeris? Biar diambil takrifan berkenaan dalam bahasa Inggeris melalui Google...
Filter definitions by topic
1.
an inherent mental or physical power.
2.
a group of university departments concerned with a major division of knowledge.
Lihat makna nombor 1 - an inherent mental or physical power - merujuk pada kebolehan-kebolehan yang ada pada diri manusia. Inilah yang mahu ditekankan oleh Osman dalam edisi ke-5 syarahan...
Penerangan tentang makna sebenar fakulti perlu diberikan kerana syarahan telah masuk pada sub-topik 2.3 buku. Tajuknya "The Hierarchy of Faculties of the Human Soul" boleh diterjemahkan sebagai "Hierarki Fakulti-fakulti Roh Manusia". Maka harus difahami terlebih dahulu bagaimana perkataan fakulti itu merujuk pada kebolehan-kebolehan yang ada pada diri manusia luar dan dalam, bukan fakulti sebagai satu jabatan besar pengajian di universiti sahaja. Namun fakulti dalam konteks universiti tetap boleh dijadikan perbandingan dan rujukan jika dilihat dalam konteks ideal dan benar. Osman menyebut, Syed Naquib al-Attas (Tan Sri Profesor, pemikir besar Islam yang mengasaskan ISTAC) pernah menyatakan bahawa sebuah universiti patut menggambarkan fakulti-fakulti yang ada pada seorang manusia dalam bidang ilmu pengetahuan. Setiap satu fakulti ada pengkhususan bidang dan peranan. Masing-masing ada kerja tanpa mengganggu yang lain namun tetap menyumbang pada kesejahteraan keseluruhan.
Osman pun menyebut perkataan Arab Quwwah al-Natiqah sebagai membawa makna faculty of rationality (ingat, syarahan dibuat dalam bahasa Inggeris). Ini saya terjemahkan sebagai fakulti kerasionalan. Menggunakan contoh ini perkataan Quwwah boleh dikaitkan dengan perkataan faculty. Sedangkan daripada perkataan Quwwah itulah juga timbul perkataan Melayu "kuat". Maka kata Osman, fakulti juga boleh diterjemahkan sebagai kekuataan.
"Kekuatan untuk mendengar, kekuatan untuk melihat, kekuatan untuk mena'akul (menggunakan akal fikiran, intellect, bukankah itu semua merujuk pada fakulti yang wujud dalam diri manusia?" tambah beliau.
Sekarang terus pada bacaan teks. Tak mahu lagi dipanjangkan ulasan kerana disebabkan soal jawab yang timbul akibat ulasan lebih sejam syarahan masih bersekitar pada ayat pertama dalam perenggan pertama sub-topik 2.3.
Sudah disebut dalam syarahan terdahulu bahawa Al-Farabi dan sejumlah ulamak silam Islam menafsikan ilmu psikologi atau ilmu jiwa sebagai ilmu an-nafs. Ayat pertama pun menyebut Al-Farabi membincangkan ilmu jiwa ini kebanyakannya dalam 4 buah kitab beliau yang terkenal iaitu :-
1. Risalat fi'l-aql - Risalah Tentang Akal (terjemahan saya - Osman memberikan terjemahan bahasa Inggeris Treatise on the Intellect)
2. al-Madinat al-fadilah - Kota Kebaikan (terjemahan saya juga, begitu seterusnya bagi tajuk-tajuk lain. Malas hendak dipanjangkan ulasan kerana bab satu kitab ini sahaja dah memakan masa sekitar 15 minit)
3. al-Siyasat al-Madaniyah - Siasah Negarakota (ilmu kenegaraan dalam mentadbir suatu kota - Madinah adalah kata umum Arab bagi kota, Madinah yang biasa kita dengar di Tanah Arab itu rujukan khususnya adalah Madinatun Nabi - Kota Nabi)
4. Fusus al- Hikam - Kumpulan-kumpulan Perkataan Hikmah (sebelum membaca buku Osman saya cuba pernah dengar tajuk tersebut pada satu kitab Ibnul Arabi, selepas itu baru tahu Al-Farabi yang hidup 2 abad lebih awal telah menggunakan tajuk ini)
Secara rata apa yang mahu diperkatakan adalah Al-Farabi telah menerangkan dan membahagikan fakulti-fakulti kebolehan manusia kepada beberapa kumpulan dan peringkat menurut hierarki dan ini ada disebut dalam 4 kitab beliau. Konsep haywan al-natiq iaitu haiwan yang berfikir ada dipakai dalam menerangkan diri manusia dan ia telah digunakan ramai ulamak Islam
Syarahan dipanjangkan tanpa ulasan panjang sehingga memasuki separuh muka surat 49. Konsep
natiq yang terkait dengan akal dan kepandaian (
intelligence) diulas sedikit lagi dengan satu lagi bentuk perkataan sama dalam bahasa Arab iaitu
nutq. Nampaknya ia sebagai persediaan untuk syarahan ke-6 dalam keadaan masa semakin suntuk kerana 2 jam yang diperuntukkan bagi syarahan rata-rata telah dihabiskan untuk menerangkan apakah makna fakulti diikuti ulasan dan soal jawab melibatkan beberapa ayat terawal. Cukuplah perkongsian daripada saya ya. Sekadar menambah apa yang mungkin 'tergantung' tadi - Artikel
Semangat keilmuan Andalusia dalam menongkah arus zaman akhirnya disiapkan lalu dipersembahkan setelah saya kembali ke rumah lewat malam.