Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Jun 30, 2007

Beruas, Malikul Mansur dan Gangga Negara lagi

Gambar sebahagian pekan Lumut dengan pengkalan tentera laut Malaysia, TLDM kelihatan. Di belakang pula ialah bukit-bukau di Pulau Pangkor. Gambar yang telah diberi sedikit 'sentuhan artistik" inilah yang digunakan untuk menghiasi rupa baru blogspot ini yang dibuat malam semalam...

Assalamualaikum! Gerak hati untuk membuka cerita bertajuk "Beruas, Malikul Mansur, dan Gangga Negara" diikuti 3 bahagian cerita tentang promosi buku 'memaksa' saya untuk mengakhiri sesi bercerita kali ini (buat sementara ya!) dengan kisah Beruas, Malikul Mansur dan Gangga Negara lagi. Maka jadilah 1 cerita sejarah diikuti 3 cerita perjalanan campur promosi buku yang ditutup dengan 1 lagi cerita sejarah... Jadi 131, nombor yang entah kenapa saya selalu kaitkan dengan home sweet home yang amat didambakan dan diidam-idamkan selama ini tapi tak dapat-dapat lagi.
Oh... Alang-alang dah sebut tentang nombor 131 ini, biarlah saya menambah. Sebenarnya ia adalah nombor lot rumah semi-detached yang sepatutnya menjadi milik saya dan keluarga suatu masa dahulu. Rumah yang letaknya di Ulu Langat ini entah siap entahkan tidak sebab akhir sekali saya dengar, projeknya tergendala... Projek milik orang Melayu yang terlalu bercita-cita besar. Baru bertapak dalam dunia pembuatan rumah, terus hendak menyelenggarakan beberapa projek perniagaan sekali gus sampai akhirnya lingkup.
Duit pendahuluan RM5,000 diikuti lawyer's fee RM2,000 untuk mengatur pinjaman rumah sudah dibayar tunai. Rumah itu sepatutnya siap tahun 2002... Sebaliknya tahun tersebut pula menyaksikan beberapa orang ahli keluarga terdekat meninggal dunia sementara saya pula semakin "serabai" mencari jawaban kepada beberapa persoalan yang mengganggu fikiran...
Persoalan yang banyak melibatkan hal-hal mistik, keTuhanan serta salasilah dan wasilah keturunan keluarga ini membawa saya mula mengembara tak tentu arah menziarahi makam-makam lama sehingga urusan kehidupan biasa terabai lalu saya bercerai dengan isteri dan berpisah dengan keluarga. Lalu duit yang dibayar untuk rumah hangus begitu sahaja tetapi saya telah halalkan... Tak mahu peningkan kepala memikirkan sangat daki harta duna...
Apapun, semuanya berlaku atas kuasa Allah jua... Biar saya teruskan cerita ya... Diambil daripada bab bertajuk "Malikul Mansur: Pewaris yang disisihkan"... Daripada buku "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal".

p/s: Oh... Bila saya check di dashboard blogspot, ternyata bahawa artikel ini adalah posting saya yang ke 128 di sini. Lalu gerak hati ini menyuruh agar menambah 3 buah artikel lagi untuk mencukupkan nombor jadi 131, nombor home sweet home saya... Sementara bulan tengah mengambang, masuk malam 15 Jamadil Akhir ini. Tapi biarlah ini disambung selepas makan malam ya, makan malam yang tertunda semata-mata untuk membuat cerita-cerita ini... Sila...


--------------------------------


Berbalik kepada perbincangan sesi kedua ‘panel ahli sejarah’ yang ‘dipengerusikan’ Rasyid, perbincangan bersama dua orang rakan mengenai kaitan kerajaan Melayu lama Beruas dengan kerajaan purba Gangga Negara yang telah diserang oleh angkatan Raja Suran dari benua Hindi...
“Ketika itu, Gangga Negara yang dikatakan ‘negeri itu di atas bukit, dipandang dari hadapan terlalu tinggi, dan dari belakang rendah juga, ada sekarang kotanya di darat Dinding, ke sana Perak sedikit’ sedang diperintah oleh seorang raja bernama Raja Gongga Shah Johan,” Nasri menyambung penjelasan daripada kitab Sejarah Melayu. “Peperangan yang dahsyat pun terjadi antara kedua-dua pihak tetapi Gangga Negara akhirnya kalah apabila Raja Gongga Shah Johan berjaya dibunuh oleh Raja Suran. Tidak tahulah apa yang jadi kepada Gangga Negara selepas itu. Ada yang kata kerajaan itu terus hancur selepas diserang angkatan besar dari Hindi itu.”
Nasri terdiam memikirkan peristiwa itu. Bagaimana agaknya rupa dan keadaan medan peperangan itu ya? Dengan beratus ribu, mungkin berjuta orang berperang penuh semangat, lengkap dengan pedang dan perisai, mesti ada tentera berkuda, begitu juga para pemanah yang handal-handal. Mengikut ceritanya, kedua-dua raja amat cekap bermain senjata dan berperang menggunakan gajah besar yang dilagakan antara satu sama lain. Tetapi Raja Suran yang dikatakan berasal daripada keturunan Iskandar Zulkarnain ternyata lebih gagah lalu berjaya memenggal kepala lawan.
Rasyid pula terbayang peperangan besar saujana mata memandang dengan susuk tubuh beratus ribu pahlawan memenuhi setiap ruang. Bayangan yang muncul separuh sedar melibatkan perikatan manusia dengan dwarves iaitu orang kenit dan elves, sejenis makhluk seperti manusia dengan seluruh tubuhnya bercahaya, berumur sangat panjang dan bertelinga tajam... Melawan gabungan jahat raksasa orc dan sebagainya dalam siri pertama filem fantasi Lord of the Rings. Malangnya peperangan itu dimenangi kuasa jahat menyebabkan ‘spesis’ pihak yang kalah hampir pupus. Agaknya sebab itu Hobbit yang seperti dwarves berbadan kenit tetapi berkaki besar dan berbulu-bulu boleh muncul sebagai watak penyelamat kebaikan nanti?
“Sejarahwan menganggarkan peperangan besar yang berlaku di kerajaan purba Gangga Negara ini berlaku sekitar tahun 1030 Masihi. Ini kerana ada pendapat mengatakan Raja Suran yang dimaksudkan merujuk kepada Raja Rajendra Chola, seorang pemerintah besar di benua Hindi yang telah menyerang dan menakluki negeri-negeri di Nusantara,” tiba-tiba Nizam memecah kesunyian, merujuk kepada buku mengenai sejarah kerajaan-kerajaan Nusantara sebelum dan selepas Islam di tangannya. “Tetapi anggaran lain pula menyatakan Raja Suran hidup abad ke 6 Masihi. Maka baginda bukanlah Raja Rajendra Chola yang dikenali sejarah rasmi...”
“Atau dia naik time machine, melompat dari abad ke 6 lalu masuk abad ke 11 untuk muncul sebagai Rajendra?” Nasri menyampuk. Suka sangat time machine, minat sangat novel penulis Inggeris terkenal H.G. Wells...
“Apapun Gangga Negara memang pernah dilanggar dan di ‘padang jarak tekukur’ kan,” Rasyid menyelit dengan gaya pengerusi majlis. “Yang kita ingin tahu sekarang apakah cerita sebenar di sebalik kebesaran kerajaan Beruas. Aku pernah cuba google di internet, cuba type keyword ‘Beruas’, dapat beribu-ribu listing. Bukan setakat orang Melayu sahaja minat, Mat Saleh pun sama. Mungkin ada rahsia besar di sebalik cerita kerajaan ini?”
“Entah-entah ada harta karun yang tersembunyi tak? Kalau begitu bolehlah kita jadi treasure hunter, pemburu harta!,” Nasri berseloroh.
“Eh… kamu ini,” Rasyid menegur. “Kita hendak mencari kebenaran lah! Nak tahu kisah-kisah Melayu yang sebenar, cerita-cerita yang telah digelapkan, apa yang sebenarnya terjadi dahulu, bukannya cari harta.”
“Kebenaran apa kebendanya yang kamu nak war-warkan sangat ni?” Nizam pula menyampuk. “Alah… Aku bukan tak tahu. Kamu sebenarnya ingin mencari harta juga... ‘Harta’ untuk buku berkaitan sejarah lama yang sedang kamu usahakan bukan? Apa tajuknya, ‘Berpetualang ke Aceh’? Alah… Mengaku sajalah. Cerita-cerita lama inipun kira hartalah juga…”
Anak muda itu dan Nasri pun tergelak. Saja-saja bergurau...
“Sudahlah,” Rasyid memotong. “Kita teruskan sahaja perbincangan. Sekejap lagi Nasri kena balik rumah. Aku tahu dia ada hal keluarga. Sementara ada peluang berbincang, elok dimanfaatkan sepenuhnya...”
Pemuda itupun mengetuk meja makan tempat mereka berkumpul dengan tukul getah hitam yang kebetulan ada di situ, tukul ‘power’ seperti yang digunakan hakim di dalam mahkamah. Entah mana le dapat... Perasan seperti pengerusi Dewan Rakyat. Siap boleh cakap “Order, order!
“Sultan Malikul Mansur datang ke Beruas selepas Sultan Malikus Salih mangkat tahun 1297 Masihi... Atau 1292 mengikut sesetengah pendapat. Ada pula kata 1289... Apapun, penghujung abad ke 13. Dan Malikul Mansur sempat memerintah Samudera dalam satu tempoh. Maka baginda boleh dikatakan sampai ke Beruas awal abad ke 14 Masihi, sekurang-kurangnya 300 tahun selepas Gangga Negara dilanggar orang,” dia menghalakan perbincangan kembali ke sejarah kemunculan Beruas. “Mungkin kerajaan Beruas dibina atas keruntuhan kerajaan Gangga Negara? Mungkin sisa-sisa kerajaan itu masih wujud ketika kedatangan Sultan Malikul Mansur lalu disatukan dan dibina semula menjadi sebuah negeri berdaulat?”

"Berpetualang ke Aceh" tour run 3

Sungai Bernam di Tanjung Malim/ Ulu Bernam yang menandakan sempadan negeri Perak dengan Selangor. Entah kenapa, saya terasa wajib memulakan artikel ke 3 "Berpetualang ke Aceh" tour run dengan gambar ini. Ada semacam kedamaian yang menggamit kuasa mistik... Ada sejarah lama berkaitan keluarga yang melibatkan petualangan anak-anak Raja Bugis melawan penjajah di sebalik kedamaian ini...


Ini pula gambar empangan Ulu Selangor yang diambil daripada dalam bas ketika turun dari Bukit Fraser ke Kuala Kubu Baru. Inilah satu-satunya gambar elok yang dapat diambil daripada dalam bas yang asyik terhenjut-henjut, menggunakan kamera digital murah yang gambarnya senang sangat blur apabila tergoyang sedikit.
Bila difikirkan semula, ada makna yang mendalam di sebalik perjalanan ini. Kali terakhir saya melalui jalan tersebut adalah tahun 2001, setelah bertemu almarhum nenek di Raub (selepas 3 tahun tidak bersua muka) dan buat pertama kalinya bertanyakan asal-usul keluarga.
Jalan Raub, Tras, Gap (persimpangan untuk naik ke Bukit Fraser) ke Kuala Kubu inilah yang digunakan untuk pergi ke negeri Perak selepas itu lalu buat pertama kali pergi menziarahi makam-makam lama milik keluarga di sana. Ketika itu, empangan Ulu Selangor sedang dibina, belum ada air bertakung memenuhinya, yang ada cuma aliran Sungai Selangor yang semakin mengecil di hulu!

OK... Sekarang barulah boleh disambung cerita...

Saya turun daripada Bukit Fraser dengan niat untuk bermalam di Kuala Kubu Baru. Sampai di sana pula, hotel murahnya sudah penuh dengan penginap sedangkan saya sudah begitu penat berjalan ke sana-ke mari mengusung kit promosi dan rucksack besar... Apalagi, pada malamnya, saya tidak dapat tidur nyenyak kerana kesejukan akibat demam berserta hawa dingin malam pergunungan di masjid Bukit Fraser.
Saya pun pergi balik ke stesyen bas Kuala Kubu Baru dengan niat baru untuk kembali ke Kuala Lumpur. Tunggu punya tunggu, bas ke Tanjung Malim pula sampai lalu saya menurut gerak hati yang tiba-tiba terbetik dan terus menaiki bas itu...


Sampai di Tanjung Malim, Perak saya sudah terasa begitu penat. Tetapi hati ini menyuruh berjalan kaki menghala ke Ulu Bernam di dalam Selangor untuk menziarahi masjid lama Sheikh Ismail (dibina tahun 1920an gitu) sebelum bergerak mencari hotel penginapan dan sebagainya.
Saya pun berjalan mengusung segala barangan. Dalam perjalanan itulah saya tergerak untuk mengambil gambar Sungai Bernam yang membuka artikel ini.
Lihat gambar di atas... Sempat juga saya menggantungkan bunting di hadapan masjid dan lampu isyarat.
Maha Suci Allah, semasa hendak membungkus balik bunting tersebut, lalu sebuah kereta dan kelihatan kelibat seorang manusia yang mukanya saling tak tumpah seperti seorang kawan lama di Muar yang akhir sekali ditemui lebih 10 tahun lalu. Tetapi kereta itu terus berlepas pergi sedangkan saya tidak mampu mengejarnya. Kalau dapat kejar pun, mungkin saya tersilap orang atau ada pelanduk dua serupa?
Saya meneruskan kerja membungkus bunting dan mengemas kembali kit promosi dengan niat untuk kembali ke bandar Tanjung Malim dan mencari hotel penginapan di sana. Tiba-tiba terdengar satu jeritan: "Radzi!"
Saya memandang ke belakang... Masyaallah... Joe, kawan lama saya! Ternyata memang dialah yang berada di dalam kereta tadi... Siapa sangka boleh bertemu di sini pula? Kalau tadi saya berada di dalam masjid atau berada di tempat lain ketika keretanya lalu di situ, kemungkinan besar kami tidak akan berjumpa langsung!
Maha Suci Allah yang mengatur segalanya. Sesungguhnya jodoh pertemuan memang di tanganNya!


Rupa-rupanya Joe ada di dalam kereta itu bersama seorang kawan bernama Shamsul, seorang anak jati Tanjung Malim. Joe telah memberitahu, dia terlihat seseorang yang rupanya seperti seorang kawan lama di Muar (saya lah itu!)... Si Shamsul yang memandu kereta pun mencadangkan mereka berpatah balik untuk memastikan.
Selepas kami bertegur-sapa memperbaharui perkenalan, mereka pun membawa makan di sebuah warung. Sambil bertukar cerita, sempat juga saya menggantung bunting membuat promosi... Lalu saya dapat tahu, Joe yang sebaya dengan saya, teman bermain bola di padang Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar (sekolah perempuan) semasa zaman kecil-kecil dahulu telah berumah-tangga dengan seorang gadis Tanjung Malim!
Dipendekkan cerita, malam itu saya dapat tidur selesa di rumah Joe di Proton City. Dapatlah bertukar-tukar banyak cerita lagi termasuk cerita tentang usaha menerbitkan siri buku "Berpetualang ke Aceh" ini!


Keesokannya selepas tengahari, saya pun bersedia untuk kembali ke Kuala Lumpur. Joe menghantar ke stesyen bas Tanjung Malim. Sementara makan nasi goreng pedas cili api di warung atas, sempat juga menggantungkan bunting di tangga.
Hasilnya... Pemandu bas Tanjung Malim ke KL, bas ekspress yang saya naiki sibuk bertanya tentang siri buku BKA lalu berazam untuk membelinya sebaik sahaja mendapat gaji nanti.


Sampai sahaja di Kuala Lumpur, saya turun di hadapan stesyen LRT Masjid Jamek. Tanpa membuang masa, terus membuka kit promosi di sini... Merasalah juga bagaimana risaunya para peniaga jalanan akan risiko berniaga cara begitu sehingga harus bergegas lari membawa barangan jualan masing-masing apabila muncul petugas Dewan Bandaraya memantau keadaan dengan buku saman di tangan.
"Jangan main-main woo!" kata seorang peniaga jalanan. "Di sini, DBKL akan terus merampas barangan kalau kena tangkap!"


Pada malamnya pula, saya sempat menayangkan bunting promosi di kawasan peniaga Masjid India seperti yang tertera di atas ini. Tidak lama kemudian, muncul beberapa orang petugas DBKL. Nasib baik mereka tak marah atau menyaman apabila saya menyatakan bunting itu milik saya untuk mewar-warkan siri buku. Cuma mereka meminta supaya saya mengalihkannya ke belakang garisan kuning, itu aje!


Kit promosi setelah dialih... Banyak juga orang yang berhenti membeleknya lalu bertanya tentang buku.



Ini pula gambar yang diambil keesokannya hari Selasa. Sekembali sahaja ke rumah ibu saudara di Ampang malam sebelum itu, saya mendapati ada surat daripada Kuala Terengganu memesan senaskah BKA I dan BKA II. Maka hari Selesa itu saya pun pergi ke pejabat pos di Ampang Point untuk menghantar buku tersebut melalu poslaju. Sementara menulis alamat dan membuat apa yang patut, saya sempat menggantungkan bunting di hadapan pejabat pos ini pula!


Gambar terakhir bunting ini diambil di Wisma Central bersebelahan KLCC pada waktu makan tengahari sejurus selepas meninggalkan pejabat pos di Ampang Point. Oleh kerana pada masa ini ramai orang lalu-lalang keluar makan, rasanya amat sesuai membuat promosi jalanan...
Yang pasti memang ada orang yang tertarik... Pak guard bangunan Wisma Central telah bertanya tentang buku itu dan menyatakan azam akan membelinya selepas dapat gaji nanti.
Petang itu, saya ke Kota Kemuning Shah Alam bersama dua orang rakan untuk membincangkan sedikit urus-niaga design brochure iklan untuk sebuah syarikat. Kami singgah makan di sebuah restoran lalu saya pun menyangkutkan bunting pada kereta sementara kami makan.
Sebaik sahaja kembali ke kereta, kami dapati bunting itu telah hilang! Mungkin dicuri orang, mungkin ia terjatuh kemudian diambil mereka yang lalu-lalang kerana menyangkakan ia barang buangan?
Kalau diikutkan, memang saya rasa terkilan. Maklumlah barangan yang dibuat menggunakan duit sendiri yang tak seberapa kemudian telah diusung ke sana ke mari sehingga timbul rasa sebati... Tetapi seperti biasa, tetap ada hikmahnya apabila berlaku sesuatu sebegini... Bukankah diri ini telah berikrar untuk memegang sepenuhnya kalimah Lahawlawala Quwatailla Billahil Aliyil Azim? Tiada Daya dan Upaya kecuali daripada Allah belaka?
Kalau betul pun ia dicuri orang, bukankah itu kerana Allah jua yang membenarkan ia berlaku? Dan Allah itu Maha Bijaksana... Tentu ada sebabnya.
Apapun, cukuplah cerita ini buat masa ini. Kita tukar arah bercerita pula... Syukur alhamdulillah!

"Berpetualang ke Aceh" tour run 2

OK... Tanpa membuang masa, kita terus menyambung cerita...

Tengahari Sabtu 22 Jun, sementara menunggu perkhidmatan bas 1.30 petang Raub ke Bukit Fraser, saya pun menggunakan masa yang terluang untuk menggantung bunting di stesyen bas. Untuk makluman, perkhidmatan bas ke Bukit Fraser diadakan dua kali sehari dengan perkhidmatan awal bermula jam 8.30 pagi gitu. Nasib baiklah, ada... Kalau tak terlepaslah hajat awal untuk membuat promosi di Bukit Fraser.
Semasa menggantungkan bunting ini, ada juga beberapa orang bertanya, untuk apa saya menggantungnya... Saya jawab direct je... Nak promote buku. Tapi saya tak cakap buku siapa...
Lalu ada yang bertanya jika saya ini orang Aceh, apabila terlihat tajuk besar "Berpetualang ke Aceh" pada poster. Malah terdengar sup-sap orang bercakap di belakang: "Orang Aceh ini...". Mungkin melihatkan penampilan saya yang sedikit pelik semasa itu, memakai seluar petak-petak seperti kain pelikat dengan t-shirt kolar bulat?
Jawab saya, memang tok nenek-moyang saya berketurunan Aceh tetapi mereka telah meninggalkan bumi Serambi Mekah 300 tahun lalu... Dan saya adalah rakyat Malaysia. Itu sahaja...


Selepas menggantung bunting di tempat tadi, saya pun berjalan-jalan di sekitar stesyen bas Raub. Terlihat pula tempat yang dirasakan lebih menarik untuk membuat promosi, pada bangunan MARA berhadapan stesyen bas... Apalagi, saya pun mengalihkan bunting ke sini pula!


Lihat daripada jauh... Rasanya kedudukan bunting yang ini lebih strategik untuk dilihat semua.
Tidak lama kemudian, bas Raub ke Bukit Fraser pun sampai. Sayangnya, saya yang baru keluar daripada tandas di restoran berdekatan terkejar-kejar sehingga tidak sempat mengambil gambar bas kecil buruk yang pernah menjadi bas mini wilayah di Kuala Lumpur 10 tahun lalu. Kalau tidak, tentu menarik untuk dilihat oleh semua... Kira klasik ni...
Apapun, setelah lebih 1 jam melalui jalan sempit pergunungan yang berliku-liku dalam bas buruk yang asyik terhenjut-henjut, saya pun sampai ke bukit peranginan itu. Tanpa membuang masa, saya pun terus mencari tempat yang dirasakan sesuai untuk mendirikan kit promosi.


Setelah meneliti suasa sekeliling di kawasan 'pusat bandar' Bukit Fraser, saya merasakan kawasan di sisi pohon berhadapan Kelab Golf adalah yang paling sesuai ketika itu lebih-lebih lagi kerana ada bayangan pokok memberi lindungan daripada silauan terik matahari.
Sampai sahaja di pohon itu, saya terus ternampak satu spesis kumbang besar dengan sesungut panjang yang rasanya pernah dilihat cuma sekali-dua sahaja dalam hidup ini. Maaf, terlupa pula hendak mengambil gambarnya. Saya menganggap ini sebagai tanda tempat itu memang sesuai didirikan kit promosi. Maka jadilah seperti dalam gambar di atas ini...


Tidak lama kemudian, datang sebuah kereta lalu berhenti di tempat tadi sehingga menghadang penglihatan orang ramai daripada bunting promosi. Timbul pula sedikit rasa marah... Apakah pemandu kereta ini tidak ada tempat lain untuk meletakkan kereta? Lebih-lebih lagi tempat kereta itu diletak adalah di luar kotak kawasan meletak kereta yang bertanda.
Nasib baik hati ini mengingatkan bahawa semuanya berlaku kerana af'al perbuatan Allah jua. Maka anggaplah ia sebagai isyarat untuk mengalih kedudukan kit promosi saya... Lagipun bukannya susah... Angkat sahaja dan alihkan ke tempat yang baru...
Itulah yang dapat dilihat dalam gambar di atas. Tengok... Terus ada orang berminat untuk membelek dan membaca buku "Berpetualang ke Aceh"!

Oh... Nak tahu bagaimana rupa sebenar kit promosi ciptaan saya, lihatlah gambar di atas...
Perhatikan, tongkat besi yang boleh dipanjang-pendekkan diikat pada luggage carrier murah kemudian digantung bunting di atas dan diikat ke semuanya dengan dua set tali untuk mengukuhkan kedudukan.
Perhatikan juga, tikar mengkuang buruk yang mengandungi 10 naskah BKA I dan 10 BKA II untuk mengimbangi bunting pada tongkat. Apabila perlu, tikar ini boleh dibuka unuk mempamirkan buku di samping menjadi tempat saya duduk berehat lalu bunting diimbangi dengan rucksack pula!

Lihat daripada hadapan pula... Nampak agak kemas sehingga beberapa orang datang lalu menyatakan rasa kagum melihat kit promosi ini kerana nampak agak professional... Bila ternampak luggage carrier, tongkat serta tikar mengkuang di belakang, kata mereka ringkas... "Sungguh kreatif!"
Itulah harga dan usaha untuk membuat promosi jalanan ini... Maklumlah penulis bebas lagi sengkek seperti saya, mana ada budget berpuluh ribu untuk buat promosi macam orang lain?
Itupun alhamdulillah, Allah telah memberikan saya ilham, kekuatan dengan Qudrat dan Iradat nya jua untuk melakukan ini... Kita sambung cerita sebentar lagi ya... Insyaallah! :]

"Berpetualang ke Aceh" tour run 1

OK... Setelah berehat seketika kemudian berjalan kaki pergi balik daripada Taman Ampang Utama ke Ampang Point bersenam sedikit sambil merehatkan minda seraya meninjau suasana hujung minggu, baru timbul gerak untuk membuat penulisan mengenai "tour run" promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" yang mukadimahnya ada diberi di "Berpetualang ke Aceh" tour trial run... .
Oopss... Dalam keghairahan untuk menukilkan kata-kata di sini, hampir terlupa pula menunaikan solat Maghrib... Tunggu sebentar ya...


---------------------------------

OK... Selesai. Gambar yang mahu dimuatkan juga sudah sedia di upload. Bolehlah dimulakan cerita...

Adapun ilham untuk membuat promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" ini terbit apabila seorang sepupu mencadangkan agar saya pergi ke Bukit Fraser sempena perlumbaan antarabangsa melihat burung 23-24 Jun lalu mebuat promosi di sana. Sedikit cerita tentang ini ada dinukilkan dalam Melihat burung di Bukit Fraser? . Biar saya copy and paste sedikit yang relevan untuk artikel ini...

Dua minggu lepas seorang sepupu yang sudah lama tidak berhubung tiba-tiba menalifon. Rupa-rupanya, dia terbaca ulasan tentang siri buku "Berpetualang ke Aceh" yang baru keluar dalam akhbar Berita Harian hari itu. Sila lihat Ulasan Berita Harian mengenai BKA II.
Sepupu ini agak teruja dengan ulasan tersebut lalu mencadangkan agar saya membuat promosi di Bukit Fraser, sempena acara perlumbaan antarabangsa melihat burung tahun ini. Kebetulan saya telah menghadari acara yang sama tahun lepas dan ternyata ramai peserta serta pengunjung memeriahkan suasana, maka timbul rasa untuk menyahut cadangan sepupu itu.Khamis, 21 Jun.
Saya pun bergegas ke rumah almarhum nenek di Raub di mana Mak Uda, ibu kepada sepupu ini tinggal. Baru saya tahu, tidak seperti tahun lepas di mana sepupu ini telah datang ke Bukit Fraser bersama keluarga iparnya, tahun ini mereka tidak dapat pergi kerana kesibukan hal masing-masing. Nyaris-nyaris saya membatalkan rancangan untuk ke sana, jika tidak kerana disebabkan beberapa 'kebetulan' yang saya anggap sebagai tanda perlu juga naik ke Bukit Fraser. Maka saya pun mengambil kesempatan atas kehadiran ramai manusia sempena acara perlumbaan burung untuk mempromosikan buku saya.

Kebetulan, saya memang bercadang untuk ke Raub dengan membawa 40 naskah buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" atau BKA I serta 40 naskah "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II untuk diletakkan di rumah nenek di sana... Supaya peminat buku di sekitar Raub boleh mendapatkannya melalui ibu saudara atau sepupu saya.
Oleh kerana saya juga perlu membawa sedikit naskah untuk dipamirkan di Bukit Fraser tanpa mengacau ration untuk Raub, saya telah membuat keputusan untuk membawa tambahan 10 naskah BKA I dan 10 BKA II. Jika dicampur berat kesemuanya, ada dalam 50kg sedangkan saya juga terpaksa mengangkat rucksack mengandungi pakaian dan barang keperluan lain termasuk komputer laptop turun-naik pengangkutan awam kerana tidak memiliki kenderaan sendiri.
Timbul pula ilham untuk membeli luggage carrier demi membawa buku-buku ini ke Raub atau ke mana-mana. Apabila melihat carrier itu, timbul lagi satu ilham... Kalau dapat diikat batang besi atau tongkat, bolehlah dijadikan tempat penyangkut untuk meletakkan bunting (bukan perempuan bunting ya!) yang mengandungi poster promosi siri buku BKA. Maka jadilah satu kit promosi yang boleh diusung ke sana sini untuk membuat promosi jalanan.
Kebetulan saya memiliki sebuah bunting yang telah disediakan untuk majlis pelancaran siri buku ini di Khazanah Fathaniyah di Chow Kit 9 Jun lalu. Cerita berkaitan ada dinukilkan dalam Fuh... Lega sungguh rasanya! dan Pelancaran BKA di Khazanah Fathaniyah Sabtu ini. Full steam ahead! .
Khamis 21 Jun, saya sedia untuk bergerak ke Raub. Seorang teman wanita menawarkan untuk menghantar daripada rumah ibu saudara di Ampang sampai ke stesyen bas di Pekeliling... Singgah sebentar makan tengahari di Kampung Baru lalu peluang itupun digunakan untuk menguji keberkesanan promosi jalanan menggunakan bunting. Jadilah seperti gambar di bawah...

Sementara menikmati makan tengah-hari, bunting promosi disangkut pada kereta... Bolehlah dilihat orang yang lalu-lalang, cukuplah setakat memberitahu kepada yang belum tahu akan wujudnya siri buku sejarah Melayu Islam bernama "Berpetualang ke Aceh"...


Kebetulan pula di warung tempat kami makan, ada pula bunting dengan tajuk utama "Bangsa membaca, bangsa berjaya". Macam tau-tau je saya nak datang!


Gambar diambil di hospital swasta berhadapan masjid jamek Kampung Baru. Sementara menunaikan solat, elok juga masa itu digunakan untuk membuat promosi buku.
Bukannya susah... Gantung aje bunting tersebut dan tinggalkan di tempat di mana orang boleh nampak... Yang susah adalah buat muka tak malu ikat bunting entah kat mana-mana di hadapan orang ramai... Tapi apa yang sebenarnya hendak dimalukan? Bukannya makan rasuah, tipu rakyat ataupun buat maksiat! Lain le kalau saya buat kerja telanjang bulat... Heh!


Sementara pergi ke bank mengeluarkan duit, promosi diteruskan di kawasan Chow Kit...


Tu dia... Dalam bas pun boleh gantung bunting woo... Buat muka tebal je ikat kat besi atas tu. Nasib baik pemandu bas tak kisah... Cuma orang lain sahaja yang memandang pelik lebih-lebih lagi bila saya dengan selambanya ambil kedudukan di kerusi sebelah orang untuk mengambil gambar yang sesuai... Heh!


Hmm... Bila dilihat balik, boleh tahan juga rupa poster ini digantung dalam bas!


Ujian keberkesanan "kit promosi jalanan" yang pertama sekali, setelah sampai di stesyen bas Raub petang Khamis.
Di sinilah buat pertama kalinya, luggage carrier yang digunakan untuk mengangkut 50 naskah BKA I dan 50 BKA II bertindak sebagai tiang iklan... Dengan mengikat tongkat besi buatan Korea yang boleh dipanjang dan dipendekkan, dibeli di Central Market petang Rabu pada carrier lalu digantung bunting di atasnya...


Lihat... Promosi jalanan siri buku "Berpetualang ke Aceh" di hadapan stesyen bas Raub di mana semua kenderaan yang mahu menghala ke Kuala Lipis dan Kelantan perlu melaluinya.
Maka ada juga 2-3 orang yang bertanya, apakah yang mahu dipromosikan. Di sini juga saya belajar the hard way, bahawa saya perlu menggunakan dua set tali untuk membuat ikatan yang lebih kukuh dan kemas agar bunting dan tongkat tidak jatuh ditiup angin.
Sekian... Kita sambung cerita nanti di bahagian 2 pula... Wassalam!






Beruas, Malikul Mansur dan Gangga Negara

Gambar bukit di Segari, Perak dilihat daripada bandar Pantai Remis. Entah kenapa, setiap kali terlihat bukit ini, saya mesti teringat kerajaan purba Gangga Negara yang ada diceritakan dalam kitab Sulalatus Salatin karangan Tun Sri Lanang, kitab lama yang juga dikenali sebagai Sejarah Melayu.


Semalam, saya bercadang untuk memulakan penulisan bertajuk "'Berpetualang ke Aceh' tour run" atau tajuk-tajuk sewaktu dengannya... Sebaik sahaja selesai membuat artikel baru dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) mengenai sebuah rumah lama di Kampung Baru.
Artikel "tour" ini adalah mengenai usaha membuat promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" secara jalanan... Satu bentuk eksperimen promosi dan advertising yang menyaksikan saya mengusung beberapa naskah buku berserta bunting rekaan sendiri turun naik bas di beberapa tempat, bermula di Kampung Baru (masa tu naik kereta kawan) sebelum naik ke Raub, Pahang. Perjalanan diteruskan ke Bukit Fraser menaiki bas kecil buruk yang merupakan bas mini lama wilayah, sempena perlumbaan antarabangsa melihat burung 23-24 Jun... Sebelum turun ke Kuala Kubu Baru, kemudian Tanjung Malim, kemudian baru kembali ke Kuala Lumpur. Sedikit cerita tentang Bukit Fraser telah dinukilkan dalam artikel Melihat burung di Bukit Fraser?.
Entah kenapa, malam tadi timbul pula gerak untuk mengubah sedikit rupabentuk blogspot itu. Siang semalam, entah kenapa juga, saya tergerak untuk membuat perubahan dalam rupabentuk blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEH sebelum membuat 3 posting terbaru yang mengandungi terjemahan dan adaptasi bab bertajuk "Mukadimah: Kenapa Berpetualang?"... Daripada buku pertama saya, "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" atau BKA I.
Agaknya sebab itu malam tadi saya tergerak hendak membuat perubahan dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)... Sebaik sahaja selesai ini kemudian membuat posting terbaru dengan tajuk Rumah Melayu lama di Kampung Baru (An old Malay house in Kampung Baru) di sana, saya sepatutnya mula bercerita tentang perjalanan tour membuat promosi itu di blogspot ini, cerita yang sedikit hint atau mukadimahnya ada diletak di "Berpetualang ke Aceh" tour trial run... . Sebaliknya saya 'terpanggil' pula untuk membuat sedikit perubahan rekabentuk blogspot ini pula! Lalu dalam keletihan akibat banyak sangat berjalan mengusung buku kebelakangan ini sampai sakit-sakit badan dan pinggang, saya terlajak lagi di hadapan komputer sehingga jam 2 pagi, itupun cuma berhenti setelah signal wi-fi Internet rumah jiran yang saya tumpang menghadapi gangguan.


Apapun, malam tadi apabila memikirkan saya terlalu penat untuk membuat cerita baru tentang "tour" tersebut, timbul pula gerak untuk menggunakan cebisan cerita daripada buku kedua saya, "Berpetualang ke Aceh: Membelas Syiar yang Asal" atau BKA II sebagai filler... Sebelum dapat membuat artikel yang memuaskan mengenai perjalanan terbaru mempromosi siri buku ini. Maka terimalah cerita ini, cerita mengenai kaitan kerajaan Melayu lama Beruas dengan Sultan Malikul Mansur, seorang anak raja yang terbuang daripada bumi Aceh juga kaitan semua ini dengan kerajaan purba Gangga Negara. Silakan!


--------------------------------



Mengikut Hikayat Raja-raja Pasai, Sultan Malikul Mansur ada meninggalkan seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Tetapi ia tidak menyebut langsung tentang Samudera atau Sultan Malikul Mansur, apalagi anak cucunya selepas baginda mangkat. Apakah yang terjadi kepada anak cucu ini? Takkan cerita mengenai mereka ini boleh hilang begitu sahaja sedangkan merekalah zuriat berdaulat yang mewarisi zat dan kelebihan raja bertaraf wali dan raja para wali di bumi Timur ini?
Selain Hikayat Raja-raja Pasai dan Sejarah Melayu (yang mana ceritanya mengenai Samudera dan Pasai adalah saduran daripada hikayat itu berserta cerita rakyat tempatan semasa penulisnya Tun Sri Lanang berada di Aceh), setahu Rasyid nama Sultan Malikul Mansur cuma disebut di sebuah sahaja tempat lain iaitu Beruas di Perak. Mengikut cerita lama yang tertera di Muzium Beruas, sebelum wujud kerajaan Melaka, datang seorang anak raja dari Aceh bernama Malikul Mansur membuka negeri di situ. Lalu dinamakan Beruas sempena nama pohon tempat baginda berehat.. ,
Mengikut sebuah cerita lain pula, Beruas pernah dianggap sebuah kerajaan yang amat besar lagi makmur suatu masa dahulu, lebih kurang seperti Melaka semasa zaman kegemilangannya. Malah mengikut cerita orang-orang tertentu, sempadan utaranya sampai ke Kedah, timurnya ke Terengganu dan selatannya sampai ke Sungai Muar!
Dalam wilayah sama, pernah wujud sebuah kerajaan besar bernama Gangga Negara. Cuma sejarah mencatatkannya sebagai kerajaan Hindu sedangkan Beruas diketahui sebuah kerajaan Islam. Apakah Beruas tercipta selepas Gangga Negara diIslamkan atau ada rahsia lain yang tersirat?

——————————————

“Nampaknya memang ada kaitan antara kedua-dua kerajaan ini,” kata Rasyid dalam sesi kedua ‘panel ahli sejarah’ bersama Nasri dan Nizam, kali ini di rumah Nizam di Cheras. “Kedua-duanya berpusat di sekitar daerah Dinding dan Beruas, Perak. Hikayat Merong Mahawangsa yang menceritakan asal-usul Raja-raja Kedah juga asal-usul raja-raja yang memerintah kerajaan lama Langkasuka ada menyebut bahawa Gangga Negara ini dibuka oleh seorang anak raja dari Kedah iaitu Raja Ganji Sarjuna,” sambungnya sambil menghulurkan senaskah hikayat tersebut.
Nizam yang sudah lebih 10 tahun meminati cerita-cerita lama Melayu membelek-belek naskah yang pernah menjadi buku teks wajib pengajian Sastera pelajar Tingkatan Enam itu. “Hmm... Aku pernah baca buku ini sampai habis semasa kecil-kecil dahulu,” rakan itu bersuara. “Seperti Raja-raja Kedah dan Langkasuka, Ganji Sarjuna juga adalah anak Raja Merong Mahawangsa, seorang anak raja dari wilayah Parsi yang terdampar di Nusantara selepas kapalnya diserang burung Garuda ketika membawa anak Raja Rum ke Cina untuk berkahwin dengan puteri raja China.”
“Ada pihak menyebut Gangga Negara dibuka sekitar abad ke 2 Masihi,” Nasri menyelit. “Bukti-bukti arkeologi pula menunjukkan kerajaan ini sudah wujud selewat-lewatnya abad ke 5 atau 6 Masihi sementara sesetengah pengkaji berpendapat negeri itu dinamakan sempena nama Sungai Ganges di India lalu mengaitkannya dengan tamadun Hindi. Mengikut kitab Sejarah Melayu, Raja Suran, Raja Hindi berketurunan Iskandar Zulkarnain yang kemudian menurunkan Sultan-Sultan Melaka telah melanggar Gangga Negara dalam perjalanannya hendak menakluki negeri Cina. Baginda dikatakan membawa seribu dua ratus laksa askar dan rakyat lalu menundukkan semua negeri yang ditemui dalam perjalanan itu.”
Rasyid tersenyum gembira. Nampaknya perbincangan mereka menjadi semakin menarik dan bernas walaupun baru memulakan “kelab ahli panel sejarah” mereka dua minggu lepas. Masing-masing bersedia dengan cerita-cerita atau fakta sokongan – Rasyid dengan Hikayat Merong Mahawangsa, Nasri dengan Sejarah Melayu, Nizam dengan sebuah buku tentang sejarah kerajaan-kerajaan sebelum dan selepas Islam di Nusantara.
Ternyata ketiga-tiga pemuda berkelulusan universiti ini mempunyai minat yang sama... Sepertimana ada yang suka berkumpul seminggu sekali, bergilir di rumah kawan untuk bertukar membaca koleksi komik masing-masing atau bermain RPG, role-playing games. Jika lelaki yang sudah berkeluarga dan berumur pun sanggup berlakon membawa watak RPG seperti raja dan panglima yang akan berlaga atau bekerjasama untuk menjayakan misi tertentu berlatar-belakangkan suatu suasana khayalan, misalnya peperangan dalam dunia penuh keajaiban seperti yang dilakarkan dalam cereka terkenal yang telah difilemkan, Lord of the Rings, apalah salahnya tiga pemuda ini berkumpul membincangkan sejarah lama?
Ah! Teringat pula zaman kecil sebelum bersekolah di mana Rasyid telah “mengisytiharkan” sebuah kawasan sebesar bilik tidur yang dipagari serumpun pokok pisang di belakang rumah datuknya di Muar, Johor sebagai sebuah negeri sendiri bernama “Separuh”... Kerana setiap orang yang ingin memasukinya mesti bercakap dalam bahasa separuh, contohnya “Saya ingin makan” disebut “Say ing mak”. “Rakyat negeri” itu pula terdiri daripada adiknya yang terdekat, Wai serta beberapa orang anak jiran. Dan seperti biasa, Rasyid lah yang menjadi ketua, ataupun raja…






--------------------------------




Hmm... Baru saya perasan apabila membuat copy and paste tadi... Bahagian yang diambil daripada bab bertajuk "Malikul Mansur: Pewaris yang disisihkan" ini ngam-ngam nak masuk pada bahagian yang menceritakan tentang kenangan lama watak utama cerita, Muhammad Al-Aminul Rasyid di Muar.
Kebetulan sejak minggu lepas, saya memang bercadang untuk meletakkan beberapa bahagian cerita berkaitan Muar di sini, mengenangkan betapa dalam sebulan dua kebelakangan ini saya telah ditemukan Allah dengan ramai kawan-kawan lama daripada Muar yang sudah bertahun, 10 tahun, 20 tahun tidak berjumpa... Bayangkan, semasa di Tanjung Malim, Perak pun saya boleh terserempak dengan rakan sepermainan kecil-kecil di Muar yang 10 tahun tak berjumpa lalu dijemput bermalam di rumahnya, masyaallah!

Apapun, ini akan saya buat selepas 'melepaskan' cerita mengenai tour promosi "Berpetualang ke Aceh" ya. Jadi tunggu! Bukankah sabar itu separuh daripada iman?
Hmm... Teringat pula model cantik daripda Afrika terkenal suatu masa dahulu bernama Iman... Kalau tak salah ingat, dia berkahwin dengan penyanyi David Bowie... Sabar separuh daripada Iman. Heh! Apa aku mengarut ni... Dah le... Wassalam! :]

Rabu, Jun 27, 2007

Melihat burung di Bukit Fraser?

Sungguh berwarna-warni... Suasana yang menggamit para pengunjung di Bukit Fraser untuk perlumbaan antarabangsa melihat burung 23-24 Jun.

Dua minggu lepas seorang sepupu yang sudah lama tidak berhubung tiba-tiba menalifon. Rupa-rupanya, dia terbaca ulasan tentang siri buku "Berpetualang ke Aceh" yang baru keluar dalam akhbar Berita Harian hari itu. Sila lihat Ulasan Berita Harian mengenai BKA II.
Sepupu ini agak teruja dengan ulasan tersebut lalu mencadangkan agar saya membuat promosi di Bukit Fraser, sempena acara perlumbaan antarabangsa melihat burung tahun ini. Kebetulan saya telah menghadari acara yang sama tahun lepas dan ternyata ramai peserta serta pengunjung memeriahkan suasana, maka timbul rasa untuk menyahut cadangan sepupu itu.
Khamis, 21 Jun.
Saya pun bergegas ke rumah almarhum nenek di Raub di mana Mak Uda, ibu kepada sepupu ini tinggal. Baru saya tahu, tidak seperti tahun lepas di mana sepupu ini telah datang ke Bukit Fraser bersama keluarga iparnya, tahun ini mereka tidak dapat pergi kerana kesibukan hal masing-masing. Nyaris-nyaris saya membatalkan rancangan untuk ke sana, jika tidak kerana disebabkan beberapa 'kebetulan' yang saya anggap sebagai tanda perlu juga naik ke Bukit Fraser. Maka saya pun mengambil kesempatan atas kehadiran ramai manusia sempena acara perlumbaan burung untuk mempromosikan buku saya.
Pada awalnya, saya ingat saya perlu berada di Raub sehingga hari Isnin demi menolong ahli keluarga. Seorang bapa saudara telah mengalami kemalangan yang menyebabkannya tidak dapat memandu kereta maka Mak Uda meminta saya agar bersedia untuk bertindak sebagai pemandu untuk menghantar isteri kepada bapa saudara itu, Mak Ngah untuk pergi balik kerja.
Demi keluarga, saya pun menyatakan kesediaan untuk mula 'berkhidmat' pada esoknya. Ternyata Mak Ngah bercuti hari Jumaat dan kemudian muncul saudara-mara lain mengambil-alih kerja, maka saya mempunyai masa yang terluang untuk berbuat apa-apa perkara yang disukai. Tetapi susah rasanya untuk pergi ke Bukit Fraser kerana saya tidak memiliki kenderaan... Tahun lepas, saya pergi menaiki kereta sepupu...
Hari Jumaat itu, saya telah pergi ke bandar Raub seorang diri menaiki bas kemudian berjalan kaki hampir sebatu ke Simpang Kallang untuk makan tengahari masakan ikan keli gulai asam rong di sebuah warung . Oleh kerana masjid jamek baru terletak agak jauh sedangkan saya tidak memiliki apa-apa kenderaan, saya sudah terfikir akan membuat solat Zuhur sahaja di masjid jamek lama yang terletak lebih dekat. Lagipun saya sedang bermusafir, tidak wajib menunaikan solat Jumaat.
Dalam perjalanan kembali ke pusat bandar selepas makan, saya bercadang untuk singgah di sekitar restoran Kentucky Fried Chicken kerana sepupu saya ada memberitahu di situ terdapat signal wi-fi Internet yang mungkin saya boleh tumpang. Seorang buah hati pula telah menalifon sehingga saya terleka lalu berjalan kaki 3 blok kedai melepasi restoran Kentucky!
Rupa-rupanya ada hikmah kenapa ini berlaku. Perjalanan yang terlajak ini menyebabkan saya terserempak dengan sepupu yang ketika itu berada di sebuah kedai foto. Maka dapatlah saya menumpangnya menaiki skuter untuk menunaikan solat Jumaat di masjid jamek. Kemudian kami singgah di rumah keluarga iparnya dan di situlah si mak ipar memberitahu, terdapat perkhidmatan bas 2 kali sehari daripada Raub ke Bukit Fraser.
Dipendekkan cerita, saya pun dapat naik ke sana untuk membuat promosi buku "Berpetualang ke Aceh"... Tetapi biarlah cerita tentang promosi ini dibuat dalam artikel lain ya, rasanya untuk blogspot "Catatan Si Merah Silu" sahaja... Di sini, saya sekadar ingin bercerita tentang apa yang berlaku serta suasana di sekitar Bukit Fraser 23-24 Jun lalu. Silakan... :]


Jam besar Bukit Fraser... Ketika sedang duduk berehat di satu kawasan, saya dapat melihat sekumpulan pelajar perempuan yang masih muda, rasanya pelajar sekolah menengah berjalan menghala ke jam besar, masing-masing membawa kamera.
Tidak lama kemudian, kelihatan seorang dewasa dengan peralatan kamera yang lebih canggih, rasanya guru mereka. Orang ini menyuruh mereka mengambil gambar jam besar itu. "Inilah identiti Bukit Fraser!" katanya.


Sebahagian daripada gerai-gerai pamiran yang didirikan sempena acara perlumbaan melihat burung Bukit Fraser. Untuk makluman, acara yang diadakan sejak tahun 1988 (kalau tak salah ingatan) ini dihadiri juga oleh ramai peserta dan pengunjung daripada luar negara.
Ini memberi kesempatan kepada mana-mana pihak untuk mempromosi barangan jualan atau keluaran mereka ke khalayak yang lebih luas. Maka itu ada gerai mempromosi batik dan barang-barang optikal seperti teropong dan lensa kamera. Ada juga gerai mempromosi tumbuh-tumbuhan hutan terutama di negeri Pahang.
Di latar-belakang gambar adalah hotel Puncak Inn yang juga merupakan salah sebuah bangunan identiti Bukit Fraser. Harga penginapan di sini, kalau tak salah ingatan sekitar RM50 hingga RM90 untuk satu bilik sehari, dikatakan paling murah di bukit peranginan ini.


Pemandangan gerai-gerai pamiran daripada sudut lain. Kawasan ini juga dikenali sebagai 'pusat bandar' Fraser Hill. Jam besar (tidak kelihatan dalam gambar) terletak di sebelah kiri latar-belakang gambar.

Bangunan Kelab Golf yang juga bertindak sebagai pusat jawatankuasa dan sekretariat perlumbaan antarabangsa melihat burung Bukit Fraser.
Oh... Perlumbaan ini adalah perlumbaan berpasukan di mana setiap pasukan perlu bergerak ke kawasan-kawasan yang ditetapkan lalu mencari dan melihat seberapa banyak jenis burung yang terdapat di sesuatu kawasan dan membuat catatan. Pasukan yang dapat mencari paling banyak jenis burung dikira sebagai pemenang.

Jam besar Bukit Fraser dilihat daripada sudut lain. Kelihatan bunting promosi buku "Berpetualang ke Aceh" hasil reka-cipta sendiri diletakkan bersebelahan pokok, lokasi pertama bunting ini diletak di sini dalam eksperimen untuk melihat reaksi orang yang lalu-lalang.

Kemeriahan waktu malam ramai pengunjung di Bukit Fraser.


Sebuah konsert turut diadakan untuk memeriahkan suasana. Kelihatan anggota kumpulan Kopratasa di atas pentas.


Inilah masjid tempat saya bermalam untuk menjimatkan belanja... Letaknya sekitar 500 meter naik bukit daripada 'pusat bandar'.
Bukannya saya dapat tidur nyenyak pun, maklumlah saya sebenarnya sedang demam sambil mengharapkan jacket serta dua helai kain pelikat untuk melindungi diri daripada kesejukan malam udara pergunungan.
Untuk makluman, Bukit Fraser terletak sekitar 4,000 kaki daripada paras laut. Suhu harian selalu berada di sekitar 22 Celsius pada waktu siang dan 20 Celsius atau kurang waktu malam sedangkan saya sudah terbiasa suhu Kuala Lumpur dengan minimum 27 Celsius dan sering mencapai 31 Celsius ke atas.
Hasilnya, saya tidak dapat tidur nyenyak kerana sering menggigil kesejukan malah sering sakit perut dan pundi-pundi kencing. Jam 5.15 pagi, saya terbangun lagi untuk ke tandas lalu bangun terus untuk solat Subuh berjemaah kemudian turun ke 'pusat bandar' untuk mendirikan bunting "Berpetualang ke Aceh". Penat woo tak cukup tidur!

Suasana kedai-kedai makan di kaki Puncak Inn. Cantik bukan warna-warninya?

Hmm... Cukuplah saya bercerita di sini ya. Ketika menulis perenggan ini, waktu sudah melepasi jam 2 pagi sedangkan saya sebenarnya belum makan malam sejak kembali daripada pusat bandaraya Kuala Lumpur 9 malam tadi... Sibuk sangat nak buat update untuk blogspot. Selamat malam ya... :]

p/s: Mungkin ada yang bertanya, apakah saya juga turut melihat burung di Bukit Fraser? Lagipun, bukankah tajuk artikel ini ialah "Melihat burung di Bukit Fraser?"
Hmm... Memang terdapat beberapa jenis burung yang kelihatan berterbangan di sana-sini. Mungkin saya boleh melihat lebih banyak lagi jika tidak sekadar berlegar-legar berhampiran 'pusat bandar'... Mungkin juga saya boleh turut mencari burung-burung yang tersembunyi jika ada membawa teropong sendiri.
Yang pasti saya telah terjumpa 'seekor burung' yang cantik, siap memakai tudung dengan senyuman yang manis menawan. Kami sempat berkenalan, bercerita panjang sambil berjalan-jalan dan saya merasa senang dan suka dengannya..
Cuma saya rasa cukuplah kami sekadar berkawan... Saya ada memberitahu 'burung' ini bahawa saya masih ada perasaan sayang terhadap bekas isteri terutama apabila mengenangkan anak perempuan kami. Dan saya juga memiliki dua orang teman wanita yang sangat saya sayangi. Cukuplah setakat itu...

Kemalangan yang pelik!

Lihat gambar di atas... Sebuah kereta mewah BMW 3 series terperesok di dalam sebuah longkang yang agak sempit siang tadi... Perhatikan dengan teliti. Lebar longkang ini sebenarnya tidak cukup untuk menampung ketinggian kereta, lalu bagaimana kereta ini boleh terperesok sebegitu rupa? Kenapa tidak tersangkut di tepi tebing longkang?
Lebih pelik lagi, longkang ini terletak bersebelahan jalan kecil di sebuah kawasan perumahan di Ampang... Jalan besar iaitu Jalan Ampang terletak di sebalik penghadang dan para pemerhati serta hadirin di dalam gambar.
Daripada segi logik akal, mungkin kita senang menerima kemalangan ini jika longkang itu terletak terus bersebelahan jalan besar tanpa penghadang... Atau penghadang itu telah dilanggar sehingga pecah menyebabkan kereta masuk ke dalam longkang kerana kereta telah dipandu laju lalu hilang kawalan.
Ini boleh dikira perkara biasa di jalan-jalan besar di mana ramai orang sering memandu laju. Bagaimanakah perkara ini boleh terjadi di sebuah jalan kecil yang saya tahu ada banyak bump? Jalan di mana orang selalunya memandu di bawah kelajuan 30km/h?


Kemalangan yang agak pelik ini menyebabkan ramai orang berhenti untuk memerhati dalam keadaan terpinga-pinga. Memang ramai yang hairan bagaimana kereta sebesar ini boleh masuk betul-betul muat ke dalam sebuah longkang yang tidak sebesar mana pun...
Keadaan ini menyebabkan saya terasa patut mengambil beberapa gambar sebagai rekod. Malah saya terasa wajib menceritakannya di dalam ketiga-tiga blogspot saya sebelum dapat menyambung apa- apa penulisan lain!
Itupun belum cukup rupanya... Saya ingat apa yang diceritakan di atas sudah cukup pelik. Rupanya, ada lagi satu fakta kejadian yang jauh lebih pelik!
Saya diberitahu, kereta ini datang daripada arah bertentangan sebelum mengalami kemalangan lalu terperesok di dalam longkang. Kalau dari arah bertentangan, bukankah bahagian belakang kereta yang patut kelihatan daripada tempat saya sedang berdiri lalu mengambil gambar ini? Kenapa pula kelihatan bahagian hadapan kereta?
Menurut seorang hadirin, kereta itu telah berpusing sekurang-kurangnya sekali pusing sebelum terperesok dalam kedudukan yang dilihat ini. Ait? Berpusing lepas itu dapat pula masuk cukup-cukup ke dalam parit yang agak sempit ini? Aduh... Pening memikirkan bagaimana kejadian ini berlaku!

Lihat lagi, daripada sudut yang lain pula. Pelik bukan kedudukan kereta ini?
Apapun, saya diberitahu pemandunya selamat, mungkin luka-luka sedikit walaupun dia dikatakan memandu agak laju ketika mengambil selekoh di taman perumahan sehingga terjadinya kemalangan ini.
Yang pasti, tidak terdapat apa-apa kesan darah kelihatan seperti yang sering berlaku dalam pengalaman ngeri yang menyebabkan maut atau mereka yang terlibat cedera parah. Cermin tingkap di sisi bahagian pemandu yang terbuka tanpa ada kesan cermin pecah menunjukkan, sekurang-kurang pemandu dapat keluar menyelamatkan diri dalam keadaan yang agak selesa.
Bayangkan jika cermin itu tertutup dan pemandu terperangkap di dalamnya. Bagaimanakah agaknya keadaan?
Bayangkan pula kalau cermin tidak dapat dibuka dan kemalangan ini berlaku ketika hujan lebat yang sering menyebabkan banjir kilat. Silap-silap ada yang nahas!


Kereta ditarik keluar menggunakan lori pick-up... Seperti biasa, rakyat Malaysia agak 'prihatin' apabila berlaku apa-apa kemalangan jalanraya. Ramai yang sedia menyumbangkan 'kepakaran' dengan duduk atau diri memerhati sambil ternganga... Atau sibuk mengemukakan 'teori' bagaimanakah sesuatu kemalangan itu boleh berlaku, hehe!

Apapun, Alhamdulillah, kereta BMW 3 series ini berjaya dibawa keluar. Sekarang bolehlah saya menyambung penulisan lain ya... Teruskan membaca!