Pagi Jumaat 29 Januari, hari terang menunggu untuk kembara diteruskan.





Oh, terlupa hendak beritahu. Anda boleh melihat gambar-gambar sekitar makam di dalam artikel Akhirnya, makam Sultan Malikus Salih waktu siang (At last, tomb of Sultan Malikus Salih at daytime) yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) hari Selasa. Kalau ikut giliran artikel itu sepatutnya dibuat hari ini. Tetapi semasa menyediakan artikel sokongan untuk Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Dari Banda Aceh menurut misi ke Lhokseumawe... saya dapati artikel seterusnya di blogspot tersebut akan menjadi yang ke 393, bersamaan 3 x 131, ada makna tertentu buat saya. Lalu artikel tentang makam pun dibuat lebih awal.
Melihat gambar di atas pula baru saya teringat Sultan Malikus Salih mangkat bulan Ramadhan. Apakah ini yang menyebabkan penceritaan perjalanan ke Aceh tahun lepas di mana saya pertama kali sampai ke makam baginda dibuat bulan Ramadhan? Yang pasti, ia tidak dirancang... siri dibuat bulan Ramadhan pun semata-mata kerana sampai giliran.
Sebenarnya artikel pertama siri itu dibuat pada penghujung bulan Jun. Ramadhan pula bermula hampir ke penghujung bulan Ogos, dekat 2 bulan kemudian. Namun di celah-celah itu timbul gerak penceritaan yang lain seperti satu mengenai perjalanan ke Perak, satu lagi perjalanan ke Negeri Sembilan hingga memanjangkan tempoh menulis siri. Cantiknya, masuk sahaja bulan Ramadhan, penceritaan sampai ke bahagian di mana saya dan isteri meninggalkan Banda Aceh selepas 2 malam untuk memulakan perjalanan menziarahi makam Sultan Malikus Salih lebih 300 km ke tenggara Banda Aceh. Apakah ia semata-mata kebetulan?
Satu lagi, penceritaan ini berlaku ketika umur saya menghampiri 40 tahun menurut kiraan Hijriah. Lalu artikel demi artikel dihasilkan sambil saya juga cuba mengkhatamkan Al-Quran sebelum masuk 27 Ramadhan, tarikh lahir saya menurut kalender Islam, satu azam yang sudah lama disimpan setelah pertama dan akhir sekali katam 28 tahun yang lampau. Alhamdulillah, sasaran berjaya dicapai. Malah tarikh yang 27 Ramadhan bersamaan 17 September 2009 itu turut menyaksikan siri cerita perjalanan ke Aceh tahun lepas berjaya ditamatkan. Lihat Koleksi cerita perjalanan Aceh yang lebih teratur... .

Siri terbaru ini pula dimulakan bulan Ramadhan juga padahal ia adalah mengenai perjalanan ke Aceh yang dibuat 7 bulan lalu. Padahal perjalanan ke Aceh seterusnya iaitu pada penghujung Februari telah berjaya diluahkan di blogspot ini 4 bulan lalu (lihat Maulidur Rasul di Aceh dari mula hingga tamat...). Apakah ia juga ada kena-mengena dengan hakikat bahawa Sultan Malikus Salih mangkat bulan Ramadhan? Di atas adalah gambar ketika keluar mencari lain makam...

Makam yang ingin diziarahi seterusnya,, makam yang turut menggambarkan kebesaran kerajaan Samudera-Pasai adalah milik Ratu Nahrisyah, seorang keturunan Sultan Malikus Salih. Dalam perjalanan tahun lepas saya dan isteri tidak berpeluang kerana kami bukan sahaja sampai ke makam Sultan Malikus Salih lewat malam, kami harus berkejar kembali ke Banda Aceh. Kini siang Jumaat, baru kami ada peluang untuk melihatnya. Cuma pemandu yang tidak tahu kedudukan tersilap membawa kami ke makam yang lain. Lihat Makam 44 ulamak (Tombs of the 44 religious scholars).

Namun kesilapan itu ternyata berguna. Di sekeliling permatang menghala ke makam 44 orang ulamak, boleh ditemukan banyak lagi batu nesan yang menandakan wujud kawasan pemakaman besar di sekitar ini.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan