Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Mei 07, 2011

Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Sekitar Tumpat ke Pengkalan Kubor





Dari kawasan sekolah pondok Tok Selehor kami pun bergegas ke bandar Tumpat.




Bangunan wat Buddha seperti ini menandakan Tumpat sudah dekat...




Ah. Sampai sudah. Pusing dahulu dengan kereta melihat bandar yang tak sebesar mana ini. Lihat artikel A quick look at the town of Tumpatdi blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Singgah sebentar di masjid jamek. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Ismaili, Tumpat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Kemudian baru makan tengahari....



Sebenarnya dah dekat 4 petang ketika itu.



Seterusnya kami pergi ke stesyen keretapi Tumpat.




Saya mahu mengambil gambar. Ini kerana ketika kali pertama menjejakkan kaki di stesyen ini tahun lepas untuk projek buku keretapi, saya sampai malam. Kemudian bertolak dari Tumpat keesokan paginya pun ketika hari masih gelap. Lihat artikel Akhirnya... keretapi pun menuju destinasi yang mengandungi kompilasi pengalaman sebenar membuat perjalanan untuk mengumpul isi buku.




Setelah hampir setengah tahun perjalanan keretapi itu dibuat, masuk penghujung 2010 baru saya dapat melihat suasana stesyen waktu siang. Untuk pengetahuan stesyen Tumpat adalah yang terakhir dan paling hujung di laluan Pantai Timur. Lihat Tumpat train station in daylight.







Berdekatan stesyen ada taman rekreasi. Dahulu saya melihatnya waktu malam dalam kegelapan. Kini saya dapat membawa isteri dan anak-anak berehat dalam keterangan siang....







Di satu bahagian ada bangunan panggung menghadap apa yang kelihatan seperti sungai, mungkin selat kecil. Kali ini baru saya dapat mengambil gambar kerana dahulu pun saya ada singgah tapi kalau dah gelap gulita, apa yang nampak setakat bayang-bayang sahaja... tak guna pun ambil gambar. Lihat The waters near Tumpat.




Oh. Selepas itu kami singgah di masjid jamek lagi. Bukan apa... perlu memandikan dan menukar lampin Rasyid... :]


Kemudian baru meninggalkan Tumpat menuju ke Pantai Sri Tujuh.




Antara tempat-tempat yang dilalui dalam perjalanan.







Sambil itu boleh kelihatan Laut China Selatan di sepanjang perjalanan.




Melihat papantanda ini mengingatkan pada masa saya kali pertama sampai di sini penghujung 1997. Ketika itu saya sedang mengembara menaiki motosikal besar secara solo keliling Semenanjung Malaysia...




Saya tak ingat jika bangunan yang kelihatan ini sudah ada ketika itu. Dan kalau ada pun saya tak pasti jika ada singgah ke situ. Tetapi saya terasa seperti sudah melihat segalanya sepertimana sejak memulakan perjalanan ke Pantai Timur ini pada pagi hari Krismas tiap-tiap hari saya mengalami deja vu... terasa pernah sampai ke sesuatu tempat dan melihatnya dari pelbagai sudut sedangkan hakikatnya saya tidak pernah pun sampai sebelum itu. Lihat Masjid (Mosque of) Az-Zakirin, Pantai Sri Tujuh.



Di Pantai Sri Tujuh anda akan jumpa dahulu apa yang kelihatan seperti lagun dan tasik sebelum boleh mencapai pantai sebenar. Lihat Enjoying the breeze at Pantai Sri Tujuh.

Perjalanan ke Pengkalan Kubor diteruskan.



Terlihat masjid yang agak cantik ini di tepi jalan. Lihat Masjid (Mosque of) As-Somadi, Geting, Tumpat.

Akhirnya kami sampai ke Pengkalan Kubor hampir jam 6.

Jumaat, Mei 06, 2011

Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Makam Tok Janggut, Kampung Laut dan masuk lubang kubur di makam Tok Selehor

Sudah 11 hari saya membiarkan penceritaan siri tergantung. Maka biar disambung daripada artikel Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Berkejar ke Kota Bahru.



Pagi Isnin 27 Disember 2011. Setelah hujan semalaman timbul langit cerah.




Ia adalah hari ketiga dalam perjalanan ke Pantai Timur. Sampai masa untuk memulakan aktiviti, berjalan kaki sebentar ke sebelah rumah melihat sebuah kolah air lama, kalau tak salah ingatan pernah digunakan di surau lama (kini tiada) yang pernah dikelolakan oleh almarhum datuk kepada Cikgu Najib, seorang dari keturunan wali Allah Tok Pulau Manis yang telah berhijrah dari Terengganu ke Kelantan.



Kiranya kami telah bermalam di rumah Cikgu Najib. Selain tumpang berehat kami mahu memastikan rancangan perjalanan. Biar diingatkan satu sebab utama beliau menjemput kami ke Kelantan adalah untuk membawa saya melihat sekolah-sekolah pondok juga pusat-pusat tariqat di wilayah Patani yang terletak di selatan Thailand.



Namun Cikgu Najib telah didatangi urusan tidak disangka. Maklumlah dia bekerja di Istana Kelantan yang diketahui sedang mengalami pergolakan besar ketika itu. Maka kami sepakat... biar Cikgu najib menyelesaikan urusannya dalam tempoh 3 hari sementara saya membawa anak-anak dan isteri berjalan. Selepas itu baru saya ikut dia ke Patani. Di atas adalah gambar ketika kami keluar dari lorong meninggalkan rumah Cikgu Najib. Tertera perkataan Pasti Tok Wan Ali Kutan merujuk kepada ulamak besar Kelantan Sheikh Wan Ali Kutan yang hidup 1837-1913.




Kami terus keluar menghala ke Kota Bahru.




Namun sebelum jambatan menyeberangi Sungai Kelantan ke bandaraya kami mengambil jalan kecil susur kiri.




Ada tempat yang sudah lama ingin saya tuju.




Inilah makam pahlawan Melayu Kelantan yang dipanggil Tok Janggut. Lihat artikel Makam (Tomb of) Tok Janggut, Kelantan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART.


Dari jalan kecil kampung kami masuk ke satu jalan besar.



Jalan ini membawa ke bulatan berdekatan Wakaf Baru lalu saya ke sana melihat masjidnya. Lihat Masjid (Mosque of) Wakaf Baru.



Selepas itu saya menghala ke utara. Oh, sebenarnya sebelum ke Wakaf Baru saya ada singgah sebuah masjid di Kubang Labu. Lihat Masjid (Mosque of) An-Nur, Kubang Labu.




Kemudian saya ingin membawa keluarga ke Kampung Laut.



Untuk makluman di kampung inilah pernah terletak Masjid Kampung Laut yang disebut sebagai masjid tertua masih wujud dengan bangunan asal di Malaysia. Namun masjid berusia ratusan tahun itu telah dialihkan ke Nilam Puri kira-kira 19 km dari sini kerana tapak asalnya sudah terhakis dan kini menjadi sebahagian dari Sungai Kelantan. Lihat artikel Al-Rasyid's first visit to Masjid (Mosque of) Kampung Laut yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH 11 hari lalu. Lihat juga pemandangan Sungai Kelantan di sekitar itu pada artikel Kelantan river at the Kampung Laut jetty.




Sebaliknya Kampung Laut memiliki sebuah masjid lain yang dibina 1960an untuk menggantikan fungsi masjid asal. Di masjid ini terdapat beberapa barangan asal yang diambil dari masjid lama. Lihat Masjid 'baru' ('New' mosque of) Kampung Laut.



Seterusnya saya membawa isteri dan anak-anak ke Kok Majid.


Terletak di delta Sungai Kelantan ia menawarkan satu pengalaman menarik...

Seronok jalan-jalan naik bot menikmati pemandangan perairan Sungai Kelantan hampir ke Laut China Selatan. Lihat klip-klip video di Al-Rasyid dan abang serta kakaknya pusing-pusing di sekitar delta Sungai Kelantan. Untuk gambar-gambar lihat artikel Kelantan river from Kok Majid dan Going around the Kelantan river delta.




Seterusnya kami menghala ke Tumpat.


Tetapi belum lagi ke bandar Tumpat. Sebaliknya kami mahu pergi ke kawasan sekolah pondok yang pernah diasaskan ulamak besar bertaraf wali Tok Selehor yang hidup sezaman dengan Tok Kenali kira-kira seabad lalu.




Saya menyuruh isteri dan anak-anak ke hadapan sementara saya masuk ke masjid ini. Lihat Masjid (Mosque of) Tok Selehor.



Kemudian baru kami sama-sama menziarahi makam Tok Selehor. Lihat Tomb of Tok Selehor revisited.




Oh. Tidak jauh dari makam, dalam tanah perkuburan sama di hadapan masjid terdapat bangunan pondok ini.




Selepas mendapatkan kunci dari bahagian lain perkampungan sekolah pondok, kami anak-beranak pun masuk ke dalam lubang terdapat di dalam pondok.



Ketahuilah lubang ini pernah digunakan untuk bersuluk semasa Tok Selehor masih hidup. Ia dikelilingi tanah perkuburan dan letaknya memang pada aras mayat biasa ditanam. Malah memang ada mayat-mayat ditanam beberapa kaki sahaja di setiap sudut keliling lubang. Difahamkan selepas diberi zikir tertentu, seorang salik atau anak murid pencari kebenaran boleh mengalami dengan jelas proses yang berlaku apabila seseorang meninggal dunia lalu dikebumikan. Lihat artikel 'Facing' death at Tok Selehor's special meditation hole.


Khamis, Mei 05, 2011

Al-Rasyid dan abang serta kakaknya pusing-pusing di sekitar delta Sungai Kelantan

Ketika ini sudah masuk malam Jumaat. Tetapi menurut perkiraan kalendar Barat masih lagi hari Khamis. Apapun tarikh menurut kalendar Barat masih 5 Mei 2011 atau 5/5/11, satu lagi nombor cantik buat saya. Ia cukup sesuai untuk saya menyambung kembali siri "Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur" iaitu masuk hari ke 3 perjalanan, hari yang dibuka dengan ziarah ke makam Tok Janggut Kelantan, hari di mana saya juga ada membawa anak-anak ke makam Tok Selohor lalu masuk ke lubang bawah tanah yang dikelilingi tanah perkuburan tempat anak-anak muridnya bersuluk dahulukala.

Namun saya masih terasa penat dan kurang sihat untuk menulis. Untuk makluman setiap artikel dalam siri memerlukan sejumlah artikel sokongan dibuat terlebih dahulu di blogspots saya yang lain dan ini bukan sahaja memakan masa tetapi tenaga dan memenatkan minda juga. Maka untuk hari ini biar dipaparkan sahaja sejumlah video yang dibuat ketika kami anak-beranak pergi menaiki bot di jeti Kok Majid lalu bersiar-siar di sekitar delta Sungai Kelantan ya. Ini juga sebenarnya boleh memudahkan penceritaan apabila artikel terbaru "Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur" dibuat, kalau larat insyaallah esok siang Jumaat.






































Rabu, Mei 04, 2011

Kaitan Daeng Parani dengan keluarga sebelah ibu


Assalamualaikum semua. Sebenarnya saya masih malas hendak menulis kerana kepenatan. Perjalanan hujung minggu baru ini yang memakan jarak 1,300 km, dari Bandar Tasik Puteri ke Muar terus ke Singapura pusing-pusing pelbagai tempat sebelum ke Skudai, turun balik ke Masai, naik balik ke Skudai kemudian ke Muar, naik ke Bukit Kepong, Segamat, Jelai, Bahau, Jalan Penarikan, Kuala Pilah, sempat bermalam di makam Tuan Tulis sebelum kembali ke rumah semalam masih terasa. Penat ini ditambah apabila kemudian saya mengatur data keluarga yang baru diperolehi dari saudara-mara di Singapura. Namun untuk menolong saudara-mara belah Pontian yang baru dikenali 2-3 hari ini saya harus membuat posting ini.

Di atas adalah sekeping salasilah ringkas yang menunjukkan keluarga ibu saya berasal dari keturunan Daeng Parani, saudara sulung 5 Daeng Bersaudara (Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Chelak dan Daeng Kemasik). Ibu saya bernama Rahimah @ Ramlah dan ayahnya Ismail adalah anak kepada Hussin bin Daeng Betak. Nama Betak ini baru saya dengar 2 tahun lalu. Selepas itu baru dapat tahu beliau adalah pembuka Parit Betak di Pontian.

Penghujung tahun lepas kalau tak salah ingatan baru saya dapat tahu ayahanda kepada Daeng Betak bernama Daeng Makuaseng, juga dikenali sebagai La Makuaseng. Lihat sedikit penerangan dan cerita berkaitan pada artikel-artikel lama Episod kemaruk Bugis - pembukaan terbaru dari Kuala Selangor dan Tolong pecah misteri masjid-masjid Muar ini.... Lama juga saya mencari apakah nasab ke atas Daeng Makuaseng. Hujung minggu lepas baru saya dapat tahu beliau adalah keturunan Daeng Parani.

OK. Selama ini alamat atau petunjuk yang saya dapat adalah datuk saya Ismail itu berketurunan Raja Haji ibni Daeng Chelak dari seorang anak baginda yang dikenali sebagai Raja Ahmad. Mungkin darah Daeng Chelak ini wujud dari sebelah perempuan? Wallahualam. Apapun salasilah yang tertera di atas, diperolehi dari seorang saudara yang baru dikenali berasal dari Parit Betak tetapi kini menetap di pinggir Johor Bahru. Salasilah itu meletakkan nasab datuk saya itu sebagai Ismail bin Hussin bin Daeng Betak ibni Daeng Makuaseng ibni Daeng Parani.

Pada pandangan pertama dan melalui sedikit pengetahuan sejarah yang saya ada ini kelihatan agak mustahil kerana berdasarkan anggaran perkiraan tahun ada jarak lebih 100 tahun antara kewujudan Daeng Makuaseng dengan Daeng Parani. Mengikut perkiraan ringkas saya berdasarkan tahun lahir datuk saya Ismail iaitu 1917, ayahnya Hussin mungkin lahir 1890. Ismail adalah anak ke-4 atau ke-5 kalau tak salah dan anggaran dibuat atas anggapan Hussin mula berumahtangga dan mendapat anak paling awal pun pada umur 20 tahun. Menggunakan faktor anggaran yang sama, Daeng Betak mungkin lahir sekitar 1860 dan bapanya Daeng Makuaseng sekitar 1830. Tetapi Daeng Parani yang disebut sebagai bapa Makuaseng dalam salasilah pula diketahui dalam sejarah bergiat aktif dalam sosio-politik kerajaan-kerajaan di sekitar Semenanjung Tanah Melayu tahun 1720an. Kan sudah ada jarak lebih 100 tahun antara kewujudan mereka berdua?

Dari segi tahun kelihatan mustahil Daeng Makuaseng adalah anakanda Daeng Parani. Logiknya jarak 100 tahun memerlukan 2-3 lagi nama, moyang, datuk, bapa untuk menyambungkan keturunan... kecualilah Daeng Parani hidup sehingga umurnya melepasi 100 tahun kemudian berkahwin lagi seorang wanita muda yang memberikan seorang anak baru pada usia begitu lanjut. Ini kelihatan lebih mustahil lagi apabila sejarah rasmi menyebut Daeng Parani mangkat di Kedah 1724 akibat dibedil meriam ketika berperang dengan pasukan Raja Kechil dari Siak. Namun ada pihak menyebut baginda tidak mangkat sebaliknya mengundurkan diri dari kancah politik dan peperangan secara senyap, mungkin kerana hendak mendekatkan diri kepada Allah.

Sekarang cuba kita fikirkan kemungkinan Daeng Makuaseng memang anakanda kepada Daeng Parani dengan cuba mengatur kembali tempoh hidup mereka dan keturunan. Maaf ya jika penerangan ini kelihatan terlalu berterus terang. Adapun tidak mustahil seorang lelaki mampu mendapatkan anak setelah berumur lebih 100 tahun, yang mustahil adalah perempuan mendapatkan anak pada umur begitu kerana masuk pertengahan 40an badan mereka secara biologinya tidak akan mengeluarkan telur lagi untuk disenyawakan sedangkan lelaki masih mampu menghasil air mani dan boleh menyebabkan perempuan muda mengandung selagi ada kekuatan untuk bersenggama.

OK. Adapun orang yang memberi saya salasilah di atas itu namanya Mansor bin Abdul Malik bin Daeng Perani. Oh, jangan tersilap anggap saya telah berjumpa dengan cucu Daeng Parani ya. Datuknya itu cuma mengulangi balik nama tersebut. Biar disebut dengan penuh, menurut salasilah yang diberi, orang ini namanya Mansor bin Abdul Malik @ Daeng Lupek bin Daeng Parani @ Daeng Berani ibni Daeng Peritan ibni Daeng Parani (yang hidup 1720an Masihi). Mansor ini umurnya 40an, cuma beberapa tahun sahaja lebih tua berbanding saya yang sudah memasuki umur 41 tahun ini. Namun oleh kerana ibunya Chik adalah anak Daeng Betak beliau berpangkat datuk saudara kepada saya.

Ini tidak menghairankan kerana Daeng Betak memiliki 6 atau 7 orang isteri, tentunya paling banyak pun 4 sekaligus menurut hukum Islam. Menurut seorang kakak kepada Mansor (saya temui keluarga mereka di Masai hari Ahad) 6-7 isteri itu pun setakat yang mereka ketahui... entah-entah ada lagi. Sedangkan dengan seorang isteri pun kadangkala seorang lelaki boleh mendapat anak-anak yang umurnya berbeza lebih 20 tahun (misalnya isteri saya sendiri yang memiliki 13 orang adik-beradik, abang sulungnya berumur 57 tahun, isteri saya 36 tahun adik bongsu mereka 29 tahun, sudah ada beberapa orang cucu saudara) inikan lagi kalau laki-laki itu memiliki ramai isteri. Tak mustahil seorang lelaki zaman dahulu berkahwin kali pertama ketika berumur 20 tahun lalu mendapat anak, masuk umur 100 tahun dia berkahwin lagi dengan isteri yang entah ke berapa untuk menambahkan jumlah zuriat. Maka perbezaan umur antara anak pertama dengan anak terakhir boleh mencapai 80 tahun malah lebih!

Mengikut anggaran saya seperti ditulis di atas, datuk kepada datuk saya sebelah ibu iaitu Daeng Betak lahir sekitar 1860. Anggaran dibuat berdasarkan cucunya iaitu datuk saya Ismail yang merupakan anak ke 4 atau 5 kepada Hussin bin Betak diketahui lahir 1917 dan Daeng Betak pula disebut pengkaji sejarah sebagai membuka Parit Betak di Pontian 1910. Difahamkan anak-anak Daeng Betak yang diketahui lahir selepas beliau membuka Parit Betak berumur paling tua pun lebih sedikit dari 80 tahun sedangkan datuk saya Ismail yang merupakan cucu beliau pun harus berumur 94 tahun kalau masih hidup. Menurut ceritanya Daeng Betak meninggal dunia dan dimakamkan di Riau tidak lama setelah melepaskan diri daripada tahanan komunis. Difahamkan ini berlaku tahun 1940an.

Diceritakan lagi, Daeng Betak sudah tua dan begitu uzur ketika ditahan komunis. Jadi kalau betul beliau lahir 1860 maka umurnya ketika itu adalah 80an. Umur ketika membuka Parit Betak pula adalah 50. Adalah tidak menghairankan jika sesiapa pun mampu membuka satu kawasan pada umur sebegitu kerana lelaki zaman sekarang pun masih cukup gagah pada umur 50 apalagi orang dahulukala seperti Daeng Betak yang banyak ilmu, berdarah pahlawan lagi bangsawan.

Tadi di atas sudah disebut anggaran awal bahawa bapa kepada Daeng Betak iaitu Daeng Makuaseng lahir 1830. Ada disebut sesetengah pihak bahawa beliau membuka Parit Makuaseng pada tahun 1910 juga... ke 1912 gitu? Maka jika ini benar, parit itu dibuka ketika beliau berumur sekitar 80 tahun. Namun ada juga kemungkinan tarikh 1910 atau 1912 itu silap dan Parit Makuaseng sebenarnya dibuka lebih awal. Tak mustahil Daeng Makuaseng juga telah lahir lebih awal... katakan tahun 1800an dan beliau mendapat anak yang diberi nama Daeng Betak ketika berumur 60 tahun, satu perkara yang jauh sekali dari mustahil.

Adapun Daeng Parani dianggarkan sudah berumur 20an hingga awal 30an ketika aktif dalam dunia sosio-politik di rantau ini. Sudah disebut awal tadi sejarah rasmi menyebut beliau mangkat di Kedah 1724. Tetapi ada pihak percaya beliau sebenarnya masih hidup tetapi mahu mengundurkan diri dari kancah peperangan dan politik lalu merahsiakan keadaan sebenar. Maka tak mustahil tahun 1800an baginda ada berkahwin lagi dan mendapat anak yang diberi nama Daeng Makuaseng.

Kalau Daeng Parani betul-betul mangkat 1724 pula Daeng Makuseng masih boleh diakui berdarah dari baginda. Difahamkan salasilah anaknya Daeng Betak yang bersambung dengan Daeng Parani telah disahkan Istana Johor (kerabat Johor juga berketurunan Daeng Parani melalui anaknya Raja Maimunah atau Tengku Tengah yang berkahwin dengan Temenggung Abdul Jamal). Cuma ada lagi 2-3 nama yang perlu disambung antara Daeng Parani dengan Daeng Makuaseng.

Oh. Artikel ini sebenarnya dibuat untuk memenuhi permintaan saudara Mansor, saya rasa biar saya panggil Cik Mansor kerana dari segi salasilah beliau berpangkat datuk saudara tetapi dari segi umur boleh dikira sebaya. Cik Mansor ada menghantar SMS pagi tadi meminta saya menghantar melalui MMS gambar makam Daeng Parani yang pernah saya tunjukkan kepadanya tempoh hari. Masalahnya saya cuma memakai telefon bimbit ringkas tanpa kemudahan MMS. Nak menjawab SMSnya pula, air time saya sudah habis... perlu topup sedangkan saya malas nak keluar rumah kerana terasa begitu penat.

Tadi saya terfikir hendak menyuruhnya masuk ke blogspot ini dan membuat keyword search "Daeng Parani" pada kotak atas kiri blogspot. Fikir saya dengan cara itu dapatlah ditemui artikel-artikel lama saya tentang Daeng Parani yang ada gambar. Tetapi bila saya mencubanya sendiri yang keluar cuma artikel "Susah-payang mencari Merong" yang merupakan kompilasi artikel siri "Mencari jejak Merong". Maka itu saya rasa harus dibuat satu artikel baru supaya senang dicari, disertakan sekali links yang perlu... mana tahu boleh terkeluar cerita panjang lebar sebegini?

Apapun untuk Cik Mansor dan para pembaca sekalian, di bawah adalah links berkenaan Daeng Parani dari mana-mana blogspots saya. Disertakan juga beberapa links berkaitan Bugis untuk pembacaan yang lebih menyeluruh.



Kamera short-curcuit di Makam Daeng Parani dan 2 insan bernama Badrul...


Makam (tomb of) Daeng Parani


Jalan-jalan Kedah: Apa ada sekitar Sungai Petani...


Tomb of Daeng Parani revisited


Kaitan para Daeng anak-anak Raja Bugis dengan Aceh, bumi Serambi Mekah...


Maka terbukti kaitan Daeng-Daeng di Perak dengan Daeng lima bersaudara...


Bugis bersamaan Balqis?


Nota: Tahun lahir datuk sebelah ibu saya, Ismail yang disebut 1917 di atas adalah berdasarkan apa yang tertulis pada kad pengenalan. Namun ada yang percaya beliau sebenarnya lahir lebih awal iaitu sekitar 1915. Ketika pertama kali disapa seorang keturunan Daeng Betak di Pontian melalui Facebook kira-kira setengah tahun lalu, beliau ada menyebut bapanya adalah anak sulung Daeng Betak dan umurnya sekitar 70 tahun sahaja. Ke saya salah dengar dan tak berapa ingat? Mungkin juga yang disebut adalah bapanya merupakan cucu paling sulung Daeng Betak di Parit Betak. Apapun, kalau tak salah anak-anak Daeng Betak kini semuanya sudah kembali ke rahmatullah. Pada anggaran saya mereka harus berumur 70 hingga 80 ke atas jika masih hidup.