



Apapun makam yang ingin saya lawati bukan yang kelihatan ini. Namun ia tetap ada kena-mengena kerana boleh kata semua makam-makam besar di sekitar Hilir Perak adalah milik ahli-ahli keluarga besar saya...

Sila lihat artikel lama Perjalanan terbaru ke Perak... Mencari makam Keramat Sungai Durian dan membuka sedikit taraf sebenar keluarga Laksamana Raja Mahkota! Semasa itu, ia kira perjalanan terbaru ke Perak leee.... sejak itu saya telah lebih 5 kali pergi.





Dalam artikel Ke Beting Beras Basah bersama isteri... nyaris tenggelam dalam selut daaa! yang dibuat lebih awal hari ini, saya ada menyebut...
Lawatan pertama saya ke Beting Beras Basah dibuat awal tahun 2007 kalau tak salah ingatan, selepas pertama kali menziarahi makam Laksamana Toh Jambu @ Keramat Sungai Durian di Sungai Durian sebelum bermalam di Kota Setia dan esoknya menyeberangi Sungai Perak menaiki bot dari Hujung Rintis untuk mendarat di Sungai Dulang. Ketika itu saya cuma berjalan kaki, menaiki bas atau hitch-hike menumpang kenderaan orang.
Maka itu saya rasa elok juga disusur balik perjalanan lebih 2 tahun lalu itu untuk ditunjukkan kepada isteri. Di atas adalah masjid tempat saya bermalam di Kota Setia dahulu. Sila lihat artikel Masjid (mosque of) Sungai Mangkuk, Kota Setia di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Adapun sebab utama saya ke Kota Setia kerana teringat pesan almarhum Nenek tentang betapa kawasan ini ada kena-mengena dengan keluarga sebelahnya. Apabila saya menyebut pesan Nenek kepada Mak Uda iaitu adik kepada ayah, dia menyebut elok saya melawat tanah perkuburan di situ tetapi dia sendiri tidak tahu bagaimana atau apakah kena-mengenanya.


Awal tahun, ketika menghadiri majlis hol almarhum Sheikh Abdul Qadir al-Jilani dan Maulud Nabi di Masjid Negara (lihat artikel Majlis hol almarhum Sheikh Abdul Qadir al-Jilani berserta Maulud Nabi di Masjid Negara dan percaturan politik terkini... ) saya terjumpa senaskah VCD bertajuk "Negeri Perak Kota Setia 1874-1875", satu-satunya naskah yang ada di sebuah gerai pasang-siap di sana. Terangsang oleh sifat ingin tahu, saya terus membelinya... walaupun peta pada kulit VCD meletakkan Kota Setia di tebing Sungai Dinding berhampiran Segari, bukan di tepian Sungai Perak seperti kedudukan Kota Setia yang memang ada di sebelah sini.
Apabila menonton VCD, ternyata penggambaran memang dibuat di tepian Sungai Perak. Cuma ceritanya rupa-rupanya adalah sebuah fiksyen berdasarkan perjuangan orang Melayu melawan Inggeris selepas berlaku Perjanjian Pangkor 1874, kata sesetengah orang, untuk menggantikan projek filem "Pasir Salak" yang terbengkalai. Maka nampaknya ia tidak boleh dijadikan petunjuk akan sejarah sebenar Kota Setia yang memang wujud di tepian Sungai Perak menghampiri ke kualanya.
Apapun di atas ialah gambar jeti di Hujung Rintis. Lihat artikel The Perak river from Hujung Rintis... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Dari jeti ini seseorang boleh mengambil bot menyeberangi Sungai Perak hingga ke Sungai Dulang. Laluan itulah yang saya gunakan dalam lawatan pertama ke sini awal 2007. Dari Sungai Dulang, saya menumpang motosikal orang hingga ke Bagan Datoh, kemudian mendapat kereta seterusnya motosikal hingga ke tepian Beting Beras Basah.

Sebenarnya kami telah sampai di sini pada malam sebelumnya. Selepas melawat Beting Beras Basah, kami telah membuat satu pusingan jauh melawan arah jam mengambil jalan sejauh sekitar 40km, mungkin lebih gitu melalui Sungai Dulang dan kemudian nanti Sungai Tiang untuk mengelilingi 'semenanjung Bagan Datoh' yang terbentuk akibat diapit Sungai Perak di utara dan Sungai Bernam di selatan. Oleh kerana kami meninggalkan Beting Beras Basah selepas masuk Maghrib, maka kami cuma sampai ke Hutan Melintang selepas masuk waktu Isyak. Jadi tak dapatlah mengambil gambar sungai... itu yang kami datang lagi hampir waktu Maghrib, setelah selesai melawat tempat-tempat yang patut berdekatan Teluk Intan.
Oh. Tadi saya ada membaca kembali isi artikel Majlis hol almarhum Sheikh Abdul Qadir al-Jilani berserta Maulud Nabi di Masjid Negara dan percaturan politik terkini... . Baru saya tersedar bahawa saya pertama kali pergi ke majlis anjuran pihak Qadiriah ini sejak tahun 2007, seterusnya 2008 kemudian 2009. Terasa ia seolah-olah selari dengan lawatan pertama saya ke makam Keramat Sungai Durian dan Beting Beras Basah tahun 2007, diikuti lawatan 2008 dan terbaru 19 Julai 2009. Apakah ada kena-mengena? Rasanya macam ada... ada kena mengena juga dengan Nabi dan Sheikh Abdul Qadir al-Jilani.
Adapun lawatan saya ke Perak kali ini, dengan membawa isteri juga bertujuan untuk mendapat petunjuk tentang identiti sebenar Keramat Sungai Durian @ Laksamana Toh Jambu. Selain itu saya mahu mendapatkan kaitan lama antara Sungai Bernam dengan Sungai Perak. Selepas ini saya akan membuat sebuah artikel tentang lawatan ke Kampung Kota di seberang bandar Sabak Bernam. Semoga dengan selesainya siri penceritaan perjalanan ke Perak 18-19 Julai, Allah akan mengilhamkan saya dengan jawaban-jawaban kepada persoalan saya tentang semua ini.
p/s: Entah kenapa, 2 malam lepas saya ada mendapat gerak hati untuk mengaitkan Laksamana Toh Jambu dengan Sultan ke 17 Perak, Maulana Paduka Sri Sultan 'Ala ud-din Mansur Iskandar Muda Shah Khalifat ur-Rahman Sulong ibni al-Marhum Sultan Muhammad Shah Amanu'llah. Entah betul entah tak...
3 ulasan:
Tok Jambu, bukanlah Keramat Sungai Durian. Keramat Sungai Durian adalah seorang perempuan. Tok Jambu "dinaikkan" sebagai "keramat Sungai Durian" oleh keturunan isteri kedua nya untuk menaikkan darjat nya semata, demi harta.....
Hmm. Kalau begitu bagaimanakah ceritanya? Apakah perempuan yang dimaksudkan itu puteri Nakhoda Hitam?
Kota setia penempatan arwah moyang saya.sebelum peperagan orgnputih dn org melayu..raja setia kosan.
Catat Ulasan